Selasa, 20 November 2007

Mungkin Aku akan Ke Daerah itu lagi..

Jika diizin ALlah, aku akan pergi ke sana, bergabung lagi di dalam suasana ukhuwah yang selama ini telah terbina. Aku akan cuba untuk memberikan apa yang terbaik mengikut kemampuan.

Di setiap perjalanan memberikan pengajaran yang berbeza untuk sama-sama dibuat buah zikir. Dan di setiap perhentian memberikan pelbagai lagi kisah untuk dibuat panduan hidup..

Semoga ALlah memberikan aku kekuatan di dalam perjalanan ini... Amiiinnn

Sa'id bin Jubair di hadapan Hajjaj 2


"Apakah pandanganmu tentang saya?" tanya al Hajjaj tanpa berselindung lagi.

"Engkau lebih mengenali dirimu sendiri," balas Sa'id sinis.

"Saya mahu mengetahui pandanganmu," kata al Hajjaj berkeras ingin mengetahui pandangan Sa'id terhadapnya.

Sa'id mengeluh dan berkata "Apa yang akan saya katakan mungkin tidak menyenangkanmu dan tidak akan menggembirakanmu."

"Saya perlu mendengarnya sendiri."desak al Hajjaj.

"Sepanjang pengetahuan saya, engkau adalah seorang yang melanggar Kitab ALlah. Engkau melakukan sesuatu kerana mahukan kekuasaan. Apa yang engkau lakukan itu akan membinasakan engkau dan akan membawa engkau ke neraka," kata Sa'id meluahkan isi hatinya terhadap al Hajjaj.

"Demi ALlah, saya akan bunuh engkau," herdik al Hajjaj kemarahan.

"Engkau membinasakan dunia saya tetapi saya akan binasakan akhirat ngkau," balas Sa'id memberikan peringatan kepada al Hajjaj.

"Pilihlah cara untuk engkau mati," bentak al Hajjaj yang semakin meluap-luap kemarahannya.

"Tidak, engkaulah yang membuat pilihan wahai al Hajjaj. Demi ALlah, apa sahaja cara yang engkau gunakan untuk membunuhku, nescaya ALlah akan gunakannya untuk membunuhmu di akhirat kelak," balas Sa'id keras.

"Apakah engkau mahu saya mengampunkan engkau?" tanya al Hajjaj cuba berkompromi.

"Hanya ALlah yang boleh mengampunkan. Engkau tidak berhak untuk memberi pengampunan," balas Sa'id dengan tegas menjelaskan pendiriannya.

Al Hajjaj bertambah berang mendengar jawapan Sa'id "Wahai budak, bawa ke sini pedang dan alas," jerit al Hajjaj memberi arahan.

Melihat perihal al Hajjaj, tiba-tiba Sa'id tersenyum. Al Hajjaj yang masih kemarahan bertanya: "Mengapa engkau tersenyum?"

"Saya hairan dengan keberanianmu melanggar perintah ALlah walaupun ALlah begitu pengasih kepadamu," jawab Sa'id sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Al Hajjaj pun terus memberi arahan : "Wahai budak, bunuh dia."

Sa'id bin Jubair walau bagaimanapun kelihatan tenang, beliau menghadap kiblat dan membacakan ayat:

"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada ALlah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan ALLah (dengan sesuatu hal yang lain)." [A; An'am:79]

Al Hajjaj yang mendengar bacaan tersebut mengarah : "Jauhkan mukanya daripada kiblat." Sa'id pula terus membaca ayat :

"Ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap ALLah) maka di situlah arah yang diredhai oleh ALlah," [Al Baqarah:115]

Al Hajjaj bertambah bingung mendengar ayat tersebut; "Baringkan dia ke tanah," arahnya pula. Sai'd membaca :

"Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi," [Taha:55]

Al Hajjaj kelihatan mengalah dan memerintah :"Bunuhlah musuh ALlah ini. Saya belum pernah melihat orang yang mahir dengan ayat-ayat al Quran seperti ini."

Lalu Sa'id bin Jubair mengangkat tangannya dan berdoa :

"Ya ALllah, Janganlah engkau berikan al Hajjaj menguasai sesiapa selepas saya ini."
.........................................................................................................................................................................

Lima belas hari selepas pembunuhan Sa'id bin Jubair, al Hajjaj telah ditimpa sakit demam yang begitu teruk. Sekali-sekala dia tidak sedarkan diri dan sekali kala dia terjaga. Apabila terjaga, dia akan bangkit dalam keadaan ketakutan sambil menjerit:" Sa'id bin Jubair sedang mencekik saya. Sa'id bin Jubair bertanya saya : "Apakah sebab engkau membunuh saya?"

Lalu al Hajjaj menangis teresak-esak dan berkata :"Apakah yang telah saya lakukan kepada Sa'id bin Jubair?!!! Kembalikanlah Sa'id bin Jubair kepada saya."

Setelah dia meninggal dunia dan disemadikan di kuburnya, beberapa orang bermimpi melihat al Hajjaj dan mereka bertanya "Apakah yang ALLah lakukan kepadamu dengan orang-orang yang engkau bunuh, wahai al Hajjaj?"

"ALlah membunuh saya sekali bagi setiap orang yang saya bunuh, tetapi ALlah membunuh saya 70 kali bagi Sai'd bin Jubair." jawab al Hajjaj.

Sa'id bin Jubair di hadapan Hajjaj

Imam yang sentiasa beramal dengan ilmunya ini, malah seorang ahli ibadat dan zuhud, seorang yang bertaqwa, suci dan warak ini dibawa oleh tentera-tentera tadi ke kota Wasit dihadapkan kepada al Hajjaj.

Dengan perasaan dendam, al Hajjaj melihat Sa'id bin Jubair dan menyoal, "Siapa namamu?"

"Saya Sa'id bin Jubair'" jawab Sa'id tenang.

"Tidak, engkau sebenarnya Shaqie bin Kusair (si celaka anak si lemah)," jerkah al Hajjaj cuba menghina.

"Ibu saya lebih tahu tentang nama saya," bala Sa'id

Al Hajjaj bertanya lagi :"Apakah pendapatmu tentang Muhammad?"

"Adakah engkau maksudkan Muhammad bin AbduLlah s.a.w?," tanya Sa'id mencari kepastian.

"Ya," jawab al Hajjaj

"Beliau adalah ketua bagi seluruh anak Adam dan seorang nabi yang terpilih, Manusia yang paling baik ketika hidupnya dan paling baik selepas kewafatannya. Baginda membawa risalah dan menunaikan segala amanahnya, memberikan nasihat keana ALlah, kitabNya dan kerana umat Islam keseluruhannya." jelas Sa'id.

"Apakah pandanganmu tentang Abu Bakar?" tanya al Hajjaj lagi.

"beliau adalah al Siddiq, khalifah rasuluLlah s.a.w hidupnya penuh kebahagiaan dan perginya penuh kemuliaan. Beliau memerintah menurut jalan rasuluLLah, tiada sedikitpun yang diubahnya,"jawab Sa'id.

"Bagaimana pula dengan Umar, apakah pandaganmu tentangnya?"

"Beliau adalah al Faruq, melaluinya ALlah memisahkan antara kebenaran dan kesesatan, Beliau adalah pilihan ALlah dan rasulNya. Neliau memerintah berpandukan cara kedua-dua sahabatnya. Hidupnya penuh kemuliaan dan matinsya sebagai syaid." jelas Sa'id menceritakan ketinggian Umar.

"Apakah pandanganmu tentang Uthman?" kini tentang Khaliah ketiga pula disoalnya.

"Beliau adalah penyumbang kepada tentara yang kesukaran. Penggali kolam Rumah. Beliau membeli sebuah rumah di syurga. Beliau adalah menantu rasuluLLah s.a.w kerana mengahwini dua orang anak baginda. Nabi mengahwinkan mereka kerana menurut wahyu dari langit. tetapi beliau telah dibunuh tanpa sebab yang sah,"

"Apakah pandanganmu tentang Ali?' tanya al Hajjaj tentang Khalifah al Rasyidin yang empat.

"Sepupu kepada rasuluLLah s.a.w dan anak muda pertama yang memeluk Islam. Beliau adalah suami kepada Fatimah al Batul. Bapa kepada al Hasan dan al Husin, ketua pemuda ahli syurga."

"Siapakah khalifah Bani Umayyah yang paling engkau sukai?" tanya al Hajjaj lagi.

"Khalifah yang paling diredhai Tuhan," jawab Sa'id cuba mengelak.

"Siapakah di antara mereka yang paling diredhai Tuhan?"

"Itu hanya diketahui oleh orang yang mengetahui rahsia mereka sahaja," jawab Sa'id menyindir.

Sa'id bin Jubair ditangkap tentera Hajjaj.

Kisah pembunuhan kejam yang mengorbankan beribu-ribu orang yang teguh beriman ini telah tersebar luas. Beribu-ribu orang berjaya menyelamatkan diri setelah mereka bersedia untuk mengakui kekufuran diri mereka.

Sa'id merasakan jika beliau dibawa ke hadapan al Hajjaj beliau terpaksa berhadapan dua pilihan, samada lehernya dipancung ataupun mengakui dirinya kufur. Kedua-dua pilihan itu begitu pahit untuk diterima. Oleh kerana itu, beliau memilih untuk melarikan diri dari Iraq dan menyembunyikan diri.

Beliau berpindah dari satu tempat ke satu tempat menyembunyikan diri daripada pengintip al Hajjaj sehinggalah beliau sampai ke sebuah kampung kecil di dalam kawasan Mekah. Dia menetap di sini selama sepuluh tahun. Masa yang sepatutnya cukup untuk meredakan api yang menyala di dada al Hajjaj dan melupakan segala hasad dengkinya.

Walau bagaimanapun apa yang bakal berlaku di luar jangkaannya. Ketika itu seorang gabenor Mekah yang baru telah dilantik daripada keluarga Bani Umaiyah iaitu Khalid bin AbduLlah al Qasri. Sahabat-sahabat Sa'id bin Jubair bimbang dengan keselamatannya kerana mereka menggenali sikap buruk gabenor baru ini, Mereka menjangka suatu yang buruk pasti akan dilakukannya.

Beberapa orang sahabat Sa'id datang menemuinya dan berkata :"Apabila lelaki ini datang ke Mekah, demi ALlah kami tidak yakin dengan keselamatanmu. Ikutlah nasihat kami, keluarlah dari kawasan ini."

"Demi ALlah, telah lama saya melarikan diri hingga saya merasa malu dengan ALlah. Saya sudah berazam untuk kekal di sini. Terserahlah segala-galanya kepada ALlah." Balas Sai'd bin Jubair.

Sangkaan orang ramai terhadap Khalid tepat sekali. Sebaik sahaja dia megetahui tempat tinggal Sai'd bin Jubair, dia terus menghantar tenteranya. Dia mengarahkan mereka supaya membawa Sa'id bin Jubair kepada al Hajjaj yang sedang berada di Wasit

Pasukan tentera pun menyerbu rumah Sa'id bin Jubair. Tangannya digari di hadapan mata para sahabatnya dan dibawa ke hadapan Khalid. Seterusnya, Khalid memerintahkan mereka supaya membawa Sa'id terus kepada al Hajjaj.

Sa'id bin Jubair menerima tindakan mereka ini dengan penuh tenang, Beliau sempat berpesan kepada sahabat-sahabatnya :"Saya sudah tentu akan dibunuh di hadapan orang yang zalim itu. Pernah suatu ketika saya dan dua orang sahabat saya beribadat pada suatu malam. Kami dapat rasakan betapa manisnya doa ketika itu. Kami memohon doa kepada ALlah. Kami tundukkan diri kami kepadaNya. Kami memohon agar ALlah menganugerahkan syahid kepada kami. ALlah telahpun menganugerahkan kepada dua orang sahabat saya tadi, Hanya tinggal saya yang sedang menunggu-nunggu masanya."

Sebaik sahaja selesai berucap, salah seorang anak perempuannya yang masih kecil datang kepadanya. dia kelihatan terpinga-pinga melihat ayahnya digari dan hendak dibawa pergi oleh tentera. Si kecil itu pun meluru dan memeluk ayahnya dan menangis sekuat-kuatnya.

"Anakku, katakan kepada ibumu, kita akan bertemu di syurga dengan izin ALlah." pujuk Said bin Jubair dengan lembutnya.

Itulah kata-kata terakhirnya kepada anaknya sebelum beliau dibawa pergi.

Sa'id bin Jubair

"Said bin Jubair telah dibunuh. Namun seluruh isi bumi ini masih memerlukan ilmunya. " (Ahmad bin Hanbal)

Beliau adalah seorang pemuda yang tegap, segak, cergas dan aktif. Beliau juga seorang yang pintar, berfikiran taham, amat suka melakukan kebaikan dan benci melakukan dosa.

Walaupun warna kulitnya hitam, rambutnya kerinting dan berrasal daripada keturunan Habsyah, namun itu tidak mencacatkan keperibadian dirinya yang istimewa dan unggul. Walaupun usianya ketika itu masih muda.

Anak muda berketurunan Habsyah dan hidup dalam budaya Arab ini, memahami bahawa ilmu adalah jambatan untuk menghubungkan dirinya dengan ALlah. Sementara ketaqwaan baginya adalah jalan penghubung untuk beliau mengecapi syurga. Oleh kerana itu, beliau meletakkan ketaqwaan di kanannya untuk memperolehi kedua-duanya.

Untuk tujuan itu, anak muda ini berkelanan sepanjang hidupnya. Semenjak kecil, orang ramai melihat kehidupan anak muda ini tidak dapat dipisahkan antara mengulangkaji ilmunya atau beribadat di mihrabnya. Anak muda ini adalah contoh keunggulan umat Islam di zamannya.

Anak muda ini dikenali sebagai Sa'id bin Jubair. Semoga ALlah meredhainya dan beliau meredhai ALlah.

Isnin, 19 November 2007

Ayah dan Ibu, Hukuman Adalah Didikan Bukan Kerana Benci.


"Awak kenapa pukul anak saya? Saya tak pernah sikitpun jentik anak saya, awak dah pandai-pandai pukul anak saya!", kata seorang bapa kepada seorang guru.

Mentang-mentanglah berpangkat tinggi, ada kedudukan di mata masyarakat. Yang bertaraf pensyarah pun tidak kurang juga yang mengherdik guru-guru hanya kerana anak mereka dirotan, dicubit kerana kesalahan disiplin mereka. Tidak cukup dengan itu, dihubungi terus jabatan pendidikan negeri, atau melaporkan kepada polis kerana anak mereka dirotan.

Sebenarnya dah lama berasa pelik dan jelak dengan sikap ibu bapa yang seperti ini, terlalu memanjakan anak. Bagiku, walaupun kasih sayang itu wajib diberi, tetapi ada batasannya sehingga jangan sampai anak tersebut memijak kepala orang lain apatah lagi yang mengajar mereka.

Setahuku, zaman dahulu orang Melayu amat menghormati institusi pendidikan terutama sekali profesion guru. Yang menggantikan ibu bapa di sekolah adalah para guru yang tidak kenal penat lelah. "Ambil rotan nih cikgu, pukullah anak saya, didiklah dia menjadi manusia, asal sahaja tidak patah riuk, tidak cedera," begitu yang dikatakan oleh orang-orang dahulu kepada para guru.

Zaman ini, bukan zaman seperti dahulu anak murid amat menghormati cikgu. Jika dilihat guru bersusah payah membawa barang berat, tahu dia merasai kepayahan gurunya untuk membantu. Zaman ini, anak murid bila dimarah guru kerana degil, dia akan menjawab dengan perkataan yang tidak pantas diucapkan. Bila ada sahaja tidak puas hati dengan tindakan guru yang menghukum pasti ada balasan yang dibuat sehabis sahaja waktu sekolah. Di zaman ini, bila guru sedang terbongkok-bongkok menyapu di dalam kelas, anak murid hanya mengangkat kaki sedikit agar sampah di bawah kakinya disapu oleh guru..

Ada satu pendapat, untuk mendidik anak murid zaman ini tidak boleh dirotan, hendaklah dengan menggunakan pendekatan psikologi. Maka aku berfikir, berapa ramai anak-anak yang menjadi manusia dengan pendekatan psikologi yang dikatakan sesuai ini? Berapa ramai anak-anak yang semakin berani mempermain-mainkan guru, sehingga ada guru yang tertekan dengan karenah anak murid. Ditambah dengan sikap segelintir ibu bapa yang kurang mengajar anak sehingga menjadikan anaknya kurang ajar.

Sekolah adalah bukan hanya tempat belajar sahaja, bahkan juga untuk mendidik akhlak, membentuk perilaku, agar apa yang dipelajari menjadi ilmu untuk dihayati sepanjang hidup.

"Didiklah anak kamu bersolat bila mereka berumur tujuh tahun dan rotanlah mereka jika tidak bersolat bila sudah berumur 10 tahun." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dll, sanadnya Hasan seperti dalam Misykatul Mosabih).

Cubalah renungkan maksud hadith di atas, mengapa ada suruhan dari RasuluLLah untuk merotan anak, adakah kerana benci? Melainkan ia bertujuan untuk mengajar, mendidik untuk melentur buluh yang masih rebung.

Lihatlah perlaksanaan hukuman di dalam Islam, ada sahaja hukuman berbentuk sebatan kepada golongan yang berzina dan minum arak. Ia tetaplah hukuman untuk mendidik bagi memberi kesedaran melalui kesakitan. Bagi orang Islam beriman - silalah menjawab persoalanku, di dalam neraka nanti, adakah ALlah akan memberikan pendekatan psikologi (kaunseling) kepada ahli neraka untuk membalas atas kesilapan dosa mereka?

Pendapatku, di dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar. Untuk menerima anak-anak murid yang semakin terdedah dengan pelbagai budaya hedonisme dan kemajuan, hukuman berbentuk rotan adalah relevan. Bahkan jika digabungkan dengan pendekatan psikologi (kaunseling) ia dapat memberikan kesan yang amat baik untuk memperbaiki akhlaq murid.

Guru mana yang tidak sayangkan anak muridnya, cuba beritahu..

Sabtu, 17 November 2007

Masa dan Alam



Masa kian berlalu dari tempatnya, hari beralih, usia berubah, penduduk dunia semakin bertambah, yang meninggalkan dunia tidak pula kurangnya. Alam ini sudah tua, sudah penuh sendat diisi dengan segala jenis manusia. Ia menerima segala bentuk makhluk tidak kira binatang, jin dan syaitan. Pelbagai jenis ragam sifat umat, tidak kira yang Mu’min, Muslim, munafiq, zindiq kafir dan fasiq. Semuanya menjalankan aktivitinya, mencari rezekinya masing-masing, dengan cara masing-masing yang halal dan haramnya, dengan syubhah dan riba’nya. Semuanya tidak lepas dari pandangan Tuhan, tidak lepas dari pengetahuanNya hatta sehelai daun malahan zarah sekalipun. Tidak lupa juga di tulis, disemak oleh para penjaga yang ditugaskan seawal manusia dijadikan ke muka bumi. Selembar demi selembar, lapisan demi lapisan, dosa dan pahala. Masa yang kian berlalu tidak memandang pula ke belakang.

Alam ini sudah tua…menanggung beban pencemaran udara, air, sisa toksik yang dilahirkan sendiri oleh tangan-tangan manusia. Ia sudah uzur ditebuk, digali dan diroboh. Di atasnya berdiri pula pembangunan kemudian dimusnahkan pula dengan peperangan. Alam ini sudah sering pula bergegar, merekah, mengeluarkan air bah (adakah ia menangis ?) kerana dimurkai oleh Allah dengan sebab manusia juga yang tidak penat-penat membuat segala sengketa, maksiat dan dosa tidak kira siang dan malam, pagi dan petang, hujan atau terik, panas atau dingin.

Alam yang Allah jadikan ini bukan muda lagi sejak menerima tetamu dari golongan Adam dan Hawa, sejak menerima pembunuhan pertama manusia oleh qabil, kedatangan Islam, kegemilangan Islam, kejatuhan kerajaan Islam dan peperangan antara sesama saudara seIslam. Semuanya telah dilalui dan dirasai oleh alam yang semakin senja ini.

Masa pula, ia semakin bertambah kencang rasanya, mundurnya tidak pernah, tetapi majunya tidak disedari oleh kebanyakan manusia. Apatah lagi yang lalai dan selalu lupa dengan keadaan dan kedudukan. Sedikit benar yang beringat, tetapi semakin ramai pula yang culas.

Manusia telah diperingatkan di dalam al Quran tetang peri pentingnya masa untuk diguna sebaik-baiknya, telah di nasihatkan oleh Nabi dengan sabdanya. Telah selalu dikhabar-khabarkan di dalam media massa, tidak kira di televisyen, majalah, radio dan sebagainya. Dicerita-ceritakan oleh para guru, pensyarah, penceramah kepada pelajar, murid-murid, ibu bapa dan manusia amnya. Dinyanyikan pula oleh kumpulan nasyid yang ingin menyebarkan dakwah di bumi Tuhan ini. Tetapi berapa ramai yang mengambil peduli hal tentang masa ? Bukankah manusia itu semakin tua tidak selamanya muda, yang hidup akan mati, yang hijau akan layu, yang cantik akan menjadi hodoh dan malaikat tetap setia menjalankan tugasnya, mencatat dan terus mencatat segala amalan kebaikan dan keburukan kita ?.

Masa yang kita lalui, setiap detik dan saatnya semakin pendek, alam ini semakin hampir dengan ajalnya. Ia menunggu-nunggu saat kehancuran, menunggu-nunggu hari yang dijanjikan oleh Tuhan dimana manusia akan dihimpunkan, bersesak-sesak dan berhimpit-himpit. Mereka dicampur-baurkan lelaki dan perempuan, tua dan muda, kaya dan miskin di tambah pula dengan lautan nanah, peluh dan darah. Dan mereka menunggu lagi masa setiap diri dihitung amal kebajikan, timbangan dosa dan pahala. Adakah lulus atau gagalnya dalam peperiksaan yang terpenting ini. Benarlah kata Rasulullah, sekiranya manusia tahu apa yang baginda ketahui, tentu manusia akan lebih banyak menangis dari ketawa dan berterus-terusan beramal ibadah. Sedarkah manusia tentang hal ini ? berapa ramai pula antara kita yang mengingatkan diri sendiri, mengingatkan adik, abang, kakak, ayah, ibu, rakan-rakan, dan mereka yang kita sendiri tahu. Atau sekadar membaca surah al Asr (kalau terbaca) tapi sekadar di lisan sahaja tapi tidak sampai di hati apatah lagi di amalkan dengan perbuatan. Masa semakin pantas bergerak, alam ini semakin tua umurnya…sedarlah, bila lagi ?.

Anak_Pejuang

14 Sya’ban 1422 hijrah

12.45 petang.

Rabu, 14 November 2007

Bersyukur Jangan Kufur..


Belajarlah bersyukur, ada manusia yang tidak belajar syukur lalu ia selalu mengeluh dengan apa yang telah diberikan ALlah.

Surah Ibrahim ayat : 7, ALlah telah berfirman yang bermaksud :

Demi, sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur engkar, sesungguhnya azabKu amatlah pedih.

Belajarlah bersyukur sahabat, terkadang dari segenggam nasi yang kita juihkan kerana tiada lauk yang menyelerakan, ada orang lain yang amat memerlukan makanan yang tidak sedap bagi kita itu. Dan anak-anak pula ketika memerhatikan, lalu mereka juga akan berkata "tak seleralah nak makan harini, lauk tak best". Sedangkan mereka tidak belajar susah payahnya untuk mendapatkan sebutir beras.

Kadang-kadang, dari pakaian yang kita bising-bisingkan kerana ia tidak lawa, dibuangkan sahaja ke dalam tong sampah. Duit satu atau lima sen yang dijumpai kita sepak-sepakkan. Mentang-mentanglah nilainya amat rendah ketika ini.

Kita sibuk memandang kepunyaan orang lain, itu yang dikehendaki, itu yang diingini.

Lihatlah di kiri kanan, orang yang hidupnya melarat, yang kematian keluarga, yang hilang pancaindera. Entah berapa kali apabila mendapat kejayaan, mendapat ketenangan kita mengucapkan syukur. Tuhan... Aku bersyukur pada hari ini, Engkau sudi memberi rezeki.. Tuhan terima kasih memberiku peringatan, hari ini aku kesandung, aku susah adalah kerana kasih sayangMu jua untuk aku selalu selidik tentang kesilapan diri.

Kita juga yang mengajar anak-anak, adik-adik, isteri dengan kemewahan. Mungkinlah agar mereka tidak merasa susah seperti kita. Lalu ada juga kesan buruknya. Bila sudah terbiasa dengan sesuatu, maka itulah juga yang akan diungkit-ungkit apabila menghadapi kesukaran. Jadilah mereka manusia yang jarang hendak berusaha. Hanya tahu menerima tidak tahu memberi..

Belajarlah bersyukur, jangan jadi kufur... entah berapa ramai juga yang sudah diberi kemewahan lupa memandang ke bawah. Mungkin akibat gah maka ia selalu mendongak ke langit. Sedangkan di setiap kemewahan ada haknya untuk orang yang susah, janda-janda yang kehilangan suami, pelajar-pelajar yang kesempitan wang, terpaksa mengikat perutnya untuk belajar. Juga untuk anak yatim, orang yang miskin di dalam kesakitan tiada pula duit untuk mendapatkan rawatan.

Hadith dari rasuluLLah yang bermaksud : " Sesungguhnya ALlah redha kepada hambaNya yang apabila makan ia mengucapkan syukur ke atasNya dan apabila minum ia mengucapkan syukur kepadaNya." (Riwayat Muslim)

Tunggulah, bila nikmat mula ditarik balik, bila lidah hilang lazatnya, mata hilang kecantikan pandangan. Bila harta mula hilang dan tiba-tiba kita terduduk bila kejatuhan bertimpa-timpa. Dan orang kiri kanan mula menjauh.... Mungkin kita akan teringat kembali apa yang sudah kita syukurkan selama ini......

Orang Kita - 5

Peniaga kita juga ke tu yang menggunakan cara kotor nak melariskan perniagaan, digantung tangkal penuh di depan kedai, diburuk-burukkan nama orang yang sama-sama nak carik makan? Kita juga yang kata zaman sekarang zaman millennium, zaman pembaharuan, zaman kemodenan. Tapi kenapa perangai masih macam zaman jahiliyyah yang hilang ketamadunan ?

Lagi-lagi orang kita juga yang selalu mukanya terpampang di dada-dada akhbar, yang ditangkap khalwat berdua-duaan, yang dituduh merogol, mencuri, menyeleweng duit rakyat. Yang berjasa mencipta nama membantu manusia boleh dikira, tapi yang berjasa membuat kejahatan tak terkira. Siapa lagi, orang kitalah tu.

Orang-orang kita, cuba cermin-cerminkan diri kita ini, berapa banyak lagi kita nak solek muka agar orang tak nampak kehodohan wajah kita yang sebenarnya, kalau muka dah tua pun akhirnya bocor rahsia juga apatah lagi bila berhadapan denganNya. Berapa banyak lagi hati orang yang kita nak main-mainkan padahal mereka satu bangsa juga dengan kita, mereka itu seagama dengan kita, bersaudara !!. Malulah sikit dengan malaikat kanan kiri, yang selalu mencanting di bahu kiri juga bukan bahu kanan. Kalau dengan makhluk di kiri kanan pun kita tak malu apatah lagi dengan Tuhan. Insaflah… sampai bila kita nak jadik macamni ? takkan sampai nafas di tenggorokan atau matahari terbit dari barat baru nak sedar diri….sedarlah, bila lagi ?

Orang Kita - 4

Remaja lelaki kitakah itu, yang bergaduh hanya kerana berebut perempuan, mati katak di tengah jalan. Sedangkan emak menyabung nyawa nak melahirkan. Remaja kitalah juga yang sanggup berembun jantan, membawa anak dara orang ke sana sini. Hingga terjual harga diri. Cuba beri jumlah, berapa ramai pelajar lelaki yang menuntut ilmu dunia dan akhirat untuk kegunaan di kemudian hari?

Remaja perempuan kita sanggup bermekap tebal tak cukup pipi, untuk dipandang-pandangkan kepada lelaki. Mreka juga yang melaung-laungkan serata alam menuntut persamaan hak dengan lelaki. Tapi kehendak syariat tak pernah dipenuhi. Merekalah juga yang menangis sampai lupa diri, hanya kerana putus cinta., teman lelaki dibawa lari, kononnya dulu nak hidup semati.

Majlis perkahwinan orang kitalah tu, yang sanngup perhabis duit. Katanya sekali seumur hidup, kemudian berhutang hingga 7 keturunan pun tak cukup. Lagu karaoke, artis-artis mereka hidangkan. Bukannya bacaan al Quran atau sekurang-kurangya lagu yang bermesej baik jadi santapan. Kononya itulah kemodenan.

Siapakah yang membina kubur begitu indah? Dihiasi dengan batu marmar hingga tak mahu kalah? Kuburan kan tempat mengingat kematian, bukan tempat bersuka-sukaan atau menunjukkan keriakan hingga menjadi sebuah taman? Yang sudah pergi tertunggu-tunggu kiriman doa, pahala sekurang-kurangnya ringan azab di sana. Tapi kita memberatkan pula dengan sanjungan, atau iri hati dari orang-orang yang kesusahan.

Orang kita juga yang dulu mengaku bersaudara, bila yang miskin sudah berharta, lalu berbondong-bondong datang ke rumah membawa buahtangan, kononya nak eratkan tali persaudaraan. Tapi bila datangnya kesusahan, yang namanya saudara sedarah sedaging pun tak mengaku bersaudara. Sebab saudaranya hanya kerana harta bukan kerana lillahhita’ala.

Orang politik kita juga tiba-tiba sibuk ingin menolong orang miskin masa berkempen. Jalan tanah yang becak sehari pun boleh bertar dalam sekelip mata. Yang kelulusan doktor turun padang nak tolong mengubat. Tapi bila sudah menang, bila sudah bergelar yang berhormat nak turun melawat pun katanya tak larat sebab perut dan berat, kaki dah penat, mata nak berehat.

Orang kitakah itu yang berpakaian seperti Britney Spears dan Christina Angluiera di lorong-lorong gelap. Jalannya seperti seorang model yang berpendapatan tetap Katanya mencari rezeki halal, tapi dengan menukar jantinanya, lelaki kepada pondan, pondan kepada perempuan. Sayang suaranya tetap jantan juga Cuma kali ini perangainya tak berlebih kurang macam binatang. Katanya itu sudah taqdir. Allah juga disalahkannya. Orang kita juga yang namanya Salim ditukar kepada Sally. Kasim kepada Kamisah. Nama elok-elok pulak tu.

Orang Kita - 3

Remaja kitakah itu, yang duduk di tepi-tepi jalan sambil memetik gitar irama ‘grunge’ di tengah-tengah malam, mengusik anak dara orang? Kita ketawa melihat orang lain terjatuh. Apa yang menggelikan hati sangat sampai kita terkekeh-kekeh menahan gelak ketawa? Orang yang jatuh bertambah sakit hatinya bercampur malu. Manusia , tak habis-habis menjatuhkan air muka orang lain, suka mencari kelemahan orang lain, tapi tak pernah menunding jari ke muka sendiri.

Orang kitalah yang gelap mata, bila nampak harta di depan berlonggokan. Yang sanggup menjual tanah, wangnya dijoli sana-sini. Lupa pula menyedekahkan pada yang faqir apatah lagi untuk ke tanah suci mengerjakan ibadah haji. Kitalah juga yang membuat bidalan, biar mati anak, jangan mati adat. Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tingal-tinggalkan.

Orang kita juga yang menghabiskan masa di taman-taman, di malam buta. Orang lain meyuntik ilmu, menghisab diri. Orang kita sibuk menghisap benda haram, menyuntik jarum ke badan sendiri. Yang selalu berkeliaran di tengah-tengah bandar, meminta simpati itu siapa? Orang kita juga. Badan sihat tapi tak reti untuk berdikari, mengemis sana-sini. Orang lain dah terbang ke bulan. Kita sibuk bermain dam, berangan-angan.

Orang kitakah yang senang terpengaruh dengan skim cepat kaya?, sanggup bergolok gadai kerana gula-gula disangka permata?, menangis hanya kerana menonton cerita dari India?. Muda mudi kita sibuk membotakkan kepala, kononnya ingin bebas merdeka. Yang perempuan sibuk mengecilkan dan menyingkatkan pakaian. Jangan dikata ajaran Islam, adat ketimuran pun mereka buang.

Orang kita jugakkan, yang dah jadi emak bapak sibuk dengan kerjaya . anak di rumah tunggang-langgang tanpa diberi kasih sayang. Duit diberi berlebihan setiap bulan. Tapi nak duduk bersama berbincang masalah dan masa hadapan anak-anak pun tak sampai 5 minit dah jadi tak keruan.

Orang Kita - 2


Anak-anak kitakah itu, yang menari seperti ulat gonggok, terkinja-kinja seperti beruk? Tak kenal siang dan amalam, apatah lagi bersembahyang. Berpeluk-pelukan dengan mahram tak kira lelaki perempuan?. Kita tak pernah mengambil iktibar dengan sejarah. Apatah lagi mengisikan masa dengan ilmu pengetahuan yang berfaedah. Cakap, berapa ramai orang-orang kita yang menjadi alim ulama’, mengubah zaman yang gelap kepada terang dibanding dengan yang duduk di kandang-kandang dan membuang anak secara haram ?

Dan anak-anak kitakah itu juga yang membuang nasi hasil titik peluh dan tangisan orang yang susah membanting tulang mengerjakan sawah bendang? Hanya kerana membanding-bandingkan ia dengan makanan yang rangup serupa KFC dan Pizza Hut maka keperitan ‘mereka’ dilupakan? Salah ibu bapa juga yang membesarkan anak dengan kemewahan, kalau salah sikit marah pun tak pernah, apatah lagi nak mencubit. Lain kali jangan kahwin jika sedar diri tak berkemampuan nak bertanggungjawab kepada keluarga.

Kaki kitakah itu yang selama ini melangkah ke pusat-pusat empat nombor ekor? Dengan duit seringgit diharap menjadi sejuta ringgit, anak-anak di rumah sanggup ditinggal kelaparan, barang kemas isteri digadai. Dan kaki kitakah juga yang melangkah ke pub-pub dan disko, semata-mata terpaut dengan gro? Atau tertarik dengan lagu-lagu dangdut yang bersimpang siur?. Malaikat Maut sentiasa melawat kita. Kita pulak suka-suka melupakannya. Buku-buku ilmiah itukah yang kita langkah-langkahkan? Darjatnya yang tinggi diletakkan di bawah kaki.

Orang-orang kita yang selalu berbicara mengenai perpaduan bangsa, tapi tak pernah berbicara perpaduan agama. Tentunya Agama Islam. Kita senang kalau soal agama diperkecil-kecilkan, malah boleh diejek-ejek. Siapa lagi kalau bukan dengan si kafir yang tak tahu budi perkerti !

Orang Kita

Orang Kita

Manusia hilang pedoman bila berbicara mengenai perempuan apatah lagi berbual dengannya. Bila melihat sesuatu yang menyeronokkan. Tika terasa kegembiraan. Hati yang terasa gundah tika matinya orang yang tersayang. Kecewa hati kerana yang sementara telah pergi. Apa tidak cukupke dengan apa yang Allah dah bagi? Maka hendak ditambah lagi dengan 7 lautan permintaan? Tapi sayang lafaz syukur tak pernah diucapkan. Kenapa nikmat orang lain kita intai-intaikan kemudian diadun dengan hasad dengki tak berkesudahan. Orang kita selalu menikam belakang kawan, mulut tak lepas dari umpatan, adu domba kemudian mereka akan tertawa kepuasan bila kawan bermusuh-musuhan.

Bila hati sudah gila kepada pangkat dan nama , tentu budi mereka berani gadaikan , maruah sendiri ditelanjangkan. Bila sudah berpangkat , kuasa digenggaman.Maka orang bawahan diinjak-injakkan sebab niat bukan kerana Allah tetapi kerana nafsu syaitan.

Orang kita itulah juga yang selalu merungut-rungut , membentak-bentak, menyesali taqdir, bila Allah turunkan sedikit ujian. Padahal ujian yang diberi amat kecil dibanding dengan nikmat yang dikecapi selama hidup di muka bumi. Bila sudah berkeadaan demikian, maka mulalah dia mencari salah orang lain. Itu tak kena , ini tak kena, tak terkecuali pencipta alam ini pun disalahkan juga. Maka berapa ramai antara kita yang ingin mencabar alam, dicipta benda itu dan ini. Kononnya untuk kemaslahatan umum. Sedangkan kerosakan yang dilakukan lebih besar dari kemudahan dan kebaikan.

Orang kita jugakkan, yang suka mereka-reka cerita bohong dan khabar-khabar angin. Yang sekecil kuman dibuat onar menjadi sebesar gajah. Lalu orang yang tak bersalah dipenjarakan, yang sepatutnya dihukum bebas berkeliaran. Manakala yang ingin menjadi baik diburuk-burukkan , dikata itu dan ini. Hingga orang yang nak menjadi manusia kembali menjadi seperti haiwan.

Orang kitalah tu, yang selalu mengatakan muda biar dihabiskan dengan enjoy dan taubat bila sudah beruban di kepala..

Orang kita juga , bila ilmu baru secebis di dada, lalu didebat-debatkan di hadapan umum. Tentunya orang umum itu tentunya adalah orang yang kurang berpelajaran. Tapi tak pernah digunakan ilmu itu untuk kemajuan , kemaslahatan ramai. Apatah lagi untuk agama sendiri. Tentunya Agama Islam.

Jumaat, 9 November 2007

Aku dan Sesuatu

Aku

Tolehlah ke belakang,

Tenung dengan akalmu yang panjang

Adakah hadirmu benar-benar diundang

Aku

Kurnia Illahi memberi

Seribu erti buat bonda dan ayahanda

Memikul janji,

Aku

Dari sebesar tiga jari

Hingga engkau dipuncak tinggi

Terbalaskah budi..

Jika kejayaan ini,

Hanya untuk dirimu sendiri,

Aku

Sampai susah waktunya

Engkau perlu bersemuka,

Dengan kewajibanmu

Pada bonda dan ayahanda

Aku

Apakah nasib

Apalah khabar

Mereka berdua

Di pinggir sana

Aku! Tolehlah ke belakang

Masih ada hutang

Yang wajib engkau tebus

Sebelum mereka berdua

‘DIJEMPUT PULANG’ (Nukilan Aie 99 - Majalah Aku dan Sesuatu)

Abu Hanifah An Nu'man dengan golongan mulhid


Suatu kisah lagi diceritakan, suatu ketika, Abu Hanifah bertemu dengan sekumpulan mulhid yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan yang mencipta alam ini. Dengan penuh kebijaksanaan, beliau mengemukakan satu persoalan kepada mereka :

"Apakah pendapat kamu tentang sebuah kapal yang sarat dengan barangan dan muatan. Kapal ini dilambung gelombang laut yang bergelora dan dipukul angin ribut. Walau bagaimanapun, kapal ini denan tenang meneruskan pelayaran menuju haluannya tanpa sebarang masalah dan tidak tersasar sedikitpun sedangkan tiada seorang pun yang mengemudinya atau seorang jurumudi yang menentukan arahnya. Apakah ini logik menurut fikiran engkau?"

Orang-orang mulhid itu dengan pantas menjawab : "Tidak, ia sudah tentu tidak dapat diterima akal, wahai sheikh."

Abu Hanifah dengan penuh yakin membidas si mulhid:"Maha suci ALlah!! Kamu tidak menerima sebuah kapal dapat belayar dengan baik jika tidak dikemudi oleh seorang jurumudi tetapi kamu menerima jika alam ini dengan lautannya yang meluas, kapalnya yang belayar, burung berterbangan dan haiwan bebas boleh wujud tanpa sebarang pembuat yang membuatnya dengan baik atau oleh seorang pentadbir yang mentadbir dengan baik. Binasalah kamu kerana pendustaan kamu."

Khamis, 8 November 2007

Abu Hanifah An Nu'man


Orangnya kacak, tampan, berbudi bahasa dan manis tutur kata. Tubuhnya tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Ditambah pula dengan pakaiannya yang kemas, segak dan harum semerbak. Daripada harumannya orang ramai boleh menyedari kehadirannya walaupun tanpa melihatnya.

Itulah Al Nu'man bin Thabit bin al Marzuban atau nama panggilannya, Abu Hanifah. Orang pertama yang menonjolkan fikah Islam dan orang pertama yang memperlihatkan kehebatan fikah ini.

Beliau berkesempatan untuk hidup pada akhir zaman pemerintahan Bani Umayyah dan permulaan zaman Bani Abbasiyyah. Pada zaman beliau hidup, para khalifah dan pemerintah sentiasa mendampingi mereka yang berkebolehan hingga mereka ini hidup dalam keadaan mewah dan rezeki mereka datang mencurah-curah tanpa dicari-cari.

Namun demikian, Abu Hanifah tetap menjaga harga diri dan nilai ilmunya. Dia berazam untuk bergantung hanya pada hasil tangannya sendiri. Dia mahu tangannya sentiasa di atas.

Antara satu daripada kisahnya : Hafs Bin Abdul Rahman adalah rakan kongsi Abu Hanifah dalam beberapa urusan perniagaan. Abu Hanifah akan menyiapkan barangan yang diperbuat daripada bulu dan menyerahkannya kepada Hafs bin Abdul Rahman untuk dijual di beberapa kota Iraq.

Suatu hari Abu Hanifah berjaya menyiapkan sejumlah besar baju untuk dijual. Walau bagaimanapun beliau tidak lupa untuk memberitahu Hafs bin Abdul Rahman tentang kecacatan yang ada pada beberapa helai baju tersebut. Abu Hanifah berpesan kepada Hafs "Jika engkau ingin menjual baju ini, beritahulah pembelinya tentang kecacatan yang ada."

Hafs berjaya menjual kesemua baju-baju tersebut tetapi dia terlupa memberitahu pembeli tentang kecacatan yang ada pada baju-baju tersebut. Puas dia cuba mengingat orang-orang yang membeli baju yang cacat, tetapi tidak berjaya.

Apabila Abu Hanifah mengetahui perkara itu dan dia tidak berjaya menemui orang-orang yang tertipu itu, beliau merasa tidak senang hati. Akhirnya beliau memberikan kesemua hasil jualan tersebut sebagai sedekah.

..........................................................................................................................................................................

Selain itu, Abu Hanifah juga adalah seorang yang sentiasa berpuasa, bersembahyang malam dan mendampingi al Quran. Salah satu sebab beliau memperbanyakkan ibadatnya ialah pada suatu hari beliau terserempak dengan beberapa orang yang sedang berbual. Beliau terdengar mereka berkata ;"Orang yang kamu lihat ini tidak tidur sepanjang malam."

Apabila mendengar sahaja kata-kata mereka itu, terdetik dihatinya :"Di hadapan mereka saya sebenarnya berbeza sama sekali dengan saya di hadapan ALlah. Demi ALlah, semenjak hari ini mereka tidak akan katakan lagi apa yang saya tidak lakukan. Saya tidak akan tidur lagi pada waktu malam sehinggalah saya bertemu dengan ALlah."

Semenjak hari itu, beliau mendirikan sembahyang sepanjang malam. Setiap kali malam berlabuh menutup tirai dan semua manusia berdengkur, beliau akan bangun dengan berpakaian kemas, menyikat janggutnya, memakai haruman dan berhias. Beliau akan berdiri di mihrabnya menghabiskan masa malamnya dengan bersembahyang atau membaca al Quran atau bermunajat kepada Tuhan.

Kadangkala beliau membaca seluruh al Quran dalam satu rakaat dan ada kalanya beliau menghabiskan sepanjang malamnya dengan hanya satu ayat.

Pernah diceritakan bahawa suatu malam beliau menghabiskan masa malamnya membaca berulangkalu firman ALLah Azza wa Jalla :

"(Bukan kekalahan itu sahaja), bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya). Dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit." (Maksud Al Qamar:46)

Dia menangis teresak-esak kerana takutkan ALlah. Suaranya mendayu-dayu sungguh menyayat hati.

Kisah Tabi'ien

Insya ALlah jika ALlah sudi lagi berikan kekuatan, maka akan kusampaikan sedikit mengenai kisah para tabi'ien. Siapakah tabi'ien? Iaitu mereka yang dapat bertemu dan mengikuti para sahabat rasuluLLah tetapi tidak dapat bertemu dengan rasuluLlah.

Antara tabi'ien yang terkenal adalah :

  1. Abdul Rahman al Ghafiqi
  2. Abu Hanifah al Nu'man
  3. Abu Muslim al Khaulaani
  4. Al Ahnaf bin Qais
  5. Al Hasan al Basri
  6. Al Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar
  7. Amir bin AbduLlah al Tamimi
  8. Amir bin Shurahabil
  9. Ato' bin Abu Rabah
  10. Iyas bin Muawiyah al Muzani
  11. Muhammad bin al Hanafiyyah
  12. Muhammad bin Sirin
  13. Muhammad bin Wasi' al Azdi
  14. Al Rabi' bin Khuthaim.
Semua kisah ini aku akan ambil dari sumber rujukan utama iaitu : suwar min hayat at tabi'ien (Kisah-kisah kehidupan para tabi'ien) li Dr Abdul Rahman Ra'fat al Basha. Terbitan Pustaka Salam.

Rabu, 7 November 2007

Angkasawan di angkasa

Sheikh Muzafar dah sampai ke angkasa (walaupun dia tak berterbangan di ruang angkasa) tetapi kat Soyuz pun kiranya bagus juga. Ada orang bertanya apa signifikan dari kejayaan dr ini ke angkasa dan perkaitannya dengan agama? Tidak bolehkah dimasukkan di dalam silibus pelajaran yang sedia ada?. - Soalan nih ditujukan untuk sekolah agama kerajaan negeri Johor.

Maka fikiranku menerawang sebentar memikirkan mengenai kehebatan ALlah di dalam penciptaan langit dan bumi. Langit yang tidak mempunyai tiang serinya, tetapi dipegang oleh para malaikat. Jika lah mereka tahu tentang kehebatan sifat mutlaq ALlah. FirmanuLlah yang bermaksud :

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palastin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ”. (al Isra' ayat 1)

“ dan tiadalah kami menjadikan ( pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai suatu ujian bagi manusia ; dan (demikian juga kami jadikan) pokok yang dilaknat didalam al-Quran; dan kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semua itu tidak manambahkan keimanan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau”. ( Surah al-Isra' ayat 60 )

Bagiku sesiapa yang benar mengikuti pelajaran sekolah Agama, tentulah tidak asing lagi mengenai pelajaran yang bersangkutan dengan angkasa (langit) secara tidak langsung. Walaupun tidak diperincikan mengenai astronomi, kehidupan di angkasa. Tetapi diajarkan bagaimana mencari arah kiblat dengan menggunakan bintang yang bertebaran di langit, sebagai penunjuk arah. Juga matahari dan bulan serta berlakunya gerhana sebagai tanda-tanda kejadian fenomena alam dan sebagainya.

Maklum sajalah, mentaliti kebanyakan umat Islam zaman ini, bila akademik dipandang tinggi dari pelajaran agama. Dianggap pelajaran agama remeh, UPSR, PMR, SPM, STPM penting!. Biarlah anak-anak sampai menara gading ambil jurusan kritikal katanya. Sebab itu boleh sahaja sekolah agama diponteng-pontengkan.

Aku melihat satu bias dan diskriminasi terhadap matapelajaran agama telah berlaku. Dan natijahnya kini, ramai umat Islam terpinga-pinga tentang kehebatan ilmu Islam yang digali dari al Quran dan Hadith. Lihat sahaja pakar astronomi seperti Ibnu Yunus.

Aku ambil sedikit biografinya dari Majalah Tokoh Bilangan 1 (majalah nih terbit sekali je lepas itu ditutup entah kenapa)

Ibnu Yunus : (4H/10M) Pakar astronomi/Matematik

Nama sebenar : Abu Hassan bin Ali bin Abi said Abdul Rahman bin Ahmad al sadafi.

Lahir : Di Kaherah Mesir dan meninggal juga di sana.

Latarbelakang : merupakan seorang yang teliti dalam pengkajiannya dan kajiannya dijadikan asas dalam menentukan tarikan graviti bulan.

Sumbangan:

1. Usaha-usaha beliau banyak membantu dalam pengiraan miring pusingan buruj dan menyelesaikan perbandingan trigonometri yang digunakan oleh ahli falak sebelum adanya logarizam.

2.Membina tempat kajian falaknya di bukit Muqattam, Kaherah. Beliau telah melahirkan sebuah taqwim dalam empat jilid.

Aku berpesan kepada diriku dan sahabat yang ingin mengambil tahu, jika kita benar-benar ingin mengembalikan tamadun Islam nan gemilang. Berbanggalah diri kita sebagai orang Islam, dengan ajaran Islam. Dengan apa yang Islam berikan. Aku tidak melihat kekuatan Islam itu melainkan dengan jalan ilmunya, iman dan kesatuan umat Islam.


Islam itu tertinggi dan tiadalah tertinggi melainkan agama Islam.

Ahad, 4 November 2007

Hiburan dan Orang Kita


Muzik adalah hiburan yang memberikan riadah kepada akal ketika sesak. Kengkadang cuba untuk mendapatkan motivasi dari bait-bait lagu yang disampaikan.

Dari desiran bunyi angin, suara beburung yang keluar dari lidah mereka. Tentu juga dari bunyi-bunyian cengkerik, dan bermacam lagi ciptaan ALlah- itulah yang membentuk muzik secara alami. Muzik ada bermacam pendapat, yang ekstrim mengatakannya terus HARAM tanpa kecuali. Ada juga yang sederhana. Aku berpegang pada pendapat yang membolehkan hiburan muzik ini. Sila rujuk di link bawah :

http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/40349.html

Ada yang lagi best, mak ayah yang menjadikan muzik sebagai satu sumber untuk mempamerkan anaknya dan sumber rezeki di dalam keluarga. Tetapi bukan dengan cara yang benar. Patutkah anak-anak yang kecil diajar menyanyi lagu cinta, gelek, menari,memakai pakaian yang membuka aurat? "Tuh, anak aku lah yang menyanyi dalam tv". Lalu tersenyum bangga. Terasa orang kiri kanan memuji dan iri hati dengan pencapaiannya.

Apa agaknya amal jariah yang nak dibawa oleh ibu dan ayah nanti di alam barzah dengan pertanyaan 2 hamba ALlah yang tidak putus-putus menyoal?

Mentaliti kebanyakan umat Islam di Malaysia, bangga dengan artis, suka dengan lagu yang memuja wanita, lagu yang mengajar cara-cara mengorat perempuan (ADAM AF?), tangkap leleh. Apa yang didengar akhirnya mempengaruhi tindakan dan emosi. - Semoga ALlah beri hidayah pada dia dan kami semua.. Amiinn

Jadilah umat Islam semakin mundur, kerana fikirannya diracuni oleh mesej-mesej yang pesimis, negatif. Antara senarai lagu yang mempunyai judul nama wanita - ISABELLA, FATIMAH, JUNAIDAH, TIARA, MAS MONA, MARIA. Yang menyanyi pulak tuh orang lelaki. Ada lagu untuk orang lelaki?

Lagu rock bermesej yang ok bagiku macam kumpulan AMUK, AhliFiqir, XPDC (Nih suma kena pilih la lagunya) dan beberapa kumpulan lain.

Lagu nasyid pulak - trendnya dah berubah. Masa zaman-zaman kegemilangannya, (walaupun dari pertubuhan al Arqam atau rufaqa'), setiap lirik dan melodinya benar-benar menyentuh hati. Mengajak jiwa mengingati ALlah, insaf dan sedar. Pada tahun 80 - 90an, kumpulan Raihan, Saujana, Hijjaz, Qatrunnada', Lambaian Kasih, Mirwana, Brothers, Alarm Me, NowSeeHeart dan sebagainya - masih lagi boleh dibanggakan.

Kini? Zaman kepupusan irama nasyid yang mengajak diri kepada ALlah, makin kurang yang membangkitkan semangat jihad. Katanya - Lagu cinta ikut trend remaja, kononlah mengajak menyintai ALlah. Hakikatnya berapa ramai yang ingat ALlah dengan ajakan seperti itu? Kebanyakan album tak lepas dari mesej cinta.

Hiburan tak salah, yang bersalah adalah orang yang menyalahgunakan hiburan..

Sabtu, 3 November 2007

Apa yang diajar, Itulah yang ditiru.

Satu dari ahli psychologist barat bernama Albert Bandura telah mengadakan satu kajian mengenai peniruan di dalam pembelajaran. Teori yang dinamakan modelling ini menceritakan tingkahlaku agresif yang ditunjukkan oleh orang dewasa akan mudah ditiru oleh kanak-kanak.Ini dibuktikan melalui satu ujian yang dijalankan iaitu 'bobo doll experiment' Pembelajaran melalui pemerhatian adalah perkara yang selalu dibuat oleh kanak-kanak seumur dari 1 tahun hingga 12 tahun.

Sebenarnya di dalam hadith telah lama diterangkan, Dari Abi Hurairah ra. bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (HR Bukhari 1296)

Benar, ibu bapalah yang mencorakkan anak-anaknya untuk menjadi 'apa' di masa hadapan. Budak kecil suka meniru dari segi perkataan. Paling mudah bila diajar cakap kesat seperti 'bodoh' dan perkataan yang baik contoh : diajar berzikir "ALLAH". Kanak-kanak paling mudah mengikut apa yang ditonton dan akan dicuba. Apatah lagi sekiranya perkara tersebut ditunjukkan berulang kali.

Anak akan belajar paling asas adalah dari dalam perut ibunya, apa yang didengar, apa yang dimakan. Patutlah ibu mengandung yang cepat marah, 'kenannya' akan sampai kepada anak. Tentu jika diperdengarkan dengan lagu mozart, beethoven, kitaro - mudah agaknya ia bertenang dan berdendang. Baiklah diajar ayat al Quran supaya cepat mengenal Tuhan.

Moral of the story?...

Jumaat, 2 November 2007

Memahami Keutamaan V (Kualiti atau Kuantiti)?


Seperkara yang perlu kita perhatikan adalah antara mendahulukan kualiti dan kuantiti dalam pekerjaan. Al Quran amat memandang berat mereka yang hanya melihat kepada kuantiti berbanding kualiti. Contohnya : Terdapat golongan yang hanya ramai sahaja tetapi terdiri dari orang yang tidak berakal, tidak berilmu, tidak beriman dan tidak bersyukur.

Kisahnya umat Islam begini :

1. Berapa ramai yang solat?
2. Yang tahu mengenai sirah rasuluLLah?
3. Terlibat dengan rasuah?
4. Gejala Sosial?
5. Reti membaca dan faham, menghayati al Quran?
6. Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup?
7. Institusi keluarga berterabur akibat PENCERAIAN?
8. Reti bersyukur atas harta yang ada?
9. Mengambil kisah mengenai halal dan haram dari sumber rezeki?
10.Mengutamakan agama di dalam pendidikan di samping pembelajaran akademik?
11.Lelaki yang boleh diharapkan sebagai pemimpin Islam?
13.Wanita yang boleh diharapkan menjadi wanita mukminah?
13.Ibu dan ayah yang semakin hilang kasih sayang kepada anak-anak akibat sibuk bekerja.
14.Ibu dan Ayah yang di rumah tidak tahu mendidik anak, tidak bersolat, tidak berpuasa.
15.Lihatlah dan nilaikan sendiri kualiti yang ada pada umat Islam dan diri kita masing-masing.

Lihatlah bagaimana ALlah menanggapi mengenai kualiti berbanding kuantiti :

ALlah berfirman yang bermaksud : "Akan tetapi kebanyakan mereka tidak memahaminya". (surah al Ankabut 29:63)

ALlah berfirman yang bererti : ... Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman. (Surah Hud 11:17)

ALlah berfirman yang bermakna : ...akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. (Surah al Baqarah:2:243)

dan lagi firmanNya yang bererti : ...dan sedikit sekali hamba-hambaKu yang berterima kasih. (Surah Saba' : 34 : 13)

Berapa ramai manusia yang boleh diharapkan memberi sesuatu kepada umatnya,dapat berlaku adil kepada orang lain?

Ada antara kita yang sibuk hendak menyelesaikan pekerjaan dengan banyak sekali, tetapi semuanya tidak sempurna.

RasuluLLah pernah bersabda : Manusia bagaikan unta. Di antara beberapa ratus ekor unta itu belum tentu engkau dapat bertemu dengan seekor unta yang boleh dijadikan sebagai tunggangan. Diriwayatkan oleh Muttafaq 'Alaih, daripada Ibn Umar. Lihat al Lu' Lu; wa al Marjan (1651).

Jom kita memikirkan soal kualiti!

Khamis, 1 November 2007

Tribute to Our Mudiroh

Harini Guru Besar sekolahku - Ustazah Habibah bte Ahmad mengucapkan salam perpisahan, kerana beliau telah dipindahkan oleh Pejabat Pendidikan untuk mengajar di sekolah agama yang lain. Semoga beliau bertambah cemerlang di dalam profesion perguruan. Dan sepanjang yang kukenal, beliau adalah seorang guru yang berdedikasi di dalam menjalankan tugas.

Dalam menghadapi cabaran pengajaran dan pembelajaran serta mentadbir sekolah, beliau sentiasa tabah dan senyum di bibir. Dan dari kisahnya aku semakin belajar tentang sebuah perjalanan hidup..

Terima kasih ustazah.

Sesungguhnya di dalam kesusahan bersama dengannya kemudahan, dan sesungguhnya di dalam kesusahan bersama dengannya kemudahan - Surah Al Insyirah : 5-6

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 6 (Akhir)

Wahai anak-anakku, perhatikan baik-baik anak perempuanmu, tentang perihal keperawanannya, sifat malunya. Sedarlah anakku, di waktu yang mendatang ini, mereka adalah fitnah yang paling besar ke atas kaum adam. Jika engkau mengawalnya maka engkau berjaya dari julangan api neraka. Sungguh fitnah mereka amat hebat disebabkan wanita itu lemah fikirannya dan bila didorong nafsu mereka akan melampau batas keperempuanan yang telah ditetapkan Tuhan. Nasihatilah mereka dengan berhikmah untuk selalu perbaiki diri, amalan dan ketaatan pada Tuhan dan RasulNya. Wahai, bila sifat malu telah hilang dari hawa dan diri manusia, engkau akan lihat akibatnya....

Wahai anak-anakku, perhatikan juga hal ehwal anak lelakimu, mereka adalah para pemimpin yang dilahirkan untuk memimpin. Sifat lelaki itu adalah gagah untuk membina kekuatan ummah, untuk bergerak dengan tenaga dan fikirannya membangunkan tamadun Islam. Jadikan mereka berilmu, bukan yang hanya bernafsu.

Wahai anak-anakku, jika engkau berjaya menta’dibkan mereka dengan tauhid, syarak dan akhlak, berbahagialah engkau kerana berjaya melahirkan para pejuang agama, engkau telah mematuhi perintah Allah dan RasulNya untuk menjadikan mereka khalifah di mukabumi ini dengan keadilan. Bila diri terpimpin, maka disiplin akhlak itu akan berpengaruh dengan sendirinya pada keluarga, teman-temannya dan masyarakat umumnya. Aku bimbang benar dengan keadaan lelaki kini, hanya kerana rupa, bentuk badan, suara sihawa mereka jadi tunduk dan menikus, jatuh menjadi hamba kepada hawa nafsu binatang. Tak perlulah aku coretkan panjang selagi engkau sendiri culas untuk menyemak kembali tentang sirah rasuluLLah dan para sahabat mengenai tanggungjawab sebenar seorang pemimpin.

Bagaimana pula dengan diri ini... Ya Allah, aku telah menyampaikan sedayaku.. Jika kebaikan yang aku tunjukkan sebenarnya adalah dosa-dosaku, katakanlah bagaimana aku dapat dimaafkan lagi.....Ya Allah!...ampunkan dosaku..

Dengan tekun dan berhati-hati yang membaca dan mendengarnya. Kertas kusam itu diletakkan baik-baik oleh anak-anak arwah perempuan tua di dalam ’hati’ mereka....

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 5

Maaf anak-anakku, pena ini kutuliskan kerana berat benar sangkaanku bahawa waktu telah semakin dekat, terkadang malam yang berlalu menyukarkan mata ini uintuk tidur selagi tidak meluahkan sesuatu buat tatapan kalian. Maaf anak-anakku terkadang terasa diri ini menyusahkan kamu semua. Diri ini telah tua untuk menjaga diri. Tetapi aku merasa bertuah kerana memiliki anak-anak yang masih menyayangi diriku, untuk diperhati sekadar beberapa ketika. Dan aku tahu, kalian boleh kuharapkan untuk membantuku menyelesaikan urusanku yang terakhir. Terima kasih semua, sudi untuk memandikan, mengafani, menyembahyangkan dan menanam tubuhku. Jadi aku tidak berasa malu untuk bertemu Tuhan..

Aku tidaklah meninggalkan apa-apa harta dunia, hanya itulah pakaian di dalam beg, sedikit barang kemas, itupun kuharap dijadikan tebusan untuk membayar kembali hutang sekiranya ada yang menuntutnya kelak. Langsaikanlah hutangku anakku jika ada, aku takut amalanku tergantung di awangan selagi yang menuntutnya tidak menghalalkan atas hutangnya itu.

Wahai anakku, tiada yang lebih berharga di dunia ini untuk kau jaga selain iman dan Islam. Tiadalah yang paling berharga selainnya untuk kau pelihara dan pertahankan walaupun terpaksa engkau mengorbankan diri dan keluargamu, hatta sekiranya engkau diugut dengan apa jua sekalipun, maka yang terakhirnya adalah perkataan ’Ahad’ seperti yang diluah oleh sahabat RasuluLlah Bilal bin Rabah. Apatah lagi di kala ini mudah benar iman dapat dijual beli, senang benar iman diruntuhkan kerana imbalan dunia yang sedikit dan keji pada pandangan Tuhan.

Wahai anakku, persiapkanlah diri dan anak-anakmu dengan bakaran api neraka yang marak menjulang sekiranya engkau gagal untuk mentarbiah dan mendidik mereka. Persiapkanlah jasadmu untuk mendapat balasan azab yang hebat dari malaikat zabaniah atas perilaku burukmu sewaktu di dunia. Sungguh setiap satu dosa yang kita lakukan, amat lama masanya di neraka, amat tidak terperi sakitnya sehingga engkau tidak terkata. Walaupun kita memekik dan meminta tolong tidaklah kita dipedulikan lagi, sebab sudah banyak benar peluang untuk kita berubah di dunia tetapi dipersia-siakan....

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 4

Dan dia bertanya lagi kepada cucunya ”masih adakah lagi keadaan yang harmoni seperti dahulu? Adakah lagi anak muda yang tinggi budi bahasanya pada ibu dan ayah, tahu malunya, terjaga solatnya? Taat pada Allah dan Rasul?. Masih adakah lagi ibu ayah yang mengambil tahu kepada siapa anaknya berkawan,? Masih adakah pemimpin yang ikhlas dalam pekerjaannya, jiran-jiran yang mengambil berat antara satu sama lain? Aku sudah lama merasai hidup ini, hampir sebahagian nyawaku merantau melihat keadaan umat manusia, Aku risau kita semua akan berpisah kerana iman, bagaimana hendak bertemu lagi jika ada antara kita yang mati dalam kekafiran, alangkah lamanya masa untuk bertemu jika ia dipanjangkan dengan seksaan di neraka. Anak-anakku, sedarlah di kiri kananmu ada sahaja yang akan mengheretmu ke neraka, alangkah kuatnya dugaan anak-anak, alangkah hebatnya ujian wanita itu, alangkah fitnahnya harta dan dunia ini. Ketika engkau kuat bertaqarrub kepada Allah tiba-tiba hatimu dipalingkan dari mengingatiNya, ketika hatimu keras untuk berbuat kebajikan demi akhiratmu tiba-tiba engkau diuji untuk takut pada kefaqiran, semakin banyak kemurahan hatimu tiba-tiba keikhlasan itu hilang kerana engkau menyebut-nyebut kebaikan itu di kemudian hari, lalu semakin banyak dosa samar yang tidak engkau sedari. Ketahuilah anakku, apabila engkau redha pada maksiat dan tidak berasa apa-apa dengan dosa, maka itulah tandanya imanmu yang meluntur.

Terdiamlah semua anak cucu di sekelilingnya. Dan perempuan tua itu berkata ”nantilah bila kamu semua sudah merasai hari tua, kamu akan faham, apa yang aku risaukan ini, dan kuharap ia lebih awal dari itu....”.

Ketika ini, perempuan tua itu diuji Allah dengan penyakit lumpuh, jasadnya terlantar di katil tua. Lidahnya tidak berhenti-henti juga untuk berzikir, entah dia risau jika dicabut umurnya dalam keadaan melupakan Allah. Baginya biarlah jasadnya mati, tetapi jiwanya tetap subur dengan mutiara iman. Solatnya tidak dilupa, diletaknya loceng di tepi bibir katil untuk meminta anak dan cucunya mengambilkan air wuduk. Doanya lama dari biasa, air matanya selalu bergenang di pipi. Tahulah ia, dirinya kini sudah hampir benar dengan kematian. Mungkin tangkai daun yang tertulis namanya di Luh Mahfuz sudah gugur dan malaikat izrail hanya menunggu masa perkenan dari Allah untuk mengambil hakNya.

Selalulah anak dan cucunya merawat, memerhatikan hal ehwal keadaan perempuan tua itu. Sesekali diminta untuk membacakan sirah para Rasul dan sahabat tentang kehidupan mereka, disuruh dibacakan hal ehwal persediaan menghadapi mati. Sekurang-kurangnya ia terhibur bila mendengar tentang kesudahan hidup yang baik, berkongsi gembira dengan janji-janji Allah kepada hambaNya yang bersabar dengan derita.

Malam itu, sakitnya telah memberat. Tidak ketahuan lagi berak kencingnya, nafasnya turun naik Berkumpullah sekali lagi sanak saudara buat kesekian kalinya, yang terputus, tidak berhubungan, yang bermasam muka, yang tidak pernah membaca ayat-ayat Allah malahan yang tidak tahu tetap cuba untuk menelurkan bacaan, supaya perempuan tua itu dimudahkan Allah untuk pergi dengan aman, disampaikan perlahan-lahan dipelipis telinga oleh mereka.

Perempuan tua menggerakkan bibirnya perlahan-lahan ’kertas...kertas’ sambil tangannya menunjuk pada helaian kertas kusam di atas meja berdekatan. Anaknya yang sulong tidak memahami butir bicara tetapi diambilkan air sedikit untuk membasahi bibir tuanya itu. Sambil menggagahi dirinya perlahan-lahan diucapkan kalimah terakhir sambil tersenyum menyebut LailahaillaLlah....

Seketika alam menjadi sepi, sedar ada hak yang telah diambil kembali oleh tuannya dan air mata perpisahan tetaplah mengalir mengiringi pemergian yang telah diputuskan Tuhan...

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 3

Tuk penghulu ketika itu berketurunan jawa kasar, tetapi sebenarnya pada bahasa sahaja kasarnya itu, perlantikannya hasil dari kesatuan hati seluruh penduduk kampung, bukan atas dasar kekayaan, rupa, atau pernah disogok wang atau disebabkan keturunan jawanya itu. Tetapi kerana akhlaknya, pengalaman hidupnya luas, pegangan agamanya teguh, ia dipercayai. Tidak pernah lagi ia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas orang kampung. Di mana sahaja ada kesulitan, pastinya dia yang pertama tiba untuk memberi bantuan. Bukan ia jenis orang yang bermulut manis atau berkuku besi, sebab diterima juga kritikan orang walaupun telinga panas mendengar atas tohmahan yang tidak benar. Ketika itu bukan ijazah menjadi ukuran, sebab ilmu itu bukan di atas kertas untuk diiktiraf, tetapi melalui ’apa yang dicakap dibuat dan apa yang dipelajari diamal’. Tidak hairanlah ia menjadi tempat rujukan bukan sahaja kerana ia seorang pemimpin masyarakat, tetapi juga sebagai seorang ilmuwan agama.

Tak perlulah diceritakan di mana ia belajar, sebab yang dipegangnya al Quran dan Al Sunnah juga serta ijtihad dari ulama yang muktabar. Tidak pula ia mahu sewenang-wenangnya membid’ahkan orang lain dengan perkataan sesat. Kerana fikirnya bukan untuk hari ini sahaja, tetapi juga hari mendatang, jika hanya kerana perkara cabang diperdebatkan untuk menyesatkan orang, tentu habis sudah orang Islam berpecah belah, tentu musuh-musuh Allah senang pula menjengah dan mudah pula kerja mereka untuk menghancurkan Islam, siapa pula yang akan bertanggungjawab untuk menjawab persoalan ini di hadapan Allah nanti?

Seketika perempuan tua itu berhenti sebentar dari berkata-kata, nafasnya ditarik dalam-dalam. Entah mengapa terbit air di kolam matanya, perlahan-lahan air matanya itu diseka dengan hujung lengan bajunya. Lantas cucunya bertanya, ”Mengapa nenek menangis?”. Lalu dia menyambung lagi ceritanya yang terputus sebentar tadi ”ahhh cucuku, itu kisah lama yang berlalu, ramai yang sudah tiada lagi, ada yang sudah berhijrah, dah bercucu cicit seperti diriku, dan yang kamu lihat di hadapanmu ini adalah tubuh tua yang menunggu-nunggu ajal dari Tuhan.

Dulu wajahku masih cantik dan segar bugar, walaupun hari mudaku banyak diisi dengan perkara yang bermanfaat dan bahagia selalu, tetapi tidak semuanya dapat dikongsi dengan orang lain. Walaupun didikan agamaku tinggi tetapi tidak dapat juga mengubah hati yang keras bahkan iman itu tidak dapat diperturunkan kepada siapa-siapa. Aku ingin meninggalkan dunia ini dengan tenang dan aman bersama iman di hati, aku ingin berkumpul dengan sanak saudaraku yang lain di akhirat nanti. Adakah cita-citaku akan dimakbul Tuhan?

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 2

Orang dulu beradat, sopan santunnya dijaga, dihias hemahnya dalam tutur kata, dalam kelakuan dan pergaulan. Ketika berjalan atau berjumpa dengan kenalan diberikan salam, disapa dengan baik dan halus budi bicaranya. Diberi barang tahu ia berteima kasih, tahu ia menanggung budi dan membalasnya. Tidak dibenarkan tetamu balik dengan tangan kosong, tahu-tahu ada sahaja bekalan untuk dibawa pulang. Kedatangan tetamu disambut dengan senyum walaupun tidak diundang.

Orang lelakinya tahu membawa diri, tahu berdikari, biar tidak tahu mengira, tidak tahu menulis, tetapi lapangan hidupnya luas, akalnya berjalan bukan beku dan mati. Tidaklah mereka mengharap ehsan dan sedekah padahal kudratnya masih gagah dan umur masih muda. Ilmu agamanya teguh. Malu bila dikata orang tidak pandai membaca al Quran, tidak pandai melaungkan azan atau sekadar duduk-duduk di rumah berehat menghabiskan beras petas sahaja sedangkan yang mencari rezeki adalah ibu ayahnya yang sudah lanjut usia.
Orang lelaki bagi mereka adalah pelindung kepada yang lemah, disumbangkan tenaga dan keringat untuk menolong dan membantu orang. Dikerah ke sawah untuk membajak, diajak ke laut menjala ikan, berpagi-pagi menoreh getah atau menyawit atau ke hutan mencari rotan manau, nipah, gaharu dan cendana Sebab itu badan mereka tegap-tegap, sihat dan bidang. Jarang terdengar ada yang mati kerana berpenyakit, biasanya mati kerana sudah uzur sakit tua, paling kurang matinya kerana ke luar mencari rezeki untuk keluarga.

Waktu itu, tiada lagi orang bercakap seorang diri di tepi jalan (tiada lagi telefon tangan) kecuali orang yang hilang akalnya, perkumpulan mereka biasanya dengan berzanji, bermarhaban, pergi ke surau berjemaah, kenduri kendara terutamanya yang melibatkan urusan perkahwinan, kematian, hari lebaran dan sebagainya. Bukan apa, maklum sahaja, di zaman itu persaudaraanlah yang amat penting untuk mengukuhkan perpaduan, tidak perlulah rumah berpagar, yang menjadi kera sumbang hanyalah orang yang mementingkan diri, tidak bercampur dengan orang sekeliling. Yang jenis ini biasanya merekalah yang memulaukan diri sendiri. Tapi yang peliknya bila berlaku kesusahan, pada orang kampung jualah disuakan masalahnya itu , padahal pada masa senangnya bukan main sombong tidak bertegur sapa, dibuat halnya sendiri atas alasan ’tidak suka menjaga tepi kain orang’.

”Nenek dulu ramai jiran dan kawan-kawan, di sebelah rumah ada Cik Eton, Pak Rahmat duduk selang dua baris dari depan rumah, yang duduk berdekatan dengan pokok tembusu tuh si Bani, anaknya ada 2 iaitu Karim dan Senah, pendek kata tak menang mulut nak menjawab salam masa bertemu sebab semua orang kenal, bukankah dengan ucapan salam itu maka kasih sayang akan terjalin?..” kata perempuan tua itu dengan ceria.

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 1

Dia seorang perempuan tua, punya kekayaan keturunan, ramai anak cucunya, cicit dan piut. Hartanya di dunia adalah anak-anaknya itulah yang dipertalikan dengan darah dan daging. Masa tuanya dihabiskan dengan menziarahi setiap rumah-rumah mereka. Sunyi katanya, siapa tahu selepas ini dia sudah tiada lagi, biar dapat berjumpa anak dan cucu semua. Terhibur dia melihat gelagat cucu cicitnya yang masih kecil, terkadang bibirnya tidak berhenti mengomel, membebel marahkan mereka jika apa yang dirasanya itu adalah bahaya dan tidak betul pada pandangannya.

Bahasa tuanya adalah bahasa di dalam jiwa, luahan perasaannya adalah apa yang dirasa dari perjalanan hidupnya yang panjang. Kamus hidupnya selalu dibuka, dicerita kesusahan hidup masa lampau, ketika zaman jepun menyerang untuk tatapan anak cucunya tanpa rasa bosan walaupun apa yang dikatanya itu sudah berulang kali perkatakan. Ketika itu makannya ubi kayu, nasinya berlauk garam, minumnya, pakaian semuanya alar kadar.

Yang dikata orang perempuan, bila sahaja tentera jepun menceroboh, kalutlah ibu bapa mencarikannya tempat untuk perlindungan. Orang dahulu cerdik, untuk menyelamatkan nyawa anak-anak dara, dilumur arang ke muka mereka, supaya jadi hodoh dan buruk. Lalu dibawa lari jauh-jauh ke dalam hutan, tinggallah di sana seminggu dua sehingga semuanya aman seperti sediakala.

Di hati mereka ketika itu hanya ada Tuhan. Bukan mereka itu pengecut atau takut mati, ada daya mereka akan berusaha apa sahaja untuk mempertahankan maruah dan kehormatan keluarga, walaupun harta tergadai, walau jiwa melayang. Prinsip hidup mereka, Islam itu dijunjung, kehormatan itu dijaga. Jangan diinjak, diperlekehkan perkataan Islam di hadapan mereka, alamat berparanglah. Apa benarkah hati mereka tega melihat anak-anak gadis mereka dirogol di depan mata mereka? Anak perempuan mereka benar-benar dijaga umpama emas yang disimpan rapi di dalam bekasnya. Jika tidak takkan rasa malu dan tebal muka ibu ayah jika anak sudah pandai berbual dengan orang lelaki yang tidak dikenali, berbalas surat dan berjumpa berdua-duaan sehingga menjadi perbualan penduduk kampung. Tentu habis butir kemarahan disembur dan tali pinggang atau rotan ditarik, di sebat berkali2 ke tubuh anaknya. Bukan ia benci atau ingin membunuh, tetapi atas nama kehormatan itu jugalah, kerana rasa malu yang perlu dijaga, kerana sayang pada anaknya, tidak mahu anaknya jadi perempuan murahan. Setiap sebatan dijadikan ingatan untuk menjaga nama baik agama dan keluarga.