Selasa, 29 April 2008

Rintihan Seorang Abid

“Dan siapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. Ia berkata “Wahai Tuhanku! Mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?” Allah berfirman “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan!” (Surah Taha :124-126)

Rintihan ini, selalulah ia berselirat di dalam hati, ingin sahaja diluah dibalik lisan-lisan yang kunjung malap dek diselubungi kata-kata hina dan alpa,

Akulah musafir itu yang selalu keseorangan di dalam ramai, terasa sunyi sepi dikala orang lain keriuhan, menangisi dosa-dosa hitam dihujung penjuru sedangkan ketika itu mereka tertawa riang..

Akulah wahai Tuhan, hamba yang selalu melawan, membentak takdirMu, selalu memberi Engkau murka,

diberi petunjuk tetapi tidak memanfaatkan, diberi nikmat tetapi merungut, diberi pakaian iman tetapi aku melucutkannya dengan dosa,

Biarlah dikala ini, aku dilupakan orang, asal sahaja Tuhan tidak melupakanku,

Biar aku dihina2 orang asal Tuhan tidak menghina aku,

Biar dibenci orang asal Tuhan tidak membenciku,

Tuhan.. jangan tinggalkan diri ini, setelah mereka menjauhiku,

Biarlah duka itu belalu

Banyak mata yang terjaga, banyak pula yang tertidur lelap, memikirkan persoalan yang sudah atau akan terjadi. Tinggalkanlah rasa duka semampumu kerana memikul beban duka boleh membuatmu gila. Kelmarin, Tuhan telah menolongmu, percayalah, esok pun Dia masih akan tetap menolongmu.

Ahad, 27 April 2008

Inilah Persaudaraan Islam

Seluruh umat Islam itu bersaudara tanpa dibatasi oleh warna kulit, kaum, loghat bahasa, kaya atau miskinnya, cacat atau sempurnanya.

Apakah kita sudah kenal erti persaudaraan sesama Islam?.



Di zaman ini, kita bagaikan manusia yang hanya mengenal orang dengan berdasarkan wangnya, pangkat dan kehormatan serta keturunannya. Hilang sudah rasa persaudaraan apabila terdapat sedikit khilaf, benci dan dendam menumpuk di dalam hati bila tidak senang melihat kesenangan orang lain. Apatah lagi, harta yang banyak telah menenggelamkan mata hati untuk membantu jiran yang susah di kanan kiri.

Persaudaraan sesama teman dan sahabat kian menjurang kerana kita tidak cuba hendak mengenali. Kita tidak ingin merasakan kesukaran yang dihadapi oleh saudara kita, tetapi sambil mengerling (tahu rasa bersalah) terus melangkah kaki pergi dari kesukaran itu. Dan di dalam minda berkata "Mengapa aku perlu bersusah payah memikir kesusahan orang lain dengan diri aku yang sudah sedia susah". ALlahu ALlah.... beginilah keadaan umat Islam.

"Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bersatu teguh bercerai roboh, "Hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama diratah".

Entah, siapa lagi yang ingin memerhatikan ibarat di atas?

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ

"....Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan.."
(Al-Maidah : 2)

Di bawah ini menceritakan bagaimana persaudaraan sesama Islam yang ditunjukkan oleh RasuluLlah dan para sahabatnya. Semoga beroleh pengajaran.

Gambaran kerja kaum Muslimin dalam usaha menggali kubu, telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Al Barra' r.a dengan katanya :
"Di hari pakatan barisan musyrik dalam peperangan Khandaq, aku telah melihat baginda rasuluLLah s.a.w memunggah pasir dari kubu-kubu hingga tertutup kulit perut baginda RasuluLLah s.a.w. Aku lihat perut baginda penuh dengan debu-debu dan diriwayatkan dari Anas r.a bahawa kaum Ansar dan Muhajirin bertaruh dengan masa mereka menggali kubu dengan memikul tanah-tanahnya dengan kata mereka. "Kami dengan Muhammad bersumpah setia kekal dengan Islam sepanjang usia. RasuluLLah s.a.w menjawab pertaruhan mereka dengan katanya :

"Ya ALlah, tidak ada kebaikan melainkan kebaikan akhirat. Oleh itu, berkatilah kaum Ansar dan Muhajirin"


Imam Bukhari telah meriwayatkan dalam hadith sahihnya dari Jabir r.a telah berkata di hari menggali kubu: :

"Kamu telah direntangi oleh seketul batu pejal, sahabat-sahabat bertemu RasuluLLah s.a.w lalu menceritakan: "Ada batu pejal ya RasuluLLah yang merintangi penggali kubu". Jawab RasuluLlah s.a.w : Nanti aku pecahkannya", kemudian baginda terus bangun sedangkan perut baginda diikat dengan batu (untuk menahan lapar). "Tiga hari berturut-turut kami tidak menjamah makanan". RasuluLLah s.a.w mengambil pemecah batu (Al Ma'ul sejenis cangkul) lalu dicangkulnya batu hingga menjadi hancur, Kemudian aku berkata :

"Ya RasuluLLah 'alaihi wasssalam, izinkanlah kepadaku untuk pulang ke rumah, lepas itu aku berkata kepada isteriku: "Aku lihat RasuluLLah S.a.w sudah tidak boleh sabar lagi. Apakah engkau ada sesuatu untuk dimasak? Jawabnya: "Aku ada biji-biji bali dan seekor kambing betina". "Aku pun menyembelih kambing dan mengisar biji-biji bali kemudian aku masakkan kambing di dalam periuk. Setelah itu aku datang menemui RasuluLLah s.a.w sedangkan tepung yang diuli sudah merekah manakala periuk di atas tungku lagi tadi hampir-hampir masak.

Aku berkata kepada RasuluLLah s.a.w : Saya ada sedikit makanan, ayuh RasuluLLah s.a.w dengan seorang dua lagi. Kemudian RasuluLlah s.a.w bertanya: "Banyak mana makanan itu?" Aku pun menceritakan kepada RasuluLLah s.a.w. Kata RasuluLLah s.a.w : Itu banyak, lagi baik. Katakan kepada isterimu jangan angkat turun periuk dan juga roti, biarkan di atas dapur hingga aku tiba.

Kemudian RasuluLlah s.a.w berseru kepada sekalian Muhajirin dan sekalian Ansar: "Ayuh bangun dari tempat kamu". Di tengah jalan pula RasuluLLah melaung: "Wahai penggali-penggali kubu, ini dia Jabir telah menghidang makanan! Ayuh kesemua kamu, Bila Jabir masuk ke dalam rumah lalu berkata : Apa kata kamu, RasuluLlah telah datang bersama-sama Muhajirin dan Ansar dan orang lain." Berkata isterinya :"Adakah RasuluLLah s.a.w telah bertanyakan tentang makanan itu?. Jawab Jabir :"Ya!". Jawab isteri Jabir : "ALlah dan RasulNya lebih mengetahui".

Kemudian datanglah RasuluLLah dan baginda berkata: "Ayuh masuk dan jangan teragak-agak." RasuluLLah s.a.w mematah-matahkan roti dan meletakkan masakan daging di atasnya. Manakala periuk dan dapur memasak roti masih bertambah bila diambil sehingga sekalian yang datang kenyang dan banyak bakinya lagi. RasuluLLah s.a.w berkata kepada isteri Jabir: "Engkau makanlah hidangan yang baki kerana manusia ditimpa kelaparan."

Dalam riwayat yang lain pula kata Jabir : Aku bersumpah demi ALlah, mereka telah memakan masakanku hingga kesemua mereka beredar tetapi periuk kami masih penuh seperti mula lagi dan tepung kami masih boleh dibuat roti lagi."

SubhanaLlah, RasuluLlah tidak tega melihat dirinya sahaja di dalam kekenyangan sedangkan sahabat-sahabatnya yang lain menekan perut di dalam kelaparan. Bahkan RasuluLLah sendiri terlibat dengan penggalian parit. Jika difikirkan tentu sahaja orang yang semulia RasuluLLah tidak perlu membuat kerja, berehat dan memerhatikan sahaja sambil bersenang lenang di pembaringan.

Berbeza sungguh sifat kepimpinan baginda yang sanggup turun membantu orang Islam. Memecah batu, memberi makanan sendiri kepada sahabatnya.

Dan begitulah, sejarah selalu menjadi panduan kepada orang yang ingin mengambil iktibar dan pengajaran agar dapat bermuhasabah diri.

Jika seorang susah, kami turut merasakan kesusahannya

Menurut riwayat lain (diceritakan oleh Dr Yusof al Qardhawy dalam kitabnya Iman dan Kehidupan), pernah terjadi dalam suatu peperangan, antara Muslimin dan musuhnya terbentang sebuah sungai. Mereka diperintahkan oleh panglimanya, supaya menyeberangi sungai. Semua patuh kepada perintah dan terjun ke dalam sungai. Sedang musuh melihat mereka dari jauh dengan penuh kegentaran.

Sampai di pertengahan sungai, melihat mereka semua hilang dalam air, seolah-olah tenggelam dan serentak terapung kembali di permukaan air. Musuh mengetahui apa sebabnya kejadian serupa itu. Diketahuinya bahawa salah seorang di antara mereka (tentera Muslimin) jatuh piringnya ke dalam air, lantas berteriak mengatakan : "piringku...piringku...!" Lalu mereka menyelam semuanya mencari piring yang jatuh itu sampai dapat.

Musuh yang memerhatikan hal itu merasa :"Kalau mereka berbuat serupa ini mengenai satu piring yang jatuh kepunyaan salah seorang di antara mereka, apa gerangannya yang akan mereka perlakukan, kalau kita membunuh salah seorang dari mereka!". Akibatnya musuh menyerah kalah kepada tentera kaum Muslimin.

ALlahu..ALlah.. inilah dia persaudaraan Islam yang telah ditunjukkan oleh umat terdahulu.. Bagaimanakah persaudaraan Islam yang kita tunjukkan sekarang ini? ..

Rabu, 23 April 2008

ALlah itu Baqa' (Kekal)

Kita selalu mengimpikan apa yang ada pada diri, yang kita miliki agar dapat selalu bersama. Jika boleh dapat kekal selama-lamanya. Lalu apabila apa yang ada di dalam genggaman akhirnya hilang, terlepas, hancur binasa - kita sukar hendak menerima kenyataan. Ada yang hilang pedoman. Emosinya terganggu dan fikirannya bercelaru.

Bila kita mengenal ALlah, barulah kita sedar bahawa segala yang ada di hadapan mata kita ini akan fana' (hancur binasa, akan mati).

Baqa' ertinya kekal, sentiasa ada, tiada akhir. ALlah adalah kekal wujudnya tanpa kesudahan. Kekal yang hakiki yang tidak akan fana' buat selama-lamanya. Dan bukan kekal ardhi seperti perkara yang telah ditentukan oleh syarak berdasarkan al Quran dan Hadith.

Seperti :
  1. Nikmat syurga
  2. azab neraka
  3. jasad sekalian nabi
  4. jasad orang yang mati syahid
  5. ruh
  6. arasy
  7. kursi
  8. Luh mahfuz
  9. Qalam
Dalil Aqli (Akal) :

Jika ALlah tidak bersifat baqa' tentulah ALlah akan binasa (fana'). Sedangkan fana' itu sifat baharu.

Akal menerima bahawa ALlah bersifat qidam (sedia). Andainya ALlah tiada bersifat baqa' maka tentulah ALlah juga tidak bersifat qidam. Hakikat ini tidak dapat diterima oleh logik akal.

Dalil Naqli (bukti daripada al Quran dan Sunnah) :

كُلُّ شَىۡءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجۡهَهُ ۥ‌ۚ

Ertinya : Tiap-tiap sesuatu akan binasa kecuali zatNya (zat ALlah) : Surah al Qasas : 88

Selasa, 22 April 2008

Mereka Memilih Islam

Saya telah membaca buku Islam Pilihanku - Pengucapan Syahadah 39 Insan di Malaysia. Susunan : Mazuen Yahaya. Terbitan Karya Bestari Sdn Bhd.

Segala pujian bagi ALlah, seusai membacanya saya mendapati ada beberapa kelebihan yang ada pada saudara kita ini. Antaranya :

1. Mereka ikhlas memeluk agama Islam yang suci ini walaupun mendapat banyak cabaran dan tentangan dari keluarga sendiri. Bahkan juga terkadang cabaran datangnya dari orang Islam yang memberi tanggapan buruk kepada saudara kita ini dengan gelaran mualaf yang kadangkala seperti 'double standard'.

2. Bersungguh-sungguh di dalam mengkaji agama Islam dan amat berbangga dengannya. Ada yang membuat perbandingan dengan agama-agama lain sebelum memeluk Islam. Keinginan mereka untuk belajar dengan ustaz dan kawan-kawan menunjukkan semangat motivasi yang tinggi untuk menjadikan Islam sebagai satu cara hidup.

3.Masih tetap meneruskan hubungan dengan keluarga sendiri (walaupun bukan beragama Islam). Melayan kedua orang tua dengan baik, sehingga dapat menarik hati ahli keluarga yang lain untuk 'revert' (kembali) semula kepada agama fitrah iaitu Islam.

4. Mengamalkan ajaran Islam dengan penuh yakin dan istiqomah. Ada kalanya sebelum memeluk Islam lagi mereka telah belajar berpuasa, solat bersama-sama rakan-rakan Islam yang lain. Ikhlas memang di dalam hati tetapi telah ditunjukkan dengan perbuatan.

5. Menjadikan al Quran sebagai sumber motivasi, ALlah sebagai tempat pergantungan. Solat sebagai tempat untuk mengadu kepada ALlah.

AlhamduliLLah, saya mendoakan agar saudara semua yang memilih Islam sebagai panutan hidup agar terus berada di jalanNya ini. Tahniah diucapkan, tiadalah kemenangan yang terbesar melainkan apabila meletakkan iman kepada ALlah di dalam jiwa yang selama ini kekosongan.

Wahai saudaraku seIslam yang lain, kita semua disatukan dengan kalimah LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH. Berbantu-bantulah ke arah kebaikan dan ketaqwaan. Marilah kita nasihat menasihati ke arah kebaikan dengan cara yang terbaik dan berhikmah.

ALlahu..ALlah.. Semoga hati-hati kita semua disatukan kembali di bawah lembayung rahmat ALlah ini.

Firman ALLah :

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِينً۬ا‌ۚ

Ertinya : ...Pada Hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu kepada kamu. Dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu... (Surah Al Maidah ayat 3)

Ahad, 20 April 2008

Al Ahnaf Berguru Dengan Umar Al Khattab

Al Ahnaf bin Qais telah berkesempatan untuk berguru dengan para sahabat yang ternama terutama sekali Umar al Faruq r.a Al Ahnaf berkesempatan untuk hadir ke majlis Umar dan mendengar nasihatnya selain berpeluang mendengar majlis penghakiman Umar. Malahan al Ahnaf merupakan murid yang paling menyerlah dikeluarkan daripada madarasah Umar. Beliau sangat terpengaruh dengan gurunya yang amat bijaksana.

Al Ahnaf pernah ditanya: "Dari manakah kamu memperolehi sifat mulia dan bijaksana ini?"

Al Ahnaf menjawab dengan merendah diri:"Semuanya daripada kata-kata yang saya dengar daripada Umar al Khattab. Umar pernah berkata:"Orang yang bergurau akan dipandang rendah. Orang yang banyak mengetahui sesuatu akan lebih dikenali. Orang yang banyak bercakap akan banyak melakukan kesalahan. Orang yang banyak kesalahan akan kurang sifat malunya. Orang yang kurang sifat malunya akan kurang sifat waraknya. Orang yang kurang sifat waraknya akan mati hatinya."

Sabtu, 19 April 2008

Kami Ingin Mereka menjadi Mukmin Sejati

Seorang ayah dari Sabah berhijrah ke Johor kerana beliau melihat prospek pekerjaan yang lebih baik di sini. Dan setelah itu, dia memikirkan tentang masa depan anak-anaknya. Seraya ada perasaan kesal pada tutur katanya tentang kedhoiefan dirinya tidak berapa mendalami agama Islam dengan baik kerana persekitaran semasa di Sabah pada masa itu tidak menggalakkan untuk faham tentang Islam.

Ia ingin anak-anaknya menjadi seorang yang tahu membaca al Quran, membaca tulisan jawi, kenal solat. Selalulah ia hadir ke sekolah untuk menghantar dan mengambil anaknya dan bertanyakan perihal perkembangannya di sekolah. "Tak mengapalah cikgu, dia mungkin lemah dalam bidang akademik, tetapi biarlah dia menjadi seorang yang beragama".

Ia tidak mudah melatah sekiranya anaknya dirotan jika memang benar kesalahan anaknya sendiri. Sebab dia tahu, seorang guru merotan untuk mendidik agar menjadi orang. Oleh kerana itu, beliau sanggup meluangkan masa seketika bertemu dengan guru untuk berbincang tentang masalah disiplin anaknya tanpa perlu menyerang dan menuduh tanpa usul periksa. Sehinggakan beliau menyatakan - guru di sekolah kebangsaan pun sudah mula jelak kerana wajahnya acapkali muncul untuk bertanyakan perihal hal ehwal anak-anaknya di sekolah.

Seorang ibu sanggup bekerja di kantin sekolah dengan harapan dapat melihat anak-anaknya benar-benar hadir di sekolah agama. Katanya "Cikgu, saya kerja di kantin pada sebelah petang bukan kerana duit, tetapi saya nak lihat anak-anak saya tidak melencong ke tempat lain".

Seorang Ajk sekolah melontarkan pertanyaan dan pandangan - mengapa ramai ibu dan ayah tidak mahu menyertai Badan Kebajikan Sekolah/PIBG? Mereka hanya tahu komen dan kritik pihak sekolah, guru dan ajk PIBG/BKS seolah-olah tidak membuat kerja. Pelik juga mengapa orang atasan, profesional yang hebat tidak turun ke lapangan umat, membuat program kepada anak qariah.

Beliau menambah - pernah ada seorang profesional bertanya kepadanya - "mengapa engkau hantar anak engkau ke sekolah agama?" Lalu beliau merasakan pelik soalan tersebut, pendidikan agama di anggap seperti pelajaran kelas 3. Ibu Ayah tidak sedar kepentingan sekolah agama, tidak jelas tentang hala tuju pendidikan agama yang penting buat masa ini. Sedangkan sepatutnya orang bijak pandailah yang patut belajar ilmu agama.

Ayah dan Ibu, ajarilah anak-anak tuan dengan agama Islam. Supaya apabila anda berdua meninggal, sekurang-kurangnya mereka dapat memberikan penghormatkan yang terakhir. Dapat memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan. Sekurang-kurangnnya anak-anak tuan tahu untuk berdoa, menyedekahkan bacaan al Quran apabila tuan puan berada di alam barzah.

Ayah dan ibu, seorang menyatakan kepadaku, ajarlah anak lebih daripada yang diajar oleh ibu dan ayah kita dahulu. Sebab ibu dan ayah dahulu amat risau tentang masa depan anak-anaknya, hingga ada di antara mereka yang bersikap tegas dengan akhlaq dan pendidikan anak-anak. Dengan jasa kedua orang tualah maka dia menjadi insan yang berguna.

Wahai ibu dan ayah, Di dalam hadith telah menyebutkan "Ajarlah anakmu tiga perkara mencintai Nabimu, mencintai keluarganya serta membaca al Quran kerana pembaca Al quran berada di sisi arasy ALlah bersama para anbiya' dan orang-orang suci pada hari tiada naungan melainkan naungan ALlah. Riwayat Tabrani dari Ali bin Abi talib

Ibu dan Ayah..fikirkan apa yang akan jadi pada anakmu pada masa hadapan dengan apa yang kau ajari pada hari ini...

Khamis, 17 April 2008

Kasih sayang

Apa nilainya ditimbang dengan bunga dan haruman yang diberi setiap hari, dengan pakaian trend masa kini,

Apa hebatnya kasih sayang dengan pujian melangit dan pujuk rayu yang menggelapkan hati dan jiwa,

Adakah cantiknya dengan hadiah yang dibeli berharga ratusan ringgit, di sulam dengan kata-kata indah menggetarkan jiwa,

Perlukah di kisahkan kepada orang lain, kasihnya setinggi gunung, seluas lautan, sedalam dasarnya, secantik ros di taman,

Kasihnya ingin direnangi bersama, sehidup semati, bulan dan bintang menjadi saksi, dada sanggup dibelah dengan pisau belati,

Ikhlaskah kasih sayang dengan indah menawan kiasan dan penghargaan, tetapi di hati penuh dengan keterpaksaan,

Hakikat kasih sayang,

Lahirnya dari hati nurani yang bersih dan suci, harganya tidak dinilai dengan apa jua sekalipun harta reta yang ada di alam ini,

Kasihnya dibawa pergi bersama dengan cinta kepada Illahi, digilap selalu dengan ingatan dan peringatan,

Agungnya kasih, tidak memaksa, dipaksa dan terpaksa, manisnya iman dikongsi bersama dibelahan malam bermunajat, merintih dan menangis kepada yang Satu,

Ingin sahaja mengimpikan hidup bersama hingga ke syurga, lalu ia sedar,

Sentuhan kasih sayang menyentuh hati dengan kata penuh kesedaran,

Cantiknya susunan bahasa dengan pengisian untuk berfikir kehebatan Tuhan,

Guraunya kerana hak tidak menghanyut jiwa yang alpa,

Hadiahnya dengan kata penguat ruh dan jiwa,

Bila hati penuh kasih sayang, terasa segala perbuatan ikhlas untuknya,

Kedatangannya dirindui dan dinanti untuk memberi bimbingan dan renungan,

Bila tersilap ia menegur dengan sopan santun, diberi nasihat ia terima dengan hati yang lapang, bermuka jernih dan senang hati,

Disitulah ia menjadi pendokong dikala kesempitan dan perit hati, penawar di kala duka,

Alangkah hebatnya pemilik kasih sayang ini,

Andai ada kasih sayang dihati, cuba nilai dan timbang-timbangkan agar ia tidak menjadi punca kerosakan hati orang lain..

Anak_Pejuang

18 safar 1425 Hijrah

2.48 pm


Hamka :

Cinta adalah iradah Tuhan. Dikirim ke dunia supaya tumbuh. Kalau terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Jika datang pada hati yang keruh dan budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika ia hinggap di hati yang suci , ia akan mewariskan kemuliaan, keihklasan dan taat kepada Illahi.

Selasa, 15 April 2008

ALlah itu bersifat Qidam (Sedia)

Qidam ertinya sedia iaitu sedia dari segi zatNya yang menafikan ada permulaan bagi ada ALlah ta'ala. Sedia ALlah ta'ala bukan diukur dari segi masa (Zamani) dan bukan didahului oleh tiada.

ALlah menjadikan tiap-tiap yang ada dan tiada permulaan. Berlainan dengan makhluk yang dicipta oleh ALlah, makhluk adalah terbatas dengan masa dan ada permulaan. ALlah menjadikan makhluk daripada tiada kepada ada.

Setiap yang baharu (yang akan binasa, hancur, punah, mati) ALlah yang menjadikan. Mustahil bagi ALlah ada permulaan.

Jika ALlah tidak bersifat qidam tentulah Ia baharu, setiap yang baharu tentu ada yang menjadikannya dan membaharukannya. Oleh itu, ia adalah mustahil bagi ALlah.

Dalil dari firman ALlah dari surah al Hadid ayat 3 :

هُوَ ٱلۡأَوَّلُ وَٱلۡأَخِرُ

Ertinya : Dialah (ALLah) yang awal (tiada permulaan) dan Dialah (ALlah) yang akhir (tiada kesudahan).

Ahad, 13 April 2008

Nombor Plat Lebih Penting Dari Nasib Umat Islam?

Hari ini di dalam akhbar Mingguan Malaysia ruangan Rencana muka surat 20, menyebutkan tentang kegilaan ahli korporat termasuk jutawan Islam membeli nombor plat kereta sehinggakan mencecah jutaan ringgit.

Di dalam rencana itu antaranya menyebutkan jutawan muda Arab, Saeed Al Khouri, 25, muncul sebagai pemilik nombor plat kenderaan termahal di dunia setelah membeli nombor plat 1 dengan harga kira-kira RM45.8 juta pada satu lelongan awam di Abu Dhabi, Dubai.

Secara perbandingannya, bayaran untuk sekeping plat nombor 1 yang akan digunakan di bumper kereta kepunyaan Saeed itu mampu digunakan untuk membeli lebih 400 buah model Perdana V6 Enhanced 3 keluaran Proton Holdings Berhad.

Sebelum itu, sepupu Saeed, Talal Ali Mohammad Khouri membayar lebih RM22 juta untuk memiliki nombor plat 5 yang menyamai harga untuk 200 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria keluaran Kumpulan Naza.

ALlahu..ALlah, lihatlah pembaziran yang tidak bermanfaat, betapa borosnya jutawan-jutawan Islam ini. Alangkah baiknya jika duit yang dilaburkan hanya untuk membeli kepingan besi itu digunakan untuk kepentingan umat Islam seluruh dunia. Tentu banyak perut-perut yang akan terisi, tentulah ramai pelajar yang miskin akan dapat bersekolah, tentulah ramai balu-balu palestin serta pejuang Islam mendapat manfaat.

Alangkah bagusnya jika wang tersebut dalam digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan sains, pendidikan, sosial yang dapat menyumbangkan sesuatu untuk Islam. Sedarlah, umat Islam kini hanya berperanan sebagai pengguna dan bukan pengeluar. Apabila terdapat krisis makanan dan sebagainya, kita terlalu bergantung harap kepada negara dan pengeluar bukan Islam.

ALlah telah berfirman di dalam surah Al Isra' ayat 26 dan 27 yang bererti :

وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُ ۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًا (٢٦) إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا (٢٧)

Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (26) Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (27)


Bagaimana pula kisahnya dengan pergerakan missionari kristian di Asia, yang berlaku juga di kawasan pedalaman orang asli di Malaysia, di Sabah, Indonesia, Iraq, Palestin dan sebagainya?. Adakah mereka yang berbangga dengan nombor-nombor itu memerhatikan nasib umat ini?

Anda boleh melawati laman ini untuk mengetahui apa yang berlaku di dunia Islam kini : http://satuumat.blogspot.com/

Realitinya, kita merasa senang menghamburkan duit di jalan yang dapat memuaskan keinginan melebihi keperluan. Yang sanggup pergi menunaikan haji dan umrah berkali-kali setiap tahun, mengundi AF, membuat majlis perkahwinan gilang gemilang.... Di manakah sebenarnya keutamaan?

Sungguh kami merindukan akan adanya sahabat rasuluLlah seperti Abdul Rahman bin Auf, Saidina Abu Bakar as Siddiq, ahli perniagaan seperti Imam Abu Hanifah yang tidak meletakkan keduniaan di dalam hatinya sebagai keutamaan melebihi akhirat. Kekayaan dunia hanya di hujung-hujung jari mereka dan bukan di dalam genggaman.

Wahai umat Islam - marilah kita memikirkan soal kualiti dari kuantiti.

Sabtu, 12 April 2008

ALlah itu Wujud (Ada)

ALlah itu wujud (ada). ALlah ada dengan tiada yang menjadikanNya. ALlah ada tidak kerana sesuatu yang lain.

ALlah ada bersama zatNya. ALlah tidak akan mati, tidak akan hilang. Semua orang mengakui akan adanya ALlah termasuklah orang kafir. Bezanya cuma 0rang Islam mengakui ALlah ta'ala ada. Tetapi orang kafir mengakui ALLah ada dengan mempersekutukan (mengatakan ada kuasa lain yang lebih tinggi dari ALlah atau sama denganNya), tidak beribadah kepadaNya.

Firman ALlah yang bererti : "Dan jika engkau (Muhammad) bertanya kepada mereka (Orang-orang yang syirik) siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Pasti sekali mereka akan menjawab : ALlah. (Surah az Zumar : 38)

Akal sendiri membuktikan akan adanya ALlah.

Akal yang sihat akan membenarkan sendiri akan adanya ALLah. Setiap sesuatu pasti ada yang menjadikan dan tidak terjadi dengan sendiri. Alam yang terbentang luas, dari sebesar gajah sehingga sekecil kuman ada yang menjadikan. Takkan kerusi akan jadi dengan sendirinya? Tentulah ia mustahil.

Firman ALlah yang bererti :

Amat Suci Dia, Dialah Tuhan yang Esa lagi gagah ( Surah az Zumar:4)

Firman ALlah lagi yang bererti :

"Yang bersifat demikian ialah ALLah, Tuhan kamu yang mencipta tiap-tiap sesuatu daripada tiada kepada ada; tiada Tuan yang berhak disembah melainkan Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan daripada menyembahNya? " (Surah Ghafir: 62)

Rabu, 9 April 2008

Di sini ada bahagia

Ketika bermusafir di negeri orang, aku melihat damainya halaman kampung. Walaupun rumah seperti gobok, tidak semewah di banda-bandar besar. Tetapi riang ria kelihatan di memek muka orang yang tinggal di dalamnya. Dengan anak-anak kecil berlari, ditambah pula dengan suasana kehijauan alam. Di malam harinya tiada kebisingan yang menganggu istirehat.

Berlainan pula di bandar-bandar besar, banyak rumah banglo yang didirikan. Kereta besar yang menjalar di jalanraya. Tetapi penuh dengan haru biru bunyi hon kenderaan. Di sini ada jenayah yang berleluasa. Di rumah besar itulah juga rasanya seperti penjara, terpaksa diletakkan pelbagai cctv, penjaga rumah, didirikan tembok-tembok tinggi bersalut dengan kekaca untuk menghalang dari pencuri masuk. Makin kaya makin sempit jiwanya!

Ada orang yang terlantar di rumah sakit, tetapi mulutnya terkumat kamit dengan zikruLLah. Senyum sahaja dengan pelawat yang datang silih berganti sedikitpun tidak menunjukkan sakit yang dideritainya. Rupanya derita fizikal yang dirasai orang lain sebagai amat berat itu adalah ringan baginya.

Di mana letaknya bahagia itu?

Lumrah hidup manusia ingin mencari kebahagiaan. Orang mengatakan bahagia datang dengan kekayaan. Orang yang sakit mengatakan sihatlah yang memberi kebahagiaan, orang yang dijajah pula mencelah bahawa kemerdekaan adalah puncak bahagia, begitu juga orang yang dipenjara baginya kebebasan adalah bahagia.

Ahli jiwa barat seperti Abraham Maslow menyatakan bahawa kebahagiaan akan tercapai apabila manusia telah mencapai 'self actualization' melalui hirarki keperluan yang diperkenalkannya.

Ibnu Khaldun berpendapat : Bahagia itu adalah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan ALlah dan perikemanusiaan.

Imam al Ghazali menyatakan : Bahagia dan kelazatan yang sejati ialah bilamana dapat mengingat ALlah.

Bahagia bukan datang dengan kebendaan

Adakah datangnya rasa bahagia dengan kemajuan materialistik? Di negara-negara maju seperti di Jepun yang hebat teknologinya seramai 6000 orang membunuh diri setiap tahun. (menurut penyelidikan yang dilakukan oleh Naoki Watanabe a1, Kazuo Hasegawa a1 and Yoko Yoshinaga a2
a1 Department of Psychiatry, Saint Marianna University, School of Medicine, Kawasaki, Japan. a2 Department of Public Health, Saint Marianna University, School of Medicine, Kawasaki, Japan).

Di Amerika pula, negara polis dunia yang menobatkan diri mereka adalah penjaga keamanan mempunyai masalah sosial yang tinggi seperti penyalahgunaan alkohol, dadah dicampur dengan berlakunya penyalahgunaan kuasa tentera yang sudah sedia diketahui dunia.

Manakala Dr Yusof al Qardhawi pula apabila dibuat penyelidikan dari ahli bijak pandai, beliau bertemu dengan seorang ahli fikir yang menyatakan bahawa pokok ketenangan jiwa itu adalah sesuatu yang disimpan oleh ALlah untuk diberikan hanya kepada orang-orang pilihanNya. Ramai orang yang diberi ALlah kepintaran, kesihatan dan harta yang banyak dan tidak kurang pula dengan kemahsyuran. Tetapi ketenangan jiwa hanya dikurniakan oleh ALlah dengan ukuran dan terbatas. Dari pendapat ahli fikir mereka semuanya berdoa : "Biarlah ya Tuhan, segala kesenangan dunia ini terletak di bawah tapak kaki orang yang bodoh. Dan kepadaku, berikanlah hati yang tidak pernah bergoncang!"

Bahagia ada di dalam hati yang tenang, iaitu hanya untuk orang yang yaqin bahawa dirinya akan dikembalikan kepada ALlah. Ketenangan jiwa tiada pada orang yang lemah iman, hidup akan merasa hampa dan putus asa. Berapa ramai manusia yang jiwanya bergoncang, akalnya kacau bilau walaupun di kiri kanannya adalah harta yang bertumpuk, isteri yang menawan, pangkat dan kehormatan yang dipandang manusia ramai.

Ramai manusia yang terpesona dengan kecantikan dunia yang sementara.

"Dan Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang di antara keduanya, bukanlah untuk permainan belaka. Keduanya Kami ciptakan hanyalah dengan tujuan yang benar, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui." (Ad Dukhaan :38-39)

"Adakah kamu mengira, bahawa Kami menciptakan kamu sebagai main-main? dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? " (Al Mukminin : 115)

Hebatnya orang beriman, ia faham tentang Islam, berbangga dirinya sebagai orang yang beriman. Tentulah dia tidak menyesal dengan mengikut apa yang diperintahkan ALlah dan RasulNya, kerana dia tahu, sumber ketenangan itu sudah ada di dalam hati yang mengakui ketuanan ALlah yang mutlak.

يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ (٢٧) ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬ (٢٨) فَٱدۡخُلِى فِى عِبَـٰدِى
(٢٩)
(وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى 


(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! (27)Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! (28) Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia (29) Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!(30)

Isnin, 7 April 2008

Adakah Ini Kerja Wahabi?






Disusun oleh: Abu Syafiq ( 012-2850578 )

JOM PAKAT-PAKAT BANTAH WAHHABI KERANA TUKAR TEMPAT SA'I SOFA & MARWAH

Saban hari umat Islam kini pergi menunaikan Umrah. Tetapi kerana kejahatan Wahhabi pengkhianat agama Allah waktu yang sama melakukan amalan bid'ah yang paling besar iaitu menukar tempat Nabi melakukan sa'i antara bukit Sofa dan Bukit Marwah ke tempat yang lain.

Sekiranya amalan sambutan Maulid dianggap bid'ah sampai beria-ria mengedarkan risalah yang lama lagi kuno kononnya membantah amalan Maulid tapi yang sekarang ini Wahhabi TUKAR tempat sa'i kepada tempat & kawasan lain tanpa berdalilkan sehuruf nas pun dari mana-mana dalil Al-Quran mahupun Hadith adakah ia bukan bid'ah?!

Nah! sekalipun Wahhabi tidak menganggap perbuatan menukar tempat sa'i itu adalah bid'ah maka mana nas yang kata harus?! adakah dari kenyataan orang Barat kafir yang Wahhabi berkerjasama menjatuhkan kerajaan Islam dahulu dan membunuh ribuan umat Islam bersama kafir Barat?!
atau berdalilkan dari ruh Muhammad bin Abdul Wahhab yang menjelma hidup semula menjadi " NABI " memberi sabda?!

Inilah Wahhabi..pengkhianat agama Allah...pencetus hura-hara..tanduk fitnah..
tidak cukup aqidah sesat Wahhabi " Allah Letih Duduk Atas Kerusi" disebarkan dikampung2 kini tempat ibadah (sa'i) yang tetap pula telahpun diubah.

Ketahuilah bahawa Wahhabi sekarang telah melakukan sekurang-kurangnya 5 perkara bid'ah pada tempat sa'i :

1- Wahhabi robohkan tempat sa'i yang asal sehingga orang yang buat umrah sekarang melakukan sa'i BUKAN lagi di kawasan Bukit Sofa dan Marwah tetapi dikawasan yang baru luar dari kawasan sa'i yang disahkan oleh Nabi Muhammad. Dan ketahuilah bahawa sesiapa yang melakukan sa'i di tempat yang baru tersebut maka sa'i nya tidak sah dan tidak harus disisi Islam kerana Nabi Muhammad tidak pernah melakukan sa'i disitu.

2- Wahhabi membina kawasan baru yang kononnya dianggap tempat sa'i di luar kawasan Ziqoq Al-'Attorain iaitu tempat yang telah di naskan sebagai tidak sah sekalipun melakukan sa'i di situ ( Ziqoq Al-'Attoroin ) . Malangnya Wahhabi membina tempat sa'i yang baru luar dan jauh sama sekali dari tempat tersebut.

3- Wahhabi melebarkan tanpa dalil syara' ukuran lebar Bukit Sofa yang ke arah luar kawasan asal sehingga membawa ke kawasan berhampiran hotel-hotel dan kedai-kedai bersebelahan disebelah Timur sehingga kawasan itu pula dijadikan tempat sa'i sedangkan ianya telah terkeluar jauh dari kawasan lebar Bukit Sofa yang asal.

4- Wahhabi tidak ada amanah bila mana dalam kerja mengorek kawasan baru tersebut mereka sendiri dapati bahawa Bukit Sofa & Marwah tidaklah selebar yang mereka sangkakan dan (terbaru) mereka sendiri dapati tempat sa'i yang baru mereka bina itu tidak termasuk dalam kawasan lebar Bukit Sofa & Marwah.
Tetapi cinta dunia dan benci agama menyebabkan lidah terkelu membicarakan kebenaran dek billion Dollar & Riyal telah mengaburi mata mereka.Subhanallah.....

5- Wahhabi akan menyiapkan bentuk tempat sa'i nanti (bulan Ramadhan) dengan bentuk one way iaitu orang ramai akan diarah melakukan sa'i antara Sofa ke Marwah dalam kawasan yang SAH tetapi dari Bukit Marwah ke Sofa pula mereka akan diarah mengunakan kawasan sa'i yang baru yang TIDAK SAH. Ini menjadikan sesiapa yang melakukan sa'i tersebut hukum sa'i nya adalah tidak sah bahkan masih dalam keadaaan Ihram selama-lamanya(sampai buat cara yang betul di tempat yang betul).

* KESEMUA WAHHABI DAN WEBSITE-WEBSITE WAHHABI SERTA MUFTI WAHHABI MALAYSIA MEMPERSETUJUAN PERUBAHAN TEMPAT SA'I TERSEBUT BERSELARI DENGAN IDEA WAHHABI YANG MEROBOH DAN MENUKAR TEMPAT SA'I YANG ASAL.


Semoga Allah membantu hamba-hambaNya yang berakidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah dan memberi hidayah iman kepada hamba-hambaNya yang beraqidah Wahhabi.

Diambil dari blog : www.abu-syafiq.blogspot.com

p/s: saya mengambil artikel dari blog beliau dan dipamerkan di sini, agar kita selalu cega = berawas2 dengan apa yang berlaku di dalam dunia Islam sendiri, yang berlaku di tanah suci Makkah. Banyak perkara yang didiamkan..

Artikel yang saya ambil, bukan menunjukkan saya menyokong apa sahaja yang abu syafiq tulis di dalam blognya. Harap maklum.

Sabtu, 5 April 2008

Dosa Sang Guru Kerana Mendidik Anak Muridnya?


Guru diibaratkan sebagai lilin yang menerangi muridnya dengan ilmu. Pengganti ayah dan ibu di dalam kelas.

Guru membentuk disiplin anak-anak, dilentur agar betul tegaknya apabila sudah dewasa. Dia mengajar 'anaknya' bagaimana cara menyebut, menulis, membaca. Mengajar agar tahu tegak dan bengkoknya cara solat, cara makan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, bahkan untuk menjadikan anak murid sebagai seorang manusia yang berguna dan mempunyai cita-cita.

Lihatlah, yang menjadi pemimpin, menjadi ahli perniagaan semuanya atas jasa pejuang yang tidak bernama ini. Kerana guru, tidak diajar untuk menerima balas jasa, tidak inginkan namanya disebut. Cukup dengan ilmu yang diajar dapat diamal, dihayati. Mudah-mudahan menjadi amal jariah di kemudian hari.

Fahamkah ibu ayah yang dahulunya juga pernah diajar oleh gurunya? Anak-anak perlukan bimbingan dan perhatian di rumah. Bukunya disemak, dilihat kerja rumahnya, ditanyakan siapa kawan-kawannya.

Malanglah sang guru, kerana segelintir perbuatan individu ‘guru’ yang tidak bertanggungjawab, maka semua nodanya di taburkan kepada seluruh insan yang bergelar guru. Disebut-sebut perbuatan guru memukul anaknya – adakah mereka tahu benar peribadi anak sendiri? Ditunding-tunding kesalahan sang guru, padahal mereka lupa. Menyerahkan tanggungjawab, tidaklah sama dengan melaksanakan tanggungjawab. Tidak sama juga dengan orang yang hanya pandai memerhatikan dan mengkritik dengan yang duduk dibangku seorang guru.

Tugas Guru Dijadikan Nilaian

Mereka berkata kerja guru senang, 6 jam sehari, ada hari cuti yang panjang. Boleh makan angin lagi.

Ya, memang kerja guru senang. Perlu bersengkang mata memikirkan perihal anak muridnya sahaja, perlu menanda buku, mengikuti kursus, belum dicampur dengan karenah pentadbiran sekolah, kelas tambahannya, program sampingan sukan sekolah. Yang sudah berkahwin perlu memikirkan keluarga mereka sendiri. Tidur malamnya selalu nyenyak. Mudahnya kerja guru..

Dari A hingga ke Z guru mengajar, dari berdiri tegak sehingga memberi salam diasuh agar muridnya menjadi orang yang tahu Islam. Ada guru yang menyerahkan jiwa raganya di dalam profesion ini, memberi motivasi dan semangat agar anak didiknya terus berjaya. Yang malas, yang suka bermain di dalam kelas, yang hanya tahu tidur, masih tergagap untuk membaca, tidak kenal huruf dan merangkak menyebut perkataan – disuakan dengan teknik belajar. Tidak lupa sang guru untuk mengingatkan anak didiknya itu silalah ulangkaji, tunjukkan pada ibu dan ayah mana yang perlu dibuat dan disemak semula. Tetapi yang lebih difahami - anaknya mesti mendapat semua A apabila mendapat keputusan peperiksaan. "Anak aku pintar, bijak" Dan semuanya diakhiri dengan perkataan 'AKU' juga.

Sang guru memberi nasihat “Awak dah belajar solatkan.. kat rumah solat dengan mak ayah ye..”, lalu dia membalas “mak ayah saya tidak solat cikgu.. nak buat camane?”. Dan sang guru tergumam.

Sebagai seorang ayah dan ibu di dalam kelas, ia tidak senang melepaskan anaknya balik ke rumah tanpa membawa apa-apa yang bermakna di dalam kehidupan. Lalu diberi peringatan – bahawa hormati ibu dan bapa, cium tangan mereka, minta maaf kepadanya. Jangan segan untuk meringankan tulang. Berilah khabar gembira apabila sudah berjaya…

Begitulah… sang guru tetap juga meneruskan pengajaran dan didikannya dengan sabar, walaupun saban waktu hatinya menahan kerana herdikan, cacian dan cemuhan. Dan itulah dosa-dosa guru kerana mendidik anak muridnya..

Jumaat, 4 April 2008

Al Ahnaf bin Qais memeluk Islam

Dalam tahun ketiga sebelum hijrah, Qais bin Muawiyah al Sa'adi menerima seorang cahaya mata yang diberi nama al Dahhak. Namun orang ramai memanggilnya dengan nama al Ahnaf yang bermaksud si tempang kerana kakinya yang tempang hingga akhirnya panggilan ini kekal sebagai namanya.

Qais, ayah kepada al Ahnaf bukanlah seorang yang berkedudukan tinggi dalam kaumnya dan bukan juga dalam golongan bawahan. Mereka berada dalam keluarga pertengahan. Kelahiran al Ahnaf disambut di perkampungan mereka di sebelah Barat Yamamah di negeri Najd.

Anak ini membesar sebagai anak yatim apabila ayahnya terbunuh ketika beliau masih merangkak lagi. Tidak lama kemudian, cahaya Islam menembusi jendela hatinya ketika dia masih muda remaja.

Sebelum kewafatan RasuluLLah s.a.w baginda telah mengutus beberapa orang sahabatnya menemui kaum al Ahnaf bin Qais mengajak mereka memeluk Islam. Para pendakwah ini menemui pemimpin-pemimpin kaum menggesa mereka supaya beriman dan membentangkan kepada mereka hakikat Islam. Namun mereka hanya berdiam diri dan masing-masing hanya memandang antara satu sama lain. Akhirnya al Ahnaf yang ketika itu ada bersama mereka berkata :

"Wahai kaum, kenapa kamu teragak-agak, sekejap ke hadapan sekejap ke belakang. Utusan yang datang kepada kamu ini adalah utusan yang baik. Mereka mengajak kamu supaya mengamalkan akhlak yang baik dan melarang kamu melakukan yang tidak baik. Demi ALlah, semua yang dikatakan oleh mereka itu adalah baik. Terimalah seruan mereka ini supaya kamu akan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Apabila mendengar kata-kata itu, kaum mereka dengan mudah menerima Islam, termasuklah anak muda tadi.

Setelah itu, beberapa pemimpin kaum ini berangkat untuk menemui RasuluLLah s.a.w. Namun al Ahnaf tidak termasuk dalam rombongan ini kerana usianya yang masih terlalu muda.

Walaupun beliau tidak berpeluang untuk menemui Nabi s.a.w, namun beliau masih menerima keredhaan dan doa baginda.

Hakikat Insan

Insan

Yang dinamakan insan itu

Yang selalu lupa

Selalu lalai

Terlalu jinak


Insan

Merekalah yang bijak berkata-kata

Bijak juga beralasan

Akal yang diberi

Nafsu yang dicari

Sedang syaitan memanggil ke jalan mereka

Marilah ke neraka

Dekatilah dosa


Ke mana hendak cari yang beriman,

Sedangkan hendak lari darinya,

Kemana mencari yang bertaqwa,

Sedang hati ini mati,


Insan,

Itulah hakikat dirimu yang sebenarnya

Benarlah ‘Syurga itu dipenuhi segala yang dibenci”

Hanya mereka yang beriman yang dapat menyedari...................