Khamis, 30 Oktober 2008

Senang dan Gembira Dalam Derhaka..

Rumah itu cantik, lamannya besar, ada pula diisikan dengan banyak bilik. Di anjungnya punya mobil yang mahal harganya. Pemiliknya mempunyai banyak kilang serta wang yang bila diminta pasti akan diterima setiap masa.

Sesekali ia keluar membeli belah, pernah beberapa ekor ikan sahaja dibeli rm10 ribu dihabiskan. Siang malamnya dipenuhi dengan hiburan, air arak sudah menjadi tegukan. Pendek kata, hiduplah keluarga ini dengan segala kemewahan. Tidak pernah mengeluh kekurangan makanan, tidak pernah kekurangan pakaian, malah berlebih-lebihan pula. Anak-anaknya tidak pernah diajar kenal tikar sembahyang, tidak pernah diendahkan tentang agamanya. Isterinya dibiarkan sebebas-bebasnya untuk membuka aurat, bergaul dengan lelaki yang bukan mahram tanpa ada sedikit pun rasa cemburu. Kerana tiada masa untuk memikirkan semua itu melainkan disibukkan dengan perniagaannya yang semakin maju.

Ada pula siang dan malam disibukkan dengan mencari rezeki, lupa pula hal ehwal akhirat. Lupa untuk memberi sedekah dan membayar zakat.

***********

Terkadang ada pula orang bertanya mengapa orang yang baik, betul jalannya dicuba dan diuji dengan ALlah. Diuji dengan kesusahan... sudahlah susah, diuji pula dengan kesakitan dan kesempitan. Orang yang kaya raya tidak ingat ALlah bahkan zalim diberi kesenangan, diselimuti dengan kebahagiaan walaupun semakin bertambah-tambah dosanya. Lalu ditanya "dimanakah keadilan ALlah tuan?"

Antara Nikmat dan Istidraj

Pandangan manusia memerhatikan yang cantik itu baik, yang kaya itu bahagia, yang sihat itu senang tanpa diketahui apa nilaian dari sudut pandangan ALlah. Berapa ramai orang yang zalim dihatinya berkeluh kesah memikirkan tentang musuhnya yang bertambah? Berapa ramai pula orang yang cantik diburu orang serta dipergunakan untuk kepentingan, lalu setelah diperolehi 'kecantikan' itu madunya telah dibuang.

Wahai diri, mungkin terkadang dihatimu memikirkan kesusahan. Lidah tetap tidak putus-putus berdoa, jalan tetap terus ke hadapan serta selalu bersangka baik. Manalah tahu, ada ketikanya berburuk sangka juga pada ALlah. Ingatlah diri, orang yang beriman semakin kuat imannya, makin beratlah ujian yang harus ditanggung.

Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan kami telah beriman sedangkan mereka tidak akan diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya ALlah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta. (Surah al Ankabut : 2-3)

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar. (Surah al Baqarah : 155)

Tentang diri orang yang zalim yang mengumpulkan dosa, jangan dirisau keadaan mereka. Walaupun di sebalik kezaliman hidupnya nampak tenang dan aman. Mungkin itulah yang dinamakan istidraj dan bukannya nikmat seperti yang disangkakan. Bukanlah mereka itu selama-lamanya diberi kesenangan yang menipu itu, bahkan ia diberi tangguh supaya dosanya semakin bertambah-tambah. Wahai diri... mudah-mudahan engkau tidak akan termasuk di dalam golongan ini.

Kisah Firaun dan Hamman perlu dijadikan iktibar, lihatlah apa yang disebutkan ALlah yang bererti :

Dan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan) secara yang tidak mereka sedari. Dan Aku memberi tangguh kepada mereka. Sesungguhnya rencana-Ku amat teguh (Surah al A'raf : 182-183)

Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka akan terdiam berputus asa. Maka orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala puji bagi ALlah, Tuhan semesta alam. (Surah al An'am :44-45)

ALlahu ALlah... wahai diri, jika engkau terlupa ingat semula tazkirah yang engkau sendiri beri untuk bermuhasabah diri. Antara nikmat dan istidraj kedua-duanya seakan-akan sama. Hanya Redha dan Murka ALlah menjadi pembeza..




Sabtu, 18 Oktober 2008

Mereka sedang berjuang, tetapi kita?


Di bumi ALlah, bertebaran para dai'e yang mengajak manusia agar kembali mengenal pencipta-Nya.

Di bumi yang bertuah ini, para pendakwah Islam yang ikhlas membenihi di dalam jiwa orang Islam mahupun yang bukan akan akhlaq-akhlaq yang baik. Ada di antara mereka tidak putus-putus mengajak mereka yang lupa dan alpa untuk kembali mengenal ALlah. Di ajar kembali bersyahadah, tahu tentang solat, apa itu puasa, apa itu ertinya sirah RasuluLLah.

Di waktu yang sedang berlalu ini, ada para pencinta di jalan ALlah yang menggalas di bahu-bahu mereka dengan tuntutan menuntut ilmu untuk memberi kefahaman kepada umat Islam. Ada di antara mereka yang terus membaca kitab-kitab susunan para ulamak, ada pula yang menulis tazkirah dan nasihat sebagai peringatan untuk diri mereka dan juga umat Islam umumnya. Ada pula yang menghafaz al Quran dan terus dihafaznya.

Di malam-malam yang menghening ini, masih ada lagi perindu yang merindui ALlah yang tidak betah untuk berdiri, rukuk dan sujud kepada-Nya. Lalu menadah tangan berdoa - agar umat Islam seluruhnya diselamatkan dari azab api neraka. Meminta-minta dengan penuh pengharapan sambil membiarkan air mata mengalir terus agar hidayah selalu diberikan tidak putus-putus. Semoga ALlah tetap memberikan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.

Di perkampungan itu, walau dengan kepayahan, masih ada pejuang-pejuang Islam yang tetap menyebarkan Islam dengan azam yang kuat, bahu membahu antara satu dengan yang lain. Tetap senyum dan ceria menyampaikan ajaran Islam. Diajar cara berdoa, membaca al fatihah,

Para pejuang tidak mengenal penat dan lelah. Kesatuan memberikan mereka kekuatan. Ilmu yang ALlah beri menjadikan mereka lebih faham pentingnya mencari kesatuan dan bukan mencari ruang-ruang perpecahan.

Para pejuang itu, menghiasi diri mereka dengan akhlaq yang baik. Tidak merendah-rendahkan antara satu dengan yang lain apatah lagi ulamak yang sudah dikenali kesolehan dan warak mereka. Semakin ilmu bertambah, terasa benar banyak lagi kejahilan. Lalu semakin takutlah ia kepada ALlah. Semakin jelas pula pakaian taqwa pada dirinya.

Di saat-saat yang semakin penting ini, teringat pula.. apa amal jariah yang sudah dibawa sebelum menyinggah di alam baqa'... ALlahu ALlah...

Jumaat, 17 Oktober 2008

ALlah bersifat hayat (Hidup)


Hayat ertinya hidup. Sifat hayat adalah suatu sifat yang qadim lagi azali yang berdiri pada zat ALlah ta'ala.

ALlah hidup tanpa nyawa, nafas. Tidak juga dengan bertubuh badan dan tidak makan serta minum.

Sifat Hayat (Hidup) menjadi punca atau asas bagi sifat-sifat ALlah yang lain iaitu Qudrah, Iradah, Ilmu, Sama', Basor dan Kalam (Sifat Idrak). Tanpa Hayat maka sifat-sifat lain juga tiada.

Perbezaan hayat (hidup) ALlah ta'ala dengan hayat (hidup) manusia :

Hayat ALlah Ta'ala

1. Qadim lagi azali
2. Tiada tempoh masa (kekal)
3. Tidak bernyawa
4. Tidak bernafas
5. Tidak bertubuh badan
6. Tidak makan dan minum
7. ALlah menghidupkan makhluk yang lain

Hayat Manusia

1. Bersifat baharu (pasti hancur, musnah, mati)
2. Ada tempoh masa
3. Bernyawa
4. Bernafas
5. Bertubuh Badan
6. Makan dan Minum
7. Dihidupkan

Dalil Aqli

Jika ALlah ta'ala tidak bersifat dengan sifat Qudrah, Iradah, Ilmu dan Hayat. Maka tentulah tidak ada alam ini dan segala yang baharu (makhluk). Hendak mengatakan tiada alam ini adalah mustahil kerana alam ini telah ada. Maka pastilah dengan logik akal ALlah ta'ala bersifat dengan keempat-empat sifat tersebut. Kerana dengan qudrah, iradah. ilmu dan hayatnya ALlah ta'ala dapat mencipta alam ini.

Dalil Naqli

1. Dalil Sifat Qudrah (berkuasa) ALlah ta'ala :

إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (٢٠)

Ertinya : Sesungguhnya ALLah amat berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al Baqarah :20)

2. Dalil sifat Iradah (berkehendak) Allah Ta'ala :

إِنَّمَآ أَمۡرُهُ ۥۤ إِذَآ أَرَادَ شَيۡـًٔا أَن يَقُولَ لَهُ ۥ كُن فَيَكُونُ (٨٢)

Ertinya : Hanyasanya Segala urusan apabila Ia (ALLah) menghendaki sesuatu, bahawa berkata Ia jadilah, maka jadilah ia. (Surah Yaasin :82)

3. Dalil Sifat Ilmu (mengetahui) ALlah ta'ala :

هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ‌ۖ عَـٰلِمُ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ‌ۖ هُوَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ (٢٢)

Ertinya : Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dialah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (surah al Hasyr : 22)

4. Dalil sifat hayat (Hidup) ALlah ta'ala :

"ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ


Ertinya : ALlah, tiada Tuhan selain Dia yang tetap Hidup yang kekal selama-lamanya. (surah al Baqarah : 255)

Rabu, 15 Oktober 2008

Pesanan Buat Pemerintah, Dari Ulamak Yang Menyayanginya..

Sambungan dari kisah Pesanan Buat Pemerintah

Kerananya makin tinggilah kegoncangan hatiku kerana melihat kehebatan mereka, dan aku sentiasa menatapkan mataku kepada mereka, dan aku sentiasa menatapkan mataku kepada mereka. Maka aku berbicara pada diriku sendiri bahawa yang sedang sembahyang itu adalah Sufyan.

Maka aku balingkanlah surat kepadanya. Tatkala ia melihat surat itu, badannya bergoncang dan ia menjauhkan diri dari surat itu seolah-olah surat itu seekor ular yang datang kepadanya di mihrabnya. Ia pun rukuk dan sujud dan kemudian memberi salam.

Setelah itu ia masukkan tangannya ke dalam lengan bajunya dan dia lipatkan lengan bajunya dan lalu diambilnya sura itu; dibalik-baliknya dengan tangannya kemudian dibalingkannya kepada orang yang di belakangnya seraya berkata : "Hendaklah surat itu diambil oleh sebahagian kamu yang akan membacanya, kerana aku minta ampun kepada ALLah, bahawa aku janganlah hendaknya menyentuh sesuatu yang telah disentuh oleh tangan orang zalim."

Ubbad berkata :"Surat itu pun diambil oleh sebahagian mereka, maka keadaannya seolah-olah orang yang takut dari patukan mulut ular, kemudian surat itu dibukanya dan lantas dibacanya, sedang Sufyan memperhatikan surat itu sambil tersenyum kehairanan. Tatkala surat itu selesai sibacanya, Sufyan berkata: "Balikkan surat itu dan tulislah di punggung suratnya itu kepada orang Zalim itu!" Ada yang menjawab : "Ya Aba AbdiLlah! Sesungguhnya dia itu adalah khalifah. Apakah tidak baik kalau engkau tulis kepadanya kembali dengan kertas yang bersih?"

Sufyan berkata: "Tulislah kepada orang zalim itu di belakang suratnya itu! Sekiranya surat itu berasal dari barang yang halal, maka dia dapat ganjaran untuk itu. Dan jika ia berasal dari usaha yang haram, maka ia akan disiksa kerananya. Dan tidak ada sesuatu benda yang disentuh oleh orang zalim tinggal pada kita, hal itu tentu akan merosak agama kita."

Kemudian ditanyakan kepadanya : "Apakah yang akan kita tulis? Beliau menjawab :"Tulislah!"

BismiLlahirRahmanirRahim!

Dari hamba ALlah yang pernah berdosa. Sufyan bin Sa'id bin Mundzir As Thauri, kepada hamba ALLah yang tertipu dengan angan-angan, Harun ar Rasyid yang telah mencabut kemanisan Iman.

Kemudian daripada itu, maka sesungguhnya aku telah menulis surat kali ini kepadamu untuk memberitahukan kepadamu, bahawa aku telah memutuskan tali hubungan dengan engkau, aku telah memotong tali cinta engkau dan aku murka dengan tempat kedudukanmu (Khilafah). Kerana engkau telah menjadikan saya sebagai saksi atas pengakuan engkau sendiri atas dirimu seperti tersebut dalam suratmu di mana engkau telah menyerang Baitul Mal kaum Muslimin. Kemudian engkau berikan kepada orang yang bukan berhak menerimanya dan engkau perlakukan harta itu di luar hukum. Kemudian engkau merasa tidak begitu senang terhadap apa yang engkau lakukan. Tersebab engkau telah terjauh daripada aku sehingga engkau menulis surat kepadaku untuk menjadi saksi atas perbuatan diri engkau sendiri.

Adapun aku ini memang telah menjadi saksi atas perbuatan engkau, aku dan begitu juga teman-temanku, iaitu mereka yang telah menyaksikan pembacaan engkau, dan kami akan tampil menjadi saksi atas engkau kelak di hadapan ALlah (subhanahu wa Ta'ala)

Wahai Harun, engkau telah berani menyerang Baitul Mal kaum Muslimin tanpa beroleh kerelaan daripada mereka. Apakah kaum yang masih dibujuk hati mereka rela dengan perbuatanmu itu! Begitu pula para amil yang bekerja mengurus harta itu di bumi ALlah ini, orang yang berjihad Fi sabiliLLah, dan Ibnu Sabil? Apakah rela dengan perbuatanmu itu para pendukung (penghafaz) Al Quran, para sarjana ilmu pengetahuan, kaum janda dan anak yatim?

Apakah rela dengan perbuatanmu itu rakyatmu yang ramai? Maka dari itu pereratlah ikat pinggang engkau dan persiapkanlah jawapan dari pertanyaan dan persiapkan pula untuk penutup bala kelak yang akan menimpa engkau!

Ketahuilah! Bahawa nanti engkau akan berdiri di muka hakim yang Adil, maka sungguh engkau telah mencelakakan dirimu sendiri di kala engkau telah mencabut kemanisan ilmu, zuhud dan kelazatan al Quran serta bergaul dengan orang-orang baik, sebaliknya engkau menyukai dirimu menjadi orang zalim dan menjadi Imam -Pemimpin bagi orang-orang zalim itu.

Wahai Harun! Engkau duduk di atas takhta keraaan dan engkau memakai sutera, engkau pakaikan tabir di hadapan pintu rumahmu dan engkau mahu menyerupakan diri dengan Tuhan pengatur alam semesta. Dan kemudian engkau dudukkan tentera-tenteramu yang zalim di muka pintu engkau dan pagar engkau. Mereka menganiaya orang ramai, tetapi mereka tidak mempunyai keinsafan. Mereka sendiri meminum-minuman keras (khamar), tetapi mereka memukul barangsiapa yang meminumnya. Mereka sendiri berzina, tetapi mereka menghukum bunuh orang-orang yang berzina. Mereka sendiri mencuri (korupsi), tetapi mereka sendiri memotong tangan pencuri.

Apakah hukum-hukum ini tidak dijalankan dulu pada dirimu dan tentera-tenteramu itu sebelum hukum itu dijalankan kepada orang ramai? Berapakah kelak nasibmu wahai Harun, apabila pemanggil telah berseru kerana perintah ALLah :

"Kumpulkan olehmu orang-orang zalim itu dan para pembelanya? Maka engkau pun tampillah ke hadapan ALlah (Subhanahu wa Ta'ala).. sedangkan kedua-dua tangan engkau terbelenggu ke kudukmu yang tidak ada orang boleh melepaskannya kecuali keadilan engkau dan keinsafan engkau sendiri sejak di dunia ini; dan orang-orang zalim itu berdiri di sekeliling engkau dan engkau mendahului dan menjadi Imam mereka untuk pergi ke neraka.

Seolah-olah aku dengan engkau wahai Harun, engkau telah mencekik leher dan mendatangkan aib. Engkau akan melihat kebaikan-kebajikan engkau dalam neraca timbangan orang lain dan kejahatan-kejatahan orang lain dalam neraca engkau, suatu bencana di atas bencana dan kegelapan di atas kegelapan!

Oleh sebab itu peliharalah wasiatku ini baik-baik dan ambillah pengajaran dengan pengajaran yang telah aku berikan kepadamu ini. Ketahuilah bahawa aku telah memberi nasihat kepada engkau dan tidak satu pun yang ketinggalan dalam nasihat itu untuk mencapai sasarannya.

Dari itu, takutlah kepada ALLah, wahai Harun dalam mengatur rakyatmu! dan peliharalah Nabi Muhammad (SallaLLahu 'alaihi wa sallam) dalam memimpin umatnya dan berbuat kebajikanlah dalam memanfaatkan jawatan khilafahmu untuk kepentingan mereka!.

Ketahuilah olehmu bahawa urusan ini jika tetap ia berada di tangan orang lain nescaya ia tidak akan sampai kepada engkau dan ia akan sentiasa berada di tangan orang lain itu. Begitulah dunia, penduduknya berpindah satu demi satu (ke alam baqa' pen). Maka sebahagian mereka ada yang membawa bekal yang berguna baginya, dan yang lain orang yang merugi dunia dan akhirat.

Oleh sebab itu, jauhkanlah dirimu, sekali lagi jauhkan untuk berkirim surat kepadaku lagi, kerana aku sekali-kali tidak akan membalasnya!.

Wassalam,

***

Setelah Ubbad sampai kembali di Baghdad ia pun menyampaikan surat balasan tanpa sampul itu kepada Khalifah Harun al Rasyid yang sedang menanti-nantikan balasan sahabatnya, Sufyan At Thauri.

Harun al Rasyid menghadapi surat itu dan membacanya sedemikian rupa sehingga air matanya mengalir dari kedua-dua matanya sambil menarik nafas panjang.

Orang-orang yang di sekitarnya tidak sampai hati melihat khalifah menangis demikian halnya. Sehingga salah seorang di antara mereka berkata dan menyarankan kepada khalifah : "Ya Amirul Mukminin! Sungguh berani benar Sufyan bicara terhadap engkau, kalau sekiranya diizinkan aku berbuat kepadanya. Aku akan pukul dia dengan besi dan aku masukkan ke dalam jel penjara yang sempit agar menjadi iktibar-pengajaran bagi yang lainnya."

Tetapi Harun Al Rasyid menjawab usul orang itu dengan kata-kata: "Tinggalkanlah kami, wahai hamba dunia yang telah tertipu kerana banyaknya orang yang telah kamu tipu, dan celaka kerana banyaknya orang yang telah kamu celakakan. Sesungguhnya Sufyan adalah satu-satunya, maka biarkanlah Sufyan dalam keadaan yang demikian!".

Begitulah Khalifah Harun al Rasyid memperlakukan surat Sufyan itu, dan surat itu sentiasa diletakkannya di sampingnya yang dibacanya selalu setiap kali mahu mengerjakan sembahyang. Begitulah ia berbuat sampai kepada akhir hayatnya.

Khamis, 9 Oktober 2008

Pesanan Buat Pemerintah

Cerita di bawah ini saya nukil dari : Buku Detik-detik Terakhir Kehidupan RasuluLLah Dilengkapi dengan Daftar Susunan Seratus Tokoh Yang Berpengaruh Dalam Sejarah Dunia, Karangan K.H Firdaus A.N, Pustaka Ilmu, 1997

Sufyan At Thauri, putera Iraq, seorang ulama yang warak, zuhud dan mempunyai keperibadian dan keberanian untuk menyatakan kebenaran. Kebenaran itu adalah kebenaran dan kebatilan itu adalah kebatilan dan siapa pun dan dari mana pun datangnya.

Ia hidup sezaman dengan Khalifah Harun Ar Rasyid, bahkan Harun adalah sahabat karibnya sebelum memangku jawatan khalifah. Sebagai seorang alim yang sangat zuhud, ia sangat benci kepada Ulama-ulama yang terpengaruh dengan harta benda, Ulama'us Su' menurut Imam al Ghazali.

Sufyan At Thauri berkata : "Alim ulama itu tidak ubahnya seperti doktor yang mengubati orang sakit. Harta benda adalah penyakitnya. Apabila Ulama telah merangkul penyakit kepada dirinya sendiri, bagaimana dia boleh mengubati orang lain?"

Kerana Harun Ar Rasyid setelah dia menjadi khalifah menyuguhkan penyakit-penyakit ulama itu kepada para alim ulama di kala itu, sehingga para Ulama menghadap khalifah untuk menerima harta benda itu di istana, maka beliau tidak ragu-ragu sedikit pun untuk memutuskan hubungannya yang akrab selama ini dengan Harun ar Rasyid.

Demikianlah pada hari perlantikannya Harun ar Rasyid menjadi khalifah, maka sahabat lamanya Sufyan At Thauri pun diundang bersama-sama dengan ulama-ulama yang lain untuk menghadiri upacara perlantikan itu. Tetapi setelah perlantikan akan dimulai, alangkah terkejutnya khalifah, kerana sahabatnya yang paling akrab justeru tidak hadir. Hal itu sungguh menjadi tanda tanya yang tidak sedap dirasakan oleh khalifah. Maka dengan tidak lama antaranya, beliau pun menulis surat kepada sahabat akrabnya itu, Sufyan at Thauri. Dan surat itu berbunyi seperti di bawah ini :

BismiLLahirrahmanirRahim!

Dari hamba ALLah Harun ar Rasyid Amirul Mukminin kepada saudaranya, Sufyan bin Said bin Mundzir. Adapun kemudian daripada itu, wahai Saudaraku! Sebagaimana engkau telah mengetahui bahawa ALLah Tabaroka wa Ta'ala telah mempersaudarakan antara orang-orang beriman, dan ia menjadikan hal yang demikian itu supaya dilakukan pada jalan-Nya dan kerana-Nya belaka. Ketahuilah olehmu bahawa saya telah bersaudara dengan engkau dengan persaudaraan yang erat dan tali persaudaraan itu rasanya tidak akan putus-putusnya.

Dan aku mencintai engkau dengan sepenuh-penuh cinta dan kemahuan yang baik. Kalaulah tidak kerana kalung (jawatan) yang telah dikalungkan oleh ALlah kepadaku, tentulah aku akan datang mengunjungi engkau walaupun aku akan merangkak-rangkak sekalipun, demi cinta yang bersemi dalam kalbuku kepadamu.

Ketahuilah, wahai Abu AbdiLLah bahawa tidak seorang pun di antara kawan-kawanku dan kawan-kawanmu melainkan mereka datang berkunjung kepadaku dan mengucapkan selamat kepadaku dengan jawatan yang telah aku terima itu (khalifah).

Aku telah membukakan bagi mereka beberapa buah Baitul Mal (perbendaharaan Negara) dan aku telah memberikan kepada mereka pemberian-pemberian yang berharga mahal apa yang telah membuat hatiku gembira dan menyejukkan mataku; dan aku menanti-nanti kedatanganmu yang terlambat itu, tetapi sayang engkau tidak juga kunjung datang. Oleh itu aku tulislah surat ini kepadamu kerana sangat rinduku kepadamu, dan engkau tentu telah mengetahui tentang keutamaan orang Mukmin, mengunjunginya dan mengikat tali silaturrahim (hubungan kasih sayang) dengan dia.

Kerana itu, bila kelak suratku ini sampai ke tanganmu, maka bergegaslah, bersegeralah datang!"

Demikian bunyi surat Harun ar Rasyid yang baru sahaja dilantik menjadi ketua negara itu. Dan setelah surat itu dipersiapkan, maka Harun ar Rasyid menoleh kepada orang yang berada di sampingnya, tetapi mereka kenal kepada kekerasan watak Sufyan at Thauri. Kemudian surat itu diserahkannya kepada salah seorang pengawal beliau yang bernama 'Ubbad at Thaliqany sambil berkata : "Wahai Ubbad. ambil suratku ini dan hantarkan dia ke Kufah, maka apabila engkau telah masuk kota itu tanyakanlah kepada Kabilah Bani Thaur. Kemudian bertanyalah di mana Sufyan at Thauri berada. Maka apabila engkau telah melihatnya berikanlah surat ini kepadanya. Perhatikan benar-benar akan hatimu segala apa yang dikatakannya!"

Begitulah pesuruh khalifah menjalankan tugasnya, dan sampainya di Kufah ia bertanya tentang Sufyan at Thauri, dan seorang menunjukkannya di Masjid. 'Ubbad bercerita, bahawa setelah Sufyan at Thauri melihat kedatangannya, ia pun segera berdiri dan mengucapkan: "A'udzubiLLahis Samiil Alim minasy Syaitanir Rajim wa a'udzubiKa ALlahumma min Tariqin atruqu illa bikhoirin."

Ertinya : "Aku berlindung dengan ALLah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang terkutuk, dan aku berlindung kepada Engkau ya ALlah daripada orang yang datang, kecuali yang datang membawa kebajikan."

"Kata-kata itu terhunjam di jantungku," kata Ubbad, dan aku pun keluarlah." Tatkala aku turun di pintu masjid, beliau pun bangkit untuk mengerjakan sembahyang, padahal waktu itu belum ada masuk waktu sembahyang (fardhu, Pen). Maka aku tambatkanlah kudaku di dekat pintu masjid dan aku pun masuklah ke dalam Masjid. Aku melihat para pengikut beliau duduk bersama menundukkan kepada mereka bagaikan pencuri-pencuri yang di hadapkan kepada Sultan (penguasa, hakim Pen) dalam keadaan ketakutan akan siksaan hukumannya.

Aku mengucapkan salam kepada mereka, tetapi tidak seorang pun di antara mereka yang mengangkatkan kepalanya, dan mereka menjawab salamku dengan hujung-hujung jari mereka sahaja. Aku tetap berdiri kerana tidak seorang pun di antara mereka yang mempersilakan aku duduk.

Bersambung..

Rabu, 8 Oktober 2008

Kenangan Syawal

Syawal kali ini saya sambut di Johor dan Kelantan (rumah isteri). Adalah perbezaannya, selama ini sambut raya sebagai seorang yang bujang. Dan kali ini berdua, kena pandai pula bertoleransi dengan isteri.

Di 1 syawal, terasa kesyahduannya apabila meninggalkan bulan Ramadhan. Malam itu sempat juga bertakbir bersama adik di ruangan tengah rumah.

Pada paginya ke surau untuk bertakbir lagi bersama-sama saudara seIslam yang lain. Sesak juga kerana ramainya jemaah yang bersama-sama ingin menunaikan solat sunat Aidilfitri serta menyantap telinga dengan khutbahnya.


Berhari Raya

Selepas bersalam-salaman sesama ahli keluarga, pergi pula berziarah di rumah makcik dan berkesempatan bersama adik beradik untuk menziarahi kubur sambil membacakan ayat Al Quran dan berdoa agar pahala yang dibaca dapat diberikan kepada arwah ayah, makcik dan untuk ahli kubur di situ umumnya.

Kata makcik "jadi macam mak ngah ni, bercerai mati".

Kemudian setelah menziarahi pakcik dan makcik sebelah arwah ayah, pulang pula ke kampung ibu. Bermalam juga di kampung (rutin yang selalu dibuat setiap tahun). Keesokan harinya meneruskan amalan ziarah menziarahi, bermaaf-maafan dengan sanak saudara.

Dunia Baru

Di Kelantan - suasananya berbeza dengan di Johor. Tidak terlalu meriah sambutan Hari Raya Aidilfitri, tetapi ramai yang mengadakan walimatul urus. Di Johor - Ketupat, kuih muih yang pelbagai, dan biasanya ada pelita yang dipasang di halaman rumah, terdapat konvoi beramai-ramai sehingga sesak perjalanan. Di Kelantan - nasi minyak, tapai pulut, ada juga kuih muih, kurang berkonvoi, jadi tidak nampaklah ketara berjujuk-jujuk kenderaan di kampung-kampung.

Bila menziarahi orang-orang tua banyak perkara yang dapat disimpan dalam jiwa. Bagus pula melihat bagaimana persaudaraan di antara mereka melawat antara satu dengan yang lain. Bertemu dengan bekas guru besar - beliau pula menceritakan tentang keadaan murid dahulu dan sekarang. Perbezaan yang amat besar apabila murid-murid amat menghormati guru yang mengajar. Berjalan tahu menunduk hormat, dimarahi tahu untuk dijadikan pengajaran, dirotan tidak pula mengadu sebab ibu dan ayah dahulu memberi kepercayaan penuh kepada guru untuk mendidik anak-anaknya.

Bertemu dengan warga emas - jasad mereka menceritakan pula tentang kesihatan diri. Sakit lutut dan pinggang, kisah suasana ketika mengerjakan haji dan sebagainya untuk dijadikan iktibar kepada diri yang masih muda belia. Ubat-ubatan zaman sekarang pun jika digunakan selalu ada kesan buruknya. Sayur-sayuran yang segar bugar bagaimana ia tumbuh? Kagum juga melihat mereka masih berusaha untuk menjaga aurat dan selalu senyum.

AlhamduliLLah, berkesempatan juga bertemu dengan sahabat dari Universiti Al Azhar yang sudah banyak kali menyampaikan kuliah agama di kampungnya membahas mengenai tafsir surah yang pendek iaitu ustaz amin daud. Sempat juga berbincang dengannya mengenai isu semasa tanahair dan Kelantan sendiri terutama mengenai aqidah dan hal ehwal agama.

Dalam kegembiraan, bukan tiada saudara kita yang bersedih, dalam kesusahan, meniti usia senja. Setiap diri akan menceritakan tentang kenangan Syawal yang tersendiri.

Di dalam hati, semoga dapat lagi merasai bulan Ramadhan kerana bahangnya masih lagi dirasai sehingga kini. Amiin Ya Robb..