Selasa, 30 Disember 2008

Palestin...Apa Yang Dapat Kami Bantu..


Sebenarnya kisah Palestin tenggelam dan timbul, kerana banyak isu lain yang lebih diutamakan di dalam akhbar-akhbar dan media massa. Sehinggalah beberapa hari ini israel semakin mengganas dan membunuh lebih 300 orang Palestin.

Apa hebatnya Palestin sehingga semua umat Islam perlu mengambil cakna kepadanya?

Palestin dianggap tanah suci umat Islam berdasarkan firman ALlah yang bererti :

"Wahai kaumku! Masuklah kamu ke tanah suci yang telah ALlah subahanahu wa ta'ala telah perintahkan bagi kamu sekalian" (Surah al Maidah : Ayat 21)


Palestin adalah tanah yang diberkati ALlah. Firman ALlah yang bererti :

"Maha Suci ALlah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjid al Haram ke Masjid al Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya." (Surah al Isra' : Ayat 1)


Firman-Nya lagi yang bererti :

"Dan telah Kami tundukkan untuk Sulaiman angin yang sangat kencang tiupannya yang berhembus dengan perintah-Nya ke negeri yang Kami telah memberkatinya. Dan adalah Kami Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah al Anbia' : Ayat 80)


Di tanah itu terdapat Masjid al Aqsa yang merupakan kiblat umat Islam yang pertama sebelum ditukar ke Masjidil Haram menghadap Kaabah. RasuluLLah telah bersabda yang bererti :
"Tidak digalakkan mengambil berat dalam pengembaraan kecuali kepada 3 masjid; Masjid al Haram, masjid ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al Aqsa. " (Riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Abu Daud)

Di bumi ini, terdapat ramai pesuruh ALlah yang diutuskan antaranya adalah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Luth. Di sini juga adalah bumi Nabi Muhammad sallaLLahu 'alaihi wasallam di isra'kan.

ALlahu..ALlah...

Bangunlah Wahai Pahlawan Islam

Di bumi ini, ia pernah diperintah oleh Kristian selama 88 tahun (1099-1887). Dan akhirnya jatuh di tangan pahlawan Islam yang terkenal iaitu Salahuddin al Ayyubi seorang bangsa Kurdi yang bukan dari bangsa Arab. (Siapa yang berjuang di atas nama Islam, pasti ALlah akan tingkatkan darjatnya).

Negara haram Yahudi telah tertubuh melalui British yang mengisytiharkan menerusi Perjanjian Bulfor pada 2 November 1917 dan mendapat persetujuan Amerika Syarikat pada 31 Ogos 1918.

Pelajar Melayu yang belajar di Mesir pernah berjuang dengan menubuhkan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) yang kemudiannya ditukar nama kepada Persekutuan Melayu Mesir (1952) dan akhirnya nama yang terakhir adalah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir PMRAM (1971) bersama-sama kerajaan Mesir pada masa itu untuk memerangi tentera Israel yang bergabung dengan Perancis dan British. Pada 29 Oktober 1956, di atas semangat persaudaraan Islam PMRAM telah menyertai tentera Mesir memerangi tentera musuh hingga ke perbatasan Suez. Manakala pelajar-pelajar yang tidak berkeupayaan menyertai jihad ini telah memberi sumbangan dengan menderma darah..

Golongan siswi pula tidak ketinggalan memberikan sumbangan menerusi khidmat menjahit pakaian tentera.

Mereka Saudara Kita

Dan kini bumi Palestin telah digemparkan lagi dengan peristiwa pembunuhan yang seolah-olah tidak akan sehabis-habisnya sehinggalah Yahudi melalui Israel Zionis menguasai setiap inci tanah Palestin. Namun yang perlu kita fikirkan adalah nasib saudara-saudara seIslam yang terkorban dan al Aqsa di bawah penguasaan Israel Zionis.

Apa yang dapat kami bantu wahai saudaraku...

1. Sekiranya anda seorang guru, ustaz, penceramah, rakan-rakan yang sedar dan cintakan saudara seIslam serta al Aqsa, sampaikanlah kepada mereka akan kepentingan Palestin, Masjidil Aqsa serta semaikan di jiwa mereka kisah pahlawan Islam dan penderitaan saudara kita di sana. Sesungguhnya kita ini disatukan dengan kalimah La ila ha illaLLah.

2. Sekiranya anda berkemampuan dari segi kewangan maka bolehlah menderma di sini.

3. Sampaikan berita-berita terkini mengenai palestin dan umat Islam di negara lain melalui emel, YahooGroup, sms, mms, majalah dan sebagainya sebagai medium penyampaian untuk memberi kesedaran kepada umat Islam dan rakyat Malaysia umumnya tentang penderitan rakyat Palestin.

4. Anda boleh berusaha untuk memboikot barangan atau pengeluar yang membantu Israel dalam membangunkan ekonomi dan membunuh umat Islam di Palestin.

5. Sekiranya anda seorang penulis, wartawan, kolumnis, atau seorang yang mempunyai kesedaran tentang pentingnya menyelamatkan tanah Palestin, al Aqsa dan umat Islam silalah untuk menulis surat, menulis artikel, petisyen. Mudah-mudahan dengan usaha ini, ada di antara mereka yang berautoriti dan benar-benar sayangkan Islam akan memanjangkannya kepada pihak atasan, kedutaaan dan lebih dari itu OIC.

6. Sekiranya anda seorang penulis blog, admin laman web, pereka grafik yang kreatif membuat widget bolehlah memaparkannya di blog dan web masing-masing. Disarankan juga untuk memakai baju 'bebaskan palestin' contohnya.

7. Jangan lupa untuk mendoakan mereka di Palestin, juga umat Islam di seluruh dunia juga kepada pejuang-pejuang Islam yang sedang berjuang di negara masing-masing.

Mudah-mudahan dengan usaha kecil kita ini dapat meringankan beban penderitaan umat Islam di Palestin. Dan ALlah memandang kita sebagai Muslimin yang telah berusaha untuk membantu saudara-saudaranya.. Insya ALlah.

Sumber Rujukan :

1. Prof Madya Dr Mohsen M. Salleh, Isu Palestin, Latarbelakang dan Kronologi Perkembangannya Sehingga Tahun 2000, 2001, Fajar Ulung, Kuala Lumpur

2. AbduLlah Nasir Ulwan, Pejuang Pembaharuan Salahuddin Al Ayyubi, Cet Pertama 1999, Darul Nu'man, Kuala Lumpur

3. Ibnu Ismail, Nostalgia Syuhada' Palestin, Cet Pertama 2003, al Qassam Library, Pahang

Maaf.. Saya Tidak Tahu..

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :
ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadith di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu soal agama walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jarinya mengeluarkan 'fatwanya' sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk neraka.

Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.

Fahamlah, rupanya proses untuk mengeluarkan fatwa itu sendiri bukanlah senang. Kerana ulamak takut untuk mengeluarkan hukum tanpa hak.

Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya orang :
"Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih...? "Tidak...!", jawabnya. "Dua ratus ribu hadith..?" "Tidak..!.. katanya. "Tiga ratus ribu hadith..?" "Tidak..! Jawabnya. "Empat ratus ribu hadith..? "Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.


Dengan menghafaz belumlah dikatakan seorang faqih yang dapat mengeluarkan fatwa selagi ia tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi syarat-syarat lain untuk berfatwa.

Sukarkah Mengatakan "Aku Tidak Tahu" ?

Ulamak salaf (ulamak yang hidup di kurun ke 3 dan sebelumnya- kurun yang terbaik) melarang keras orang yang berani mengeluarkan fatwa tanpa mempunyai ilmu dan persediaan yang cukup.

Alangkah, para ulamak muktabar yang benar-benar takutkan ALlah seperti Imam Malik pernah berkata :

Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)".

Ibn al Qasim berkata :
"Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : "Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti".

Ibn Abi Layla pernah berkata :
"Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul sallaLLahu 'alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.


Fahamlah di sini, mengapa kita perlu menghormati ulamak muktabar yang terdahulu. Yang telah mengasaskan mazhab dan menulis kitab-kitab, mengajar anak muridnya untuk menyampaikan ilmu yang diajarnya kepada umat Islam yang lain.

Antara Maksum dan Orang Yang Berilmu

Ada pula laungan-laungan dari orang awam atau mereka yang bukan dari kalangan ulamak malahan yang baru menghafaz beberapa hadith mendabik dada mengatakan dirinya adalah tempat dijadikan rujukan. (Sedangkan rujukan dirinya hanya melalui internet semata-mata dan sumber yang amat sedikit berbanding para ulamak muktabar). Ingatlah bahawa ilmu dan akhlaq akan berjalan seiring. Orang awam seperti kita ini mengatakan pula 'ulamak tidak maksum' terutamanya tuduhan ini ditujukan kepada ulamak yang mengasaskan mazhab, ulamak seperti Imam asy Syafie, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hambali. Bahkan melekehkan pula orang yang mengikut mazhab yang disampaikan oleh ulamak-ulamak, ustaz ustazah dan guru-guru.


Ya, benar, ulamak tidak maksum (ada membuat dosa dan kesilapan). Tetapi berbanding dengan orang yang bercakap atau ustaz yang selalu memperlekehkan ulamak muktabar. Siapa pula yang lebih berilmu, lebih berkelayakan untuk mengeluarkan hukum? Ulamak yang lebih muktabar jauh lebih tinggi ilmunya, menguasai disiplin ilmu untuk membolehkan mereka mengeluarkan pendapat. Di sinilah adanya perbezaan yang besar di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, kurang ilmu, faham dan tidak faham, sempurna akal dan yang tidak, dan yang jahil. Sebagaimana firman ALlah :

قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ‌ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٩)


Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah az Zumar : Ayat 9)

Terkadang terfikir juga penuntut ilmu yang cetek akhlaknya, atau mereka yang berfikiran suka melekehkan ulamak muktabar hanya memandang ulamak dari atas kertas sahaja. Mentang-mentang nama-nama ulamak itu sudah acapkali dilihat dan ditulis di dalam akhbar, majalah dan buku-buku, kitab-kitab yang banyak berlegar di pasaran. Mentang-mentang sudah belajar beberapa hadith sahih dan beberapa ilmu yang baru.

Semaklah sejarah semula, jangan dilipat sahaja adab-adab dan akhlaq ulamak muktabar, lihat bagaimana cara mereka berfikir sebelum mengeluarkan pendapat, jenguklah disiplin ilmu yang telah mereka kuasai sebelum berani mengeluarkan fatwa. Luaskan pandangan bagaimana ulamak mendidik jiwa mereka, melihat kepada keadaan, cara hidup dan budaya. Imam Syafie juga menghormati mazhab hanafi apabila datang ke tempat mereka yang mengikut mazhab tersebut.

Untuk akhirnya para fuqaha' selalu berkata "Sesiapa yang tidak pernah mengetahui dan mengerti perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan fuqaha', bermakna dia belum sempat menghidu haruman fiqh..!

Sumber rujukan :

1. Prof Dr Yusuf al Qardhawi, Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub, Fatwa & Antara Ketelitian & Kecerobohan, 1996, Thinker's Library, Selangor.

2. http://quranexplorer.com

Isnin, 29 Disember 2008

Salam Ma'al Hijrah 1430 Hijrah

Jajarkan ke Tengah
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah. Semoga kita berubah menjadi yang lebih baik dari semalam. Perjuangan masih panjang, di kiri kanan masih banyak denai dan duri yang menggigit. Tetapi matlamat ALlah adalah tujuan menjadikan diri bertambah gigih untuk melaluinya.

Ingatlah wahai diri, keutamaan di zaman kini yang perlu diperhatikan adalah masalah sikap dan cara berfikir yang perlu meniti kematangan. Matang menjadikan diri bertambah faham. Umat Islam semakin ditekan dengan serangan pemikiran, dicabul hak-hak di dalam perundangan Islam, keruntuhan moral semakin membimbangkan. Ramai umat Islam di dalam kebuluran, diambang peperangan.

Di kala ini, musuh Islam semakin terbuka jalannya untuk menghancurkan kesatuan ummah. Semakin gembiralah mereka kerana berjaya membuat tipu daya. Ya.. kita berbunuhan, berperang sesama sendiri - dan musuh Islam hanya ketawa, memerhati dari jauh. Alangkah malangnya jika yang memecahbelahkan ukhuwah adalah di kalangan kita sendiri yang tidak sehabis-habisnya menimbulkan perkara cabang yang sudah habis tuntas dibincangkan oleh para ulamak muktabar. Tajdid yang sebenar adalah yang dapat menyatukan umat Islam, memberikan sumbangan untuk agama Islam agar kembali gemilang.

Wahai diri, apa yang engkau pelajari selama ini, apa yang engkau perhatikan, dengar dan saksikan menjadikan engkau bertambah faham. Engkau perlu berusaha mengembalikan saudara-saudara kita beradab dengan apa yang dinamakan ilmu pengetahuan. Ilmu tanpa disiplin akan pincang. Ilmu tanpa akhlak menghina ilmu ALlah sendiri.

Wahai diri, belajarlah menyebut ikhlas. Ada tangan-tangan yang perlu engkau sambut, ada hati-hati yang perlu disapa dengan kasih sayang. Ada diri-diri yang perlu dibangunkan dari lena yang panjang. Hidup kita bukanlah selalunya selesa sahaja. Oleh itu, menghadapi kesusahan akan menjadi lebih tenang apabila sudah ada persediaan ke arah itu.

Salam perubahan, salam kemenangan dan kegemilangan.

Ahad, 28 Disember 2008

Al Qasim bin Muhamad Bin Abu Bakar


"Jika saya ada kuasa dalam hal ini sudah tentu saya akan melantik al Qasim bin Muhammad sebagai khalifah."
[Umar bin Abdul Aziz]
Pernahkah anda mendengar kisah ulama tabi'in yang agung ini? Segala kegemilangan bersatu dalam jiwanya. Bapanya adalah Muhammad bin Abu Bakar al Siddiq dan ibunya ialah anak perempuan Kisra, Yazdajurda, maharaja terakhir kerajaan Parsi. Ibu saudaranya ialah Aisyah, Ummu Mukminin.

Malah apa yang lebih utama ialah beliau telah memahkotakan dirinya dengan mahkota takwa dan ilmu. Adakah selain daripada kemuliaan ini, ada lagi kemuliaan lain yang dicari-cari oleh manusia.

Beliau ialah al Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar al Siddiq. Salah seorang daripada tujuh ulama Madinah dan orang yang paling terkehadapan dalam keilmuan di zamannya. Seorang yang tajam fikirannya dan sangat warak.

Marilah kita ikuti kisah hidupnya.

***

Al Qasim bin Muhammad dilahirkan di akhir zaman pemerintahan Uthman bin Affan radiyaLlahu 'anhu. Ketika anak kecil ini masih dalam buaian lagi, negara Islam telah terjebak dalam kancah yang melanda. Ketika inila Khalifah Uthman bin Affan yang digelar Zu Nurain, soerang yang terkenal dengan ibadat dan zuhudnya terkorban rebah di atas lembaran al Qurannya. Setelah itu, timbul pula pertembungan yang hebat antara Amirul Mukminin, Ali bin Abu Talib dengan Gabenor Sham, Muawiyah bin Abu Sufyan.

Dalam suasana yang penuh kegawatan dan genting, anak kecil ini bersama-sama dengan adik perempuannya terpaksa berpindah dari Madinah ke Mesir. Mereka terpaksa mengikut ayah mereka yang baru sahaja dilantik oleh Amirul Mukminin, Ali bin Abi Talib sebagai gabenor di sana. Malangnya tangan-tangan khianat menjerut ayahnya dan membunuhnya dengan kejam.

Peristiwa malang ini memaksa anak kecil ini berpindah semula ke Madinah setelah Madinah ditawan oleh pengikut Muawiyah. Anak kecil ini kini menjadi yatim.

***

Al Qasim pernah menceritakan sendiri kisah malang yang menimpanya. Beliau menceritakan :

"Setelah ayah dibunuh di Mesir, bapa saudara saya Abdul Rahman bin Abu Bakar datang untuk membawa saya dan adik perempuan saya ke Madinah. Sebaik sahaja kami sampai di Madinah ibu saudara saya, Aisyah radiyaLlahu 'anhu datang mengambil kami dan membawa kami ke rumahnya. Kami kini diasuh dalam belaiannya.

Saya tidak pernah melihat seorang ibu atau ayah yang begitu baik dan pengasih sepertinya. Beliau menyuapkan sendiri makanan ke mulut kami dengan tangannya. Malah beliau tidak makan ketika kami makan dan hanya sisa-sisa makanan kami yang menjadi makanannya. Kami dibelai olehnya seperti seorang ibu yang menyusukan anaknya. Beliau akan memandikan kami dan menyikat rambut kami dan sentiasa memakaikan kami dengan pakaian yang putih bersih.

Beliau tidak pernah lupa menyemai kami dengan nilai budi yang baik dan mendidik kami supaya melakukannya. Beliau juga tidak lupa melarang kami daripada melakukan kejahatan dan mendidik kami supaya tidak melakukannya. Kami sentiasa diajar KitabuLlah dan dididik supaya menghafal hadis-hadis RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam mengikut keupayaan kami.

Ketika hari raya, kemesraannya lebih terasa, apatah lagi dengan hadiah yang diberikannya. Pada malam hari Arafah, beliau mencukur rambut saya dan kemudian memandikan saya dan adik perempuan saya. Ketika pagi raya beliau menyarungkan kami pakaian baru. Setelah itu, beliau menyuruh seseorang membawa saya ke masjid untuk menunaikan sembahyang hari raya. Apabila saya pulang, beliau memanggil saya dan adik saya berkumpul. Beliau kemudiannya melakukan upacara korban di hadapan kami.

Rabu, 24 Disember 2008

Salah Faham, Dan Membetulkan Kefahaman

Sejak akhir-akhir ini saya melihat semakin ramai orang awam termasuk pelajar yang tiada asas di dalam ilmu agama seperti aqidah, feqh suka membaca di dalam laman web tertentu dan terus mengambilnya. Apatah lagi di laman tersebut menggunakan slogan 'Kembali kepada Al Quran dan Hadith Soheh', Salafi dan sebagainya. Sedangkan isinya tidak menggambarkan slogan yang dibawa. Telah banyak kekeliruan yang dibawa, banyak hukum yang telah dikeluarkan sesuka hati. Antara kata-kata yang paling sedap didengar adalah "ambil sahaja hadith sahih" Sedangkan perkataan ini jika yang menggunakan hadith sahih tanpa ilmu bagaimana cara menggunakan, kejahilan mengenai asbabun wurud, khusus dan am, adakah hadith itu sudah nasikh atau mansukh - ia boleh merosakkan syariat Islam. Contohnya seperti hadith di bawah. :


1. RasuluLLah bersabda yang bermaksud :

Batal puasa yang membekam dan yang dibekam (hadith sahih riwayat Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah)

2. Hadith lagi satu yang sahih pula, berkata Ibnu Abbas : Bahawasanya Nabi berbekam pada ketika beliau sedang ihram dan sedang puasa (hadith riwayat Bukhari).

Yang mana satu kita perlu gunakan? Sedangkan kedua-duanya adalah sahih? Bayangkan jika hadith sahih yang pertama diambil oleh seorang yang jahil dalam ilmu hadith dan kemudiannya disebarkan. AlhamduliLLah melalui ulamak mujtahid mutlaq yang pakar dalam al Quran, ilmu hadith iaitu Imam Asy Syafie telah menjelaskan bahawa hadith di atas telah dimansukhkan oleh hadith kedua.

Ya, saya sudah banyak mengulas di dalam blog ini mengenainya melalui penulisan oleh mereka yang sedar tentang perkara ini, atau tulisan saya sendiri seperti :

1. Adakah Kita Perlu Meminta Dalil Tanpa Ilmu ?
2. Sedih Melihat Sikap Segelintir Ilmuwan Agama
3. Budaya Ilmu Kini - Jahil Dalam Disiplin Ilmu
4. Berilmu Tetapi Tidak Berakhlaq?
5. Kaya Maklumat, Tetapi Tapislah...
6. Mengapa Mereka dan Bukan Kita?

Saya juga menukil kata pengantar dari mufti di Malaysia dan kata pengantar terjemahan dari Mufti Mesir mengenai perkara ini :

1. Peringatan Ulamak Islam Tentang Golongan Pemecah Belah
2. Peringatan Ulamak Islam Tentang Golongan Pemecah Belah II

Kegusaran saya ini bersebab, sahabat saya ada memberitahu di sebuah kawasan Penang telah berlaku perpecahan antara umat Islam dengan kedatangan satu golongan yang mengatakan diri mereka betul dan amalan orang lain terkeluar dari landasan ahlu sunnah wal jama'ah sedangkan tuduhan ini salah. Mufti Perak dalam satu sesi soal jawab dengan Ngo memberitahu telah berlaku penceraian di Kuala Lumpur kerana kejahilan feqh. Di surau saya sendiri beberapa tahun yang lalu, ada golongan yang tidak bertanggungjawab telah menampal risalah kenduri tahlil sebagai sesat tanpa menyelidik terlebih dahulu.

Ada juga beberapa sahabat di dalam forum yang mengutarakan kerisauan yang sama kerana ada sahabatnya yang lain telah bermudah-mudah menghukum sesat kepada umat Islam yang lain tanpa hak.

ALLahu ALlah...

Ya, saya perlu membuat sesuatu bagi menjelaskan masalah ini kepada orang awam dan diri sendiri yang tergolong dari orang awam juga. Kerana saya sedar bilangan pengguna di Malaysia ini bukan sedikit bilangannya. Maka kerana itu sejak tahun-tahun yang lalu saya mencari jawapannya dengan bertanya kepada mereka yang lebih arif, dan juga mencari di toko-toko buku agama untuk menyelidik dan mengkaji mengenai amalan-amalan majoriti umat Islam dan masalah ijtihad ulamak yang dituduh sebagai sesat. Di situ banyak juga saya taip kembali melalui rujukan buku-buku terjemahan dan kitab penulisan ustaz yang menjawab persoalan-persoalan ini dengan hujjah dan dalil yang mantap.

Maka kerana itu juga saya telah membuat blog baru bagi menjawab masalah ini di : Http://jomfaham.blogspot.com.

Mudah-mudahan semakin ramai yang sedar dan bangkit membetulkan tuduhan yang tidak berasas. Dan sama-sama bangun untuk membetulkan fahaman yang memecahbelahkan, mengelirukan umat Islam.

Jumaat, 19 Disember 2008

Menjiwai Alam


Lalu gunung dan bukit bukau berkata :

Ya, dahulu kita semua pernah disuruh oleh ALlah untuk memegang amanah sebagai khalifah, tetapi kita menolak. Kerana kita tidak sanggup menanggung bebanan yang berat itu. Manusia pula sanggup menerima.

Kita sudah lama bersabar dengan manusia, badan kita ditarah-tarah untuk dibuat pembangunan dan mereka dirikan pula rumah di sini. Lupakah mereka kita ini adalah pasak di bumi, jangan dilakukan sesuka hati sahaja?. Itu belum ditambah dengan maksiat yang dilakukan sewenang-wenangnya.

Manusia ramai yang sombong, sudah diberi peluang hidup di dataran tanah. Tetapi dipanjat juga tempat yang tinggi katanya untuk keamanan, keselesaan. Bukankah teman kita sang air memerlukan ruang untuk bergerak?. Bahkan rakan kita pepohonan rimbun memerlukan kehidupan dan menahan dada kita dari rosak?

Ya, benar - kita sudah terlalu tua untuk menerima segala kerakusan manusia.. Atas kehendak ALlah jualah kita dikerahkan untuk menggelongsor buat peringatan bagi yang lupa.

Lalu pepohonan hijau juga mencelah :

Entahlah... berapa ramai yang menghargai kita. Kawan-kawan ramai yang mati ditebang orang. Manusia bila sudah kaya terus ingin menjadi kaya dan tamak sehingga mengorbankan ramai kawan kita.

Apakah manusia tidak memerhatikan ?, kita diperlukan untuk membekalkan oksigen yang segar. untuk menahan terik matahari, agar haiwan mempunyai tempat tinggal yang sempurna dan makanan yang mencukupi.

Sang haiwan pula berbisikan :

Kita sudah lama berdiam di dalam hutan, tetapi diganggu juga. Apabila kita beramai-ramai keluar dimarahi pula!. Gajah dibunuh untuk gadingnya sahaja, harimau ditembak untuk kulit dan beberapa bahagian badan untuk perubatan kata mereka. Badak, dan unggas lain semuanya sudah membawa dirinya masing-masing. Ada yang ditangkap untuk dipamerkan di zoo, malangnya umur mereka tidak selanjut usianya sebagaimana di dalam hutan.

Manusia pula akan menjawab apa?

Khamis, 18 Disember 2008

Penduduk Kg Teji dan Abu, Semoga Berjumpa Lagi!

Ada penduduk di Kampung Abu yang membela kambing

Bergotong royong memotong daging untuk dimasak dan dijamu kepada penduduk Kampung.


Muslimat sedang memberi penerangan solat kepada kaum amek(ibu) dan kerar serta kedur (budak kecil lelaki dan perempuan) orang asli




Muslimin pula memberi penerangan kelebihan dan cara solat kepada abe (ayah)

Pada malamnya saya ada memberikan sedikit tazkirah kepada sahabat Comrade dan orang kampung Teji mengenai bersyukur. Untuk pengetahuan, dengan orang asli untuk berdakwah tidak perlu menggunakan perkataan yang 'bombastic' kerana tingkat cara berfikir mereka tidak sama seperti kita. Bahasa biarlah yang mudah-mudah dan senang diterima. Begitu juga dengan pertuturan hendaklah dijaga, perkataan yang kasar dan kesat akan menyebabkan mereka berasa hati.

Selepas tazkirah, saya diajak oleh salah seorang peserta program untuk makan malam bersama keluarga angkatnya. Menyelerakan! sedap masakan yang dimasak. Orang kampung Teji amat menghormati tetamu. Mereka sanggup bersusah payah membeli ayam kampung walaupun makanan itu 'mahal' harganya buat mereka. Dalam masa yang sama, saya juga secara perlahan-lahan mengajak keluarga itu memeluk Islam kerana majoriti penduduk Kampung Teji sudah memeluk Islam dan ia mendapat sambutan positif daripada keluarga tersebut. Semoga ALLah memberikan hidayahNya kepada mereka, Amiinnn. (jangan salah sangka ya, ayam disembelih sendiri oleh peserta dan masakan mereka semuanya halal :) )

Kemudian lebih kurang pukul 9.30 malam kami dijemput untuk mengikuti tarian sewang sambutan kepada tetamu (peserta program IPTA). Tarian sewang adalah tarian orang asli samada untuk menyambut tetamu, berubat atau disebabkan kematian. Oleh itu, kami hanya sebagai pemerhati dan menghormati undangan sebab kebiasaannya tarian sewang disertai dengan mantera yang boleh mengundang kejadian yang pelik (pernah berlaku sebelum ini).

Cuma saya sebagai 'orang tua' di program tersebut hanya membenarkan peserta lelaki - itupun dengan syarat selagi kaum lelaki sahaja yang ada dalam tarian sewang tersebut. Tarian ini berakhir kira-kira jam 11.00 malam kerana rumah tersebut tidak mampu menanggung tetamu yang ramai.

Majlis itu kami selang selikan dengan persembahan nasyid dari pihak kami peserta lelaki dan lakonan dari pengarah program iaitu Jali.

Keesokan harinya dalam kira-kira 11.00 pagi kami bersalam-salaman dengan penduduk kampung, membaca doa rabithah dan doa wehdah sebelum berangkat pulang. Peserta perempuan dan kaum amek hampir keseluruhannya mengalirkan air mata kerana rasa terharu untuk meninggalkan kampung dan keluarga angkat masing-masing.

Orang kampung Teji dan Kampung Abu... sampai kita bertemu lagi di lain masa. Salam ukhuwwah dan kasih sayang buat semua.


Selasa, 16 Disember 2008

ALLah Bersifat Kalam (Maha Berkata-berkata)

Kalam ertinya berkata-kata.

Sifat yang qadim lagi azali yang berdiri pada zat Allah ta’ala. Dengan sifat Kalam, ALah ta’ala berkata-kata tanpa mulut dan alat pertuturan, tanpa suara atau alat Bantu untuk bertutur atau bersuara.

Perbezaan Kalam ALLah dan Kalam manusia

1. Kata-kata ALLah sentiasa benar dan tidak ada yang sia-sia. Sebab itu al Quran disebut KalamuLlah yang mengandungi ilmu Allah.

2. Kalam ALlah pada hakikatnya satu dan tidak berbilang-bilang, tetapi Kalam itu ada berbagai-bagai bergantung kepada perkara yang dinyatakan samada perintah (amr) tegahan (nahy), cerita atau berita (Khobar), janji balasan baik (wa’d) dan janji balasan buruk (wa’id)

3. Manusia juga dapat berkata-kata tetapi berbeza daripada kata-kata ALLah ta’ala. Kemampuan manusia berkata-kata disebabkan oleh adanya mulut dan suara. Ada kalanya kata-kata itu benar dan ada kalanya dusta, ada kalanya kata-kata itu berguna dan ada kalanya kata-kata itu sia-sia. Allah ta’ala melarang kita berkata-kata sesuatu yang kita tidak ketahui atau sia-sia.

Dalil Aqli

Jika ALLah tidak bersifat dengan sifat sama’, basar dan kalam tentulah ALLah ta’ala bersifat dengan lawannya iaitu Somam (Tuli), Ummi (Buta), dan Bukm (kelu/bisu). Hakikat ini tentulah tidak dapat diterima oleh akal, sebab sifat-sifat kekurangan ini sifat makhluk. ALLah ta’ala tidak bersifat dengan sifat-sifat kekurangan, oleh itu, tetaplah ALLah ta’ala bersifat dengan sifat sama’, basar dan kalam.

Dalil Naqli

Firman ALLah ta’ala bererti :

Dan ALLah telah berkata-kata kepada Musa dengan kata-kata secara langsung, tanpa perantaraannya (Surah an Nisa’ : 164)

Ahad, 14 Disember 2008

Tautan Ukhwah Di Kampung Teji dan Kampung Abu


Sebelum cuti penggal akhir bermula, saya diajak oleh seorang sahabat Comradean untuk menemaninya masuk ke Kampung Orang Asli di Pahang iaitu Kampung Teji dan Kampung Abu.

Sebenarnya saya berkira-kira juga di dalam hati untuk pergi kerana sebenarnya ingin terus ke rumah isteri di Kelantan. Tetapi bila difikirkan semula masih ada tanggungjawab sebagai dai'e walaupun tidak secara langsung kepada penduduk kampung. Lagipun saya menganggap ini adalah ziarah kali kedua dan dapat berkenalan dengan sahabat Comrade yang junior serta ahli jawatankuasa tertinggi yang baru dilantik yang mengikuti program ini. Mereka sudah berkampung sejak 4 hari yang lalu.

Kami menaiki kereta kancil ketika bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 2.00 petang dan kemudiannya singgah di Sungai Koyan untuk mengambil Ja'ie. Perjalanan mengambil masa kira-kira 6 jam. Sampai ke susur masuk di Kampung Teji pada jam 8.00 malam terdapat tanah runtuh (maklumlah hujan turun tidak berhenti sebelum itu). Kereta kami tinggalkan dan barang-barang diangkat, digalas di bahu.

Dalam kegelapan malam bersuluhkan lampu dari telefon bimbit, kami berlima berjalan bersama-sama. Ada juga rasa seram sedikit, maklumlah walaupun ada jalan yang bersimen tetapi di kiri kanan adalah hutan tebal yang diselimuti dengan gunung ganang. Sambil berjalan kami berbual sesambil melompat-lompat kecil mengelak dari becak dan selut lumpur.

Kampung Teji gelap dan ada pancaran cahaya kecil dari lilin yang dipasang oleh peserta program. Mereka sedang bersiap-siap untuk solat Isyak berjemaah bersama penduduk kampung.



Waktu subuh di Kampung Teji. Tempat penginapan kami dan keadaan kampung.

Di Kampung Teji ada air terjun kecil yang cantik dan nyaman. Budak kecil di sini selalu bermandi manda. Sepanjang tiga hari berada di sini, saya dan Shukri tidak melepaskan peluang untuk bersama anak-anak Kampung Teji yang lelaki bermandi manda bersama-sama.



Suasana di air terjun

Tengahari kami bertolak ke Kampung Abu pula kira-kira satu kilometer dari Kampung Teji. Di sana ada penutupan rasmi program Masuk Kampung (IPTA) yang menggabungkan kedua-dua buah kampung ini.


Perjalanan ke Kampung Abu, terdapat anak sungai yang deras dan ada kemudahan jambatan yang merentanginya.


[Sinopsis Buku] Amalan Sunnah Selepas Solat dan Kelebihannya


Semasa bercuti di Kelantan yang lalu, saya telah pergi ke Jaafar Rowas di Kota Bahru. Memang kesukaan saya akan mencari kedai-kedai buku dan melihat buku baru yang boleh menambah nilai ilmu pengetahuan. Semasa baru membelek-belek beberapa buah buku saya terjumpa buku ini yang menarik.

Tajuk : Amalan Sunnah Selepas Solat dan Kelebihannya - Suatu Kajian terperinci Berdasarkan Hadis dan Ulama' Muktabar.

Disusun oleh : Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman Al Hafiz- Pengetua Maahad Tahfiz Darul Quran wal Qiraat, Kampung Repek, 17070 Pasir Mas, Kelantan Darul Naim.

Cetakan : Pertama Ogos 2008

Terbitan : D.nonce (Kelantan) Sdn Bhd

Harga : RM 25

Buku ini selain dari diterbitkan dengan tujuan untuk mengumpul dana pembangunan Maahad Tahfiz Darul Quran (alamatnya sebagaimana yang telah ditulis di atas), ia juga membincangkan secara tuntas mengenai amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan selepas solat serta kupasannya secara terperinci dari pendapat ulamak muktabar.

Ia mengandungi 15 bab. Setiap satu bab antaranya membincangkan :

1. Berzikir selepas solat
2. Menyapu muka selepas memberi salam
3. Menghadapkan muka ke arah makmum, berpaling ke kanan atau ke kiri.
4. Berterusan berada di tempat solat, memilih tempat untuk solat sunat
5. Memuji ALlah selepas solat, beristighfar kepada ALlah, beristighfar untuk kedua ibu bapa, guru-guru dan Orang Islam selepas solat
6. Berdoa memohon kepada ALlah agar dijauhkan dari Api Neraka
7. Amalan membaca - ALlahumma anta asSalam wa minka as Salam, tabarokta ya Zaljalali wa al Ikram
8. Amalan membaca surah al Fatihah, ayat al Kursi, 2 ayat terakhir daripada surah al Baqarah, dan 2 ayat daripada surah Ali Imran
9. Amalan membaca surah Mu'awwizat iaitu Surah al Ikhlas, Surah al Falaq, Surah an Nas
10. Bertasbih 33 kali, bertahmid 33 kali dan betakbir 33 kali
11. Selawat ke atas Nabi Muhammad
12. Berdoa selepas kelima-lima solat fardhu

Amalan-amalan yang tersebut di atas semuanya kita lakukan selepas solat dan mempunyai dalil dari Al Quran dan hadith yang jelas yang membolehkan dengan diperkuatkan lagi melalui pandangan dari ulamak besar seperti Ibnu Hajar al Asqolani, Imam An Nawawi, Asy Syauqani, Imam ibnu Hajar al Haithami dan ramai lagi.

Silalah membeli sambil menderma.

[Sinopsis Buku] Salah Faham Terhadap Bid'ah


Saya rajin membeli buku sebagai bahan kajian dan menambahkan ilmu pengetahuan. Buku yang saya beli kebanyakannya ada kaitan dengan ilmu yang dahulu pernah dipelajari semasa di Universiti dan kadangkala diperbincangkan bersama rakan-rakan yang lain.

AlhamduliLLah, dengan adanya buku yang amat berharga dan bermanfaat ini menjadikan saya semakin faham akan perbezaan pendapat di antara ulamak muktabar sehinggakan semakin berhati-hati apabila menilai sesuatu perkara kerana semuanya terdapat hujjah dari al Quran dan hadith dan lebih dari itu adalah ijmak, qiyas, istihsan, masalih mursalah dan sebagainya (sebagaimana yang diterangkan di dalam ilmu usul feqh).

Tajuk Buku : Salah Faham Terhadap Bid'ah
Penulis oleh : Dr Abd Malik Rahman As Sa'adi iaitu bekas Mufti Iraq.
Diterbitkan oleh :Darul Nu'man.
Cetakan : pertama tahun 2002 dan berharga RM 13.00

Buku ini menjelaskan tentang pengertian Bid'ah dan pendapat daripada ulamak salaf serta khalaf yang membincangkan mengenainya. Serta jawapan kepada persoalan khilafiah yang dikaitkan dengan bid'ah seperti :

1. Tawassul
2. Bertawassul dengan Jah
3. Bertawassul dengan Orang yang Masih Hidup
4. Menziarahi Kubur
5. Lafaz niat ketika solat
6. Memberi salam di dalam masjid
7. Membaca qunut
8. Menyapu muka dengan kedua tapak tangan selepas solat dan membaca al Fatihah
9. Qadha solat yang luput
10. Doa secara berjemaah

Dan pelbagai persoalan lagi iaitu sebanyak 64 persoalan khilafiyah yang selama ini berlegar di kepala tambahan pula terdapat segolongan kumpulan yang mengatakan amalan itu dan ini sebagai bid'ah. Tetapi rupanya apabila dikaji ia mempunyai hujjah yang kuat dan bukanlah bid'ah sesat seperti yang dituduhkan tersebut.

Di dalam ruangan bibliografi bahagian belakang buku ini terdapat 37 kitab rujukan muktabar yang membincangkan tentang persoalan-persoalan khilafiyah ini.

Selasa, 2 Disember 2008

Anda Ingin Bercinta?

Zaman remaja adalah zaman untuk mencari dan mengenal diri. Setelah akal semakin mampu untuk berfikir jauh. Sekurang-kurangnya sudah mengenal mana baik dan buruk, halal dan haram, najis dan yang suci, syurga dan neraka.

Umur sebegini, orang muda cenderung untuk hidup di dalam perkumpulan. Gemar juga untuk mencari penyelesaian di luar rumah dibandingkan dengan berbincang dengan ibu dan ayah. Dan ketika inilah jiwa sudah menyubur untuk mengenal apa itu cinta (berlainan jenis).

Mengapa bercinta?

Terkadang bercinta dengan sebab ikut-ikutan (kerana melihat kawan sedang 'bahagia'). Terkadang ia bercinta supaya 'pointer' selalu meningkat naik. Dan katanya agar ada teman yang dapat memberi nasihat. Alamat.. jika salah bercinta, bubur tidak akan kembali menjadi nasi..

Sebelum bercinta fikirkan perkara-perkara ini wahai orang muda :

1. Sudahkah anda bersedia untuk bercinta?

Adakah sudah bersedia menghadapi risiko di dalam percintaan? Adat orang mengatakan cinta itu bersatu, dan ada kalanya ia membutakan mata. Manakala yang tidak nampak jalannya habis hancur masa depan hidupnya.

Cinta tidak semestinya bersatu, ada kalanya ia terputus di tengah jalan. Dan ada kalanya ia berjaya sehingga ke jinjang pelamin. Risiko putus cinta selalu membuatkan manusia seolah-olah putus asa. Hilang hala tuju hidupnya. Entah berapa ramai yang sudah menamatkan nyawanya sendiri bila cinta nafsu lebih diharapkan dari cinta kepada Illahi.

2. Apa matlamat Anda bercinta?

  • Mungkin untuk merosakkan anak gadis atau hati orang lain?
  • Ikut-ikutan atau suka-suka sahaja?
  • Untuk mencari pengganti pasangan yang telah pergi? (tetapi sekiranya ia ingin kembali semula suatu hari nanti, anda dengan rela diri meninggalkan pasangan baru anda yang telah diberikan harapan?
  • Sekadar cinta monyet yang tiada matlamat di masa hadapan?
  • Untuk mendirikan rumah tangga yang membawa kasih sayang dan rahmat dari ALLah?
Orang yang mulanya bercinta - hatinya akan berbunga-bunga. Tidak ia sedar apa yang berlaku di sekelilingnya kerana disibukkan dengan apa yang dicintainya. Segalanya nampak cantik, molek, comel dan sempurna belaka. 'Pijak semut tidak mati'. Segalanya berjalan dengan penuh optimis dan positif. Lalu mungkin 'menipu diri sendiri' sudah menjadi pegangan agar hubungan berlangsung dengan menarik dan dapat dikekalkan.

Apabila perhubungan cinta anda mulai 'berkelap kelip' - mulalah anda akan berfikir semula akan buruk dan baiknya pasangan anda. Mungkin ketika ini anda akan berusaha mencari solusi. Sekiranya berjaya perhubungan anda akan berjalan seperti biasa. Dan sekiranya dalam bahaya, ia akan membawa kepada 'putus cinta'. Perkataan inilah yang menjadi penghancur jiwa, rasa kecewa, terhina, rendah diri, sakit hati, dendam, putus asa. Maka istilah-istilah cinta yang dahulunya berkisarkan fantasi, anda akan sedar ia bukanlah realiti.

Menjadi hipokrit satu perkara, iaitu masalah yang akan dibawa apabila hidup di dalam sebuah rumah di atas pernikahan yang sah. Segala-galanya yang 'cantik', 'molek' akan ditunjukkan juga sebagai satu hakikat yang perlu anda terima. Samada anda terima dengan terpaksa atau redha selamanya.

3. Mengapa Anda Bercinta?

  • Kerana ALLah?
  • Kerana cantik rupanya? Mancung hidung, kumisnya tebal? Badannya serupa model? - yang pasti semuanya ini tidak kekal lama. Berapa ramai wanita yang menghidapi sakit barah kulit kerana taksubnya kepada yang dinamakan 'KECANTIKAN' ? Berapa ramai pula yang sanggup berhutang, mengorbankan identiti seorang Muslimah dan Muslim kerana tertarik dengan namanya KEMODENAN?
  • Kerana duitnya? Harta yang bertimbun?
  • Kerana empunya diri itu sendiri?
  • Kerana Agamanya? Ia akan di bawa di dunia dan akhirat. Tetapi ramai juga yang terjerumus di lembah hina. Kerana yang dibawa rupanya selama ini adalah nafsu tetapi disolek dengan nama Agama.
Anda akan dapat apa yang anda niatkan. Ingat perjalanan cinta sesama manusia amat jauh, dan mungkin juga dekat, ataupun ia satu perjalanan yang tidak pasti.

4. Apa Modal Untuk Bercinta?

  • Adakah dengan modal air liur? Atau jari jemari menulis sms?
Sedarkah anda? apabila bercinta dan anda meletakkan sesuatu di dalam hati seseorang. Ini telah memberikan ia pengharapan baru dalam hidupnya. Dan ia akan berusaha untuk mencapainya. Jika cinta anda sekadar cinta monyet, cinta untuk merosakkan anak orang, ikut-ikutan dan hanya menjadikan orang lain sebagai batu galas - CINTA NAFSU. Eloklah lupakan sahaja. Anda hanya akan menjadikan diri anda sendiri bahan fitnah yang akan orang ingat sampai bila-bila.

Sedarkah anda? Mahligai perkahwinan itu memerlukan pengorbanan bukan sahaja dari segi jari jemari dan air liur. Tetapi lebih dari itu adalah modal ilmu untuk mendirikan sebuah keluarga yang beragama, cintakan ALLah dan rasul-Nya. Modal harta iaitu pekerjaan dari sumber rezeki yang halal untuk anda berikan kepada isteri, dan anak-anak. Modal hati dan perasaan untuk dikongsi, difahami, kesabaran dan sebagainya.

5. Berapa Lama Anda Ingin Bercinta?

  • Seminggu?
  • Sebulan?
  • Tiga, empat tahun?
  • Sehingga habis belajar?
  • Cinta hingga ke akhirat?
Apabila anda bercinta, setiap pasangan pastinya ingin mengetahui sampai bilakah mereka akan bercinta? Dan apabila perhubungan itu diketahui oleh sang ibu dan ayah, tentunya mereka akan bertanya bila pula tarikh merisik, pertunangan dan perkahwinan pula akan dijalankan? Dan tentunya kaum kerabat pula akan tertanya-tanya, dengan siapa anda berkawan. Mungkin ada yang sudah diusung ke hulu dan hilir - orang kampung pun sudah mulai berbisikan. Walaupun anda sangkakan di bandar orang bersikap tidak ambil peduli. Tetapi malaikat di kiri dan kanan tetap juga menulis catatan..

6. Kos Cinta

  • Duit yang anda habiskan semata-mata untuk sidia - telefon (sms, mms, chat etc), bil elektrik, bil internet,
  • Masa yang anda korbankan untuk sidia
  • Hati dan perasaan

Sikap Matang Dalam Mencari Cinta

Wahai pemuda dan pemudi, menyebut perkataan cinta sesama manusia itu mudah, tetapi untuk melaksanakannya amatlah payah. Bercinta bukan menjadi tiket yang menghalalkan anda menyerahkan jasad kehormatan anda. Bukan juga bermakna anda sudah menjadi juara dan normal sebagaimana insan lain yang bercinta (sudah fahamkah erti cinta yang sebenarnya?). Anda rosak kerana cinta? - ia adalah kesalahan anda sendiri di dalam menterjemahkan cinta yang suci dan abadi. Semaklah semula adatnya bagaimana RasuluLlah menyalurkan perasaan cinta.

Jika berbaloi dengan bercinta - anda dapat merasai hidup bahagia serta mendapat keredhaan ALlah kerana matlamat anda jelas, anda sedia redha dengan kemungkinan yang berlaku serta tidak menyalahkan taqdir, perjalanan cinta tidak melanggar batas syarak. Maka silalah untuk bercinta.

Fikirkan.. Dalam masa bercinta, bagaimana hubungan kita dengan ALlah dan manusia serta makhluk yang lain? Semakin baik ataupun semakin jauh dan terus menjurang. Adakah ia menjadikan kita hamba ALlah yang bertaqwa ataupun hamba ALlah yang derhaka?

Lalu Hati pun Berkata...

Umurmu sudah menginjak tua,
Walau di kiri kanan orang masih mengatakan engkau 'orang muda',
Waktu pula semakin menghampiri senja,
Jawablah persoalan ini....

Ketika diri diberi kesihatan...
Ketika di waktu lapang dan sengang,
Di saat engkau merasa senang,
Ketika lupa tentang kematian,
Di mana ALlah engkau letakkan?

Wahai... perjalanan dirasakan masih lagi jauh, tetapi bekalan amat sedikit.. untuk menghadap Tuhan..