Selasa, 24 Februari 2009

Isu Islam Yang Wajib Kita Tahu

Perkara ini sebenarnya sudah lama, sebagai umat Islam yang sayangkan Islam silalah ambil berat juga.

1. Apakah Interfaith Commission (IFC)?

IFC yang nama asalnya ialah IRC – Inter Religious Council (IRC) adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. Badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.

2. Siapakah yang mencadangkan penubuhan IFC?

IFC digagaskan penubuhannya oleh Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) ataupun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001. Presiden MCCBCHS ialah V. Harcharan Singh.

3. Siapakah yang paling bersemangat sekali menyokong penubuhan IFC?

Majlis Peguam terutamanya Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia amat kuat menyokong penubuhan IFC dan amat berharap ia akan berjaya. Kronologinya seperti berikut:

Pada 8 Ogos 2001, Majlis Peguam telah menerima satu memorandum daripada MCCBCHS mengenai perkara ini dan selepas itu idea penubuhan IRC berjalan dengan lancar.

Pada 8 Disember 2001 satu perayaan 'Festival of Rights' diadakan dengan tema 'Kebebasan Beragama'.

Pada 10 Disember 2001, Majlis Peguam menganjurkan forum mengenai 'Kebebasan Beragama' dan menerbitkan satu artikel dalam jurnal INSAF.

Pada 17 Mac 2003 bengkel untuk menimbang keperluan wujudnya IRC diadakan. Bengkel ini gagal apabila kesemua NGO Islam menarik diri daripada terlibat dengan penubuhan suruhanjaya ini iaitu ABIM, ACCIN, JUST dan Sisters In Islam termasuk Dr. Chandra Muzaffar yang menjadi antara orang awal yang mencadangkan dialog antara kepercayaan. Bagaimanapun Sisters In Islam kemudian menyertai semula dan menyokong penubuhan suruhanjaya ini.

Pada pertengahan tahun 2004, satu persidangan mengenai penubuhan IRC diadakan. Bagi menunjukkan wujudnya sokongan, penganjur seminar telah melantik kesemua ahli Jawatankuasa Kecil Syariah Majlis Peguam sebagai ahli jawatankuasa penganjur tanpa pengetahuan mereka.

Mengemukakan deraf ketiga undang-undang penubuhan IFC bertarikh Januari 2005 kepada persidangan cadangan penubuhan IFC. Persidangan ini di anjurkan oleh suatu badan yayasan Kristian yang beribupejabat di Negara Jerman, iaitu Konrad Adeneuer Foundation (KAF).


4. Apakah matlamat penubuhan IFC?

Matlamat IFC ialah untuk meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang-orang bukan Islam.

5. Apakah tuntutan orang-orang bukan Islam yang dibuat melalui IFC?


i. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

ii. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

iii. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.

iv. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan sesorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

v. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

vi. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

vii. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

viii. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.

ix. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

x. Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

xi. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

xii. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

xiii. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

xiv. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

6. Apakah bahayanya penubuhan IFC terhadap Islam?

Berdasarkan deraf undang-undang penubuhan IFC, suruhanjaya ini jika ditubuhkan amat berbahaya kepada Islam dari sudut:

i. Membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal ehwal agama Islam

IFC jelas sebuah suruhanjaya anti Islam. Ini adalah campurtangan orang bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam secara terang (tanpa berselindung). Hak perlembagaan bagi mengamalkan agama sendiri (Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan – Freedom of Religion (Kebebasan beragama) tidak berlanjutan kepada mempersoalkan agama lain dan tidak sampai menuntut ajaran agama orang lain dipinda semata-mata untuk disesuaikan dengan kepentingan sendiri. Orang-orang bukan Islam berhak untuk menuntut hak mereka mengamalkan agama sendiri tetapi tidak sampai mempersoalkan dan campurtangan dalam urusan agama Islam. Campurtangan ini amat bahaya. Perkara yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diselesaikan oleh mereka yang berkelayakan di dalam Islam sendiri.

ii. Menjadikan undang-undang Allah mesti tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta oleh manusia yang menjejaskan aqidah

Norma-norma antarabangsa tersebut ialah:


Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948,

Konvensyen untuk menghapuskan semua jenis diskriminasi terhadap wanita (disahkan oleh Malaysia pada 5 Julai 1995),

Konvensyen mengenai hak kanak-kanak,

Deklarasi untuk menghapuskan semua bentuk ketidaktoleransi dan diskriminasi berasaskan agama,

Deklarasi mengenai hak-hak orang untuk mempunyai kewarga negaraan, sukukaum, agama dan bahasa minoriti,

Deklarasi Vienna dan pelan tindakan.


Kesemua norma antarabangsa tersebut belum disahkan oleh Malaysia kecuali yang dinyatakan sebaliknya. IFC menuntut supaya agama mestilah mengikut ketentuan norma antarabangsa di atas. Norma antarabangsa tersebut tidak membezakan antara orang Islam dan bukan Islam. Bagi orang Islam, peraturan untuk kehidupan mereka bukan lagi Islam tetapi norma-norma antarabangsa tersebut yang dicipta oleh manusia. Apa sahaja ajaran Islam yang bertentangan dengan norma antarabangsa hendaklah dihapuskan. Ini bermaksud, Allah mesti tunduk kepada norma antarabangsa. Ini menjejaskan aqidah seorang Muslim.

iii. Orang Islam bebas melakukan apa sahaja

Manusia adalah bebas. Begitu juga orang Islam adalah bebas. Mereka bebas melakukan apa sahaja termasuk mengamalkan ajaran agama lain tetapi masih boleh mengaku sebagai seorang Muslim atas nama kebebasan beragama. Kebebasan agama ini dijamin oleh norma antarabangsa di atas.

iv. Orang Islam bebas untuk murtad

Deklarasi sejagat mengenai hak asasi manusia menyatakan 'setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, suara hati dan agama. Ini termasuk kebebasan menukar agama... (Artikel 18)'. Ini bermaksud status sebagai seorang Muslim bukan ditentukan oleh Tuhan tetapi ditentukan oleh manusia. Berdasarkan norma antarabangsa, Islam tidak berhak menghalang penganutnya keluar daripada Islam kerana itu dibenarkan oleh norma antarabangsa.

v. IFC berhak menentukan status agama seseorang

Seseorang yang ingin murtad boleh mengemukakan permohonannya kepada IFC. Permohonannya akan ditentukan oleh ahli-ahli IFC yang di antaranya adalah orang bukan Islam. Ini adalah campurtangan yang amat nyata dalam hal ehwal Agama Islam. Jabatan Pendaftaran Negara tidak berhak menolak permohonan seseorang untuk menukar nama daripada Islam kepada bukan Islam dengan alasan suatu percubaan untuk murtad. Jika permohonan ditolak ini menjejaskan keharmonian dan kebebasan beragama. Perkara ini terkandung di dalam seksyen 19(3) deraf undang-undang IFC.

Tiada sebarang agama yang sanggup menerima campurtangan oleh mereka yang bukan penganutnya. Oleh yang demikian tidak pernah wujud badan seumpama IFC di mana-mana sahaja dalam dunia ini.

7. Apakah sikap kita sebagai Muslim?

Menentang sekeras-kerasnya penubuhan IFC. Kerajaan awal tahun ini telah mengumumkan penangguhan penubuhan IFC. Semua saluran perlu digunakan untuk menghalang penubuhan IFC. Para pelopor IFC ini tidak akan berdiam diri dengan penangguhan ini dan akan terus melobi semua pihak untuk menerima cadangan mereka. Ini terbukti apabila mereka menyokong sepenuhnya pengikut-pengikut Ayah Pin yang ingin murtad dan menyediakan khidmat guaman untuk menyaman pihak berkuasa dan membawa kes ini ke peringkat tertinggi.

Orang Islam perlu berwaspada dan jangan terpedaya dengan diayah bahawa tindakan mereka ini hanya satu dialog antara agama.

KAMI HARGAI KEPUTUSAN KERAJAAN MENANGGUHKAN SEBARANG TINDAKAN DALAM HAL INI. MALAH KAMI HARAP PENUBUHAN IFC DI TOLAK SAMA SEKALI. KAMI BERPENDAPAT PENUBUHAN IFC INI BOLEH MENIMBULKAN KETEGANGAN ANTARA AGAMA DAN MENGGUGAT KESELAMATAN NEGARA.

JIKA ANDA MENCINTAI ISLAM DAN BERHASRAT MEMELIHARA HAK-HAK MUSLIM, ANDA SEPATUTNYA MENYEBARKAN RISALAH INI. ANDA JUGA DIMINTA MENYUARAKAN PROTES INI KEPADA WAKIL RAKYAT ANDA.

ORANG ISLAM WAJIB SEDAR TENTANG ANCAMAN PENUBUHAN IFC.

Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) merakamkan jutaan terima kasih atas sokongan dan sumbangan dari YADIM dan ahli-ahli individu yang prihatin.

Ahli-ahli ACCIN terdiri dari:

Al-Hidayah, Belia PERKIM, GEPIMA, Islamic Information and Services, Islamic Outreach ABIM, JIM, MACMA, Persatuan Al-Hunafa, Persatuan Darul Fitrah Malaysia, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darus Syifa), Persatuan Seruan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Jam’iyah), Persatuan Ulamak Malaysia, RICOI, WAMY

Untuk maklumat lanjutan sila rujuk:

http://www.geocities.com/bantah_IFC/ (laman ini sudah tiada)


atau hubungi:

Secretariat ACCIN:
Alamat: c/o Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 603-6188 0300
Fax: 603-6189 6700

abim@po.jaring.my
sap@abim.org.my
www.abim.org.my

Sumber : Bantah IFC

Tambahan Sila Klik : Perdana Menteri Menangguhkan Penubuhan IFC

Isnin, 23 Februari 2009

Susahnya Jadi Perempuan, Payahnya Jadi Lelaki

Ada orang mengatakan alangkah susahnya menjadi perempuan. Banyak benar kekangan, sedari kecil tidak boleh hidup bebas. Pergerakannya diperhatikan orang tua. Gerak gerinya menjadi bualan. Hinggalah ada juga yang memberontak jiwanya, ingin keluar dari kepompong sehinggalah dibuang sifat-sifat kewanitaannya untuk menyamai lelaki. Yang jauh dari itu mempersoalkan taqdir yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Lalu ia melanggar naluri dan fitrah seorang wanita.

Wanita perlu pula menutup auratnya dengan sempurna. Maklumlah aurat yang rata-rata difahami hanya sekadar menutup rambut sudah memadai katanya sedangkan ia jauh dari itu. Tutur katanya juga perlulah dijaga agar tidak timbul perasaan jahat di hati lelaki. Hinggalah terbit dari hati "Wahai, sukarnya menjadi seorang wanita"

Rupanya apabila Islam telah menyebarkan sinarnya pada zaman Jahiliyyah yang menzalimi wanita dan anak-anak perempuan maka tinggilah martabat kemuliaan wanita. Sehinggalah di dalam al Quran terdapat surah An Nisa' iaitu surah wanita dan Islam amat menjaga wanita serta ditunjukkan hak-hak yang perlu diberi kepada kaum hawa ini.

Wahai wanita, janganlah hendaknya dirimu dibiarkan rosak oleh kaum Adam yang jahat perangainya, dipergunakan untuk mendapatkan keuntungan. Lihat sahajalah di setiap iklan di dalam media massa, bukan barangan yang menjadi tontonan. Tetapi di sebaliknya wanita yang berada di sisinya, maka larislah barangan disebabkan wanita dipergunakan setiap mahkota yang ada padanya. Alangkah harubirunya dunia ini apabila pemudinya rosak akhlaknya. Bila tiada kekuatan aqidah dan pendidikan agama, walau seorang profesional sekalipun tidaklah lepas dari jatuh ke lembah kehinaan jika tiada cinta kepada ALlah.

Wanita Kebanggaan Islam

Wanita jika yang dibentuk dirinya dengan acuan yang betul, lahirlah serikandi Islam sebagaimana Aisyah radiyaLlahu 'anha, lahirlah anak yang taat kepada ibu dan ayahnya sebagaimana Asma' binti Abu Bakar yang digelar zatun nitaqoin membawa bekal, memanjat sehingga ke pintu gua untuk memberi bekalan kepada 2 orang kekasih ALLah iaitu ayahnya sendiri Saidina Abu Bakar As Siddiq dan junjungan besar Nabi Muhammad SallaLLahu 'alaihi wasallam. Alangkah bahagianya apabila ada pendorong di dalam hidup, pendokong ketika dalam kesusahan dan kesedihan, menjadi teman seperjalanan menemani hayat sebagaimana Ummul Mukminin Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Tentunya menjadi ibu kebanggaan para pencinta Islam sebagaimana Ummu Habibah (gelaran bagi Ramlah binti Abu Sufyan), walau ditimpa ujian bertalu-talu, dipaksa untuk murtad oleh ayahnya ketika ia memeluk Islam. Ditambahi pula dengan karenah suaminya yang telah berpaling dari Islam dengan memeluk agama Kristian, beliau rela berpisah kerana cintanya kepada ALlah melebihi segala-galanya dan tinggilah darjatnya apabila dilamar oleh RasuluLlah untuk menjadi teman hidupnya. Balasan untuk orang yang sabar dan gigih di dalam agama ALlah.

Jika diselusuri sejarah, ramainya tokoh-tokoh wanita Muslimah yang memberi sumbangan besar di dalam dunia Islam. Fatimah binti Sa'ad al Khair al Ansari al Andalusi, lahirnya di China pada tahun 522 Hijrah. Mengajar di Kaherah dan Damsyiq dan ramai tokoh yang mengambil hadith darinya seperti al Hafiz al Munziri. Siti Zubaidah, isteri Khalifah Harun al Rasyid telah membelanjakan sebahagian besar hartanya untuk memperkuatkan kubu pertahanan dan kawasan sempadan. Jasanya dalam menampungi saluran air yang dibina dari Baghdad hinggalah ke Mekah untuk jemaah haji sehinggalah saluran air ini dikenali sebagai "Ain Zubaidah" (Mata Air Zubaidah). Lihatlah perkataannya - apabila dibentangkan kepadanya kos perbelanjaan saluran itu, beliau telah mencampakkan bil perbelanjaan itu ke dalam sungai sambil berkata : "Kami tinggalkan hitungannya untuk Hari Perhitungan". ALLahu... ALlah..

Kitalah Lelaki Itu

Ada orang mengatakan payahnya menjadi lelaki. Besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul untuk meneruskan kehidupan. Maklumlah di zaman ini, besarlah cabaran bagi seorang lelaki yang dipenuhi dengan tribulasinya. Kita diuji dengan penglihatan yang menggoda iman, patutlah ALlah menyuruh kita di dalam firmanNya yang bererti :

" Katakanlah kepada orang2 beriman laki2 agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka ( menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya."
( An-Nur : 30-31 )


Berapa ramai yang telah kalah di dalam menjaga pandangan dan kemaluannya ?...

Suami diuji dengan isteri, harta, anak-anak. Orang lelaki perlu bekerja mencari rezeki dan bukannya duduk goyang kaki. Orang lelaki perlu kuat pegangan agamanya, tahu menjadi imam, mempunyai daya kepimpinan, membuat keputusan yang betul. Kita tetaplah lelaki untuk meneruskan perjalanan di bumi ALLah ini, tidak mudah mengalah, berusaha untuk menjadi pemimpin yang baik dan memperbaiki diri. Begitulah, hidup orang yang beriman, kesusahan itu sebenarnya adalah hiburan, ujian itu menambahkan cinta kepada ALlah. Kita selusuri kembali dari kacamata sirah siapakah lelaki sejati yang menjadi tauladan umat ini.

Lelaki Sejati Perlu Mencontohi Mereka

Agungnya akhlaqmu ya RasuluLLah menjadi suri tauladan sepanjang zaman. Tarbiah dan didikanmu kepada para sahabat melahirkan Abu Bakar yang sikapnya lemah lembut tetapi tegas di dalam menjalankan hukum ALLah. Menjadikan Saidina Umar berani di hadapan para kafir Musyrikin serta besar jasa-jasanya dalam menyebarkan dakwah Islam dan diteruskan kegemilangannya oleh Saidina Uthman dan Saidina Ali radiyaLlahu 'anhum. Begitulah seorang dari seorang sahabat yang amat memusuhi Islam akhirnya menjadi panglima Islam yang berani sebagaimana Khalid bin Al Walid. Adakah kesusahan, kesulitan menjadikan mereka cengeng dan berundur dari melaksanakan tugas sebagai hamba ALlah?

Siapakah yang tidak kenal seorang hamba yang berkulit gelap berbangsa Habsyi yang upahnya setiap hari adalah dua genggam kurma. Tetapi putih bersih hatinya, kebal imannya dari dicarik dan dirosakkan oleh ketulan batu yang menghempap dirinya. Beliaulah muazzin ar Rasul (tukang azan RasuluLlah), pelopor kebebasan peribadi walaupun zahirnya diikat sebagai hamba kepada Muawiyah bin Khalaf, namun jiwanya bebas hanya untuk menyembah ALlah sehinggalah ia benar-benar bebas dimerdekakan oleh sahabat yang mulia hatinya iaitu Saidina Abu Bakar radiyaLLahu 'anhu. Lelaki sejati inilah yang berjuang di barisan hadapan di dalam siri-siri peperangan ketika bersama RasuluLLah dan berjaya membunuh Umaiyah bin Khalaf semasa peperangan Badar al Kubra.

Kentalnya jiwa Urwah bin Zubair seorang ahli fiqh yang terbesar. Menurut ceritanya sebelah kakinya mendapat penyakit yang menyebabkan para doktor memutuskan ia perlu dipotong agar tidak merebak sehingga ke betis dan seluruh tubuhnya. Lalu beliau disuruh untuk meminum satu minuman yang boleh menghilangkan kewarasan akalnya supaya dia tidak merasa sakit. Lalu beliau berkata
"Aku tidak mengira, bahawa seorang yang beriman kepada ALlah akan mahu minum sesuatu yang dapat menghilangkan akalnya, sehingga dia tidak mengenal dan ingat la akan Tuhannya. Biarlah kakiku ini dipotong"
Lalu dipotong pada lututnya. Dia diam sahaja, tidak berkata apa dan tidak mengeluh atau merintih barang sedikitpun.

Selanjutnya qadar ALlah telah pun tertulis, untuk menguji iman lelaki sejati ini. Di malam hari kakinya dipotong itu terjatuh pula putera kesayangannya dari tingkat atas rumah lalu meninggal ketika itu juga. Kawan-kawannya pun datang mengucapkan takziah (menyatakan turut rasa duka cita). Urwah bin Zubair mengucapkan :
"Ya ALlah! Pujian untuk Engkau. Anakku tujuh orang, lalu Engkau ambil satu, dan tinggal enam orang. Kaki tanganku ada empat, lalu Engkau ambil satu dan masih tinggal tiga. Kalau Engkau yang memberikan cubaan, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan (menyembuhkan)"
ALLahu...ALlah...

Tugas Kita Sebagai HambaNya

Di antara rasa susah dan payahnya menjadi perempuan dan lelaki. Maka perlu bertanya juga di dalam hati, sudahkah kita mensyukuri nikmat yang ALlah telah beri selama menjadi perempuan dan lelaki? Wanita dan lelaki yang beriman tetaplah perlu bergandingan bantu membantu di dalam perjuangan diri, keluarga dan masyarakat ke jalan ALlah. Mengajak ke arah kebaikan, menegur kemungkaran bukan tugas 'seseorang'. Lupakah kita firmanNya yang bererti :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah at Taubah : Ayat 71)

Ya saudaraku sekalian, bukan bergandingan bahu membuat maksiat atau penzinaan tetapi bahu membahu di dalam meninggalkan larangan dan mengerjakan taat kepada ALlah..

Sumber rujukan :

1. Muhammad al Ghazali, Warisan Pemikiran Islam Menurut Syara' dan Rasional, 2003, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Malaysia
2. Dr Yusuf al Qardawi, Iman Dan Kehidupan, 1985, Dewan Pustaka Fajar, Selangor
3. Pendidikan Akhlaq Darjah Enam, 1998, Jabatan Agama Johor, Synergymate

Rabu, 18 Februari 2009

Sabarlah Cikgu..

Di Waktu Pagi

Pergi ke sekolah setiap pagi, menaiki bas 2 kali sebelum sampai ke sekolah. Hendak masuk menuju ke sekolah perlu berjalan kaki lagi 1 kilometer. Kadang-kadang kerjanya adalah membuka pagar sekolah (kerana ada tugasan yang diberi sebegitu - maklumlah sekolah pun di kawasan pedalaman). Sabarlah cikgu..

Semasa Sesi Pengajaran

Sebelum memulakan pengajaran, cikgu membaca doa bersama anak murid. Diminta agar diterangkan hati, dimudahkan faham apa yang diajar dan dipelajari. Cikgu meminta anak murid agar mengutip sampah, mengemaskan kerusi dan meja agar dapat belajar dengan selesa. Begitulah setiap hari mulutnya tidak pernah diam menasihati agar sampah yang dijumpai bersepah di luar bilik darjah dan sekolah agar dibuang di dalam tong sampah. Sabarlah cikgu...

Cikgu menanda kedatangan pelajar di Buku Daftar Kehadiran Murid, ada beberapa nama yang sudah acapkali tidak hadir. Cikgu bukan tidak peduli tentang itu semua, lalu ditanya rakannya sekelas. Dijawab mereka "si polan tu pergi CC (Cyber Cafe), swimming pool, kadang-kadang tak naik kelas dia duduk kat pondok perhentian bas". Cikgu pun menyusul ke perhentian bas sambil memujuk anak murid agar naik ke kelas. Sabarlah cikgu...

Cikgu mengajar di hadapan, anak murid bermain-main di belakang. Ada yang tidur, ada yang berbual-bual. Bila ditanya "mana kerja rumah". Dijawab pula "Lupa cikgu" (padahal di rumah begnya tidak pernah diperiksa dijadikan pekasam sahaja) Ibu dan ayah pula terlalu sibuk bekerja. Samada anak ke sekolah atau tidak, itu belakang kira. Yang penting sudah nampak pergi ke sekolah. Cikgu pun meneruskan pengajarannya, diberikan penjelasan dan diulang-ulang lagi apa yang telah diajar agar dapat melekat terus di hati anak muridnya. Cikgu pun bertanya, "faham tak ? Kalau tak faham silalah bertanya, nanti cikgu ulang lagi". Anak murid pun menjawab "faham cikgu". Tidak lama kemudian cikgu pun menyoal dari apa yang telah dipelajari, kerana beranggapan anak muridnya sudah faham apa yang diajar. Kemudian ramailah anak murid yang berdiri dan menjadi 'patung' kerana tidak dapat menjawab soalan cikgu. Hanya beberapa kerat yang membuka mulut untuk menjawab soalan. Sabarlah cikgu...

Lalu cikgu pun ingin membuat ulangkaji dengan anak muridnya lagi. Semalam cikgu dah beritahu supaya menelaah apa yang telah diajar. Hari ini cikgu ingin menyoal pula. Tetapi tidak ramai yang ingin menjawab. Bila ditanya mengapa tidak dapat menjawab soalan. Mereka menjawab "tak tahu, lupa, jaga adik". Sabarlah cikgu..

Bukan cikgu tidak tahu, ada anak murid nakal dan pernah didenda kerana kenakalannya yang diulang berkali-kali. Cikgu bukan denda kerana suka mendenda. Tetapi kerana kasih dan sayangnya kepada anak murid. Itupun dimulakan dengan nasihat untuk dia memikirkan kembali baik dan buruknya perbuatan yang telah dilakukan dan masa hadapannya. Diberikan teguran agar membekas dalam hati. Dan dihukum sesuai dengan kesalahannya. Dan ada juga cikgu menegur kesalahan anak murid agar tidak membuat bising di dalam kelas. Semasa hendak membuka pintu kereta, kereta cikgu telah dicalar balarkan, tayar dipancitkan. Kengkadang cikgu pun ditunggu diluar untuk dipukul. Sabarlah cikgu...

Sesudah Habis Mengajar

Sebelah petangnya, apabila anak murid sudah pulang ke rumah. Cikgu masih lagi di sekolah, terkadang ada kelas tambahan untuk anak muridnya. Terkadang ada kerja untuk menyiapkan alat bantu mengajar supaya anak murid mudah faham. Terkadang tertidur sebentar kerana kelelahan.

Di rumah, kerja cikgu belum selesai lagi. Perlu menyiapkan buku persediaan mengajar, perlu memikirkan pula aktiviti tahunan yang telah diagihkan untuk disempurnakan. Kertas kerjanya, soalan bulanannya, persatuan yang dinaunginya. Cikgu pun ada suami, ada isteri, ada anak-anak untuk dibesarkan, dididik, diberi makan, dikenalkan dengan kehidupan. Setiap kali melihat buku anak murid, akan terbayang wajah mereka satu persatu. Ya, cikgu pun mendoakan juga agar anak muridnya berjaya dan menjadi orang yang berguna. Sabarlah cikgu...

Cikgu pun tidak kisah.. semasa di luar sekolah, ketika bersiar-siar. Bukan tidak pernah terserempak dengan anak muridnya. Ada yang menyapa memberi salam dan senyuman - AlhamduliLlah baguslah, ada juga yang sembunyi-sembunyi (mungkin segan kerana berpakaian menjolok mata atau telah melakukan sesuatu yang ia rasa tidak kena), ada juga yang berlalu seolah-olah cikgu tidak wujud di depan matanya (mungkin tidak nampak gamaknya). Cikgu pun tidaklah terasa sangat sebenarnya.. Sabarlah cikgu...

Cikgu pun pernah mengajar anak muridnya agar tahu mengucapkan terima kasih. Apabila cikgu hendak memberikan buku kepada anak murid, ia tidak melepaskan buku tersebut kecuali setelah anak murid mengucapkan 'terima kasih cikgu'..

Sekadar berkongsi antara kehidupan cikgu yang tidak didedahkan, cubalah berkongsi pengalaman dengan mereka. Agar tahu perasaan dan susah payahnya di dalam mendidik anak bangsa. Kepada ustaz, ustazah, cikgu, guru dan pensyarah yang pernah mendidik diri ini... Terima kasihku ucapkan...

Sifat-sifat Yang Wajib Bagi ALlah (Akhir)


14. Kaunuhu Qadiran (keadaan ALlah yang Maha Berkuasa)

ALLah bersifat Kaunuhu Qadiran. Ertinya ALlah tetap selalu berada di dalam keadaan Berkuasa dan mustahil Dia berada di dalam keadaan lemah. Dalilnya sama dengan sifat Qudrat yang telah dijelaskan.

15. Kaunuhu Muridan (keadaan ALlah yang menghendaki)

ALLah bersifat Kaunuhu Muridan. Ertinya ALLah selalu dalam keadaan menghendaki dan mustahil Dia dalam keadaan yang tidak menghendaki. Dalilnya sama dengan sifat Iradah yang telah dijelaskan.

16. Kaunuhu 'Aliman (keadaan ALlah yang mengetahui)

Ertinya ALlah selalu dalam keadaan mengetahui dan mustahil Dia tidak mengetahui. Dalilnya sama dengan sifat Ilmu yang telah dijelaskan.

17. Kaunuhu Hayyan (keadaan ALlah yang Hidup)

Ertinya ALLah tetap selalu dalam keadaan Hidup, mustahil Ia dalam keadaan mati. Dalilnya sama dengan sifat Hayat yang telah dijelaskan.

18. Kaunuhu Sami'an (keadaan ALlah yang mendengar)

Ertinya ALLah selalu dalam keadaan mendengar dan mustahil Dia tidak dalam keadaan mendengar. Dalilnya sama dengan sifat Sama' yang telah dijelaskan.

19. Kaunuhu Basiran (keadaan ALlah yang Maha Melihat)

Ertinya ALLah tetap selalu dalam keadaan melihat dan mustahil Dia dalam keadaan buta. Dalilnya adalah sama dengan sifat Basar yang telah dijelaskan.

20. Kaunuhu Mutakalliman (keadaan ALlah yang Berkata-kata)

Ertinya ALlah tetap selalu dalam keadaan berkata-kata, mustahil Dia bisu. Oleh kerana ALLah mempunyai sifat Kalam, maka Dia tetap selalu berkata-kata. Dalilnya sama dengan dalil Sifat Kalam.

Sumber Rujukan :

1. Jabatan Agama Johor, Pendidikan Tauhid Darjah 4, Cetakan Kelapan 2004, Synergy Mate Sdn Bhd
2. K.H Sirajuddin Abbas, I'itiqad Ahlussunnah Wal Jama'ah , Cet Kesembilan 2006, Pustaka Aman Press Sdn Bhd, Kelantan
3. Muhammad Ramzi Omar, Ilmu Sifat 20 & Perbahasan Rukun Iman, 2008, Sinar Media Services, Kuala Lumpur

Rabu, 11 Februari 2009

Isu Politik Perak... Menarik Rambut Di Dalam Tepung

Semenjak isu Sultan Perak memperkenankan tertubuhnya kerajaan baru BN tanpa mendapat mandat dari rakyat Perak sendiri, ramailah yang menzahirkan rasa tidak puas hati, marah dan sebagainya.

Mungkin pada pandangan kita tindakan baginda Sultan Perak adalah silap dan membelakangkan rakyat. Bahkan Mufti Perak juga sudah ditegur oleh Profesor Dr Haron Din kerana seolah-olah memperkenankan tindakan tersebut apatah lagi seorang mufti seharusnya tidak menyebelahi mana-mana parti politik. (Bagi saya sudah mencukupi seorang ulamak menegur mufti bahkan bahasa beliau juga adalah baik dan setaraf dengan yang ditegur)

Dan mungkin juga di dalam fikiran Sultan Perak lain fikirnya, di belakang Mb Ir Nizar adalah DAP, sebagaimana yang diketahui ada beberapa pemimpin di dalamnya sendiri tidak suka akan tertubuhnya negara Islam.(WaLLahua'lam)

Walaubagaimanapun, apa yang saya lihat di dalam forum politik tidak kurang juga portal ada yang menghina dan memaki hamun Sultan Perak dan Muftinya. Terkadang saya terfikir, mengapa bila sahaja soal politik seolah-olah kewarasan berfikir akan hilang ? Ammarah menguasai akal dan iman ?

Yang dihina itu adalah ketua agama Islam negeri Perak, yang dimaki hamun itu adalah antara Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Sehinggalah sampai mempersoalkan kedudukan raja-raja berperlembagaan di negara ini. Sehingga jika boleh hendak dicantas institusi raja. Tetapi sekali lagi harus diingat raja-raja adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing. Mufti berperanan sebagai penasihat agama.

Adakah dengan jalan memaki hamun dan menghina akan selesai kemelut yang dihadapi? Apa pandangan mereka yang bersikap 'suka mengambil peluang' dan menangguk di air yang keruh? Katalah institusi raja dijatuhkan (kerana emosi yang melampau), siapakah pula yang di atas sebagai benteng terakhir dikala ketika ini masih ada yang memperjuangkan isu hak asasi manusia - kebebasan di dalam aqidah, murtad ? Sekiranya kita bersatu padu tidaklah terasa masalah sebegini.

Krisis aqidah, gejala sosial masih belum lagi dibereskan. Akhbar dan media pula hanya mengambil agama sebagai tempelan tetapi yang banyaknya adalah budaya hedonisme yang dikembangkan sehinggalah semakin membarah di dalam jiwa anak-anak muda. Dan banyak pula wartawan yang mengenepikan etika kewartawanan demi untuk keuntungan melalui penulisan. Apa sahaja berita yang kontroversi, menimbulkan reaksi rakyat walaupun ia menimbulkan huru hara dan kecelaruan tetap dipamerkan di helaian akhbar. Seolah-olah kurangnya tangan yang menapis terlebih dahulu mana baik dan buruknya sebelum disebarkan.

ALlah telahpun berfirman yang bererti :

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudara (kamu yang bertelingkah) itu.(Surah Al-Hujurat: Ayat 10)

Jika hendak mengkritik gunakan akal yang rasional dan kena dengan caranya. Jangan sampai suatu hari nanti kita terbelit dengan tindakan sendiri. Walaubagaimanapun, apa yang berlaku kini terlalu banyak hikmahnya bagi mereka yang ingin berfikir dan mengambil pengajaran darinya.

Dalam kita disibukkan isu politik di Perak.. apa kisahnya tentang kebajikan rakyat yang sekian lama perlukan pembelaan? Surcaj tambang bas yang akan dinaikkan 30%, harga barang yang meningkat, harga makanan yang tidak pula nampaknya akan turun (walaupun harga minyak sudah turun). Lalu dimanakah keutamaan?

Jom fikir!

Isnin, 9 Februari 2009

Wahai Diri...Sudahkah Engkau Menyintai RasuluLLah ?..


Seorang sahabat bertanya : Mengapa semakin hilang rasa cinta kepada RasuluLlah, walaupun terkadang ada.. tetapi sebentar sahaja ia singgah di dalam hati...

Wahai diri..

ALlah telahpun berfirman yang bererti :


"Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21.
Sabda RasuluLlah yang bererti :

Bahawasanya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.'
(Riwayat al-Bukhari,Hakim dan Baihaqi)
Wahai diri, bertanyalah kembali pada dirimu :

1. Engkau cinta kepada Rasul tetapi mengapa tidak menyemak kembali sirahnya untuk menyemai rasa cinta kepada Baginda. Mengapa tidak menyemak sirah para sahabat yang dari diri mereka sendiri tercermin cinta kepada RasuluLLah?

2. Engkau kata cinta kepada Rasul tetapi mengapa tidak berterusan melakukan sunnahnya walaupun sedikit?

3. Engkau mengatakan cinta kepada RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam, adakah di dalam diri sudah tersemai sifat-sifat baginda yang perlu diikuti seperti sifat sidq, Amanah, Tabligh dan Fatonah ?

4. RasuluLlah tercerna pada diri baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam sifat yang baik, dijadikan suri tauladan. Di zaman jahiliyyah pula orang kafir musyrikin menggelarkannya sebagai al Amin (yang dipercayai). Dari sifat RasuluLlah yang mentarbiahi sahabatnya sehingga melahirkan pahlawan-pahlawan Islam yang mempunyai sifat mulia yang unggul. Bahkan melahirkan mereka yang berani berjihad dan menyebarkan Islam (dengan aqidah yang mantap, akhlak, ilmu) sehinggalah menguasai 2/3 dunia.

Muhasabahlah wahai diri, adakah sifat-sifat di bawah ini sudah kita perbuat, kita tambahkan dalam diri buat bekal hidup sehari-hari bagi menyemai cinta kepada RasuluLlah ?..

1. RasuluLLah berdoa dengan penuh khusyuk bahkan mengalirkan air matanya..

2. RasuluLlah tidak pernah memuji dan mencerca makanan

3. Memberi hadiah kepada sahabatnya dan suka menziarahi sahabat-sahabatnya.

4. Baginda yang selalu memulakan salam dan senyum kepada orang Islam yang dijumpainya,

5. Baginda suka kepada anak-anak terutamanya anak yatim

6. Memberikan perhatian kepada orang yang bercakap.

7. Lemah lembut tutur katanya dan seorang yang pemalu melebihi seorang seorang perawan di dalam biliknya.

8. Mengutamakan umat Islam dari dirinya dan keluarganya. Sentiasa membantu orang lain walaupun baginda sendiri di dalam kesusahan.

9. Di dalam peperangan, bagindalah di hadapan sekali menjadi panglima perang.

10. Sabar di dalam dugaan. Dihina, dicemuh, dimaki hamun, dibaling najis. Ia masih sabar dan cekal.

11. Baginda menjaga penampilan diri, menyikat rambut dan janggutnya, memotong kuku, memotong bulu ari-ari. Baginda amat mementingkan kebersihan.

12. Baginda bangun malam sehingga bengkak kakinya untuk menyembah ALlah kerana melahirkan rasa bersyukur..

13. Gurauan Baginda adalah benar dan tidak berbohong.

14. Tidak menghina orang miskin dan tidak segan untuk bergaul dengan mereka.

15. Baginda amat sayang kepada umatnya.

16. RasuluLlah tidak menghukum tanpa diselidiki terlebih dahulu.

17. Alangkah terlalu sempit ruangan ini untuk menceritakan keindahan akhlakmu ya RasuluLlah...

Menyintaimu Ya RasuluLlah :

Diriwayatkan dari AbduLlah bin Hisyam radiyaLLahu 'anhu berkata : "Ketika kami bersama RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam, Baginda memegang tangan Umar radiyaLLahu 'anhu." Umar berkata yang bermaksud :

"Wahai RasuluLlah, cinta kepadamu melebihi segala sesuatu kecuali pada diriku sendiri." RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam berkata. "Tidak, demi jiwaku yang ada dalam kekuasaanNya, hendaknya aku menjadi orang yang lebih engkau cintai dari dirimu sendiri." Lalu Umar radiyaLlahu 'anhu berkata, "Sungguh, sekarang engkau ialah orang yang lebih aku cintai daripada diriku sendiri." Maka RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam berkata, "Nah sekaran engkau adalah Umar." Maksudnya, "Sekarang telah sempurna imanmu".
(Riwayat Bukhari dan Syaibani).

Sabtu, 7 Februari 2009

Ketinggian Akhlak Al Qasim bin Muhammad


Al Qasim bin Muhammad memiliki sifat-sifat yang tidak jauh berbeza daripada datuknya Abu Bakar as Siddiq radiyaLlahu 'anhu. Malah ada yang berkata: "Tiada seorangpun anak-anak Abu Bakar yang menyerupai Abu Bakar seperti anak muda ini"

Al Qasim memiliki sifat-sifat ketinggian akhlak dan keperibadian Abu Bakar. Beliau juga memiliki keteguhan iman, kewarakan, mudah bertolak ansur dan pemurah.

Terdapat banyak riwayat yang menceritakan kata-kata dan tindakannya yang menunjukkan sifat-sifat ini.

Antaranya suatu ketika, seorang Arab dari pedalaman datang ke masjid dan bertanya kepadanya: "Siapakah yang lebih berilmu, engkau atau Salim bin AbduLLah?"

Al Qasim tidak menghiraukan soalan itu. Lalu lelaki tadi bertanya lagi : Dia menjawab : "Maha suci ALlah..."

Lelaki tadi mengulangi soalannya lagi. Dia pun membalas "Di sana itu Salim bin AbduLlah, wahai anakku.."

Orang yang hadir di situ berkara: "Alangkah hebatnya, beliau tidak mahu berkata: Saya lebih berilmu daripadanya, kerana itu bermakna dia memuji dirinya sendiri dan beliau tidak mahu berkata, dia lebih berilmu daripada saya, kerana itu bermakna beliau menipu." Beliau sebenarnya lebih berilmu daripada Salim.


***
Suatu ketika, beliau berada di Mina. Ketika itu, para jemaah haji dari seluruh wilayah sedang mengerumuninya untuk bertanya soalan. Beliau menjawab setiap soalan yang diketahui jawapannya dan bagi soalan yang tidak diketahui jawapannya, beliau berkata:

"Saya tidak tahu... saya tidak tahu... saya tidak tahu...."

Jawapannya ini memeranjatkan mereka. Namun beliau berkata: "Tidak semua yang kamu tanya itu saya tahu. Jika saya tahu, sudah tentu saya tidak akan menyembunyikannya. Malah tidak seharusnya saya menyembunyikannya. Hidup dalam keadaan jahil adalah lebih baik bagi seseorang (setelah mengenali hak ALlah) daripada dia bercakap apa yang tidak diketahuinya."

***

Pada suatu ketika, beliau diamanahkan mengagihkan zakat kepada mereka yang berkelayakan. Jadi beliau memberikan setiap yang berhak mengikut ijtihadnya. Cuma ada seorang di kalangan mereka tidak berpuas hati dengan bahagian yang diterimanya. Lalu orang ini datang ke masjid ketika al Qasim sedang mendirikan sembahyang. Orang ini terus mempertikaikan bahagian zakatnya.

Ketika itu, anak al Qasim membalas : "Demi ALlah, kamu mempertikaikan seorang yang tidak menyentuh sedikitpun zakat kamu walau sedirham malah seperenam dirham. Malah sebiji tamar pun tidak diusik."

Mendengar suara lelaki tadi, al Qasim mempercepat sembahyangnya dan kemudian berpesan kepada anaknya: "Wahai anakku, lain kali jangan engkau berkata perkara yang tidak engkau ketahui."

Walau bagaimanapun orang ramai berkata: "Apa yang dikatakan oleh anaknya itu benar. Namun beliau mahu mendidik anaknya supaya menjaga mulutnya agar tidak terlalu banyak bercakap."

***

Al Qasim bin Muhammad hidup sehingaa berusia melebihi 72 tahun. Ketika usianya semakin lanjut matanya mula kabur. Pada tahun-tahun akhir hayatnya, beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji. Ketika dalam perjalanan, beliau menemui ajalnya.

Sebelum menemui ajalnya, beliau berpesan kepada anakandanya: "Apabila ayah mati, kafankanlah ayah dengan pakaian yang selalu ayah pakai utnuk sembahyang. Baju ayah, kain ayah dan selubung ayah. Itulah kain kafan datukmu Abu Bakar. Selepas itu, masukkan ayah dalam liang lahad dan teruslah pulang ke keluargamu. Jangan sekali-kali kamu berdiri di kubur ayah dan kamu katakan: Dahulu ayah saya... Dahulu ayah saya... Sedangkan ayah tidak memiliki apa-apapun."