Memaparkan catatan dengan label Belajarlah Jangan Malas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Belajarlah Jangan Malas. Papar semua catatan

Ahad, 21 Oktober 2007

Belajarlah...jangan malas...V

kepada sahabat yang bekerja, sepatutnya bukan alasan kesibukan menyebabkan kita tiada ruang untuk menuntut ilmu. Lihatlah bagaimana orang yang bukan Islam, menjinjing buku sambil membaca ketika santai.

Hidup kita bukan di antara tempat kerja dan rumah hingga tidak ketahuan apa yang terjadi kepada alam sekeliling. Cubalah peruntukkan sedikit kewangan untuk membeli buku, majalah yang bermanfaat untuk akal.

Kewajipan menuntut ilmu itu bukan untuk pelajar sahaja..

Belajarlah sahabat, ramai antara kita hanya mengharapkan maklumat dari orang lain tanpa berusaha mencarinya.

Belajarlah memahami Al Quran setelah banyak kali mengkhatamkannya. Lihatlah orang-orang yang hanya pandai bertaranum semata-mata, atau tertarik dengan orang yang hafiz tetapi diri sendiri tidak mahu memperbaiki penghayatan kepada Al Quran.

Lihatlah, ada orang yang membaca al Quran tetapi auratnya tidak ditutup dengan sempurna. Bahkan ada yang tidak tahu langsung apa ertinya al fatihah yang dibaca sedangkan umurnya sudah meningkat tua pula.

Ketahuilah sahabat, keutamaan menuntut ilmu itu yang menjadikan tamadun Islam itu gemilang.

Belajarlah...jangan malas...IV

Ilmu pengetahuanlah yang menyebabkan rasa takut kepada ALlah, danvmendorong manusia kepada amal perbuatan.

ALLah telah berfirman yang bererti :

Sesungguhnya yang takut kepada ALlah di antara hamba-hambaNya, hanyalah ulama' (Surah Fatir 35 :28)

Mutiara kata hikmah Abu Darda

Hendaklah engkau menjadi orang berilmu atau yang belajar atau mendengar ilmu dan janganlah engkau menjadi orang keempat iaitu yang tidak termasuk salah seorang dari kelompok di atas agar engkau tidak binasa.

Ke mana harta yang banyak itu akan dibawa, pangkat yang manusia pandang, segala jenis perbendaharaan di bumi ini jika dipunyai sekalipun. Tanpa ada ilmu, maka hilanglah segalanya itu sekelip mata.

Berapa ramai manusia yang tertipu kerana jahilnya diri, terkadang hanya sebutir gula disangka mutiara permata, duitnya dihabiskan untuk mendapatkannya. Bila tersedar ia menangis, menyesal. Kerana apa jika tidak melainkan TIADANYA ILMU.

Sabtu, 20 Oktober 2007

Belajarlah...jangan malas...III

wahai muslimah - jadikan ilmu itu sebagai pendinding diri, untuk menjadikan diri sebagai muslimah sejati. Sungguh di zaman ini untuk mencari muslimah yang beradab kesan dari ilmunya amat sedikit.

Wahai Muslimah - Beritahulah kepada kaum Adam bahawa anda amat memerlukan pemimpin yang berilmu yang boleh mendidik dan membimbing diri.

Belajarlah sirah, sila selusuri mengenai kisah para sahabat, tabi'ien. Berapa ramai antara kita yang tahu tentang perjalanan sirah mereka yang terdahulu untuk dijadikan panduan dan tauladan. Berbanding dengan sejarah moden?

Apabila ditanya apakah yang berlaku dahulu kepada umat Islam? Kita geleng kepala tergaru-garu. Bila ditanya siapakah tokoh Islam yang berjaya memartabatkan kemuliaan Islam? Kita termangu-mangu..

Akhirnya jadilah diri kita orang yang tidak mengenang sejarah. Dan berapa ramai yang melupakan tauladan yang dahulu, lalu diulangi kesilapan yang sama...

Yang saya lihat - bila masuk topik sejarah, kurang umat Islam nak perhatikan. Bila lihat pelajar - ramai pulak yang menguap. Entah siapa yang ingat lagi siapakah anak-anak rasuluLLah. Apakah peristiwa yang berlaku ketika kelahiran rasuluLLah..

Apakah kisahnya baitul maqdis itu sehinggakan nasara dan yahudi inginkan tempat tersebut? Mengapa kita juga menyatakan tempat tersebut suci?

Siapakah pula sahabat yang digelar asaduLLah, yang diberi gelaran al faruq, yang diberi gelaran karamaLLahu wajhah?

Kembalilah selusuri sejarah leluhurmu, sejarah Islam perhatikan molek-molek...

Belajarlah...jangan malas...II

kepada sahabat yang lelaki, jika anda tergolong di kalangan pelajar universiti, teruskan belajar. Jika yang masih bersekolah jangan berhenti belajar.

Masa sekarang ni, entah berapa ramai remaja yang keciciran di dalam bidang ilmu. Berilah nasihat kepada mereka bahawa untuk mencari lelaki yang berilmu amat payah, untuk mencari lelaki yang boleh melaungkan azan dan iqomah pun bertolak-tolakan. Untuk mencari imam di kalangan lelaki pun ramai yang mengundur ke belakang.

INi belum lagi ditanya mengenai perkara asas fardhu ain..

begitulah, ada manusia memandang ilmu akademik itu penting, hingga lupa kepada praktikalnya. Lalu yang ia belajar selama ini sekadar ilmu teori yang ada di kepalanya tanpa dapat diaplikasi.

Ada manusia yang mempelajari ilmu dari apa yang ia lihat di sekeliling, ia alami melalui pengalaman untuk membentuk dirinya sebagai manusia.

Ada pula yang suka kepada majalah hiburan, yang santai-santai sahaja sebagai bahan riadah kepada akalnya. Apa yang kita suka baca, maka itulah yang membentuk diri kita.

Persoalan yang selalu bermain di minda den - mengapa ramai lelaki sekarang menjadi malas untuk meningkatkan ilmu pengetahuan? Jika dilihat di universiti pelajar lelaki bersikap 'asal siap', 'asal lulus sudahlah', dan belajar sambil lewa dan kurang bersaing untuk mendapatkan kualiti yang terbaik. - itu keadaan di kebanyakan kampus.

Di peringkat remaja - ramai pelajar lelaki keciciran dalam pelajaran, terlibat di dalam kegiatan gejala sosial dan juvana, penagihan dadah, merempit.

Di dalam kuliah ilmu, seminar, motivasi - nampaknya pelajar wanita lebih suka bertanya dan mempunyai perasaan ingin tahu yang lebih dan tidak malu untuk bertanya. Mereka juga lebih cepat untuk berubah dan suka bersaing antara satu sama lain. Jika dilihat pada sesi muhasabah
diri - peserta lelaki paling susah untuk mengalirkan air mata dan lebih suka tidur! (kecuali jika sesi muhasabah diri itu dibuat dengan tegas)

Di dalam bilik darjah - perkara yang sama berlaku, pelajar lelaki lebih suka bermain di belakang kelas, berbual. Berbanding pelajar perempuan.

Belajarlah...jangan malas...

Firman ALlah yang bererti : .. Dan ALLah meninggikan orang-orang beriman di antara kamu dan orang yang diberikan ilmu beberapa darjat (surah al Mujaadalah ayat 11)

Tholabul Ilm Faridotun "ala kulli Muslim - Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap individu Muslim

Seseorang yang keluar untuk menuntut ilmu, maka dia dikira berada di atas jalan menegakkan agama ALlah sehingga ia pulang (riwayat at Tirmizi)

Banyakkan ilmu sahabat, entah kengkadang otak kita ini bebal nak memahami sesuatu kerana kita pun tidak faham - sebab pertamanya dia tak reti nak bercakap, loghat bahasa tak sama, ilmu yang dia kata tinggi levelnya.

Orang kiri kanan mentertawakan, sebab kita tak tahu apa yang kita percakapkan. Ada terkadang kita ingin juga berkata tentang sesuatu tetapi tidak ada maklumat yang cukup. Lalu atas 'kecelakaan' itu, kita telah menyonsang dalam percakapan.

Firmn Allah yang bererti : Katakanlah lagi (kepadanya) : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?... (surah az Zumar ayat 9)

Zaman ini, orang yang tiada ilmu maka dia ketinggalan, dirinya di dalam keadaan yang amat berbahaya sekali. Kesandung sedikit akan mendasar jauh kelemasan dalam kejahilan. Maklum zaman ini banyak putar belitnya - bukan kerana zaman, tapi orang yang melalui zaman.

Banyakkan ilmu sahabat, jika kamu orang Islam yang beriman - tauhid itu kena kenal, hayati, hadamkan, feqah itu perlu faham, akhlak dijadikan pakaian. Semuanya ini terangkum di dalam ilmu jua. Bidasan itu pedas, untuk menjawab bidasan perlu ada ilmu. Ilmu itu akan mengangkat darjat. Dipandang mulia oleh Allah - selagi ia berlandaskan Al Quran dan Sunnah serta ijmak.

Belajarlah! Takada bayi yang begitu lahir langsung menjadi ilmuan, dan tak sama antara ilmuwan dan orang bodoh. Sebesar apapun sebuah negara , ia akan bernilai kecil jika penduduknya tidak berilmu, apabila dibandingkan negara kecil yang banyak penduduknya berilmu. Sekecil apapun negara, akan lebih kuat bila penduduknya berilmu. Sesungguhnya negara itu besar jika dibandingkan dengan umumnya negara-negara lain.