Jumaat, 14 Disember 2007

Mereka menipu kerana kita yang menggalakkan..


"Kak, kenapa ikan pari bakar nih macam tak masak je? ", tanyaku kepada kakak yang menjual nasi campur di sebuah restoran di dalam sebuah pusat membeli belah di pusat Bandar Kuala Lumpur. Lalu dia datang dan membelek-belek ikan pari tersebut yang sudah dimakan separuh olehku (baru makan setengah baru perasan ikan pari tersebut tidak masak sebahagiannya-sebab pada sangkaanku memang ikan yang sudah siap dibakar baru diletakkan di dalam bekas untuk dijual). Kemudian dia mengambil ikan tersebut dan membawa ikan pari yang baru dan aku bertanya lagi "kena bayar tak nih kak?". Dan dia mengatakan tidak perlu membayar sebagai mengganti ikan pari bakar yang sudah dipulangkan tadi.

Kita sentiasa berurusan dengan kegiatan jual beli yang melibatkan transaksi antara barangan dan wang. Di negara kita memang terkenal dengan sikap orang Islam yang mudah 'menghalalkan' apabila berkaitan dengan perkara yang dianggap remeh terutamanya melibatkan soal hak sebagai pengguna.

'Consciousness of Customer rights among Malaysian' nampaknya masih di tahap yang amat rendah terutamanya kepada umat Islam. Mentaliti 'takpelah, lebih kurang sudah la, tak mengapa saya halalkan'. Akhirnya hanya membuatkan sang peniaga yang memang sudah jelas suka menipu pelanggan akhirnya berani untuk melakukan penipuan berulang kali. Kita redha dengan perbuatan peniaga tersebut sedangkan adakah perbuatan 'redha' itu mendapat keredhaan daripada Allah?


Pelik ye, dalam menyatakan kebenaran kita pun takut, memberikan kritikan untuk kebaikan kita rasa segan. Tetapi di dalam masa yang sama kita membiarkan kemungkaran di dalam perniagaan berleluasa. Itu belum lagi dengan mentaliti 'suka ditipu' oleh penjual secara langsung ubat-ubatan, kosmetik, kad privileges (kad keistimewaan ahli) yang ditawarkan, kegiatan jual beli saham dan skim cepat kaya.


Cuba Tanya kepada diri sendiri, kita membeli barang kerana faedah barang tersebut untuk keperluan atau atas sebab terpengaruh dengan bujukan pegawai pemasaran tersebut? Begitu juga, kita takut untuk menyatakan hak kita di dalam mengetahui detail barangan yang kita akan beli daripada penjual. Sudahkah kita membuat 'survey' harga barangan yang akan dibeli di beberapa tempat alternatif? Jaminan barangan tersebut? tarikh luput? Sudahkah kita mengambil tahu mengenai halal dan haram barangan yang digunakan? Adakah kita mengambil tahu tentang tempat pengaduan seperti kewujudan Tribunal Pengguna serta kementerian yang bertanggungjawab terhadap harga pasaran barang?


Saya teringat satu hadith (ketika belajar mengenai syarah hadith mengenai penipuan) yang menyebutkan mengenai larangan oleh rasuluLLah kepada peniaga yang melakukan pembohongan di dalam perniagaan dengan meletakkan makanan yang baik di bahagian atas sedangkan di bawahnya diletakkan makanan yang sudah basah dan rosak. Dengan sabdanya "Man Ghassyana falaisa minna" yang bererti 'sesiapa yang menipu bukan dari golongan kami (umat Nabi Muhammad)'. (Riwayat Muslim)

Jika mereka suka menipu, janganlah pula menjadikan diri kita suka ditipu dan biarkan terus mereka menjadi penipu. Sedarlah.. bila lagi?

Tiada ulasan: