Jumaat, 17 Oktober 2008

ALlah bersifat hayat (Hidup)


Hayat ertinya hidup. Sifat hayat adalah suatu sifat yang qadim lagi azali yang berdiri pada zat ALlah ta'ala.

ALlah hidup tanpa nyawa, nafas. Tidak juga dengan bertubuh badan dan tidak makan serta minum.

Sifat Hayat (Hidup) menjadi punca atau asas bagi sifat-sifat ALlah yang lain iaitu Qudrah, Iradah, Ilmu, Sama', Basor dan Kalam (Sifat Idrak). Tanpa Hayat maka sifat-sifat lain juga tiada.

Perbezaan hayat (hidup) ALlah ta'ala dengan hayat (hidup) manusia :

Hayat ALlah Ta'ala

1. Qadim lagi azali
2. Tiada tempoh masa (kekal)
3. Tidak bernyawa
4. Tidak bernafas
5. Tidak bertubuh badan
6. Tidak makan dan minum
7. ALlah menghidupkan makhluk yang lain

Hayat Manusia

1. Bersifat baharu (pasti hancur, musnah, mati)
2. Ada tempoh masa
3. Bernyawa
4. Bernafas
5. Bertubuh Badan
6. Makan dan Minum
7. Dihidupkan

Dalil Aqli

Jika ALlah ta'ala tidak bersifat dengan sifat Qudrah, Iradah, Ilmu dan Hayat. Maka tentulah tidak ada alam ini dan segala yang baharu (makhluk). Hendak mengatakan tiada alam ini adalah mustahil kerana alam ini telah ada. Maka pastilah dengan logik akal ALlah ta'ala bersifat dengan keempat-empat sifat tersebut. Kerana dengan qudrah, iradah. ilmu dan hayatnya ALlah ta'ala dapat mencipta alam ini.

Dalil Naqli

1. Dalil Sifat Qudrah (berkuasa) ALlah ta'ala :

إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (٢٠)

Ertinya : Sesungguhnya ALLah amat berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al Baqarah :20)

2. Dalil sifat Iradah (berkehendak) Allah Ta'ala :

إِنَّمَآ أَمۡرُهُ ۥۤ إِذَآ أَرَادَ شَيۡـًٔا أَن يَقُولَ لَهُ ۥ كُن فَيَكُونُ (٨٢)

Ertinya : Hanyasanya Segala urusan apabila Ia (ALLah) menghendaki sesuatu, bahawa berkata Ia jadilah, maka jadilah ia. (Surah Yaasin :82)

3. Dalil Sifat Ilmu (mengetahui) ALlah ta'ala :

هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ‌ۖ عَـٰلِمُ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ‌ۖ هُوَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ (٢٢)

Ertinya : Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dialah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (surah al Hasyr : 22)

4. Dalil sifat hayat (Hidup) ALlah ta'ala :

"ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ


Ertinya : ALlah, tiada Tuhan selain Dia yang tetap Hidup yang kekal selama-lamanya. (surah al Baqarah : 255)

Tiada ulasan: