Selasa, 22 Julai 2008

Sifat Qudrah (Berkuasa)


Qudrah ertinya berkuasa. Sifat yang qadim lagi azali yang berdiri pada zat ALlah ta'ala. Sifat ini memberi erti bahawa ALlah Robbul Jalil mempunyai kuasa untuk mengadakan atau meniadakan sesuatu yang mumkin (berkemungkinan) dengan berkesan, selaras dengan iradah-Nya (kehendak ALLah).

Kekuasaan ALlah memerintah dan mentadbir sekalian makhluk-Nya dengan sendirinya. ALLah berkuasa untuk menentukan dan mengubah perjalanan alam dan seluruh makhluk tanpa kecuali. Dan ALlah jualah yang menentukan dan mengubah nasib manusia.

Perbezaan di antara qudrah (kuasa) ALlah ta'ala dengan qudrah manusia.

Qudrah ALLah ta'ala

1. Qadim lagi azali (memang sudah ada pada zat ALLah ta'ala)
2. Hakiki (berkuasa mutlaq)
3. Memberi kesan dan bekas
4. Bersendiri (Tidak dikongsi dengan apa juapun)
5. Tiada batasan


Qudrah manusia

1. Baharu (akan hancur, binasa, tidak kekal)
2. Ikhtiyari (manusia hanya mampu berusaha memilih dan tetap tertakluk pada kekuasaan ALlah)
3. Tidak memberi bekas atau kesan atas apa yang dibuatnya. - contoh : perbuatan manusia makan nasi tidak akan memberi kekenyangan kecuali atas kekuasaan ALlah yang memberi kenyang.
4. Berharap pada yang lain. - contoh : Manusia memerlukan pertolongan, alat bantuan, pancaindera, dan amat bergantung kepada ALlah.
5. Ada batasan.

***

Qudrah ALlah ta'ala yang menentukan keberkesanan usaha dan ikhtiyar manusia. Walaupun manusia mempunyai daya akal dan daya tenaga dengan berbagai-bagai penciptaan. Namun daya manusia tidak dapat memastikan keberkesanannya.

Belum tentu apa yang dibuat oleh manusia berjaya, memberi kesan, dapat mengubah sesuatu. Bahkan banyak yang dilihat adalah kegagalan dan akhirnya hancur binasa. Sekiranya berjaya ia adalah dengan izin ALlah. Ini kerana manusia adalah amat lemah. Kita kenyang kerana ALLah yang memberi kita kenyang, kita sakit dan memerlukan ubat sedangkan ubat dan apa jua tidaklah memberi kesembuhan melainkan kekuasaan ALlah yang memberi kesembuhan. Lihatlah berapa ramai yang tidak sembuh dari sakitnya. Ada manusia yang ingin mengubah wajahnya agar menjadi cantik, tetapi cantiknya itu akan pudar juga dan pasti akan hancur bila berada di dalam kubur. Sedang kecantikan itu tiada manfaat pada dirinya di alam kubur.

Manusia berusaha mencari jalan agar berumur panjang, bahkan ada juga yang tidak mahu memikirkan kematian kerana terlalu disibukkan dengan dunia. Malangnya kematian sentiasa berlaku tanpa mengira masa, kerana kekuasaan-Nya yang mencabut segala kelazatan yang ada pada diri kita.

Oleh itu, yang menentukan kejayaan hidup manusia bukanlah manusia atau alat-alat ciptaannya, tetapi ALlah ta'ala. Sebab itu kita berusaha bersungguh-sungguh, dengan bersungguh-sungguh kita berdoa dan bertawakal kepada ALLah ta'ala.

Tiada ulasan: