Isnin, 28 Januari 2008

Malu


Islam adalah agama yang hebat, dan apabila disebut Islam, maka pengikutnya adalah hebat dan mulia belaka.

Ya Allah! Aku bersyukur Engkau memberi diriku akal.

Sungguh di antara kebenaran dan kebatilan, halal dan haram, baik dan buruk adalah untuk dipilih oleh akal yang diberi Tuhan. Dan dengan akal ini adalah alat untuk berfikir agar tidak jatuh menjadi haiwan yang menurutkan hawa nafsu untuk survival dalam hidupnya. Dan pengukur akal adalah iman. Akal ini digunakan untuk memilih kegembiraan kesopanan daripada kegembiraan hawa nafsu. Orang yang berakal akan menaksir dan selalu berbantah dengan dirinya. Kalau-kalau diri bermaksud untuk menempuh perkara yang jahat dihukumkan buat diri bahawa perkara itu adalah merugi dan mencelakakan. Dan kalau diri itu ada mengingat yang baik-baik dihukumkan bahawa kebaikan itu menguntungkan

Ya Allah! Aku bersyukur Engkau memberikanku iman dan Islam

Sungguh dengan ditimbang akal, Islam itu adalah agama yang terbaik untuk menjadi pembenteng diri dari api neraka. Islam menjaga aku dengan sifat malu. Islam adalah cara hidup yang memberi pakaian kemuliaan yang tiada pada agama berhala-berhala yang disembah, tiada pada ‘triniti’, diva-diva, atau agama mana sekalipun di alam ini, apatah lagi mereka yang tidak percaya pada Tuhan.

Seketika di dalam pengajaran, aku menegur seorang anak muridku mengapa dibiarkan rambut terjulur keluar dari tudung? Mengapa skaf yang dipakai tidak menampung rambut agar dapat disembunyikan?. Ketika itu lidahku menjadi lancar berleter panjang mengenai kata RasuluLLah dari riwayat Bukhari dan Muslim yang mengatakan golongan ahli neraka yang terdiri dari perempuan yang berpakaian tetapi seperti bertelanjang, rambutnya seperti bonggol unta (dipertontonkan kepada orang ramai dan lelaki yang bukan mahram) yang tidak dapat mencium langsung bau syurga Dan benarlah bila ada perasaan malu, lekas-lekas disembunyikan rambutnya. Dan hingga ke hari ini ‘malunya’ itu dijaga bersungguh-sungguh agar tidak hilang.

Aku menyatakan ‘malu’ itu adalah mahkota perempuan untuk dijaga dengan rapi, agar diri tidak dicela, agar tidak dipandang rendah apatah lagi zaman ini ramai lelaki yang tidak dapat diharap untuk menjaga kehormatan dan malunya perempuan.

Terkadang menelah juga di dalam hati, wahai anak didikku, sehingga bila engkau dapat menjaga malu yang mempertahankan dirimu? Dalam mempertahankan agama dan harga diri?

Maklum terkadang hati ini begitu ‘gopoh’ ingin melihat agar semua segera berubah menjadi hamba Allah dan bukan hamba nafsu, kerana masa sungguh sempit dan bahaya di hadapan amat besar untuk dihadapi. Perlahan-lahan aku meyakinkan diri, bila iman sudah menyubur di dalam diri, pastinya Islam yang dicita-citakan akan dapat membezakan mereka dengan orang yang hanya mengaku Islam dengan bibir. Dan pastinya kemegahan Islam itulah yang akhirnya menjadi bukti antara orang Islam dan yang bukan Islam.

Peranan Malu

Padaku lawan sifat malu adalah berani. Keberanian hanya untuk perkara yang terpuji dan memberi manfaat. Bila berani membuat dosa, sepatutnya berani juga menerima balasan dari Tuhan atas kesilapan diri sendiri. Lelaki yang berani bukan ‘jantannya’ diguna untuk membuat kerosakan pada orang lain apatah lagi di bumi Tuhan. Berani itu adalah sifat mulia bukan hina, berani dalam berkata perkara yang hak, berani mempertahankan agama dan maruah apabila ditelanjangkan. Berani mengajak kepada perkara kebajikan, berani untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Jika mereka bertanya mengapa aku sibuk-sibuk untuk menasihati? Pastinya aku menjawab, bahawa kita semua adalah bersaudara, dan jika ada masih ada jalan ke syurga tentunya aku ingin mengajak mereka bersama-sama dan agar mereka tidak menyeretku bersama ke dalam jurang neraka.

Khamis, 24 Januari 2008

Yang indah hanya pada mata

Kita datang ke alam ini tanpa membawa apa-apa. Lahirnya ke dunia tanpa seurat benang. Lalu disambut dengan pakaian. Di azankan dan iqamah kiri dan kanan. Ditahniq antara belahan lelangit dengan madu, dicukur rambut, dibuatkan aqiqah, diberi nama.

Diberi susu oleh ibu, diasuh manja oleh ayah. Sehingga umurnya sekian dan sekian, makin menginjak dewasa. Perhiasan semakin bertambah, keperluan semakin terasa pentingnya, keinginan semakin mencurah-curah.

Aku ingin itu, aku hendak ini. Lawanya kereta itu, besarnya kereta ini. Lazatnya makanan itu, enaknya minuman ini.

Yang indah hanya pada mata... Kalaulah mata itu semakin kabur - (orang ramai kiri kanan menyapa, tapi dia buat dek lalu dikatakan sombong, padahal memang dia tidak nampak) hilanglah cantik pada mata.

Bila selera sudah hilang, makanlah apa sahaja, minumlah apa sahaja. Biasanya kita akan berkata "Aku tiada seleralah untuk makan" (walaupun di hadapannya ada ayam goreng, chopstick, pizza dan sebagainya). Rasa lazat adalah pada lidah, bila hilang selera, lazat pun hilanglah.

Hebat kan hanya pada fikiran yang terbatas - bila diselidik apa hakikat yang menjalankan kereta, apa yang dihasilkan untuk membuat rumah dan bagaimana akhirnya kesudahan khazanah itu. Akhirnya diketahui apa sahaja tidak kekal di dunia, cuma kita ini diajar untuk bersyukur. Bila ada kelebihan pada harta, rajinlah tangan memberi.Bila ada ilmu, rajinlah untuk menyampaikan.

Ada orang merungut - "aku lemah, tidak pandai, tidak bijak, aku tiada harta". Yang dikicuhkan adalah kelemahannya serta alasan yang selalu boleh diberi. Padahal kelebihan yang ada pada diri dibutakannya. Kenapa? Sebab yang pertama - mungkin masih tidak disedarkan. Kedua - kerana sikapnya suka memandang kelemahan. Ketiga - Dia memang tidak mahu berubah.

Ada masanya, apa yang orang lain ada kita inginkan dia punya. Kita menjadi iri hati dengan apa yang dia ada. Sedangkan orang lain punya bukan keperluan kita. Terpaksalah membazir, berhutang piutang keliling pinggang semata-mata untuk meniru kesenangan orang lain.

Hidup lawannya mati - bila dah mati, barulah mulut tertutup dari menyatakan apa sahaja, barulah senyap keinginan yang selama ini asyik diburu. Mungkin dah nak hampir mati baru teringat mahu bersyukur.. Itupun kalau beringat..


Selasa, 22 Januari 2008

Kesian Bangku Bas..

Dalam bas ada remaja kita yang kreatif, suka melukis. Duduk bahagian belakang bas kendian mulalah melorek menggunakan pen, marker, liquid paper. Biasanya pelajar sekolah menengahlah yang suka buat perkara kreatif begini.

Macam-macam dilukisnya, terkadang ditulis nombor telefon, kengkadang makian kepada bangsa tertentu, kumpulan tertentu. Ada juga dipromosi diri sendiri, atau mempromosi orang lain untuk tujuan yang jahat.

Begitupun ada juga yang meluahkan perasaan - mungkin tidak dapat diluahkan pada orang yang diingini, dengan bangku tempat duduk pun jadi. Ada juga melepaskan geram pada tempat duduk - habis ditoreh-toreh dengan pisau.

Bila ALlah beri tangan dan akal - sepatutnya sudah baik benar jika kepandaian diguna di jalan yang betul. Tapi dipilih jalan yang salah..

Kita perlu buat sesuatu untuk menolong mereka..

Ahad, 20 Januari 2008

Kisah Para Pejuang

'Kami lahir untuk Islam, hidup untuk Islam dan mati untuk Islam….'

Di bumi ini, telah lama menunggu kedatangan sinar harapan yang baru. Daerah ini telah lama dilumur darah para pejuang, insan yang tidak berdosa, dan mereka yang menunggu saat kematian. Sekiranya mata ini sudah lali melihat jasad para syuhada', saudara-saudara seIslam, telinga ini pula sudah terlalu biasa mendengar tangisan anak-anak kecil kehilangan adik, abang dan kakak serta saudara mara. Sudah seringkali bersama menangisi pemergian orang-orang yang tercinta dan disayangi. Air mata mengalir deras, sayu melihat tubuh-tubuh halus direntap dan ditarik kasar oleh si yahudi tanpa rasa kasihan. Jasad lemah itu diheret lagi, dihumban dan dicerca dengan perkataan kesat dan ejekan khusus untuk umat Islam seluruhnya.

Lalu tercalar dan hiba hati, bila pondok itu sahajalah tempat untuk berteduh, meninggalkan kenangan silam, tempat menumpahkan kasih sayang dan gembiranya kehidupan sebuah keluarga telah hilang sekelip mata.

Rumah mereka diroboh!, harta benda mereka dimusnahkan lalu yahudi itu tertawa besar sesama sendiri berpuas hati melihat pencapaian hari ini. Tangan kecil mungil menyelongkar di celah-celah robohan bangunan mencari sisa-sisa cebisan ayat-ayat al Quran untuk di selamatkan. Tidaklah tangan ini akan menadah meminta pertolongan dan belas kasihan pada manusia yang hanya mampu memberi belas dengan lisan dan kata-kata kosong. Katil di hospital telah penuh dengan orang yang cedera ringan dan yang berat. Jerih peritnya terasa ke dalam hati nurani.

Bekalan makanan sudah semakin meruncing, ada anak-anak kecil yang merengek meminta ibu dan ayahnya makanan, sedang mereka sendiri memicit perut kelaparan. Dicari dan diberi juga lebihan makanan dengan senyuman sedang dihati menangis kesedihan.Tembok binaan itu sudah meninggi dan menyebar luas! memisahkan tanah kelahiran kami, mencuri dan menceroboh inci demi inci tanah kemuliaan umat Islam. Kini sudah banyak benarlah nyawa yang hilang ditangan yahudi itu dan peluru-peluru serta mortar tetap membedil kejam tubuh-tubuh saudara umat Islam. Berbangga benar mereka dengan kenderaan berat untuk meletup dan menghancurkan tempat perlindungan hingga menyembah bumi dalam masa yang singkat.

'Aku yakin lontaran batu ini akan menghancurlumatkan tubuh musuhMu ini wahai Tuhanku'

Ada pekikan yang menyayat hati, saban hari menanggung pedih pilu. Sudah keringlah air mata mengiringgi pemergian para pejuang yang gagah berani. Anak-anak kecil berada selalu didakapan kemas sang ibu sambil membisikkan kata-kata azimat dan semangat "Wahai ibu, ayah kini telah jauh di mata, abang telah mengiringi dan menjejaki langkahnya, mereka bersama beriringan menuju ke syurga yang abadi, darahnya tidaklah terbuang sia-sia, setiap cucuran peluh keringatnya akanku sapu dan sebatikan di dalam darah dagingnya ini. Ibu jangan kau tangiskan pemergian mereka, di sana cahaya Islam sedang memancar, laungan para syuhada telah kembali bergema, ayuhlah kita bersama mendoakan mereka agar berjaya.

Semoga ada lagi ibu-ibu yang melahirkan anak-anak pejuang yang hidupnya tidak pernah erti takut memancung setiap leher musuh Allah dan memakmurkan bumiNya ini dengan perkara yang hak, Islam pasti akan dijulang dan bangkit kembali….

Ada pohon-pohon kehidupan yang telah layu dan rebah ke bumi, lahir benih-benih kehidupan baru mewarisi kehebatan generasi lampau. Tegak berdirinya gagah menongkah keadaan dan zaman. Tidaklah ia berubah walau sedikitpun, tidaklah goyah dipukul ribut badai, tidaklah kering dan lemah disengat kepanasan terik mentari. Generasi ini, mengulangi kemuliaan dan keagungan para penegak agama Allah. Lahirnya dinanti, perginya diingati….

Anak_Pejuang
7.32 petang
16 safar 1425 hijrah

Sabtu, 19 Januari 2008

Abu Hanifah dan al Dahhak

Pada suatu hari, seorang ahli Khawarij (Golongan yang menentang Ali dan Muawiyah) yang bernama al Dahhak al-Shari datang bertemu Abu Hanifah lalu berkata : "Wahai Abu Hanifah bertaubatlah."

Sambil memandang al Dahhak Abu Hanifah bertanya : "Kenapa?!"

Al Dahhak berkata : "Engkau berpendapat pengadilan antara Ali dan Muawiyah adalah dibenarkan."

Setelah mendengar dakwaan al Dahhak, Abu Hanifah bertanya: "Apakah engkau mahu berdebat dengan saya dalam masalah ini?"

"Boleh!" kata al Dahhak sambil membetulkan tempat duduknya.

Abu Hanifah tersenyum seraya berkata : "Jika kita berselisih dalam masalah yang kita bincangkan ini, siapakah yang akan menjadi pengadil antara kita?"

Lantas al Dahhak menjawab : "Pilihlah siapa yang engkau mahu."

Abu Hanifah menoleh ke arah salah seorang sahabat Khawarij itu dan berkata : "Bolehkah engkau menjadi pengadil dalam masalah yang kami bincangkan ini."

Abu Hanifah memaling semula mukanya kepada al Dahhak lalu berkata :"Saya setuju dengan sahabatmu ini, apakah engkau setuju dengannya?"

"Baiklah saya setuju," al Dahhak tersenyum lebar kerana pengadil yang dipilih adalah daripada penyokongnya sendiri.

Abu Hanifah membentak: "Celakalah engkau, engkau setuju menerima pengadilan untuk perkara yang kita bincangkan ini, tetapi engkau tidak setuju dengan apa yang dilakukan oleh dua orang sahabat RasuluLLah s.a.w?!"

Tergamam al Dahhak mendengar hujah tersebut dan terdiam tidak terkata apa.

Jumaat, 18 Januari 2008

Kisah Bas Dulu-dulu

Bas dahulu di Larkin - Alec Bus harga rm0.30 sekali naik ke bandar. Ada juga Bas T Hakkim bernombor 210, dan Bas Maju no 8 dan 9 melalui Jalan Mahmudiah (kawasan perkuburan orang Islam di Johor Bahru) menuju ke bandar Johor Bahru.

Bas dahulu angin percuma 'free air', bukak tingkap rasalah angin sempoi-sempoi bahasa. "Goheaddd!!!" kata konduktor bas bila penumpang sudah naik atau turun. Terkadang ada juga baru kaki nak menerjah ke tanah, pemandu sudah masuk gear dan ingin meneruskan perjalanan. "Kejapp!!! Kejapp!!", Bising jugalah satu bas untuk menyuruh pemandu tersebut berhenti.

Bila waktu hujan, tingkap perlu ditutup - kalau bernasib baik tak kenalah tempias. Biasanya konduktor la yang bercempera ke sana sini untuk menutup tingkap. Biasalah, kalau dah hujan, tempat duduk basah. Samada suka atau tidak kena juga duduk, penat berdiri nak tunggu sampai ke destinasi. Dan bila bangun, terasa bawah punggung akan basah sama.

Bas lama, macam tulah berkeriok bunyinya sana sini bila lalu di jalan yang berlubang. Terlontar badan ke kanan kiri. Jika tertidur alamatnya kepala terhantuk di bingkai tingkap berkali-kali. Seksa...

Apapun begitulah, kenderaan awam yang amat berjasa. Jika nak naik teksi, berangan panjanglah jawabnya. Tapi yang penting di dalam bas banyak menceritakan kehidupan..

Khamis, 17 Januari 2008

Kisah Dalam Bas


Ada kengkawan bertanya, kenapa tidak menggunakan kenderaan sendiri, naik kereta atau motor. Boleh ikut jalan 'shortcut' , jimat masa..

Bagi saya pula, (memang ada kemalasan nak mengambil lesen - tetapi benar ia merupakan satu keperluan masakini, Insya ALlah saya akan dapatkan juga P nanti) ada hikmahnya bila menaiki bas. Saya dapat memerhatikan gelagat manusia. Dari si tua hingga ke muda belia dan remaja.

Saya memerhatikan di dalam bas mempunyai 'kehidupan' tersendiri yang tiada didapati di dalam motor dan kereta. Bila dalam kereta kita cenderung untuk fokus kepada pemanduan dan alam kiri kanan. Menaiki motor pun begitu juga.

Tetapi memang kebanyakan hidup telah dihabiskan masa di dalam bas untuk berulang alik ke tempat kerja dan juga ke destinasi tertentu. Maka banyak pengajaran yang didapati di dalam bas.

Nantilah ada masa saya akan meyambung kerana saya perlu bergegas untuk ke tempat kerja ..

Ahad, 13 Januari 2008

Hijrah.. Apa yang Anda Faham?

Hijrah ertinya adalah perpindahan dari suatu tempat atau keadaan kepada tempat yang lain. Menurut sirah, hijrah merupakan satu perpindahan muhajirin dari Makkah ke Madinah.

Bermulanya kalendar Hijrah (1 Muharram) adalah direka oleh Saidina Umar r.a - menurut ahli sejarah. Berbeza dengan tahun Masehi iaitu sistem perkiraan bulanan dan tahunan menurut Barat atau dipanggil Kalendar Gregorian di mana setiap bulan itu mempunyai nama-nama Tuhan orang-orang Roma dan pertukaran harinya pada jam 12.00 pagi. Manakala Taqwim Hijrah berdasarkan kepada bulan-bulan Islam yang ditetapkan oleh ALlah disebut di dalam al Quran dan pertukaran harinya pula ditentukan dengan tenggelamnya matahari pada waktu maghrib dan juga berdasarkan hilal.

Hijrah bukan untuk mengenang sahaja sirah perjalanan rasuluLLah tanpa diambil pengajaran untuk dibuat cerminan diri.

Hijrah mengajar mengenai persaudaraan persahabatan di antara RasuluLlah dengan sahabatnya. Lihatlah bagaimana Saidina Ali r.a sanggup menggantikan tempat rasuluLLah dengan tidur di pembaringan baginda. Kisah bagaimana Saidina Abu Bakar yang sanggup untuk bersama rasuluLLah berhijrah, kakinya dipatuk dengan ular tanpa ia memekik, beliau menahan kesakitan sehinggalah air matanya menitis mengenai wajah rasuluLLah yang sedang tidur di ribanya barulah ia menceritakan kerusuhan hatinya.

Sungguh ketika gua thur dikepung oleh pemuda di kalangan kaum kafir musyrikin di Makkah, Abu Bakar berasa amat bimbang, kalau-kalau mereka akan menundukkan kepala dan akan terlihatlah kaki RasuluLlah dan dirinya. Tiadalah Abu Bakar risau keadaan dirinya melainkan takut rasuluLLah akan diapa-apakan. Lalu dibujuk oleh RasuluLLah dengan mengatakan " Wahai Abu Bakar, apa katamu bahawa di samping yang berdua itu ada yang ketiga iaitu ALlah! (Hadith ini dipersetujui ramai).

Hijrah bukan juga untuk dikenang melalui nasyid yang dinyanyikan saban tahun, tetapi juga mengingatkan kita ambil iktibar bahawa untuk menjadi pemimpin perlu mempunyai perancangan yang rapi, menyusun strategi agar perjalanan di masa hadapan berjalan dengan baik. Abu Bakar telah mengarahkan Amir bin Fuhairah (yang bekerja dengannya dengan mengembala kambing) membawa kambingnya ke gua thur untuk diperah susunya dan tapak kaki kambing yang dibawanya itu dapat memadamkan jejak langkah rasuluLlah dan Abu Bakar dari dihidu oleh musuh.

Dari hadith rasuluLLah s.a.w yang bererti:

"Dari Amir al Mu'minin Abu Hafs Umar al Khattab r.a katanya : Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada ALlah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada ALlah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.

Diriwayatkan hadith ini oleh 2 orang imam hadith iaitu Abu AbduLlah Muhammad Ibn Ismail ibn Ibrahim Al Mugirah Ibn Bardzibah al Bukhari dan Abu Al Hussain Muslim Ibn al Hajjaj Ibn Muslim al Qusyairi al Naisaburi.

Fitrah manusia, setiap orang mempunyai niat yang tersendiri, dan tentunya niat kerana ALlah itu lebih utama dari segala-galanya. Ada di kalangan kita yang membuat sesuatu perkara kerana dunia, kerana kepentingan sesuatu. Maka ia akan dapat sesuai dengan apa yang diniatkannya. Jika engkau mengejar keduniaan, maka dunialah yang akan engkau kecapi, tetapi jika kerana ALlah dan rasulNya maka dunia dan akhirat engkau perolehi serta keredhaan dari ALLah.

Hijrah sebagai motivasi untuk memajukan diri dari segi pemikiran, sikap, i'tiqod yang benar, hati, pada diri kita khususnya dan mengajak umat Islam umumnya.

Kengkadang saya terfikir - bila lagi kita hendak berhijrah ? Tunggu seru ? Atau ketika nafas ditenggorokan sebagaimana yang terjadi pada Firaun baru kita hendak berhijrah kepada kebaikan? - Yang jelasnya, samada kita ingin berhijrah atau tidak, masa semakin cepat berlalu...

Jumaat, 11 Januari 2008

Locus Of Control

Aku lulus peperiksaan sebab aku pandai
Aku tak mendapat pekerjaan kerana memang penemuduga tu tak pandai menilai orang
Yang bersalah bukan aku, tapi mereka tu yang tak betul!
Anak-anak aku tak salah, yang salah adalah guru

Bagaimana kita menilai sesuatu perkara yang berlaku pada diri ?

Di dalam teori yang disampaikan oleh Julian Rotter 1966. Dia menyatakan manusia mempunyai tempat pengawalan dalam diri yang disebut locus of control di mana manusia akan menilai sesuatu secara internally (dalaman) dan externally (luaran). Iaitu jika secara internal (dalaman) - maka manusia akan menilai sesuatu yang terhasil dari suatu keadaan kepada dirinya sendiri. Contohnya : Seorang pelajar yang mempunyai internal locus of control yang kuat - ia akan menyatakan bahawa dia cemerlang kerana usahanya sendiri yang bersungguh-sungguh. Manakala mereka yang mempunyai external locus of control yang kuat akan menilai secara luaran menyatakan - Aku lulus kerana bernasib baik, profesor itu yang menolong aku.

Sebagai orang yang beriman, di dalam al Quran sendiri menegaskan bahawa

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah Ar-Raa'd 13: 11)

Kita disuruh untuk mengubah diri kita dengan berusaha bersungguh-sungguh,Tidak disuruh menyalahkan taqdir. Kita tidak disuruh berterusan bersungut, merengus, menempelak apa yang sudah diiradahkan oleh ALlah.

(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu
kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah
kepunyaan ALlah dan kepada ALlah jugalah kami kembali.
Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai
kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan
mereka itulah yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 156 - 157).

Apa yang perlu ada pada diri kita, untuk berjaya, mengubah diri kepada yang lebih baik. Untuk memajukan diri, meningkatkan potensi dan keupayaan diri, kurangkan menyalahkan orang lain, alam sekeliling.

Biasanya yang terjadi kepada orang yang putus harapan, yang jiwanya lemah, akan mudah menyalahkan orang lain, mudah tunduk kepada keadaan. Dia mengharapkan orang lain memberikan nasihat tetapi di dalam masa yang sama dirinya tidak mahu berubah. Dan akhirnya terus duduk diam termenung, bersedih, memandang masa depan dengan cahaya yang kelam dan kabur.

Seseorang yang mempunyai internal locus of control yang kuat, tidak mudah mengaku kalah, apa jua kesilapan dan kegagalan tidak mudah dilemparkan kepada orang lain. Dia akan menunding kepada dirinya terlebih dahulu. ALlah adalah penguat kepada jiwanya. Dia berusaha untuk memperbaiki kegagalannya. Dia akan berkata "Ya, aku gagal mungkin kerana hubunganku dengan ALlah tidak kuat, aku tidak lebih bersungguh-sungguh, kegagalan bagiku sebenarnya adalah tapak untuk aku lebih berjaya, dan menjadikan aku lebih dewasa".

Dan begitulah jika kita mengambil iktibar dari teori Julian Rotter, sebenarnya pengendalian diri itu sudah lama dibayyinkan di dalam al Quran. Agar kita sentiasa bersungguh. Bahawa - kerosakan yang dibuat di alam ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri, bahawa penyebab kerosakan diri apabila dalam diri kita sendiri terlalu rapuh. Kita tidak mahu membinanya dari dalam. Kekuatan... benar memang akan hadir dengan sokongan kawan-kawan, dan alam sekeliling, tetapi bagaimana kita berubah, menanggapi sesuatu kesusahan datangnya dari diri kita sendiri.

Selamat berubah!

Rabu, 9 Januari 2008

Hari Ini dan Esok

Maaf sebab tiada banyak masa untuk makan, berbual, bergurau senda bersama pada masa lalu, terlalu bnyk masa yang tidak dapat luangkan untuk dikongsi bersama, terkadang tercari2 masa lampau yang telah jauh pergi, tempat-tempat yang bnyk meninggalkan kenangan untuk diingati, tempat itu telah dilalui, tetapi tidaklah sama seperti yang lalu, ‘mereka’ tiada di situ, yang ada hanyalah ingatan kuat yang masih tersisa.. Tuhan, berikanku sedikit masa lagi untuk bersama-sama dengan mereka..

Sempatkah diri untuk menyatakan sesuatu yang berharga untuk mereka ingati dan kenang sampai bila2,

Maaf kerana masa terlalu sempit untuk memberi kita jalan merasa tenang, ceria dan gembira sepanjang masa kerana setiap satunya diselang seli dengan perasaan lain,

Hari esok… dapatkah menyampaikan sesuatu dan memperbaiki diri yang semakin tersasar,

Hari esok…dapatkah melihat kebenaran atau bersubahat dan menjadi pemimpin dalam penipuan,

Hari esok.. adakah diberi lagi peluang untuk berwudhuk dan menjatuhkan dosa kecil dari segala anggota, mengadap sujud kepadaNya, berdoa dan berharap, menangis dan merintih,

Hari esok… dapatkah meneruskan bicara atau diamku menjadi panjang dari biasa,

Hari esok… rindu dan ingin melihat wajah kedua ayah dan ibu, mengucupi seperti biasa wajah dan pipi mereka, dapatkah diberi izin sekali lagi ..

Hari ini… alangkah gembiranya bertemu rakan-rakan, terkadang terlepas cakap berbuat dosa lagi dengan perkataan celupar ini, lantas ketawa dan bergurau senda, lalu mengumpat, mengata, berbisik tentang keburukan orang, lupa dengan kekurangan diri yang semakin bertambah dari hari ke sehari,

Masih sempatkah di hari esok untuk memohon kemaafan untuk sekian kalinya..

Tadi… bukankah tadi hati berburuk sangka dengan ayah dan ibu, rakan taulan, guru di kuliah, silap mereka yang kecil terlalu besar untuk dilihat, dan hati terlalu payah untuk memberi ruang kemaafan,

Sebentar tadi bukankah hati mengutuk dan menyalahi takdir, merungut dan mendesis tentang sesuatu, mengajak teman ke arah kesilapan dan terhibur dengan karenah mereka,

Hari esok, dapatkah menjawab segala persoalan yang telah lalu.. tentang sebuah tanggungjawab, tentang kisah kehidupan, setiap kesalahan, dari kisah lisan, kisah perbuatan…..satu persatunya….

Dan masih sempatkah sekali lagi untuk memohon kemaafan untuk kesekian kalinya….

Mencari^Damai

15 September 2004

11.11 pagi

p/s : SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1429 HIJRAH.



Isnin, 7 Januari 2008

Akal untuk bertadabbur, berzikir dan berfikir

Wah lebatnya buah yang masak ranum!, tentu enak bila dimakan, haa yang ini berwarna merah, tentu sudah boleh dimakan isinya !. Yearkhh..laa ada ulat rupanya. Hmm, ingatkan kalau merah tentu sudah masak, silap perhitungan kali ini. Cantik sahaja kulit di luarnya tapi busuk di dalamnya. Tidak mengapa, lain kali kena berhati-hati bila memilih buah, supaya tidak terpilih buah yang busuk.

Kesian si pungguk rindukan bulan, tak puas-puas memandang ke langit. ‘Seperti menunggu buah tak jatuh’.Dahlahtu pungguk tak perlu memandang langit, bukankah ada pasangan yang sejenismu di muka bumi ? jangan pula sampai lupa diri, ingat kata bidalan “kalau melihat bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi”

Alamak, panjangnya badan si ular, tentu ular berbisa ni. Bagusla nanti tikus pun kurang, tanaman tidak rosak. Tapi, kenapa jalannya berbengkok-bengkok, tidak lurus ? pening kepala melihatnya.

Eh, tengok ketam tu ! malu-malu kucing di sebalik belahan batu-batan di tepi laut, jalan terkedek-kedek, mengiring-ngiring, wah, banyaknya anak-anak ketam tu! Sama pulak jalannya macam ibu bapanya jugak, jalan mengiring-ngiring.

Aduh, nyamuk ni, gigit orang je ! sakit tahu tak ? tak padan kecik, gigitanmu sampai berbintat kulit. Oohh..padanlah ada air bertakung di belakang bangunan, banyak pulak di situ sampah sarap dan najis di dalam longkang, lalat pun banyak. Eeehh…gelinya, siapa punya kerjalah ni ? Tiada perasaan tanggungjawab langsung. Tentu banyak penyakit yang boleh terhasil dari longgokan kotoran di sini, dan nyamuk dan lalat tentulah agennya. Patutlah raja Namrud yang zalim pun boleh mati dengan gigitanmu.

Amboi kuatnya angin ini !. hendak ribut agaknya, habis….habislah! tentu banyak pokok tumbang, sepertimana hutan ditebang. Ahh..binatang-binatang itu nanti, tentu kehilangan tempat tinggalnya, anak-anak kehilangan ibu ayahnya, siapa pula yang akan memujuk mereka. Kasihannya nasib mereka. Tapi ini semua tentu ada hikmahnya, kalau tidak takkan Allah nak turunkan musibah secara tiba-tiba ?.

Lihatlah mata hati, kehebatan Allah menjadikan alam ini, menjadikan akal untuk bertadabbur, berzikir dan berfikir akan kebesaranNya untuk dijadikan tauladan. Masihkah engkau mahu menjadi kufur?...

Kedudukan zikir bagi hati umpama kedudukan air bagi ikan, maka bagaimana keadaan ikan apabila ia dijauhkan dari air?- Syaikhul Islam Ibnu taimiyyah RahimahuLlah

Ahad, 6 Januari 2008

Indahnya alam dijadikan Tuhan

Eh kemana hilangnya siang bila hari berganti malam, Oh! masa itu sentiasa berlalu rupanya, hari ini akan menjadi kenangan, yang akan datang menjadi idaman. Tentu di malam ini banyak makhluk Tuhan yang memuji-muji Allah, berzikir kepadaNya, berselawat ke atas junjugan besar Rasululah (s.a.w). Amboi, cantiknya bulan !. menerangi alam semesta. Penyuluh jalan yang gelap, tak lokek pula ia menyinarkan cahayanya, tak mengira status siapa yang diteranginya.

Cantiknya fajar bila menjelma! Ayam pula berkokok bersahut-sahutan, hmm…kenapa ayam berkokok tak henti-henti. Oh agaknya mereka melihat malaikat turun ke dunia. Isk.isk.. eh suara tangisan siapa pula tuh? Suara tangisan dari sebuah rumah rupanya. Kenapa Dia menangis ya.? Oh..dia sedang berdoa rupanya, “Tuhanku..aku tak layak masuk syurgaMu, namun tak upaya menghadapi api nerakaMu, terima taubatku dan ampunkan dosa-dosaku, sesungguhnya Engkau mengampunkan dosa hambaMu”.

Ishh..panasnya cahaya matahari! Riuh rendah alam dibuatnya. Semua makhluk terjaga dan meneruskan aktivitinya masing-masing, si burung terbang mencari tempat tinggal yang baru, ada yang membuat sarang, si ayam mematuk-matuk tanah mencari cacing, si monyet memanjat pokok mencari pisang. Meriahnya alam di siang hari!.

Ehh comelnya ikan di dalam air! Berkejar-kejaran ke sana-sini, melompat-lopat di permukaan air, berlumba-lumba menongkah arus, bersembunyi di batu-batu besar, berbagai-bagai pula warnanya, ada merah, hitam, dan berwarna-warni. Eh.. ada seekor memerang sedang memerhatikan ikan-ikan itu, Awas ikan, musuhmu sedang memerhatikan!, sayangnya seekor ikan terlalai lalu secepat kilat disambar memerang. Kasihan nasibmu ikan, hayatmu berakhir kerana kelalaianmu sendiri. Ikan-ikan yang yang masih hidup, lain kali berhati-hati! supaya nasibmu tidak seperti ikan yang malang itu nanti.

Moo..moo, suara lembu dan kerbau, sedang membajak sawah rupanya, si petani memukul punggung si kerbau. Tak sakit ke sang kerbau dipukul setiap hari ? hidungnya dicucuk dengan besi bulat lalu ditarik ke sana-sini dan ditambat pula di pokok besar. Tidak membantah pula bila diperlakukan begitu. Sudah nasibmu kerbau, lembu.

Bisingnya anjing ni! menyalak-nyalak di malam hari. Oh..dia ternampak pencuri agaknya, besar jasamu anjing kepada tuanmu. Menjaga harta dan keselamatannya. Laaa… buat apa anjing ni ? menguis-nguis tong sampah? Habis bersepah-sepah sampah dibuatnya. Ish.. ade seekor anak kucing yang sudah mati rupanya di situ. Kasihan, comot rupa anak kucing ini. Banyak pula luka di badannya. Kenapa ibumu sanggup membunuhmu ? Eh bukan-bukan ! takkan ibu kucing sampai hati membunuh anaknya ?, apatah lagi membuang anaknya merata-rata. Ini tentu perbuatan makhluk lain yang tak suka pada kucing. Aik, kenapa kencing di tepi tiang sambil mengangkat kaki ? ohh, agaknya dia malu, maka kaki sebelah diangkat sebagai isyarat supaya jangan dilihat. Anjing pun ada sifat malu rupanya.

Sabtu, 5 Januari 2008

Subhanallah! Luasnya alam Tuhan


Amboi, banyaknya anai-anai ! memakan pohon-pohon mati, telah bertahun mereka memakan pepohon itu tanpa kenal erti jemu, kuat gigi mereka sekuat semangat mereka, pohon yang besar itu runtuh juga akhirnya dengan semangat kerjasama.

Eh ke mana semut itu membawa gula ? kecil tak padan dengan barang yang dibawa, cekalnya hati menanggung beban tanpa perlu mengeluh sesalan. Rajin pula rakan-rakannya yang lain membantu membawa beban bersama. Gula dibawa ke sarang untuk dikongsi bersama rakan, raja dan permaisuri dan rakyat jelata.

Subhanallah! Luasnya alam Tuhan, rumput menghijau di kiri –kanan, rimbunannya menggamit unggas singgah walau sebentar cuma. Mereka memuji Tuhan, mendoakan anak-anak yang tertawa riang pergi dan balik dari sekolah, tapi menangis melihat manusia yang melakukan maksiat tidak kira siang dan malam.

Pandai si lelabah menyulam sarang, sabar pula menanti mangsanya. Tapi kasihan bila angin menderu, rosak pula sarang sekemas itu. Alhamdulillah, sifatnya tak putus asa untuk menyulam lagi tambahan pula saudaranya dahulu pernah menolong Nabi dari manusia durjana.

Garangnya si ibu ayam, mengembangkan bulu bila anak-anaknya dikacau, dijaga dengan kasih sayang dari si musang. Sedih pula si ibu bila anaknya hilang, sebab dia tahu anaknya bukan anak gelandangan bahkan satu amanah Tuhan.

Sedapnya suara burung terkukur! Dicari orang merata-rata. Hmm tentu mahal harganya, dan dibuat sangkar yang indah. Kasihan kau burung, hanya kerana suara tapi hidupmu terseksa. Dibeli orang hanya kerana merdumu. Kalau engkau sakit, mati, bagaimana keadaannya pula..?

Derasnya air mengalir! Dari sungai hingga lautan, sentiasa sahaja menempuh halangan, sebab ia akan terus ke depan, tidak pula mengundur ke belakang. Habis batu yang besar disambarnya, walaupun asal mulanya ia lembut, batu besar yang kasar pun boleh menjadi lekuk kalau air sentiasa menitis di atasnya.

Khamis, 3 Januari 2008

Indah Alam Tuhan

“Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi serta penggantian siang dan malam, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang beraqal. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring, dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi, sambil berkata “ Ya Tuhan kami, Tidaklah engkau jadikan ini dengan sia-sia, maha suci engkau maka peliharakanlah kami dari seksaan Api Neraka.”

(surah Ali Imran : ayat 102)

Indah nian langit yang membiru, tinggi di atas sana. Tiada pula tiang di kiri kanannya, ada pula awan putih berkelompok-kelompok. Tempat burung-burung berterbangan, ada pula awan hitam membawa air. Kuatnya bunyi guruh, petir pula sabung menyabung memanah ke arah bumi, dia memanah ke arah siapa ya..? turun pula rintik-rintik kecik. Oh, hujan rupanya. Gembira si katak bila air menyahut panggilannya. Tanah , tanam-tanaman rasa dingin dan sejuk. Tentu tumbuh subur tanaman nanti. Kadang-kadang hujan turun dengan lebatnya, tentu banjir pula longkang yang tersumbat dengan sampah sarap. Nanti kalau sudah banjir, ke mana binatang hendak melarikan diri. Tentu banyak pula yang mati.

Eh cantiknya bunga-bunga itu!, mekar di pagi hari, berwarna-warni, rasa senang di hati bila melihatnya, debunganya tersebar di alam maya. Disukai lebah yang mencari madu untuk sarangnya. Mereka hidup rukun damai tanpa sengketa, bantu-membantu, kuat-menguatkan, Bila tiba masanya mereka akan pindah beramai-ramai mencari penghidupan baru. Madunya dibuat ubat untuk menyembuhkan penyakit. Sayangnya telah ada pula bunga yang layu, lalu ditinggal pergi kawannya yang lain sebab bunga yang dahulu cantik telah bertukar warna, dari merah kepada coklat, dari cantik kepada hodoh. Lalu ia kembali ke tanah menjadi baja untuk hidupan baru yang lain.

Wah, banyaknya burung di angkasaraya, bebas terbang merata-rata, tiada siapa yang menghalangnya. Di pagi hari ibu burung mencari makanan untuk anak-anaknya, mencari makan bersama kawan, tak suka pula berlawan-lawan. Pergi mencari rezeki berbatu jaraknya tanpa kenal penat lelah tapi tak lupa jalan pulang ke sarang. Di ajar anaknya terbang, cip, cip, cip seolah-olah berkata kepada anaknya pula: “bila sudah pandai terbang, terbanglah engkau setinggi-tinggi tapi jangan lupa rumput di bumi, sebab di situ kita akan kembali”.