Jumaat, 26 Mac 2010
Dilema Anak Yang Dididik
'Jika di sekolah diajar untuk beradab. Tetapi ada ibu dan ayah pula menyerang guru di sekolah tanpa adab'
'Jika di sekolah di ajar untuk membuang sampah di dalam tong sampah. Di luar ada ibu dan ayah pula tidak menegur anak-anaknya yang membuang sampah merata-rata'
Terkadang saya terfikir, dilema benar anak-anak yang hidup di zaman ini.. Mana satu yang perlu diikut ? Di sekolah dididik perkara yang baik. Di rumah, ada pula perkara yang tidak baik pula diajar.
Aneh.. bila apa yang diajar di sekolah kebangsaan dianggap sebagai akademik oleh sesetengah orang. Tetapi belajar agama dianggap tidak akademik ?
UPSR, PMR, SPM disuruh untuk kejar pencapaian secemerlang yang boleh. Tetapi pembelajaran di sekolah agama seringkali dianggap sebagai kelas kedua.
Pendidikan seks diperkenalkan di sekolah, tetapi mengapa tidak diajar sekali pendidikan munakahat supaya murid dan pelajar kenal apa tanggungjawab suami, isteri, ibu, ayah dan anak ? Supaya mereka tahu jalan yang halal dan diredhai Allah ? Supaya mereka celik bahawa Islam sudah amat syumul mengatur kehidupan berumahtangga dan apa persediaan dalam menghadapinya.
Janganlah agama hanya dikenal bila tiba waktu kematian. Janganlah ibadah hanya dikenal ketika di atas tikar sembahyang. Lalu ibadah itu dipisahkan dari seluruh kehidupan.
Sudahkah pelajaran Agama diperkasakan di peringkat sekolah dan universiti untuk menghadapi masalah gejolak sosial di zaman ini ? Ibu dan ayah ? para pendidik ? anak-anak? generasi akandatang ?
Selasa, 3 November 2009
Isu Dr Asri : Benarkah Beliau Tidak Memperlekehkan Ulama ?
Sahabat saya (abang lan) meminta mengulas mengenai isu ini. Di dalam akhbar heboh menceritakan mengenai penangkapan Dr Asri oleh JAIS kerana memberikan ceramah atau kuliah agama tanpa tauliah dan sebelum kejadian itu pula terdapat memorandum yang dihantar oleh NGO Islam yang ditandatangani antaranya oleh :
Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini –
1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia
2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan
3. Yayasan Jenderami
4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)
5. Persatuan Peguam Syarie Malysia
6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia
7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
9. Jemaah Islah malaysia (JIM)
10. Persatuan Ulamak Malaysia
11. Yayasan Paksi Kedah
12. Persatuan Ulamak Kedah
13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
Mengenai tauliah ada juga yang bertanya, mengapa mengajar agama perlu ada tauliah ? Bagi saya Islam mengajar kita kaedah : mencegah lebih baik dari merawat, dan ia adalah sebahagian dari usaha jabatan-jabatan agama untuk menjaga kemaslahatan ammah. Ia bagi mengelakkan orang yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya mengajar ajaran yang menyeleweng walaupun atas dasar beliau ada PhD sekalipun atau bekas mufti.* Setelah saya memeriksa di Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, rupa-rupanya Negeri Perlis juga menjalankan tindakan yang sama terhadap mereka yang tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama. Iaitu :
Persoalan : Semasa Dr Asri menjadi mufti di Perlis beliau juga pernah menghalang tiga tokoh Ulama Mazhab Syafie dari Yaman untuk memberikan ceramah tanpa tauliah. Oleh itu, mengapa Dr Asri sendiri tidak dapat mengikut undang-undang di negeri lain pula ?
"KESALAHAN-KESALAHAN DI BAWAH ENAKMEN JENAYAH DALAM SYARAK 1991 NEGERI (Perlis)":-
Bilangan: 29 Seksyen: 33- Kesalahan: MENGAJAR AGAMA TANPA KEBENARAN:- Hukuman: Denda RM1,000 @ Penjara 6 bulan @ kedua-duanya
Bil: 30 Seksyen: 34*- MENGAJAR @ MENJALANKAN SESUATU ISTIADAT YANG BERTENTANGAN DENGAN HUKUM SYARAK YANG DIAMALKAN DI NEGERI PERLIS Hukuman: Denda RM5,000 @ Penjara 3 tahun @ kedua-duanya
* Boleh tangkap tanpa waran
[dinukil dari http://islam.perlis.gov.my/index_files/penguatkuasa.htm ]
Zaman ini, ramai yang mengaku pendokong al Quran dan sunnah tetapi salah ajaran. Malahan ada yang mentafsirkan al Quran mengikut aqal sendiri seperti laman blog yang merbahaya ini : Http://manatuhanallah.blogspot.com. Sekiranya dibenarkan siapa sahaja mengajar tanpa tauliah yang khusus, Ayah Pin, Anti Hadith, Ajaran Kahfi pun boleh menyampaikan fahaman mereka. Maka apa akan jadi pada pemahaman rakyat jelata ?
Jadi sementelahan hanya mendengar banyak pihak yang menyokong Dr Asri, mengapa pula kita tidak mendengar penjelasan JAIS mengenai penahanan beliau ?
Bagi mereka yang sudah banyak mendengar penjelasan dari Dr Asri mengenai memorandum yang dihantar oleh NGO Islam di youtube. Maka saya juga ingin mengajak mereka yang benar-benar inginkan kebenaran agar menilai pula pandangan sisi lain mengenai Dr Asri selama ini Sila Klik :
1. Hakikat Sebuah Kebenaran : Tugas Membela Mufti Yang Difitnah
2. Wahai Dr Asri Tolong Jangan Memperlekehkan Ulamak
3. Sheikh Nuruddin Al Banjari Menjawab Isu Hadith Musalsal Bil Musafahah Yang Dibangkitkan Oleh Dr Asri
4. Belajar Menyelidik Sebelum Terima Bulat-bulat Dan Menghukum
5. Tanggapan Kembara Ilmu Ke India - DR MAZA
6. Mereka (Kristian) Hendak Menggunakan Kalimah ALlah ?
7. Sanggahan Pengikut Imam Abu Hasan Al Asy'ari Terhadap Dakwaan Dr Asri
8. Komen Terhadap Artikel Islam : Antara Nas Dan Pendapat Tokoh
9. Komen Terhadap Artikel "Islam Antara Nas Dan Pendapat Tokoh" (Dr Asri)
10. Dr Asri Perlu Ditakdibkan (diperadabkan) - Ketua Pengarah Jakim
11. 'Krisis' Agama Rugikan Umat
12. Asri Wajar Ditahan, Tidak Ikut Undang-undang
14. Sultan Tegas Isu Tauliah Ceramah
15. Mufti Pahang Sokong Tindakan Jais
16. Soal Jawab Agama : Perbezaan Furu' Bukan Pemecah Belah
17. Isu Dr Asri : PGSM Pertahan Memorandum, Tiada Permohonan Maaf
18. Tauliah Elak Penyelewengan
19. Memahami Isu Penangkapan Dr Asri
20. Dr Asri Mungkir Janji
22. Penceramah Agama Di Johor Perlu Kebenaran Maij
Isu ini masih belum selesai, dan saya dapati Dr Asri meraih simpati oleh ramai tokoh politik malahan juga ilmuwan agama. Walaubagaimanapun, saya percaya yang hak tetap akan datang, dan yang batil akan padam jua.
Semoga terbukalah minda dan mata hati. Nilaikan dengan neraca kebenaran, bukan dengan taksub dan taqlid buta.
Begitulah, bila dahulu perlekehkan ulamak lain, perlekehkan mufti lain. Mungkin ALlah nak tunjukkan sesuatu pada Dr Asri.
Mengapa akhirnya perlu ditunjuk Ijazah itu..
Mengapa ada memorandum sehingga seramai itu NGO yang membuatnya.
Mengapa didedahkan akhirnya siapa Dr Asri
Mengapa dirinya dilihat menguasai suratkhabar
Ditunjukkan juga siapa yang mahu berfikir, dan siapa yang hanya menerima sahaja membuta tuli.
Mengapa beliau perlu mempertahankan dirinya,
Mengapa mufti juga menegur
Mengapa orang awam pun menunjukkan bukti kesalahannya
Mengapa juga ramai yang menyokong di dalamnya adalah parti politik semata-mata bahkan SIS yang diketahui adalah amat memusuhi al Quran dan Hadith. Sehingga pernah menyatakan Al Quran perlu ditafsirkan semula.
Cantik teguran ALlah itu, buat dia, buat kita semua.
Saya membenarkan kepada sahabat yang lain yang mencari kebenaran agar dapat disebarluaskan pendedahan di dalam artikel ini. JazakumuLlah.
Isnin, 5 Oktober 2009
Peniaga Kita : Marilah Perbaiki Cara Berniaga
Tidak semua peniaga kita ada sikap seperti di bawah ini, tetapi ada segelintir peniaga yang mempunyai habit yang negatif ini yang perlu diubah.
Peniaga kita
Saya mengharapkan sikap berhasad dengki sudah pupus di hati peniaga kita sekarang ini. Sudah tiada lagi yang menghantar santau, meletakkan tanah dari kubur, menggunakan bomoh, menggunakan ayat al Quran di dinding hanya sebagai pelaris tetapi pemilik premis dan pekerjanya selalu culas solat dan tidak menutup aurat. Samada tujuannya untuk mendapatkan keuntungan atau menutup periuk nasi peniaga lain. (Ingatlah, di dunia kita boleh lepas.. tapi di hadapan ALlah, apa yang hendak dijawab nanti?)
Tentu lebih cantik jika ikhlas itu dapat diterapkan dalam perniagaan masing-masing. Maka tentulah tidak timbul 'makcik kantin menjual makanan pagi tadi'. Tentu tidak timbul lagi air soya masam, atau kuih basi berbau tengik sehingga pembeli terpaksa keluar masuk tandas berulang kali menahan sakit.
Tiada duit kecil?
Masalah remeh seperti ini selalu dilihat dan dijadikan tabiat peniaga kita. Asal ada sahaja 'duit besar' maka jawapan yang paling menghampakan - 'maaf cik, takde duit keciklah'. Agaknya pembeli itu akan kembali lagi atau tidak ke kedai yang dimiliki oleh peniaga yang pemalas untuk menyiapkan duit tukaran?
Susah hendak senyum
Bila pembeli datang menyapa (walaupun kadang-kadang tak beli, sekadar 'survey' sahaja) senyumlah wahai peniaga. Muka yang kelat dan masam, seolah-olah yang membeli itu musuh, dan yang datang itu adalah bala. Sedangkan bila orang datang membeli sebenarnya kita boleh menyebarkan dakwah iaitu dengan senyuman. Berkat juga rezeki nanti.
Kreativiti kurang
Orang Cina yang pandai berniaga, mereka tidak akan berniaga dengan satu produk. Ataupun mereka tidak akan menjual barangan yang sama dengan pesaing yang lain. Ini kerana mereka cerdik dari segi pemasaran dan cara meluaskan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan.
Jika contohnya satu kedai menjual tayar, maka kedai-kedai yang lain akan menjual pula barang yang berkaitan dengan kereta seperti alat 'audio system', lcd, pelekat pelindung cermin, dan seterusnya ada pula syarikat menjual kereta baru dan terpakai. Bijakkan cara mereka meniaga?
Cuba fikir bagaimana pula orang kita berniaga?
Kerajaan sudah memberi banyak peluang untuk mewujudkan usahawan muda, silalah gunakan peluang ini dengan baik. Tidak rugi ilmu yang ada sekiranya dapat dikongsikan dengan orang lain. Tidak hilang amal jariah apabila dapat bekerjasama untuk mewujudkan ekonomi yang mantap di kalangan umat Islam di Malaysia.
Selasa, 1 September 2009
Belajar Menyelidik Sebelum Terima Bulat-bulat dan Menghukum
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ (٦)(Surah al Hujaarat: Ayat 6)
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Dr Asri adalah ikon yang terkenal semenjak beliau berhujjah dengan Astora Jabat di Penang. Dan kemudian terkenal dengan gagasan tajdidnya. Malahan mengumpul seberapa ramai peminat beliau. Tambahan pula bahtera perubahan yang dibawanya menarik perhatian ramai. Kelantangan beliau dalam menyentuh beberapa isu politik tanahair amat menarik perhatian mana-mana parti sekalipun.
Namun begitu, saya juga diajar bahawa yang bernama Dr Asri ini juga tidak maksum. Sudah lama sebenarnya ada ilmuwan agama yang ingin membetulkan Dr Asri ini. Kelantangan Dr Asri yang diberi tempat di persada media masa tidak sama dengan ilmuwan agama yang ingin menegur beliau yang tidak diberi tempat di media massa. Beliau diberikan ruang di dalam OASIS ASTRO untuk membawa agenda pemikirannya, bagaimana pula ilmuwan agama lain yang ingin membetuli fikrahnya?
Mengapa manusia perlu ditegur ?
Kerana manusia itu sifatnya lemah, mudah tergesa-gesa dan serba kekurangan. Saya mengimani ayat ALlah yang bererti :
وخلق الإنسان ضعيفا
"Dan manusia dijadikan bersifat lemah"
(Surah an Nisa : ayat 28)
Dan manusia berdoa untuk kejahatan sebagaimana ia berdoa untuk kebaikan. dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.(surah al Isra': 11)
Dan ALlah juga menyuruh kita selalu untuk nasihat menasihati :
(Al-Asr: 1-3)
Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Ada satu video klip yang menarik perhatian saya fatwa dari Dr Asri yang mempunyai PhD ini iaitu Dr Asri menyebutkan bahawa SELAWAT SYIFA' BERCANGGAH DENGAN AQIDAH ISLAM. Buktinya :
Selawat Syifa' bercanggah dengan Aqidah Islam? Maka sesatlah ulamak dan umat Islam yang mengamalkannya. Kafirlah hukumnya kerana sudah bertentangan dengan AQIDAH ISLAM. Perkara yang disentuh oleh Dr Asri ini bukan lagi menyentuh mengenai perkara furuk (cabang) Tetapi menyentuh AQIDAH.
Tuduhan tanpa hak ini telah dijawab oleh Darussyifa' Online iaitu :
Akhir-akhir ini terdapat golongan tertentu yang mempertikaikan bacaan Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah. Mereka mengatakan bahawa mengamalkan selawat-selawat ini boleh membawa kepada syirik kerana membesarkan nabi Muhammad s.a.w. lebih daripada Allah SWT.
Untuk memperjelaskan tentang kekeliruan ini, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah menerangkan dengan panjang lebar. Anda patut mendengar penjelasan ini dan untuk mendengarnya anda boleh muat turun di bawah ini
Sumber 1 :http://www.darussyifa.org/audio/PenjelasanTentangSelawatSyifa&Tafrijiyah.rm
Sumber 2: http://www.darussyifa.org/audio/PenjelasanTentangSelawatSyifa&Tafrijiyah.zip
Sumber 3:http://www.darussyifa.net/Audio/PenjelasanTentangSelawatSyifa&Tafrijiyah.rm
Sedikit Ulasan:
Dalam buku Doa & Rawatan Penyakit yang di karang bersama oleh Y.Bhg Dato’ Dr. Haron Din & YB. Dr. Amran Kasimin menterjemahkan makna Selawat Syifa’ seperti berikut;
Terjemahan:
“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya”
Dalam terjemahan makna ini ada sedikit timbul kekeliruan kerana menyebut “Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati”. Persoalannya siapa yang memberi kesembuhan. Dalam terjemahan ini jika dibaca secara langsung memang ada sedikit kekeliruan kerana seolah-olah nabi Muhammad yang menyembuhkan hati-hati.
Dalam persoalan Selawat Syifa ini Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menjelaskan seperti berikut;
di dalam kamus Bahasa Arab yang masyhur iaitu Kamus al-Munjid, perkataan “Tib” adalah bermaksud “’ilaj” iaitu di dalam bahasa Melayu bermakna “Ubat” atau “Penawar”. Ia bukan bermaksud “Syafi’ iaitu menyembuhkan.
Dengan itu kalau diterjemahkan ِiaitu
“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi penawar kepada hati-hati”
‘Iktikad kita perlu diperbetulkan supaya tidak syirik kepada Allah SWT. Allah SWT. sahaja yang boleh memberi kesembuhan. Kesembuhan hanya milik Allah SWT.
Semoga Allah SWT. sentiasa menjauhkan kita daripada syirik kepada-Nya.
Wallahhu ‘alam
Sumber : Webmaster Darussyifa’
Jawapan dari Ustaz Azhar Idrus :
Dalam lafaz selawat tersebuti perkataan solat itu berada pada kedudukan maf'ul mutlak (kata kena buat mutlak) yang berfungsi sebagai penguat atau penentu bagi jenis kata kerja salli (selawatkanlah), disamping ia juga berada pada kedudukan mudhaf i (yang disandarkan) kepada perkataan tibb. Berdasarkan kedudukan ini, maka lafaz selawat yang diandaikan itu difahami dengan maksud:
"Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, dengan suatu selawat yang boleh menjadi rawatan bagi hati dan apa yang boleh menjadi ubat baginya (hati)... sehingga akhir."
Berdasarkan maksud ini, maka tidak berlaku lagi apa yang dikatakan sebagai penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat Allah swt, kerana yang dilihat memberi khasiat perubatan bukan lagi zat nabi Muhammad saw, tetapi selawat yang diucapkan itu. Oleh kerana membaca selawat itu adalah sejenis amal soleh, maka ia termasuk dalam jenis tawasul dengan amal salih yang disyariatkan oleh syara' dengan maksud ini. Maka penyamaan sifat yang dipersoalkan itu tidak berlaku kerana memang tidak ada penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat penyembuh.
Dan boleh ditakdirkan juga antara lafaz muhammadin dan lafaz tiib itu dengan dengan sifat yg telah dihazafkan mausufnya..
Fataammal ya akhi.. wink
Rujuk : Forum DigitalMukmin Ustaz Azhar
Siapakah antara ulama dan tok guru yang mengamalkan SELAWAT SYIFA' ini ?
Selain dari sekian ramai guru pondok, ulamak-ulamak nusantara, Tok Guru Nik Abdul Aziz pun mengamalkannya : BUKTI
Lihatlah bagaimana Dr Asri telah membuat fatwanya iaitu menghukum selawat Syifa' ini bercanggah dengan aqidah. Ia sebenarnya telah membuat hukuman sesat dan mungkin juga kafir.
Apa kata hadith mengenai mereka yang menghukum sesat, syirik dan kafir?
Hadith RasuluLLah yang terdapat dalam Sahih Bukhari no 5752 yang bererti :
"Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya dengan Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya "
Begitulah juga sesiapa yang menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik maka orang yang menuduh itu sendiri akan jatuh ke dalam kesyirikan tersebut sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith dari Huzaifah bin Yaman di mana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :
Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh ALlah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi ALlah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan.
(Hadith dikeluarkan oleh Ibnu Hibban pada hadith no 81 dan Ibnu Kathir dalam tafsirnya jilid II/266, dia berkata : Isnad Hadith ini bagus. Begitu juga ditakhrij oleh Al Bazzar dalam Musnadnya dengan pernyataan yang sama, At Thabroni dalam Al Kabir dan As Saghir dengan pernyataan yang sama dan Ibnu Abi Ashim dalam kitab As Sunnah).
Dalam sahih Bukhari pada hadith nombor 2227 disebutkan bahawa Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda yang bererti :
"Barangsiapa yang melaknat seorang Mukmin maka itu seperti membunuhnya dan barangsiapa yang menuduh seorang Mukmin dengan kekafiran maka itu seperti membunuhnya."
Lihatlah betapa besar implikasi orang yang menghukum kafir, musyrik tanpa hak ke atas umat Islam. Kepada mereka yang mengikut Dr Asri dan Dr Asri sendiri marilah kita islah diri. Selidikilah dan kajilah dahulu sebelum membuat apa-apa pernyataan. Kerana titik tolaknya di sini adalah PENGUASAAN BAHASA ARAB di dalam memahami Selawat Syifa' tersebut.
Sumber : http://jom-islah.blogspot.com/
Khamis, 9 Julai 2009
Siapa Yang Engkau Cinta?
ada tiga perkara yang apabila manusia memilikinya akan merasai kemanisan iman: iaitu Allah dan RasulNya adalah lebih dia cintai daripada yang lain, dia mencintai seseorang semata-mata kerana allah dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dihumbankan kedalam api neraka"
(Riwayat al-Bukhari,Muslim waghairaha)
Hirarki Cinta
Yang pertama wajib dicintai adalah ALlah
Yang kedua adalah RasuluLlah
Yang ketiga baharulah diletakkan Ibu dan Ayah
Dan seterusnya makhluk ALlah yang lain
Saya tuliskan kalimah ALlah, Rasul dan Ibu Ayah di papan hitam untuk diterangkan kepada anak murid tentang kecintaan yang perlu diutamakan.
Dimanakah kita meletakkan ALlah sekarang ini? Dalam hubungan sesama manusia contohnya, apabila suatu hari nanti anda bercinta, siapa yang lebih utama untuk diletakkan dalam hirarki cinta? Atau ALlah diletakkan di taraf yang lebih bawah?
Ada manusia yang bersedih kehilangan mereka yang dicintai, dan disayangi (tidak salah untuk menangis dan bersedih sekadar batasnya). Tetapi dimanakah ALlah kita letakkan semasa kita membuat dosa? Pernahkah kita menangis bersungguh-sungguh mengenangkan dosa yang telah dilakukan selama ini? Wahai diri... engkaulah yang lebih berhak untuk memikirkan dosa yang telah engkau perbuat selama hidup di dunia ini..
Ketahuilah wahai anak muridku, Aqidah amatlah penting di dalam kehidupan ini yang membezakan kita dengan Kafirin. Sudahkah kita mengenal ALlah? Sifat-sifatnya yang wajib, mustahil dan harus? Bukankah peringkat dakwah RasuluLLah di Mekah adalah menyeru ke arah Tauhid sehingga mantaplah pegangan para sahabat hingga tidak dapat diganggu gugat lagi?
Ketika anda sakit... adakah anda dapat bersabar dengan dugaan yang diberikan ALlah? Bersangka baik kepadaNya? Bukankah ALlah hendak menghapuskan dosa kita? Dan kesakitan itu adalah kasih sayangnya serta diberikan pahala bila kita bersabar?
Ketika kita solat menghadap ALlah, berdoa dan meminta kepadaNya. Aurat ditutup dengan sempurna, setiap perlakuan, percakapan dan hadirnya hati hanya untukNya. Adakah selepas solat ALlah sudah hilang dari ingatanmu? Adakah ALlah tidak melihat apa yang kita perbuat selepas solat?
ALlah yang menjadikan tempat dan ruang. Mengapa masih ada yang mengatakan ALlah perlukan tempat dan ruang sedangkan ia untuk makhlukNya?. Maha Suci ALlah dari memerlukan tempat untuk bersandar dan bergantung dan segala yang menyerupai makhlukNya.
Kepada Siapa Kita Teladani?
Ya RasuluLlah... Maafkan kami..
Jika contoh tauladan terbaik yang engkau tunjukkan banyak yang kami tidak ikuti. Kami suka, kami cinta padamu, tetapi amatlah jauh akhlak kami yang diamalkan dari apa yang engkau tunjukkan ya RasuluLlah..
Wahai anak muridku, ALlah memperjalankan RasuluLlah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang diberkati dan kemudian dari situ baginda dibawa sehingga ke Sidratul Muntaha menerima wahyu dari ALlah tentang kewajiban solat.
Alangkah sekiranya 50 waktu solat itu diwajibkan kepada umat manusia, tentulah.. tentulah manusia tidak mampu melaksanakannya. Begitulah, walaupun waktu solat diizinkan ALlah dikurangkan kepada 5 waktu berapa ramai yang mampu melaksanakannya dengan sempurna?
Oh ibu dan ayah, beban mengajar solat tidak boleh digalas sepenuhnya hanya kepada guru di sekolah. Jangalah meletakkan beban didikan menutup aurat hanya kepada ustaz dan ustazah di sekolah sedangkan dirimu tidak bersama-sama mendidik darah daging sendiri. Bukankah yang mencorakkan anak-anak adalah ibu dan ayah yang menjadikan samada mereka adalah Yahudi, Nasrani atau Majusi? Lalu siapa yang pertama-tama nanti akan ditanya tentang soal pendidikan anak-anak di akhirat kelak?
Bila Dunia Hinggap Di hati
Bila lalu di kiri dan kanan manusia. Dari atas hingga ke bawah segala yang menutup tubuh badan dan menghiasinya, terkadang dalam hati merasa dengki. Keinginan biasanya membuak-buak kepada apa yang ada pada orang lain. Sedangkan kekayaan jiwa bukan terletak pada banyaknya harta, tetapi bagaimana diri bersyukur dan menggunakan sebaik-baiknya nikmat yang ALlah telah beri.
Sekali sekala terngiang-ngiang juga lagu The Zikr - nyanyian Nazrey Johani (bekas ketua kumpulan Raihan) yang menyalurkan kata mendidik hati :
Apa yang ada jarang disyukuri,
Apa yang tiada sering dirisaukan,
Nikmat yang dikecap barukan terasa,
Bila hilang apa yang diburu,
Timbul rasa jemu bila sudah di dalam genggaman.
Dunia ibarat, air laut diminum hanya menambah haus,
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir,
Panas yang membahang di sangka air,
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang,
Dilihat ada, ditangkap hilang..
Lalu bertanyalah di dalam hati, siapakah yang engkau cinta sebenarnya?
Isnin, 6 Julai 2009
Sikap Tunggu Dan Lihat Sahaja ?
Apabila saudara kita dalam kesusahan, siapakah yang pertamanya akan menghulurkan tangan untuk membantu mereka?
Di dalam kesesakan jalanraya, bunyi hon bersahut-sahutan. Rupa-rupanya di situ ada kemalangan. Dan pemandu membawa kereta dengan perlahan-lahan hanya untuk melihat kemalangan dan kemudian berlalu pergi.
Seorang pelajar tersangkut kainnya di eskelator di KLCC, yang membantu bertungkus lumus adalah orang bukan Islam. Manakala saudara seIslam hanya tukang pemerhati sahaja.
Seorang wanita bersama suaminya terjatuh dari motor kerana si peragut yang kejam telah mencuri tas tangan wanita terbabit sekaligus menendang motor yang dibawa oleh suaminya, dalam keadaan sedih dan meminta tolong melihat suaminya yang nazak, orang di kiri kanan hanya sebagai pemerhati. Sehinggalah putus nafas si suami..
Masih ada persepsi diri yang menyatakan ustaz dan ustazah yang perlu menunjukkan contoh yang baik. Tetapi masih kurang kesedaran bahawa sepatutnya setiap diri orang Islam itulah yang perlu menunjukkan contoh yang terbaik untuk dicontohi. Jika mereka ustaz, orang alim dan yang sewaktu dengannya, bukankah diri kita sendiri pula adalah terdiri dari orang Islam yang menjunjung tinggi al Quran Sunnah dan ijmak?
Ada ketikanya semasa hendak menghulurkan bantuan dari segi kewangan seperti di tabung masjid, surau, atau memberikan sumbangan untuk majlis di sekolah-sekolah yang berbentuk kerohanian atau yang membina modal insan hati kita akan 'bertarik tali'. Jumlah wang yang hendak diberi sebermulanya tinggi, kemudian banyak lagi alasan yang akan datang bertalu-talu sehinggalah jumlah bantuan semakin kecil dan ada juga akhirnya - 'tak mengapalah lain kali sahaja untuk bersedekah'. Wahai.. nampaknya kemenangan syaitan menyalurkan perasaan bakhil telah bertapak di sanubari sana.
Akhirnya perasaan untuk berlumba-lumba membuat kebaikan itu semakin sirna begitu sahaja..
Ada pula kisahnya, orang yang alim lagi faqih (segelintir sahaja) hanya memerhatikan sahaja keletah umat Islam yang diserang dengan fahaman-fahaman dan ideologi sonsang, gejala sosial semakin membarah di dalam perut umat Islam. Dia kata nantilah, biarkanlah.. akhirnya barah itu membusuk dan pecah.. 'sudah terhantuk baru terngadah'.
Anak Orang Anak Kita
Orang kita dahulu bila melihat anak orang lain berdua-duaan, ada melakukan kesilapan pastinya mereka akan ditegur. Berlainan pula di zaman sekarang. Sebab sudah ada mentaliti yang merasakan bahawa anaknya jangan diusik walaupun salah. Walhal perkembangan anak-anaknya bukanlah dapat dipantau sepanjang masa.
Sekolah pula adalah tempat didikan dan ajaran bukan sebagai taman asuhan kanak-kanak.
Semangat kejiranan, tolong menolong, mengambil tahu sudah semakin terhakis di dalam hati dan minda orang kita kini. Kalaulah mereka faham bahawa setiap umat Islam itu bersaudara bagaikan batu bata yang memperkukuhkan antara satu dengan yang lain, tentulah tidak timbul masalah sosial yang melambak di sana sini.
Jomlah kita fikir dan ambil tindakan..
Ahad, 21 Jun 2009
Filem kita, jiwa dan kemanusiaan..
Pernah menonton kisah Children Of Heaven ? Jalan ceritanya mudah sahaja, iaitu mengenai sepasang kasut yang perlu dikongsi oleh seorang abang dan adiknya untuk pergi ke sekolah setiap hari. Sebelum itu, kasut adiknya telah diambil oleh seorang pemungut sampah. Sepanjang cerita ini, banyaklah pengajaran yang dapat diambil. Antaranya tentang kesabaran seorang ayah yang ingin membesarkan anak-anaknya dan amat mengasihi isterinya. Anak-anak yang menyenangkan hati dan amat memahami kesusahan ibu dan ayahnya. Seorang abang tidak ingin melihat adiknya dalam kesedihan, sanggup menyertai pertandingan merentas desa sejauh 4 kilometer walaupun ketika itu umurnya tidak layak semata-mata ingin memenangi tempat ketiga, bagi mendapatkah hadiah sepasang kasut.Ya, hadiah kasut yang hendak dimenanginya itu sebagai gantian kasut yang telah hilang tersebut.
Filem yang tidak memerlukan bajet yang tinggi sehingga jutaan ringgit, tidak memerlukan wanita menunjukkan auratnya, apatah lagi kisah wanita di lorong hitam yang berlaku di sekitar masyarakat kononnya untuk dijadikan sebagai pengajaran yang pada hakikatnya hanya menambahkan lagi penzinaan secara berleluasa. Tidak mengagung-agungkan budaya hedonisme, menyukai hiburan dan kemewahan sedangkan pada hakikatnya pelakon yang melakonkan cerita itu sendiri terdiri dari mereka yang amat lemah kejiwaannya. Tidak memerlukan komedi lawak yang memperbodoh-bodohkan penonton, ‘cinta monyet’, dendam, dengki, pergaduhan kerana perempuan dan apa yang dinamakan kebobrokan perfileman.
Genre cerita yang popular di negara kita
Kisah ini bukanlah kisah seram seperti keliwon yang perlu ada bomoh terkumat kamit membaca mantera yang tidak diketahui butir bicara serta mengeluarkan aura untuk menghalau hantu, jin dan setan. Tidak pula menceritakan tentang kehidupan hipokrit orang-orang kaya yang ditonjolkan hidup serba mewah seolah-olah tiada ruang untuk menceritakan kisah hidup masyarakat yang serba dhaif dan memerlukan pembelaan.
Negara kita amat kurang pengarah yang berjiwa kemanusiaan untuk membentuk jiwa kehambaan yang mengenal Allah, apatah lagi mengajar menjadi rakyat yang berdaya saing. Jika anak-anak kita yang gemar menonton Doraemon yang berasal dari Negara Matahari Terbit, lihatlah isi kandungan kartun bersiri itu yang mengajar anak-anak kecil Jepun untuk berfikiran cerdas, kreatif dalam merekacipta dan menyumbang kepada kemajuan rakyat dan negara tersebut.
Lihatlah jalan cerita di Negara-negara lain yang amat kuat menyalurkan unsur-unsur agama seperti filem-filem Hindustan. Di dalam filem yang bercorak kekeluargaan atau seni mempertahankan diri sehingga ramai yang mengalirkan air mata teresak-esak, pengarah dan pelakonnya bijak menyampaikan fahaman-fahaman mereka tanpa disedari.
Filem kita, jiwa dan kemanusiaan amat jauh keterbelakang. Yang ada kebanyakannya adalah komedi, keuntungan, kebebasan pergaulan dan jalan mengajak kehancuran. Penontonnya adalah kita-kita juga.
Berubahlah.. bila lagi?
Ahad, 3 Mei 2009
Peringatan Untuk Umat Islam
Palestin bukan milikku, bukan milik bangsa Turki tetapi milik bangsa Arab. Baitul Maqdis pula bukan milik bangsa Arab tetapi milik umat Islam seluruhnya. Aku tidak akan sesekali menyerahkan bumi Palestin walaupun sejengkal setelah bangsaku berjihad bermati-matian mempertahankan dan menyuburkan tanahnya dengan darah-darah mereka. Simpanlah wang kamu yang berjuta ringgit itu kerana sekiranya suatu hari nanti Khilafah Islamiyah ini tumbang, kamu boleh mengambilnya tanpa sebarang wang tukaran. Adapun, sekiranya aku masih hidup, aku lebih rela diriku dicincang daripada melihat bumi Palestin dikeluarkan dari Daulah Islamiyah dan perkara itu selama-lamanya tidak akan berlaku. Adakah kami akan membenarkan diri (wilayah-wilayah takluk Kerajaan Turki Uthmaniyyah) kami ini semua dipisah-pisahkan sedangkan kami masih hidup?!
Sumber : Hj Nik Azran Muhamed, Hj Mohd Mahadi Hj Isa, Gerakan Freemasonry Musuh Dalam Menghancurkan Islam, Cet Pertama 2009, Hijjaz Records Publishing, Selangor
Jumaat, 1 Mei 2009
Hakikat Sebuah Kebenaran : Tugas Membela Mufti Yang Difitnah
Penghinaan dan fitnah terhadap Mufti
Lebih mengejutkan lagi apabila yang menghina dan memfitnah institusi mufti itu sendiri adalah dari kalangan mufti sendiri seperti yang pernah dilakukan oleh seorang bekas mufti di Perlis iaitu Dr Asri Zainal Abidin. Sila lihat sahaja perkataannya :
Saya berhenti menjadi Mufti, bukan saya serik. Jadi mufti apa nak serik. Boleh duduk diam-diam dan enjoy dengan jawatan. Jangan banyak cakap atau bangkang. Boleh pergi mesyuarat hotel sana, dan hotel sini. Lawatan sana, lawatan sini. Masuk ke tempat mahal-mahal. Ada kereta rasmi, terbang sana, terbang sini dan cukup bulan ambil gaji. Diam dan jangan peduli sangat apa yang sedang berlaku, maka jawatan itu satu nikmat yang 'sukar hendak dilepaskan. - Al Islam April 2009, m/s 28-29. Juga di laman web DrMaza: Klik Di SiniLihatlah siapa yang membela mufti :
Maaf cakap, entah berapa ramai di sana yang taksub dan taqlid membuta tuli percakapan dan fatwanya yang menyelidik tentang erti sebuah kebenaran dan akhlak yang datang dari seorang ilmuwan agama? Sudahkah membaca artikel KEMBARA ILMU KE INDIA yang ditulis oleh Dr Asri di laman webnya dan kemudian telah dibuang beberapa hari selepas ditulis? (Artikelnya dipost semula : DI SINI) Dan akhirnya kebenaran tetap ALlah tunjukkan dengan tulisan ini Tanggapan Artikel Kembara Ilmu Ke India - Dr MAZA. Tidak perlulah saya mengkhabarkan tentang sikap beliau yang lain. Ingin juga menjawab sahaja di dalam laman web DrMaza.Com tetapi saya masih tidak terjumpa lagi ruangan komen. Dimana ya?
Saya teringat kata hikmah Ibn Sirin (w. 110H/728) mengungkapkan
"Sesungguhnya ilmu ini agama, dan perhatikan dari siapa yang engkau ambil agama ini".Alangkah apabila dilihat kalimah ini semakin terlihatlah kebenarannya kini.
Bukan sedikit pula yang mencaci maki ulamak seperti yang terjadi kepada Mufti Perak (lihat isu politik di Perak), dan mufti lain yang dituduh sebagai hanya memanaskan punggung di tempat duduk. Bahkan ada yang mengatakan binatang yang diharamkan lebih mulia dari mufti - silalah rujuk : Babi Lebih Mulia.
Dan begitulah, siapa yang ingin menyelidik akan sebuah kebenaran?
Terkadang saya berfikir - mengapa ya sesama umat Islam bukan main lagi dimusuhi, mudahnya dihukum sesat, mudahnya dihukum musyrik. Tetapi dengan orang kafir yang ada tugasnya sebagai missionari Kristian disambut dan dibela (sila rujuk : Isu kalimah ALlah hendak digunakan oleh Kristian di Malaysia). Apa kita lupa firman ALlah :
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ (١٠)(QS. Al Hujurat : ayat 10 )
“(Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat)”
Bukankah telah disabdakan oleh RasuluLLah yang bererti : Dari Abi Hamzah bin Malik radiyaLLahu 'anhu, khadam RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam dari Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam sabdanya :
Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita mengatakan telah beriman kepada al Quran dan Sunnah, bahkan ada yang mengaku ingin menjadi pendokong kedua-duanya. Apakah ucapan itu hanya pada jari jemari sahaja tanpa ada penghayatan?
Bila Mufti dihina dan difitnah, siapakah pula yang membela mereka?
Adakah kita sebenarnya tahu siapa mufti di negeri masing-masing? Dan mengambil tahu hal ehwalnya dan dimana mereka turun ke padang mengajar di kelas pengajian, di masjid? Jika di Johor ini, bekas Mufti Johor Dato' Noh Gadot (sekarang ini penasihat Agama Islam Johor) selalu turun padang dalam memberi ceramah dan aktivitinya dapat diikuti dari buletin Agama Kerajaan Negeri Johor, begitulah juga Mufti yang baru iaitu Dato' Haji Tahrir bin Kiyai Haji Shamsudin.
Di Negeri Sembilan, bekas Mufti iaitu Dato' haji Mohd Murtadza selalu mengadakan ceramah dan kuliah hampir setiap hari dalam sebulan di 14 buah mukim. - Temubual Dengan Mufti Negeri Sembilan Demi Tugas, Milenia Muslim, Februari 2009, m/s 14-18) Begitulah... siapa pula yang hadir di setiap kuliahnya dan akhirnya menghamburkan fitnah pula kepada mufti?
Adakah kita tahu siapakah yang mencadangkan kepada Sultan Perak agar Menteri Besar Ir Nizar dilantik selepas PRU yang lalu? Takkan kita tidak mengambil tahu tentang peranannya dalam Majlis Fatwa Kebangsaan sama-sama di dalam majlis syura mengeluarkan hukum dalam banyak perkara berkaitan feqh kontemporari yang kita sendiri pun tidak mampu hendak mengulasnya apatah lagi yang hanya pandai bercakap belakang hanya selepas fatwa diputuskan? Segalanya ada diulas di Milenia Muslim Bulan Mei 2009 muka surat 66-70. Anda akan tahu pendirian Mufti Perak ini berkenaan parti politik. Silalah beli dan baca untuk sebuah kebenaran.
Lalu saya tertanya juga di dalam hati : Adakah kita benar-benar inginkan sebuah kebenaran? Inginkan perpaduan dan bukan perpecahan? Ataupun selepas membaca tentang sebuah kebenaran tetap dipilih kebatilan? Dan tetap memilih dan menyokong mereka yang inginkan kepada perpecahan umat Islam? Siapakah pula yang ingin membela saudara seIslamnya yang dituduh dan difitnah bermacam-macam?
Insya ALlah, nantinya saya akan bongkarkan tentang mereka yang telah menghukum kafir, musyrik dan sesat kepada Ulamak Muktabar, Majoriti Umat Islam dan Jemaah Islam seluruh dunia.
Ahad, 26 April 2009
Sabarlah Kesabaran
Antara masa yang perlu sabar
Dalam gembira kena sabar. Sebab ALlah boleh juga menarik kegembiraan itu pada bila-bila masa. Dalam gembira pun terkadang ada ujiannya. Tengah gembira terloncat-loncat tiba-tiba terhantuk kepala, sedang gembira menerim hadiah jam tangan baharu dan cantik tiba-tiba ia calar sedikit. Apa rasa dalam hati? - mungkin ALLah mahu kita bersyukur kepadaNya dahulu. Apa tanda kita bersyukur?
Dalam berdakwah kena sabar. Arena dakwah bukan untuk mengharap pujian. Mungkin yang diterima adalah kutukan dan cercaan. Bukan juga bermakna apabila berdakwah orang pasti terima apa yang didakwahkan. Kajilah sirah bagaimana sabarnya Nabi dan Rasul di dalam berdakwah kepada manusia. Ingat wahai pendakwah... kita usaha, natijahnya serah pada ALlah semata.
Dalam berkawan kena sabar. Jika tidak sabar, dah lama menyinsing lengan, bertumbuk. Kawan yang makan kawan, kawan yang menikam belakang, kawan yang tak kenang budi. Oh, macam-macam bila kepala tidak sekapal. Semuanya harus pandai pula dijaga hati, walaupun hati sendiri tiada yang jaga. Tidak mengapa, ALlah lebih tahu.
Dalam kesusahan kena sabar. Hidup bagaikan roda yang naik dan turun, semalam senang dan tiba-tiba esoknya dah susah pula. Untuk mencari hikmah dalam setiap apa yang ALlah beri tidak tercapai dek akal. Beruntung jadi orang beriman, bila ada masalah diserahkan kepada ALlah dan bertawakkal dengannya.
ALlah sudah menyebut yang bererti :
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya) niscaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.
( Surah Ath-Thalaq: Ayat 2-3 )
Dalam kejayaan pun perlu sabar. Mungkin agaknya perlu ditilik kembali kejayaan yang diperolehi adakah sekadar angka-angka yang dapat tetapi kualitinya adalah kosong? Agaknya perlu juga diselidiki kejayaan yang dicemari dosa, adakah keberkahannya? Contohnya : si fulan mendapat 19A dalam SPM, atau cgpa 4.00 tetapi beliau tidak pernah solat. Adakah ini namanya tertipu?
Susah sebenarnya hendak bersabar dibanding dengan menyebut SABAR. Apa salahnya kita bersabar sebab ALlah akan beri ganjaran yang banyak kepada orang yang bersabar. Tidak percaya ?
(Surah An Nahl : 96)
مَا عِندَكُمۡ يَنفَدُۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍ۬ۗ وَلَنَجۡزِيَنَّ ٱلَّذِينَ صَبَرُوٓاْ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا ڪَانُواْ يَعۡمَلُونَ (٩٦)
(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
Solat pun kena sabar?
Bukan sahaja solat pun kena sabar, untuk mengajar anak solat pun kena sabar. Sila gunakan segala pendekatan terbaik dalam mendidik anak untuk solat, kerana pertama-tama perkara yang akan ditanya di Hari Kebangkitan nanti oleh ALlah adalah solat.
(Surah Al Baqarah : Ayat 45)
وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّہَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِينَ (٤٥)
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
Solat adakah sekadar kewajipan sahaja tanpa cuba mendapatkan khusyuknya? Untuk menambahkan kelazatan beribadah pastikan solat itu apa tujuannya? Kepada siapa kita mengadap? Apa yang dibaca semasa solat? Dapatkah memisahkan diri dengan alam sekeliling untuk mendapatkan sedikit waktu berbicara dengan ALlah? Pernah merasakan solat yang dibuat adalah solat yang terakhir ? Takut juga sekiranya amalan solat itu dicampak semula ke muka.
Jika di dalam solat yang mengandungi pelbagai keistimewaannya : disiplin, dari segi penemuan sains, ukhuwah sesama Islam, kesatuan - tentu ada kesannya pada kesabaran mengerjakan solat dan lihatlah bagaimana sabarnya seorang pesuruh ALlah di dalam menerima perintah agar solat 50 waktu sehari semalam dan meminta kepada ALlah agar dikurangkan kepada 5 waktu sahaja.
Sabarlah ya.. Dalam mencari redha ALlah, pahitnya sabar, dan manisnya rahmat dari ALlah.
Sabtu, 18 April 2009
Hebatnya ALlah : Kisah Sang Lebah
Sememangnya ALlah sudah memerintahkan lebah untuk hidup di kawasan habitatnya yang tersendiri sebagaimana yang disebutkan dalam Surah an Nahl (Lebah) yang bererti :
"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah :"Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-gunung dan pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhan mu yang diilhamkan dan dimudahkanNya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan ALLah) bagi orang-orang yang mahu berfikir"(Surah an Nahl : Ayat 68-69)
Jasa lebah kepada manusia
Peranan besarnya antaranya adalah sebagai penghisap madu bunga yang memberikan penawar kepada pelbagai penyakit dan yang lebih penting dari itu adalah sebagai agen pendebungaan tanaman.
Tahukah anda ?, kehilangan lebah akan menyebabkan kita kehilangan sumber madu dan juga boleh menyebabkan manusia menghadapi krisis makanan. Kerana jika tiada proses pendebungaan maka tumbuh-tumbuhan tidak dapat mengeluarkan buah dan juga hasilnya. Terdapat 40,000 spesis lebah yang dikenal pasti sebagai agen pendebungaan yang berjaya dan hampir 60 peratus tanaman buah-buahan dan sayuran bergantung kepada agen pendebungaan ini.
Hebatnya Kuasa ALLah
ALlah menjadikan lebah untuk menghasilkan madu 454 gram yang memerlukan sang lebah ini terbang sejauh 880,000 kilometer dan menghisap madu hampir 2 juta pelbagai bunga.
Kematian lebah yang menjadi misteri kepada para saintis boleh menimbulkan kesan besar kepada krisis makanan dan harga makanan. Inilah antara hikmah yang besar kepada manusia dari penciptaan lebah. Semoga kita selalu bersyukur dan jauh dari kekufuran.
Sumber Rujukan : Wan Azlina binti Wan Ahmad, Milenia Muslim, 'Dunia Tanpa Lebah Mengancam Manusia', m/s 24-25, April 2009.
Isnin, 13 April 2009
Hati-hati Yang Perlu Dikejutkan
Di dalam jasad kita ada segumpal daging, jika baik ia, maka baiklah keseluruhannya. Dan sekiranya ia jahat, rosak maka rosaklah keseluruhannya. Mungkin selama ini hati diisikan dengan sikap mazmumah. Suka bersangka buruk, membalas dendam, ujub dan takabbur dengan diri sendiri. Menganggap diri telah suci dari dosa.
Hati yang lalai lupa pula kepada ALlah. Ada juga yang sudah tahu halal dan haram tetapi tetap juga membuat perkara dilarang ALlah. Ada pula diberi nasihat dengan baik, sebaik-baik nasihat tetapi telah dicemuh malah dijatuhkan.
Bukankah di zaman ini juga sudah ada berlaku penghinaan kepada sesama umat Islam? Ada yang menganggap golongannya masuk syurga, merekalah golongan yang terpilih digelar dengan bermacam gelaran. Sebermula ditabalkan diri sebagai salafiyyah, muwahhidun, firqatun najiyah (golongan selamat). Manakala ulamak Islam lain sudah habis dikafirkan, dihukum syirik. Ada umat Islam dituduh sebagai penyembah kubur tanpa habis lagi diselidik, umat Islam yang mengikut mazhab dituduh musyrik. Banyaklah sudah jemaah Islam dikafirkan, dihukum sesat. Antara yang telah dihukum sebagai sesat dan terkeluar dari ahlu sunnah wal jama'ah seperti jemaah ikhwanul Muslimin, jemaah Tabligh, Ahli Sufi yang mengikut al Quran dan Sunnah, al Asya'irah dan ramai lagi. Akhirnya majoriti umat Islam telah divonis masuk ke dalam neraka semuanya.
Benarkah RasuluLlah mengajar kita untuk menghukum kafir tanpa hak? Menghukum sesat, syirik tanpa hak? Apatah lagi hanya dalam perkara khilafiyyah (perbezaan pendapat para ulamak)?
Ada satu hadith yang direkodkan oleh Imam Tabrani dalam al Mu'jam al Kabir jilid 8 halaman 152 dari Abi Darda', Abi Umamah, Watsilah bin al Asqa' dan Anas bin Malik, RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam menjelaskan golongan yang selamat sebenarnya adalah tidak mengkafirkan ahli kiblat iaitu sabdanya yang bererti :
Tinggalkan perbantahan kerana sesunguhnya Bani Isra'il telah berpecah menjadi 71 golongan dan orang-orang Nasrani berpecah menjadi 72 golongan, semuanya sesat kecuali as Sawadul A'zhom. Para sahabat bertanya : Wahai RasuluLlah siapakah sawadhul a'zhom itu? Nabi menjawab : mereka adalah orang-orang yang mengikuti aku dan para sahabatku, tidak berbantah-bantah dalam agama ALlah dan tidak mengkafirkan salah seorang di antara ahli tauhid sebab dosa yang sudah diampuni oleh ALlah. Kemudian Nabi bersabda : Sesungguhnya Islam itu datang dalam keadaan asing dan nanti akan kembali asing. Para sahabat bertanya : Wahai RasuluLlah siapakah orang-orang asing itu? Nabi menjawab : Mereka adalah orang-orang yang berbuat kebaikan dikala orang-orang berbuat kerosakan, tidak berbantah-bantahan dalam agama ALlah dan tidak mengkafirkan salah seorang di antara ahli Tauhid dengan sebab dosa yang telah dia lakukan.
RasuluLlah dalam hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari no 5752 bererti:
Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya.
Begitulah juga sesiapa yang menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik maka orang yang menuduh itu sendiri akan jatuh ke dalam kesyirikan tersebut sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith dari Huzaifah bin Yaman di mana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :
. (Hadith dikeluarkan oleh Ibnu Hibban pada hadith no 81 dan Ibnu Kathir dalam tafsirnya jilid II/266, dia berkata : Isnad Hadith ini bagus. Begitu juga ditakhrij oleh Al Bazzar dalam Musnadnya dengan pernyataan yang sama, At Thabroni dalam Al Kabir dan As Saghir dengan pernyataan yang sama dan Ibnu Abi Ashim dalam kitab As Sunnah).
Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh ALlah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi ALlah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan
Dalam sahih Bukhari pada hadith nombor 2227 disebutkan bahawa Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda yang bererti :
Barangsiapa yang melaknat seorang Mukmin maka itu seperti membunuhnya dan barangsiapa yang menuduh seorang Mukmin dengan kekafiran maka itu seperti membunuhnya."
Mengapa ya katanya ingin kembali kepada al Quran dan Sunnah tetapi dalam berhukum selalu tidak lihat kiri dan kanan, tidak diselidiki sehinggalah ayat ALlah tidak dijadikan panduan?
Surah Al-Hujuraat ayat 6, yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".
Saya yakin bagi pencinta kedamaian, yang benar-benar sayang pada saudara yang seIslam. Tidak tega untuk menghukum para ulamak muktabar dengan hukuman kafir, syirik, sesat. Tidak akan rela untuk menghukum ibu dan ayah sendiri sebagai sesat dan masuk neraka hanya dalam perkara furu'iyyah apatah lagi sudah jelas amaran RasuluLlah pada mereka yang bersikap yang seperti ini.
Sumber Rujukan : Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali, An Najiah Hia al Ummatul Islamiyyah Kulluha, Golongan Selamat Adalah Seluruh Umat Islam, Cet 1 2008, Penerbit Mutiara Ilmu, Surabaya.
Rabu, 8 April 2009
Hebatnya ALLah : Iktibar Dari Labah-labah
Sifat baik yang ada pada labah-labah antaranya rajin membuat sarang tanpa mengenal putus asa. Jika diserang angin kuat, selepas itu ia akan menyulam kembali sarangnya untuk mencari rezeki.
Petua orang tua menyebut - sekiranya ada luka kecil, sarang labah-labah boleh digunakan untuk menghentikan pendarahan.
Jumaat, 27 Mac 2009
Isu Kalimah ALlah - Salahkan Kita Berhati-hati?
Kali ini ada membawakan hujjah menyatakan kalimah ALlah sudah lama digunakan oleh orang Kristian, bahkan di Mesir, Asia Barat juga. Sedangkan bahasa Arab itu memang sudah lama digunakan di sana, dan tiada masalah bagi mereka untuk membezakan ALlah pada pandangan Islam dan pada pandangan Kristian.
Masalah yang timbul sekarang ini isunya kalimah ALlah digunakan di Malaysia, iaitu jika dilihat dari media massa sendiri tentang pegangan aqidah remaja, dan umat Islam ada yang tidak kuat dan goyah apatah lagi bila ditanya mengenai ALlah dan mengimaninya dengan yaqin tanpa ada sebarang keraguan dan melaksanakan perintah ALlah dan meninggalkan laranganNya.
Ustaz Farhan Bin AbduLlah iaitu seorang bekas Kristian yang telah dilatih untuk menjadi paderi oleh bapanya sendiri iaitu Ketua Paderi besar menjaga 15 buah gereja di Sabah telah mendedahkan sendiri adakah ada agenda tertentu di sebalik permintaan akhbar Herald The Catholic Weekly untuk meminta kebenaran penggunaan kalimah ALlah di dalam bible.
Yang seharusnya kita fikirkan :
1. Samakah penggunaan kalimah ALlah sebagaimana fahaman kita sebagai orang Islam dengan kalimah yang digunakan oleh Kristian di dalam bible tersebut?
Sebagai umat Islam yang beriman, kita mengimani bahawa ALLah adalah Esa (tunggal), tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak menyamai apapun dengan makhluk-Nya. Ini dijelaskan sendiri di dalam surah al Ikhlas
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِقُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدُۢ (٤)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. (1) Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. (2) Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan (3) Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.(4)(surah al Ikhlas : 1-4)
Bahkan ALlah juga telah berfirman yang bererti :
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.(Surah al Maidah ayat : 73)
Menurut Ustaz Farhan,(Al Islam, m/s 8-9) Penganut penganut Kristian Ortodoks yang berpegang kepada Injil Perjanjian Lama (The Old Testament), memang menggunakan nama ALLah sebagai Tuhan mereka, tetapi tidak di dalam Injil Perjanjian Baru (The New Testament) yang menjadi pegangan penganut Kristian Katolik, Lutheran, Anglikan dan lain-lain. Samada kita sedar atau tidak golongan Kristian di negara ini yang bukan bermazhab Ortodoks telah pun menggunakan nama ALlah di dalam Bible mereka. Dan sekarang ini ingin menggunakan nama ALlah itu sebagai Tuhan mereka secara rasmi melalui undang-undang negara.
Kita menggunakan kalimah ALlah sebagai Rabbul Jalil, ALlah itu satu dan tiada Tuhan melainkan ALlah.
Berbeza pula dengan Kristian yang menyebut Tuhan tetapi Tuhan Bapa, Tuhan Anak, dan Ruhul Qudus. Di dalam Bible Perjanjian Baru, Matthew 27: 46 (Jesus berteriak dengan suara yang lantang "Eli-eli (tuhan) Sabaktani (mengapa engkau tinggalkan aku?" - Mengapa Jesus (yang dianggap Tuhan Anak) meminta tolong kepada ALlah? Sedangkan di dalam pegangan Kristian Jesus itu adalah ALlah. Cuba lihat lagu dari Agnes Monica sendiri :
ALLAH PEDULI
Banyak perkara yang tak dapat ku mengerti
Mengapakah harus terjadi
Di dalam kehidupan ini
Suatu perkara yang ku simpan dalam hati
Tiada satupun kan terjadi tanpa Allah perduli
Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yg kita hadapi
Tak akan pernah di biarkannya ku bergumul sendiri
Sbab Allah mengerti
Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yang kita hadapi
Tak akan pernah di biarkannya ku bergumul sendiri
Sbab Allah Yesus ku mengerti
Cuba bayangkan sekiranya kalimah ALlah ini digunapakai di dalam bible? Tidakkah ia menimbulkan kekeliruan?
2. Sudahkah kita turun padang untuk sama-sama membetulkan aqidah remaja dan umat Islam yang masih lagi goyah? atau sekadar melepaskan tangan dan menyerahkan bulat-bulat kepada orang lain. Kemudian bila timbul masalah saling tunding menunding, tetapi tidak mahu pula menunding pada diri sendiri.
Sebenarnya apa agenda sebenar Kristian yang bersungguh-sungguh ingin menggunakan kalimah ALlah Yang Maha Suci di dalam Kitab Bible? Ustaz Farhan mengajak kita meneliti apa yang ditulis oleh George W Peters dalam makalahnya, An Overview of Missions To Muslims. Peters mengakui betapa besar pengorbanan dan tugas yang terpaksa mereka lakukan demi mengkristiankan orang-orang Islam dengan ungkapan "...(for those) who labored in blood, tears and sweat, and with prayer and patience in the Muslim world..."
Dalam sebuah buku diterbitkan oleh Universities and Colleges Christian Fellowship di United Kingdom tahun 1981 - Light on Islam : Reaching Out to Muslims Students In Britain - digariskan beberapa kaedah untuk menawam orang-orang Islam agar memeluk agama Kristian antara isinya :
"Terangkan tentang Jesus sebagai kalimah Tuhan, tidak sebagai anak Tuhan, kerana banyak masalah dan kekeliruan yang akan timbul".
Risalah Kristian di bahagian depan kulit risalah tertulis kalimah Basmalah - RAHSIA JALAN YANG LURUS- Al Mustaqim.
p/s: Semoga kita semua dapat memantapkan aqidah sebagai umat Islam yang bertaqwa kepada ALlah.
Rabu, 11 Februari 2009
Isu Politik Perak... Menarik Rambut Di Dalam Tepung
Mungkin pada pandangan kita tindakan baginda Sultan Perak adalah silap dan membelakangkan rakyat. Bahkan Mufti Perak juga sudah ditegur oleh Profesor Dr Haron Din kerana seolah-olah memperkenankan tindakan tersebut apatah lagi seorang mufti seharusnya tidak menyebelahi mana-mana parti politik. (Bagi saya sudah mencukupi seorang ulamak menegur mufti bahkan bahasa beliau juga adalah baik dan setaraf dengan yang ditegur)
Dan mungkin juga di dalam fikiran Sultan Perak lain fikirnya, di belakang Mb Ir Nizar adalah DAP, sebagaimana yang diketahui ada beberapa pemimpin di dalamnya sendiri tidak suka akan tertubuhnya negara Islam.(WaLLahua'lam)
Walaubagaimanapun, apa yang saya lihat di dalam forum politik tidak kurang juga portal ada yang menghina dan memaki hamun Sultan Perak dan Muftinya. Terkadang saya terfikir, mengapa bila sahaja soal politik seolah-olah kewarasan berfikir akan hilang ? Ammarah menguasai akal dan iman ?
Yang dihina itu adalah ketua agama Islam negeri Perak, yang dimaki hamun itu adalah antara Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Sehinggalah sampai mempersoalkan kedudukan raja-raja berperlembagaan di negara ini. Sehingga jika boleh hendak dicantas institusi raja. Tetapi sekali lagi harus diingat raja-raja adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing. Mufti berperanan sebagai penasihat agama.
Adakah dengan jalan memaki hamun dan menghina akan selesai kemelut yang dihadapi? Apa pandangan mereka yang bersikap 'suka mengambil peluang' dan menangguk di air yang keruh? Katalah institusi raja dijatuhkan (kerana emosi yang melampau), siapakah pula yang di atas sebagai benteng terakhir dikala ketika ini masih ada yang memperjuangkan isu hak asasi manusia - kebebasan di dalam aqidah, murtad ? Sekiranya kita bersatu padu tidaklah terasa masalah sebegini.
Krisis aqidah, gejala sosial masih belum lagi dibereskan. Akhbar dan media pula hanya mengambil agama sebagai tempelan tetapi yang banyaknya adalah budaya hedonisme yang dikembangkan sehinggalah semakin membarah di dalam jiwa anak-anak muda. Dan banyak pula wartawan yang mengenepikan etika kewartawanan demi untuk keuntungan melalui penulisan. Apa sahaja berita yang kontroversi, menimbulkan reaksi rakyat walaupun ia menimbulkan huru hara dan kecelaruan tetap dipamerkan di helaian akhbar. Seolah-olah kurangnya tangan yang menapis terlebih dahulu mana baik dan buruknya sebelum disebarkan.
ALlah telahpun berfirman yang bererti :
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudara (kamu yang bertelingkah) itu.(Surah Al-Hujurat: Ayat 10)
Jika hendak mengkritik gunakan akal yang rasional dan kena dengan caranya. Jangan sampai suatu hari nanti kita terbelit dengan tindakan sendiri. Walaubagaimanapun, apa yang berlaku kini terlalu banyak hikmahnya bagi mereka yang ingin berfikir dan mengambil pengajaran darinya.
Dalam kita disibukkan isu politik di Perak.. apa kisahnya tentang kebajikan rakyat yang sekian lama perlukan pembelaan? Surcaj tambang bas yang akan dinaikkan 30%, harga barang yang meningkat, harga makanan yang tidak pula nampaknya akan turun (walaupun harga minyak sudah turun). Lalu dimanakah keutamaan?
Jom fikir!
Isnin, 26 Januari 2009
Perihal Kematangan
Matang jika dirujuk kepada tumbuhan - ia bermaksud sudah boleh dituai contohnya : padi, gandum. Boleh di tebang contohnya : meranti, merbau, jati, merbah. Boleh dipetik buahnya kerana sudah masak seperti : rambutan, mempelam dan jambu.Matang jika dirujuk kepada binatang - contohnya : sudah sampai umurnya untuk disembelih bagi tujuan korban seperti kerbau, lembu, unta (unta berumur 5 tahun lebih, kambing 2 tahun lebih).
Di dalam buku Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat : kematangan dirujuk kepada manusia ia menggambarkan insan yang sudah mencapai kesempurnaan fikiran.
Begitulah takrifan kematangan berbeza apabila merujuk kepada objek yang digunakan. Apatah lagi apabila dinilai dari sudut manusiawi ia lebih subjektif.
Mengapa Perlu Kematangan?
Untuk menjadi matang, luaskanlah pergaulan dengan manusia. Di situ kita akan melihat kepelbagaian pendapat, fikiran, budaya, tatacara hidup, adat, bahasa dan sebagainya. Kematangan tidak datang dengan hanya duduk di dalam bilik atau hanya berteori dengan akal sendiri, atau hanya pandai bercakap sahaja di pentas, seminar, dewan kuliah, ceramah tanpa turun ke lapangan umat dan merasai sendiri erti kehidupan.
Orang yang matang banyak benar fikirnya, sebab sudah merasai jatuh dan bangunnya dalam hidup. Ia sudah merasai manisnya gula dan masinnya garam di dalam buku kehidupan. Sudah terfikir apa yang boleh dan tidak boleh di dalam pergaulan. Adakah baik dan buruk kesannya. Sebab itu katanya banyak berkias. Jika menegur ia menyindir. Jika terlalu marah ia menjadi diam dari biasa.
Orang yang matang tidak berfikir untuk diri sendiri sahaja. Tetapi dilihat apa natijahnya kepada orang lain. Untung dan rugi dikirakan, besar atau sedikit mudaratnya, disesuaikan pula dengan suasana, keadaan dan zaman.
Dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu katanya :
Telah bersabda RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam : Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya " Hadith hasan riwayat Tirmidzi
Islam mengajar kita untuk meninggalkan perbuatan yang sia-sia yang menghabiskan umur dan masa secara percuma. Kehidupan perlu diisikan dengan perkara yang dapat memberi manfaat kerana orang yang matang bukan sahaja berfikir untuk waktu sekarang, tetapi sehingga di alam akhirat sana.
Budaya Kita Tidak Sama
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu) (Surah al Hujarat ayat 13)
Orang Asli (yang masih belum sangat terdedah dengan kehidupan moden) menghabiskan masa bersama keluarga, ada kalanya turun ke hutan mencari rotan, menanam ubi kayu dan padi huma. Kadang-kadang meletakkan bubu, jorannya dari buluh agar dapat ditangkap ikan tengas. Sifatnya pemalu, sensitif dan berpegang pada janji. Janganlah kampung mereka dicerobohi tanpa hak, tentu disumpit penceroboh tersebut. Tentu sahaja berbeza bahasa, budaya dan loghat mereka kerana di tanahair kita sahaja terdapat 3 kumpulan etnik Orang Asli yang mempunyai pelbagai suku kaum iaitu Negrito, Senoi dan Melayu- Proto.
Orang Jawa tidak sama dengan Orang Jawa Halus dan Jawa Kasar, Bugis, Banjar. Begitulah dengan mereka yang tinggal di negeri dan negara lain. Bahasa dan loghatnya tidak sama. Mungkin sahaja ada perkataan yang sama sebutan tetapi berbeza erti dan penerimaan. Ada yang menyukai masakan manis, pedas dan sebagainya.
Bahasa di SMS tiada nada tinggi dan rendahnya (hanya dapat dilihat tulisan besar dan kecil, titik, koma dan yang berkaitan) berbanding bahasa percakapan.
Ilmu, Akhlaq dan Kematangan
Lihatlah, adab remaja dan diri di zaman ini. Masih adakah santunnya kepada orang yang lebih tua apabila bercakap? Masih rajinkah memberi salam dan senyum? Ilmu semakin tinggi adakah menjadikan diri semakin menunduk atau mendongak langit? lalu berjalan dengan sombong dan bongkak sedangkan siapalah jika diperkirakan hakikat diri, siapalah diri kita sebenarnya di hadapan ALlah berbanding orang lain (yang lebih tinggi ilmu dan taqwanya).
Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya ALlah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri (Surah Luqman 18)
Lihatlah, di zaman ini terdapat juga insan yang berani menuduh tanpa bukti, tidak diselidiki benarkah tuduhannya kepada orang atau golongan yang lain. Tidak memikirkan kesan dari percakapannya dan perbuatannya.
Mungkin agaknya ia lupa apa yang disuruh ALlah :
Surah Al-Hujuraat ayat 6, yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".ALLahu ALlah...
Matang Dalam Membuat Keputusan
Ada juga yang suka berfikiran singkat, keputusan hendak segera tanpa ditimbang buruk dan baiknya. Ada juga apabila yang sudah memegang jawatan atau urusan yang penting segalanya hendak baharu. Tidak pula membuat kaji selidik, bertanyakan dengan orang yang lebih tahu, tidak mahu bermesyuarat agar setiap tindakan dapat diteliti dengan lebih mendalam. Katanya zaman dahulu biarkan berlalu, sekarang adalah zaman kita, pendekatan perlu berubah mengikut masa. Bahkan lebih dari itu terus dihapuskan sahaja tatacara dan budaya walaupun ia adalah baik untuk masa hadapan. Lihat sahaja hukuman rotan kepada anak murid. Keputusan guru diharamkan dari merotan dan diserahkan kepada 'tiga tangan' iaitu guru disiplin, guru penolong kanan dan pengetua.
Segala masalah berkaitan akhlaq pelajar diserah bulat-bulat kepada kaunselor sekolah. Akibatnya ramailah pelajar yang semakin kurang ajarnya. Semakin hilang hormatnya dengan guru apatah lagi didukungi oleh ibu dan ayah yang tidak boleh anaknya 'dijentik sedikit' walaupun tujuannya untuk mendidik dan membetuli sikap yang salah. Padahal dalam menyelesaikan masalah pelajar ada masanya diperlukan rotan untuk mendidik. Ada masanya perlu dinasihati, ada masanya perlu juga dikuarantin. Setiap satunya mempunyai kekuatan tersendiri. Alangkah baiknya jika ketiga-tiga ini digabungkan agar lebih efektif.
Pelajar merokok, berapa ramai yang 'makan nasihat' dengan diberi kaunseling? Pelajar yang mencuri, mengaibkan guru, dan kesalahan yang berat berapa kerat yang mengubah diri hanya dengan menghadiri sesi kaunseling semata-mata. Sedangkan apabila dilihat dalam Islam sendiri hukuman rotan itu wujud (contoh dalam hukuman zina lelaki dan wanita yang belum berkahwin serta minum arak) antara lain untuk memberi rasa insaf, gerun dan untuk mencegah bukan sahaja kepada diri pelaku kesalahan malahan untuk orang yang menyaksikannya.
Dan kini, akibatnya masyarakat juga sendiri yang merasa bahangnya.
Begitulah.. serba sedikit perihal kematangan.. Apa ruginya jika kita berfikir berkali-kali, belajar memahami, bertanya dahulu sebelum bertindak?
Khamis, 15 Januari 2009
Belajar Susah Untuk Senang
"Mak belikan yang tu" tangan mungil seorang anak perempuan mengunjuk barang permainan yang bergayutan di sebuah kedai permainan. "Eh, nantilah mak belikan, engkau ingat mak ni cop duit ke? Semuanya nak beli?" kata ibunya dengan tegas.Kisah di atas adalah senario yang biasa dapat dilihat di sekeliling kita. Begitu juga dengan kebanyakan cara berfikir orang sekarang.
Mengapa ya? Kita selalu fikir semuanya hendak mudah, tidak mahu bersusah payah dahulu? Kalau boleh semua yang diminta terus ada di depan mata.
Manjakan Anak Keterlaluan
Terdapat ibu dan ayah terlalu memanjakan anak-anaknya. Benar, mungkin di dalam fikiran mereka tidak mahu anak-anak hidup susah seperti dahulu. Biar cukup makan dan pakai. Tetapi sekiranya dibiarkan anak mudah bermanja-manja tanpa berusaha, bila sudah besar nanti apa akan jadi kepadanya? Ia tidak tahu cara untuk berdikari kerana dahulunya apa yang diminta semuanya dapat. Apabila sudah besar hiduplah ia bagaikan parasit yang selalu bergantung kepada orang lain.
Sebuah rumah dibina dari asasnya. Ada cerucuk, konkrit, perlu pada batu bata. Disimen, di 'plaster' dan sebagainya sehinggalah menjadi rumah yang teguh. Sepuluh, dua puluh tahun tetap kukuh dan tahan daripada kerosakan. Ini kerana asasnya yang kuat. Cuba pula lihat rumah yang 'cepat siap' di tangan kontraktor yang mindanya 'suka mengambil mudah', retak di sana sini, bocor di bumbung hinggalah merisaukan penghuni di dalamnya.
Minda Semua Ingin Mudah
Terdapat pula cara berfikir semua ingin mudah, tidak ingin bersusah payah. Maka sebab itu terdapat risalah yang disebarkan oleh orang tertentu di masjid atau di surau rehat dan rawat mengajak untuk bantu membantu antara satu dengan yang lain. Isikan borang yang pertama dan tidak lupa 'sedekahkan' wang dalam jumlah tertentu ke dalam akaun bank peserta pertama dan kedua. Disertakan sekali ayat al Quran dan hadith (untuk memantapkan hujjahnya). Diberikan senarai testimoni peserta yang telah berjaya mendapat ribuan ringgit untuk melangsaikan hutang dan sebagainya. Padahal sikap seperti inilah yang menjadikan manusia malas untuk berusaha. Hanya duduk diam, cukup bulan jenguk dalam mesin ATM berapa puluh ribu yang akan diterimanya hasil dari 'bantuan' orang lain. Berapa ramai yang terkena minda seperti ini?
Hendak Belajar ? Search Sahaja Dalam Google
Betul, memang mudah sangat untuk belajar sekarang ini. Taip sahaja di bahagian google search dan apa sahaja ilmu yang diingini akan dapat dengan mudah. Ada seorang user memberitahu untuk menjatuhkan hukum cukup dengan cari hadith sahih dalam internet kemudian sudah boleh berhukum. Padahal hadith sahih itu sendiri ada martabatnya dan syarahnya. Lalu lahirlah tukang-tukang pemberi fatwa yang sesat dengan pemikirannya sendiri akibat agama itu diliberalisasikan atas nama agama itu mudah. Lihatlah - berapa ramai yang terlibat dalam golongan anti hadith, rasul melayu dan banyak lagi fahaman yang menyeleweng.
Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :
ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seseorang itu tidak akan menjadi cendiakawan hanya dengan melayari internet tanpa ada asas ilmu. Belajar tanpa guru hanya menjadikan seseorang itu 'kepeningan' dalam fikirannya sendiri tanpa panduan. Barulah di sini akan ada bandingan apa yang dinamakan kualiti.
Hendak Kaya Bukan Dengan Duduk Diam
Ada satu bentuk pemikiran baru untuk kaya dengan mudah. Iaitu dengan melaburkan duit dengan jumlah tertentu, dan tunggu sehingga cukup bulan. Duit akan bertambah, tidak perlu kerja. Duit akan masuk setiap hari. Dan selepas itu bolehlah berangan untuk terbang ke angkasa biru, membeli belah, rumah besar dan sebagainya.
Bila dikaji dan disemak sejarah orang yang berjaya dan kaya raya. Mereka berusaha dengan titik peluh sendiri. Amat sedikit orang yang kaya dengan sebab harta pusaka. Itupun sekiranya tidak diurusi dengan ilmu. Alamat sekelip mata boleh papa kedana.
Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary mula berniaga pada umurnya 19 tahun dalam jual beli lembu dan kerbau. Semasa menerima gaji pertamanya sebanyak RM 1,500, sebahagiannya telah diserahkan kepada orang miskin. Dan kini ia mempunyai harta bernilai RM 4.16 billion di mana sebahagian besarnya juga telah 'dikembalikan' semula kepada orang Islam yang memerlukan. Cantiknya beliau adalah sikapnya tidak mendabik dada. Apatah lagi untuk duduk berdiam diri tanpa berbuat apa-apa dengan menunggu duit turun dari langit.
Dakwah Perlu Dengan Usaha Dan Ada Susah Payah
Tiada jalan singkat untuk menyebarkan dakwah sambil mengharapkan apa yang disampaikan pasti orang akan terima dan tunduk. Kerana manusia mempunyai akal fikiran yang selalu memberi alasan dan mencari sebab dan musabab. Sehinggalah mulutnya terkunci nanti kerana habis riwayat kehidupan.
RasuluLLah tidak pernah berhenti untuk menyampaikan risalah ALlah, asanya tidak pernah putus dalam mendakwahi bapa saudaranya sehingga beliau (bapa saudaranya) meninggal dunia. Dakwah yang paling ringan walaupun dengan menunjukkan akhlaq yang baik, hendaklah berterusan. Dakwah itu ada seninya, cara bercakap, pendekatan, pendek kata :
1. Tahu dengan siapa kita berdakwah
2. Apa latarbelakangnya - keluarga, pendidikan agama
3. Budayanya
4. Cara berfikir
5. Umurnya - kanak-kanak, remaja, dewasa, orang tua
6. Keadaan dan suasana
Lihatlah, ada insan yang tercicir dalam perjuangan dakwah. Menyebabkan mad'u lari, menimbulkan permusuhan, kecelaruan dan kekeliruan. Barulah nampak di sini - pentingnya belajar dan kefahaman.
Pada akhirnya - dalam perjalanan hidup yang singkat ini. Benar... orang yang berjuang di jalan-Nya akan merasa seolah-olah sempit jiwa. Tetapi bila dikenang bahawa di dalam kesulitan itu ada kemudahan. Barulah merasa bahawa ALlah sentiasa menolongnya... ALlahu ALlah
Selasa, 30 Disember 2008
Maaf.. Saya Tidak Tahu..
ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)Hadith di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu soal agama walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jarinya mengeluarkan 'fatwanya' sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk neraka.
Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.
Fahamlah, rupanya proses untuk mengeluarkan fatwa itu sendiri bukanlah senang. Kerana ulamak takut untuk mengeluarkan hukum tanpa hak.
Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya orang :
"Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih...? "Tidak...!", jawabnya. "Dua ratus ribu hadith..?" "Tidak..!.. katanya. "Tiga ratus ribu hadith..?" "Tidak..! Jawabnya. "Empat ratus ribu hadith..? "Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.
Dengan menghafaz belumlah dikatakan seorang faqih yang dapat mengeluarkan fatwa selagi ia tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi syarat-syarat lain untuk berfatwa.
Sukarkah Mengatakan "Aku Tidak Tahu" ?
Ulamak salaf (ulamak yang hidup di kurun ke 3 dan sebelumnya- kurun yang terbaik) melarang keras orang yang berani mengeluarkan fatwa tanpa mempunyai ilmu dan persediaan yang cukup.
Alangkah, para ulamak muktabar yang benar-benar takutkan ALlah seperti Imam Malik pernah berkata :
Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)".
Ibn al Qasim berkata :
"Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : "Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti".
Ibn Abi Layla pernah berkata :
"Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul sallaLLahu 'alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.
Fahamlah di sini, mengapa kita perlu menghormati ulamak muktabar yang terdahulu. Yang telah mengasaskan mazhab dan menulis kitab-kitab, mengajar anak muridnya untuk menyampaikan ilmu yang diajarnya kepada umat Islam yang lain.
Antara Maksum dan Orang Yang Berilmu
Ada pula laungan-laungan dari orang awam atau mereka yang bukan dari kalangan ulamak malahan yang baru menghafaz beberapa hadith mendabik dada mengatakan dirinya adalah tempat dijadikan rujukan. (Sedangkan rujukan dirinya hanya melalui internet semata-mata dan sumber yang amat sedikit berbanding para ulamak muktabar). Ingatlah bahawa ilmu dan akhlaq akan berjalan seiring. Orang awam seperti kita ini mengatakan pula 'ulamak tidak maksum' terutamanya tuduhan ini ditujukan kepada ulamak yang mengasaskan mazhab, ulamak seperti Imam asy Syafie, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hambali. Bahkan melekehkan pula orang yang mengikut mazhab yang disampaikan oleh ulamak-ulamak, ustaz ustazah dan guru-guru.
Ya, benar, ulamak tidak maksum (ada membuat dosa dan kesilapan). Tetapi berbanding dengan orang yang bercakap atau ustaz yang selalu memperlekehkan ulamak muktabar. Siapa pula yang lebih berilmu, lebih berkelayakan untuk mengeluarkan hukum? Ulamak yang lebih muktabar jauh lebih tinggi ilmunya, menguasai disiplin ilmu untuk membolehkan mereka mengeluarkan pendapat. Di sinilah adanya perbezaan yang besar di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, kurang ilmu, faham dan tidak faham, sempurna akal dan yang tidak, dan yang jahil. Sebagaimana firman ALlah :
قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٩)
Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah az Zumar : Ayat 9)
Terkadang terfikir juga penuntut ilmu yang cetek akhlaknya, atau mereka yang berfikiran suka melekehkan ulamak muktabar hanya memandang ulamak dari atas kertas sahaja. Mentang-mentang nama-nama ulamak itu sudah acapkali dilihat dan ditulis di dalam akhbar, majalah dan buku-buku, kitab-kitab yang banyak berlegar di pasaran. Mentang-mentang sudah belajar beberapa hadith sahih dan beberapa ilmu yang baru.
Semaklah sejarah semula, jangan dilipat sahaja adab-adab dan akhlaq ulamak muktabar, lihat bagaimana cara mereka berfikir sebelum mengeluarkan pendapat, jenguklah disiplin ilmu yang telah mereka kuasai sebelum berani mengeluarkan fatwa. Luaskan pandangan bagaimana ulamak mendidik jiwa mereka, melihat kepada keadaan, cara hidup dan budaya. Imam Syafie juga menghormati mazhab hanafi apabila datang ke tempat mereka yang mengikut mazhab tersebut.
Untuk akhirnya para fuqaha' selalu berkata "Sesiapa yang tidak pernah mengetahui dan mengerti perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan fuqaha', bermakna dia belum sempat menghidu haruman fiqh..!
Sumber rujukan :
1. Prof Dr Yusuf al Qardhawi, Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub, Fatwa & Antara Ketelitian & Kecerobohan, 1996, Thinker's Library, Selangor.
2. http://quranexplorer.com