Selasa, 15 April 2008

ALlah itu bersifat Qidam (Sedia)

Qidam ertinya sedia iaitu sedia dari segi zatNya yang menafikan ada permulaan bagi ada ALlah ta'ala. Sedia ALlah ta'ala bukan diukur dari segi masa (Zamani) dan bukan didahului oleh tiada.

ALlah menjadikan tiap-tiap yang ada dan tiada permulaan. Berlainan dengan makhluk yang dicipta oleh ALlah, makhluk adalah terbatas dengan masa dan ada permulaan. ALlah menjadikan makhluk daripada tiada kepada ada.

Setiap yang baharu (yang akan binasa, hancur, punah, mati) ALlah yang menjadikan. Mustahil bagi ALlah ada permulaan.

Jika ALlah tidak bersifat qidam tentulah Ia baharu, setiap yang baharu tentu ada yang menjadikannya dan membaharukannya. Oleh itu, ia adalah mustahil bagi ALlah.

Dalil dari firman ALlah dari surah al Hadid ayat 3 :

هُوَ ٱلۡأَوَّلُ وَٱلۡأَخِرُ

Ertinya : Dialah (ALLah) yang awal (tiada permulaan) dan Dialah (ALlah) yang akhir (tiada kesudahan).

1 ulasan:

Ahmad Saifuddin Amran berkata...

Sebagai penambah rencah kepada isi artikel.

Jika ALlah tidak bersifat qidam tentulah Ia baharu, setiap yang baharu tentu ada yang menjadikannya dan membaharukannya. Oleh itu, ia adalah mustahil bagi ALlah.

Allah itu baharu adalah bercanggahan dengan akal yang sihat. Sekiranya Allah itu baharu maka tentulah ada Tuhan yang menjadikan dan membaharukan. Hal ini mustahil menurut akal.

Contoh pertama:
Tuhan A adalah baharu. Apabila Tuhan A baharu, pastinya Tuhan B yang menciptakan Tuhan A. Dan pasti ada Tuhan C yang menciptakan Tuhan B. Rantaian ini akan berterusan sehingga infiniti (mutasalsil). Hal ini menurut akal adalah mustahil kerana pada akhirnya kita tidak tahu siapa Tuhan yang sebenar.

Contoh 2:
Tuhan A adalah baharu. Tuhan B mencipta Tuhan A. Tuhan C mencipta Tuhan B. Tuhan A mencipta Tuhan C. Hal yang berpusingan (mudawwar) ini mustahil menurut akal. Sekiranya Allah adalah baharu, siapakah yang mula-mula menciptakan Allah?

Justeru, dengan berdalilkan akal maka benarlah Allah itu bersifat qadim.