Khamis, 12 Mac 2009

Lama Tidak Menulis..


Assalamu'alaikum warahmatuLlahi wa barokatuh..

Lama saya tidak menulis di dalam blog ini. Cuti Maulid Nabi yang lepas saya ke Kelantan di rumah mertua, al maklumlah memenuhi harapan isteri dan beliau pun teringin sangat nak makan masakan di sana.

Di Johor bolehlah bercakap dalam bahasa Johor, tetapi jika di Kelantan paling kurang kena tahu juga loghat, meladeni adat dan tatacara budaya ore Kelate untuk beramah mesra dengan orang-orang tua dan juga keluarga sebelah isteri.

Begitulah, walaupun sambutan maulid nabi di Kelantan tidak seperti di Johor yang dibuat secara besar-besaran di setiap masjid dan surau pada kebiasaannya. Kami tetap juga menyambutnya dengan bacaan selawat selepas bacaan doa dan tahlil.

Sejak akhir-akhir ini, selalu juga diri ini teringatkan tentang kematian... umur yang sudah berlalu pergi, apa yang diisikan di dalamnya, apa kisahnya tentang amal jariah. Wahai diri.. dunia ini adalah tempat yang persinggahan sementara menunggu alam yang kekal. Apa bekalan untuk singgah di alam kubur sementara menunggu alam akhirat..

Minggu sudah saya menceritakan kepada anak murid tentang hari kiamat yang semakin hampir. Ada yang mengalirkan air mata- mungkin kerana tersentuh dengan penjelasan keadaan manusia di akhirat kelak, timbangan amalan, titian sirat, nikmat syurga dan azab neraka. Syurga hanya untuk mereka yang terpilih iaitu yang beriman kepada ALlah dan mengikut apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarangNya. Mengenai syurga saya tidak memanjangkan sangat penjelasan mengenainya tetapi azab di neraka saya bentangkan supaya timbul rasa insaf pada diri ini dan anak murid. Apa agaknya rasa diri kita apabila disebut tentang kenikmatan di syurga dan pedihnya menghuni neraka...

Saya menyelitkan nasihat kepada mereka tentang pentingnya beriman kepada ALlah - apatah lagi di akhir-akhir perkataan beriman itu sendiri tidak difahami dan dihayati. Bertudung rambut dikata sudah menutup aurat, asal akhlak baik - aurat tidak ditutup pun tidak mengapa dan pelbagai alasan lagi. Saya tidak terkejut apabila ada anak murid yang tidak menutup aurat di luar rumah kerana ada ibu dan ayah mengajar supaya anak-anaknya tidak perlu menutup aurat. Di akhir kehidupan nanti, walaupun tidak mahu menutup aurat, diri kita semua akan ditutup dengan lebih rapi (cumanya bagaimana kita mati, hanya ALlah sahaja yang menentukan) untuk menghadap ALlah yang Maha Esa.

Salam Maulidul Rasul kepada semua umat Islam... Semoga selawat, sirah rasul dapat kita hayati bukan untuk masa tertentu sahaja tetapi dihayati di dalam segenap kehidupan kita.

Tiada ulasan: