Khamis, 25 Jun 2015

Jika Bersyukur Allah Tambahi Lagi Nikmat

Syukurlah
Allah masih sudi untuk memberikan pinjaman berupa nafas untuk kita hidup, masih ada makanan untuk dimakan, masih ada pakaian untuk dipakai, masih ada rumah untuk didiami, masih ada kipas untuk menyamankan diri, masih ada kenderaan untuk bergerak, masih ada pekerjaan untuk mencari rezeki dan bermacam nikmat lagi yang Allah beri untuk kita sama-sama rasa penuh dengan kesyukuran.
Jangan lupa untuk mengucapkan Alhamdulillah tanda bersyukur..
Kerana di sana ada saudara kita yang tidak menikmati apa yang diperolehi.

Rabu, 24 Jun 2015

Ujian Ke Atas Orang Yang Berilmu

Orang yang berilmu diuji dengan ilmu apabila ilmu tak menjadikan dirinya sebagai tawadhuk dan rendah diri.
Bukankah ilmu itu cahaya ?

Selasa, 23 Jun 2015

Banyakkan Beramal

Salafussoleh banyak beramal. Dan kita pula akhir zaman mensedikitkan beramal.
Salafussoleh beramal kerana ingin Allah redha, takutkan Allah, mengharapkan rahmatNya.
Dan kita pula akhir zaman mensedikitkan beramal kerana malas, ditakutkan dengan beramal sebagaimana ulamak beramal kononnya tidak sesuai dengan sunnah.
Siapa lagi yang lebih kenal dan faham al Quran dan as Sunnah, yang jahil atau yang alim ?

Khamis, 13 Mac 2014

Sabarlah kerana engkau seorang guru



Apabila engkau berani menerima gelaran sebagai guru, cikgu, ustaz, ustazah.. terimalah bahawa :

Gelaran guru itu adalah bebanan yang amat berat. Bersedialah engkau untuk  belajar dan mengajar dan tambahi ilmumu untuk mendepani murid-murid yang ingin tahu..bagi menerangi kegelapan kejahilan dengan cahaya ilmu..

Kadangkala

Apabila engkau menghukum kerana mendidik - engkau pun dicemuh, dimaki hamun, dimarahi ibu ayah yang tidak memahami..

Samada suka atau tidak - engkau perlu meninggalkan keluarga untuk bersiang dan bermalam bagi menjadikan anak muridmu berjaya dalam persekolahannya. Jarang yang bertanya - bagaimana anak saya di sekolah ? baikkah sahsiahnya ? dibanding dengan keputusan peperiksaan ketika hari terbuka.

Kebaikanmu yang banyak akan disembunyikan - namun awas jika sekali engkau tersilap, habis segala peribadimu akan diselongkar, dimalukan.. walaupun engkaulah yang pernah mendidik anak muridmu..

Tugasmu bukan sekadar mengajar dan mendidik, engkau akan menjadi sang doktor yang merawat anak muridmu yang sakit, yang inginkan perhatian dan kasih sayang dan dahagakan nasihat untuk motivasi diri.

Engkaulah yang menjadi ibu dan ayah yang mengasuh dari pagi hingga ke petang.  Engkau seorang, namun punya anak yang puluhan bilangannya..  yang alim, yang berbudi bahasa, yang rajin, yang bersungguh-sungguh, yang pintar, yang bodoh, yang lembam, yang aktif,  yang menangis, yang berak dan kencing, yang nakal, yang suka tidur di dalam kelas, yang mengganggu rakan-rakan, yang malas membuat kerja rumah, yang berani melawan dan membentak, yang merosakkan keretamu, yang taat dan patuh.. bermacam ragam dan perangainya

Jika anak muridmu jahat - engkau dipersalahkan
Jika anak muridmu malas - engkau ditunding-tundingkan
Jika anak muridmu gagal - engkaulah akan diperkata-katakan
Jika anak muridmu berjaya menjadi orang - siapa yang akan menghargaimu dan mengenangmu sebagai seorang guru yang pernah mendidik anak muridmu ?

Sebab itu bukan mudah untuk menyandang gelaran guru. Tidak sama pandangan orang tentang guru di zaman dulu dan zaman ini.

Kerana itu juga, sabarlah kerana engkau seorang guru.. Amalmu bukan untuk waktu ini sahaja, kerana ia berpanjangan hingga ke akhirat sana..

Sabar dan ikhlaslah kerana menjiwai dirimu sebagai seorang guru.


Isnin, 3 Mac 2014

Jika Guru Berkata : Tak Perlu Tanya Soalan Sebegini..


Bukan maknanya beliau tidak mahu menjawab.

 1. Mungkin apabila diterangkan pada sipenerima - makin susah nak faham. Kerana jawapan yang nak diberikan terlalu mendalam.

 2. Dikhuatiri menimbulkan fitnah - kerana yang menerima jawapan belum sampai ke tahap ilmu berkenaan.

 3. memang guru berkenaan tidak tahu - dan tidak tahu adalah jawapan para salafussoleh dari memandai-mandai kata tahu.

Damailah.. dengan kasih sayang..




Kebencian itu beban

Kebencian itu menghantui kehidupan..

 Kebencian hanya menyebabkan lebih ramai yang tidak bersalah akan terkorban

 Akan bertambah lagi permusuhan..

 Lepaskanlah kebencian itu dengan kasih sayang.. dan menerima kemaafan..

 Kerana Allah..

Motivasi untuk jiwa yang sedang diberi ujian oleh Allah..






 Ketahuilah..

 Dugaan Allah beri untuk meningkatkan darjat hambaNya Untuk menghapuskan dosa..

 Untuk mendekatkan diri kita kepadaNya

 Bukankah.. ?

 Dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang ?

Cubalah..

selusuri kisah mereka yang diberi ujian dan tetap positif mengharunginya..

Kisah para Nabi dan Rasul yang tidak sedikit diuji, dan diuji.. 

Kisah para sahabat yang diduga tak henti-henti..

 Kisah alim ulamak yang tabah menghadapinya..

 Ambillah ibrah... mudah-mudahan hatimu terus tenang dan damai..

Isnin, 5 Ogos 2013

Siapa Yang Koreksi Diri, Dia Akan Berjaya

Wahai diri..

Cubalah satu malam sahaja engkau duduk, lalu ajaklah dirimu meneliti aib diri. Jika harini engkau disanjung, dihormati, disegani, disebut-sebut namamu kerana jasa, kebaikanmu.

Ketahuilah, bukankah ALlah yang menutup aib dirimu ?

Cubalah jika ALlah buka segala kejahatanmu. Agak-agaknya di mana engkau akan meletakkan wajahmu ? Mahukah engkau terima segala pujian dengan senang hati sedangkan hakikatnya engkau wajar di keji ?

Tajamkanlah pandangan batinmu wahai diri. Duduk dan perhatikan setiap aib yang engkau ada.

Apa aib mataku ?
Apa aib telingaku ?
Apa aib lidahku ?
Apa aib tanganku ?
Apa aib kakiku ?
Apa aib perutku ?

Lebih dari itu...

Apa aib batinku ?
Apa aib jiwaku ?
Apa aib ruhku ?

Sebulan penuh mata tidak menangis kerana Allah; mata apakah ini ? Mata yang terpesona setiap kali melihat dunia ? Mata yang memandang hina orang lain dan melihat dirnya lebih hebat dibanding dengan mereka ? Atas dasar apa ?

Perhatikan telingamu.

Engkau mendengar ghibah, fitnah, adu domba, dan perkataan-perkataan cela yang lain ?
Cermatilah wahai dengan dengan saksama buat satu malam sahaja.

Berapa kali engkau menyemak ayat-ayat al Quran dengan penuh khusyuk sehingga hatimu bergetar ?
Risiklah diri pada malam ini. Anda mengaji minggu ini, bulan ini, bulan sebelumnya ?

Mungkin ada yang mengatakan tidak, dan menunda-nunda hingga bulan Ramadhan untuk melakukannya, menunggu hingga lupa tempat engkau meletakkan al Quran. Mungkin juga ada yang menjawab YA, dab beruntunglah jika engkau termasuk salah satu di antara orang-orang yang dimuliakan Allah sehingga dapat membaca al Quran.

Selanjutnya, apa hasil yang engkau petik dari bacaan itu ? Berapa ayat yang membuatkanmu berhenti membaca lalu... air matamu mengalir kerana takut kepada ALlah ?Berapakah ayat al Quran yang menggoncangkan hati engkau di saat menyemaknya ?

Jangan-jangan... engkau membaca dengan hati yang sibuk dengan hal-hal lain, sehingga engkau tidak memperhatikan apa yang diucapkan Allah kepadamu ?

Diolah dari kitab Ma'alim al Suluk li al Mar'ah al Muslimah, Karya Habib Ali Al Jufri, Terbitan Dar al Ma'rifah, Beirut, cet 5, 1428 H/2007M

Terjemahan : Habib Ali al Jufri, Terapi Ruhani Untuk Semua, Cet II 2012, Penerbit Zaman, Jakarta. 

Ramadhan.. Maafkan Aku..

Ramadhan pun akan melabuhkan tirainya. Masing-masing (jika yang sedar) akan mula menghisab diri. Agaknya apa amalan terbaik yang telah dibuat dan akan disambung seterusnya pada bulan-bulan lain ?
Atau amalan buruk yang telah bertambah lebih buruk dari bulan-bulan lain ?
Atau amalan yang hanya menambah penat, lapar dan dahaga ?
Atau amalan yang menambah derita di alam sana ?
Atau amalan yang akan dicampak ke muka ?

Wahai diri.... engkaulah yang wajib menghisab diri !

Selasa, 27 November 2012

Ingin berubah ?



Berilah sebanyak manapun program motivasi, seminar potensi diri,
Jemputlah sehebat manapun penceramah motivasi,
Buatlah di manapun hotel, pusat konvensyen, dan pusat bina diri,
Belilah buku sehebat manapun pengarangnya, setebal manapun isinya,


Perubahan itu sebenarnya datangnya dari diri kita sendiri.

Khamis, 10 Mei 2012

Bagaimana Untuk Bersangka Baik Kepada Allah ?

Jika engkau telah berusaha bersungguh-sungguh di dalam sesuatu pekerjaan, namun lain pula hasil yang telah ditentukanNya..Ketahuilah :

1. Mungkin rezekimu di tempat lain
2. Allah ingin menambah pahala di atas kesabaranmu menerima ujian.
3. Allah akan memberikan rezeki kepadamu dalam bentuk yang lain

Dalam perjuangan untuk menggapai kejayaan, ada ketikanya kita jatuh dan adanya kita berjaya. Kegagalan adalah pengalaman manis kepada orang yang berfikiran positif dan cemerlang. Namun kegagalan menjadi kemalangan hidup kepada orang yang bersikap pesimis dan putus asa dalam hidup.

Maksiat Itu Benar-benar Menyeksa Hati

Maksiat itu benar-benar menyeksakan hati...
Bila engkau membaca peringatan dari Allah dan RasulNya
Engkau pun tertanya.. Adakah engkau layak mendapat syafaat dari Baginda atas kejahatan yang dilakukan ?
Di hari air mata bersilih gantinya dengan air darah..
Permohonan ampun tidak disahut..
Kerana engkau sendiri mengingkari janji..

Di hari kejahatan dibalas dengan seksaan dan api..
Engkau disisih  dan tersisih..
Temanmu adalah kesakitan, pekikan, ketakutan dan penyesalan..

Wahai diri.. Sehingga bila engkau akan membiarkan maksiat menyeksa dirimu ?

Khamis, 15 Mac 2012

Antara Adab-adab Penuntut Ilmu








Berkata Imam al Khatib semoga Allah Ta'ala merahmatinya :



Hendaklah penuntut ilmu itu menjauhi bermain dan kerja yang sia-sia, silih berganti ketawa, terbahak-bahak, melakukan perkara-perkara ganjil dan selalu bergurau. Adapun ketawa yang sedikit adalah dibenarkan asalkan tidak keluar dari batasan adab dan tatacara menuntut ilmu. Dan banyak ketawa serta bergurau ini boleh mencacatkan kedudukan seseorang dan boleh menghilangkan maruahnya. 

 Kata Imam Malik, semoga Allah Ta'ala merahmatinya : 



Sesungguhnya adalah menjadi satu kemestian ke atas penuntut ilmu itu bersifat sopan dan tetap pendirian, tenang, takut kepada Allah dan mengikuti jejak langkah ulama sebelumnya. 

Kata Imam Nawawi di dalam al Tibyan :

 Dan seharusnya penuntut itu juga dapat beradab bersama kawan-kawannya dan orang-orang yang menghadiri majlis syeikhnya kerana yang demikian ini juga bermakna beradab bersama syeikhnya, memelihara majlisnya, duduk di hadapan syeikhnya dengan duduk sebagai murid bukan sebagai guru. Tidak mengangkat suara yang berlebihan tanpa hajat, tidak ketawa, tidak banyak bercakap tanpa hajat, tidak bermain-main dengan tangannya atau dengan yang lainnya. tidak menoleh ke kanan dan ke kiri tanpa hajat, bahkan hendaklah menghadap dengan tekun ke arah syeikhnya serta menumpukan pendengarannya dan tidak bertanya kepada syeikhnya sesuatu yang bukan pada tempatnya kecuali dia meyakini syeikhnya tidak akan membencinya.

(Syeikh Nuruddin Marbu Al Banjari dalam Makanat al Ilm wa al 'Ulama wa Adab Tolib al Ilm)

Selasa, 21 Februari 2012

Apa Tujuan Engkau Belajar ?

Tujuan menuntut Ilmu


Anakku,

Malam-malam telah engkau lalui dengan belajar dan membaca buku-buku. Engkau tidak tidur selama itu. Saya tidak tahu, apa tujuanmu. Jika tujuanmu hanya untuk kesenangan duniawi, maka celakalah engkau. Jika tujuanmu untuk kehidupan syriat Nabi s.a.w. mendidik akhlak, dan mematahkan nafsu yang condong kepada kejahatan, maka sungguh bahagialah engkau. Benarlah kata sasterawan :

Berpayah-payah tanpa mengharap redhaMu adalah sia-sia,
Tangisan yang bukan kerana engkau adalah bathil.

(antologi Imam Al Ghazali)

Ingin Berhijrah Tetapi Tidak Berubah ?

Hijrah - perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain (mengikut konteks sirah). Jika diskopkan pada sikap ia merujuk kepada perubahan tingkah laku yang positif dari tingkah laku yang negatif.

Azam - kemahuan (keinginan, cita-cita yang sangat kuat, tujuan)

Kaitan hijrah dan azam yang baharu.

Untuk melakukan perubahan, perpindahan yang positif dari sikap yang negatif memerlukan tujuan, niat yang baik agar apa yang dibuat menghasilkan natijah yang baik juga. Kemahuan, cita-cita yang baik amat perlu dalam melakukan perubahan. Dan ia didorong kerana terdapat faktor yang mendorong dan memotivasikan dirinya untuk berubah.

Kita berazam untuk rajin solat berjemaah, sekaligus kita sedang cuba merancang untuk melakukan proses penghijarahan diri dari solat suka berseorangan kepada solat dengan beramai-ramai.

Seorang pelajar yang sudah dewasa pemikirannya, apabila kakinya menjejakkan di kaunter pendaftaran pelajar baharu di sekolah mahupun di universiti sepatutnya sudah ada keazaman untuk ia berubah ke arah yang lebih baik.

Pastilah perubahan itu memerlukan kepada tindakan, dan bukan hanya sekadar terbit di dalam hati dan diucapkan sahaja pada lidah.

Faktor yang mendorong perubahan ?

Contohnya : seorang yang tahu keluarga hidup susah,akan mendorong dirinya untuk mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik. Ia akan mencari jalan untuk memperbaiki kehidupan dan bukan hanya duduk senang lenang mengharapkan emas turun dari langit. Ataupun hanya bergantung dengan belas ehsan orang lain.

Biasa sekali ayah berkata kepada anaknya "Aku tidak meninggalkan harta kekayaan kepada kamu, tetapi ilmulah harta yang dapat ayah berikan".

Pemimpin yang sedar bahawa ia bertanggungjawab terhadap orang di bawahnya, tentulah ia mengambil tahu hal ehwal apa yang berlaku pada kakitangannya. Untuk memperbaiki hubungan dengan rakan sekerjanya ia suka mengambil kira pandangan orang dan bukan hanya mendengar dari dirinya sahaja. Sebab ia tahu untuk menghasilkan satu gerak kerja yang cemerlang memerlukan kepada kerjasama semua pihak, bukan segolongan atau kepentingan diri sahaja.



Apakah yang menghalang diri dari berubah ?

Ia datangnya dari kelemahan diri dalam melawan hawa nafsu. Bagaimana hendak melawan sikap malas jika selesa hidup dengan kemalasan ?

Perubahan yang positif memerlukan kita untuk melawan bisikan negatif dalam diri kita. Ia memerlukan kepada mujahadah. Untuk bangun solat subuh contohnya memerlukan kita melawan rasa mengantuk dan ingin menyambung tidur semula.

Untuk menjadikan badan sentiasa sihat memerlukan kita melawan sikap malas untuk bersenam.

Duri-duri yang menghalang dari berubah juga datangnya dari kawan-kawan yang punya sikap dengki dan iri hati. Kawan amat kuat pengaruhnya kepada diri kita. Yang menjadikan kita berbau busuk, kawanlah namanya dan yang menjadikan kita berbau wangi kawan juga namanya.

Isnin, 21 November 2011

Harga Barang Tidak Boleh Dirasionalkan

Awal tahun depan, khabarnya penjawat awam akan naik gaji. Dan peruncit pun sudah bersedia untuk menaikkan harga.

Yang naik gaji melibatkan lebih kurang satu juta lebih penjawat awam. Yang belum naik gaji, gaji yang tidak naik-naik, yang baru mula hendak kenal alam pekerjaan terpinga-pinga mengeluh dengan harga barang yang semakin naik kerana peniaga/pembekal yang 'gila' mengejar keuntungan.

Tiket bas tak pernah lagi turun. Dari bas yang punya 'air cond', hingga yang sudah ada televisyen yang sebenarnya berbayar kerana ada pekhidmatan pengiklanan dalam program tv di bas. Rakyat yang berpendapatan rendah juga yang terasa bahang naiknya harga tiket bas.

Untuk mengatasi masalah peruncit, pembekal yang rakus ini, nampaknya kena buat pulak Kedai 1 Umat Islam (kedai 1 Malaysia pun ada yang kritik). Semua barangannya halal dan harganya berpatutan.. Untuk membantu pengguna kenderaan awam pula perlu ada syarikat di bawah seliaan kerajaan di seluruh Malaysia menyediakan perkhidmatan bas awam samada yang berhenti-henti mahupun bas ekspres.

Khamis, 1 September 2011

Hati seorang ayah



Ketika melihat wajah si mungil berteriakan menangis meminta susu
Hati ini pun bertanya : Mampukah untuk engkau menjadikan dia seorang anak yang solehah ?

Ketika melihat anak berlari-larian keriangan
Hati si ayah pun mendesah : wahai diri.. mampukah engkau menjadikan ia seorang anak yang taat pada Allah dan Rasul pada ibu dan ayah ?

Ketika melihat anak melakukan kesalahan
Hati pun menahan agar tidak pecah : wahai diri, mungkin itu cerminan atas dosa yang engkau lakukan. Adakah ia diwarisi oleh anakmu kerana kesalahan yang engkau lakukan itu ?

Pada waktu-waktu begitu... sang ayah melontarkan doa kepada Illahi.. Wahai Allah yang Maha Mengasihani, jadikanlah anak kami yang soleh dan solehah. Taat pada perintah Engkau dan utusanMu. Biar benar jalannya dalam meneruskan kehidupan di dunia ini, biar tegak jalannya menuju ke akhirat.. Aminn ya Robbal 'alamiinn..

Ahad, 31 Julai 2011

Peniaga 'Ramadhan'


Bila tiba bulan Ramadhan, kita tidak perlu hairan khemah-khemah bakal berceracakan di sana sini. Mereka yang tidak pernah berniaga, sudah lama berniaga, berniaga hanya pada Bulan Ramadhan akan mencuba nasib untuk mencari rezeki.

Dari hujung hingga ke hujung, sebermula menempah tapak jualan ada yang pandai juga bermain politik untuk mendapatkan tempat yang strategik.

Bermulalah 1 Ramadhan hingga Ramadhan terakhir. Sang peniaga akan berteriakan untuk melariskan perniagaannya. Dengan apa jua cara agar dapat untung walau sedikit cuma. Kita harus memuji serta menyokong pada peniaga yang benar-benar jujur dan ikhlas dalam berniaga. Jika darihal menjual makanan biasanya mereka :

1. akan menjual makanan yang benar-benar berkualiti.
2. sanggup mengembalikan wang kepada pembeli sekiranya makanan yang dijualnya itu basi atau masam airnya
3. tidak menipu dalam timbangan sukat atau kuantiti kuih yang dijual
4. mempunyai sifat ehsan, sanggup berlebih kurang dengan pembeli

Manakala peniaga yang tidak jujur :

1. asal boleh dibuat duit semuanya dijual walaupun tidak pernah dibuat makanan tersebut. Katanya baharu sahaja mencuba ?
2. ais lebih banyak dari air.
3. makanan. kuih muih yang dikitar semula untuk santapan umat Islam
4. katanya diskaun sedangkan harganya tetap sama apabila dicampur tolak dengan 'diskaun' yang diberi

Kita juga (mungkin) peniaga 'Ramadhan' ?

Saban tahun kita singgah di madrasah ini adakah masih berkira-kira untuk melakukan amal ibadah ? Adakah kita mengajar diri kita berpuasa semata-mata untuk imbuhan dan bukannya kerana ikhlas dan merebut redhaNya ?

Cuba tanyakan diri... kita gembira menyambut Ramadhan atau gembira kerana akan menyambut Aidilfitri semata-mata ?

Cubalah ajak muhasabah diri (ingatan untuk diri) - pakaianmu yang berganti saban tahun sudah penuh di almari. Tiadakah rasa diri untuk memberi sedekah kepada orang lain ?

Makananmu yang memenuhi perut ketika berbuka - adakah ia sebagai mengalas perut agar memberi tenaga dan dapat beribadah. Ataupun sehingga sulit untuk beribadah kepadaNya ?

Ya Allah.. ampunkanlah dosaku..

Jumaat, 8 Julai 2011

Nikmat Allah Amat Luas Untuk Mengatakan 'Bosan'

Acapkali juga kedengaran keluhan atau perkataaan "bosan", 'boring' dan yang sewaktu dengannya. Biasanya keluhan ini datang apabila diri tidak tahu nak berbuat sesuatu yang bermanfaat, tidak tahu kerja apa yang hendak dibuat, tiada aktiviti yang menarik dan sebagainya.

Yang lebih parah lagi apabila timbul dalam fikiran 'Aku sudah bosan dengan hidup!'

Aktifkan Akal Yang Positif

Allah menganugerahkan akal kepada manusia untuk berfikir dan digunakan dengan cara yang betul dan baik. Kurangnya penggunaan akal yang positif untuk berfikir mempengaruhi tubuh badan untuk bertindak pasif dan negatif.

Seharusnya kekuatan akal yang diberi dapat digunakan untuk mengatur kehidupan dengan lebih sistematik dan terancang. Biasanya mereka yang berfikiran positif mempunyai pelbagai perancangan dan alternatif bagi merancakkan suasana kehidupan agar hilang perkataan bosan dalam fikiran. Dan perkataan bosan biasanya tiada pada individu yang bijak mengatur jadual kehidupannya.

Antara Cadangan Menghilangkan Perasaan Bosan

1. Sedarlah bahawa jangkamasa kita hidup amatlah terhad

- usahakan untuk banyakkan memberi kepada orang lain dengan cara yang baik dan tujuan yang baik.
- cara pemberian itu bergantung kepada kebolehan. Setiap orang pastinya punya kelebihan/kepandaian masing-masing

2. Carilah hobi yang baharu

- Jika kita duduk mendiamkan diri sahaja atau rutin yang sama dilakukan. Apa kata cari hobi yang baharu yang tidak membosankan ? Berkebun, melukis, menulis, melancong melihat peninggalan sejarah para Nabi dan Rasul ?

3. Kita bosan disebabkan persekitaran ?

- Jika ia disebabkan oleh persekitaran. Ubah susun atur di rumah seperti perabot, pinggan mangkuk. Mewarnakan dinding rumah dengan warna yang ceria dan lembut, menggantungkan gambar-gambar pemandangan atau kata-kata motivasi agar kita mata dan minda segar melihatnya.


Rabu, 25 Mei 2011

Jika Ada Yang Masih Lagi Bertanya Mengapa Saya Membaca Yasin Untuk Orang Yang Sudah Meninggal ?



Hari itu berlalu jua, tiada lagi si dia yang bercermin mata tersenyum menyambut kedatangan aku, isteri dan anakku. Tiada lagi dia yang menciumi pipi si kecil itu. Biarlah dia beristirehat di persemadiannya setelah bergelut dengan penyakit yang menghuni di tubuhnya. Sungguh Allah telah memberi kerehatan yang abadi untuknya..

Ya Allah! pahala dari bacaan surah Al Fatihah ini kuhadiahkan kepada pakcikku yang telah meninggal dunia.. Amin Ya Robb.. Al Fatihah..

Hadith sahih kelebihan membaca yasin :


Ibn Hibban dalam kitab sahihnya meriwayatkan hadith Jundab bin AbdiLLah, RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Surah al Baqarah adalah tulang belakang al Quran, ia diturunkan oleh lapan puluh malaikat dengan membawa satu persatu ayat. Sedangkan ayat kursi diturunkan dari bawah Arsy'. kemudian ia dikumpulkan dengan ayat-ayat surah al Baqarah. Surah Yasin pula adalah hati al Quran, tidak ada orang yang membacanya dengan mengharap redha ALlah dan pahala akhirat melainkan dia akan mendapat ampunan dari-Nya. Bacalah surah Yasin untuk saudara-saudara kamu yang telah meninggal dunia."



(Ditakhrij oleh Ibn Hibban di dalam Kitab Sahihnya pada bab Fadhilat Surah al Baqarah. Demikian juga al Haithami meriwayatkannya di dalam kitab Mawarid al Dzam'an, (jilid V, h 397). Imam Ahmad juga meriwayatkannya di dalam al Musnad dari Ma'qal bin Yasar (jilid v h 26). Al Haithami mengulas hadith tersebut di dalam kitab Majma' al Zawaid, "Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di dalamnya ada salah seorang perawi yang tidak disebut namanya, bagaimanapun perawi perawi lainnya adalah sahih (jilid VI h 311)

Sumber Rujukan : Prof Dr Sayyid Muhammad 'Alawi Al Maliki Al Hasani, Kajian Mendalam ke Atas Manfaat Amalan Orang Hidup Terhadap Arwah, Tahqiq al amal fi ma yan fa'u al mayyitu min al a'mal, Jahabersa, 2007, Johor