Ahad, 4 November 2007

Hiburan dan Orang Kita


Muzik adalah hiburan yang memberikan riadah kepada akal ketika sesak. Kengkadang cuba untuk mendapatkan motivasi dari bait-bait lagu yang disampaikan.

Dari desiran bunyi angin, suara beburung yang keluar dari lidah mereka. Tentu juga dari bunyi-bunyian cengkerik, dan bermacam lagi ciptaan ALlah- itulah yang membentuk muzik secara alami. Muzik ada bermacam pendapat, yang ekstrim mengatakannya terus HARAM tanpa kecuali. Ada juga yang sederhana. Aku berpegang pada pendapat yang membolehkan hiburan muzik ini. Sila rujuk di link bawah :

http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/40349.html

Ada yang lagi best, mak ayah yang menjadikan muzik sebagai satu sumber untuk mempamerkan anaknya dan sumber rezeki di dalam keluarga. Tetapi bukan dengan cara yang benar. Patutkah anak-anak yang kecil diajar menyanyi lagu cinta, gelek, menari,memakai pakaian yang membuka aurat? "Tuh, anak aku lah yang menyanyi dalam tv". Lalu tersenyum bangga. Terasa orang kiri kanan memuji dan iri hati dengan pencapaiannya.

Apa agaknya amal jariah yang nak dibawa oleh ibu dan ayah nanti di alam barzah dengan pertanyaan 2 hamba ALlah yang tidak putus-putus menyoal?

Mentaliti kebanyakan umat Islam di Malaysia, bangga dengan artis, suka dengan lagu yang memuja wanita, lagu yang mengajar cara-cara mengorat perempuan (ADAM AF?), tangkap leleh. Apa yang didengar akhirnya mempengaruhi tindakan dan emosi. - Semoga ALlah beri hidayah pada dia dan kami semua.. Amiinn

Jadilah umat Islam semakin mundur, kerana fikirannya diracuni oleh mesej-mesej yang pesimis, negatif. Antara senarai lagu yang mempunyai judul nama wanita - ISABELLA, FATIMAH, JUNAIDAH, TIARA, MAS MONA, MARIA. Yang menyanyi pulak tuh orang lelaki. Ada lagu untuk orang lelaki?

Lagu rock bermesej yang ok bagiku macam kumpulan AMUK, AhliFiqir, XPDC (Nih suma kena pilih la lagunya) dan beberapa kumpulan lain.

Lagu nasyid pulak - trendnya dah berubah. Masa zaman-zaman kegemilangannya, (walaupun dari pertubuhan al Arqam atau rufaqa'), setiap lirik dan melodinya benar-benar menyentuh hati. Mengajak jiwa mengingati ALlah, insaf dan sedar. Pada tahun 80 - 90an, kumpulan Raihan, Saujana, Hijjaz, Qatrunnada', Lambaian Kasih, Mirwana, Brothers, Alarm Me, NowSeeHeart dan sebagainya - masih lagi boleh dibanggakan.

Kini? Zaman kepupusan irama nasyid yang mengajak diri kepada ALlah, makin kurang yang membangkitkan semangat jihad. Katanya - Lagu cinta ikut trend remaja, kononlah mengajak menyintai ALlah. Hakikatnya berapa ramai yang ingat ALlah dengan ajakan seperti itu? Kebanyakan album tak lepas dari mesej cinta.

Hiburan tak salah, yang bersalah adalah orang yang menyalahgunakan hiburan..

Sabtu, 3 November 2007

Apa yang diajar, Itulah yang ditiru.

Satu dari ahli psychologist barat bernama Albert Bandura telah mengadakan satu kajian mengenai peniruan di dalam pembelajaran. Teori yang dinamakan modelling ini menceritakan tingkahlaku agresif yang ditunjukkan oleh orang dewasa akan mudah ditiru oleh kanak-kanak.Ini dibuktikan melalui satu ujian yang dijalankan iaitu 'bobo doll experiment' Pembelajaran melalui pemerhatian adalah perkara yang selalu dibuat oleh kanak-kanak seumur dari 1 tahun hingga 12 tahun.

Sebenarnya di dalam hadith telah lama diterangkan, Dari Abi Hurairah ra. bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (HR Bukhari 1296)

Benar, ibu bapalah yang mencorakkan anak-anaknya untuk menjadi 'apa' di masa hadapan. Budak kecil suka meniru dari segi perkataan. Paling mudah bila diajar cakap kesat seperti 'bodoh' dan perkataan yang baik contoh : diajar berzikir "ALLAH". Kanak-kanak paling mudah mengikut apa yang ditonton dan akan dicuba. Apatah lagi sekiranya perkara tersebut ditunjukkan berulang kali.

Anak akan belajar paling asas adalah dari dalam perut ibunya, apa yang didengar, apa yang dimakan. Patutlah ibu mengandung yang cepat marah, 'kenannya' akan sampai kepada anak. Tentu jika diperdengarkan dengan lagu mozart, beethoven, kitaro - mudah agaknya ia bertenang dan berdendang. Baiklah diajar ayat al Quran supaya cepat mengenal Tuhan.

Moral of the story?...

Jumaat, 2 November 2007

Memahami Keutamaan V (Kualiti atau Kuantiti)?


Seperkara yang perlu kita perhatikan adalah antara mendahulukan kualiti dan kuantiti dalam pekerjaan. Al Quran amat memandang berat mereka yang hanya melihat kepada kuantiti berbanding kualiti. Contohnya : Terdapat golongan yang hanya ramai sahaja tetapi terdiri dari orang yang tidak berakal, tidak berilmu, tidak beriman dan tidak bersyukur.

Kisahnya umat Islam begini :

1. Berapa ramai yang solat?
2. Yang tahu mengenai sirah rasuluLLah?
3. Terlibat dengan rasuah?
4. Gejala Sosial?
5. Reti membaca dan faham, menghayati al Quran?
6. Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup?
7. Institusi keluarga berterabur akibat PENCERAIAN?
8. Reti bersyukur atas harta yang ada?
9. Mengambil kisah mengenai halal dan haram dari sumber rezeki?
10.Mengutamakan agama di dalam pendidikan di samping pembelajaran akademik?
11.Lelaki yang boleh diharapkan sebagai pemimpin Islam?
13.Wanita yang boleh diharapkan menjadi wanita mukminah?
13.Ibu dan ayah yang semakin hilang kasih sayang kepada anak-anak akibat sibuk bekerja.
14.Ibu dan Ayah yang di rumah tidak tahu mendidik anak, tidak bersolat, tidak berpuasa.
15.Lihatlah dan nilaikan sendiri kualiti yang ada pada umat Islam dan diri kita masing-masing.

Lihatlah bagaimana ALlah menanggapi mengenai kualiti berbanding kuantiti :

ALlah berfirman yang bermaksud : "Akan tetapi kebanyakan mereka tidak memahaminya". (surah al Ankabut 29:63)

ALlah berfirman yang bererti : ... Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman. (Surah Hud 11:17)

ALlah berfirman yang bermakna : ...akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. (Surah al Baqarah:2:243)

dan lagi firmanNya yang bererti : ...dan sedikit sekali hamba-hambaKu yang berterima kasih. (Surah Saba' : 34 : 13)

Berapa ramai manusia yang boleh diharapkan memberi sesuatu kepada umatnya,dapat berlaku adil kepada orang lain?

Ada antara kita yang sibuk hendak menyelesaikan pekerjaan dengan banyak sekali, tetapi semuanya tidak sempurna.

RasuluLLah pernah bersabda : Manusia bagaikan unta. Di antara beberapa ratus ekor unta itu belum tentu engkau dapat bertemu dengan seekor unta yang boleh dijadikan sebagai tunggangan. Diriwayatkan oleh Muttafaq 'Alaih, daripada Ibn Umar. Lihat al Lu' Lu; wa al Marjan (1651).

Jom kita memikirkan soal kualiti!

Khamis, 1 November 2007

Tribute to Our Mudiroh

Harini Guru Besar sekolahku - Ustazah Habibah bte Ahmad mengucapkan salam perpisahan, kerana beliau telah dipindahkan oleh Pejabat Pendidikan untuk mengajar di sekolah agama yang lain. Semoga beliau bertambah cemerlang di dalam profesion perguruan. Dan sepanjang yang kukenal, beliau adalah seorang guru yang berdedikasi di dalam menjalankan tugas.

Dalam menghadapi cabaran pengajaran dan pembelajaran serta mentadbir sekolah, beliau sentiasa tabah dan senyum di bibir. Dan dari kisahnya aku semakin belajar tentang sebuah perjalanan hidup..

Terima kasih ustazah.

Sesungguhnya di dalam kesusahan bersama dengannya kemudahan, dan sesungguhnya di dalam kesusahan bersama dengannya kemudahan - Surah Al Insyirah : 5-6

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 6 (Akhir)

Wahai anak-anakku, perhatikan baik-baik anak perempuanmu, tentang perihal keperawanannya, sifat malunya. Sedarlah anakku, di waktu yang mendatang ini, mereka adalah fitnah yang paling besar ke atas kaum adam. Jika engkau mengawalnya maka engkau berjaya dari julangan api neraka. Sungguh fitnah mereka amat hebat disebabkan wanita itu lemah fikirannya dan bila didorong nafsu mereka akan melampau batas keperempuanan yang telah ditetapkan Tuhan. Nasihatilah mereka dengan berhikmah untuk selalu perbaiki diri, amalan dan ketaatan pada Tuhan dan RasulNya. Wahai, bila sifat malu telah hilang dari hawa dan diri manusia, engkau akan lihat akibatnya....

Wahai anak-anakku, perhatikan juga hal ehwal anak lelakimu, mereka adalah para pemimpin yang dilahirkan untuk memimpin. Sifat lelaki itu adalah gagah untuk membina kekuatan ummah, untuk bergerak dengan tenaga dan fikirannya membangunkan tamadun Islam. Jadikan mereka berilmu, bukan yang hanya bernafsu.

Wahai anak-anakku, jika engkau berjaya menta’dibkan mereka dengan tauhid, syarak dan akhlak, berbahagialah engkau kerana berjaya melahirkan para pejuang agama, engkau telah mematuhi perintah Allah dan RasulNya untuk menjadikan mereka khalifah di mukabumi ini dengan keadilan. Bila diri terpimpin, maka disiplin akhlak itu akan berpengaruh dengan sendirinya pada keluarga, teman-temannya dan masyarakat umumnya. Aku bimbang benar dengan keadaan lelaki kini, hanya kerana rupa, bentuk badan, suara sihawa mereka jadi tunduk dan menikus, jatuh menjadi hamba kepada hawa nafsu binatang. Tak perlulah aku coretkan panjang selagi engkau sendiri culas untuk menyemak kembali tentang sirah rasuluLLah dan para sahabat mengenai tanggungjawab sebenar seorang pemimpin.

Bagaimana pula dengan diri ini... Ya Allah, aku telah menyampaikan sedayaku.. Jika kebaikan yang aku tunjukkan sebenarnya adalah dosa-dosaku, katakanlah bagaimana aku dapat dimaafkan lagi.....Ya Allah!...ampunkan dosaku..

Dengan tekun dan berhati-hati yang membaca dan mendengarnya. Kertas kusam itu diletakkan baik-baik oleh anak-anak arwah perempuan tua di dalam ’hati’ mereka....

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 5

Maaf anak-anakku, pena ini kutuliskan kerana berat benar sangkaanku bahawa waktu telah semakin dekat, terkadang malam yang berlalu menyukarkan mata ini uintuk tidur selagi tidak meluahkan sesuatu buat tatapan kalian. Maaf anak-anakku terkadang terasa diri ini menyusahkan kamu semua. Diri ini telah tua untuk menjaga diri. Tetapi aku merasa bertuah kerana memiliki anak-anak yang masih menyayangi diriku, untuk diperhati sekadar beberapa ketika. Dan aku tahu, kalian boleh kuharapkan untuk membantuku menyelesaikan urusanku yang terakhir. Terima kasih semua, sudi untuk memandikan, mengafani, menyembahyangkan dan menanam tubuhku. Jadi aku tidak berasa malu untuk bertemu Tuhan..

Aku tidaklah meninggalkan apa-apa harta dunia, hanya itulah pakaian di dalam beg, sedikit barang kemas, itupun kuharap dijadikan tebusan untuk membayar kembali hutang sekiranya ada yang menuntutnya kelak. Langsaikanlah hutangku anakku jika ada, aku takut amalanku tergantung di awangan selagi yang menuntutnya tidak menghalalkan atas hutangnya itu.

Wahai anakku, tiada yang lebih berharga di dunia ini untuk kau jaga selain iman dan Islam. Tiadalah yang paling berharga selainnya untuk kau pelihara dan pertahankan walaupun terpaksa engkau mengorbankan diri dan keluargamu, hatta sekiranya engkau diugut dengan apa jua sekalipun, maka yang terakhirnya adalah perkataan ’Ahad’ seperti yang diluah oleh sahabat RasuluLlah Bilal bin Rabah. Apatah lagi di kala ini mudah benar iman dapat dijual beli, senang benar iman diruntuhkan kerana imbalan dunia yang sedikit dan keji pada pandangan Tuhan.

Wahai anakku, persiapkanlah diri dan anak-anakmu dengan bakaran api neraka yang marak menjulang sekiranya engkau gagal untuk mentarbiah dan mendidik mereka. Persiapkanlah jasadmu untuk mendapat balasan azab yang hebat dari malaikat zabaniah atas perilaku burukmu sewaktu di dunia. Sungguh setiap satu dosa yang kita lakukan, amat lama masanya di neraka, amat tidak terperi sakitnya sehingga engkau tidak terkata. Walaupun kita memekik dan meminta tolong tidaklah kita dipedulikan lagi, sebab sudah banyak benar peluang untuk kita berubah di dunia tetapi dipersia-siakan....

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 4

Dan dia bertanya lagi kepada cucunya ”masih adakah lagi keadaan yang harmoni seperti dahulu? Adakah lagi anak muda yang tinggi budi bahasanya pada ibu dan ayah, tahu malunya, terjaga solatnya? Taat pada Allah dan Rasul?. Masih adakah lagi ibu ayah yang mengambil tahu kepada siapa anaknya berkawan,? Masih adakah pemimpin yang ikhlas dalam pekerjaannya, jiran-jiran yang mengambil berat antara satu sama lain? Aku sudah lama merasai hidup ini, hampir sebahagian nyawaku merantau melihat keadaan umat manusia, Aku risau kita semua akan berpisah kerana iman, bagaimana hendak bertemu lagi jika ada antara kita yang mati dalam kekafiran, alangkah lamanya masa untuk bertemu jika ia dipanjangkan dengan seksaan di neraka. Anak-anakku, sedarlah di kiri kananmu ada sahaja yang akan mengheretmu ke neraka, alangkah kuatnya dugaan anak-anak, alangkah hebatnya ujian wanita itu, alangkah fitnahnya harta dan dunia ini. Ketika engkau kuat bertaqarrub kepada Allah tiba-tiba hatimu dipalingkan dari mengingatiNya, ketika hatimu keras untuk berbuat kebajikan demi akhiratmu tiba-tiba engkau diuji untuk takut pada kefaqiran, semakin banyak kemurahan hatimu tiba-tiba keikhlasan itu hilang kerana engkau menyebut-nyebut kebaikan itu di kemudian hari, lalu semakin banyak dosa samar yang tidak engkau sedari. Ketahuilah anakku, apabila engkau redha pada maksiat dan tidak berasa apa-apa dengan dosa, maka itulah tandanya imanmu yang meluntur.

Terdiamlah semua anak cucu di sekelilingnya. Dan perempuan tua itu berkata ”nantilah bila kamu semua sudah merasai hari tua, kamu akan faham, apa yang aku risaukan ini, dan kuharap ia lebih awal dari itu....”.

Ketika ini, perempuan tua itu diuji Allah dengan penyakit lumpuh, jasadnya terlantar di katil tua. Lidahnya tidak berhenti-henti juga untuk berzikir, entah dia risau jika dicabut umurnya dalam keadaan melupakan Allah. Baginya biarlah jasadnya mati, tetapi jiwanya tetap subur dengan mutiara iman. Solatnya tidak dilupa, diletaknya loceng di tepi bibir katil untuk meminta anak dan cucunya mengambilkan air wuduk. Doanya lama dari biasa, air matanya selalu bergenang di pipi. Tahulah ia, dirinya kini sudah hampir benar dengan kematian. Mungkin tangkai daun yang tertulis namanya di Luh Mahfuz sudah gugur dan malaikat izrail hanya menunggu masa perkenan dari Allah untuk mengambil hakNya.

Selalulah anak dan cucunya merawat, memerhatikan hal ehwal keadaan perempuan tua itu. Sesekali diminta untuk membacakan sirah para Rasul dan sahabat tentang kehidupan mereka, disuruh dibacakan hal ehwal persediaan menghadapi mati. Sekurang-kurangnya ia terhibur bila mendengar tentang kesudahan hidup yang baik, berkongsi gembira dengan janji-janji Allah kepada hambaNya yang bersabar dengan derita.

Malam itu, sakitnya telah memberat. Tidak ketahuan lagi berak kencingnya, nafasnya turun naik Berkumpullah sekali lagi sanak saudara buat kesekian kalinya, yang terputus, tidak berhubungan, yang bermasam muka, yang tidak pernah membaca ayat-ayat Allah malahan yang tidak tahu tetap cuba untuk menelurkan bacaan, supaya perempuan tua itu dimudahkan Allah untuk pergi dengan aman, disampaikan perlahan-lahan dipelipis telinga oleh mereka.

Perempuan tua menggerakkan bibirnya perlahan-lahan ’kertas...kertas’ sambil tangannya menunjuk pada helaian kertas kusam di atas meja berdekatan. Anaknya yang sulong tidak memahami butir bicara tetapi diambilkan air sedikit untuk membasahi bibir tuanya itu. Sambil menggagahi dirinya perlahan-lahan diucapkan kalimah terakhir sambil tersenyum menyebut LailahaillaLlah....

Seketika alam menjadi sepi, sedar ada hak yang telah diambil kembali oleh tuannya dan air mata perpisahan tetaplah mengalir mengiringi pemergian yang telah diputuskan Tuhan...

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 3

Tuk penghulu ketika itu berketurunan jawa kasar, tetapi sebenarnya pada bahasa sahaja kasarnya itu, perlantikannya hasil dari kesatuan hati seluruh penduduk kampung, bukan atas dasar kekayaan, rupa, atau pernah disogok wang atau disebabkan keturunan jawanya itu. Tetapi kerana akhlaknya, pengalaman hidupnya luas, pegangan agamanya teguh, ia dipercayai. Tidak pernah lagi ia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas orang kampung. Di mana sahaja ada kesulitan, pastinya dia yang pertama tiba untuk memberi bantuan. Bukan ia jenis orang yang bermulut manis atau berkuku besi, sebab diterima juga kritikan orang walaupun telinga panas mendengar atas tohmahan yang tidak benar. Ketika itu bukan ijazah menjadi ukuran, sebab ilmu itu bukan di atas kertas untuk diiktiraf, tetapi melalui ’apa yang dicakap dibuat dan apa yang dipelajari diamal’. Tidak hairanlah ia menjadi tempat rujukan bukan sahaja kerana ia seorang pemimpin masyarakat, tetapi juga sebagai seorang ilmuwan agama.

Tak perlulah diceritakan di mana ia belajar, sebab yang dipegangnya al Quran dan Al Sunnah juga serta ijtihad dari ulama yang muktabar. Tidak pula ia mahu sewenang-wenangnya membid’ahkan orang lain dengan perkataan sesat. Kerana fikirnya bukan untuk hari ini sahaja, tetapi juga hari mendatang, jika hanya kerana perkara cabang diperdebatkan untuk menyesatkan orang, tentu habis sudah orang Islam berpecah belah, tentu musuh-musuh Allah senang pula menjengah dan mudah pula kerja mereka untuk menghancurkan Islam, siapa pula yang akan bertanggungjawab untuk menjawab persoalan ini di hadapan Allah nanti?

Seketika perempuan tua itu berhenti sebentar dari berkata-kata, nafasnya ditarik dalam-dalam. Entah mengapa terbit air di kolam matanya, perlahan-lahan air matanya itu diseka dengan hujung lengan bajunya. Lantas cucunya bertanya, ”Mengapa nenek menangis?”. Lalu dia menyambung lagi ceritanya yang terputus sebentar tadi ”ahhh cucuku, itu kisah lama yang berlalu, ramai yang sudah tiada lagi, ada yang sudah berhijrah, dah bercucu cicit seperti diriku, dan yang kamu lihat di hadapanmu ini adalah tubuh tua yang menunggu-nunggu ajal dari Tuhan.

Dulu wajahku masih cantik dan segar bugar, walaupun hari mudaku banyak diisi dengan perkara yang bermanfaat dan bahagia selalu, tetapi tidak semuanya dapat dikongsi dengan orang lain. Walaupun didikan agamaku tinggi tetapi tidak dapat juga mengubah hati yang keras bahkan iman itu tidak dapat diperturunkan kepada siapa-siapa. Aku ingin meninggalkan dunia ini dengan tenang dan aman bersama iman di hati, aku ingin berkumpul dengan sanak saudaraku yang lain di akhirat nanti. Adakah cita-citaku akan dimakbul Tuhan?

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 2

Orang dulu beradat, sopan santunnya dijaga, dihias hemahnya dalam tutur kata, dalam kelakuan dan pergaulan. Ketika berjalan atau berjumpa dengan kenalan diberikan salam, disapa dengan baik dan halus budi bicaranya. Diberi barang tahu ia berteima kasih, tahu ia menanggung budi dan membalasnya. Tidak dibenarkan tetamu balik dengan tangan kosong, tahu-tahu ada sahaja bekalan untuk dibawa pulang. Kedatangan tetamu disambut dengan senyum walaupun tidak diundang.

Orang lelakinya tahu membawa diri, tahu berdikari, biar tidak tahu mengira, tidak tahu menulis, tetapi lapangan hidupnya luas, akalnya berjalan bukan beku dan mati. Tidaklah mereka mengharap ehsan dan sedekah padahal kudratnya masih gagah dan umur masih muda. Ilmu agamanya teguh. Malu bila dikata orang tidak pandai membaca al Quran, tidak pandai melaungkan azan atau sekadar duduk-duduk di rumah berehat menghabiskan beras petas sahaja sedangkan yang mencari rezeki adalah ibu ayahnya yang sudah lanjut usia.
Orang lelaki bagi mereka adalah pelindung kepada yang lemah, disumbangkan tenaga dan keringat untuk menolong dan membantu orang. Dikerah ke sawah untuk membajak, diajak ke laut menjala ikan, berpagi-pagi menoreh getah atau menyawit atau ke hutan mencari rotan manau, nipah, gaharu dan cendana Sebab itu badan mereka tegap-tegap, sihat dan bidang. Jarang terdengar ada yang mati kerana berpenyakit, biasanya mati kerana sudah uzur sakit tua, paling kurang matinya kerana ke luar mencari rezeki untuk keluarga.

Waktu itu, tiada lagi orang bercakap seorang diri di tepi jalan (tiada lagi telefon tangan) kecuali orang yang hilang akalnya, perkumpulan mereka biasanya dengan berzanji, bermarhaban, pergi ke surau berjemaah, kenduri kendara terutamanya yang melibatkan urusan perkahwinan, kematian, hari lebaran dan sebagainya. Bukan apa, maklum sahaja, di zaman itu persaudaraanlah yang amat penting untuk mengukuhkan perpaduan, tidak perlulah rumah berpagar, yang menjadi kera sumbang hanyalah orang yang mementingkan diri, tidak bercampur dengan orang sekeliling. Yang jenis ini biasanya merekalah yang memulaukan diri sendiri. Tapi yang peliknya bila berlaku kesusahan, pada orang kampung jualah disuakan masalahnya itu , padahal pada masa senangnya bukan main sombong tidak bertegur sapa, dibuat halnya sendiri atas alasan ’tidak suka menjaga tepi kain orang’.

”Nenek dulu ramai jiran dan kawan-kawan, di sebelah rumah ada Cik Eton, Pak Rahmat duduk selang dua baris dari depan rumah, yang duduk berdekatan dengan pokok tembusu tuh si Bani, anaknya ada 2 iaitu Karim dan Senah, pendek kata tak menang mulut nak menjawab salam masa bertemu sebab semua orang kenal, bukankah dengan ucapan salam itu maka kasih sayang akan terjalin?..” kata perempuan tua itu dengan ceria.

Dia Seorang Perempuan Tua. Bab 1

Dia seorang perempuan tua, punya kekayaan keturunan, ramai anak cucunya, cicit dan piut. Hartanya di dunia adalah anak-anaknya itulah yang dipertalikan dengan darah dan daging. Masa tuanya dihabiskan dengan menziarahi setiap rumah-rumah mereka. Sunyi katanya, siapa tahu selepas ini dia sudah tiada lagi, biar dapat berjumpa anak dan cucu semua. Terhibur dia melihat gelagat cucu cicitnya yang masih kecil, terkadang bibirnya tidak berhenti mengomel, membebel marahkan mereka jika apa yang dirasanya itu adalah bahaya dan tidak betul pada pandangannya.

Bahasa tuanya adalah bahasa di dalam jiwa, luahan perasaannya adalah apa yang dirasa dari perjalanan hidupnya yang panjang. Kamus hidupnya selalu dibuka, dicerita kesusahan hidup masa lampau, ketika zaman jepun menyerang untuk tatapan anak cucunya tanpa rasa bosan walaupun apa yang dikatanya itu sudah berulang kali perkatakan. Ketika itu makannya ubi kayu, nasinya berlauk garam, minumnya, pakaian semuanya alar kadar.

Yang dikata orang perempuan, bila sahaja tentera jepun menceroboh, kalutlah ibu bapa mencarikannya tempat untuk perlindungan. Orang dahulu cerdik, untuk menyelamatkan nyawa anak-anak dara, dilumur arang ke muka mereka, supaya jadi hodoh dan buruk. Lalu dibawa lari jauh-jauh ke dalam hutan, tinggallah di sana seminggu dua sehingga semuanya aman seperti sediakala.

Di hati mereka ketika itu hanya ada Tuhan. Bukan mereka itu pengecut atau takut mati, ada daya mereka akan berusaha apa sahaja untuk mempertahankan maruah dan kehormatan keluarga, walaupun harta tergadai, walau jiwa melayang. Prinsip hidup mereka, Islam itu dijunjung, kehormatan itu dijaga. Jangan diinjak, diperlekehkan perkataan Islam di hadapan mereka, alamat berparanglah. Apa benarkah hati mereka tega melihat anak-anak gadis mereka dirogol di depan mata mereka? Anak perempuan mereka benar-benar dijaga umpama emas yang disimpan rapi di dalam bekasnya. Jika tidak takkan rasa malu dan tebal muka ibu ayah jika anak sudah pandai berbual dengan orang lelaki yang tidak dikenali, berbalas surat dan berjumpa berdua-duaan sehingga menjadi perbualan penduduk kampung. Tentu habis butir kemarahan disembur dan tali pinggang atau rotan ditarik, di sebat berkali2 ke tubuh anaknya. Bukan ia benci atau ingin membunuh, tetapi atas nama kehormatan itu jugalah, kerana rasa malu yang perlu dijaga, kerana sayang pada anaknya, tidak mahu anaknya jadi perempuan murahan. Setiap sebatan dijadikan ingatan untuk menjaga nama baik agama dan keluarga.