Selasa, 22 April 2008

Mereka Memilih Islam

Saya telah membaca buku Islam Pilihanku - Pengucapan Syahadah 39 Insan di Malaysia. Susunan : Mazuen Yahaya. Terbitan Karya Bestari Sdn Bhd.

Segala pujian bagi ALlah, seusai membacanya saya mendapati ada beberapa kelebihan yang ada pada saudara kita ini. Antaranya :

1. Mereka ikhlas memeluk agama Islam yang suci ini walaupun mendapat banyak cabaran dan tentangan dari keluarga sendiri. Bahkan juga terkadang cabaran datangnya dari orang Islam yang memberi tanggapan buruk kepada saudara kita ini dengan gelaran mualaf yang kadangkala seperti 'double standard'.

2. Bersungguh-sungguh di dalam mengkaji agama Islam dan amat berbangga dengannya. Ada yang membuat perbandingan dengan agama-agama lain sebelum memeluk Islam. Keinginan mereka untuk belajar dengan ustaz dan kawan-kawan menunjukkan semangat motivasi yang tinggi untuk menjadikan Islam sebagai satu cara hidup.

3.Masih tetap meneruskan hubungan dengan keluarga sendiri (walaupun bukan beragama Islam). Melayan kedua orang tua dengan baik, sehingga dapat menarik hati ahli keluarga yang lain untuk 'revert' (kembali) semula kepada agama fitrah iaitu Islam.

4. Mengamalkan ajaran Islam dengan penuh yakin dan istiqomah. Ada kalanya sebelum memeluk Islam lagi mereka telah belajar berpuasa, solat bersama-sama rakan-rakan Islam yang lain. Ikhlas memang di dalam hati tetapi telah ditunjukkan dengan perbuatan.

5. Menjadikan al Quran sebagai sumber motivasi, ALlah sebagai tempat pergantungan. Solat sebagai tempat untuk mengadu kepada ALlah.

AlhamduliLLah, saya mendoakan agar saudara semua yang memilih Islam sebagai panutan hidup agar terus berada di jalanNya ini. Tahniah diucapkan, tiadalah kemenangan yang terbesar melainkan apabila meletakkan iman kepada ALlah di dalam jiwa yang selama ini kekosongan.

Wahai saudaraku seIslam yang lain, kita semua disatukan dengan kalimah LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH. Berbantu-bantulah ke arah kebaikan dan ketaqwaan. Marilah kita nasihat menasihati ke arah kebaikan dengan cara yang terbaik dan berhikmah.

ALlahu..ALlah.. Semoga hati-hati kita semua disatukan kembali di bawah lembayung rahmat ALlah ini.

Firman ALLah :

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِينً۬ا‌ۚ

Ertinya : ...Pada Hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu kepada kamu. Dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu... (Surah Al Maidah ayat 3)

Tiada ulasan: