Rabu, 14 November 2007

Orang Kita - 3

Remaja kitakah itu, yang duduk di tepi-tepi jalan sambil memetik gitar irama ‘grunge’ di tengah-tengah malam, mengusik anak dara orang? Kita ketawa melihat orang lain terjatuh. Apa yang menggelikan hati sangat sampai kita terkekeh-kekeh menahan gelak ketawa? Orang yang jatuh bertambah sakit hatinya bercampur malu. Manusia , tak habis-habis menjatuhkan air muka orang lain, suka mencari kelemahan orang lain, tapi tak pernah menunding jari ke muka sendiri.

Orang kitalah yang gelap mata, bila nampak harta di depan berlonggokan. Yang sanggup menjual tanah, wangnya dijoli sana-sini. Lupa pula menyedekahkan pada yang faqir apatah lagi untuk ke tanah suci mengerjakan ibadah haji. Kitalah juga yang membuat bidalan, biar mati anak, jangan mati adat. Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tingal-tinggalkan.

Orang kita juga yang menghabiskan masa di taman-taman, di malam buta. Orang lain meyuntik ilmu, menghisab diri. Orang kita sibuk menghisap benda haram, menyuntik jarum ke badan sendiri. Yang selalu berkeliaran di tengah-tengah bandar, meminta simpati itu siapa? Orang kita juga. Badan sihat tapi tak reti untuk berdikari, mengemis sana-sini. Orang lain dah terbang ke bulan. Kita sibuk bermain dam, berangan-angan.

Orang kitakah yang senang terpengaruh dengan skim cepat kaya?, sanggup bergolok gadai kerana gula-gula disangka permata?, menangis hanya kerana menonton cerita dari India?. Muda mudi kita sibuk membotakkan kepala, kononnya ingin bebas merdeka. Yang perempuan sibuk mengecilkan dan menyingkatkan pakaian. Jangan dikata ajaran Islam, adat ketimuran pun mereka buang.

Orang kita jugakkan, yang dah jadi emak bapak sibuk dengan kerjaya . anak di rumah tunggang-langgang tanpa diberi kasih sayang. Duit diberi berlebihan setiap bulan. Tapi nak duduk bersama berbincang masalah dan masa hadapan anak-anak pun tak sampai 5 minit dah jadi tak keruan.

Tiada ulasan: