Selasa, 20 November 2007

Sa'id bin Jubair ditangkap tentera Hajjaj.

Kisah pembunuhan kejam yang mengorbankan beribu-ribu orang yang teguh beriman ini telah tersebar luas. Beribu-ribu orang berjaya menyelamatkan diri setelah mereka bersedia untuk mengakui kekufuran diri mereka.

Sa'id merasakan jika beliau dibawa ke hadapan al Hajjaj beliau terpaksa berhadapan dua pilihan, samada lehernya dipancung ataupun mengakui dirinya kufur. Kedua-dua pilihan itu begitu pahit untuk diterima. Oleh kerana itu, beliau memilih untuk melarikan diri dari Iraq dan menyembunyikan diri.

Beliau berpindah dari satu tempat ke satu tempat menyembunyikan diri daripada pengintip al Hajjaj sehinggalah beliau sampai ke sebuah kampung kecil di dalam kawasan Mekah. Dia menetap di sini selama sepuluh tahun. Masa yang sepatutnya cukup untuk meredakan api yang menyala di dada al Hajjaj dan melupakan segala hasad dengkinya.

Walau bagaimanapun apa yang bakal berlaku di luar jangkaannya. Ketika itu seorang gabenor Mekah yang baru telah dilantik daripada keluarga Bani Umaiyah iaitu Khalid bin AbduLlah al Qasri. Sahabat-sahabat Sa'id bin Jubair bimbang dengan keselamatannya kerana mereka menggenali sikap buruk gabenor baru ini, Mereka menjangka suatu yang buruk pasti akan dilakukannya.

Beberapa orang sahabat Sa'id datang menemuinya dan berkata :"Apabila lelaki ini datang ke Mekah, demi ALlah kami tidak yakin dengan keselamatanmu. Ikutlah nasihat kami, keluarlah dari kawasan ini."

"Demi ALlah, telah lama saya melarikan diri hingga saya merasa malu dengan ALlah. Saya sudah berazam untuk kekal di sini. Terserahlah segala-galanya kepada ALlah." Balas Sai'd bin Jubair.

Sangkaan orang ramai terhadap Khalid tepat sekali. Sebaik sahaja dia megetahui tempat tinggal Sai'd bin Jubair, dia terus menghantar tenteranya. Dia mengarahkan mereka supaya membawa Sa'id bin Jubair kepada al Hajjaj yang sedang berada di Wasit

Pasukan tentera pun menyerbu rumah Sa'id bin Jubair. Tangannya digari di hadapan mata para sahabatnya dan dibawa ke hadapan Khalid. Seterusnya, Khalid memerintahkan mereka supaya membawa Sa'id terus kepada al Hajjaj.

Sa'id bin Jubair menerima tindakan mereka ini dengan penuh tenang, Beliau sempat berpesan kepada sahabat-sahabatnya :"Saya sudah tentu akan dibunuh di hadapan orang yang zalim itu. Pernah suatu ketika saya dan dua orang sahabat saya beribadat pada suatu malam. Kami dapat rasakan betapa manisnya doa ketika itu. Kami memohon doa kepada ALlah. Kami tundukkan diri kami kepadaNya. Kami memohon agar ALlah menganugerahkan syahid kepada kami. ALlah telahpun menganugerahkan kepada dua orang sahabat saya tadi, Hanya tinggal saya yang sedang menunggu-nunggu masanya."

Sebaik sahaja selesai berucap, salah seorang anak perempuannya yang masih kecil datang kepadanya. dia kelihatan terpinga-pinga melihat ayahnya digari dan hendak dibawa pergi oleh tentera. Si kecil itu pun meluru dan memeluk ayahnya dan menangis sekuat-kuatnya.

"Anakku, katakan kepada ibumu, kita akan bertemu di syurga dengan izin ALlah." pujuk Said bin Jubair dengan lembutnya.

Itulah kata-kata terakhirnya kepada anaknya sebelum beliau dibawa pergi.

Tiada ulasan: