Ahad, 13 Januari 2008

Hijrah.. Apa yang Anda Faham?

Hijrah ertinya adalah perpindahan dari suatu tempat atau keadaan kepada tempat yang lain. Menurut sirah, hijrah merupakan satu perpindahan muhajirin dari Makkah ke Madinah.

Bermulanya kalendar Hijrah (1 Muharram) adalah direka oleh Saidina Umar r.a - menurut ahli sejarah. Berbeza dengan tahun Masehi iaitu sistem perkiraan bulanan dan tahunan menurut Barat atau dipanggil Kalendar Gregorian di mana setiap bulan itu mempunyai nama-nama Tuhan orang-orang Roma dan pertukaran harinya pada jam 12.00 pagi. Manakala Taqwim Hijrah berdasarkan kepada bulan-bulan Islam yang ditetapkan oleh ALlah disebut di dalam al Quran dan pertukaran harinya pula ditentukan dengan tenggelamnya matahari pada waktu maghrib dan juga berdasarkan hilal.

Hijrah bukan untuk mengenang sahaja sirah perjalanan rasuluLLah tanpa diambil pengajaran untuk dibuat cerminan diri.

Hijrah mengajar mengenai persaudaraan persahabatan di antara RasuluLlah dengan sahabatnya. Lihatlah bagaimana Saidina Ali r.a sanggup menggantikan tempat rasuluLLah dengan tidur di pembaringan baginda. Kisah bagaimana Saidina Abu Bakar yang sanggup untuk bersama rasuluLLah berhijrah, kakinya dipatuk dengan ular tanpa ia memekik, beliau menahan kesakitan sehinggalah air matanya menitis mengenai wajah rasuluLLah yang sedang tidur di ribanya barulah ia menceritakan kerusuhan hatinya.

Sungguh ketika gua thur dikepung oleh pemuda di kalangan kaum kafir musyrikin di Makkah, Abu Bakar berasa amat bimbang, kalau-kalau mereka akan menundukkan kepala dan akan terlihatlah kaki RasuluLlah dan dirinya. Tiadalah Abu Bakar risau keadaan dirinya melainkan takut rasuluLLah akan diapa-apakan. Lalu dibujuk oleh RasuluLLah dengan mengatakan " Wahai Abu Bakar, apa katamu bahawa di samping yang berdua itu ada yang ketiga iaitu ALlah! (Hadith ini dipersetujui ramai).

Hijrah bukan juga untuk dikenang melalui nasyid yang dinyanyikan saban tahun, tetapi juga mengingatkan kita ambil iktibar bahawa untuk menjadi pemimpin perlu mempunyai perancangan yang rapi, menyusun strategi agar perjalanan di masa hadapan berjalan dengan baik. Abu Bakar telah mengarahkan Amir bin Fuhairah (yang bekerja dengannya dengan mengembala kambing) membawa kambingnya ke gua thur untuk diperah susunya dan tapak kaki kambing yang dibawanya itu dapat memadamkan jejak langkah rasuluLlah dan Abu Bakar dari dihidu oleh musuh.

Dari hadith rasuluLLah s.a.w yang bererti:

"Dari Amir al Mu'minin Abu Hafs Umar al Khattab r.a katanya : Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada ALlah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada ALlah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.

Diriwayatkan hadith ini oleh 2 orang imam hadith iaitu Abu AbduLlah Muhammad Ibn Ismail ibn Ibrahim Al Mugirah Ibn Bardzibah al Bukhari dan Abu Al Hussain Muslim Ibn al Hajjaj Ibn Muslim al Qusyairi al Naisaburi.

Fitrah manusia, setiap orang mempunyai niat yang tersendiri, dan tentunya niat kerana ALlah itu lebih utama dari segala-galanya. Ada di kalangan kita yang membuat sesuatu perkara kerana dunia, kerana kepentingan sesuatu. Maka ia akan dapat sesuai dengan apa yang diniatkannya. Jika engkau mengejar keduniaan, maka dunialah yang akan engkau kecapi, tetapi jika kerana ALlah dan rasulNya maka dunia dan akhirat engkau perolehi serta keredhaan dari ALLah.

Hijrah sebagai motivasi untuk memajukan diri dari segi pemikiran, sikap, i'tiqod yang benar, hati, pada diri kita khususnya dan mengajak umat Islam umumnya.

Kengkadang saya terfikir - bila lagi kita hendak berhijrah ? Tunggu seru ? Atau ketika nafas ditenggorokan sebagaimana yang terjadi pada Firaun baru kita hendak berhijrah kepada kebaikan? - Yang jelasnya, samada kita ingin berhijrah atau tidak, masa semakin cepat berlalu...

Tiada ulasan: