Jumaat, 11 Januari 2008

Locus Of Control

Aku lulus peperiksaan sebab aku pandai
Aku tak mendapat pekerjaan kerana memang penemuduga tu tak pandai menilai orang
Yang bersalah bukan aku, tapi mereka tu yang tak betul!
Anak-anak aku tak salah, yang salah adalah guru

Bagaimana kita menilai sesuatu perkara yang berlaku pada diri ?

Di dalam teori yang disampaikan oleh Julian Rotter 1966. Dia menyatakan manusia mempunyai tempat pengawalan dalam diri yang disebut locus of control di mana manusia akan menilai sesuatu secara internally (dalaman) dan externally (luaran). Iaitu jika secara internal (dalaman) - maka manusia akan menilai sesuatu yang terhasil dari suatu keadaan kepada dirinya sendiri. Contohnya : Seorang pelajar yang mempunyai internal locus of control yang kuat - ia akan menyatakan bahawa dia cemerlang kerana usahanya sendiri yang bersungguh-sungguh. Manakala mereka yang mempunyai external locus of control yang kuat akan menilai secara luaran menyatakan - Aku lulus kerana bernasib baik, profesor itu yang menolong aku.

Sebagai orang yang beriman, di dalam al Quran sendiri menegaskan bahawa

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah Ar-Raa'd 13: 11)

Kita disuruh untuk mengubah diri kita dengan berusaha bersungguh-sungguh,Tidak disuruh menyalahkan taqdir. Kita tidak disuruh berterusan bersungut, merengus, menempelak apa yang sudah diiradahkan oleh ALlah.

(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu
kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah
kepunyaan ALlah dan kepada ALlah jugalah kami kembali.
Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai
kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan
mereka itulah yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 156 - 157).

Apa yang perlu ada pada diri kita, untuk berjaya, mengubah diri kepada yang lebih baik. Untuk memajukan diri, meningkatkan potensi dan keupayaan diri, kurangkan menyalahkan orang lain, alam sekeliling.

Biasanya yang terjadi kepada orang yang putus harapan, yang jiwanya lemah, akan mudah menyalahkan orang lain, mudah tunduk kepada keadaan. Dia mengharapkan orang lain memberikan nasihat tetapi di dalam masa yang sama dirinya tidak mahu berubah. Dan akhirnya terus duduk diam termenung, bersedih, memandang masa depan dengan cahaya yang kelam dan kabur.

Seseorang yang mempunyai internal locus of control yang kuat, tidak mudah mengaku kalah, apa jua kesilapan dan kegagalan tidak mudah dilemparkan kepada orang lain. Dia akan menunding kepada dirinya terlebih dahulu. ALlah adalah penguat kepada jiwanya. Dia berusaha untuk memperbaiki kegagalannya. Dia akan berkata "Ya, aku gagal mungkin kerana hubunganku dengan ALlah tidak kuat, aku tidak lebih bersungguh-sungguh, kegagalan bagiku sebenarnya adalah tapak untuk aku lebih berjaya, dan menjadikan aku lebih dewasa".

Dan begitulah jika kita mengambil iktibar dari teori Julian Rotter, sebenarnya pengendalian diri itu sudah lama dibayyinkan di dalam al Quran. Agar kita sentiasa bersungguh. Bahawa - kerosakan yang dibuat di alam ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri, bahawa penyebab kerosakan diri apabila dalam diri kita sendiri terlalu rapuh. Kita tidak mahu membinanya dari dalam. Kekuatan... benar memang akan hadir dengan sokongan kawan-kawan, dan alam sekeliling, tetapi bagaimana kita berubah, menanggapi sesuatu kesusahan datangnya dari diri kita sendiri.

Selamat berubah!

Tiada ulasan: