Selasa, 26 Februari 2008

Sahabat, bersabarlah dengan dugaan…

Sahabat, kenapa engkau menyendiri di sudut sana? Kulihat dahimu berkerut memikirkan nasib diri yang engkau hadapi. Terkadang air matamu seperti air sungai yang mengalir deras di pipimu, hatimu penuh dengan keluh kesah. Engkau memandang ujian yang dihadapi selama ini amat berat, benar-benar menghimpit dan menyesakkan dada. Engkau ingin bahagia seperti orang lain, ingin ketawa dan sentiasa tersenyum, bahkan terkadang iri hati melihat orang lain sentiasa sahaja bergembira.

Sesekali engkau menceritakan betapa malang untung nasibmu, ’selalu sahaja tersandung ketika berjalan’. Engkau menceritakan menjadi harapan pada dua hati ibu ayah yang ingin melihatkan kejayaan anaknya. Takut benar melihat mereka kecewa apatah lagi menitiskan air mata. Bagimu teguran mereka apatah lagi air mata merupakan satu dosa besar yang tidak dapat diampunkan buat dirimu. Engkau diajar untuk mengejar kesempurnaan dengan usaha, bagimu dengan berusaha pasti akan berjaya. Lalu engkau lupa bahawa natijah setiap sesuatu itu bukan ditangan manusia, tetapi Dia.

Sahabat, jiwamu terkadang memberontak. Engkau akan memarahi orang lain yang tidak mempunyai apa-apa dosa pada dirimu. Lalu menyalahkan keadaan dan benci dengan alam sekelilingmu, lalu bisikan-bisikan nafsu syaitan datang merayu, menghasut. Suka benar ia melihat manusia bersedih dengan kegagalan, suka benar ia melihat engkau berduka dan menyalahkan takdir. Jahat benar bisikan itu yang mengajak untuk memutuskan nyawamu dengan membunuh diri sebagai jalan mudah untuk penyelesai masalah.

Wahai sahabat, dengan hanya menangis, mengeluh, engkau tidak akan mendapat apa-apa. Hatimu akan dirundung pilu sepanjang masa, dan pada masa itu akal dan fizikalmu akan melemah. Bagaimana engkau akan membina masa depan semula jika fikiranmu selalu sahaja memikirkan tentang kelemahan dan kekurangan diri? Benar, memikirkan kekurangan diri itu perlu untuk membina keyakinan dan memperbaiki diri. Tetapi ia tidak akan dapat mengubah apa-apa hanya dengan air mata.

Sahabat, Tuhan telah memberitahu kita, bahawa setiap kesusahan itu diikuti dengan kemudahan. Setiap ujian dan kegagalan hidup itu ada jalan keluarnya bagi orang yang bertaqwa.

Lupakah engkau dengan qada’ dan qadar Tuhan? Sahabat, hidup ini adalah amanah yang bukan milikmu sahaja.Ada perkaitan dengan Tuhan, manusia dan makhluk Allah yang lain. Bukanlah satu kegagalan di dalam hidup jika engkau kesandung pada kali ini, malahan jika ia datang berkali-kali di dalam hidup.

Tidakkah engkau melihat bagaimana burung yang tidak berakal itu pada paginya tidak mempunyai apa-apa, sepulang sahaja pada petangnya ia membawa makanan. Dari mana ia mendapatkan rezeki itu jika tidak ia berusaha dan yakin untuk mencarinya? Bahawa beburung yang berterbangan itu tidak ada yang menahannya kecuali Allah.

Lihat sahaja wahai sahabat, semut yang menangung beban gula 2 kali ganda berat badannya tetap juga diusungnya dengan gigih dan sabar. Sesekali rezeki itu hilang entah kerana ada gangguan di jalanan, terlepas lagi makanan untuk rakyatnya. Tidak pula ia berundur dengan tangan kosong sahaja. Tetap juga ia bertasbih dan bertahmid kepada Allah tanda syukur. Pernahkah kita melihat semut ini membunuh dirinya sendiri hanya kerana ia gagal mendapatkan makanan? SubhanaLlah! Alangkah hebatnya Allah menjadikan binatang sekecil itu untuk dijadikan perbandingan kepada manusia.

Jangan pula engkau berani membuat hukuman buat dirimu sendiri padahal ia bukan hakmu untuk berbuat demikian. Sekali lagi kukatakan bahawa nyawa, jasad, rerambut, kuku malahan kulit ini bukanlah milik kita. Tidak mampu kita untuk memberi alasan apa di hadapan Tuhan di hari perhitungan nanti... belajarlah untuk menjadi seorang yang redha dan syukur di atas taqdirNya.

Sungguh Allah Maha Tahu mengapa Dia memberikan ujian kegagalan dan dugaan kepada kita. Terkadang dengan kejayaan boleh melalaikan kita untuk ingat kepadaNya, berapa ramai yang menjadi takbur dengan kejayaan, dengan kekayaan seperti fir’aun yang bongkak dan mengaku dirinya Tuhan!! Allah memerintah Iblis untuk sujud (hormat) kepada Adam, tetapi ia congkak dengan kehebatan kejadian dirinya dari api dan Adam itu dari tanah. Sekurang-kurangnya jika engkau hilang segalanya dalam hidup, tetapi masih ada cahaya di dalam hati iaitu iman kepada Allah. Dikala itu, di hadapan Tuhan nanti, masih ada jawapan yang kukuh untuk engkau berikan agar selamat dari seksaan neraka....

Allah membuat gedung bagi para pencintaNya, lotengnya adalah susah dan gundah sedangkan mudharat adalah tiangya, Allah masukkah mereka ke dalamnya dan mengunci pintunya. Dia katakan pada mereka : Sabar itu kunci pintunya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SubhanaLlah..sedap sangat kata-kata ni..sebak rasa..=(