Rabu, 13 Februari 2008

Zaman yang bersalah atau akukah yang bersalah ?

Zaman ini selalu diuar-uarkan dengan ucapan kejarlah kemajuan, bukan kemunduran, bukalah mata dan minda. Apa sahaja yang menghalang kemajuan perlu dibanteras, fikirlah secara terbuka. Bukalah seluas-luasnya batas pergaulan untuk maju. Zaman ini adalah hak kesamarataan lelaki dan perempuan, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.Hidup maju disandarkan juga kepada perubahan cara berfikir, bertindak, material dan segala kemajuan teknologinya. Tetapi sayangnya, acuan kemajuan itu tetap juga ditiru dan diambil dari tempat pembuangan sampah hasil dari ideologi yang telah hancur peradabannya.

Lalu acuan ini disebarluaskan tanpa diperhati dan diselidiki apa buruk baiknya.

Seringkalilah ada sahaja butir bicara, luahan tentang kekejaman zaman. setiap zaman yang dilalui itu adalah yang terburuk, zaman ini sungguh kejam, tidak ada perikemanusiaan, ramai sudah manusia yang terkorban akibat zaman.

Zaman ini bertuankan emas, zaman ini memandang kepada wang, siapa yang miskin akan terkorban, siapa yang kaya akan bahagia. Entah tuan, berapa ramai pula orang kaya yang menjeruk hati, dan terseksa di dalam sangkar mahligainya. Hartanya penuh memenuhi bank, perabotnya diimpot dari luar negara.Kenderaan bersusun teratur bahkan terkadang hingga berhabuk sebab terpaksa mengikut giliran, untuk berkelah, ke tempat kerja, ke rumah saudara, ke majlis-majlis formal. Tetapi jiwanya kosong, menjadi korban karenah isteri dan anak-anak. Semakin bertambahla kerut di dahi kerana terlalu memikir nasib diri...

Zaman ini bukanlah pelik, apabila hidup menyepi diri dari hiruk pikuk kota membawa ketenangan. Mungkin setelah dicapai kepuasan di dalam hidup walaupun kaya, tempat kembalinya adalah pondok-pondok pengajian agama, ataupun rumah-rumah yang terpencil di desa. Alangkah seksanya jiwa bila tiada kebahagiaan...

Zaman ini banyak memakan korban, di sana sini ada sahaja yang mati, setiap hari ada sahaja yang putus nafas. Tidak kira yang segar bugar, yang sempurna anggotanya, yang tidak ada punca sakitnya. Manalah tahu, ketika berjumpa disambut dengan kafan, disapa dengan tangisan dan ucapan takziah dari rakan taulan. Hebatnya Allah... rupanya di dalam bergelumang kenikmatan hidup ia boleh hilang pada bila-bila masa.

ZAman ini penuh penderitaan, ada kisah derita iman yang menanggung beban saban waktu dosa mengguris kesucian yang telah lama dipelihara sebaik-baiknya. Keliru untuk menegur atau membiarkan, walau di dalam hati dan fikiran berperang dengan ajaran dosa pahala yang telah lama sebati di dalam diri. Layakkah mereka dibiarkan berterusan dengan kejahilan? atau dibiarkan terus untuk merasai kelazatan? dan akhirnya diri beralasan dengan selemah-lemah iman....

Zaman ini penuh kepalsuan, antara apa yang ditonjolkan dan yang disembunyikan. Antara yang dihiaskan cantik dengan hakikatnya yang hodoh, antara lakonan yang dilakonkan dengan realiti kehidupan.

Zaman ini... di manakah keberkatan... di setiap masa yang berlalu, setiap makanan yang disuap, ilmu yang dilahap... Zamankah yang bersalah.. atau akukah yang bersalah...

Tiada ulasan: