Khamis, 13 November 2008

Antara Nasihat Hasan al Basri

Al Hasan al Basri hidup selama 80 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau berjaya mengisi dunia ini dengan limpahan ilmunya, hikmahnya dan ilmu fikahnya. Warisan yang ditinggalkan untuk generasi seterusnya ialah kata-kata nasihatnya yang begitu menyentuh hati hingga ke hari ini.

Bimbingan nasihatnya masih segar dan sentiasa menggegarkan hati manusia sehingga menyebabkan mereka menitiskan air mata. Nasihat-nasihat ini juga membimbing mereka yang sesat ke jalan yang lurus. Mereka yang hanyut dan leka dengan hakikat dunia akan tersedar apabila mendengar bimbingan-bimbingan ini. Mereka akan disedarkan tentang sikap manusia sebenar terhadap dunia ini.

Antaranya nasihat yang diberikan kepada seorang yang bertanya mengenai dunia ini :

"Engkau bertanya tentang dunia dan akhirat. Dunia dan akhirat ini ibarat timur dengan barat. Setiap kali engkau cuba menghampiri ke satu arah, engkau akan menjauhi arah yang satu lagi."

"Engkau meminta saya supaya memberikan gambaran tentang dunia ini. Bagaimana mungkin saya dapat gambarkan tentang suatu dunia yang bermula dengan kepayahan dan berakhir dengan kehancuran. Perkara yang dihalalkan di sini akan dihitung jika kita mengerjakannya. Manakala perkara yang diharamkan pula akan menyebabkan kita diazab. Orang yang tidak mencari kesenangan akan diuji. Orang yang mencari kesenangannya pula akan menyesal."


Dalam nasihat lain, ketika seorang bertanya tentang dirinya dan manusia-manusia lain, jawabnya :

"Celakalah kita! Apakah yang telah kita lakukan dengan diri kita sendiri. Kita telah kuruskan agama kita, sebaliknya kita gemukkan dunia kita. Kita tidak pernah memperbaharui akhlak kita. Sebaliknya kita sentiasa memperbaharui kain dan pakaian kita. Kita masih mampu tidur walaupun kita makan dengan wang yang haram. Makanan yang kita makan, kita rampas daripada orang lain. Layanan yang kita terima , kita minta secara paksa. Makanan kita bertukar ganti daripada manis kepada masam, panas kepada sejuk, kering kepada basah. Apabila sendawa kekenyangan kita akan berkata: "Hai budak, bawakan ke sini pencuci makanan mulut buat menghadam makanan."

"Alangkah bodohnya, apa yang hadam sebenarnya ialah agamamu. Di manakah jiranmu yang memerlukan bantuanmu? Di manakah anak yatim yang sedang kelaparan? Di manakah orang miskin yang sentiasa memerhatikanmu? Di manakah amanah ALLah padamu?"

"Mudah-mudahan engkau sedar bahawa engkau sekadar menghitung hari. Setiap kali matahari terbenam bermakna satu hari telah hilang daripada kiraanmu. Itu juga bermakna sebahagian hidupmu juga telah hilang."

*****

Pada malam Jumaat di awal bulan Rejab tahun ke 110, al Hasan al Basri menyahut panggilan Tuhannya. Sesudah Subuh apabila orang ramai menerima khabar kematiannya, gempar seluruh bumi Basrah. Jenazahnya dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan selepas sembahyang Jumaat di masjid yang menjadi tempat beliau menghabiskan usianya belajar dan mengajar serta mengajak manusia menuju ALlah.

Selepas itu, seluruh penduduk Basrah mengiringi jenazahnya. Malahan pada hari itu sembahyang Asar berjemaah tidak didirikan di Masjid Basrah kerana tiada seorangpun yang masih tinggal untuk mendirikannya.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah semenjak Masjid Basrah dibina, sembahyang berjemaah tidak didirikan di situ kecuali pada hari itu. Pada hari ketika al Hasan al Basri pergi menemui Tuhannya.

Rabu, 12 November 2008

Peringatan Ulamak Islam Tentang Golongan Pemecah Belah II

Sesungguhnya benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh ahli hikmah bahawa penawar boleh menjadi racun jika disalahgunakan atau jatuh ke tangan orang yang tidak ahli dalam menggunakannya. Demikianlah halnya apa yang berlaku ada hadith yang menyeru berpegang dengan Sunnah dan menjauhkan Bid'ah.

Pada Hakikatnya bertujuan memelihara kemurnian ajaran Islam dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam. Namun terdapat pihak yang mengunakannya untuk membid'ahkan amalan sebahagian besar umat Islam yang sebahagiannya merupakan pendapat Jumhur Ulama dan yang lainnya adalah masalah khilafiyyah di kalangan para Fuqaha'. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan dan fitnah di kalangan masyarakat Islam di mana sahaja penyakit ini merebak.

Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim ketika menggambarkan kesan yang ditinggalkan oleh kegiatan golongan ini terhadap keharmonian masyarakat Islam di Mesir dalam bukunya "al-Salafiyyah al-Mu'assarah" menulis :

"Kita sekarang berhadapan dengan satu gelombang taufan melanda secara membuta tuli, dengan pelbagai dakwaan dan dakyah yang memaklumkan sebahagian besar umat Islam terkeluar daripada agama ALlah... kerana mereka tidak mengikut dan berpegang dengan pendapat yang dipegang oleh golongan berkenaan... hingga memporak perandakan keluarga.. anak menuduh bapanya kufur dan syirik, anak perempuan menderhaka kepada bapa dan menganggapnya ahli bid'ah dan fasik. Ada juga berlaku wanita kahwin dengan lelaki lain tanpa penceraian yang sah dengan suaminya berasaskan anggapan bahawa perkahwinan dengan suami pertamanya tidak sah kerana dia seorang yang kafir..."

Demikian besarnya fitnah yang ditimbulkan oleh penyalah gunaan tafsir nas-nas syarak tanpa berpandukan huraian oleh ulama muktabar. Hal ini memang telah diberikan peringatan oleh RasuluLlah s.a.w dalam sebuat hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi maksudnya:

"Sesiapa yang mentafsir al Quran tanpa ilmu maka bersedialah menduduki tempatnya di dalam neraka."

Sumber : Kata Pengantar Mufti Wilayah Persekutuan Dato' Wan Zahidi Bin Wan Teh, Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi, al-Sheikh al-Hafiz al-Fadl Abu Al Fadl AbduLLah al-Siddiq al-Ghumari, Middle East Global ,2003, Selangor

Peringatan Ulamak Islam Tentang Golongan Pemecah Belah

Kitab ini merupakan risalah kecil yang ditulis dengan tujuan untuk menjelaskan pelbagai pemahaman. Ia terdiri dari kumpulan 100 pertanyaan yang telah meresahkan pemikiran khalayak ramai pada abad ke 14 Hijrah. Baik sengaja mahupun secara tidak sengaja. Kes-kes tersebut terus muncul sehingga menjadi kayu ukur untuk mengelompokkan kaum muslimin dan memecah belahkan mereka ke dalam pelbagai golongan.

Pada sebahagian golongan, persoalan-persoalan tersebut digembar-gemburkan sebagai perkara qot’ie yang tidak boleh ada perbezaan pendapat di dalamnya. Mereka ini berkeyakinan pendapat yang benar hanyalah pendapat mereka.

Sementara orang yang berpendapat di luar apa yang mereka katakan adalah orang yang keluar dari agama, fasiq, menyumpang atau sekurang-kurangnya tidak komitmen (taat) serta cenderung kepada memudahkan masalah. Ramai yang dituduh tidak mencintai RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam, berhati keras dan kepada batu seperti orang-orang Arab Badwi di masa lalu yang keras dan kasar. Malahan lebih daripada itu banyak yang dituduh munafiq, zindiq, dan musyrik.

Akhirnya kaum Muslimin pun memeraskan seluruh tenaga dan pemikirannya dengan persoalan-persoalan ini. Walaupun pada hakikatnya ia termasuk dalam lingkungan perbezaan pendapat serta setiap mazhab dan aliran mempunyai dalilnya masing-masing. Walau bagaimanapun jumlah masalah-masalahyang disepakati jauh lebih banyak daripada yang dipersilisihkan.

Jika dihitung masalah-masalah feqah yang berasal dari ulama’ terdahulu dengan segala bentuknya, terdapat lebih daripada sejuta masalah. Apabila dihitung peratusan perbezaan pendapat maka rasionalnya tidak lebih daripada satu masalah pada setiap 10,000 masalah. Jadi apakah logic (masuk akal) dan dapat diterima bahawa kita sepakat di dalam 10,000 masalah, lalu apabila kita berbeza pendapat, setiap daripada kalangan kita menyerang dengan ungkapan yang tajam terhadap temannya? Sehingga hal itu menjadi suatu jihad tanpa peperangan. Hal seperti ini jelas hanya menggambarkan kekosongan fikiran, malahan rendahnya penguasaan ilmu feqh dan pemahaman terhadap agama secara keseluruhan.

Sumber : Al Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, “Penjelasan Terhadap Masalah-masalah Khilafiah”. Prof Dr Ali Jum’ah, 2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

Selasa, 11 November 2008

ALlah Maha Mendengar dan Maha Melihat (Sifat Sama' dan Basar)


Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat (sama’ dan Basar)

Sama’ = ertinya mendengar

Basar = ertinya melihat.

Sifat sama’ dan basar ialah sifat yang qadim lagi azali berdiri pada zat Allah ta’ala. Dengan sifat ini, Allah mendengar tanpa telinga dan melihat tanpa mata dengan jelas dan nyata segala yang ada.

Tidak ada yang dapat menghalang pendengaran penglihatan ALLah ta’ala, tidak ada batasan jauh atau dekat pendengaran dan penglihatan dan tidak ditentukan bunyi atau objek dan tidak ditentukan oleh cuaca terang atau gelap.

Semuanya dapat dilihat dan didengar oleh ALah ta’ala.

Manusia juga dapat mendengar dan melihat, tetapi pendengaran dan penglihatan manusia ditentukan oleh berbagai-bagai alat bantuan dan terbatas.

Perbezaan pendengaran dan penglihatan di antara Allah dan manusia :

Pendengaran dan Penglihatan ALLah :

  1. tidak dengan telinga dan mata
  2. tidak dengan suara atau objek
  3. tanpa halangan
  4. tanpa batasan
  5. tidak terpengaruh dengan keadaan dan suasana
  6. tanpa alat Bantu.

Pendengaran dan Penglihatan manusia :

  1. dengan telinga dan mata
  2. dengan suara dan objek
  3. ada halangan
  4. ada batasan
  5. dipengaruhi oleh keadaan dan suasana
  6. memerlukan alat bantu

Dalil Naqli :

Firman Allah yang bererti :

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat (Surah al Haj : 61)

Mengapa Mereka dan Bukan Kita?


Umat Islam perlu bersatu, dengan kesatuanlah maka kita akan menjadi kuat terutamanya di dalam menghadapi musuh yang tersembunyi dan yang nyata. Melalui perasaan kasih sayang antara satu dengan yang lain, saling teguh meneguhkan, kuat menguatkan dan damai mendamaikan.

Firman ALlah yang bererti :

“Dan bertolong-tolonglah kamu atas tujuan kebaikan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Maidah ayat 2)


Umat Islam perlu ada disiplin, tanpa disiplin seseorang akan menemui kegagalan dan tidak teratur hidupnya. Perancangan pula amatlah penting . Orang yang berjaya tidak akan memikulkan masalahnya kepada orang lain untuk diselesaikan. Manakala perancangannya bukan hanya untuk hari ini tetapi juga ia akan memikirkan 'Apa yang ingin Aku capai pada 4,5 tahun akandatang dan matlamat di akhirat nanti'.

Dalam konteks Umat Islam di Malaysia, perlu juga kita bertanya, mengapa kebanyakan orang tua dahulu tidak belajar tinggi. Tetapi hidup mereka mempunyai matlamat yang jelas. Mampu untuk membesarkan anak-anak hingga menjadi manusia yang berjaya. Dalam sudut agama, walaupun pendidikan agama mereka tidak setinggi mana, tetapi dengan melalui pendidikan agama yang tidak formal. Mereka dapat menghayati kehidupan beragama lebih baik dari apa yang kita fahami hari ini. Rukun dan damai dan mati dalam keadaan tenang.

Orang tua dahulu suka mengamalkan zikir,dekat dengan ALlah, rajin bekerja keras dan begitulah berkat hidup menjadikan mereka kuat,redha dengan takdir (tanpa melupakan usaha). Lihat sahaja di hari tuanya, di kelilingi dengan anak-anak yang membesar dan mempunyai jawatan yang besar, bahagia dan ceria.

Ingat lagi Peristiwa Natrah? Ketika itu orang Islam bersatu untuk menyelamatkan aqidah seorang wanita yang bernama Natrah. Ada yang gugur mati syahid. Manakala ada yang ditangkap dan dipenjarakan. Semak juga sejarah sebelum kemerdekaan Malaysia sendiri. Perjuangan ulamak Islam dahulu dalam menentang penjajah Portugis, British. Seperti Dato' Sagor, Tok Janggut, Haji AbdulRahman Limbong dan ramai lagi. Mengapa berlainan pula dengan keadaan sekarang?

Di zaman ini kita disibukkan untuk berbicara soal furu'iyyah (cabang). Kita telah diwajibkan untuk mengkaji setiap dalil yang bukan menjadi kewajipan kita untuk mengkaji setiap satu perkara, sehingga banyak perkara yang lebih utama diabaikan.

Sedangkan kewajiban untuk mengetahui tentang dalil dan mengistinbath hukum adalah tanggungjawab mereka yang berkelayakan untuk mengkajinya iaitu para Ulamak. Bahkan ada pula suara-suara yang telah menobatkan diri mereka sebagai pengikut al Quran dan Sunnah, menggelarkan diri mereka sebagai pengikut Salaf (hakikatnya akhlaq dan manhaj jauh dari salaf) tetapi dalam masa yang sama menghina dan melekehkan pendapat ulamak muktabar yang tidak sependapat dengan mereka. Bahkan mudah benar pada jari jemari mereka mengatakan orang ini akan masuk neraka, sesat aqidah tanpa hak walaupun telah diberikan hujjah dan dalil dari alQuran dan Hadith melalui para ulamak yang arif mengenainya.

Melalui Sejarah, kita belajar tentang kesatuan, toleransi, kekuatan aqidah dan ukhuwwah. Di zaman ini, banyak pula perpecahan telah berlaku. Dari sudut politik, ekonomi yang selalu berbaur dengan hasad dengki, sistem pendidikan yang dipisahkan dengan agama. Dalam diam, diri kita telah ditanamkan dengan perasaan benci, menyalahkan antara satu dengan yang lain, mengganggap diri dan pendapat kita lebih maksum dan betul. Lalu apa yang terjadi pada generasi yang akandatang?

Ironinya, di zaman ini :

Dalam Bidang Agama

1. Ada golongan yang mengatakan diri mereka peneguh sunnah dalam masa yang sama menghina sunnah dengan menjatuhkan hukuman sesat sesuka hati .

2. Menuduh ulamak yang lain tidak maksum, dalam masa yang sama ulamak yang mereka pergunakan untuk menguatkan dalil-dalil dan hujjah tidak boleh dikritik pendapatnya dan pasti benar.

3. Menuduh orang lain sebagai fanatik mazhab, taksub dengan pendapat mereka sendiri. Tetapi diri mereka tidak mengapa untuk taksub dengan ulamak, fanatik dengan golongan sendiri sehinggalah telah menjamin golongan mereka adalah yang paling layak masuk ke syurga.

4. Menuduh orang lain bertaqlid, tetapi mereka sendiri taqlid dengan ulamak mereka bahkan dengan sekeras-kerasnya mengajak orang agar mengikut dan bertaqlid dengan pendapat yang mereka keluarkan.

5. Melarang orang lain mengikut mazhab, tetapi mereka sendiri telah membuat mazhab sendiri dan fanatik buta terhadapnya.

6. Mengatakan Islam itu mudah, tetapi hakikatnya mereka mempermudah-mudahkan agama.

Dalam Bidang Ekonomi :

1. Kita mengajak agar bangkit di dalam bidang ekonomi, tetapi dalam masa yang sama penyakit hasad dengki, cantas mencantas tetap berlaku. Amalan ilmu hitam tetap dijadikan sandaran untuk melariskan perniagaan dan untung sendiri.

2. Kita ingin melihat adanya keseimbangan dan suburnya peniaga Islam yang berdaya saing. Tetapi dalam masa yang sama, ada di antara mereka yang lebih kaya serta mempunyai lesen yang besar telah memonopoli peruntukan yang diberikan kepada peniaga kecil.

3. Kita ingin memperkasakan perniagaan HALAL, tetapi siapa sebenarnya 'juara' di sebalik logo HALAL?

4. Kita ingin umat Islam kuat dalam ekonomi, tetapi berapa ramai yang mengutamakan barangan buatan orang Islam?

Dalam Bidang Pendidikan :

1. Kita ingin menjadikan pendidikan kita bertaraf dunia, tetapi dalam masa yang sama sanggup mengorbankan identiti sebuah negara bangsa dengan menyadur sistem pendidikan dari negara lain yang korup dan tidak sesuai dengan budaya, cara pemikiran kita sendiri.

2. Setiap individu Islam khususnya telah diterapkan dengan konsep modal insan, 'towering personality'. Dalam masa yang sama, pendidikan Islam tidak diintegrasikan dengan matapelajaran di sekolah-sekolah. Pendidikan melalui hukuman serta disesuaikan dengan kaedah kaunseling tidak diaplikasikan. Malahan hukuman dianggap sebagai satu kaedah kuno yang perlu dibuang. Sedangkan dalam sunnah, RasuluLlah mengajar kita menggunakannya untuk mendidik (dengan cara yang betul).

3. Sekolah Agama, pendidikan Agama amat penting di dalam melentur personaliti, akhlaq, cara berfikir tetapi dalam masa yang sama, ada yang menganggap sekolah agama adalah pendidikan kelas kedua. Akademik lebih dipentingkan dari belajar agama sehinggalah ada istilah 'TIDAK MENGAPA' tidak sekolah atau ponteng sekolah agama asalkan datang sekolah kebangsaan.

Dalam Bidang Sosial

1. Ada kaum yang mengatakan diri mereka tertindas, ada berlakunya ketidakadilan dalam struktur ekonomi, pendidikan. Tetapi dalam masa yang sama, mereka sendiri boleh pula menyebarluaskan jurang tersebut apabila berhadapan dengan kaum lain? Sikap perkauman memang sudah lama berlaku di dalam syarikat, kilang, atau peruncitan dan juga dalam pendidikan. Apabila membabitkan kenaikan gaji, maka kaum merekalah yang lebih diutamakan walaupun baru bekerja sebulan dua, sedangkan ada pekerja yang lebih mahir dan berkelayakan, pengalaman yang lebih luas tidak menerima keistimewaan yang sama.

Dalam Bidang Politik

1. Kita berdegar-degar ingin menyatukan orang Islam di dalam sebuah parti, tetapi sekiranya di dalam parti tersebut ada api dalam sekam, mereka yang suka menghukum orang lain sesat, fahaman syiah radikal, anti hadith. Bagaimana kita akan dapat mencapai objektif sebagaimana yang diinginkan?

2. Kita selalu mengatakan tentang kesatuan dengan motto yang pelbagai. Tetapi hakikatnya di dalam parti itu sendiri pecah belah, jatuh menjatuhkan, rasuah dan sebagainya.


Antara Kita dan Mereka (Bukan Islam)

Mengapa bukan kita yang dapat menunjukkan bahawa umat inilah yang perlu dijadikan contoh tauladan kepada umat lain agar akhirnya mereka juga dalam diIslamkan secara tidak langsung?

Mengapa kita sendiri tidak berbangga dengan jenama Islam yang dibawa ke mana-mana samada dari sudut aqidah, syariat dan akhlaq sehingga menjadikannya sebagai satu cara hidup?

Mengapa bukan kita yang menjuarai dalam merekacipta perkara yang baik seperti dalam bidang pembuatan pakaian, komputer, kenderaan, filem, sistem pendidikan, pemakanan dan sebagainya? (selagi tidak bercanggah dengan al Quran dan Sunnah)

Mengapa bukan kita mengutamakan perkara yang lebih utama untuk diperhatikan dan mencari jalan untuk menyelesaikan? Selain dari menjadi orang yang mengelirukan, memecahbelahkan kesatuan.

Kita telah jauh kebelakang dengan menyibukkan diri perkara yang menghancurkan kesatuan umat Islam. Mereka yang bukan Islam pula telah jauh kehadapan dan sekarang ini ada yang sedang mentertawakan kita yang baru hendak bangun kemudian 'dijatuhkan' semula oleh saudara-saudara kita sendiri.