Ahad, 31 Ogos 2008

ALlah Berkehendak (Iradah)

Iradah ertinya berkehendak, berkemahuan, berkeinginan.

Sifat iradah suatu sifat yang qadim lagi azali yang berdiri pada zat ALlah ta'ala. Dengan sifat ini ALlah ta'ala menghendaki pada menentukan segala yang mumkin (sesuatu yang mungkin ada atau tiada, yang hidup atau mati) .

ALlah yang menghendaki samada telah berlaku sedang berlaku atau akan berlaku. Jelasnya iradah adalah kemahuan untuk menentukan sesuatu perkara.

Manakala Qudrah (kuasa) yang menentukan iradah (kehendak atau kemahuan) berlaku atau terjadi.

Manusia juga mempunyai kehendak (kemahuan dan keinginan), namun tidak semua kehendak tercapai. Hanya apabila kehendak itu diizinkan ALlah dengan iradah-Nya barulah kehendak manusia itu menjadi kenyataan.

Dalil naqli :

وَرَبُّكَ يَخۡلُقُ مَا يَشَآءُ وَيَخۡتَارُ‌ۗ

Ertinya : Dan Tuhanmu menjadikan apa yang ia mahu dan yang ia kehendaki (Surah al Qasas : 68)

Sabtu, 30 Ogos 2008

Sengaja Aku Puasa di Bulan Ramadhan Tahun ini Kerana ALlah Ta'ala

Semakin hampir saat itu tiba, setelah hampir setahun menunggu kedatangannya. Para sahabat di zaman RasuluLLah selalu merindui ketibaan bulan yang penuh dengan pengampunan ini. Ketika ini, umat Islam dimerdekakan dari gangguan Iblis dan tentera-tenteranya yang diikat untuk memberi peluang agar ibadah dapat dilakukan dengan baik dan bersungguh-sungguh lagi. Pintu-pintu syurga telahpun dibuka, manakala pintu-pintu neraka telah ditutup dengan rapi.

"Hai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepadamu mengerjakan puasa, sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang terdahulu dari kamu, supaya kamu terpelihara dari kejahatan." (surah Al Baqarah: 183)

Ramadhan ini... ALlah menurunkan al Quran melalui Jibril untuk disampaikan kepada kekasih-Nya di Gua Hira'. Pengisiannya yang mengandungi pelbagai hikmah di samping perlantikan sebagai pesuruh ALlah kepada seisi alam ini.

Ramadhan ini.. terdapat malam yang penuh dengan rahmat dan barokah, lebih baik dari seribu bulan. Didirikan di setiap malam yang akan berlalu dengan solat Terawih sehingga ke akhirnya.

Ramadhan ini.. belajarlah untuk menahan diri dari perkara yang mendatangkan kemurkaan ALlah hingga menyebabkan berkurangnya pahala puasa atau menjadikan puasa sia-sia.

Ramadhan ini... berlakunya peristiwa perang badar al kubra sebagai bukti ketulenan iman umat Islam ketika itu, yang sanggup mengibarkan panji Islam tanpa rasa ragu dan gentar walaupun dengan kuantiti yang mustahil pada pandangan akal. Tetapi tiada yang mustahil bagi ALlah.

Ramadhan ini.. didiklah diri dengan perasaan ihsan dan kasih sayang kepada orang yang memerlukan. Moga dengan kejernihan hati dapat mengurangkan kesedihan mereka yang faqir miskin dan suka untuk menolong mereka dengan bersedekah.

Ramadhan ini.. peliharalah segenap pancaindera dari perkara yang haram. Bukankah ALlah sudah membantu?

Zaman ini, kedatangannya tetap ditunggu dengan pelbagai perasaan yang hadir. Mungkin kerana taraf iman yang tidak sama, ada orang yang mendahulukan Syawal dari Ramadhan. Belum pun tiba saat kemenangan, sudah ada yang dilekakan dengan keduniaan. Mata senang dengan kemewahan yang bukan menjadi keperluan sehingga terpaksa berhutang. Sedangkan jiwa mati tidak diberi dengan makanan..

Selamat datang wahai bulan yang dimuliakan ALlah, bulan yang penuh maghfirah dan barokah.. Semoga semakin bertambahlah iman dan amal hendaknya..Amiinnn

"Barangsiapa yang mengerjakan puasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan kepada Allah dan benar-benar mengharapkan keampunan, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Khamis, 28 Ogos 2008

Kaya Maklumat, Tetapi Tapislah..

"Senang je nak tahu jawapan, carik je dalam google search nanti adalah tu.."

Internet - dunia tanpa sempadan yang tiada batasan dalam hubungan antara yang dekat dan yang jauh. Begitulah juga dengan apa sahaja yang dipanggil sebagai maklumat.

Di sini anda mudah hendak mencari apa sahaja isu terkini yang tidak terbilang jumlahnya. Banyak perkara yang boleh disimpan, diterima, diluahkan dan dibuang.

Kemungkinan - anda akan berhadapan dengan maklumat yang palsu, yang memberikan provokasi, yang menarik minat, yang merayu, yang memberi kesedaran, dan ada kalanya juga boleh memberikan kesusahan serta kemusnahan sekiranya tiada alat penapis iaitu ILMU PENGETAHUAN DAN IMAN.

Di dalam Internet ini, sekiranya saya memerlukan jawapan dari persoalan agama saya akan memastikannya ia tidak lari dari mazhab syafie dan asya'irah sebagaimana yang telah dipersetujui oleh majoriti ulamak ahlu sunnah wal jama'ah. Oleh itu, apapun persoalan agama yang didahulukan adalah dari mazhab syafie dan sekiranya ada situasi yang tidak dapat dielakkan maka barulah melihat kepada mazhab lain pula. Begitulah dari soal aqidah, saya mengikut pendapat khalaf yang salaf. Iaitu dari aliran asya'irah. Sebab saya yakin dengan pasti ia adalah aqidah ahlu sunnah wal jama'ah sebagaimana yang telah dipelajari sejak dari sekolah agama dahulu. Semuanya ada disertakan dalil dan hujjah dari al Quran dan Hadith serta syarah dan pandangan dari ulamak muktabar.

Di Malaysia ini umumnya mufti di seluruh negara adalah mengikut mazhab syafie dan aliran asya'irah (kecuali mufti perlis). Saya percaya mengikut ijmak ulamak dan majoriti muslimin adalah wajib. Maklumlah, di kala ini pelbagai serangan ideologi dan fahaman telah menyusup masuk di dalam minda para pelajar terutamanya mereka yang kurang didikan asas dalam perkara aqidah. Begitu juga dengan profesional dan ada juga dari negara lain yang menyebarkan fahaman yang pelik dan ganjil dari pendapat majoriti ulamak seluruh dunia dari dahulu hinggalah sekarang.

Mengenai Al Quran

Carilah guru untuk belajar mengenai ilmu al Quran, yang penting anda perlu menguasai bahasa Arab untuk menguasai al Quran juga. Sebab al Quran adalah di dalam bahasa Arab yang unik yang kaya dengan nahu, sorof, balaghah dan majaznya, wazannya. Untuk mengetahui tentang al Quran - anda akan didedahkan dengan ayat makki (ayat yang turun di Makkah) dan ayat madaniyyah (ayat yang turun di madinah) serta apa tanda-tandanya. Tidak lupa juga mengenai ayat yang muhkamat dan mutasyabihat, ayat yang khusus dan umum, nasikh dan mansukhnya. Begitu juga tentang ayat-ayat yang turun disebabkan oleh peristiwa tertentu, soalan tertentu yang ditanyakan kepada Nabi Muhammad. Proses penurunan al Quran, pembukuannya, erti wahyu, erti al Quran akan disampaikan kepada anda juga.

Bukan itu sahaja, untuk memahami al Quran rujuklah juga pada mufassirin yang muktabar, bukan dengan menggunakan akal sendiri - Jika menggunakan akal dan pendapat sendiri yang tiada kelayakan maka jadilah anda seperti anti hadith (yang mengambil ayat al Quran dari terjemahan kemudian menolak hadith RasuluLlah), atau muktazilah (yang hanya mengikut akal semata-mata).

Mengenai Hadith

Eloklah sebelum bertanya tentang hadith ini apa darjatnya sahih atau tidak, siapa perawinya ?. Anda belajar dahulu apa erti hadith. Kemudian belajarlah juga darjat hadith melalui ulumul hadith. Di sana ada diterangkan mengenai darjat hadith dari segi matannya - samada ia adalah sahih, hasan atau dhoief. Di situ juga anda akan diajar mengenai kekuatan hadith-hadith tersebut serta kebolehan beramal dengannya. Bukan apa.. supaya tidaklah dengan kejahilan diri - terus mengatakan hadith ini dhoief ia sama sahaja dengan maudhuk, kendian mengatakan pula hadith dhoief tertolak terus. Sedangkan para ulamak hadith membolehkan beramal dengannya dengan syarat-syarat tertentu. Hadith dhoief juga boleh naik tarafnya kepada hadith hasan sekiranya banyak hadith lain yang menyokong hadith tersebut.

Anda juga akan didedahkan dengan darjat hadith melalui sanad - seperti Hadith Mutawattirah, hadith gharib dan hadith ahad.

Ingatlah - hadith juga ada yang dinasakhkan, dimansukhkan, ada yang umum dan ada juga yang khusus.

Ya - anda juga perlu mempelajari tentang jarh wa at ta'dil - iaitu mengenai kecacatan dan keadilan perawi. Opss... dengan hanya belajar hadith bukan bermakna anda sudah boleh mengeluarkan hukum sepertimana para mujtahid (iaitu ulamak yang sudah boleh mengeluarkan hukum). Belajar hadith dan menguasainya cuma satu dari cabang ilmu sebelum melayakkan diri menjadi mujtahid.

Mengenai Tauhid

Jika anda tersilap langkah mungkin sahaja anda keliru dengan orang yang menyamakan ALlah dan makhluk-Nya. Lalu mengatakan dengan bersungguh-sungguh ALlah ada tangan, kaki, duduk dan sebagainya. Sedangkan mereka yang terdahulu (salafiyyin) mereka tidak membicarakan lansung mengenai zat ALlah, dan menyerahkan maknanya bulat-bulat kepada-Nya.

Dan mungkin lebih jauh lagi, terpengaruh pula dengan fahaman jabariyah, qodiyani, bahaiyyah, murji'ah, qadariyyah, ayah pin, ajaran guru kahar, rasul perempuan dan fahaman yang menyebabkan aqidah di dalam merbahaya yang memungkin jatuh kepada daerah terkeluar dari Islam..

Dan mungkin juga ada yang mengatakan pengajian sifat 20 adalah dari unsur falsafah - sedangkan pengajian sifat 20 inilah yang memerangi fahaman muktazilah. Kasihannya sebarang penuduhan yang dibuat datangnya dari mereka yang tidak mendalami secara khusus sifat 20 ini ataupun belajar sedikit kemudian merasa ia terlalu susah. Lalu terus keluar dan menyebarkan pada masyarakat bahawa sifat 20 susah untuk dipelajari dan membuang masa (sedangkan ia tidak faham bahawa yang paling asas adalah belajar sifat 20 yang asas itu sahaja, manakala untuk belajar lebih mendalam terpulanglah dengan inisiatif diri sendiri).

Rupa-rupanya - setiap sifat ALlah yang telah digali dari al Quran oleh Abu Hasan Al Asy'ari dan Abu Mansur Al Maturidiyyah mempunyai hujjah dan dalilnya dari al Quran bagi mematahkan hujjah para pemikir yang hanya menggunakan akal serta pendokong kristian dan pendapat mereka yang athies.

Anda boleh lihat senarai ulamak asya'irah di sini :

http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/200



Mengenai Feqh

Zaman ini ramai benar yang ingin bercakap mengenai hukum halal dan haram. Yang lagi hebat - ada yang kata ambil sahaja al Quran dan hadith sahih maka sudah cukup. Sedangkan para ulamak mujtahid yang pakar dalam feqah - mereka ini telah menguasai kriteria seorang mujtahid iaitu :

1. Islam dan bersifat adil

2. Mengetahui tentang al Quran beserta makna-maknanya dari sudut bahasa dan Syariat

3. Mengetahui hadith beserta makna-maknanya dari sudut bahasa dan syariat

4. Mampu mengetahui tentang masalah-masalah ijmak serta tempat-tempat berlaku ijmak. Hal tersebut supaya mereka tidak mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengannya.

5. Mengetahui tentang al Qiyas iaitu merangkumi tentang illah, hikmah, kemaslahatan masyarakat serta uruf.

6. Mengetahui bahasa Arab dengan baik dan sempurna. hal ini supaya dapat mentafsirkan al Quran dan Hadith dengan baik serta dalam istinbat hukum

7. Mengetahui nasikh dan mansukh daripada Al Quran dan Hadith

8. Mengetahui usul fiqh kerana ia merupakan asas dalam berijtihad dan istinbat hukum.

9. Mempunyai kefahaman yang baik dan benar supaya mampu untuk membezakan antara pendapat yang benar dengan pendapat yang salah. Iaitu mempunyai kecerdikan serta kemahiran dalam ilmu pengetahuan yang dalam.

10. Baligh. Iaitu cukup umur dan sempurna akal pemikiran.

11. Mengetahui dalil akal dan kehujahannya.

12. Mengetahui nas dan dalil yang berkaitan dengan hukum hakam sekurang-kurangnya, biarpun tidak menghafaznya.

13. Mengetahui sebab nuzul, ayat serta datang hadith atau asbab wurud hadith serta syarat mutawattir dan Ahad.

Oleh kerana itu, para ulamak tidak berwenang untuk mengeluarkan hukum itu halal, ini haram, itu bid'ah sesat dan sebagainya. Sebab perlu diingat banyak perkara yang perlu diperhatikan sebelum mengeluarkan sesuatu hukum. ALlahu ALLah.. para ulamak yang takutkan ALlah, mereka ini berhati-hati di dalam menanggapi sesuatu permasalahan dengan teliti. Takut-takut leher mereka sendiri akan dijerut oleh hukuman yang bukan haq.

"Katakanlah! Apakah kamu menyetahui apa-apa yang Allah telah turunkan untuk kamu daripada rezeki, kemudian dijadikan sebagian daripadanya itu, haram dan halal; katakanlah apakah Allah telah memberi izin kepadamu, ataukah memang kamu hendak berdusta atas (nama) Allah?"(Yunus: 59)

Dan firman Allah juga:

"Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia." (an-Nahl: 116)

Persoalannya di sini - Mengapa tidak bertanya dengan yang lebih tahu (pakar) tentang permasalah feqh agar diri yang tidak berkelayakan tidaklah mengeluarkan pernyataan yang mendustakan ALlah dan Rasul-Nya?. Sebagaimana seorang pesakit yang memerlukan ubat - tentulah ia akan berjumpa dengan doktor bagi mengetahui akan sakitnya serta ubat-ubatan sebagai usaha untuk menyembuhkan penyakitnya itu dengan izin ALlah. Dan bukan dengan jalan memandai-mandai sehingga membahayakan diri dan orang lain. Sebagaimana perintah ALlah menyuruh kita bertanya dengan orang yang berpengetahuan yang lebih faham :


فَسۡـَٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (٤٣)

Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. (Surah An Nahl : 43)

Jangan lupa, belajarlah juga tentang bagaimana beradab dengan khilaf ulamak - Anda boleh merujuknya di sini :http://mufti.penang.gov.my/khilaf.pdf

Supaya tidaklah dengan kejahilan anda menghukum pendapat ulamak muktabar sebagai bid'ah sesat, terkeluar dari ahlu sunnah wal jama'ah dan segala macam pertuduhan yang lain yang menimbulkan permusuhan, perbalahan bahkan murka dari ALlah ta'ala.


ALlahu ALlah..


Duduk di alam internet.. jari jemari mudah menekan papan kekunci. Mungkin ada perasaan gopoh, ingin mudah dan cepat, mencari kelainan, perasaan ingin tahu dan bermacam lagi. Di dalam diri buatlah satu pertahanan diri yang terdiri dari ILMU, IMAN dan AKHLAQ. Agar diri kita tidak tersasar jauh atas kehendak lautan ilmu yang tidak terbatas tetapi berdiri atas kejahilan menapisnya.

Jumaat, 15 Ogos 2008

Kehadiran Hasan Al Basri di Kota Basrah


Basrah ketika kehadiran al Hasan merupakan salah sebuah kota terbesar dalam negara Islam. Masjidnya tersergam, menjadi tumpuan para sahabat agung dan para tabiin yang terkemuka. Perbincangan-perbincangan ilmu dalam semua segi emakmurkan laman masjid ini.

Al Hasan sering mengunjungi masjib ini. Beliau akan turut bersama dalam majlis ilmu AbduLlah bin abbas, pena umat Muhammad. Beliau mempelajari tafsir, hadith, qiraat daripada AbduLLah bin Abbas. Selain AbduLLah bin Abbasm al Hasan juga mendalami ilmu daripada para sahabat yang lain dalam ilmu fikaj, bahasa, sastera dan sebagainya.

Akhirnya al Hasan menjadi seorang ilmuwan dalam segala bidang dan seorang fakih yang dipercayai. Orang ramai mengunjungi beliau untuk mendalami segala ilmunya. Masyarakat sentiasa mengerumuni al Hasan untuk mendengar segala bimbingannya yang mampu melembutkan hati dan mampu membuatkan air mata mereka berlinangan.

Masyarakat menerima dan menghayati segala nasihatnya yang mampu membuka fikiran mereka. Mereka turut mencontohi kehidupannya yang sungguh murni dan mengharum semerbak haruman kasturi. Kemasyhuran al Hasan al Basri tersebar ke merata-rata tempat. Namanya menjadi sebutan oleh sesiapa sahaja. Malah para khalifah dan para pembesar tertanya-tanya dan tercari-cari berita mengenainya.

Rabu, 13 Ogos 2008

Hari-hari Terakhir Seorang Bujang..

Insya ALlah, jika diizinkan ALLah, saya akan melansungkan pernikahan dengan bakal isteri (orang Kelantan) pada 17hb Ogos ini.

Rupa-rupanya waktu sudah semakin mendekat.. tidak sedar pula sudah jauh masa berseorangan ditinggalkan. Seorang sahabat yang sudah berkahwin dengan kata-kata tersiratnya "Jika aku bercakap tentang perkahwinan, tentu ramai yang tak sanggup untuk berkahwin".

ALlahu..ALlah..

Soal Tanggungjawab Bagi Lelaki

Dalam kepala ini, sudah banyak berfikir tentang masa hadapan. Perkahwinan adalah kisah tanggungjawab yang perlu ditanggung oleh insan yang bernama lelaki. Ya, diri ini sedar masih banyak yang perlu diperbaiki. Soal hati, perasaan, kini bukan ditanggung berseorangan. Tetapi perlu dengan perkongsian.

Apabila membelek-belek diri... bolehkah diri ini memikul tanggungjawab yang berat ini ?. Dan saya selalu berkata dengan diri sendiri, sampai bila tidak mahu belajar apa erti TANGGUNGJAWAB? Prosedur berkahwin dari kursus kahwin sehinggalah ke majlis pernikahan memakan birokrasi yang banyak dan memeningkan. Soal kos amatlah merisaukan hati terutamanya bila mengenangkan kos minyak yang mencekik darah. Terima kasih kepada keluarga... ibu.. dan adik beradik yang banyak memberikan sokongan, begitu jualah kepada sahabat-sahabat yang ada juga menurunkan sedikit sebanyak ilmu kekeluargaan. ALlah jualah yang dapat membalasnya.

Benar kata sahabatku "Sebenarnya tugas isteri hanyalah melayan suami, bukan kerjanya untuk membasuh, memasak, menjahit dan sebagainya.. Jika isteri sanggup membantu itu adalah atas dasar ehsannya.." Begitulah sirah sahabat, apabila seorang sahabat yang datang kepada Saidina Umar untuk mengadukan perihal isterinya yang tidak henti-henti membebel, lalu ia sendiri terdiam bila melihat Saidina Umar sendiri dileteri oleh isterinya. Dan bila ditanya lalu Umar menjelaskan bahawa isterilah yang melayan di tempat tidur, menguruskan makan, pakai, serta menjaga harta semasa ketiadaan suami, maka jasanya perlulah dihargai.

Membimbing, Belajar Memahami dan Berusaha Membahagiakan

Firman ALlah :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ (٦)


Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah At Tahrim : 6)

Diri, belajarlah untuk menjadi suami yang soleh dan berfikiran matang. Di lewat solat, cubalah menjadi imam, paling kurang dapat memberikan sedikit tazkirah serta berbincang agar dapat membimbing isteri. Setiap keputusan walaupun natijah terakhir diutamakan kepada kepala sesebuah keluarga, tetapi perlu juga mendapatkan pandangan dari isteri.

Ya.. soal rezeki diserahkan pada ALlah setelah berusaha, yang penting soal halal dan haramnya, kerana ia mencorakkan keberkahan di dalam keluarga juga. Antara keperluan dan kehendak kedua-duanya perlu diperhati agar tidak menjadi permasalahan di kemudian hari.

Wahai diri adakah engkau sudah bersedia dengan tanggungjawab diri? Ya.. saya sudah bersedia untuk mengharunginya dengan pengharapan juga kepada ALlah. Dan doa dipohonkan juga dari keluarga dan rakan taulan moga ikatan ini berkekalan sehingga ke akhir hayat dan dibawa ke akhirat.. Amiinnn

Ahad, 10 Ogos 2008

Sedih Melihat Segelintir Sikap Ilmuwan Agama


bismillah

Hari ini hati saya 'panas sedikit'. Sebenarnya telah lama melihatkan keadaan ini berlaku. Semenjak ada golongan yang mengatakan ingin mentajdid agama, dan mengatakan diri mereka sahaja yang mengikut al Quran dan Sunnah. Sedih melihatkan sesama saudara Islam bertelagah darihal perkara khilaf antara ulamak. Yang sorang sibuk datangkan dalil mengatakan amalan itu bid'ah, dan kononnya disertakan dengan takhrij hadith seolah-olah pendapatnya sudah betul-betul benar.

Apatah lagi mempertikaikan aqidah sesama umat Islam. Saya selalu melihatkan beberapa nick name di dalam beberapa forum yang sering mengadakan perbalahan dan 'tidak reti bahasa' di dalam mencari keharmonian. Perkara khilaf ulamak sepatutnya kita sama-sama merghormati dan berlapang dada.

Jika tidak bersetuju dengan hujjah ulamak yang membolehkan amalan bacaan yasin 3 kali di dalam nisfu sya'ban terpulanglah dan tidak perlu membid'ahkan pendapat ulamak lain. Sekiranya tidak bersetuju dengan mereka yang menerima bid'ah hasanah terpulanglah, maka kerana itu tidak perlu berlagak juga dengan kalam ulamak lain untuk menghukum sesama Islam dengan gelaran sesat, duduk dalam neraka. Seolah-olah hujjah sudah menjadi qot'ie (secara pasti) bahawa hujjah yang dibawakan orang lain (disertakan dengan dalil dan hujjah) adalah tertolak. Hebat bila ada yang mengatakan ulamak tersilap, tersalah.. Dengan kalam siapa katakan ia tersilap dan salah? Adakah dengan ilmu kita yang tidak sampai pun sejengkal kaki ulamak yang direndah-rendahkan tersebut.

Sedangkan bila dikaji semula antara para muhaddith pun mereka ada berkhilaf tentang kekuatan darjat sesuatu hadith sebagaimana juga ahli ilmuwan hadith seperti albani yang ada kalanya dahulu dia mendhoiefkan hadith yang sahih dan mensahihkan hadith yang dhoief (ini juga telah ditegur sendiri oleh dr Yusof al Qardhawi di dalam feqh muassarohnya).

Menghukum Saudara Islam Masuk Neraka Dengan Khilaf Ulamak

Yang hanya pandai menghukum amalan orang lain sesat, masuk neraka. Adakah sudah pasti kita berada di mana? Adakah amalan kita sendiri tidak sesat apabila menyesatkan sesama umat Islam yang jelas sudah mengadakan dalil dan hujjah. Tak perlu nak bicara tentang latarbelakang ilmu orang lain. Tetapi belajar dulu AKHLAQ di dalam berbicara.

Yang rajin benar membawakan perbahasan ulamak dengan kata ini batil, ini salah. Adakah sudah faham tentang feqh waqi'? Sedar atau tidak siapa yang membaca di dalam artikel, yang mendengar, melihat? Ada di antara mereka yang ingin belajar, mahu mengenal Islam, mahu melihat keindahan ukhuwah antara sesama Islam. Tetapi apa yang telah tunjukkan dengan perasaan emosi. Di mana diletakkan akhlaq yang sudah ditunjukkan di dalam AL QURAN DAN HADITH SAHIH? Atau letakkan di hujung-hujung kaki sahaja kerana kononnya ilmu lebih utama? Apa dahulu tidak diajar RasuluLLah bagaimana berakhlaq sesama saudara seIslam?

Memahami Perbezaan Dari Petunjuk Sirah

Apakah tidak belajar sirah bagaimana rasuluLLah menanggapi khilaf antara sahabat? Tunjukkan bukti bahawa RasuluLLah berwenang mengatakan sesat kepada para sahabat yang berselisih faham dalam ijtihad terutamanya ketika ada sahabat yang solat asar sebelum bertolak dan ada yang solat asar selepas bertolak ketika hendak menghadapi kaum yahudi yang melanggar perjanjian piagam madinah.

Sedangkan dalil2 sudah diberi, dan sibuk pula mempertikaikan ulamak lain. Tidak belajarkah ijtihad yang benar akan diberi 2 pahala, dan ijtihad yang yang silap diberikan 1 pahala. Lihat bagaimana ketika ada 2 pendapat antara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar mengenai tebusan Badar. Kita nak perlekehkan yang mana satu? Banyak lagi perselisihan ijtihad dan amalan baru yang tiada di zaman RasuluLLah tetapi ada di zaman sahabat, tabi'ien dan tabi;ut tabi'en. Sedangkan mereka semua mengikut al Quran dan Sunnah jua!! Ada sesiapa nak pertikaikan?

ALlahu ALLah....

Bila mereka yang hebat2 ini mengatakan ulamak itu tersalah, tak betul. Kemudian pada masa yang lain pula telah gunakan kalamnya kerana ada pendapatnya yang sama dengan pendapat sendiri. Maka adakah ini bermakna kita sedang MENGGUNAKAN HAWA NAFSU UNTUNG MENANG?

Maka pendapat saya - dari belajar feqah dan hadith yang tinggi dan mendalam tetapi akhlaq tiada. Baiklah belajar akhlaq dahulu.

Syaitan sudah ketawa lagi... orang yang memusuhi Islam bergelak ketawa lagi...


Sila rujuk link ini agar sama-sama kita dapat belajar akhlaq - bagaimana beradab dengan khilaf ulamak.

http://mufti.penang.gov.my/khilaf.pdf

Jumaat, 8 Ogos 2008

Nilai kemerdekaan

Mereka melaung-laungkan perkataan merdeka, bebas atau ‘independence day’. Menyambut dengan jiwa berkobar mengibar bendera saban tahun, digantung di halaman rumah, diletak di hadapan kenderaan dan adakalanya berhabisan duit mengecat ‘banner’ sebagai yang terpanjang, terbesar, terbanyak dan sebagainya. Digali semula kronologi bagaimana suatu kemerdekaan sesebuah negara dicapai. Ditemubual tokoh-tokoh sejarah dan perajurit-perajurit yang mengharumkan negara. Dimeriahkan lagi dengan ceramah dan imbasan sejarah di media massa. Mengenang kembali jasa-jasa pahlawan terdahulu berjuang bermatia-matian untuk mendapatkan perkataan ‘merdeka’ untuk negara, maruah bangsa, dan agama. Jatidiri dan keutuhan sesuatu bangsa dinilai bagaimana mereka menghayati semangat kemerdekaan yang telah diterapkan sejak dibangku sekolah. Pelbagai aktiviti dan program diatur dengan sedemikian rupa untuk menjadikannya lebih bermakna. Tiba pula kiraan detik 12 malam, dataran, menara, tempat perhimpunan umum serta stadium dipenuhi sesak dengan jasad manusia.

‘Merdeka’ telah berkembang mengikut peredarannya dengan zaman dan keadaan. Bukan hanya pada manusia bahkan kepada makhluk Tuhan yang lain. Sebab nilai ‘merdeka’ telah menjadi suatu perkara yang subjektif, bukan hanya sekadar laungan semangat, konsert artis-artis terkenal, kiraan detik merdeka yang berakhir dengan limpahan bunga api dan perarakan hari kebangsaan pada keesokan harinya.

Berikan makna kemerdekaan kepada haiwan-haiwan yang terkurung di dalam kandang besi di dalam tahanan taman binatang, kepada beburung yang jemu kerana hanya diberi makanan dedak setiap masa, dan cemburu melihat rakan taulannya bebas berterbangan, hidup berkeluarga, mencari rezeki tanpa halangan. Kepada hutan belantara yang diceroboh, ‘dinodai’ oleh tangan jahat manusia.

Tolonglah! Berikan makna kemerdekaan kepada mereka yang berlari, berpindah randah ketakutan, keperitan hidup dari satu tempat ke tempat lain kerana kebuluran dan peperangan. Yang tertekan dengan kemiskinan hidup, berantakan rumahtangga. Kepada pelajar yang terperuk mengadap buku tidak tahu bagaimana bercampur gaul dengan orang kebanyakan seolah-olah hidup dikelilingi batu kaca dapat melihat orang di luaran tetapi diri sendiri tidak mahu melepasi halangan penghadang di hadapannya kerana baginya semua itu tidak menjamin masa hadapan, kepada orang tua yang jumud dan tidak dapat menerima pembaharuan untuk kebaikan.

Berikan makna kebebasan untuk orang kita yang hidup aman damai tetapi penuh berhasad dengki dan sakit hati, untuk anak-anak kecil yang melopong melihat kehebatan kartun luaran dan meniru segala perbuatan canggih yang tidak dapat diterima akal dam perbuatan buruk ibu ayah, abang kakak untuk mereka menirunya menjadi akhlak. Kepada mereka yang hanya duduk di warung-warung bercerita dengan penuh taksub kehebatan bangsa sendiri dan menghina kehadiran orang lain.

Beri makna kemerdekaan untuk anak-anaknya ‘merdeka’ berbuat sesuka hati memperbodohkan-bodohkan diri, merosakkan orang-orang yang fikirannya ligat mencari timbunan duit setiap hari membiarkan orang lain dan kebodohan itu kembali juga kepada diri mereka. Kepada sesiapa yang menginginkan kebebasan dari peraturan hidup beragama tetapi menyembah kepada berhala ciptaan mereka sendiri berbentuk nyanyian, pangkat, nama, anugerah, rumah, kereta berjenama, kecantikan, trend pakaian, telefon bimbit dan segala harta reta.

Kepada para pemikir dan ahli akademik yang bergantung harap, taqlid buta dengan teori, ideologi orang lain dan pendapat sendiri. Kepada pencinta agama yang suka berbalah, menyinsing lidah berselisih faham dengan perkara-perkara furu’ dan khilaf untuk memenangkan diri sendiri, yang tiada kepentingannya untuk membantu agama Allah agar tertegak kembali di dada orang-orang Islam yang amat memerlukan di kala ini.

Apa hebatnya kemerdekaan bila lari dari fitrah sebagai manusia yang amat memerlukan Tuhan, memerlukan landasan dan batasan, panduan dan pegangan? Kemerdekaan datang bila faham tentang iman, dapat menghayati kepentingan keperluan yang terutama dari kepuasan yang tiada hadnya. Wahai kemerdekaan, engkau saban masa tetap dilaung-laungkan oleh orang-orang tidak tahu apa itu kemerdekaan yang sebenarnya…


Mencari^Damai
Khamis, 7.00 p.m
10 Rejab 1425 Hijrah

Solat Jumaat.. Ke mana Lelaki Islam Menghilang?

AlhamduliLLah dapat lagi Solat Jumaat hari ini.

Saya turun dari Bas CauseWay Link di Bandar Baru Uda lalu singgah ke Masjid berdekatan bagi menunaikan solat yang wajib. Ternampak jugalah beberapa orang lelaki Islam yang masih berada di warung-warung. Ketika itu bilal sudah memanggil-manggil agar bersegera ke masjid (azan sedang berkumandang). Sepatutnya tuan empunya warung (orang Islam juga) tersebut sudah 'faham bahasa' untuk menutup kedainya agar lelaki Islam yang masih makan dan minum dan baru datang untuk membeli makanan melupakan hasrat mereka (kerana waktu Solat Jumaat bukanlah panjang pun).

ALlah sudah menegaskan di dalam Al Quran di dalam Surah Jummu'ah:


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡاْ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُواْ ٱلۡبَيۡعَ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (٩) فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَٱبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِ ٱللَّهِ وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (١٠)


Wahai Orang beriman! apabila kamu diseru untuk mendirikan solat (mendengar azan pada hari Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingati ALlah (solat Jumaat) dan tinggalkanlah jual beli. Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Surah al Jumu'ah : 9 - 10)


ALLahu ALLah... semoga ALLah memberikan petunjuk kepada mereka ini. Semoga duit tidak menabiri mata, dan dunia tidak menyelubungi diri mereka..

Kaki saya terus melangkah menuju ke masjid dan seterusnya menyudahkan kewajipan sebagaimana layaknya seorang Muslim.

Wahai kaum lelaki! Anda dilarang meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran

Diceritakan oleh Abdul Ja'di Adl Dlamary bahawasanya RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

Barangsiapa meninggalkan 3 kali solat Jumaat kerana memudah-mudahkannya, ALLah mencapkan (nifaq - sifat munafiq) di hatinya. (Riwayat Ahmad, menurut al Hakim - Sahih menurut syarat Muslim)

AbduLLah bin Mas'ud radiyaLLahu anhu menerangkan bahawa Nabi Muhammad sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda (yang bererti:

Sesungguhnya aku berkeinginan benar akan menyuruh seseorang bersolat dengan para jamaah, kemudian aku pergi membakar rumah-ruma mereka yang tidak mahu menghadiri jamaah Jumaat beserta dengan mereka sendiri. (Hadith riwayat Ahmad dan Muslim)

Keistimewaan Hari Jumaat

Hari Jumaat adalah hari yang mulia, masa belajar dulu ustazah selalu ingatkan. Bahawa inilah penghulu segala hari, dalam seminggu inilah sahaja yang ada Solat Jumaat dan tiada pada hari-hari lain. Diwajibkan pula untuk orang lelaki Islam yang sudah cukup syarat untuk mengerjakannya iaitu : Islam, baligh, merdeka dan bermustautin (tinggal tetap), disamping mendengar khutbah yang dapat membina hati serta bersilaturrahim dengan ahli masjid yang lain.

Dari Abu Hurairah radiyaLLahu anhu bahawa RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda (yang bererti ) "Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya adlaah hari Jumaat. Pada hari itulah Adam dicipta, pada waktu ini pula dimasukkan dalam syurga dan waktu itu juga dia dikeluarkan daripadanya. Hari kiamat tidak akan terjadi kecuali pada hari Jumaat." (Hadith Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa'i serta Tirmidzi yang mengesahkannya)

ALLahu ALLah... ke mana menghilangnya ramai kaum lelaki Islam pada hari ini untuk bersolat Jumaat..