Ahad, 26 April 2009

Sabarlah Kesabaran

Hendak sabar bukan senang, tetapi untuk menjadi kurang sabar dan gopoh amat mudah. Mungkin kerana itulah kesabaran itu tinggi nilainya di sisi ALlah. Mungkin kerana itu, para Nabi dan Rasul yang memahami erti sabar tetap teguh dan tetap menjalankan dakwah. Begitulah juga dengan para ulamak yang kuat taqwanya kepada ALlah bersabar dalam apa jua dugaan dan ujian.

Antara masa yang perlu sabar

Dalam gembira kena sabar. Sebab ALlah boleh juga menarik kegembiraan itu pada bila-bila masa. Dalam gembira pun terkadang ada ujiannya. Tengah gembira terloncat-loncat tiba-tiba terhantuk kepala, sedang gembira menerim hadiah jam tangan baharu dan cantik tiba-tiba ia calar sedikit. Apa rasa dalam hati? - mungkin ALLah mahu kita bersyukur kepadaNya dahulu. Apa tanda kita bersyukur?

Dalam berdakwah kena sabar. Arena dakwah bukan untuk mengharap pujian. Mungkin yang diterima adalah kutukan dan cercaan. Bukan juga bermakna apabila berdakwah orang pasti terima apa yang didakwahkan. Kajilah sirah bagaimana sabarnya Nabi dan Rasul di dalam berdakwah kepada manusia. Ingat wahai pendakwah... kita usaha, natijahnya serah pada ALlah semata.

Dalam berkawan kena sabar. Jika tidak sabar, dah lama menyinsing lengan, bertumbuk. Kawan yang makan kawan, kawan yang menikam belakang, kawan yang tak kenang budi. Oh, macam-macam bila kepala tidak sekapal. Semuanya harus pandai pula dijaga hati, walaupun hati sendiri tiada yang jaga. Tidak mengapa, ALlah lebih tahu.

Dalam kesusahan kena sabar. Hidup bagaikan roda yang naik dan turun, semalam senang dan tiba-tiba esoknya dah susah pula. Untuk mencari hikmah dalam setiap apa yang ALlah beri tidak tercapai dek akal. Beruntung jadi orang beriman, bila ada masalah diserahkan kepada ALlah dan bertawakkal dengannya.

ALlah sudah menyebut yang bererti :
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya) niscaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.


( Surah Ath-Thalaq: Ayat 2-3 )

Dalam kejayaan pun perlu sabar. Mungkin agaknya perlu ditilik kembali kejayaan yang diperolehi adakah sekadar angka-angka yang dapat tetapi kualitinya adalah kosong? Agaknya perlu juga diselidiki kejayaan yang dicemari dosa, adakah keberkahannya? Contohnya : si fulan mendapat 19A dalam SPM, atau cgpa 4.00 tetapi beliau tidak pernah solat. Adakah ini namanya tertipu?

Susah sebenarnya hendak bersabar dibanding dengan menyebut SABAR. Apa salahnya kita bersabar sebab ALlah akan beri ganjaran yang banyak kepada orang yang bersabar. Tidak percaya ?

مَا عِندَكُمۡ يَنفَدُ‌ۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍ۬‌ۗ وَلَنَجۡزِيَنَّ ٱلَّذِينَ صَبَرُوٓاْ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا ڪَانُواْ يَعۡمَلُونَ (٩٦)

(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
(Surah An Nahl : 96)

Solat pun kena sabar?

Bukan sahaja solat pun kena sabar, untuk mengajar anak solat pun kena sabar. Sila gunakan segala pendekatan terbaik dalam mendidik anak untuk solat, kerana pertama-tama perkara yang akan ditanya di Hari Kebangkitan nanti oleh ALlah adalah solat.

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ وَإِنَّہَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِينَ (٤٥)


Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
(Surah Al Baqarah : Ayat 45)

Solat adakah sekadar kewajipan sahaja tanpa cuba mendapatkan khusyuknya? Untuk menambahkan kelazatan beribadah pastikan solat itu apa tujuannya? Kepada siapa kita mengadap? Apa yang dibaca semasa solat? Dapatkah memisahkan diri dengan alam sekeliling untuk mendapatkan sedikit waktu berbicara dengan ALlah? Pernah merasakan solat yang dibuat adalah solat yang terakhir ? Takut juga sekiranya amalan solat itu dicampak semula ke muka.

Jika di dalam solat yang mengandungi pelbagai keistimewaannya : disiplin, dari segi penemuan sains, ukhuwah sesama Islam, kesatuan - tentu ada kesannya pada kesabaran mengerjakan solat dan lihatlah bagaimana sabarnya seorang pesuruh ALlah di dalam menerima perintah agar solat 50 waktu sehari semalam dan meminta kepada ALlah agar dikurangkan kepada 5 waktu sahaja.

Sabarlah ya.. Dalam mencari redha ALlah, pahitnya sabar, dan manisnya rahmat dari ALlah.

Sabtu, 18 April 2009

Hebatnya ALlah : Kisah Sang Lebah

Ada satu ibarat : jadilah seperti lebah, hinggap di pohon tidak merosakkan rantingnya malah meninggalkan madu menjadi ubat yang manis rasanya. Si comel ini hidup berpindah randah dalam satu koloni dan mempunyai semangat kerjasama antara satu dengan yang lain.

Sememangnya ALlah sudah memerintahkan lebah untuk hidup di kawasan habitatnya yang tersendiri sebagaimana yang disebutkan dalam Surah an Nahl (Lebah) yang bererti :
"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah :"Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-gunung dan pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhan mu yang diilhamkan dan dimudahkanNya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan ALLah) bagi orang-orang yang mahu berfikir"
(Surah an Nahl : Ayat 68-69)

Jasa lebah kepada manusia

Peranan besarnya antaranya adalah sebagai penghisap madu bunga yang memberikan penawar kepada pelbagai penyakit dan yang lebih penting dari itu adalah sebagai agen pendebungaan tanaman.

Tahukah anda ?, kehilangan lebah akan menyebabkan kita kehilangan sumber madu dan juga boleh menyebabkan manusia menghadapi krisis makanan. Kerana jika tiada proses pendebungaan maka tumbuh-tumbuhan tidak dapat mengeluarkan buah dan juga hasilnya. Terdapat 40,000 spesis lebah yang dikenal pasti sebagai agen pendebungaan yang berjaya dan hampir 60 peratus tanaman buah-buahan dan sayuran bergantung kepada agen pendebungaan ini.

Hebatnya Kuasa ALLah

ALlah menjadikan lebah untuk menghasilkan madu 454 gram yang memerlukan sang lebah ini terbang sejauh 880,000 kilometer dan menghisap madu hampir 2 juta pelbagai bunga.



Kematian lebah yang menjadi misteri kepada para saintis boleh menimbulkan kesan besar kepada krisis makanan dan harga makanan. Inilah antara hikmah yang besar kepada manusia dari penciptaan lebah. Semoga kita selalu bersyukur dan jauh dari kekufuran.

Sumber Rujukan :
Wan Azlina binti Wan Ahmad, Milenia Muslim, 'Dunia Tanpa Lebah Mengancam Manusia', m/s 24-25, April 2009.

Isnin, 13 April 2009

Hati-hati Yang Perlu Dikejutkan


Di dalam jasad kita ada segumpal daging, jika baik ia, maka baiklah keseluruhannya. Dan sekiranya ia jahat, rosak maka rosaklah keseluruhannya. Mungkin selama ini hati diisikan dengan sikap mazmumah. Suka bersangka buruk, membalas dendam, ujub dan takabbur dengan diri sendiri. Menganggap diri telah suci dari dosa.

Hati yang lalai lupa pula kepada ALlah. Ada juga yang sudah tahu halal dan haram tetapi tetap juga membuat perkara dilarang ALlah. Ada pula diberi nasihat dengan baik, sebaik-baik nasihat tetapi telah dicemuh malah dijatuhkan.

Bukankah di zaman ini juga sudah ada berlaku penghinaan kepada sesama umat Islam? Ada yang menganggap golongannya masuk syurga, merekalah golongan yang terpilih digelar dengan bermacam gelaran. Sebermula ditabalkan diri sebagai salafiyyah, muwahhidun, firqatun najiyah (golongan selamat). Manakala ulamak Islam lain sudah habis dikafirkan, dihukum syirik. Ada umat Islam dituduh sebagai penyembah kubur tanpa habis lagi diselidik, umat Islam yang mengikut mazhab dituduh musyrik. Banyaklah sudah jemaah Islam dikafirkan, dihukum sesat. Antara yang telah dihukum sebagai sesat dan terkeluar dari ahlu sunnah wal jama'ah seperti jemaah ikhwanul Muslimin, jemaah Tabligh, Ahli Sufi yang mengikut al Quran dan Sunnah, al Asya'irah dan ramai lagi. Akhirnya majoriti umat Islam telah divonis masuk ke dalam neraka semuanya.

Benarkah RasuluLlah mengajar kita untuk menghukum kafir tanpa hak? Menghukum sesat, syirik tanpa hak? Apatah lagi hanya dalam perkara khilafiyyah (perbezaan pendapat para ulamak)?

Ada satu hadith yang direkodkan oleh Imam Tabrani dalam al Mu'jam al Kabir jilid 8 halaman 152 dari Abi Darda', Abi Umamah, Watsilah bin al Asqa' dan Anas bin Malik, RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam menjelaskan golongan yang selamat sebenarnya adalah tidak mengkafirkan ahli kiblat iaitu sabdanya yang bererti :

Tinggalkan perbantahan kerana sesunguhnya Bani Isra'il telah berpecah menjadi 71 golongan dan orang-orang Nasrani berpecah menjadi 72 golongan, semuanya sesat kecuali as Sawadul A'zhom. Para sahabat bertanya : Wahai RasuluLlah siapakah sawadhul a'zhom itu? Nabi menjawab : mereka adalah orang-orang yang mengikuti aku dan para sahabatku, tidak berbantah-bantah dalam agama ALlah dan tidak mengkafirkan salah seorang di antara ahli tauhid sebab dosa yang sudah diampuni oleh ALlah. Kemudian Nabi bersabda : Sesungguhnya Islam itu datang dalam keadaan asing dan nanti akan kembali asing. Para sahabat bertanya : Wahai RasuluLlah siapakah orang-orang asing itu? Nabi menjawab : Mereka adalah orang-orang yang berbuat kebaikan dikala orang-orang berbuat kerosakan, tidak berbantah-bantahan dalam agama ALlah dan tidak mengkafirkan salah seorang di antara ahli Tauhid dengan sebab dosa yang telah dia lakukan.

RasuluLlah dalam hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari no 5752 bererti:

Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya.


Begitulah juga sesiapa yang menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik maka orang yang menuduh itu sendiri akan jatuh ke dalam kesyirikan tersebut sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith dari Huzaifah bin Yaman di mana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh ALlah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi ALlah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan
. (Hadith dikeluarkan oleh Ibnu Hibban pada hadith no 81 dan Ibnu Kathir dalam tafsirnya jilid II/266, dia berkata : Isnad Hadith ini bagus. Begitu juga ditakhrij oleh Al Bazzar dalam Musnadnya dengan pernyataan yang sama, At Thabroni dalam Al Kabir dan As Saghir dengan pernyataan yang sama dan Ibnu Abi Ashim dalam kitab As Sunnah).

Dalam sahih Bukhari pada hadith nombor 2227 disebutkan bahawa Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda yang bererti :

Barangsiapa yang melaknat seorang Mukmin maka itu seperti membunuhnya dan barangsiapa yang menuduh seorang Mukmin dengan kekafiran maka itu seperti membunuhnya."

Mengapa ya katanya ingin kembali kepada al Quran dan Sunnah tetapi dalam berhukum selalu tidak lihat kiri dan kanan, tidak diselidiki sehinggalah ayat ALlah tidak dijadikan panduan?

Surah Al-Hujuraat ayat 6, yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".


Saya yakin bagi pencinta kedamaian, yang benar-benar sayang pada saudara yang seIslam. Tidak tega untuk menghukum para ulamak muktabar dengan hukuman kafir, syirik, sesat. Tidak akan rela untuk menghukum ibu dan ayah sendiri sebagai sesat dan masuk neraka hanya dalam perkara furu'iyyah apatah lagi sudah jelas amaran RasuluLlah pada mereka yang bersikap yang seperti ini.

Sumber Rujukan : Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali, An Najiah Hia al Ummatul Islamiyyah Kulluha, Golongan Selamat Adalah Seluruh Umat Islam, Cet 1 2008, Penerbit Mutiara Ilmu, Surabaya.

Rabu, 8 April 2009

Hebatnya ALLah : Iktibar Dari Labah-labah

Ini kisah labah-labah yang ALlah jadikan untuk kita sama-sama fikirkan dan ambil pengajaran. Labah-labah atau al ankabut ada terakam namanya di dalam al Quranul Karim.

Sifat baik yang ada pada labah-labah antaranya rajin membuat sarang tanpa mengenal putus asa. Jika diserang angin kuat, selepas itu ia akan menyulam kembali sarangnya untuk mencari rezeki.

Petua orang tua menyebut - sekiranya ada luka kecil, sarang labah-labah boleh digunakan untuk menghentikan pendarahan.



Apa yang kita perlu ucapkan apabila melihat kehebatan ciptaan ALlah?