Khamis, 29 Januari 2009

Fakta Dan Angka Di Gaza


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

1.5 juta penduduk di Gaza. Salah satu wilayah yang padat dengan penghuninya di dunia.

675,000 atau 40% daripada penduduk Gaza berumur di bawah 14 tahun.

900,000 penduduk dikatakan tidak mempunyai pekerjaan.

RM2,156 adalah pendapatan per kapita tahunan Gaza

770 penduduk terbunuh manakala 3,250 sama ada cedera atau parah dalam tempoh 2 minggu Israel melancarkan serangan ke atas Gaza mulai 27 Disember 2008.

300 lebih kanak-kanak yang tidak berdosa dianggarkan terbunuh dalam tempoh dua minggu sejak 27 Disember 2008

275 maut manakala 600 cedera dalam tempoh 5 minit pertama serangan udara Israel ke atas Gaza 27 Disember 2008

185 dan lebih orang awam dibunuh beramai-ramai secara kejam pada Selasa 6 Januari 2009

250 lebih serangan udara Israel dilakukan dalam masa 24 jam pertama

11 masjid di wilayah Gaza musnah

50 kanak-kanak yang sedang belajar di 3 sekolah milik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terkorban akibat serangan udara Israel

Sumber : Asraf Dahari, Milenia Muslim, hlm 12, Februari 2009.

Selasa, 27 Januari 2009

Wahai Diri.. Ziarahilah Sahabatmu..

Maaf sahabat, sebenarnya diri ini sememangnya rindu untuk bertamu dirumahmu. Apatah lagi sudah sekian lama kita tidak bertemu semenjak hari-hari kita melangkah pergi untuk meneruskan kehidupan masing-masing. Diri ini sedang mencuba mencari-cari waktu yang terluang untuk melihat kawan-kawannya yang telah lama ia tinggalkan dahulu..

Terima kasih ya.. kepada sahabat yang telah datang menziarahiku...

Wahai Diri

Ziarah kawan, sahabat dan teman akan mengeratkan tali persaudaraan. Ia Menunjukkan perasaan cinta dan kasih sayang sesama saudara seIslam.

Secara psikologinya - ziarah menziarahi akan memberikan perasaan mengambil berat antara satu dengan yang lain. Tuan rumah akan merasakan dirinya dihargai, tidak rasa sunyi. Apatah lagi banyak keberkatan mereka yang meluaskan tali silaturrahim antara satu dengan yang lain.

Berziarah akan merawat hati yang rawan, memberikan dokongan untuk meneruskan kehidupan dengan kata-kata peransang. Apatah lagi ketika itu ia memberi kebahagiaan seisi rumah, membawa masuk rezeki. Ia menyebarkan dakwah dan ukhuwah antara satu dengan yang lain. Sehingga jiwa yang benci dan berprasangka akan hilang dengan adanya kehadiran saudara-saudara yang menyayanginya..

Dari Abu Hurairah radiyaLLahu 'anhu, RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda, "Barangsiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya sesama Muslim kerana ALlah, maka malaikat akan berseru kepadanya, "Kamu dalam keadaan baik dan baik pula tempat tujuanmu, kamu pun akan ditempatkan di syurga" (Hadith riwayat Muslim)

ALLahu..ALlah...

Wahai diri, ziarahilah sahabatmu...

Rujukan : Abbas As Siisiy, Bagaimana Menyentuh Hati, At Thariq Ilal Qulub, Cet Kelima 2002, Era Intermedia

Isnin, 26 Januari 2009

Perihal Kematangan

Matang jika dirujuk kepada tumbuhan - ia bermaksud sudah boleh dituai contohnya : padi, gandum. Boleh di tebang contohnya : meranti, merbau, jati, merbah. Boleh dipetik buahnya kerana sudah masak seperti : rambutan, mempelam dan jambu.

Matang jika dirujuk kepada binatang - contohnya : sudah sampai umurnya untuk disembelih bagi tujuan korban seperti kerbau, lembu, unta (unta berumur 5 tahun lebih, kambing 2 tahun lebih).

Di dalam buku Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat : kematangan dirujuk kepada manusia ia menggambarkan insan yang sudah mencapai kesempurnaan fikiran.

Begitulah takrifan kematangan berbeza apabila merujuk kepada objek yang digunakan. Apatah lagi apabila dinilai dari sudut manusiawi ia lebih subjektif.

Mengapa Perlu Kematangan?

Untuk menjadi matang, luaskanlah pergaulan dengan manusia. Di situ kita akan melihat kepelbagaian pendapat, fikiran, budaya, tatacara hidup, adat, bahasa dan sebagainya. Kematangan tidak datang dengan hanya duduk di dalam bilik atau hanya berteori dengan akal sendiri, atau hanya pandai bercakap sahaja di pentas, seminar, dewan kuliah, ceramah tanpa turun ke lapangan umat dan merasai sendiri erti kehidupan.

Orang yang matang banyak benar fikirnya, sebab sudah merasai jatuh dan bangunnya dalam hidup. Ia sudah merasai manisnya gula dan masinnya garam di dalam buku kehidupan. Sudah terfikir apa yang boleh dan tidak boleh di dalam pergaulan. Adakah baik dan buruk kesannya. Sebab itu katanya banyak berkias. Jika menegur ia menyindir. Jika terlalu marah ia menjadi diam dari biasa.

Orang yang matang tidak berfikir untuk diri sendiri sahaja. Tetapi dilihat apa natijahnya kepada orang lain. Untung dan rugi dikirakan, besar atau sedikit mudaratnya, disesuaikan pula dengan suasana, keadaan dan zaman.

Dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu katanya :
Telah bersabda RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam : Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya " Hadith hasan riwayat Tirmidzi

Islam mengajar kita untuk meninggalkan perbuatan yang sia-sia yang menghabiskan umur dan masa secara percuma. Kehidupan perlu diisikan dengan perkara yang dapat memberi manfaat kerana orang yang matang bukan sahaja berfikir untuk waktu sekarang, tetapi sehingga di alam akhirat sana.

Budaya Kita Tidak Sama

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu) (Surah al Hujarat ayat 13)

Orang Asli (yang masih belum sangat terdedah dengan kehidupan moden) menghabiskan masa bersama keluarga, ada kalanya turun ke hutan mencari rotan, menanam ubi kayu dan padi huma. Kadang-kadang meletakkan bubu, jorannya dari buluh agar dapat ditangkap ikan tengas. Sifatnya pemalu, sensitif dan berpegang pada janji. Janganlah kampung mereka dicerobohi tanpa hak, tentu disumpit penceroboh tersebut. Tentu sahaja berbeza bahasa, budaya dan loghat mereka kerana di tanahair kita sahaja terdapat 3 kumpulan etnik Orang Asli yang mempunyai pelbagai suku kaum iaitu Negrito, Senoi dan Melayu- Proto.

Orang Jawa tidak sama dengan Orang Jawa Halus dan Jawa Kasar, Bugis, Banjar. Begitulah dengan mereka yang tinggal di negeri dan negara lain. Bahasa dan loghatnya tidak sama. Mungkin sahaja ada perkataan yang sama sebutan tetapi berbeza erti dan penerimaan. Ada yang menyukai masakan manis, pedas dan sebagainya.

Bahasa di SMS tiada nada tinggi dan rendahnya (hanya dapat dilihat tulisan besar dan kecil, titik, koma dan yang berkaitan) berbanding bahasa percakapan.

Ilmu, Akhlaq dan Kematangan

Lihatlah, adab remaja dan diri di zaman ini. Masih adakah santunnya kepada orang yang lebih tua apabila bercakap? Masih rajinkah memberi salam dan senyum? Ilmu semakin tinggi adakah menjadikan diri semakin menunduk atau mendongak langit? lalu berjalan dengan sombong dan bongkak sedangkan siapalah jika diperkirakan hakikat diri, siapalah diri kita sebenarnya di hadapan ALlah berbanding orang lain (yang lebih tinggi ilmu dan taqwanya).

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya ALlah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri (Surah Luqman 18)


Lihatlah, di zaman ini terdapat juga insan yang berani menuduh tanpa bukti, tidak diselidiki benarkah tuduhannya kepada orang atau golongan yang lain. Tidak memikirkan kesan dari percakapannya dan perbuatannya.

Mungkin agaknya ia lupa apa yang disuruh ALlah :

Surah Al-Hujuraat ayat 6, yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".
ALLahu ALlah...

Matang Dalam Membuat Keputusan

Ada juga yang suka berfikiran singkat, keputusan hendak segera tanpa ditimbang buruk dan baiknya. Ada juga apabila yang sudah memegang jawatan atau urusan yang penting segalanya hendak baharu. Tidak pula membuat kaji selidik, bertanyakan dengan orang yang lebih tahu, tidak mahu bermesyuarat agar setiap tindakan dapat diteliti dengan lebih mendalam. Katanya zaman dahulu biarkan berlalu, sekarang adalah zaman kita, pendekatan perlu berubah mengikut masa. Bahkan lebih dari itu terus dihapuskan sahaja tatacara dan budaya walaupun ia adalah baik untuk masa hadapan. Lihat sahaja hukuman rotan kepada anak murid. Keputusan guru diharamkan dari merotan dan diserahkan kepada 'tiga tangan' iaitu guru disiplin, guru penolong kanan dan pengetua.

Segala masalah berkaitan akhlaq pelajar diserah bulat-bulat kepada kaunselor sekolah. Akibatnya ramailah pelajar yang semakin kurang ajarnya. Semakin hilang hormatnya dengan guru apatah lagi didukungi oleh ibu dan ayah yang tidak boleh anaknya 'dijentik sedikit' walaupun tujuannya untuk mendidik dan membetuli sikap yang salah. Padahal dalam menyelesaikan masalah pelajar ada masanya diperlukan rotan untuk mendidik. Ada masanya perlu dinasihati, ada masanya perlu juga dikuarantin. Setiap satunya mempunyai kekuatan tersendiri. Alangkah baiknya jika ketiga-tiga ini digabungkan agar lebih efektif.

Pelajar merokok, berapa ramai yang 'makan nasihat' dengan diberi kaunseling? Pelajar yang mencuri, mengaibkan guru, dan kesalahan yang berat berapa kerat yang mengubah diri hanya dengan menghadiri sesi kaunseling semata-mata. Sedangkan apabila dilihat dalam Islam sendiri hukuman rotan itu wujud (contoh dalam hukuman zina lelaki dan wanita yang belum berkahwin serta minum arak) antara lain untuk memberi rasa insaf, gerun dan untuk mencegah bukan sahaja kepada diri pelaku kesalahan malahan untuk orang yang menyaksikannya.

Dan kini, akibatnya masyarakat juga sendiri yang merasa bahangnya.

Begitulah.. serba sedikit perihal kematangan.. Apa ruginya jika kita berfikir berkali-kali, belajar memahami, bertanya dahulu sebelum bertindak?

Jumaat, 16 Januari 2009

Apa Khabarnya Saudara Kita Di Palestin..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Sedih juga mendengar khutbah Jumaat tadi... seolah-olah tergambar di depan mata penderitaan saudara kita di Palestin. Teringat dahulu semasa di UIA ada teater mengenai penderitaan umat Islam di Palestin. Saya bersama rakan-rakan lain menjadi bidan terjun diminta oleh sahabat Quranic Youth Club untuk menjadi 'rakyat Palestin' yang membaling batu kepada 'tentera Israel'. Lalu yang dibaling adalah kertas sebagai simbolik kepada batu yang dijadikan senjata oleh rakyat Palestin yang tidak berupaya..

Saudara-saudara di Palestin.. mungkin ketika ini saudara tidak dapat tidur nyenyak. Terpaksa melarikan diri dari satu daerah ke daerah yang lain. Mungkin juga sedang menangisi pemergian terbaru dari anak, abang, kakak, ibu dan ayah. Ataupun sedang kesakitan di katil-katil usang. Darah sedang berpercikan di sana sini, anak-anak kecil sedang menangis malah ada yang sudah pergi...

Saudara-saudara di Palestin.. kami di sini menangisi penderitaan tuan-tuan sekalian. Ya.. hati kami berteriak, geram dan marah kepada Israel Zionis itu. Pedih lagi melihat rumah-rumah ALlah dihancur ratakan... Ayat-ayat ALlah bertaburan..

Anak-anak kami di sini membimbing beg sekolah, tetapi anak-anak tuan di sana sedang menggendong kelonsong peluru dan roket yang telah meranapkan masa hadapan. Alangkah baiknya sekiranya jiwa-jiwa kami ini secekal hati tuan-tuan yang tetap ingin mempertahankan Islam dan tidak berganjak dari bumi Palestin demi merebut kembali Masjidil Aqsa. Alangkah hebatnya apabila motivasi kami selalu hidup sebagaimana tuan-tuan kerana di jiwa terpancar jihad di jalan ALlah..

Ya ALlah... bantulah saudara-saudara kami di Palestin.. Ya ALlah.. bantulah pejuang-pejuang Islam di Palestin.. Ya ALlah gagalkanlah dan musnahkan musuh-musuh Islam.. Ya ALlah gagalkanlah rencana- rencana jahat yang ingin menghancurkan kesatuan umat Islam..

Khamis, 15 Januari 2009

Belajar Susah Untuk Senang

"Mak belikan yang tu" tangan mungil seorang anak perempuan mengunjuk barang permainan yang bergayutan di sebuah kedai permainan. "Eh, nantilah mak belikan, engkau ingat mak ni cop duit ke? Semuanya nak beli?" kata ibunya dengan tegas.

Kisah di atas adalah senario yang biasa dapat dilihat di sekeliling kita. Begitu juga dengan kebanyakan cara berfikir orang sekarang.

Mengapa ya? Kita selalu fikir semuanya hendak mudah, tidak mahu bersusah payah dahulu? Kalau boleh semua yang diminta terus ada di depan mata.

Manjakan Anak Keterlaluan

Terdapat ibu dan ayah terlalu memanjakan anak-anaknya. Benar, mungkin di dalam fikiran mereka tidak mahu anak-anak hidup susah seperti dahulu. Biar cukup makan dan pakai. Tetapi sekiranya dibiarkan anak mudah bermanja-manja tanpa berusaha, bila sudah besar nanti apa akan jadi kepadanya? Ia tidak tahu cara untuk berdikari kerana dahulunya apa yang diminta semuanya dapat. Apabila sudah besar hiduplah ia bagaikan parasit yang selalu bergantung kepada orang lain.

Sebuah rumah dibina dari asasnya. Ada cerucuk, konkrit, perlu pada batu bata. Disimen, di 'plaster' dan sebagainya sehinggalah menjadi rumah yang teguh. Sepuluh, dua puluh tahun tetap kukuh dan tahan daripada kerosakan. Ini kerana asasnya yang kuat. Cuba pula lihat rumah yang 'cepat siap' di tangan kontraktor yang mindanya 'suka mengambil mudah', retak di sana sini, bocor di bumbung hinggalah merisaukan penghuni di dalamnya.

Minda Semua Ingin Mudah

Terdapat pula cara berfikir semua ingin mudah, tidak ingin bersusah payah. Maka sebab itu terdapat risalah yang disebarkan oleh orang tertentu di masjid atau di surau rehat dan rawat mengajak untuk bantu membantu antara satu dengan yang lain. Isikan borang yang pertama dan tidak lupa 'sedekahkan' wang dalam jumlah tertentu ke dalam akaun bank peserta pertama dan kedua. Disertakan sekali ayat al Quran dan hadith (untuk memantapkan hujjahnya). Diberikan senarai testimoni peserta yang telah berjaya mendapat ribuan ringgit untuk melangsaikan hutang dan sebagainya. Padahal sikap seperti inilah yang menjadikan manusia malas untuk berusaha. Hanya duduk diam, cukup bulan jenguk dalam mesin ATM berapa puluh ribu yang akan diterimanya hasil dari 'bantuan' orang lain. Berapa ramai yang terkena minda seperti ini?

Hendak Belajar ? Search Sahaja Dalam Google

Betul, memang mudah sangat untuk belajar sekarang ini. Taip sahaja di bahagian google search dan apa sahaja ilmu yang diingini akan dapat dengan mudah. Ada seorang user memberitahu untuk menjatuhkan hukum cukup dengan cari hadith sahih dalam internet kemudian sudah boleh berhukum. Padahal hadith sahih itu sendiri ada martabatnya dan syarahnya. Lalu lahirlah tukang-tukang pemberi fatwa yang sesat dengan pemikirannya sendiri akibat agama itu diliberalisasikan atas nama agama itu mudah. Lihatlah - berapa ramai yang terlibat dalam golongan anti hadith, rasul melayu dan banyak lagi fahaman yang menyeleweng.

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :

ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Seseorang itu tidak akan menjadi cendiakawan hanya dengan melayari internet tanpa ada asas ilmu. Belajar tanpa guru hanya menjadikan seseorang itu 'kepeningan' dalam fikirannya sendiri tanpa panduan. Barulah di sini akan ada bandingan apa yang dinamakan kualiti.

Hendak Kaya Bukan Dengan Duduk Diam

Ada satu bentuk pemikiran baru untuk kaya dengan mudah. Iaitu dengan melaburkan duit dengan jumlah tertentu, dan tunggu sehingga cukup bulan. Duit akan bertambah, tidak perlu kerja. Duit akan masuk setiap hari. Dan selepas itu bolehlah berangan untuk terbang ke angkasa biru, membeli belah, rumah besar dan sebagainya.

Bila dikaji dan disemak sejarah orang yang berjaya dan kaya raya. Mereka berusaha dengan titik peluh sendiri. Amat sedikit orang yang kaya dengan sebab harta pusaka. Itupun sekiranya tidak diurusi dengan ilmu. Alamat sekelip mata boleh papa kedana.

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary mula berniaga pada umurnya 19 tahun dalam jual beli lembu dan kerbau. Semasa menerima gaji pertamanya sebanyak RM 1,500, sebahagiannya telah diserahkan kepada orang miskin. Dan kini ia mempunyai harta bernilai RM 4.16 billion di mana sebahagian besarnya juga telah 'dikembalikan' semula kepada orang Islam yang memerlukan. Cantiknya beliau adalah sikapnya tidak mendabik dada. Apatah lagi untuk duduk berdiam diri tanpa berbuat apa-apa dengan menunggu duit turun dari langit.

Dakwah Perlu Dengan Usaha Dan Ada Susah Payah

Tiada jalan singkat untuk menyebarkan dakwah sambil mengharapkan apa yang disampaikan pasti orang akan terima dan tunduk. Kerana manusia mempunyai akal fikiran yang selalu memberi alasan dan mencari sebab dan musabab. Sehinggalah mulutnya terkunci nanti kerana habis riwayat kehidupan.

RasuluLLah tidak pernah berhenti untuk menyampaikan risalah ALlah, asanya tidak pernah putus dalam mendakwahi bapa saudaranya sehingga beliau (bapa saudaranya) meninggal dunia. Dakwah yang paling ringan walaupun dengan menunjukkan akhlaq yang baik, hendaklah berterusan. Dakwah itu ada seninya, cara bercakap, pendekatan, pendek kata :

1. Tahu dengan siapa kita berdakwah
2. Apa latarbelakangnya - keluarga, pendidikan agama
3. Budayanya
4. Cara berfikir
5. Umurnya - kanak-kanak, remaja, dewasa, orang tua
6. Keadaan dan suasana

Lihatlah, ada insan yang tercicir dalam perjuangan dakwah. Menyebabkan mad'u lari, menimbulkan permusuhan, kecelaruan dan kekeliruan. Barulah nampak di sini - pentingnya belajar dan kefahaman.

Pada akhirnya - dalam perjalanan hidup yang singkat ini. Benar... orang yang berjuang di jalan-Nya akan merasa seolah-olah sempit jiwa. Tetapi bila dikenang bahawa di dalam kesulitan itu ada kemudahan. Barulah merasa bahawa ALlah sentiasa menolongnya... ALlahu ALlah

Selasa, 13 Januari 2009

Boleh Kita Contohi Dia?

Bola sepak Sepanyol punya cerita. Dalam pertandingan minggu lalu, antara kelab Sevilla menentang Deportivo La Coruna, Fredrick Kanoute, penyerang Sevilla yang beragama Islam dan berasal dari Mali, setelah menjaringkan bola ke gawang lawan, membuka bajunya untuk memperlihatkan kaos dalamnya yang bertuliskan "Palestine". Kata Palestin itu ditulis juga dalam beberapa bahasa yang lain. Ini tentu saja dimaksudkan sebagai dokongan Kanoute kepada Palestin yang tengah digempur oleh pasukan Israel di Gaza.

Aksi Kanoute tersebut tetap membuahkan hukuman kad kuning dari pengadil yang memimpin pertandingan. Esoknya, Federasi Sepak Bola Sepanyol (REF) mengenakan denda kepada Kanoute sebanyak 3000 euro atau sekitar Rp. 45 juta. Keputusan Federasi Sepak Bola Sepanyol ini menimbulkan aksi protes dari segala penjuru. Peraturan federasi Spanyol melarang para pemain menunjukkan berbagai publisiti atau slogan-slogan sepanjang pertandingan berlangsung. Menurut federasi itu, hukuman tersebut tidak mempermasalahkan sifat dasar politik dari pesan itu. Tetapi mereka menyoroti fakta bahawa sang pemain telah menunjukkan suatu maklumat yang dinilai melanggar peraturan.

Tanggapan Kaonute? "Itu merupakan sesuatu yang saya rasa mesti saya lakukan. Setiap orang seharusnya merasa bertanggung jawab saat menyaksikan ada suatu situasi yang sangat tidak adil itu. Saya merasa 100 persen bertanggung jawab atas apa yang saya lakukan dan saya tidak takut atas sanksi itu,” ujarnya kepada televisyen swasta Telecinco.

Sebenarnya, Kanoute sudah lama mahu melakukan aksi itu, seminggu setelah Israel menggempur Gaza. 4 Januari lalu, ia terlihat memakai baju dalam yang sama, yang tembus dari jersey-nya di tengah guyuran hujan. Sayangnya dia tidak berhasil menjaringkan gol.

Aksi Kanoute itu banyak mendapat dokongan, salah satunya dari Josep Guadiola, pelatih Barcelona. Sanksi yang dirasa Guardiola sebagai bentuk ketidakadilan untuk striker asal Mali tersebut. Menurutnya, seharusnya REF mempelajari lebih dulu apakah pemain itu patut diberikan denda atas tindakan dari pemain yang bersangkutan.

Kanoute memang dikenal sebagai muslim yang taat dan kerap bangga menunjukkan identiti keyakinannya itu. Pada tahun 2007 misalnya, pemain terbaik Afrika 2007 ini pernah memberikan gajinya selama setahun, sebesar 700.000 dolar AS atau sekitar Rp 7 miliar untuk menyelamatkan masjid terakhir yang ada di Sevilla. Masjid tersebut mulanya akan dijual kerana populasi Muslim di kota tersebut mulai menurun. Pemerintah setempat pun akhirnya memberi nama tempat ibadah tersebut sesuai dengan sang pembeli.

"Jika tidak ada Kanoute, kami tidak akan beribadah pada hari Jumat lagi, di mana itu adalah hari yang suci bagi umat muslim," tukas wakil dari komuniti Islam Sepanyol, sesaat setelah Kanoute membeli Masjid tersebut, seperti dilansir AFP.

Ketaatan Kanoute dalam mengamalkan ajaran Islam juga mendapat dokongan penuh dari Sevilla. Ia diberi jersey khusus tanpa sponsor. Hal itu kerana sponsor utama Los Palanganas, 888.com, adalah lamanjudi yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ia juga menyumbangkan seluruh hasil penjualan kaosnya untuk beramal. (sa/berbagaisumber)

sumber

Ahad, 11 Januari 2009

Masa Pun Berlalu Pergi..

Kepada sahabat seperjuangan,
Semalam kita bertemu,
Hari ini berpisah lagi..
Teruskan langkah di dalam kehidupan,
Mungkin ada yang sudah merasai pahit getir membina sebuah kehidupan,
Mungkin juga sudah ada yang semakin matang di dalam menilai sebuah perjalanan,

Sabar ya sahabat...
Kengkadang kita diuji,
Kita tua sebelum umur sebenar,
Kita 'sakit' walaupun sihat,
Kita 'miskin' walaupun kaya,
Kita 'sedih' dalam gembira,
Kita diuji dengan anak-anak,
Kita diuji dengan rakan-rakan,
Kita diuji dengan keadaan..

Begitulah,
Hidup ini bukankah satu perjuangan?,
Masa telah pun berlalu lagi...

Rabu, 7 Januari 2009

Terima Kasih Imam al Ghazali


Aku melihat seorang lelaki dan kalimatnya, maka aku melihatnya seorang lelaki dari ahli ilmu, sungguh telah bangkit keutamaan-keutamaannya. Dan dia menghimpun padanya aqal dan kefahaman, dan menerapkan ilmu-ilmu sepanjang hidupnya
(Al Allamah at Thathusyi)

Hujjatul Islam Imam al Ghazali telah meninggalkan banyak sumbangan kepada umat Islam bahkan kitabnya diteliti oleh ulamak-ulamak Islam. Di dalam mengkaji persoalan jiwa dan bagaimana cara penyelesaiannya telah dibahas. Ilmunya juga telah dijadikan rujukan oleh ahli psikologi dan secara tidak langsung telah mengangkat dirinya antara ahli psikologi yang hebat di dalam bidang ilmu jiwa.

Terima kasih Imam al Ghazali kerana menyampaikan ilmu. Sekurang-kurangnya diri ini tahu tidak bergantung harap kepada psikologi barat yang atheis, menggunakan haiwan untuk mengenal sikap manusia, dan menilai kepada graf untuk menentukan manusia yang normal dan abnormal. Lalu jadilah manusia itu dihukum melalui soalan-soalan objektif, jawapan yang diberi setelah menilai melalui lukisan dan gambar. Sedangkan hasil penilaian yang didapati jauh dari hakikat personaliti individu yang sebenar.

Persoalan dari Imam al Ghazali untuk diri kita menjawabnya :

1. Mengapa anda mengabaikan suruhan ALLah?

2. Sekiranya anda beriman dengan Hari Akhirat, mengapa tidak bersedia membekalkan diri ke sana? malah anda tukarkan Akhirat dengan dunia?

3. Teliti baik-baik dan cari sebab-sebab dan di manakah puncanya yang menjadikan anda memendamkan kufur di lubuk jiwa?

Kufur di jiwa menurut beliau adalah sikap berani melakukan apa sahaja(kekufuran) dengan terang-terangan. Walaupun tidak terang-terangan mengisytiharkan diri kufur kepada masyarakat. Tetapi individu itu bertopengkan iman dan pura-pura hormat kepada hukum syarak. Mengaku peraturan ALlah adalah yang paling benar, tetapi berat melaksanakannya..

ALLahu ALLah.. Ya ALlah, rahmati para ulamak yang ikhlas menyampaikan ilmunya. Sehingga kini dikenang orang, ilmu yang diberikan menjadi penyejuk jiwa dan bergemerlapan sepanjang zaman..Aminnn

Sumber rujukan :

1. Yatimah Sarmani, Mohd Tajudin Ninggal, Teori Kaunseling Al Ghazali, 2008, Pts Publications, Selangor

2. Shaleh Ahmad Asy Syami, Biografi Imam Al Ghazali, Hujjatul Islam dan Pembaru Kurun Ke 5, Cet Pertama 2004, Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur

Ahad, 4 Januari 2009

Cadangan Yang Menyimpang..

Saya telah membaca satu daripada artikel di Palestinkini iaitu temuramah dengan Ustaz Maszlee Malek di sini

Beliau telah menyatakan antara isi temuramahnya :

2-kenapa Mesir masih berdegil membuka pintu sempadan serta menghalang sebarang bentuk saluran bantuan kemanusiaan oleh negara-negara lain yang ingin menggunakan laluan sempadan mereka utk ke Gaza?

Tiada siapa yang tidak tahu bahawa Hosni Mubarak sebenarnya adalah lebih kejam dari rejim Zionis. Sepatutnya dia dicalonkan untuk menjadi presiden Israel berdasarkan rekod jenayah kemanusiaannya terhadap rakyatnya sendiri dan juga penduduk Gaza. Tanpa beliau rejim Zionis tidak akan dapat melakukan serangan hari ini. Di UK beberapa siri demo akan diadakan di hadapan kedutaan Mesir, begitu juga di beberapa negara lain, harap di Malaysia juga akan diadakan demo yang serupa.

Mungkin negara-negara Islam, terutamanya Msia boleh menarik kesemua pelajar-pelajar mereka di al-Azhar sebagai tanda protes, ini bermakna kehancuran ekonomi Mesir di zaman kemelut ekonomi dunia!


Lihat Tulisan Yang diboldkan.

Jawapan Saya :

Saya tidak bersetuju saranan Ustaz Malek Mazlee untuk menarik pelajar Malaysia yang belajar di Mesir. Kerana mereka belajar di sana untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang jurusan malahan ada pengkhususan yang kritikal seperti perubatan. Dalam syariah, dalam usuluddin dan sebagainya.

Untuk mengaitkan ekonomi dengan pendidikan bagi saya tidak relevan. Kerana belajar di Universiti al Azhar contohnya - berapa banyak sangatlah yuran yang dikenakan terhadap mereka?

Sedangkan di al Azhar adalah benteng kuat Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang mengajar di antaranya feqh muqarran (feqh perbandingan 4 mazhab) aliran majoriti ahlu sunnah wal jamaah iaitu asya'irah dan almaturidiyyah.

Mengapa perlu boikot pula negeri Mesir kerana perdana menterinya? Di situ ramai umat Islam yang perlu dihubungkan ukhuwwah. Yang ditolak perdana menteri, mengapa sampai Negara Mesir pula kita boikot? Jangan kerana marahkan nyamuk seekor, kelambu pula dibakar.

Sila gunakan akal rasional untuk berfikir :

Sekiranya USA itu sendiri adalah penyokong kuat Israel, termasuk Jepun dan sebagainya. Adakah kita juga ingin menarik balik semua pelajar dari situ atas alasan yang sama? Sepatutnya pelajar dari US ditarik balik dari belajar di sana. Kerana terang-terangan ia menyokong dasar bahkan memberi bantuan kepada Israel.

Tahukah anda antara jasa pelajar-pelajar di al Azhar antaranya :

Pelajar Melayu yang belajar di Mesir pernah berjuang dengan menubuhkan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) yang kemudiannya ditukar nama kepada Persekutuan Melayu Mesir (1952) dan akhirnya nama yang terakhir adalah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir PMRAM (1971) bersama-sama kerajaan Mesir pada masa itu untuk memerangi tentera Israel yang bergabung dengan Perancis dan British. Pada 29 Oktober 1956, di atas semangat persaudaraan Islam PMRAM telah menyertai tentera Mesir memerangi tentera musuh hingga ke perbatasan Suez. Manakala pelajar-pelajar yang tidak berkeupayaan menyertai jihad ini telah memberi sumbangan dengan menderma darah..

Golongan siswi pula tidak ketinggalan memberikan sumbangan menerusi khidmat menjahit pakaian tentera.

Pelajar Malaysia perlu dihantar ke Mesir di sana masih ada umat Islam, di sana ada ulamak-ulamak Islam, di sana ada ikhwanul Muslimin. Tiada kaitannya dengan Perdana Menteri. Untuk mengubah sosio politik perlu disedarkan rakyat Mesir.

Ya, Hosni Mubarak yang perlu ditolak. Tetapi bukan pendidikan di sana. Nampaknya jauh sekali penyimpangan yang dicadangkan oleh Ustaz Mazlee Malik ini.

Lihat rakyat Mesir turut berdemonstrasi mengutuk serangan Israel di sini dan di sini. Pelajar perubatan di Universiti Al Azhar turut memprotes di sini.

Nampaknya pada masa akandatang perlu betul-betul memilih orang yang sepatutnya menjadi jurucakap bagi rakyat Palestin. Kasihan rakyat Mesir dan pelajar al Azhar.