Ahad, 28 September 2008

Sabtu, 27 September 2008

Selamat Tinggal Ramadhan, Salam Pertemuan Aidilfitri

Ramadhan rupanya akan meninggalkan kita buat sekian kalinya. Mudah-mudahan dipanjangkan umur untuk menghadiri madrasah Ramadhan pada tahun akandatang.

Ramadhan mengajar diri menjaga disiplin-disiplin yang telah ditetapkan oleh ALlah dan Rasul-Nya untuk diikuti dan dihayati. Perginya Ramadhan sebagai satu penilaian kepada diri kita samada semakin baikkah akhlaq yang selama ini dilentur ataupun natijahnya tetap juga sama apabila tiba sahaja bulan-bulan lain.

Aidilfitri yang jatuh pada 1 Syawal adalah hari kemenangan, hari kegembiraan. Di hari ini diharamkan untuk umat Islam berpuasa untuk meraikan hari kemenangan melawan hawa nafsu dan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Apabila Penyimpan Mohor Besar telah membuat pengumuman mengenai jatuhnya 1 Syawal pada keesokan harinya, marilah kita bersama-sama bertakbir kemenangan samada di masjid, surau ataupun dengan keluarga di rumah. Kita membesarkan ALlah, mengucapkan syukur kepada-Nya.

"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.(Surah Al-Baqarah : 185)

Berpagi-pagi di Aidilfitri, mandi sunat aidilfitri, memakan kurma, pakailah pakaian yang terbaik (cantik dan kemas) dan bersegera menuju ke masjid. Apabila pergi lalulah di jalan lain, dan semasa pulang ikutlah pula jalan lain.


Dari Anas ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak keluar pada waktu pagi Raya Fitrah sehingga ia makan terlebih dahulu beberapa biji kurma. Seterusnya Anas menceritakan bahawa Baginda memakan kurma itu dalam bilangan ganjil. (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)


Adab-adab menyambut Hari Raya Aidilfitri.


Selepas habis sahaja mendengar khutbah selepas Solat Sunat Aidilfitri, bermaaf-maafanlah sesama ahli masjid, surau, ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai serta semua saudara seIslam. Begitulah, kita ini terkadang tersilap tafsir - bahawa meminta maaf setahun sekali, sedangkan sepatutnya apabila sahaja berlaku khilaf mintalah maaf sesama kita. Jika ada benci, buanglah sejauh-jauhnya. Hidup ini amat singkat hanya untuk bermusuh-musuhan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dan Surah Al-Hujuraat ayat 10 tafsirnya:"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Ziarahilah antara kita untuk mengeratkan tali persaudaraan, bersalam-salaman, mungkin selama ini sudah terputus lama hubungan. Tidak kedengaran khabar berita, maka di hari mulia ini adalah titik permulaan untuk bersatu kembali kerana ALlah.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari yang bermaksud:"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia menghormati tetamunya dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim.

Jika hendak ziarahi kubur ikutilah adab-adabnya, beri salam, mendoakan ahli kubur, membaca al Quran (dan berdoa mudah-mudahan pahala dari bacaan al Quran dapat disedekahkan kepada ahli kubur). Jiruslah air di atas kuburan serta menaburkan dengan bunga dan dedaunan yang masih basah. Kepada wanita Islam yang beriman - tolonglah tutup aurat, bukan sahaja semasa solat, bahkan juga sepanjang masa yang wajib untuk menutupinya.

Dan elok juga diperingatkan buat diri dan semua umat Islam, marilah kita berpuasa enam hari selepas 1 Syawal.

Dari Abi Ayub Al-Ansari Radiallahuanhu, ia menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Untuk Pengetahuan : Dalil-dalil yang disebutkan di atas dirujuk melalui laman web mufti brunei di dalam khutbah raya serta adab-adab menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Nasyid, Kemana Hala Tujumu?

Bernasyid secara umumnya dapat difahami ialah sekumpulan atau individu yang menyampaikan lagu yang bercorak dakwah dan mempunyai alatan muzik yang tersendiri seperti kompang, tabla, bongo dan yang sewaktu dengannya. Jika di zaman 80 an (bahkan sebelum itu) kumpulan nasyid bergerak dengan ahli kumpulan termasuklah 'percussion'nya untuk melengkapi sesebuah persembahan.

Lagu-lagu bercorak dakwah ini menjadi gamitan hati terutamanya apabila baitnya berkisarkan keTuhanan, dosa hamba kepada ALlah, laungan jihad, berfikir tentang kehebatan ALlah, ukhuwah, iman dan yang berkaitan dengannya.

Negara kita pernah digemparkan dengan kejayaan kumpulan Raihan pada tahun 1996 dengan jumlah albumnya mencapai 600,000 unit. Bahkan sebelum itu mereka sudah dikenali dengan kumpulan The Zikr. Bagi para peminat nasyid nama-nama seperti Nadamurni, Mirwana, Shoutul Amal, An Naurah, Anugerah, Lambaian Kasih, Orkes Suraya, Al Jawaher, Al Mizan - ia tidak perlu diperkenalkan lagi.

Setiap alunan yang disampaikan pastilah mempunyai mesej yang tersirat dan tidak bosan apabila lagu ini diulang-ulangi sehingga kini.

Kumpulan Nasyid Ke Mana Hala Tujumu?

Saya pernah bertanyakan kepada salah seorang kumpulan nasyid yang baru ditubuhkan dan dalam proses merakamkan album serta video klip. "Mengapa perlu ada lagu cinta" dan beliau menjawab "Ia sudah menjadi trend masakini," (lebih kurang begitulah jawapannya).

Pergerakan kumpulan nasyid (individu atau berkumpulan) semakin melebar langkahnya sehingga kini. Dengan melodi yang baru berbentuk hiphop, balada, dan sebagainya merentasi masa - katanya agar mudah remaja untuk mengikuti sebagaimana masa yang semakin berkembang rancak.

Disebabkan saya suka berfikir - maka saya tertanya, berapa banyak lagu nasyid kini benar-benar memberi erti kepada jiwa agar semakin dekat dengan ALlah, berbanding apabila mendengar sahaja badan terlonjak-lonjak, bibir bukan melantunkan kalimah ALlah, tetapi terjerit-jerit?. Tambahan pula diserikan lagi dengan penasyid yang bermuka kacak. Peminat nasyid, sebenarnya anda melihat pada paras rupa atau isi yang hendak disampaikan?

Wahai kumpulan nasyid, anda mengejar populariti atau sebenarnya mencari keredhaan ALLah? Anda akan dapat bezakan dalam hati anda sendiri apabila mengumandangkan zikir-zikir, dan bait-bait itu ketika menyampaikannya.

Album sudah banyak juga diterbitkan, tetapi lagu lama juga dinyanyikan kembali (itupun sudah berubah cara penyampaian sehingga terkadang menyampah hendak mendengarnya). Diri ini tercari-cari juga di mana letaknya jati diri nasyid islami yang dahulu dapat menggetarkan jiwa para abid, yang dapat menyentak hati agar terus berdamping kepada ALlah lalu mencurahkan perasaan kasih sayang sesama saudara Islam.

Di dalam simpanan saya sekarang ini yang masih dimainkan di dalam pemain kaset adalah lagu-lagu lama yang mengimbau kembali saat kegemilangan nasyid di tanahair kita. Contohnya :

1. Kumpulah Anugerah - Masih Ada Waktu
2. The Best Collection - Mirwana, All For Ummah, Soutul Mujahideen, Soutul Jihad
3. Lambaian Kasih - Dunia Oh Dunia
4. Munajat - Asri & Nadamurni
5. Suara Firdaus - Syahdu
6. Alarme - Alami

dan ada beberapa lagi album kaset kumpulan nasyid di zaman 80 dan 90 an yang saya rasa masih berhak dimainkan sebagai penguat jiwa.

Mungkin kebimbangan peminat nasyid yang 'hard core' berasas, iaitu hilangnya nasyid di zaman ini apabila jatidiri nasyid telah dicemari dengan pengisian yang berbentuk memuja wanita, membicarakan isi yang sama sahaja (sedangkan banyak isu semasa boleh disentuh), melodi yang cacamarba, penasyid yang mementingkan populariti (ingatlah, anda sedang berdakwah bukan menyanyi lagu biasa).

Fikirkan, lagu yang terkesan di hati adakah yang berunsurkan cinta (cinta yang menjurus kepada muda mudi)? ataupun sebenarnya adalah kalimah yang dapat memberi kesembuhan pada jiwa, menenangkan hati, yang mengingatkan pada mati dan mengembalikan diri kita kepada ALlah?

Usaha mengembalikan kegemilangan nasyid di Tanahair

Kepada penggiat nasyid tanahair, marilah sama bermuhasabah diri. Di mana silapnya penyampaian kita, dimanakah hilangnya nur yang menyinari hati para pendengarnya?. Ya, jiwa-jiwa semakin kontang akibat serangan banyaknya lagu yang mengkhayalkan, terlalu banyak sudah lagu yang menceritakan tentang cinta manusia yang tiada hak. Begitu juga dengan diri kita yang selalu memikirkan antara dua samada populariti ataupun keikhlasan menyampaikan dakwah melalui medium hiburan.

Perpecahan, penyingkiran tanpa hak di antara anggota kumpulan nasyid. Begitu jugalah pengambilan ahli kumpulan nasyid secara tangkap muat (baru-baru ini ada seorang ahli kumpulan nasyid yang mengaku dirinya adalah bidan terjun yang diambil untuk menganggotai kumpulan nasyid sambil bergambar dengan artis wanita - sebagai satu alasan agar dirinya tidak kena tempias akibat kata-kata manusia yang akan mempertikaikan dirinya kelak pada masa akandatang). Semua ini perlu difikirkan semula.

Dalam keadaan sibuk dengan persembahan dikembangkan lagi dengan perniagaan. Jadikanlah lagu yang disampaikan dan persembahan agar lebih berkualiti. Apa perlu bercambahnya kumpulan nasyid seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, tetapi kualitinya tetap di bawah 'standard' dakwah yang sebenar.

Wahai kumpulan nasyid yang masih hidup, yang baru hendak mula melangkah.. Anda tahu tujuan asal untuk bernasyid, ukhuwwah di antara sesama sendiri. Sama-samalah kita fikir-fikirkan.

Isnin, 22 September 2008

Meminta Dalil - Ia Bukti Kejahilan Anda!

BismiLLah,

Di sini saya sertakan satu artikel yang menarik yang diambil dari laman Http://Hembusan.blogspot.com Bacalah ia sebagai bahan untuk muhasabah tentang sikap kita sebagai penuntut ilmu, orang awam. :

Artikel asal boleh dibaca di sini.
---

Dengan nama Allah. Segala puji hanya untuk-Nya, Tuhan dan Pelindung kami, dan moga dicurahkan keamanan dan kesejahteraan kepada Utusan terakhir-Nya.

Komentar ini tidak berniat untuk menghina sesiapa. Kami sayang semua saudara se-Islam yang mencintai Allah dan Rasulullah sallahu 'alayhi wasalam, dan yang berkerja dengan ikhlas untuk deen ini, tanpa mengira apa pun pegangan yang mereka pilih. Jika kata-kata ini kelihatan agak kasar bagi sesetengah pihak, maka ia semata-mata bertujuan bagi menyampaikan maksud dengan lebih jelas dan tepat, lebih-lebih lagi di zaman yang penuh mencabar ini.

Tulisan ringkas ini ditulis berikutan satu permasalahan hukum fiqh yang telah diajukan kepada saya. Si penyoal ingin juga mengetahui dalil-dalil yang digunakan tentang sesuatu hukum. Saya menyedari bahawa si penyoal itu sebenarnya berniat untuk membandingkan dalil daripada individu-individu yang telah mereka tanya, dan kemudian membuat kesimpulan sendiri tentang pandangan yang manakah lebih kuat.

Saya berpendapat bahawa mengemukan segala dalil dari pandangan mazhab Hanafi tentang soalan tersebut kepada orang awam adalah satu tindakan yang kurang sesuai. Saya akan cuba untuk menerangkan sebab-musababnya.

Saya memberitahu hukum fiqh tersebut berdasarkan pandangan mazhab Hanafi, dan kemudian saya berkata: "Apa jua fatwa, jika ia datang dari salah satu empat mazhab yang dipegang oleh ahlus sunnah wal jamaah, adalah datang dari studi, kajian, dan ijtihad oleh ratusan ulama terbilang dari ummah ini, yang mana mereka telah memberi sumbangan besar bagi menyemak semua hukum-hakam dalam mazhab masing-masing. Mereka adalah pakar dalam segala disiplin ilmuan Islam. Ramai di antara mereka yang menghafaz lebih seratus ribu buah hadith junjungan Nabi kita. Para ulama mazhab Hanafi yang berjaya mencapai darjat kehormat ini kebanyakannya adalah Hafiz Hadith.

Bukan itu sahaja, bahkan mereka adalah golongan yang mempunyai tahap kesolehan dan ketaqwaan yang begitu tinggi kepada Allah - ia boleh dibuktikan melalui biografi mereka. Maka kita harus menerima dengan gembira segala keputusan yang mereka beri tanpa perlu meyoal apakah dalil-dalil yang digunakan. Dan kita tidak akan pandang kepada golongan yang tidak mengakui autoriti para ulama terbilang ummah ini serta asyik mahu mengkaji dalil bagi setiap hukum. Padahal golongan ini tiada langsung latihan asas dalam lapangan keilmuan Islam, atau pun pernah mempelajari mana-mana kitab muktabar dengan guru yang berkelayakan.

Adalah satu perkara yang mengarut apabila orang awam sentiasa bertanyakan dalil. Ia seperti seseorang yang tidak pernah belajar subjek sains GCSE[1] berdebat tentang teori relativiti[2] dengan seorang profesor fizik. Atau pun seperti seseorang yang tiada langsung ilmu asas biologi atau kimia yang berdebat dengan seorang doktor pakar tentang ubat manakah yang paling tepat bagi merawat sesuatu penyakit.

Orang sebegini pasti akan diketawakan! Apakah anda fikir akan ada mana-mana profesor yang akan melayannya? Profesor itu tidak akan membuang masa untuk berbincang dengannya. Orang yang begini, kalau dia betul-betul ingin memberikan pandangan tentang fizik teoritikal, harus terlebih dahulu mengambil GCSE selama dua tahun, kemudian membuat A-Levels[3] selama dua tahun, kemudian mengambil ijazah (3 tahun), kemudian buat ijazah lanjutan (1-2 tahun), kemudian mengambil PhD (3-5 tahun). Dan akhirnya barulah dia boleh duduk semeja berbincang dengan profesor!

Begitu jugalah dengan seseorang yang tidak pernah belajar langsung kurikulum asas dalam bidang fiqh, tetapi dengan berani mencabar para ulama fiqh yang terbilang, yang menjadi salaf dan khalaf ummah ini. Padahal si fulan ini tiada langsung kemahiran asas bagi memahami atau pun menilai sesuatu dalil.

Anda fikir mengeluarkan pandangan berkaitan hukum-hakam itu lebih mudah berbanding mengeluarkan pandangan dalam fizik teoritikal?

Meminta dalil bagi setiap hukum itu sendiri sudah cukup menjadi dalil jelas kejahilan anda dalam proses melakukan ijtihad.

Apakah anda fikir bahawa cara mengetahui dalil-dalil bagi setiap hukum itu adalah sekadar diberitahu sepotong ayat Al-Quran atau pun hadith? Tugas kamu sebagai orang awam atau pun seorang budak mentah yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang keilmuan Islam bukannya untuk mengetahui segala dalil bagi setiap hukum-hakam. Tetapi tugas kamu cukup sekadar mengetahui hukum bagi sekian-sekian perkara, berdasarkan salah satu daripada empat mazhab yang diterima oleh ahlus sunnah wal jamaah pada hari ini, dan pada masa yang sama harus sedar bahawa semua hukum-hakam itu dibuat berdasarkan ilmu dan kajian yang mendalam dari pelbagai jenis sumber.

Jika kamu sudah betul-betul berminat untuk mengetahui dalil-dalil bagi hukum itu ini, maka sila mulakan langkah yang pertama untuk belajar ilmu Islam yang mulia ini. Kamu sangat-sangat dialukan! Untuk mendapatkan tahap ilmu paling asas pun sudah memerlukan tempoh pembelajaran serius selama 5-8 tahun. Ini baru yang asas; ia tidak termasuk tempoh untuk melakukan pengkhususan!

Percayalah kepada saya, dalil-dalil itu ada dan wujud dalam setiap mazhab. Begitu banyak kitab-kitab rujukan muktabar mazhab Hanafi yang membincangkan dengan begitu terperinci setiap hukum yang ada, dan ia ditulis oleh ulama-ulama hadith dan fiqh yang sangat berwibawa. Jangan malu-malu untuk berjumpa mereka pada bila-bila masa jika anda ingin melihat dalil-dalil bagi sesuatu hukum yang dikeluarkan. Tetapi bagi individu yang tidak terlatih, seperti anda, pasti tidak akan dapat faham hasil tulisan dan kitab peringkat tinggi ini. Ia seperti mana pelajar sains GCSE yang membaca artikel kajian dalam bidang fizik kuantum, atau pun membaca jurnal perubatan yang begitu kompleks. Kamu pasti tidak akan dapat faham langsung apa yang dibaca, malah akan makin keliru.

Inilah masanya untuk kamu merendah diri. Jika kamu pelajar GCSE, kamu hanya perlu belajar perkara asas, dan terima sahaja apa yang guru kamu ajarkan. Bertahun-tahun lepas itu, apabila kamu sudah makin pintar, dan makin rajin mencari ilmu, kamu mungkin akan dapat membincangkan teori-teori yang sangat kompleks dan kemudian membuat rumusan sendiri.

Malangnya, sebagai sebahagian daripada bida'ah zaman moden yang patut diperbetulkan, telah wujud satu fahaman yang menjalari umat, yang mana ia menolak keempat-empat mazhab, dan memberikan dorongan kepada orang awam bagi menyoal setiap hukum - dengan itu mereka dapat membuat pendapat sendiri dan mencanai jalan sendiri! (Ini sebenarnya adalah sunnah seorang penyanyi Amerika, Frank Sinatra, yang menanyi "I did it my way'", tapi ni sudah tentu bukan sunnah para ulama salaf). Jika kamu percaya bahawa pelajar GCSE boleh mengeluarkan pendapat dalam teori kuantum, maka ahlan wa sahlan!

Kamu harus diberikan amaran bahawa apa yang kamu lakukan ini adalah haram, iaitu mengeluarkan fatwa tanpa memiliki kelayakan. Jika semua orang secara automatik berkelayakan untuk mengeluarkan/memilih hukum sendiri, ia akan membawa kepada kemusnahan dan kekacauan dalam bidang perundangan syariah. (Oh ya, hanya kerana kamu berbangsa Arab atau tahu berbahasa Arab, itu tidak menjadikan kamu seorang mufti secara automatik!). Setiap bidang ilmu ada kurikulum dan kaedah masing-masing. Perundangan Islam dan kaedah mengeluarkan hukum-hakam adalah salah satu disiplin ilmu yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk menguasainya.

Sebagai contoh, untuk menjadi seorang peguam, kamu mestilah memiliki keputusan A-level yang cemerlang, kemudian ambil ijazah Perguaman. Malah selepas itu kamu perlu lulus Bar examinations[4]. Itu masih tak cukup! Kamu kemudian perlu menghabiskan masa bertahun-tahun bersama-sama dengan seorang peguam sebelum kamu boleh menjalankan bisnes sendiri. Pada waktu ini, kamu baru setakat menjadi peguam junior. Selepas itu berapa tahun lagi yang diperlukan untuk membuat kajian dan mengumpul pengalaman yang diperlukan sebelum kamu boleh menjadi salah seorang QC, atau hakim tinggi?

Cukup ganjil apabila ada orang yang menganggap dirinya sudah layak untuk mengeluarkan hukum setelah dia membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran dan juga versi rumusan kitab Sahih Bukhari! Ini semua sebenarnya adalah refleksi kepada kejahilan kita yang teramat sangat. Kamu tidak pernah masuk sekolah Undang-undang dan kamu pula begitu teringin untuk mengeluarkan hukum??

Kamu adalah pelajar sains GCSE dan kamu pula ingin masuk bersama dalam perbincangan sesama profesor?

Merendah dirilah! Kalau kamu mahu berbincang isu-isu dalam hukum-hakam Islam, maka pergi cari para ulama yang menjadi pewaris Nabi, dan duduk bersama mereka, dan belajar dengan mereka. Tirulah juga sifat-sifat mulia yang ada pada mereka, termasuk juga ilmu yang para ulama ini miliki - mudah-mudahan kamu dapat menerima cahaya yang ada pada ilmu Islam yang mulia ini.

Jika kamu telah menghabiskan usiamu mempelajari perubatan atau kejuruteraan, atau pun sibuk dalam bidang perniagaan sehingga tiada masa untuk mendalami ilmu Islam, dan kini apabila tiba masa tua, kamu pun berazam untuk menjadi lebih 'religious' - kamu pun selalu berkunjung ke masjid dan lain-lain lagi. Tapi tolonglah, jangan fikir kamu boleh buat crash-course dalam deen ini dengan sekadar membaca Fiqh al-Sunnah atau pun Tafsir al-Mawdudi, dan kemudian kamu fikir kamu sudah sampai tahap untuk berdebat dengan para ulama. Tolong biarkan perkara berkaitan deen kepada mereka yang telah menyimpan masa muda untuknya dan telah mengorbankan masa bertahun-tahun untuk mempelajari disiplin ilmu Islam yang sangat luas ini.

Seorang daripada guru saya selalu berkara: "This is the deen, not teen (fig)!!"[5] Kamu sedang berurusan dengan ilmu Islam! Ini bukan benda main-main yang boleh diperbincangkan sesuka hati oleh orang awam. Ini datang dari budaya Barat yang menjadikan seseorang itu angkuh - mereka percaya bahawa mereka boleh memberikan pandangan dalam segala isu, dari teologi kepadalah hukum fiqh. Hakikat sebenarnya, kamu tidak berada pada kedudukan untuk menilai dalil-dalil yang ada, dan kemudian membuat kesimpulan sendiri akan pandangan manakah yang lebih kuat atau rajih.

Saya masih ingat satu perbualan saya dengan seorang remaja berusia 18 tahun, jambang dan misainya dicukur rapi, memakai jeans dan jaket kulit, di bahagian luar sebuah masjid di kawasan saya. Remaja ini mula mengamalkan Islam dengan baik sejak dua tahun yang lepas. Dia dengan agak serius menerangkan kepada saya tentang bagaimana dia menilai dalil-dalil yang dikemukakan dari mazhab-mazhab yang berlainan tentang sesuatu isu, dan kemudian dia sudah boleh membuat rumusan akan pandangan manakah yang lebih kuat! Walau pun si remaja ini tidak tahu satu pun perkataan dalam bahasa Arab, namun itu tidak membuatkannya berputus asa - pastinya dia akan mendapatkan bahan rujukan yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris!

Malangnya, si remaja ini tiada idea sama sekali betapa kompleksnya proses mengeluarkan hukum, dan juga betapa luasnya perbincangan di antara mazhab tentang sesuatu isu. Apakah dia tidak sedar bahawa dia juga sekadar bertaklid buta kepada apa jua ulama bentangkan kepadanya tentang sesuatu isu? Dia sendiri tidak pernah menyemak sama sekali sumber maklumat yang dijadikan hujah, iaitu kitab-kitab rujukan dalam keempat-empat mazhab - dia tidak melihat apakah yang diperbincangkan dalam keempat-empat mazhab tentang isu tersebut. Sudah diketahui umum bahawa kamu tidak boleh mengeluarkan hukum dalam mazhab Hanafi berdasarkan teks dari mazhab Shafi'i, dan sebaliknya. Ini kerana ia selalu memberikan pandangan kurang tepat tentang mazhab yang lain - kamu sebenarnya kena menelaah teks dari mazhab yang kamu ingin kaji, dan bukannya mengambil teks dan kitab yang ditulis oleh mazhab Shafi'i untuk menilai hukum-hakam dalam mazhab Maliki.

Saya akan berikan anda satu contoh mudah yang selalu dijumpai pada hari ini. Kita akan melihat bagaimana terdapat sesetengah umat Islam yang berfikir bahawa mereka telah pun melakukan 'ijtihad' yang sangat hebat, dan melakukan kesimpulan sendiri berkenaan sesuatu hukum (setelah menyedari bahawa semua empat mazhab telah salah sejak 1424 tahun lamanya). Isu ini adalah berkaitan tentang di manakah sepatutnya meletakkan tangan semasa berdiri dalam solat.

Hari ini agak mudah untuk melihat umat Islam yang meletakkan tangan di atas dada atau leher ketika berdiri dalam solat. Sebenarnya, kaedah sekian lama yang diamalkan lebih seribu tahun adalah meletakkan tangan di bahagian sedikit atas-atau-sedikit bawah dari paras pusat. Dan inilah cara yang dipersetujui dalam keempat-empat mazhab - dan bukannya di atas dada (kecuali bagi wanita mengikut pandangan mazhab Hanafi), dan sama sekali bukan di atas leher! (Sesetengah ulama mazhab Maliki berpendapat adalah sunnah untuk menyengetkan sedikit kedudukan tangan ke bahagian sisi badan).

Namun demikian para Imam Mujtahid muda abad ke-21 lebih cerdik. Bagi mereka, kesemua pakar dalam empat mazhab tidak pernah buka kitab Fiqh al-Sunnah, satu kitab penting bagi yang ingin menjadi mujtahid! Malah kitab ini juga banyak terjemahannya bagi mujtahid yang jahil bahasa Arab! Kamu buka dan selak bab yang membincangkan: "Sunnah dalam Solat, Kedudukan Tangan" (jilid 1, halaman 132) dan kamu akan jumpa hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi yang menunjukkan bahawa Rasulullah sallahu alayhi wasalam bersolat dengan meletakkan tangannya di atas dada. Imam al-Tirmidhi mengatakan hadith ini hasan. Kamu juga akan dapat membaca hadith serupa yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaima dalam kitab Sahih Ibnu Khuzaima, yang mana beliau menarafkan hadith ini sahih.

Nah, itu dia! Mujtahid muda ini telah pun membereskan kerjanya! Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat hadith sahih tentangnya. (Padahal tak tahu pun siapa Ibnu Khuzaima ni...tapi macam penting aje orangnya!). Keempat-empat mazhab - Hanafi, Shafi'i, Maliki, dan Hanbali - telah salah. Dan selepas itu, si mujtahid muda ini kelihatan bersolat di masjid dengan meletakkan tangannya tinggi di atas dada, dan melihat dengan pandangan menghina kepada mereka yang 'bertaqlid membabi-buta' kepada mazhab.

Sekarang kita akan melihat dengan mendalam akan 'dalil-dalil' yang diberikan dalam Fiqh al-Sunnah itu. Dan satu penemuan mengejutkan telah ditemui.

Pertama sekali, bagi mereka yang betul-betul belajar kitab al-Jaami oleh Imam al-Tirmidhi, pasti akan sedar bahawa al-Tirmidhi TIDAK pernah sama sekali menyentuh hadith yang mana Rasulullah meletakkan tangannya di atas dada ketika solat! Apatah lagi menilainya sebagai hasan!! Ini adalah kesalahan yang sangat serius bagi pengarang Fiqh al-Sunnah.

Kesilapan besar nombor dua: Walau pun Ibnu Khuzaima ada membawakan hadith tersebut dalam kitabnya, beliau TIDAK PERNAH menganggapnya ia sahih. Sebenarnya, Ibnu Khuzaima tidak langsung membuat sebarang komen tentang status hadith yang beliau muatkan di dalam kitabnya. Namun demikian, bagi sesiapa yang faham metodologi yang digunakan oleh Ibnu Khuzaima, pasti akan dapat melihat petunjuk-petunjuk yang boleh dijadikan inferens untuk menolak hadith ini sebagai hasan, apatah lagi sahih. Pertama, beliau tidak meletakkan hadith tentang meletakkan tangan di atas dada di bahagian awal bab (yang mana ini adalah kaedah lazim beliau dalam memberi isyarat tentang status hadith di dalam setiap bab). Kedua, beliau meletakkan hadith tersebut di bahagian akhir bab, yang mana ia menandakan kedaifannya.

Sekarang, mari pula kita lihat sanad hadith ini yang menunjukan bahawa terdapat Mu'ammal ibnu Ismail, yang mana majoriti ulama hadith mengatakan bahawa dia adalah periwayat yang lemah, dengan menekankan bahawa beliau seorang yang tidak kuat daya ingatan! Imam Bukhari sendiri mengatakan belliau adalah 'munkar al-hadith', bermaksud hadith yang datang darinya adalah ditolak sama sekali! Terdapat kritikan yang lebih dalam tentang sanad hadith ini, tetapi kita tidak akan membincangkan dengan lebih dalam buat masa ini.

Sekarang kita sudah pun nampak apa masalah sebenar. Mujtahid muda sebenarnya bukanlah seorang mujtahid sama sekali! Dia sekadar membaca satu bab dari Fiqh al-Sunnah dan menerima bulat-bulat dan bertaqlid apa yang dibacanya, tetapi telah merasakan dirinya telah membuat satu ijtihad mantap! Bayangkan berapa banyak lagi kesilapan ilmiah dalam kitab itu, dan kitab ini telah menjadi antara kitab paling popular di kalangan Muslim! Kesalahan yang dikorek dari kitab itu adalah begitu serius. Salah seorang dari guru saya pernah mengatakan bahawa kesalahan fakta dalam kitab Fiqh al-Sunnah itu bukannya kesilapan kecil yang kadang-kala akan dapat kita jumpa dalam tulisan-tulisan para ulama. Tetapi ia adalah bukti kejahilan mutlak pengarangnya, dan ia tidak boleh dimaafkan.

Pada akhirnya nanti, realitinya kamu akan tetap menjadi muqallid, sama ada kamu sedar atau tidak. Untuk mengikut siapa adalah terpulang kepada kamu: sama ada pengarang Fiqh al-Sunnah, atau al-Albani, atau pun salah satu dari mazhab yang empat. Akhir sekali, mempelajari dan mengetahui dalil-dalil bagi hukum-hakam bukannya sesuatu yang salah, tapi ia mesti disesuaikan dengan konteks dan tempatnya.

Sebarang komen boleh dibuat tentang isu ini, tetapi cukuplah bagi saya dengan apa yang telah diutarakan. Berdoalah kepada Allah agar Dia melindungi kita semua dalam payungan rahmat-Nya dan membimbing kita ke arah kebenaran dalam apa jua perkara. Semoga Dia memberikan kekuatan bagi kita untuk melakukan amalan yang dapat menggembirakan-Nya. Dan moga keamanan serta rahmat dicurahkan ke atas Rasulullah sallahu alayhi wasalam, ahli keluarganya, dan para sahabat Baginda. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekian alam.


Ditulis oleh:
Hamba kepada ilmu yang mulia,
Ridhwan ibnu Muhammad Saleem, [bio]
Damascus, Ramadhan 1424 H

Diterjemahkan oleh:
Tawel-Sensei,
hembusan.blogspot.com
30 Rejab 1427 H


Nota Kaki

[1] GCSE adalah singkatan bagi General Certificate of Secondary Education. Ia adalah peperiksaan yang diambil oleh pelajar sekolah berusia 14-16 tahun di Britain, Wales dan Northern Ireland.
[2] Teori relativiti diperkenalkan oleh Albert Einstein.
[3] A-Levels, singkatan Advanced Level adalah salah satu peperiksaan yang digunakan untuk memasuki sesebuah universiti. Kalau di Malaysia, ia setaraf STPM.
[4] Bar examinations adalah peperiksaan bertulis yang wajib dilalui sebelum seseorang itu mendapat lesen untuk menjadi seorang peguam.
[5] "This is the deen, not teen (fig)!!" Teen merujuk kepada pokok tiin. Rujuk Surah at-Tiin. Kata-kata ini mungkin diucapkan oleh guru beliau yang bernama Sheikh Muhammad al-Yaqoubi memandangkan gurunya ini turut fasih berbahasa Inggeris.

---

Bacaan Tambahan

1. "Refutation of those who follow other than the four legal schools" ("radd 'ala man ittaba'a ghayr al madhahib al arba'ah"), by Imam Ibn Rajab al-Hanbali (Arabic)

2. "Non-madhabism: The most dangerous innovation threatening the Islamic Law" ("La madhhabiyyah: akhtar al-bid'ah tohaddidu al-sharee'ah al-islamiyyah"), by Shaykh Dr. Muhammad
Said Ramadhan al-Buti (Head of the dept. of Sharee'ah, University of Damascus) (Arabic)

3. "The legal status of following a madhhab", by Justice Shaykh Taqi 'Uthmani (Chief Qadi of Pakistan ) (English)

4. "The Four Madhhabs", by Shaykh Abdul-Hakeem Murad (English)

5. "Benefits of the sciences of jurisprudence" ("fawaa'id 'uloom al-fiqh"), introduction to "'ilaa ul-sunan", by Shaykh Kayranwi (Arabic)

6. "Meaning of the saying of the Muttalibi Imam: 'If a hadith is authentic, then it is my madhhab'", ("ma'na qawl al-imam al-muttalib: itha sahha al-hadith fa huwa madhhabi"), by Shaykh ul-Islam, Imam Taqi ul-Deen al-Subki (Arabic)

7. "Fatwa Concerning the Obligation of Following Rightly Guided Scholars", by Shaykh Murabit al-Haajj and Shaykh Hamza Yusuf (Arabic/English)

Nota dari Penterjemah:

1. Terjemahan ini tidak boleh dianggap sebagai satu terjemahan rasmi. Namun demikian, saya telah melakukan pemeriksaan berulang-kali bagi memastikan terjemahan dilakukan setepat mungkin. Jika anda menemui bahagian terjemahan yang kurang tepat berbanding artikel yang asli, silalah kemukakan kepada saya.

2. Terjemahan ini dilakukan dengan membuat sedikit penambahan dan pengurangan pada sesetengah ayat, tetapi ia tidaklah menjejaskan dan mencacatkan maksud artikel yang asli.

Sumber Asal : http://hembusan.blogspot.com/2006/08/meminta-dalil-ia-bukti-kejahilan-anda.html

Rabu, 17 September 2008

Pemerintah..Dengarlah Rintihan Rakyatmu ini..


Wahai pemerintah, apa khabar rakyatmu pada hari ini?

Dalam keributan kemelut politik yang tidak sudah, tetap juga ada pinggiran manusia yang hidupnya mengikat perut. Bila yang di atas bertelagah, sibuk memikirkan tentang kedudukan masing-masing. Duduklah di kampung-kampung dan mendengar pakcik dan makcik mengerutkan dahinya sambil mengeluh akan kenaikan harga barang.

Harga barang naik lagi!, harga beras petas yang dahulunya dapat dimakan untuk seminggu kini dapat ditampung untuk 2,3 hari sahaja.

Kami tidak ambil tahu tentang kisahnya minyak yang khabarnya sudah turun dari 140USD kepada 90 USD. Sebab kami tidak faham tentang angka-angka itu. Yang kami tahu, anak-anak kami perlukan makan dan pakai sehari-hari. Manakan hendak dicari duit belanja sekolah, duit bas. Itupun jika ada motor perlu juga diisi minyaknya. Untuk membeli garam, gula, tepung, susu anak-anak pun perlu juga dikira banyak sikitnya.

Wahai pemerintah,

turunlah di lapangan medan kehidupan rakyat. Cubalah sehari dua belajar menaiki bas membayar tiket. Duduk di dalamnya sambil merasa air cond yang kadangkala hidup dan biasanya panas membahang tidak padan dengan harga yang dibayar. Surcaj 30% bukan kecil jumlahnya buat diri kami yang mencari makan siang dan malam dan menggunakan pengangkutan awam. Anak-anak kami yang hendak pulang ke kampung halaman di hari lebaran nanti perlukan duit juga. Kami tidak tahu rupanya ada juga ulat tiket yang mendapat duit atas angin sebulan hampir rm 3ribu hingga 5 ribu. Mereka yang perlu mengadakan pemeriksaan dan penguatkuasaan hanya setahun sekali sahajakah? Atau hanya timbul pada waktu perayaan sahaja?

Turunlah juga di pasar dan kedai runcit membeli barang harian selalu. Berapa banyak barangan yang dijual ditimbang dengan tidak diletakkan harganya. Kami hanya membayar, walaupun berat juga memikirkan tentang wang yang semakin menipis untuk membeli barang yang lain pula.

Wahai pemerintah..

Perhatikan hal ehwal kehidupan kami, kueh mueh yang dibeli tidak lagi dapat 5 biji untuk rm1.00, jika di bandar pula.. mana ada tempat untuk kami bercucuk tanam kerana di sekelilingnya adalah batu dan tar. Kasihan rakan-rakan yang tinggal di rumah pangsa kos rendah. Apa pula yang mereka makan untuk sehari-hari? Sempit dan sesak dengan anak yang ramai, tiada pula tempat untuk beriadah kerana di hadapan sudah jelak memandang pintu rumah.

Wahai Pemerintah..

Perhatikanlah pendidikan agama kami.. dahulu kami senang untuk melakukan amal ibadah tanpa ada rasa was-was. Kini sudah ada golongan yang mempertikaikan amalan kami dengan tuduhan sesat dan terkeluar dari ajaran Islam. Kami dalam kepeningan dan keliru. Mana satu yang perlu kami ikut? Anak-anak kami ada pula di antaranya yang berlaku kurang ajar dengan orang tua. Yang rajin menghadiri kelas agama boleh dibilang dengan jari. Bahkan di antara kami sendiri ada berlaku tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Sungguh kami keliru!

Terima kasih kerana membantu kami dari sudut pembangunan, tetapi alangkah baiknya sekiranya pembangunan itu didirikan selari juga dengan pembangunan kerohanian.

Resah..risau melihatkan anak-anak yang tidak kenal tikar sejadah, sedih bila ramai yang tidak tahu bagaimana untuk bersyahadah. Di pelusuk pedalaman bukan tiada anak-anak remaja yang melahirkan anak luar nikah. Di waktu malamnya merempit dan di waktu siangnya menghidu gam, minum arak dan berpeleseran. Di pusat bandar pula kami hanya mampu menggeleng kepala, entah yang mana perempuan dan yang mana pula lelaki. Adakah ini yang dinamakan zaman berteknologi sehingga semua perlu ditiru serba serbi?

Wahai pemerintah..

Cukuplah dengan bertelagah, kami ini hanyalah pelanduk di tengah-tengah gajah yang sedang berkelahi. Nasib kami siapalah yang akan ambil peduli...

Selasa, 16 September 2008

ALlah Maha Mengetahui (Ilmu)

Ilmu ertinya mengetahui. Iaitu sifat yang qadim lagi azali yang berdiri pada zat ALlah ta'ala. ALlah ta'ala mengetahui dengan nyata dan terang akan tiap-tiap sesuatu. Samada yang maujud (ada) atau yang ma'dum (tiada).

ALLahu ALlah... Dialah yang mengetahui apa yang tersembunyi, yang tersirat di dalam jiwa manusia, jin dan segala makhluk-Nya. Tiada satupun yang terlepas dari pengetahuan ALlah. Tentunya jika manusia menyedari kehebatan ALlah yang Maha Mengetahui ini, makin dekat diri dengan ALlah. Semakin banyak berfikir sebelum berbuat sesuatu perkara yang boleh menimbulkan kerosakan di mukabumi.

Apa yang belum ada atau yang telah ada, yang nyata atau tidak nyata, walau bagaimana halus atau besar sekalipun. Dari sekecil-kecil atom (itu yang baru diketahui manusia) bahkan lebih dari itu ALlah amat mengetahui tentangnya.

Ilmu manusia - amatlah terbatas. Kita tidak boleh berbangga dengan ilmu yang sedikit kerana ia adalah kepunyaan ALlah. Semua ilmu yang kita tahu selama ini rupa-rupanya adalah berpunca dari ALlah. Siapalah kita dibanding dengan ALlah sehingga boleh menjadi seorang yang bongkak dan takbur.

Tentulah mereka yang menyedari sifat ALlah ini akan sedar dirinya adalah terlalu kerdil dan hamba.

Firman ALlah ta'ala yang bererti :

Dan Dia (Tuhan) yang mengetahui segala sesuatu (Al Baqarah:29)

Khamis, 11 September 2008

Musuh Kita Adalah Sikap


Pernah hadapi situasi begini ? Sebuah kereta (tidak kiralah apa jenis dan warnanya) memotong laju kereta yang lain. Entah apa yang dikejarnya.. Sampai di lampu isyarat, jeling sekejap di cermin tingkap. Rupanya kereta itupun terpaksa berhenti walaupun kelajuannya tadi mengejutkan juga. Apa yang dikejar sebenarnya?

Tidak berapa lama dahulu ada ura-ura dari kerajaan untuk menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar di belakang dan ia sudah dikuatkasakan pada Jun 2008. Maklumlah sudah ramai orang yang berani mati di jalanraya. Walaupun terkadang memang sudah berhati-hati menjaga semua aspek keselamatan. Tetapi berlaku juga kemalangan kerana kesalahan orang lain.

Pemandu yang membawa kenderaan besar, tolong hormat juga kenderaan kecil yang lain. Bukan susah pun nak beri laluan atau lalu di laluan lorong kiri yang telah ditetapkan. Anda bawa terlalu laju sehingga orang di dalam bas pun tidak senang duduk. Nyawa yang anda bawa itu tidak ternilai harganya. Barang yang anda bawa itu pula bukan ringan kilonya..

Wahai pemandu motor... pakailah helmet dengan betul, jangan asal sahaja pakai sehingga lupa hendak mengikat tali helmet. Ingatlah, dibandingkan kepala kita dengan jalanraya, yang lebih keras adalah tar jalan tersebut.

Kenderaan warna hitam, pakaian pun hitam, helmet juga hitam - jangan sampai hitam masa depan sudahla..

Wahai orang kita, ayat al Quran yang ditampal itu bukan azimat yang boleh menjamin keselamatan jika sekadar perhiasan. Bacalah doa sebelum memulakan perjalanan. Kawal mental agar dapat bersabar dalam apa jua keadaan.

Orang kita.. dalam keadaan kesesakan lalu lintas, tidak perlulah menekan hon berkali-kali bagai orang yang hilang akal. Perbuatan itu hanya sia-sia sahaja sekiranya di hadapan nun jauh di sana keadaan yang sama berlaku kerana kecemasan. Orang lain pun nak cepat juga - tetapi tetap juga kena bersabar. Sebab kita sama-sama berada di atas jalanraya.

Ibu dan bapa - perhatikan anak-anak kita yang suka merempit, dan rajin 'modified' motornya. Keinginan anak perlu dikawal juga. Bukan semua keinginannya perlu diikut tanpa memikir untung ruginya di masa hadapan. Jika sudah berbalut kepala, tergantung kaki. Kita juga susah memikirkan tentang Duit terbang, waktu yang terbuang dan masa depan anak yang semakin kabur.

Ubahlah sikap wahai orang kita, orang lain pun hendak hidup lama. Berapa banyak sekalipun undang-undang diperkenalkan, tetapi perangai tidak berubah. Kadar kemalangan tetap meningkat juga.

Ingat wahai diri akan peringatan-Nya :

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّہۡلُكَةِ‌ۛ وَأَحۡسِنُوٓاْ‌ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٩٥)

“Dan janganlah mencampakkan dirimu sendiri dalam kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" (Al-Baqarah: 195).

Sama Di Luar Dan Dalamannya

Khalid bin safwan menceritakan : "Suatu ketika saya bertemu Maslamah bin Abdul Malik di Herat. Katanya : Wahai Khalid ceritakan kepada saya tentang al Hasan al Basri. Saya rasa engkau lebih mengenalinya daripada orang lain. "

Saya pun menjawab :"Memang benar saya adalah orang yang paling arif untuk menceritakannya kerana saya adalah jirannya. Saya juga sering bersamanya. saya adalah penduduk Basrah yang paling mengenalinya."

"Ceritakanlah apa yang engkau tahu," desak Maslamah lagi.

Saya pun memulakan cerita:"Al Hasan adalah seorang yang sama luaran da dalamannya. Setiap yang diucapnya pasti selari dengan perbuatannya. Apabila beliau mengajak manusia melakukan kebaikan, beliau adalah orang yang pertama melakukannya. Apabila beliau melarang manusia melakukan kejahatan, beliau adalah orang pertama meninggalkannya. Saya lihat beliau adalah seorang yang tidak mengharapkan bantuan manusia. Beliau seorang yang zuhud dan menjauhi daripada mengambil segala yang ada di tangan manusia lain. Namun saya melihat manusia amat mengharapkannya dan sentiasa meminta apa yang ada padanya."

Maslamah mengangguk- anggukkan kepalanya tanda bersetuju seraya berkata :"Cukuplah Khalid, cukuplah. Tidak mungkin manusia akan sesat jika ada orang seperti ini di kalangan mereka!".

***

Apabila al Hajjaj bin Yusuf al Thaqafi dilantik sebagai pemerintah Iraq dan bertindak zalim serta kejam di wilayah pemerintahannya, al-Hasan al-Basri adalah di antara segelintir manusia yang menentang kekejamannya. Beliau di antara segelintir manusia yang menegur keburukan al Hajjaj dan menegakkan kebenaran.

Sebagai contoh, suatu ketika al Hajjaj membina sebuah bangunan miliknya di Wasit (sebuah bandar yang terletak di antara Basrah dan Kufah). Apabila pembinaan itu siap, al Hajjaj menjemput orang ramai untuk melihat dan mendoakan keberkatannya.

Al Hasan tidak mahu kesempatan orang ramai berkumpul ini dilepaskan begitu sahaja. Beliau berhasrat untuk memberikan mereka nasihat. Beliau mahu mengingatkan mereka supaya bersederhana dengan kesenangan dunia serta menggalakkan mereka mengejar ganjaran ALlah ta'ala. Apabila sampai ke tempat tersebut, beliau melihat orang ramai mengelilingi istana yang tersergam indah. Mereka kelihatan kagum dengan hasil binaan, keluasan dan keindahan binaannya. Lantas al Hasan berucap. Di antara isi ucapannya :

"Kita pernah melihat bangunan yang dibina oleh manusia yang paling keji di dunia. Kita dapati Firaun telah membina bangunan yang lebih besar dan lebih tinggi. Namun akhirnya ALLah binasakan Firaun dan semua bangunan yang dibinanya. Mudah-mudahan al Hajjaj mengetahui penghuni langit amat memurkainya dan penghuni bumi sedang memperdayanya."

Al Hasan terus menyampaikan ucapannya dengan nada yang sedemikian rupa. Ada di kalangan pendengar yang bimbang dengan tindakan jahat al Hajjaj berkata kepadanya :"Cukuplah wahai Abu Said, cukuplah."

Namun al Hasan membalas : "Sesungguhnya ALlah telah membuat perjanjian dengan mereka yang berilmu supaya mereka menyampaikan ilmu mereka kepada seluruh manusia."

Khamis, 4 September 2008

Hargailah Sebuah Kehidupan


Kita hidup di hari ini untuk apa? Apa tujuannya?

Ada manusia yang tertanya-tanya mengapa ia hidup, apa peranannya di muka bumi ini. Ada manusia yang menghabiskan masanya dengan bersukaria sebab dirasanya hidup ini hanya untuk di dunia sahaja. Ia menumpukkan harta benda, wang, isteri dan anak-anak dibiarkan tidak terbela jiwanya.

Ada juga manusia yang tidak tahu mengapa ia dijadikan, lalu menyesal dengan dirinya. Walaupun hidup dengan serba kemudahan. Jiwa terasa kosong, lalu ia mencari dirinya - dikaji segala kemungkinan mengapa manusia hidup di dunia. Mungkin sahaja ia mendapati sains dapat menyelesaikan persoalan yang sudah bertalu-talu datang di dalam pemikiran. Malangnya - anaknya yang mati - ia tidak dapat menerima walaupun dirinya hebat untuk mengubat. Akhirnya ia membunuh diri kerana kecelaruan fikiran dan sudah sampai batasan akalnya memikirkan kehidupan tanpa panduan..

Ada juga yang mahu menjadi baik di sepanjang kehidupannya. Menderma, menolong orang susah, menjaga nama baik diri, keluarga dan jiran-jiran. Ia disenangi orang, sehinggalah ke matinya. Tetapi sayang.. di dalamnya tetap ada kekosongan, iaitu tidak percaya kepada Tuhan.

Ada juga manusia yang hidup sekadar meneruskan penghidupan, ia tidak kisah ke mana ia akan pergi selepas itu. Tidak kisah samada kebaikan atau kejahatan, tetaplah dikerjakan.

Di sana ada manusia yang hidup terlantar di katil hospital, di temani dengan segala jenis pil, balang oksigen. Setiap waktu jururawat dan doktor akan datang untuk memeriksa urat nadinya. Lalu ditulis perkembangan kesihatan, samada bertambah baik atau bertambah buruk.

Di luar pula - ada pula manusia yang mati tanpa menunjukkan tanda ada penyakit. Ramailah yang meninggal dunia di atas jalanraya, dalam peperangan, ketika sedang bersukan, semasa dalam keadaan berehat, duduk, tidur, menari-nari dan sebagainya berbanding mereka yang dalam kesakitan.

ALlah mengajar mengapa kita semua dijadikan :

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu. (Surah Ad-Dzariyyat ; 56).

Apa yang Kita Isi Dalam Kehidupan?

Sesaat, dua, mungkin bagi kita tidaklah penting, tetapi ingatlah apa yang berlaku sepanjang masa tersebut amatlah penting. Setiap perbuatan dari apa yang kita fikirkan amatlah berharga. Malanglah sekiranya perbuatan tidak diukur dengan semasak-masaknya. Hasil dari perbuatan dan kesannya jika ia adalah buruk. Maka tentu di bahu-bahu kita sudah tertulis dengan kejahatan. Apatah lagi sekiranya ia melibatkan hubungan dengan manusia yang tentunya lebih berat ditanggung nanti.

Apa yang kita lalui di dalam kehidupan, setiap detik dan waktunya amatlah penting dan berharga. Tersilap percaturan buruk padahnya..

1. Sudah langsaikah hutang piutang? Hak ALlah? Hak sesama manusia?
2. Berapa ramai yang disakiti hati mereka?
3. Sudah sampai manakah jalan yang dipilih? Semakin benar atau salah?
4. Sumbangan kepada jalan agama?
5. Amal jariah yang disimpan untuk bekalan di akhirat sana?
6. Kehendak dan keinginan - yang manakah lebih utama?
7. Apa kisahnya hal aqidah, syariat dan akhlaq pada diri? Isteri? Keluarga?
8. .......

Di sini ada jawapannya dari ALlah :

Katakanlah "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah al An'am: 162)

Fahamilah sebuah kehidupan untuk dihargai dan diberi makna di dalamnya. Walaupun susah, sukar, payah dan getirnya.. lalui juga sebagai seorang insan yang beriman..