Isnin, 31 Disember 2007

Bersabarlah di dalam menerima dugaan..

Kepada sahabatku... terimalah perkataan SABAR di dalam hati di dalam mehnah yang selalu menghambat perjalanan.

Dugaan terkadang datang bukan dari diri kita, ia juga datang pada sekeliling. Kita mengharapkan sesuatu untuk digapai. Kita sudah ada perancangan, kita sudah ada landasan, kita sudah ada asa, kita sudah buat segala-galanya. Maha Suci ALlah - Dia sahaja yang menentukan hasilannya.

Ya...di dalam setiap inci kehidupan yang ada, terkadang mata terlepas pandang kerana tidak semua kita mampu menanggungnya.

Di dalam berukhuwwah sesama keluarga, bersabarlah dengan tingkah laku mereka. Entah, mungkin tidak sabar lalu lidah kita terlacur kata. Perbuatan kita mengundang terasa hati. Selagi boleh bersabar, cubalah buang ammarah itu di jalan yang positif.

Abangku sakit.. keluargaku susah... bumbung di rumah sudah bocor di sana sini... Tuhan - Dia memberikan kita ujian sesuai dengan kesanggupan. Dia menganugerahkan kesakitan sesuai dengan iman. Rawatilah keluarga dengan penuh kesanggupan. Mungkin dengan memberikan senyuman kepada mereka maka ALLah sudah memasukkan diri kita di kalangan daftar orang-orang yang diredhaiNya..

Terkadang ALLah menguji kita dengan kesibukan.. masa yang pendek dibanding dengan tanggungjawab yang terlalu banyak. Sedikit benar masa yang dapat diluang bersama anak-anak dan isteri. Dahulu dapat meluangkan bersama dengan rakan-rakan seperjuangan, kini telah dijemput untuk tinggal di ruang kesibukan.

Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), Mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa. (Al Baqarah:177)

Sabarlah, ALlah pun sudah memujuk kita di dalam firmanNya..

Sifat Pemurah Abu Hanifah

Sifat pemurah Abu Hanifah tersebar begitu luas, terutamanya di kalangan teman-temannya. Suatu hari seorang temannya datang ke kedainya. Sambil melihat kain-kain yang tersusun rapi di kedai tersebut dia berkata :

" Saya memerlukan sehelai baju bulu, wahai Abu Hanifah," Sambil tersenyum Abu Hanifah bertanya: Warna apa yang kamu inginkan?

Temannya menjawab: "Warnanya...."

"Tungguhlah hingga saya memperolehinya dan saya akan bawakan kepadamu,: jawab Abu Hanifah sambil tersenyum.

Apabila hari Jumaat, baju yang dipesan pun tiba. Lantas baju ini dibawa kepada temannya. Sambil mengeluarkan kain bulu tersebut Abu Hanifah berkata :"Saya telah menerima pesanan yang engkau perlukan."

Dengan wajah yang girang, temannya bertanya:"Berapakah harganya?"

"Satu dirham."jawab Abu Hanifah

"Satu Dirham?!" balas temannya dengan terkejut.

"Ya.",tegas Abu Hanifah.

Temannya merasa tidak percaya dengan kata-kata Abu Hanifah:"Apakah engkau bergurau, wahai Abu Hanifah."

Abu Hanifah menguntum senyum seraya berkata:"Saya tidakbergurau. Saya beli baju ini bersama satu lagi baju dengan harga 20 dinar emas dan satu dirham perak. Sehelai saya telah jual dengan harga 20 dinar emas dan tinggal yang ini saya jual dengan satu dirham. Saya tidak mahu ambil untung daripada teman saya."

Perkahwinan dah jadi satu bisnes?

"Engkau bila pulak nak kahwin? Dah tunang?" Aku bertanya kepada rakan baruku selepas makan nasi goreng padprik di Sg. Wang. "Aku tengok hantaran zaman sekarang pun dah gerun, perkahwinan dah macam satu bisnes!", jawabnya.

Benar juga pendapatnya, mungkin zaman ini perkahwinan sudah seperti perniagaan. Itu baru hantaran kepada anaknya yang kadang-kadang sehingga ke angka yang menyusahkan pihak lelaki. Rata-rata jumlah hantaran tidak kurang dari rm5000 bahkan menjangkau sehingga rm400,000 agar nampak lebih grand. Belum lagi dicampur kalikan dengan barang hantaran, kenduri, beras petas, pengangkutan, catering, mak andam, barangan hantaran, kad jemputan, semuanya perlu difikirkan. Perlu dicari rezeki tambahan.

Perkahwinan di zaman ini untuk mencari keberkatan atau mencari kewangan agar orang akan nampak menantunya kaya, berduit dan kocek yang sentiasa penuh? Padahal ia hanya akan menambahkan beban di bahu lelaki. Perkahwinan akan dirasakan satu kepayahan dan akhirnya ramailah andartu, andalusia. Bukan sahaja institusi perkahwinan yan berkualiti akan jatuh merudum, ia juga turut menyumbangkan kepada jumlah penyakit zina yang kian membarah di dalam masyarakat.

Hantarankah menjadi pengukur kebahagiaan untuk dibawa hingga ke alam sana?

Hantaran hanya merupakan satu adat yang nampaknya semakin menjauhkan orang lelaki dari mengahwini seorang wanita. Hantaran tidak ada disebut wajib diberi, tetapi mahar atau mas kahwin adalah pemberian yang wajib atas sebab pernikahan. Itupun ada batasannya dan bukan menjadi keutamaan.

Dari athar (perkataan dari sahabat) - Dari Abu Dawud, Tirmidzi dan lain-lain meriwayatkan bahawa Abu al "ajfa' berkata : Aku telah mendengar Umar r.a berkata : "Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam menetapkan mahar bagi perempuan, kerana kalau itu menjadi kemuliaan di dunia atau ketaqwaan di akhirat, tentu yang paling utama dengannya daripada kamu adalah Nabi s.a.w. Tetapi beliau tidak pernah memberi mahar kepada isteri-isteri beliau dan tidak juga anak-anak beliau diberi mahar lebih daripada 12 'uqiyah (480 dirham)".

Dari Hakim meriwayatkan daripada 'aisyah r.a bahawa rasuluLLah s.a.w bersabda yang bererti : "Perempuan yang paling berkah adalah yang paling ringan sodaqnya (mas kahwinnya)".

Benarlah untuk mencari wanita yang solehah sudahlah susah di zaman ini, kena pula dengan ibu ayah yang menetapkan hantaran yang melampau. Anak-anak pula ada fitrah yang perlu disalurkan di jalan yang halal.

Perkahwinan bukan untuk dilihat angka duit yang tertera di dalam majlis akad, untuk diambil gambar, dibangga-banggakan. Perkahwinan itu membawa kepada institusi keluarga yang berkualiti yang diharapkan padanya berpanjangan hingga ke mati dan dibawa ke akhirat kelak.

Selasa, 25 Disember 2007

Hebatkah Kita?


Untuk menjadi seorang yang hebat.

1. Ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita
2. Suka membaca dan mengikuti kehidupan orang-orang yang berjaya
3. Mempunyai banyak pemikiran yang positif supaya dapat dijadikan motivasi bagi menjadi orang yang hebat.
4. Tidak suka beralasan
5. Ada cita-cita yang hebat (boleh direalisasikan mengikut kemampuan)
6. Ada disiplin diri

Cuma yang kengkadang menjadi persoalan pada diri saya, hebat sebenarnya adakah melalui cara berfikir atau melalui tindakan atau menulis atau bagaimana yang kita fikir?

Dan dalam fikiran saya - orang yang suka menonjolkan diri untuk menunjukkan dirinya hebat (padahal 'tin kosong') adakah ia hebat? Atau sedang dalam proses untuk belajar menjadi hebat?

Bagaimana pula cara menjadi seorang Muslim yang hebat? Melalui ilmunya? TaqwaNya kepada ALlah? Ada PhD, Master? Bachelor? atau usahanya untuk menjadi Muslim yang hebat? Dengan memberi sumbangan kepada umat Islam? Atau hanya untuk diri sendiri?

Setelah berjaya menjadi hebat dalam akademik contohnya : bagaimanakah pula ilmu itu akan digunakan? Semata-mata di atas kertas? Disampaikan juga kepada pelajar-pelajar? Dapat digunakan untuk membangunkan umat?

Hebat kita di hadapan manusia melalui tulisan, kata-kata, pangkat, pakaian, harta - hebatkah kita di hadapan ALlah?

Setiap orang akan mendefinisikan hebat melalui kemampuan pengetahuan yang ada pada dirinya sendiri.

p/s : Maaf - saya sedang bermonolog dengan diri sendiri. Dan jika ada yang terfikir seperti saya bolehlah memberikan pandangan.

Jumaat, 14 Disember 2007

Mereka menipu kerana kita yang menggalakkan..


"Kak, kenapa ikan pari bakar nih macam tak masak je? ", tanyaku kepada kakak yang menjual nasi campur di sebuah restoran di dalam sebuah pusat membeli belah di pusat Bandar Kuala Lumpur. Lalu dia datang dan membelek-belek ikan pari tersebut yang sudah dimakan separuh olehku (baru makan setengah baru perasan ikan pari tersebut tidak masak sebahagiannya-sebab pada sangkaanku memang ikan yang sudah siap dibakar baru diletakkan di dalam bekas untuk dijual). Kemudian dia mengambil ikan tersebut dan membawa ikan pari yang baru dan aku bertanya lagi "kena bayar tak nih kak?". Dan dia mengatakan tidak perlu membayar sebagai mengganti ikan pari bakar yang sudah dipulangkan tadi.

Kita sentiasa berurusan dengan kegiatan jual beli yang melibatkan transaksi antara barangan dan wang. Di negara kita memang terkenal dengan sikap orang Islam yang mudah 'menghalalkan' apabila berkaitan dengan perkara yang dianggap remeh terutamanya melibatkan soal hak sebagai pengguna.

'Consciousness of Customer rights among Malaysian' nampaknya masih di tahap yang amat rendah terutamanya kepada umat Islam. Mentaliti 'takpelah, lebih kurang sudah la, tak mengapa saya halalkan'. Akhirnya hanya membuatkan sang peniaga yang memang sudah jelas suka menipu pelanggan akhirnya berani untuk melakukan penipuan berulang kali. Kita redha dengan perbuatan peniaga tersebut sedangkan adakah perbuatan 'redha' itu mendapat keredhaan daripada Allah?


Pelik ye, dalam menyatakan kebenaran kita pun takut, memberikan kritikan untuk kebaikan kita rasa segan. Tetapi di dalam masa yang sama kita membiarkan kemungkaran di dalam perniagaan berleluasa. Itu belum lagi dengan mentaliti 'suka ditipu' oleh penjual secara langsung ubat-ubatan, kosmetik, kad privileges (kad keistimewaan ahli) yang ditawarkan, kegiatan jual beli saham dan skim cepat kaya.


Cuba Tanya kepada diri sendiri, kita membeli barang kerana faedah barang tersebut untuk keperluan atau atas sebab terpengaruh dengan bujukan pegawai pemasaran tersebut? Begitu juga, kita takut untuk menyatakan hak kita di dalam mengetahui detail barangan yang kita akan beli daripada penjual. Sudahkah kita membuat 'survey' harga barangan yang akan dibeli di beberapa tempat alternatif? Jaminan barangan tersebut? tarikh luput? Sudahkah kita mengambil tahu mengenai halal dan haram barangan yang digunakan? Adakah kita mengambil tahu tentang tempat pengaduan seperti kewujudan Tribunal Pengguna serta kementerian yang bertanggungjawab terhadap harga pasaran barang?


Saya teringat satu hadith (ketika belajar mengenai syarah hadith mengenai penipuan) yang menyebutkan mengenai larangan oleh rasuluLLah kepada peniaga yang melakukan pembohongan di dalam perniagaan dengan meletakkan makanan yang baik di bahagian atas sedangkan di bawahnya diletakkan makanan yang sudah basah dan rosak. Dengan sabdanya "Man Ghassyana falaisa minna" yang bererti 'sesiapa yang menipu bukan dari golongan kami (umat Nabi Muhammad)'. (Riwayat Muslim)

Jika mereka suka menipu, janganlah pula menjadikan diri kita suka ditipu dan biarkan terus mereka menjadi penipu. Sedarlah.. bila lagi?

Rabu, 5 Disember 2007

Ukhwah - Di Sini Kasih Sayang Bersemi.

Semoga kita semua faham ukhwah adalah satu keterikatan hati antara dua atau lebih insan yang bersaudara.Tentu akan lebih faham apabila ukhuwah yang dibina atas dasar cinta kerana Allah akan lebih bertahan lama berbanding nafsu.

Ukhuwah adalah rasa persaudaraan, saling sayang menyayangi antara satu sama lain tanpa didasari oleh kepentingan sesuatu.

Mungkin boleh dikira, mereka yang benar-benar faham siapakah itu saudara. Di dalam Islam, ikatan aqidah adalah melebihi ikatan darah daging. Tidak mengenal batas usia, warna kulit, bangsa, darah, harta dan keturunan.

Untuk memperbanyakkan saudara, kita tidak boleh pula duduk seorang diri mengharapkan orang lain akan menyapa. Sehinggalah kita sendiri keluar dari lingkungan ‘persendirian’ kepada lapangan persaudaraan.

Untuk memulakan persaudaraan kena saling kenal mengenal tentang diri seorang kawan, namanya, ibu ayahnya, perasaan, latarbelakangnya . Bukan apa, kadang-kadang kita terburu-buru di dalam mengenali seseorang – cakap kita lepas mendasar di dalam hati. Akhirnya kasih sayang yang sepatutnya mula hendak mekar di dalam hati bertukar menjadi benci yang tidak terperi.

Kesilapan di dalam perhubungan adalah buruk sangka dan cepat membuat penilaian. Hendak membina sebuah perhubungan yang baik amatlah payah, terkadang mengambil masa bertahun-tahun. Bagi mempertahankan sebuah hubungan terkadang memerlukan pengorbanan dan kesabaran manakala untuk meruntuhkannya pula cukup dengan satu perkataan atau perbuatan.

Fahamkanlah – untuk menasihati seorang kawan atau teman memerlukan cara yang amat berhikmah sesuai dengan keadaan dirinya. Bila terlanjur kata, buruk padahnya. Tetapi itu bukanlah menjadi ruang untuk menjarakkan hubungan hanya dengan sebab kata nasihat yang baik tetapi sukar untuk diterima. Rupanya keterikatan hati itu juga lahir dari perkataan mudah menyatakan terima kasih dan meminta maaf serta memaafkan.

Di zaman sahabat dahulu, mereka yang terlibat di dalam ghazwah akbar melebihkan saudaranya dari diri sendiri. Seorang sahabat tidak tega melihat saudaranya yang cedera parah di dalam keadaan kehausan sedangkan di ketika itu ia sendiri berada di dalam dahaga yang amat sangat. Dan begitulah seterusnya, sahabat yang diberi air itu merasa belas melihat saudaranya yang lain yang juga di dalam keadaan haus. Akhirnya ketiga-tiganya syahid di dalam menyintai antara satu dengan yang lain.

Diriwayatkan oleh Muslim didalam hadis Qudsi yang bermaksud: "Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali nuangan-Ku"

Persaudaraan menyuburkan iman, mengeratkan kasih sayang. Lambang keunggulan dan ditakuti oleh musuh. Persaudaraan membuka pintu-pintu rezeki, memberikan senyuman kepada orang yang bersedih. Memberi motivasi untuk meneruskan kehidupan di muka bumi Tuhan ini.

Hadis Abu Hurairah (R.A) maksudnya: " Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya (sahabat) di sebuah kampung yang lain, lalu Allah menyuruh malaikat memerhatikannya di atas jalannya. Maka tatkala dia sampai dia berkata : Engkau hendak ke mana ? Lelaki tersebut menjawab: Aku hendak menemui seorang saudaraku di kampung itu. Malaikat bertanya lagi " Adakah engkau telah berbudi kepadanya dan engkau mengharapkan balasannya?" Beliau menjawab " Tidak, aku mencintainya kerana Allah" Maka malaikat itu berkata kepadanya "Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau, sesungguhnya Allah telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai dia kerana Allah".

Sudahkah kita mengucapkan lafaz kasih sayang kepada saudara-saudara kita?

Semalam Yang Indah di Pos Kuala Mu



Hari terakhirnya kami berada di Kg Bersah, Pos Kuala Mu - berpagi-paginya memang sejuk. Macam kata Ustaz Mat Som "kalau nak tengok udang banyak, tunggu pagi ".

Kami memberikan sarapan pagi kepada kanak-kanak dan penduduk kampung pada pagi tersebut dengan hidangan mihun. Makan ramai-ramai di rumah ABIM dan kemudian menyediakan ration (bahan mentah, seperti teh, sabun serbuk, beras) kepada penduduk Pos Kuala Mu.



Muslimat yang tolong sekali memasak mihun, dan adik-adik yang setia menunggu .

Tengahari tu kami menziarahi penduduk Pos Kuala Mu, dengan membawa ration.



Kami bersama Ustaz Abd Razak berbincang dengan penduduk di Pos Kuala Mu tentang bilangan orang Islam di pos tersebut.



SubhanaLlah, indahnya alam Tuhan, gambar di perkampungan Pos Kuala Mu. Atiqah yang tunjukkan suasana ini (selepas saya tengok gambar di kamera digitalnya). Saya tinggal ambil gambar je.




Bergambar kenang-kenangan sebelum pulang




Perjalanan Pulang dan Bergambar dengan Ustaz Zainal setelah keluar dari Pos Kuala Mu

Bila ukhuwah kerana ALlah, bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah. Semoga mereka yang ditinggalkan akan bertambah iman dan amalnya kepada ALlah, dan kepada kami dan seluruh umat Islam, semoga selalu istiqomah di dalam perjuangan dakwah ini... Amiin..




Selasa, 4 Disember 2007

Sahabat, masih ada waktu, untuk kau dan aku menghitung dosa-dosa lalu.


Ada suatu ketika orang bertanyakan padaku siapakah itu yang dikatakan sahabat. Dia lelah memikirkan bagaimana ingin mencari sahabat yang baik, kerana disekelilingnya penuh dengan kawan yang bersifat kepura-puraan. Di hadapan kita bukan main senyum manisnya, elok perkataannya, tetapi di belakang kitalah yang dijadikan bahan untuk diperkatakan. Didedahkan segala keburukan seolah2 tidak pernah ada satu pun kebaikan yang tinggal.

Akhir-akhir ini, sifat para sahabat yang mulia semakin hilang, mereka telah berani mengajak untuk berbuat kemaksiatan, katanya apa guna ada sifat malu, sedangkan kita semakin ketinggalan. ada yang sudah berani mengherdik dan menjatuhkan air muka kita di hadapan ramai.

Bukankah di zaman ini, untuk menyebarkan salam sahaja amat payah? walaupun ketika berselisih, padahal dia adalah teman serumah, padahal pernah satu tempat belajar, padahal pernah bertegur sapa sebelum ini. Bila ia melihat kita, ditariknya muka masam, sedangkan tidak tahu apa asal punca hingga meninggalkan kita dalam keadaan bingung. Tiba di dalam kerja berkumpulan, kitalah yang bertungkus lumus membuat dan berusaha menghabiskan tugasan. Setiba sahaja pada giliran mereka, bermacam dalih diberi, katanya `kerja ini tidak sesuai untuk dirinya, beratlah, membuang masa, berbaloikah kerja bersusah-susah begini?, nantilah tolong, banyak lagi kerja lain yang perlu disiapkan’ padahal kenyataannya, dia masih boleh bersenang lenang membuang masa, boleh keluar untuk bermain-main malahan tidurnya lebih panjang dari biasa.

Ada
juga kawan yang kita selalu berikan padanya dorongan dan tongkat untuk ia berdiri ketika ia di dalam kesusahan. Tetapi madu itu dibalasnya dengan tuba yang menghiris hati, hampir-hampir sahaja air mata mengalir, tetapi ditahankan saja, kerana barulah ketika itu tahu, ramainya sahabat yang tidak mengenang budi. Rupanya semua yang di hadapannya adalah sandiwara semata, masa perit dan sakit, diusungnya muka di hadapan kita meminta pertolongan, dikeluh kesahkan kisahnya hingga berjurai air mata. Kenapa tuan, inikah dugaan namanya untuk mendapatkan sahabat yang sejati, yang boleh aku percayai?

Maka aku menasihatinya, kerana kusedar bahawa hak seorang Muslim itu bila diminta nasihat maka wajib kita memberikan pertolongan. Benarlah ia dugaan buat yang ingin mencari erti sahabat yang sebenar. Maka aku katakan, bahawa seorang sahabat itu adalah yang dapat kita contohi peribadinya yang mulia, yang dapat berkata benar bukan hanya membenarkan sahaja apa yang sahabatnya perkatakan. Bahawa seorang sahabat itu adalah cermin untuk melihat kekurangan, bukan ia seorang yang memuji selalu hanya untuk menyenangkan hati padahal ia adalah palsu dan menghancurkan diri.

Sahabat itu adalah yang berada di sisi ketika di dalam memerlukan, benar ia di hadapan dan tidak curang pula ketika ia tiada bersama-sama. Seorang sahabat, dialah yang dapat menguatkan semasa sahabatnya diuji, mencintai sahabatnya melebihi ia menyintai dirinya sendiri.

Sahabat itu adalah yang menyenangkan hati, walaupun ada kalanya ia menyinggung (kerana tidak sengaja). Tetapi bila sahaja ia sedar, lekas-lekas ia meminta maaf. Bila tersilap dan terlencong, maka dipandunya kita dengan rasa kasih, diperbetulkan dengan rasa jujur tanpa rasa bosan sedikitpun, bukan pula ia melarikan diri dan meninggalkan sahabatnya itu dalam keadaan sedih dan keseorangan. Ketika di dalam perkumpulan, ringan tangannya, lapang dadanya untuk membantu. Tak perlu disuruh, bahkan ia bertanya apa yang dapat ditolong, diringankan kesusahan? Jadilah ia seorang Mukmin itu dengan mukmin yang lain bagaikan binaan yang menguatkan antara satu sama lain.

Maka perbanyakkanlah perkataan sabar di dalam hatimu, kerana sahabat yang banyak sabarnya itu juga adalah sahabat yang berharga sukar dicari dan ia dapat menyabarkan dan memaafkan orang lain. Dan akhirnya jadilah sahabat yang jujur, supaya dengan jalan yang demikian, hidupmu akan terpelihara daripada bahaya dan tempat kembali ketika datang bencana, nasihat yang akhir ini aku ambil dari sahabat RasuluLlah saidina Umar bin al Khattab.

Isnin, 3 Disember 2007

Perkenalan Indah Di Kuala Mu


Setelah berada di Kg Perjek (menginap semalaman) Pada pukul kira-kira 11.00 pagi kami bertolak menuju ke Pos Kuala Mu. Sekali ini, kami menaiki 3 buah pacuan 4 roda diketuai oleh Ustaz zainal (landrover).

Kami tiba di Kg Bersah di dalam kawasan Pos Kuala Mu kira-kira jam 12.45 tengahari dan melepaskan lelah di rumah ABIM (dibina kira-kira kos rm6000 bersama penduduk Kg Bersah). Kampung Bersah pada siangnya memang panas, tetapi bila tiba waktu malam sehingga pagi esoknya keadaannya amat sejuk kerana terletak di kaki Gunung Korbu.

Petang itu kami menziarahi penduduk Kuala Mu juga untuk menghayati keindahan alam di sungai yang terdapat di kampung tersebut.


Kuala Mu dari asal perteMuan di antara 2 sungai (satu sungai airnya sejuk dan satu lagi panas) - menurut penduduk kampung tersebut.



Sungai Kuala Mu

Antara kemudahan infrastruktur yang terdapat di Pos Kuala Mu :



Klinik Kesihatan Sekolah Kebangsaan




Dewan Orang Ramai




Rumah Orang Asli dengan bekalan kuasa solar

Pada malam hari, muslimin mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Mat Som dan Ustaz Abdul Razak. Manakala Ustaz Ismail, Ustaz Zainal dan muslimat mengagihkan makanan kepada penduduk kampung Kg Bersah.




Juga pengislaman saudara baru, En. Daud serta majlis akad nikah mereka sekali.




Pengislaman oleh Ustaz Mat Som disaksikan oleh Ustaz Mohamad Zainal.
Isteri En. Daud duduk ditengah-tengah (bertudung ungu)


Ahad, 2 Disember 2007

Bila Sikecil Lebih Sedar dari SiDewasa


Gambar pendakwah kecil Fahmi dan ayahnya


Saya melihat perkembangan bagaimana kanak-kanak di Indonesia dilatih menjadi pendakwah sejak tahun 80 an lagi. Bermula dengan nama Ahmad Ginanjar yang pernah memberikan ceramah pada sambutan maulid ar Rosul di tempat saya (Surau Kampung Aman, Larkin Jaya) ketika itu ditemani oleh bapanya.

Saya ingatkan usaha itu berakhir setelah lama tidak mendengar ceramah dari anak-anak kecil dari Indonesia yang nampaknya lebih ke depan dari negara kita. Tetapi jangkaan saya silap, malahan sudah semakin popular pula dengan adanya program realiti yang menjemput anak-anak kecil melatih cara berkomunikasi, dan berceramah di atas pentas.

Sila rujuk di link ini : http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=4720 - sumber asalnya di sini : http://news.bbc.co.uk/1/hi/world/asia-pacific/7107049.stm

SubhanaLlah, tentu inilah amal jariah yang besar kepada ibu dan ayah yang menghantar anak-anaknya untuk mengikuti program yang baik seperti itu. Tentunya dengan penuh kesedaran untuk melihat anak mereka bukan sahaja petah berbicara, tetapi juga untuk melontarkan apa yang terkandung di dalam hati mereka yang masih bersih bagi menyebarkan syiar Islam ke seluruh alam.

Sabda rasuluLlah yang bermaksud : Ajarlah anak-anakmu tiga perkara mencintai Nabimu, mencintai keluarganya, serta membaca al Quran kerana pembaca Al quran berada di sisi arasy ALlah bersama para anbiya' dan orang-orang sucinya pada hari tiada naungan melainkan naungan ALlah. Riwayat Tabrani dari Ali bin Abi talib.

Kebanyakan ibu dan ayah kita di Malaysia ke mana pula menghantar anak-anak mereka? Zikir apa yang selalu didendangkan oleh anak-anak kita selama ini? Gerakan apa yang dipersembahkan kepada tontonan ramai?

Saya tidak melihat melainkan kebanyakan ibu dan ayah kita di Malaysia ingin melentur anaknya dengan budaya hedonisme. Mengharap agar rezeki yang melimpah ruah datang dari sumber nyanyian yang ditegah. Lalu dibenak ini memikirkan, apakah yang dibanggakan melalui setiap kilatan kamera menerjah mengambil gambar anak-anak mereka yang tidak diajar mengenal mana yang baik dan buruk, halal atau haram, apatah lagi mengenal Tuhan?

Krisis pemikiran yang melanda akal kebanyakan ibu ayah di Malaysia amat membimbangkan. Antara pertumbuhan ruhaniyah yang sihat dan pertumbuhan sosial yang mementingkan kebendaan. Dimanakah keutamaannya...

Cinta Agung


Cinta agung ini, kami tujukan kepada Tuhan kami,

Biar kami simpul bait-bait suci menjadi rangkaikata.

Yang menusuk jiwa yang mati,

Ingin kami siramkan lembah gurun itu,

Dengan hujan rahmat dariMu,

Agar kegersangannya menjadi subur kembali dengan pendinding diri.


Cinta Agung ini,

Akan menjadi ingatan tulus dari hamba yang hina,

Melentur kembali dosa yang bengkok dengan redha Tuhan

Janji ini,

Akan kami genggam erat buat hari kemudian nanti,

Akan kami belai di waktu-waktunya agar kenangan manis bersemadi di dalam kalbu.


Cinta ini,

Akan kami sisipkan di daun-daun sanubari agar ranting dakwah berakar tunjang sentiasa,

Untuk memenangi cintaMu yang satu.


AnAk_PeJuAnG

Sabtu, 1 Disember 2007

Bersama IOA (Islam Outreach) ke Kampung Kuala Mu


Pada 27hb November (ketika di Perak) kami berlapan : Jali, Shazni, Atiqah, Wan Norhana. Fatin, Pijan, Shariyah dan saya turun di tol jelapang pada kira-kira pukul 8.30 malam (kalau tak silap la). Kendian kami dijemput oleh Datuk Dr Abdul Razak (bekas pengarah HKL dan sekarang bergiat cergas di dalam dakwah orang Asli di Semenanjung Malaysia). Juga oleh Ustaz Mohamad Zainal (Ahli Abim Outreach).

Misi seterusnya adalah ke Kampung Kuala Mu di Perak. Diberitahu bahawa di Kampung tersebut terdapat Agama Bahai dan Kristian dan juga minoriti orang Islam. Objektif utama adalah untuk berziarah dan berkenal-kenalan dengan penduduk kampung. Dan seperti biasa makan bersama-sama penduduk kampung tersebut yang terdiri dari suku kaum Temiar.

Kami telah diberitahu akan melalui kawasan jalan balak untuk menuju ke kampung tersebut. Dan akan bermalam di Kampung Perjek terlebih dahulu sebagai tempat singgahan sebelum menuju ke destinasi keesokan harinya. Malam tu memang hujan, bermakna liku-liku lebih mencabar dengan 2 buah pacuan 4 roda (pajero dan landrover).


Di hadapan bangunan kemas tempat kami menginap. Kami diperkenalkan dengan penggerak di tempat tersebut iaitu Ustaz Mat Som (beliau adalah seorang yang berpengalaman dan banyak ilmu yang disampaikannya kepada kami sepanjang misi berjalan).




Balai sewang Kg Perjek (gambar pada waktu pagi). Untuk pengetahuan di kampung ini baru sahaja berlaku kematian, dan ada pantang larang yang perlu diikuti di kawasan ini. Walaupun mereka sudah Islam sepenuhnya tetapi masih memerlukan bimbingan.
Kawan saya tengah melepak (jali) Program Manager di Kampung Sg Rual.




Gambar pemandangan di Kg Perjek


Buluh yang digunakan untuk acara sewang



Di depan rumah orang Asli kaum Temiar dan bersama anak-anak orang asli di Kg Perjek


Ini bukan anak orang asli, tetapi anak kepada Ustaz (Datuk Dr Abdul Razak) baru darjah satu dan memang rajin mengikuti ayahnya ke kampung orang Asli. Beliau juga membawa seorang anak perempuannya yang masih belajar di dalam tingkatan 2 di SMKA di Sik Kedah.



Ibu dan anak Orang Asli Kaum Temiar serta budak comel




Gambar pemandangan diambil dari dalam balai sewang, semoga ukhuwah lestari selamanya sahabat..

Penjelajahan Dakwah di Kg Sungai Rual



AlhamduliLlah, bila ukhuwah bertaut kembali, maka kami dipertemukan dengan gabungan ahli lama dan baru. Di bawah satu kesedaran untuk menyebarkan kalimah ALlah di muka bumi kampung Rual. Mungkin ini adalah satu langkah pertama untuk mempertautkan hati-hati kami terlebih dahulu sebelum melangkah ke arah seterusnya kepada penghayatan Islam.

Program Berlangsung dari 22-27 November 2007. Dinamakan Program Masuk Kampung (IPTA).

Kampung Sungai Rual terletak di Jeli, Kelantan. Dari suku kaum Jahai dan Bateq. Terdapat 3 Kampung di sana iaitu : Kampung Seberang, Kampung Sg Rual (Pentadbiran) dan Kampung Kalok. Tok Penghulu di Kampung Sungai Rual - Langsat bin belimbing, dan Kg Seberang Tok penghulu Nordin bin Mat.

Penggerak dari MAIK - Ustaz Asri dan Ustaz Shukri. AlhamduliLLah 100% penduduk di sini adalah orang Islam cuma mereka hanya Islam pada nama.



Selepas Solat Maghrib dan Solat berjemaah bersama anak orang Asli




Bersama peserta (anak angkat) memakaikan tudung kepada nak (ibu) masing-masing.



Pertandingan rebut kerusi




Berlari membawa gula yang telah dicari di dalam tepung




Gotong royong membersihkan kawasan perkuburan di atas bukit.



Beautification Project oleh Biro Keceriaan Comrade



Pertandingan Menyumpit dan tarik tali



Malam Kebudayaan



Bersama Keluarga Angkat Sebelum Pulang