Rabu, 24 Februari 2010

Mengapa Saya Menyambut Maulidur Rasul ?



Jika ada mereka yang bertanyakan mengapa menyambut maulidul rasul. Maka saya akan jawab begini :

1. Dalil-dalil umum dari Al Quran yang dijadikan hujjah oleh Ulamak yang membenarkan :

فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ مَعَهُ ۥۤ‌ۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٥٧)


Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.
(Surah al A’raf 157)

Di dalam ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa orang yang memuliakan RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang beruntung. Merayakan maulid Nabi termasuk dalam rangka memuliakannya.

ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَيۡتُمُ ٱلزَّڪَوٰةَ وَءَامَنتُم بِرُسُلِى وَعَزَّرۡتُمُوهُمۡ وَأَقۡرَضۡتُمُ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنً۬ا لَّأُڪَفِّرَنَّ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَلَأُدۡخِلَنَّڪُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ‌ۚ


Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) dan kamu muliakan mereka dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
(Surah al Ma’idah ayat 12)

Erti “azzartumuhum” ialah “memuliakan mereka” (Tafsir Tabari, juz VI halaman 151) Orang yang memuliakan Nabi akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan menyambut Maulid Nabi adalah dalam rangka memuliakan Nabi.

2. Saya ingin menyemaikan perasaan cinta kepada RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam. Di kala ramai orang yang kini semakin jauh dari perasaan cinta kepada baginda. Bukankah rasuluLlah bersabda begini :

"Belum sempurna iman seseorang dari kamu. kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya."
(Riwayat Muslim juz 11, hlm 15)

Ahh.. bukankah kita sendiri meraikan ulang tahun kelahiran sendiri ? Ibu dan ayah. Bahkan ada pula golongan yang meraikan kelahiran ‘mujaddid’ mereka sendiri ? Jika kita sendiri pun menyambut hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir diri dan juga orang lain. Mengapa kita tidak menyambut hari kelahiran manusia agung yang pengutusannya ke muka bumi ini memberi rahmat kepada sekalian alam ?

Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata kepada Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam :
“Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri”. Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata : “Tidak, wahai Umar. Sampai aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri.” Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata, “Demi Allah subahanahu wa ta’ala, engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata, “Sekarang wahai Umar.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 6 hlmn 2445)

3. Maulidul Rasul itu tidak pernah dibuat oleh RasuluLLah dan ia bid'ah sesat ?

Ada dalil umum bagaimana RasuluLlah sendiri pernah menyebut mengenai hari-hari kebesaran contohnya :


Bahawasanya Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam datang ke Madinah, maka Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam mendapati di situ orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang Yahudi itu: Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura ?

Jawab mereka : ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Fir’aun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami puasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka RasuluLlah bersabda : Kami lebih patut menghormati Musa dibanding kamu”
(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Banyak sebenarnya perkara yang tidak pernah dibuat oleh RasuluLlah tetapi dilakukan oleh sahabat dan para salafussoleh melalui ijtihad mereka dalam perkara ibadah contoh yang senaraikan oleh bekas Mufti Iraq iaitu Sheikh Abdul Malik Abdul Rahman as Sa’adi :

1. Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam pernah menyamakan (qiyas) hukum menunaikan haji dan berpuasa untuk seorang yang telah mati dengan hutang terhadap hamba ALlah yang ia wajib tunaikan. (Fath al Bari, jld 4, m.s 64)

Walaupun ini tidak dianggap hukum yang telah ditetapkan oleh qiyas tetapi dengan nas, kerana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam diberi kebenaran untuk mengeluarkan hukum, tetapi ini sebenarnya baginda telah membuka satu peluang atau laluan atau pintu kepada umatnya secara umum akan keharusan menggunakan qiyas. Terutama di dalam persoalan ibadah khusus kerana haji dan puasa adalah di antara bentuk ibadah.

2. Saidina Umar berpendapat bahawa tidak batal puasa seseorang yang berkucup dengan isterinya, kerana mengqiyaskan dengan berkumur-kumur ketika berpuasa. (Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al Baihaqi).

3. Dalam menetapkan satu miqad baru iaitu Zatu Irq bagi jemaah Haji atau Umrah yang datang dari sebelah Iraq, Saidina Umar mengqiyaskannya dengan tempat yang setentang dengannya iaitu Qarn al Manazil. Sedangkan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam hanya menetapkan empat tempat sahaja sebagai miqat tetapi Saidina Umar menambah satu lagi iaitu Zatu Irq (menjadi lima). (Lihat al Mughni, jld 3, m.s 3 258 dan Fath al Bari m.s 389)

4. Saidina Uthman mewujudkan azan dua kali (pertama dan kedua) pada hari Jumaat diqiyaskan dengan azan 2 kali pada solat subuh dengan alasan bahawa azan yang pertama pada Solat Subuh disyariatkan pada zaman RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam untuk mengejutkan mereka yang sedang tidur, maka begitu juga azan yang pertama pada solat Jumaat untuk mengingatkan mereka yang sedang sibuk berniaga di pasar dan yang bekerja (Nailul al Authar : 3/322)

5. Jumhur ulama mengharuskan dua solat sunat yang bersebab pada waktu yang makruh diqiyaskan dengan solat sunat selepas Zohor yang diqadha' oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam selepas Solat Asar ( Lihat al Nawawi, Syarah sahih Muslim: 6/111)

6. Sebilangan besar pada ulama berpendapat, menyapu tangan sampai ke siku ketika tayammum adalah wajib diqiyaskan dengan membasuh kedua tangan ketika berwudhuk. (Lihat Mughni al Muhtaj:1/99 dan al Mughni: 1/204)

7. Bagi ulama yang berpendapat bahawa solat sunat sebelum Solat Jumaat adalah sunat muakkad mengqiyaskan dengan solat sunat sebelum Zohor. Manakala sebilangan ulama lain di antaranya Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim berpendapat bahaya ia adalah sunat (sunat mutlak bukannya sunat muakkad) mengqiyaskannya dengan solat sunat hari raya yang tidak ada solat sunat (muakkad) sebelum solat tersebut. ((Al Fatawa: 24/194)

8. Sesetengah ulama bermazhab Hanafi mengqiyaskan air yang banyak yang tidak terjejas apabila jatuh najis ke dalamnya dengan air laut dari segi banyaknya. (al Mushili, al Ikhtiyar: 1/14)

9. Para ulama bermazhab Hambali mengharuskan ganti dengan memberi makanan sebagai kaffarat bunuh (yang tidak sengaja), kerana mengqiyaskannya dengan kaffarat zihar dan kaffarat jimak pada siang hari Ramadhan (Al Mughni: 8/97)

10. Menurut Imam Ahmad dalam satu riwayat daripadanya, dibasuh setiap benda yang terkena najis sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan air tanah, kerana beliau mengqiyaskannya dengan sesuatu yang terkena najis anjing atau babi (Al Mughni: 1/54-55)

11. Menurut Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya, diwajibkan berdiri sekadar yang termampu bagi sesiapa yang tidak mampu berdiri dengan sempurna ketika solat samada kerana ketakutan atau kerana atap hendak roboh diqiyaskan dengan hukum berdiri seorang yang bongkok. (Al Mughni: 2/144)

12. Imam Malik berpendapat, diharuskan melewatkan solat bagi mereka yang ketiadaan air diqiyaskan dengan seorang perempuan yang kedatangan haid yang diharuskan melewatkan solatnya (al Mughni: 1/250)

13. Imam Abu Hanifah dan Imam asy Syafie berpendapat, sah tayammum bagi seorang yang berhadas besar dengan niat mengangkat hadas kecil diqiyaskan dengan sahnya wudhuk selepas membuang air kecil atau besar (walaupun tanpa niat untuk mengerjakan solat). (Al Mughni: 1/267)

14. Imam Malik membolehkan qadha' solat malam yang terluput, iaitu dikerjakannya selepas terbit fajar sebelum solat Subuh diqiyaskan dengan solat witir. Tetapi ini adalah salah satu pendapat Imam Malik berhubung dengan masalah ini. (al Mughni:2/120)

15. Imam Abu Hanifah, Ath Thauri dan Al Auza'ie membolehkan lewat solat bagi mereka yang tidak menemui air dan tanah sehinggalah menemuinya, kemudian mengqadha'nya diqiyaskan dengan melewatkan puasa bagi wanita yang kedatangan haid (Al Mughni: 1/267)

Ini hanya sebahagian kecil daripada sebilangan besar persoalan ibadah yang dikeluarkan hukumnya berdasarkan kaedah qiyas. Qiyas ini adalah ijtihad dan pandangan. Oleh itu, sesiapa yang melarang menggunakan qiyas di dalam ibadah secara mutlaq, maka pendapatnya tidak dapat diterima sebagaimana yang dinyatakan tadi.

Ibnu Umar radiyaLlahu anhu berpendapat, solat Sunah Dhuha tidak digalakkan di dalam syariat Islam melainkan bagi mereka yang tiba dalam permusafiran. Beliau hanya mengerjakannya ketika tiba di Masjid Quba. Ini diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Mauriq katanya :
"Aku pernah bertanya kepada Ibnu Umar RadiyaLlahu 'anhu." Adakah kamu bersolat Dhuha? Beliau menjawab "Tidak", Aku bertanya lagi "Adakah Umar mengerjakannya?" Beliau menjawab "Tidak". Aku bertanya lagi " Abu Bakar?" Jawabnya: "Tidak" Aku bertanya lagi: "RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam?" Jawabnya "Aku tidak pasti".

Menurut al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani:

"Sebab tawaqqufnya Ibnu Umar pada masalah itu kerana beliau pernah mendengar daripada orang lain bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pernah mengerjakannya tetapi beliau tidak begitu mempercayai perkara itu daripada seorang yang menyebut kepadanya.".

Maka, beliau menganggap solat Dhuha adalah di antara bid'ah yang baik sepertimana yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada beliau (Ibnu Umar).

Menurut Al A'raj:

“Aku pernah bertanya Ibnu Umar berkenaan Solat Sunah Dhuha? Beliau menjawab: “Ia adalah bid’ah dan sebaik-baik bid’ah”

. (Fath al Bari: 3/52)

Sepertimana yang telah dinyatakan daripada Ibnu Umar tadi, membuktikan bahawa perkara-perkara yang baharu diwujudkan dalam ibadah memang berlaku dan diakui oleh pada sahabat RadiyaLlahu ‘anhum sendiri.

4. Adakah contoh para salafussoleh yang menyambut maulidul Rasul ?

Prof Dr Ali Jum’ah iaitu Mufti Mesir menjawab begini :
Telah menjadi kebolehan (keharusan) dan tradisi di kalangan salafussoleh sejak abad ke 4 dan ke 5 merayakan peringatan maulid nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam yang agung. Mereka menghidupkan malam maulid dengan pelbagai ketaatan dan ibadah pendekatan kepada Allah seperti memberi makan fakir miskin, membaca al Quran, berzikir, melantunkan puisi-puisi dan puji-pujian tentang rasuluLlah. Hal ini ditegaskan oleh sebilangan ulama seperti : Al Hafizh Ibnu Jauzi, Al Hafizh Ibnu Katsir, Al Hafizh Ibnu Dihyah, al Hafizh Al Hebatusi, Al Hafizh Ibnu Hajar dan Penutup Huffazh (para penghafaz hadith dalam jumlah yang sangat banyak) Jalaluddin Al Suyuthi.

5. Ulamak lain yang membenarkan ?

Dalam kitab al Madkhal, Ibnu Hajj menjelaskan dengan panjang lebar tentang keutamaan yang berkaitan dengan perayaan ini dan dia mengemukakan huraian penuh manfaat yang membuat lapang hati orang yang beriman.

Imam Jalaluddin al Suyuthi dalam bukunya ‘Husnul Maqshid fi Amalil Maulid’ memberikan penjelasan tentang Maulid Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam :

Menurutku, bahawa hukum dasar kegiatan maulid yang berupa berkumpulnya orang-orang yang banyak, membaca beberapa ayat-ayat al Quran, menyampaikan khabar-khabar yang diriwayatkan tentang awal perjalanan hidup Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam dan tanda-tanda kebesaran yang terjadi pada waktu kelahiran Baginda, kemudian dihidangkan makanan untuk mereka dan emreka pun makan bersama, lalu mereka pun berangkat pulang, tanpa ada tambahan kegiatan lain. Adalah termasuk bid’ah hasanah dan diberikan pahala bagi orang yang melakukannya. Imam para hafizh Abu Fadhl Ibnu Hajar telah menjelaskan dasar hukumnya sunnah.

Imam Abu Syamah berkata :
Suatu hal yang baik ialah apa yang dibuat pada tiap-tiap tahun bersetuju dengan hari maulud Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam memberi sedekah, membuat kebajikan, maka hal itu selain berbuat baik bagi fakir miskin, juga mengingatkan kita untuk mengasihi junjungan kita Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam membesarkan beliau, dan syukur kepada Tuhan atas kurniaanNya, yang telah mengirim seorang Rasul yang dirasulkan untuk kebahagiaan seluruh makhluk
(I’anatut Tholibin, juzu’ III, halaman 364) – Imam Abu Syamah adalah seorang ulamak besar Mazhab Syafie dan merupakan guru kepada Imam An Nawawi.

Ya Allah jadikanlah kami senantiasa menyintai Nabi Muhammad sallaLLahu ‘alaihi wasallam

Sumber rujukan :

1. Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

2. K.H Sirajuddin Abbas, 40 Masalah Agama, Pustaka Aman Press, Kelantan, Malaysia

3. As Shiekh al Hafiz Abu al Fadl AbduLlah al Siddiq al Ghumari, Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi, Cetakan 2007, Middle East Global (M) Sdn. Bhd, Selangor.

4. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

Isnin, 22 Februari 2010

Isu Perarakan Maulidul Rasul.. Kita Sendiri yang Rugi

Isu perarakan maulidul Rasul ditimbulkan selepas ada negeri yang tidak membenarkan perarakan (ia masih dalam dibahas oleh kedua-dua belah pihak).

Ruginya perkara ini diperbesar-besarkan sehingga bertelingkah. Samada yang tidak bersetuju untuk berarak dan yang bersetuju untuk berarak.

Bagi saya : perarakan maulidul rasul itu sebagai satu pendekatan dakwah untuk mengajak umat Islam menyuburkan perasaan cinta kepada RasuluLlah. Yang melihat pun dengan izinNya akan turut sama berselawat. Manakala yang jika menolak pun tidak mengapa.

Yang menambahkan kekeruhan apabila ada pihak yang turut sama menggunakan isu ini untuk populariti termasuk yang terus mengatakan Maulidul Rasul sebagai bid'ah sesat.

Jika pihak yang mempertikaikan mengapa disuruh perlu berarak ketika sambutan maulid. Maka akan timbul persoalan. Bagaimana pula dengan mereka yang berdemonstrasi di jalanan dan bertakbir serta berceramah yang sudah tentu ada mengaitkan paling tidak sedikit berkaitan nasihat agama ? Sudah tentu akan dikaitkan pula - pernahkah ia dibuat oleh RasuluLlah ?

Jika pihak yang meminta mengadakan perarakan pula, diharap dapat memberi penambahbaikan agar tidak timbul isu mengapa hanya berarak sahaja dibesar-besarkan. Manakala isu murtad, Sister In Islam yang terang-terang mempertikaikan hukum sebat dalam syariah tidak pula diberi perhatian serta isu-isu lain.

Bukankah cantik mana-mana perkara yang baik yang dan menyatupadukan ummat itulah yang dijadikan keutamaan, dari menimbulkan isu yang remeh temeh sebegini ?

Rugi... Alangkah ruginya kita.. Umat Islam...

Khamis, 18 Februari 2010

Wahai Sang Daie.. Perbaikilah Dakwahmu

Insya Allah, bulan ini kita bersama-sama mengenang kembali peristiwa kelahiran RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam. Walaupun ada perbezaan pendapat mengenai kebolehan menyambut Maulidul Rasul ini. Namun saya mengambil pendapat yang membolehkan kerana ternyata ia membawa banyak kelebihan disamping menghidupkan kecintaan kepada RasuluLlah dan semoga ia membangkitkan motivasi untuk meneladani kehidupan RasuluLlah sebagai seorang daie yang berjaya dalam menyebarkan Islam dengan cara yang paling berhikmah dan berkesan.

Dakwah di zaman serba pantas dan mencabar ini menuntut pendekatan dakwah yang lebih sistematik, berilmu dan berhikmah dalam mengajak mad'u ke arah jalan yang diredhai ALlah. Dahulu kemungkinan para pendakwah yang berjasa terpaksa melalui perjalanan yang jauh untuk berhubung dan terpaksa mengambil waktu yang lama untuk sampai ke daerah mad'u. Sehinggakan ada pendakwah yang perlu tinggal tetap dan matinya juga di tempat ia berdakwah tersebut.

Pendakwah masa kini pula semakin mudah cara berhubung antaranya menggunakan keyboard dan mouse serta peralatan seperti broadband serta pengetahuan asas dalam IT (teknologi maklumat) untuk bergerak dengan lebih meluas.

Pengetahuan Para Jurudakwah

Wahai para daie yang dimuliakan Allah, tingkatkan ilmu dan kefahaman. Jika dahulu mungkin engkau di dalam tempurung kejahilan. Maka hilangkanlah kejahilan itu dengan cahaya ilmu. Duduk bersama-sama para guru dan ulamak yang ikhlas mengajar. Belajarlah ilmu dengan disiplinnya serta adab-adab dalam belajar. Ketahuilah mad'u yang dihadapi nanti berbeza-beza tahap pengetahuan dan latar belakang hidup serta budaya yang tidak sama dengan apa yang engkau jalani selama ini.

Sekiranya engkau berhijrah di negara orang yang berbeza sosio budayanya. Dan apabila engkau kembali ke negara sendiri jangan pula terbawa-bawa dengan cara hidup di negara lain yang jelas tidak sama dengan kehidupan di tempat kelahiranmu sendiri.

Hikmah Itu Apa ?

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۖ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ (١٢٥)




ertinya :

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.
(Surah an Nahl : ayat 125)

Para Daie yang dimuliakan Allah,

Hikmah itu adalah segala yang benar yang berkaitan dengan i'tikad, kefahaman dalam agama, amalan dan kebijaksanaan. Ia juga bererti akal dan kefahaman. Amat malang sekiranya 'dakwah' seorang dai'e itu hanya menyebabkan mad'unya lari.

Amat merugikan apabila mad'u pula semakin berburuk sangka akibat kesalahan da'ie dalam berdakwah disebabkan kejahilannya yang mengakibatkan Islam itu dipandang negatif.

Contoh Adab Para Dai'e Di Perkampungan Orang Asli :

Sekiranya tuan-tuan yang dimuliakan pernah didedahkan tentang orang asli dan ingin berdakwah di tempat kaum yang istimewa ini. Ada adab yang perlu diikuti :

  • Sebelum berkunjung ke perkampungan orang asli, jangan lupa untuk bertemu dengan 'penghulu' atau Tok Batin terlebih dahulu yang telah dipilih orang mereka. Ini kerana pengaruh Tok Batin amat kuat dan dipatuhi oleh anak buahnya.
  • Jangan menunjukkan rasa jijik dengan kehidupan mereka yang sudah tentu amat berbeza dengan kehidupan kita.
  • Bersabarlah dengan sifat mereka yang pemalu.
  • Dekati anak-anak orang asli, ini akan menyenangkan kita untuk menarik hati ibu ayah mereka.
  • Jika boleh, ketika waktu makan, ajaklah orang kampung untuk bersama-sama makan.
  • Gunakan bahasa yang paling mudah untuk difahami.
  • Jangan menegur sekiranya ternampak ada benda yang pelik digantung di rumah mereka.
  • Sekiranya diajak untuk makan makanan yang dihidang oleh saudara kita ini. Tetapi kita sendiri tidak berselera, maka tolaklah dengan cara baik yang tidak menyebabkan mereka berasa hati.
  • Satu bonus bagi para daie sekiranya dapat berbual dalam bahasa orang asli untuk berkomunikasi.
  • Jangan berjanji sekiranya tuan sendiri tidak yakin dapat menunaikan janji tersebut. Kerana mereka amat menepati janji dan punya jiwa yang sensitif.
  • Jangan banyak meminta tetapi lapangkan tangan untuk memberi.
Sekiranya kita rajin membuka kisah kehidupan RasuluLlah, maka kita akan dipertontonkan dengan kecantikan akhlak RasuluLlah dalam berdakwah. Musuhnya semakin kurang, yang mencintainya semakin ramai. Bahkan Baginda dihormati oleh kawan dan lawan. Lalu jangan lupa untuk melihat pula akhlak para sahabat yang berjaya dididik oleh RasuluLlah.

Tingkatkan Kualiti Dalam Berdakwah

Wahai para daie yang dipilih ALlah di jalan ini.. perbaikilah adabmu dalam mendidik mereka yang memerlukan bantuanmu. Sekiranya dengan mereka yang bukan Islam engkau dapat berlemah lembut dan berkata baik, mengapa dengan sesama saudaramu sendiri engkau berkasar dan menyakiti hatinya ?

Ingatlah wahai para daie, kesalahan yang dilakukan oleh mad'u itu adalah cerminan bagi diri kita sendiri. Usahlah menganggap diri kita ini sudah suci dari dosa sedangkan dakwah yang dilakukan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah di samping menebus kesalahan yang pernah dilakukan selama ini. Mudah-mudahan dengan amal jariah yang kita lakukan, Allah memandangnya sebagai amal kebaikan atau pengampunan dosa samada kecil atau besar yang pernah diperbuat selama ini.

Masa Yang Kita Ada

Sedarkah wahai para daie yang dimuliakan Allah ? Usia yang ada amat singkat dibandingkan dengan amanah yang diserah oleh Allah di bahu kita ini. Masa yang semakin sempit, zaman semakin buas, nafsu ammarah menyelinap di dalam jiwa tidak putus-putus, godaan iblis dan syaitan datang silih berganti untuk membantutkan usaha mengajak ke arah kebaikan dan nasihat yang berhikmah.

Di mana pula tempat kita di akhirat nanti ? Di golongan yang kanan atau golongan yang kiri ?

Rujukan :

1. Ahmad Hasan Mohd Nazam, Wasiat Luqman al Hakim, Cet Pertama 2009, Telaga Biru, Selangor.

2. Dr Muhammad Said Ramadhan Al Buthi, Rahsia Dakwah Yang Berkesan, Cet Pertama 1997, Pustaka Ilmi, Selangor.