Khamis, 9 Julai 2009

Siapa Yang Engkau Cinta?

"Dari anas bin malik r.a,telah bersabda rasulullah s.a.w:
ada tiga perkara yang apabila manusia memilikinya akan merasai kemanisan iman: iaitu Allah dan RasulNya adalah lebih dia cintai daripada yang lain, dia mencintai seseorang semata-mata kerana allah dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dihumbankan kedalam api neraka"


(Riwayat al-Bukhari,Muslim waghairaha)

Hirarki Cinta

Yang pertama wajib dicintai adalah ALlah
Yang kedua adalah RasuluLlah
Yang ketiga baharulah diletakkan Ibu dan Ayah
Dan seterusnya makhluk ALlah yang lain

Saya tuliskan kalimah ALlah, Rasul dan Ibu Ayah di papan hitam untuk diterangkan kepada anak murid tentang kecintaan yang perlu diutamakan.

Dimanakah kita meletakkan ALlah sekarang ini? Dalam hubungan sesama manusia contohnya, apabila suatu hari nanti anda bercinta, siapa yang lebih utama untuk diletakkan dalam hirarki cinta? Atau ALlah diletakkan di taraf yang lebih bawah?

Ada manusia yang bersedih kehilangan mereka yang dicintai, dan disayangi (tidak salah untuk menangis dan bersedih sekadar batasnya). Tetapi dimanakah ALlah kita letakkan semasa kita membuat dosa? Pernahkah kita menangis bersungguh-sungguh mengenangkan dosa yang telah dilakukan selama ini? Wahai diri... engkaulah yang lebih berhak untuk memikirkan dosa yang telah engkau perbuat selama hidup di dunia ini..

Ketahuilah wahai anak muridku, Aqidah amatlah penting di dalam kehidupan ini yang membezakan kita dengan Kafirin. Sudahkah kita mengenal ALlah? Sifat-sifatnya yang wajib, mustahil dan harus? Bukankah peringkat dakwah RasuluLLah di Mekah adalah menyeru ke arah Tauhid sehingga mantaplah pegangan para sahabat hingga tidak dapat diganggu gugat lagi?

Ketika anda sakit... adakah anda dapat bersabar dengan dugaan yang diberikan ALlah? Bersangka baik kepadaNya? Bukankah ALlah hendak menghapuskan dosa kita? Dan kesakitan itu adalah kasih sayangnya serta diberikan pahala bila kita bersabar?

Ketika kita solat menghadap ALlah, berdoa dan meminta kepadaNya. Aurat ditutup dengan sempurna, setiap perlakuan, percakapan dan hadirnya hati hanya untukNya. Adakah selepas solat ALlah sudah hilang dari ingatanmu? Adakah ALlah tidak melihat apa yang kita perbuat selepas solat?

ALlah yang menjadikan tempat dan ruang. Mengapa masih ada yang mengatakan ALlah perlukan tempat dan ruang sedangkan ia untuk makhlukNya?. Maha Suci ALlah dari memerlukan tempat untuk bersandar dan bergantung dan segala yang menyerupai makhlukNya.

Kepada Siapa Kita Teladani?

Ya RasuluLlah... Maafkan kami..

Jika contoh tauladan terbaik yang engkau tunjukkan banyak yang kami tidak ikuti. Kami suka, kami cinta padamu, tetapi amatlah jauh akhlak kami yang diamalkan dari apa yang engkau tunjukkan ya RasuluLlah..

Wahai anak muridku, ALlah memperjalankan RasuluLlah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang diberkati dan kemudian dari situ baginda dibawa sehingga ke Sidratul Muntaha menerima wahyu dari ALlah tentang kewajiban solat.

Alangkah sekiranya 50 waktu solat itu diwajibkan kepada umat manusia, tentulah.. tentulah manusia tidak mampu melaksanakannya. Begitulah, walaupun waktu solat diizinkan ALlah dikurangkan kepada 5 waktu berapa ramai yang mampu melaksanakannya dengan sempurna?

Oh ibu dan ayah, beban mengajar solat tidak boleh digalas sepenuhnya hanya kepada guru di sekolah. Jangalah meletakkan beban didikan menutup aurat hanya kepada ustaz dan ustazah di sekolah sedangkan dirimu tidak bersama-sama mendidik darah daging sendiri. Bukankah yang mencorakkan anak-anak adalah ibu dan ayah yang menjadikan samada mereka adalah Yahudi, Nasrani atau Majusi? Lalu siapa yang pertama-tama nanti akan ditanya tentang soal pendidikan anak-anak di akhirat kelak?

Bila Dunia Hinggap Di hati

Bila lalu di kiri dan kanan manusia. Dari atas hingga ke bawah segala yang menutup tubuh badan dan menghiasinya, terkadang dalam hati merasa dengki. Keinginan biasanya membuak-buak kepada apa yang ada pada orang lain. Sedangkan kekayaan jiwa bukan terletak pada banyaknya harta, tetapi bagaimana diri bersyukur dan menggunakan sebaik-baiknya nikmat yang ALlah telah beri.

Sekali sekala terngiang-ngiang juga lagu The Zikr - nyanyian Nazrey Johani (bekas ketua kumpulan Raihan) yang menyalurkan kata mendidik hati :

Apa yang ada jarang disyukuri,
Apa yang tiada sering dirisaukan,
Nikmat yang dikecap barukan terasa,
Bila hilang apa yang diburu,
Timbul rasa jemu bila sudah di dalam genggaman.

Dunia ibarat, air laut diminum hanya menambah haus,
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir,
Panas yang membahang di sangka air,
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang,
Dilihat ada, ditangkap hilang..

Lalu bertanyalah di dalam hati, siapakah yang engkau cinta sebenarnya?

Isnin, 6 Julai 2009

Sikap Tunggu Dan Lihat Sahaja ?

Ini senario yang berlaku di sekeliling kita :

Apabila saudara kita dalam kesusahan, siapakah yang pertamanya akan menghulurkan tangan untuk membantu mereka?

Di dalam kesesakan jalanraya, bunyi hon bersahut-sahutan. Rupa-rupanya di situ ada kemalangan. Dan pemandu membawa kereta dengan perlahan-lahan hanya untuk melihat kemalangan dan kemudian berlalu pergi.

Seorang pelajar tersangkut kainnya di eskelator di KLCC, yang membantu bertungkus lumus adalah orang bukan Islam. Manakala saudara seIslam hanya tukang pemerhati sahaja.

Seorang wanita bersama suaminya terjatuh dari motor kerana si peragut yang kejam telah mencuri tas tangan wanita terbabit sekaligus menendang motor yang dibawa oleh suaminya, dalam keadaan sedih dan meminta tolong melihat suaminya yang nazak, orang di kiri kanan hanya sebagai pemerhati. Sehinggalah putus nafas si suami..

Masih ada persepsi diri yang menyatakan ustaz dan ustazah yang perlu menunjukkan contoh yang baik. Tetapi masih kurang kesedaran bahawa sepatutnya setiap diri orang Islam itulah yang perlu menunjukkan contoh yang terbaik untuk dicontohi. Jika mereka ustaz, orang alim dan yang sewaktu dengannya, bukankah diri kita sendiri pula adalah terdiri dari orang Islam yang menjunjung tinggi al Quran Sunnah dan ijmak?

Ada ketikanya semasa hendak menghulurkan bantuan dari segi kewangan seperti di tabung masjid, surau, atau memberikan sumbangan untuk majlis di sekolah-sekolah yang berbentuk kerohanian atau yang membina modal insan hati kita akan 'bertarik tali'. Jumlah wang yang hendak diberi sebermulanya tinggi, kemudian banyak lagi alasan yang akan datang bertalu-talu sehinggalah jumlah bantuan semakin kecil dan ada juga akhirnya - 'tak mengapalah lain kali sahaja untuk bersedekah'. Wahai.. nampaknya kemenangan syaitan menyalurkan perasaan bakhil telah bertapak di sanubari sana.

Akhirnya perasaan untuk berlumba-lumba membuat kebaikan itu semakin sirna begitu sahaja..

Ada pula kisahnya, orang yang alim lagi faqih (segelintir sahaja) hanya memerhatikan sahaja keletah umat Islam yang diserang dengan fahaman-fahaman dan ideologi sonsang, gejala sosial semakin membarah di dalam perut umat Islam. Dia kata nantilah, biarkanlah.. akhirnya barah itu membusuk dan pecah.. 'sudah terhantuk baru terngadah'.

Anak Orang Anak Kita

Orang kita dahulu bila melihat anak orang lain berdua-duaan, ada melakukan kesilapan pastinya mereka akan ditegur. Berlainan pula di zaman sekarang. Sebab sudah ada mentaliti yang merasakan bahawa anaknya jangan diusik walaupun salah. Walhal perkembangan anak-anaknya bukanlah dapat dipantau sepanjang masa.

Sekolah pula adalah tempat didikan dan ajaran bukan sebagai taman asuhan kanak-kanak.

Semangat kejiranan, tolong menolong, mengambil tahu sudah semakin terhakis di dalam hati dan minda orang kita kini. Kalaulah mereka faham bahawa setiap umat Islam itu bersaudara bagaikan batu bata yang memperkukuhkan antara satu dengan yang lain, tentulah tidak timbul masalah sosial yang melambak di sana sini.

Jomlah kita fikir dan ambil tindakan..