Selasa, 21 Februari 2012

Apa Tujuan Engkau Belajar ?

Tujuan menuntut Ilmu


Anakku,

Malam-malam telah engkau lalui dengan belajar dan membaca buku-buku. Engkau tidak tidur selama itu. Saya tidak tahu, apa tujuanmu. Jika tujuanmu hanya untuk kesenangan duniawi, maka celakalah engkau. Jika tujuanmu untuk kehidupan syriat Nabi s.a.w. mendidik akhlak, dan mematahkan nafsu yang condong kepada kejahatan, maka sungguh bahagialah engkau. Benarlah kata sasterawan :

Berpayah-payah tanpa mengharap redhaMu adalah sia-sia,
Tangisan yang bukan kerana engkau adalah bathil.

(antologi Imam Al Ghazali)

Ingin Berhijrah Tetapi Tidak Berubah ?

Hijrah - perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain (mengikut konteks sirah). Jika diskopkan pada sikap ia merujuk kepada perubahan tingkah laku yang positif dari tingkah laku yang negatif.

Azam - kemahuan (keinginan, cita-cita yang sangat kuat, tujuan)

Kaitan hijrah dan azam yang baharu.

Untuk melakukan perubahan, perpindahan yang positif dari sikap yang negatif memerlukan tujuan, niat yang baik agar apa yang dibuat menghasilkan natijah yang baik juga. Kemahuan, cita-cita yang baik amat perlu dalam melakukan perubahan. Dan ia didorong kerana terdapat faktor yang mendorong dan memotivasikan dirinya untuk berubah.

Kita berazam untuk rajin solat berjemaah, sekaligus kita sedang cuba merancang untuk melakukan proses penghijarahan diri dari solat suka berseorangan kepada solat dengan beramai-ramai.

Seorang pelajar yang sudah dewasa pemikirannya, apabila kakinya menjejakkan di kaunter pendaftaran pelajar baharu di sekolah mahupun di universiti sepatutnya sudah ada keazaman untuk ia berubah ke arah yang lebih baik.

Pastilah perubahan itu memerlukan kepada tindakan, dan bukan hanya sekadar terbit di dalam hati dan diucapkan sahaja pada lidah.

Faktor yang mendorong perubahan ?

Contohnya : seorang yang tahu keluarga hidup susah,akan mendorong dirinya untuk mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik. Ia akan mencari jalan untuk memperbaiki kehidupan dan bukan hanya duduk senang lenang mengharapkan emas turun dari langit. Ataupun hanya bergantung dengan belas ehsan orang lain.

Biasa sekali ayah berkata kepada anaknya "Aku tidak meninggalkan harta kekayaan kepada kamu, tetapi ilmulah harta yang dapat ayah berikan".

Pemimpin yang sedar bahawa ia bertanggungjawab terhadap orang di bawahnya, tentulah ia mengambil tahu hal ehwal apa yang berlaku pada kakitangannya. Untuk memperbaiki hubungan dengan rakan sekerjanya ia suka mengambil kira pandangan orang dan bukan hanya mendengar dari dirinya sahaja. Sebab ia tahu untuk menghasilkan satu gerak kerja yang cemerlang memerlukan kepada kerjasama semua pihak, bukan segolongan atau kepentingan diri sahaja.



Apakah yang menghalang diri dari berubah ?

Ia datangnya dari kelemahan diri dalam melawan hawa nafsu. Bagaimana hendak melawan sikap malas jika selesa hidup dengan kemalasan ?

Perubahan yang positif memerlukan kita untuk melawan bisikan negatif dalam diri kita. Ia memerlukan kepada mujahadah. Untuk bangun solat subuh contohnya memerlukan kita melawan rasa mengantuk dan ingin menyambung tidur semula.

Untuk menjadikan badan sentiasa sihat memerlukan kita melawan sikap malas untuk bersenam.

Duri-duri yang menghalang dari berubah juga datangnya dari kawan-kawan yang punya sikap dengki dan iri hati. Kawan amat kuat pengaruhnya kepada diri kita. Yang menjadikan kita berbau busuk, kawanlah namanya dan yang menjadikan kita berbau wangi kawan juga namanya.