Jumaat, 25 Disember 2009

Mencontohi Salafussoleh

Oleh Al Harits Al Muhasibi (wafat 243 H)

Dapatkan sejarah peninggalan mereka yang bertambah takut dengan ilmu, bertambah celik dengan amalan dan bertambah kenal dengan akal.

Imam Ibnu Hajar di dalam Hadyus Sari Muqaddimatu Fathul Bari ada menyebut baawa Muhammad bin Mansur pernah menceritakan :
Pernah satu ketika kami menghadiri majlis Imam Bukhari, lalu ada orang mencampakkan kotoran yang ada di janggutnya ke lantai. Aku dapati, Imam Bukhari memerhati kotoran itu dan memerhatikan orang ramai, lalu apabila ia merasakan orang ramai sedang leka, ia mengambil kotoran tersebut dan memasukkan ke dalam bajunya. Dan apabila ia keluar dari masjid ia pun mencampakkan kotoran itu di atas tanah.

Andaikata kamu tidak dapat mengikuti cara mereka akibat kekurangan adab maka hendaklah kamu mencela dirimu sendiri. Sesungguhnya sifat orang yang ikhlas tidak akan tersembunyi dari orang-orang yang berilmu.

Ketahuilah bahawa setiap fikrah terdapat adab dan setiap isyarat terdapat ilmu. Yang akan dapat membezakan demikian itu hanyalah mereka yang dapat memahami kehendak ALlah 'azza wa jalla dan dapat memetik buah-buah keyakinan dari firman-firmanNya.

Tanda-tanda demikian itu yang terdapat pada orang yang sodiq (benar) ialah :

1. Apabila ia melihat ia akan mengambil iktibar

2. Apabila ia berdiam ia akan berfikir

3. Apabila ia bercakap ia akan berzikir

4. Apabila ia terhalang ia akan sabar

5. Apabila diberi ia akan bersyukur

6. Apabila diuji ia mengucap tarji' إن لله و إنا إليه راجعون

7. Apabila dilakukan tindakan bodoh ke atasnya ia berlemah lembut

8. Apabila ada ilmu ia merendah diri

9. Penyayang apabila mengajarkan ilmu

10. Dan apabila ditanya ia berusaha untuk menjawab

Beliau adalah penawar kepada orang yang mengharapkan, pembantu kepada yang meminta panduan, sebagai rakan kebenaran, gua kebaikan, suka merelakan bagi hak dirinya dan sangat tinggi kemahuannya pada hak ALlah subahanahu wa ta'ala.

Niatnya lebih baik dari amalannya, amalannya pula lebih baik dari cakapnya, dalamannya adalah kebenaran, pengikatnya adalah malu, dikenali sebagai warak, penonjolannya diyakini, ia mempunyai cahaya-cahaya kewarasan yang digunakan untuk berpandangan, mempunyai ilmu-ilmu yang benar untuk diungkapkan dari dalil-dalil keyakinan untuk diperkatakan.

Yang akan mencapai peringkat ini hanyalah orang yang memujahadahkan dirinya (latihan dan usaha untuk melawan hawa nafsu agar tidak haoba terhadap dunia) kerana ALlah, mengistiqomahkan tekadnya untuk mentaati ALlah, mentakuti ALlah dalam keadaan terdedah mahupun tersembunyi, memendekkan angan-angan, memperkemaskan ikatan ketelitian dan ia menyelamatkan (diri dari kemurkaan ALlah) dengan tiupan angin keselamatan di lautan ibtihal (munajat dan memohon kepada ALlah).

Justeru waktunya dalam keuntungan, keadaannya sentiasa selamat, tidak akan terkabur dengan hiasan dunia yang menipu dan kilauan fatamorgana serta kelembutan bayu dunia tidak dapat melalaikannya tentang kedahsyatan hari kebangkitan.

Sedarilah bahawa orang yang berakal setelah jelas keilmuannya dan nyata keyakinannya akan mengetahui bahawa tidak ada sesuatu yang akan menyelamatkannya dari Tuhannya melainkan kejujuran, lantaran ia akan bertekun mendapatkannya dan akan mencari orang-orang yang jujur dengan harapan ia akan hidup sebelum matinya (memanfaatkan hidupnya dengan amalan dan kerja yang berfaedah), agar ia bersedia untuk hari yang kekal setelah matinya, maka ia menjual harta dan jiwanya kepada Tuhan, justeru ia pernah mendengar firmanNya :


إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٲلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ‌ۚ


Ertinya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,
(Surah At Taubah : 111)

Lantas ia berilmu setelah kejahilan, kaya setelah fakir, terhibur setelah kesepian, dekat setelah kejauhan, lega setelah keletihan. Teraturlah sudah urusannya dan terkumpul sudah harapannya.

Slogannya adalah kepercayaan dan keyakinan dan keadaannya adalah berawasan (muraqabah) tidakkah kamu memerhatikan sabdaan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam :

أعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك

Ertinya : Sembahlah ALlah bagaikan kamu melihatnya, walau pun kamu tidak dapat melihatnya justeru (sedarlah sebenarnya) Dia sedang melihat kamu
(Riwayat Muslim)

Orang jahil menyangkanya seorang yang pekak dan lesu, kebijaksanaannyalah yang memekakkannya, orang menyangkanya seorang yang bodoh bercakap merapu, bernasihat kerana ALlah lah yang membuat ia berbicara, orang menyangkanya seorang yang kaya, sikap tidak memintalah yang mengkayakannya dan orang menyangkanya fakir, sikap tawadhuklah yang merendahkannya.

Dia tidak menyampuk sesuatu yang tidak berkenaan dengannya, tidak menggagahi lebih dari keperluannya, tidak mengambil apa yang tidak dihajati, tidak mengabaikan apa yang diamanahkan kepadanya. Orang ramai rasa senang dan tidak terganggu dengannya, sementara ia merasa letih berhadapan dengan nafsunya. Ia telah memautkan halobanya dengan warak. menyekat tamaknya dengan takwa dan menghilangkan hawa nafsunya dengan cahaya ilmu.

Bentuklah diri seperti ini, berkawanlah dengan orang-orang sedemikian,

Daripada Abu Hurairah radiyaLLahu 'anhu, daripada Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam sabdanya yang bererti :
ALlah mempunyai beberapa malaikat peronda yang sentiasa bergerak di atas bumi, apabila mereka naik ke langit ALlah subahanahu wa ta'ala akan bertanya kepada mereka, sedangkan Ia lebih mengetahui : Dari mana kamu datang ? Jawab mereka : Kami datang dari beberapa orang hambaMu di atas muka bumi yang sedang bertasbih, bertakbir dan bertahlil, bertahmid dan memohon doa dan keampunan dariMu. Lalu ALlah berfirman : Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka, aku memberikan apa yang mereka minta dan aku melindungi mereka dari apa yang mereka mohon perlindungan. Para malaikat pun berkata : Tetapi, bersama mereka ada satu orang yang banyak melakukan kesalahan, dia hanya duduk bersama mereka secara kebetulan ia lintas di situ sahaja. Jawab ALlah : Kepadanya pun aku ampuni, mereka adalah kaum yang tidak akan mencelakakan orang yang duduk bersama mereka
(Riwayat Muslim)

jejakilah tauladan mereka dan beradablah dengan tingkahlaku mereka. Mereka adalah simpanan yang terjamin, membeli mereka dengan dunia adalah untung, mereka adalah senjata dalam kesusahan dan pendamping yang boleh dipercayai. Andai kamu kefakiran mereka akan mengkayakan kamu dan andai mereka berdoa kepada Tuhan kamu tidak akan dilupakan.

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ حِزۡبُ ٱللَّهِ‌ۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (٢٢)

Ertinya : "Mereka adalah penyokong-penyokong (agama) ALlah, ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong agama ALlah itu adalah orang-orang yang berjaya"


(Surah al Mujadalah: 22)

Sumber Rujukan : Imam Harith Al Muhasibi, Risalah al Murtasyidin, Pent Ustaz Ilyas bin Haji Ismail, Cet 2006, Darul Fawwaz, Kedah.

Selasa, 15 Disember 2009

Buku Terbaharu Dari Sahabat

Assalamu'alaikum warahmatuLlahi Wa Barokatuh.

Inilah hasil penulisan dari Ustaz Mukhlis :


Category:Books
Genre: Religion & Spirituality
Author:Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Sinopsis

“ Mencari Bahagia… Ungkapan ini sering berlegar-legar di benak fikiran setiap manusia. Mengapa bahagia? Kebahagiaan adalah antara nikmat Allah s.w.t. yang terbesar, yang dikurniakan kepada para hambaNya. Ia adalah antara tanda sifat pemurah Allah s.w.t. kepada manusia.


Namun, ramai manusia gagal mencarinya. Mengapa? Ini kerana, manusia cuba mencari makna kebahagiaan selain daripada makna kebahagiaan sebenar. Oleh itu, semakin manusia mendekati makna kebahagiaan ciptaannya, semakin dia menjauhi makna kebahagiaan hakiki dan abadi. Oleh kerana itu, semakin dia mencari “bahagia”, semakin dia temui duka dan sengsara.

Maka, hadirnya buku yang serba ringkas ini, untuk mengajak manusia agar mereka melalui jalan kebahagiaan hakiki, dengan meninggalkan kebahagiaan palsu yang lahir daripada angan-angan dan persepsi. Bahagia itu mulanya pada perjalanan kita menuju bahagia. Kalau seseorang menuju kebahagiaan hakiki dan abadi, maka setiap langkah dalam menuju kebahagiaan hakiki tersebut adalah kebahagiaan, begitulah sebaliknya. Oleh kerana itu, buku ini menyeru ke arah: “Marilah Menuju Kebahagiaan…”.

Ia bermula daripada kita memperbaiki makna kebahagiaan dalam diri kita dengan makna kebahagiaan hakiki, lalu kita terus melangkah menujunya dengan langkah yang teliti berdasarkan petunjuk Ilahi. Pada ketika itulah, kita akan menjalani sebuah kehidupan Rabbani yang membawa kebahagiaan abadi, di dunia ini dan di akhirat nanti.

-Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

Ulasan:

Bismillahir-rahmaanir-rahiim....Alhamdulillah, was-solaatu was-salaamu ‘ala rasulillah, wa ‘ala aalihi wasohbihi wa man waalah, amma ba’du;


Membaca tulisan Ust Mukhlis, hati saya bagai disapa dengan lembutnya ikhlas dan santunnya ilmu. Bait-bait kata yang dibaca, seolah-olah huluran tangan yang menyalami penuh takzim akal budi seseorang insan. Insya Allah, hati yang sakit bisa jadi sembuh; yang lemah bisa jadi kuat; yang hiba bisa jadi tersenyum; yang jatuh bisa bangkit lagi; yang berputusasa bisa jadi sasa. Dengan Rahmaan dan Rahiim Allah, mereka yg hadirkan hati semasa membaca garapan pena ini, akan mendapat suluhan rabbani dalam kehidupan mereka. Saya bukanlah orangnya yang layak untuk memperkatakan tentang buku Ust Mukhlis ini. Saya sendiri insan faqir yang mendapat begitu banyak manfaat daripada Al-Fadhil Ustaz. Apa pun, membaca buku ini serta merta membuatkan saya teringat sabdaan suci Rasulullah s.a.w.; “Berbahagialah orang-orang yang ikhlas. Mereka adalah pelita di dalam pekatnya kegelapan; dan kerana mereka terpadam fitnah-fitnah besar yang gelap.” (HR Al-Baihaqi) Semoga taufik Allah sentiasa bersama kita semua sepanjang jejak dan langkah perjalanan kita menuju Allah Jalla Jalaaluh.


Al-Ustaz Mohd Gunawan Che Ab Aziz

Penulis buku “Masjid Itu Hidupku”

Buku ini boleh didapati dari penulis sendiri khususnya yang tinggal berhampiran Putrajaya atau boleh dapatinya dari Pelima Media Sdn Bhd:

Pelima Media Sendirian Berhad (852961-A),
3-1-1, Jalan Medan Pusat Bandar 4A,
Seksyen 9,
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA.

• Nombor Telefon.

Telefon Pejabat • +6 (03) - 8926 7746
Fax Pejabat• +6 (03) - 8927 3479
Telefon Bimbit • +6 (016) - 209 9454

http://www.pelima.com.my/media/






Category:Books
Genre: Religion & Spirituality
Author:Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Bismillah... Alhamdulillah... Selawat dan Salam buat Saidina Rasulillah s.a.w...

Amma Ba'd

Suatu ketika, guru kami Al-Murobbi, Sheikh Yusuf Al-Hasani bertanyakan kepada kami, suatu soalan yang akhirnya membuatkan saya yang penuh hina ini berfikir sejenak.

Persoalan yang beliau lontarkan adalah:
"Bagaimana kita yang sudah membahaskan tentang sebahagian sifat-sifat Allah dalam ilmu Tauhid, namun masih tidak menghayati kewujudan Allah dalam kehidupan kita seharian. Sifat Wujud Allah yang menjadi sifat pertama perbahasan dalam ilmu Tauhid sendiri pun tidak dapat dihayati oleh kita, dalam segenap kehidupan kita, bagaimana pula dengan penghayatan terhadap sifat-sifatNya yang lain?"


Jadi, dalam pada sedang memikirkan jawapannya, saya mula berfikir tentang suatu perbahasan Tauhid yang dapat menggabungkan antara ilmu berbentuk teori dan praktikal. Namun, setelah saya yang faqir membaca beberapa karangan ulama' dalam ilmu Tauhid secara meluas, saya dapati di penghujung perbahasan mereka, mereka pasti mengajak kepada mengamalkan ilmu Tasawwuf samada dengan memperbanyakkan zikir ataupun berakhlak mulia.

Maka, saya dapati, kunci sebenar yang membawa seseorang daripada memahami ilmu Tauhid secara teori kepada penghayatan makna Tauhid dalam praktikal kehidupan adalah pada ilmu Tasawwuf itu sendiri. Bahkan, menurut sebahagian ulama' sufi, pelajaran-pelajaran yang disampaikan oleh para murobbi sufi adalah suatu Tauhid Amali iaitu, sebuah tauhid yang terpancar hasil dari hubungan kehambaan mereka kepada Allah s.w.t..

Maka, Allah s.w.t. membantu saya dengan memberi kesempatan kepada saya untuk mempelajari beberapa kitab-kitab tasawwuf yang membicarakan perbahasan aqidah khususnya karangan Imam Al-Qusyairi (dalam Ar-Risalah Al-Qusyairiyyah), Imam Ibn Ata'illah As-Sakandari (Al-Hikam dan At-Tanwir), Imam An-Nablusi r.a. (kitab Khamr Al-Khan), Sheikhu Sheikhna Sayyidi Muhammad Al-Hasyimi (Miftah Al-Jannah) dan sebagainya, melalui beberapa guru yang sangat dihargai jasa mereka.

Maka, Allah membantu saya dalam menyusun sebuah kitab yang serba ringkas ini untuk cuba menggabungkan perbahasan ilmu tauhid nazhori (teoritikal) berteraskan manhaj Al-Asya'irah (sifat 20) dengan perbahasan ilmu Tasawwuf yang merupakan sebuah ilmu tauhid Amali.

Perbahasan ilmu Tauhid dari sudut teorinya juga dipermudahkan agar merai kemampuan masyarakat awam khususnya di Malaysia yang jauh daripada tradisi warisan ulama' silam khususnya dalam ilmu Tauhid. Mudah-mudahan Allah s.w.t. membantu urusan umat Islam dalam memperkasa dan memurnikan aqidah dan tauhid mereka agar mereka mampu menjadi Ummah yang terbaik dalam segenap aspek.

Semoga Allah s.w.t. mengampuni kekurangan penulis yang terkandung dalam buku ini dan menerimanya sebagai amal yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Amiin...

Wallahu a'lam...

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

Ulasan:

Bismillah...Alhamdulillah... Selawat dan Salam buat Saidina Rasulillah s.a.w..

Amma Ba'd

Kami amat bersyukur dengan karya yang ditulis oleh Al-Fadhil Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari ini. Karya tauhid yang beliau tulis amat mudah difahami serta sesuai untuk setiap peringkat usia. Oleh yang demikian, sewajarnya karya beliau ini dibaca terutamanya bagi mereka yang ingin mendalami perbahasan ilmu tauhid.

Lebih menarik lagi, karya beliau ini disulami dengan sebuah penghayatan tasawwuf. Usaha mengintegrasikan ilmu kalam dengan penghayatan tasawwuf adalah suatu usaha yang mulia. Ini kerana, ilmu tauhid yang tidak dihayati secara kesufian hanya akan meletihkan akal tetapi tidak membuahkan iman yang mantap. Usaha murni ini sangat memberi sumbangan dalam masyarakat Islam khususnya dalam memahami perbahasan tauhid lalu menterjemahkannya dalam bentuk penghayatan kerohanian.

Semoga Allah s.w.t. memberkati usaha beliau dan menerima usaha beliau sebagai amal soleh di sisi-Nya. Amiin.


Mohd Nasir bin Mohd Tap
Ketua Jabatan Penyelidikan dan Penerbitan
Kolej Dar Al-Hikmah

Buku ini boleh didapati daripada penulis sendiri khususnya yang tinggal berhampiran dengan Putrajaya atau boleh dapatkan terus daripada Pelima Media Sdn Bhd untuk lebih mudah.

Pelima Media Sendirian Berhad (852961-A),
3-1-1, Jalan Medan Pusat Bandar 4A,
Seksyen 9,
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA.

• Nombor Telefon.

Telefon Pejabat • +6 (03) - 8926 7746
Fax Pejabat• +6 (03) - 8927 3479
Telefon Bimbit • +6 (016) - 209 9454

http://www.pelima.com.my/media/

Isnin, 14 Disember 2009

Antara Adab Dan Biadap (Dalam Lisan) : Ya RasuluLLah Bukankah Engkau Sudah Mengajar Kami ?..

Semasa belajar di sekolah dahulu, kami diajar dalam subjek tasawwuf (akhlak), adab dan kini ia dinamakan Pendidikan Akhlaq.

Kami didedahkan dengan sifat yang mulia, tutur kata yang baik, niat yang benar agar menjadi penghayatan dalam hidup kami. Guru-guru kami tidak pula lokek memberikan nasihat walaupun diulang-ulang setiap hari.

Perkataan akhlak yang mulia, hormat menghormati, sayangi saudara seIslam dan manusia (umumnya). Selalulah ingatan itu menjadi panduan hingga kini. Sebab kami tahu, bila terbit perkataan yang buruk, sekali terlacur kata... tidak mungkin dapat ditarik balik.

Ada satu pepatah bidalan :
Lisan itu ibarat harimau. Jika harimau itu dilepaskan maka tentu akan menerkam anda. Tetapi jika anda ikat , harimau itu akan menjaga anda.
Guru mengajarkan kami bahawa RasuluLlah adalah contoh yang terbaik dalam segenap perilakunya, perkataannya, diamnya malahan seluruh kehidupannya menceritakan keindahan akhlaknya yang agung.

Satu hadith yang menunjukkan ketinggian adab sopan di dalam Islam :

عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : من كان يوءمن با لله واليوم الأخر فليقل خيرا أو ليصمت , ومن كان يوءمن با الله واليوم الأخر فليكرم جاره , ومن كان يوءمن با الله واليوم الأخر فليكرم ضيفه . رواه البخاري و مسلم

Ertinya : Dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda " Barangsiapa yang beriman kepada ALlah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada aLlah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia muliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada ALlah dan Hari kemudian, maka hendaklah ia muliakan tetamunya.
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Di dalam hadith ini RasuluLlah menerangkan antara sifat yang menjadi adab sopan orang-orang yang beriman ialah berkata baik atau diam. Mengenai berkata baik atau diam Imam Syafie menerangkan : Makna hadith ini bahawa apabila seorang hendak berkata hendaklah ia berfikir. Bila ternyata tiada bahaya atasnya, berkatalah. Tetapi bila ternyata sebaliknya, diamlah.

Abu al Qasim al Qushairi berkata :
"Diam yang tepat pada waktunya adalah sifat orang-orang besar dan berkata pada waktunya adalah perkara yang sangat mulia".


Lihatlah orang yang tidak berhati-hati dalam berkata lebih banyak mendatangkan sesal dan mungkin pula menyebabkan dosa. Berapa banyak perkelahian, permusuhan yang timbul hanya kerana disebabkan perkataan. Berapa banyak pembunuhan, rumahtangga yang goyah kerana disebabkan lisan ? Kadangkala ada perkataan mereka yang cerdik berkata-kata dengan, tinggi ilmunya tetapi diselitkan dengan penghinaan, kuliah ilmu yang disertakan dengan kata-kata yang merendah-rendahkan. Hingga sepatutnya majlis ilmu yang sepatutnya menjadi cahaya, menambahkan pengetahuan, menjadikan manusia semakin takut pada ALlah, dihadiri juga oleh para malaikat hanya menyebabkan keras hati dan kesedihan kerana ruginya masa yang berlalu. Lalu ilmu itu juga dimuntahkan oleh hati.

Bukankah setiap apa yang diperkatakan, dituliskan tidak terlepas dari pandangan ALlah ?

Terima kasih wahai guru, menelusuri ilmu itu memang perlu kepada adab. Sudah ditunjukkan oleh RasuluLlah bagaimana adab berbicara, sudah dicermati oleh mereka yang terdahulu hidup di kurun yang terbaik agar selalu menjaga apa yang ada di antara dua rongga mulut. Seorang ahli hikmah berkata :

Jagalah lidahmu wahai manusia agar ia tidak menyengatmu, kerana ia adalah ular. Berapa ramai orang yang sudah berada dikuburan-kuburan kerana akibat korban lidahnya. Sedangkan orang-orang yang berani pun takut berjumpa dengannya.


Wahai diri, engkau juga mungkin selalu lupa. Lalu perhatikan kata-kata As Sirri as Saqathi :
Siapa yang tidak mampu mendidik dirinya nescaya dia tidak akan mampu mendidik orang lain.
Biarlah ilmu menjadikan engkau semakin takut kepada ALlah, menjadikan engkau selalu berawas-awas dalam berkata-kata. Lisan itu mudah sahaja menerkam dirimu semula akibat kelalaianmu menjaganya.

Ya ALlah.. ampunkan dosaku kerana kelalaianku..