Khamis, 31 Julai 2008

Syukurlah, Marilah Belajar Bersyukur

Apa khabar harini? Sihat? AlhamduliLLah jika masih diberi kesihatan oleh Allah. Di hospital yang jarang dijenguk ramai pesakit yang ingin keluar .

Masih lagi berada di dalam iman dan Islam? Syukurlah jika masih ada iman dan Islam (ingatlah di akhir zaman ini ada manusia yang ditarik imannya, beriman di waktu pagi, dan kafir dipetangnya). Ada imannya hanya di bibir sahaja, atau sekadar nama di surat beranak dan kad pengenalan sahaja.

Anggota badan masih cukup? Mata masih boleh lagi melihat dengan jelas? Tangan masih lagi boleh memegang,menulis? Kaki masih boleh berjalan?

Syukurlah jika masih sempurna.. Gunakanlah dengan sebaiknya. Hargai apa yang masih ada.. Jangan sudah hilang di depan mata barulah menyesal tiada kesudahan.. Jika mata sudah gelap, di kiri kanan bertemankan tanah, berselimutkan kafan, sudah terlambat untuk bertaubat. Manalah tahu, lidah kita ini pun terkadang hilang deria rasanya, kaki kita pun terkadang kesandung lalu mengaduh sakit, telinga pun acapkali juga terpaksa mendengar betul-betul apa yang orang lain perkatakan.

Akal masih mampu berfikir? Syukurlah jika masih ada akal, ada orang yang dalam keadaan tertekan, tidak mampu berfikir rasional. Ada yang mengamuk, ada yang di awang-awangan, bahkan ada juga yang tidak menggunakan akal, hinanya lebih teruk dari haiwan.

Ibu dan Ayah masih hidup? Kawan-kawan? Syukurlah.. tahulah untuk bersyukur bila ada tempat untuk mengadu dan menceritakan nasib. Ada di antara kita yang yatim piatu, tiada kawan untuk mengadu. Malahan yang menjadi rakan setianya adalah tumbuhan dan binatang di sekeliling. Itupun syukur juga..

Masih ada pakaian yang membaluti tubuh? Tempat tinggal yang selesa? Makanan yang enak dan masih boleh dimakan? Syukurlah tuan… ada orang yang tiada pakaian untuk dipakai, rumahnya dibuat dari najis binatang, beratapkan langit, berlantaikan bumi. Ada yang terpaksa memakan kulit kayu, terpaksa meminum air kencing sendiri bahkan binatang lain (kerana musibah alam, tiada bekalan makanan). Lihatlah kesusahan orang lain yang terpaksa mandi dengan najis binatang, dan kita.. walaupun sudah diberi nikmat air, masih juga membazir menggunakan air.

Ada tempat untuk bersekolah? Guru-guru untuk mengajar? Lihat dan fikir di tempat yang tiada guru, terpaksa menggunakan jari untuk menulis di tanah, ingin belajar tetapi tiada guru. Sanggup belajar di tempat yang tidak selesa malah dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya. Walaupun sedar di tengah-tengah pergolakan hidup, keluarga yang miskin, tetap membimbit buku yang sudah penuh contengan untuk belajar menjadi ‘manusia’ yang berguna!.

Ingatlah wahai saudaraku.. ALlah telah pun memberikan peringatan bagi orang-orang yang kufur :


وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ قَرۡيَةً۬ ڪَانَتۡ ءَامِنَةً۬ مُّطۡمَٮِٕنَّةً۬ يَأۡتِيهَا رِزۡقُهَا رَغَدً۬ا مِّن كُلِّ مَكَانٍ۬ فَڪَفَرَتۡ بِأَنۡعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَٲقَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلۡجُوعِ وَٱلۡخَوۡفِ بِمَا ڪَانُواْ يَصۡنَعُونَ (١١٢)

Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan. (Surah An Nahl : 112)

Sabtu, 26 Julai 2008

Kehidupan Hasan Al Basri

Al-Hasan bin Yasar (lebih dikenali selepas ini sebagai al Hasan al Basri) membesar di salah sebuah rumah RasuluLlah s.a.w dan dididik di rumah salah seorang isteri Nabi s.a.w , Hindun binti Suhail atau dikenali sebagai Ummu Salamah.

Jika anda belum kenal, Ummu Salah adalah seorang wanita Arab yang sangat cerdik. Seorang yang sangat dihormati dan tinggi semangatnya. Ummu Salamah adalah seorang isteri Nabi s.a.w yang sangat berilmu. Beliau merupakan isteri Nabi s.a.w yang paling banyak meriwayatkan hadith daripada Baginda. Beliau meriwayatkan sehingga 387 buah hadith. Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang daripada segelintir kecil kaum wanita yang celik huruf di zaman jahiliyyah.

Namun demikian hubungan anak kecil yang bertuah ini dengan Ummu Mukminin, Ummu Salah tidak berhenti setakat itu sahaja. Malah hubungan mereka menjangkau lebih daripada itu. Khairah, ibu al Hasan ini selalu keluar rumah kerana melakukan kerja-kerja untuk Ummu Mukminin. Jadi apabila anak kecil ini menangis kelaparan, Ummu Salah akan membawa anak kecil ini ke biliknya. Beliau akan menyusukannya sendiri untuk menenangkan anak ini sepanjang ketiadaan ibunya.

Dengan ini, Ummu Salah menjadi ibu kepada Al Hasan kerana dua sebab. Pertama kerana beliau adalah Ummu Mukminin. Kedua kerana beliau adalah ibu susuannya.

***

Hubungan yang begitu erat dengan kesemua Ummu Mukminin selain kedudukan rumah-rumah mereka yang berdekatan membolehkan anak kecil yang bertuah ini sering mengunjungi rumah-rumah ini. Malah anak kecil ini juga berpeluang mencontohi akhlaq dan menerima bimbingan mereka.

Al Hasan sendiri pernah menceritakan bahawa rumah-rumah Ummu Mukminin menjadi tempat beliau bermain. Menurutnya, apabila beliau melompat, tangannya boleh mencecah atap rumah Ummu Mukminin.

***

Al Hasan membesar dalam suasana yang penuh dengan haruman dan sinaran nubuwwah. Beliau berpeluang menikmati keindahan yang mewarnai rumah-rumah Ummu Mukminin ini.

Selain itu, Al Hasan juga turut berpeluang menerima didikan para sahabat agung di masjid RasuluLLah s.a.w. Beliau berkesempatan menerima hadith daripada Othman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Abu Musa al As'ari, Abdullah bin Umar, AbduLlah bin Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin AbduLLah dan ramai lagi.

Al Hasan begitu tertarik dengan Amirul Mukminin, Ali bin Abu Talib r.a. Beliau dapat melihat kekuatan pegangan Ali kepada agamanya. Beliau tertarik dengan kesempurnaan ibadat dan kezuhudannya menjauhi segala kesenangan dunia. Beliau turut tertarik dengan kepetahan, kebijaksanaan, kefasihan dan tunjuk ajarnya yang mampu menyentuh hati manusia. Oleh kerana itu, al Hasan cuba mencontohi segala akhlaq, ketaqwaan dan ibadah Ali bin Abu Talib. Beliau juga turut mencontohi kepetahan dan kefasihan Ali bin Abu Talib.

Apabila al Hasan berusia 14 tahun dan semakin dewasa beliau mengikut ayahnya berpindah ke Basrah. Beliau menetap di sana bersama keluarganya. Di sinilah al Hasan mula dikaitkan dengan Basrah dan di kenali sebagai al Hasan al Basri.

Khamis, 24 Julai 2008

Remaja.. Engkau tidak selamanya akan Muda..

Mengapa akak menangis? Seorang fasilitator bertanya kepada seorang kakak yang sudah berumur kira-kira 40an sambil beliau mengesat air matanya dengan tisu. Dia menceritakan bagaimana dia terpaksa menebalkan muka untuk pergi ke setiap rumah peneroka bagi mencukupkan kuota pelajar bagi mengikuti kem smart Exam yang diadakan. Bayaran yang dikenakan hanya rm25 untuk 3 hari 2 malam berbanding dengan kadar biasa rm320 sepanjang tempoh kem yang sama seperti itu di luar. Sambil beliau menyatakan perasaan terkejut melihat ada beberapa peserta yang tidak menghormati seorang ustaz ketika sedang memberikan kuliah subuh. Ada yang bangun tanpa meminta izin dan keluar dengan alasan belum mandi. Remuk benar hatinya melihat keadaan itu..

Mengapa ya?, motivasi sudah semakin banyak diberi, tetapi perilaku tidak juga berubah. Seolah-olah tidak memberi kesan kepada hati. Wang sudah banyak dilaburkan. Air mata sudah banyak kali mengalir keluar bila diceritakan tentang pengorbanan ibu dan ayah. Tetapi solat tetap juga culas..

ALlahu ALlah... adakah kerana hidup sudah terlalu selesa, kehendak mudah dipenuhi menjadikan diri lupa tentang erti kesusahan dan berkorban? Mungkinkah apabila mudah benar segala perkara yang dihajati dapat dinikmati menyebabkan dirimu lupa tentang kewajipan yang perlu dipenuhi?

Wahai remaja, belajarlah bersyukur. Perlukah menunggu malang datang bertimpa-timpa baru diri mahu beringat? Ibu bapamu tidak selalu berada di sisi selamanya untuk terus menyuap dan memberi selama-lamanya. Maka kerana itulah ilmu adalah harta yang paling berharga untuk masa hadapan.

Untuk mendapat kejayaan, bukan hanya dengan petikan jari. Kesenangan yang membaluti dirimu bukanlah hak milik yang perlu dibanggakan sedangkan ia adalah dari susah payah kedua orang tua. Cuba jawab di dalam hati apa yang sudah dibayar buat mengesat peluh ibu dan ayah yang membesarkan engkau selama ini hingga boleh dikenal orang sebagai remaja?

Ingatlah, getah yang ditoreh akan habis juga susunya, kelapa sawit yang dikerah semakin sedikit buahnya. Yang berkekalan dan akan membantu ibu dan ayah sehingga dikuburan adalah anak berilmu yang soleh serta solehah yang selalu mendoakan kesejahteraan menjadi amal jariah kepada mereka berdua.

Terkadang diri ini selalu juga menduga anak murid yang khusyuk mendengar celotehku,..nanti bila ayah dan ibu meninggal dunia siapakah yang akan memandikan mereka? Anda atau orang lain? Siapa pula yang akan mengkafankan mereka? Anda atau berharap pada orang lain?

Siapa pula yang akan menyolatkan mereka untuk memberikan penghormatan terakhir buat kenang-kenangan sebelum berpisah selamanya dari alam fana... Anda atau menunggu orang lain? Dan siapa pula yang akan mengusung mereka di tanah perkuburan, di tempat perpisahan yang kekal abadi.. Anda.. atau masih juga mengharapkan orang lain?..

Anak muridku berkaca juga matanya.. mungkin sedar (kuharapkan mereka benar-benar sedar). Hidup biarlah memberi makna.. agar ada sesuatu yang dapat kau jelaskan dengan yakin di hadapan ALlah nanti, bahawa dirimu sudah berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini untuk menjadi seorang Islam yang berkualiti yang dapat membantu diri, keluarga, umat Islam dan agama-Nya ini khususnya..

Selasa, 22 Julai 2008

Sifat Qudrah (Berkuasa)


Qudrah ertinya berkuasa. Sifat yang qadim lagi azali yang berdiri pada zat ALlah ta'ala. Sifat ini memberi erti bahawa ALlah Robbul Jalil mempunyai kuasa untuk mengadakan atau meniadakan sesuatu yang mumkin (berkemungkinan) dengan berkesan, selaras dengan iradah-Nya (kehendak ALLah).

Kekuasaan ALlah memerintah dan mentadbir sekalian makhluk-Nya dengan sendirinya. ALLah berkuasa untuk menentukan dan mengubah perjalanan alam dan seluruh makhluk tanpa kecuali. Dan ALlah jualah yang menentukan dan mengubah nasib manusia.

Perbezaan di antara qudrah (kuasa) ALlah ta'ala dengan qudrah manusia.

Qudrah ALLah ta'ala

1. Qadim lagi azali (memang sudah ada pada zat ALLah ta'ala)
2. Hakiki (berkuasa mutlaq)
3. Memberi kesan dan bekas
4. Bersendiri (Tidak dikongsi dengan apa juapun)
5. Tiada batasan


Qudrah manusia

1. Baharu (akan hancur, binasa, tidak kekal)
2. Ikhtiyari (manusia hanya mampu berusaha memilih dan tetap tertakluk pada kekuasaan ALlah)
3. Tidak memberi bekas atau kesan atas apa yang dibuatnya. - contoh : perbuatan manusia makan nasi tidak akan memberi kekenyangan kecuali atas kekuasaan ALlah yang memberi kenyang.
4. Berharap pada yang lain. - contoh : Manusia memerlukan pertolongan, alat bantuan, pancaindera, dan amat bergantung kepada ALlah.
5. Ada batasan.

***

Qudrah ALlah ta'ala yang menentukan keberkesanan usaha dan ikhtiyar manusia. Walaupun manusia mempunyai daya akal dan daya tenaga dengan berbagai-bagai penciptaan. Namun daya manusia tidak dapat memastikan keberkesanannya.

Belum tentu apa yang dibuat oleh manusia berjaya, memberi kesan, dapat mengubah sesuatu. Bahkan banyak yang dilihat adalah kegagalan dan akhirnya hancur binasa. Sekiranya berjaya ia adalah dengan izin ALlah. Ini kerana manusia adalah amat lemah. Kita kenyang kerana ALLah yang memberi kita kenyang, kita sakit dan memerlukan ubat sedangkan ubat dan apa jua tidaklah memberi kesembuhan melainkan kekuasaan ALlah yang memberi kesembuhan. Lihatlah berapa ramai yang tidak sembuh dari sakitnya. Ada manusia yang ingin mengubah wajahnya agar menjadi cantik, tetapi cantiknya itu akan pudar juga dan pasti akan hancur bila berada di dalam kubur. Sedang kecantikan itu tiada manfaat pada dirinya di alam kubur.

Manusia berusaha mencari jalan agar berumur panjang, bahkan ada juga yang tidak mahu memikirkan kematian kerana terlalu disibukkan dengan dunia. Malangnya kematian sentiasa berlaku tanpa mengira masa, kerana kekuasaan-Nya yang mencabut segala kelazatan yang ada pada diri kita.

Oleh itu, yang menentukan kejayaan hidup manusia bukanlah manusia atau alat-alat ciptaannya, tetapi ALlah ta'ala. Sebab itu kita berusaha bersungguh-sungguh, dengan bersungguh-sungguh kita berdoa dan bertawakal kepada ALLah ta'ala.

Jumaat, 18 Julai 2008

Air Mata Perjuangan...


Kami sudah berjalan sepanjang ranjau cabaran
Hati kami selalu sebak dengan duri yang menggigit

Air mata ini kalau ia pandai berkata-kata
Tentu ia akan menceritakan kisah sedih
Anak-anak kehilangan ayah bonda
Mereka yang terseksa dengan kezaliman

Tentu menceritakan kisah hebat
Penderitaan para sahabat di masa lalu
Perjuangan para mujahid dan syuhada’ yang telah gugur
Kerana mempertahankan panji kegemilangan

Tentu air mata ini akan berterusan mengalir
Bila terkenang hilang cahaya Islam di hati anak-anak muda masa kini
Ia merindukan generasi al Quran yang telah lalu
Perasaan kasih sayang antara umat Islam

Andai air mata ini dapat berkata-kata
Tentu ia bersama-sama menangisi perjalanan ini.

Ibnu Sina : 11.7.2001
11.23 malam

Isnin, 14 Julai 2008

ALlah Sudah Memberi Peringatan..

Firman ALLah s.w.t yang bererti :

Sesungguhnya kami (diutus) untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat). Surah al Ankabut (29:34)


Fakta dan Angka

SIKLON NARGIS DI MYANMAR

78,000
Cyclone Nargis dan ombak gadang menyapu bersih lanar Irrawaddy, dan Yangon, meninggalkan 78,000 orang maut dan 56,000 hilang.

2.4
juta mangsa bencana

5.5 meter ketinggian ombak bersama 190 kph kelajuan angin

10,000 orang maut dalam satu bandar sahaja - Bogalay, 90km di barat daya Yangoon

35.2 bilion ringgit nilai harta dimusnahkan oleh siklon Nargis, yang paling buruk di Asia sejak 1991 di Bangladesh.

GEMPA DI CHINA


7.9 Gempa bumi yang terburuk sejak lebih 30 tahun lalu pada skala Richter 7.9 menyebabkan lebih 80,000 orang maut dan hilang, lebih 360,000 cedera dan lebih 5 juta rumah musnah di wilayah barat daya China wilayah Sichuan.

1976 Gempa di Bandar Tongshan di Timur laut China pada 1976 mengakibatkan 300,000 orang maut.

130,000

China menggerakkan 130,000 anggota tentera dan paramilitari menyediakan tiga juta khemah dan mula membina satu juta rumah sementara dalam tempoh tiga bulan akhir Ogos 2008

11.2

China memerlukan lebih RM11.2 billion untuk tabung bantuan kecemasan.

Sumber : Milenia Muslim, m/s 14-15, Julai 2008.

****
Kerana hakikat manusia itu lupa, ALlah selalu mengingatkan kepada apa yang telah kita lakukan selama ini. Sudahkah kita melakukan perkara ma'ruf dan mencegah kemungkaran yang berada di sekeliling kita ?

Sudahkah kita menegur saudara-saudara kita (dengan hikmah - mengikut keadaan dan situasi) atau hanya membiarkannya?

Kita sibuk menunding dan mencari ruang perbalahan tetapi tidak mahu memberikan keyakinan. Sedangkan perkara yang lebih utama tidak diperhatikan. Maksiat di kiri kanan, yang tidak tahu bersyahadah, yang masih tidak tahu bagaimana cara untuk mandi wajib dan masih berterabur fatihahnya.

Tugas kita hanya memerhatikan sahaja. Hanya pandai mengeji, memaki hamun, mengejek, tetapi kita tidak pula mendoakan atau cuba membantu diri mereka.

ALlah sudah selalu memberikan peringatan. Tentera-tentera ALlah hanya menjalankan suruhan-Nya. Dan kita semua akan terpalit sama..

Jumaat, 11 Julai 2008

Wahdaniyah (Esa atau Tunggal)

ALlah ta'ala esa pada zat, sifat dan perbuatan. Hakikat ini menafikan berbilang-bilang ALlah ta'ala pada zat, sifat dan perbuatan-Nya.

Keterangan yang berikut dapat dimanfaatkan untuk menolak segala kepercayaan yang membawa kepada menyekutukan ALlah ta'ala (syirik) yang menyamakan sesetengah sifat dan perbuatan manusia dengan sifat dan perbuatan ALlah ta'ala yang akhirnya membawa kepada kerosakan iman.

Huraian

ALlah Maha Esa pada zat

1. Zat ALlah ta'ala tidak tersusun secara organik sperti ada tulang, daging, darah dan sebagainya yang disebut kam muttasil pada zat.

2. Tidak ada zat yang lain sama atau serupa dengan zat ALlah ta'ala yang disebut kam munfasil pada zat.

ALlah Maha Esa pada sifat

1. Sifat ALlah ta'ala tidak berbilang pada satu-satu jenis seperti dua qudrah (dua kuasa) yang disebut kam muttasil pada sifat.

2. Tidak ada sifat yang lain sama dengan sifat ALlah ta'ala yang disebut kam munfasil pada sifat.

ALlah Maha Esa pada Perbuatan

1. Tidak ada perbuatan lain yang sama atau serupa dengan perbuatan ALlah ta'ala disebut kam munfasil pada perbuatan.

Dalil Aqli.

Jika ALLah ta'ala tidak esa, maka perbuatan ALLah juga tidak esa; iaitu ada kalanya bekerjasama dan adakalanya tidak bekerjasama. Jika bekerjasama umpamanya tuhan pertama membuat langit dan tuhan kedua membaut bumi. Maka nyatalah sifat lemah pada tuhan sebab perlu saling tolong menolong. Jika tidak bekerjasama tentu ketika itu ada tuhan berkuasa dan ada tuhan yang lemah.

Maka logik akal tidak dapat menerima tuhan yang lemah, dan jelaslah ALlah Maha Esa pada zat, sifat dan perbuatan-Nya. Kewujudan alam ini menjadi bukti keesaan ALlah ta'ala.

Dalil Naqli

Firman ALlah :

وَإِلَـٰهُكُمۡ إِلَـٰهٌ۬ وَٲحِدٌ۬‌ۖ لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ (١٦٣)



Ertinya : Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Esa, tiada tuhan selain Dia yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. (Surah al Baqarah : 163)

لَوۡ كَانَ فِيہِمَآ ءَالِهَةٌ إِلَّا ٱللَّهُ لَفَسَدَتَا‌ۚ فَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلۡعَرۡشِ عَمَّا يَصِفُونَ (٢٢)

Ertinya : Jika ada kedua-duanya (langit dan bumi) tuhan selain ALlah, nescaya rosaklah kedua-duanya. Maha Suci ALlah, Tuhan yang mempunyai arasyh daripada apa yang mereka sifatkan. (Surah al Anbia' :22)

Rabu, 9 Julai 2008

Al Hasan Al Basri


"Tidak mungkin manusia boleh sesat jika ada orang seperti al Hasan al Basri Bersama mereka." (Maslamah bin Abdul Malik)

Seseorang telah datang membawa berita gembira kepada isteri Nabi s.a.w . Ummu Salamah bahawa hambanya, Khairah telah melahirkan seorang anak lelaki. Hati Ummu Mukminin r.a terasa begitu gembira sehingga tampak kegembiraan itu pada raut wajahnya yang mulia.

Ummu Salamah pun menghantar utusan untuk membawa si ibu dan si anak ke rumahnya sepanjang tempoh berpantang si ibu. Khairah adalah seorang wanita yang amat dihormati dan dikasihi Ummu Salamah. Ummu Mukminin merasa tidak sabar-sabar untuk melihat anak kecilnya itu.

***
Tidak lama kemudian, Khairah pun datang membawa anak kecilnya. Melihat anak kecil tersebut, hatinya terasa sayang dan gembira. Bayi itu comel, sempurna anggota tubuhnya, tertarik mata memandang dan sejuk hati melihatnya.

Ummu Salamah memandang hambanya yang masih kelihatan lemah :"Khairah, sudahkah engkau berikan nama untuk anak ini"?

"Belum, ibu. Saya serahkan kepada ibu. Pilihlah nama yang ibu kehendaki," jawab Khairah sambil tersenyum.

Ummu Salamah merenung bayi tersebut seraya berkata: "Dengan keberkatan ALLah, saya namakan bayi ini dengan nama al-Hasan." Beliau kemudiannya mengangkat tangannya mendoakan bayi ini.

***

Kegembiraan menyambut kelahiran al-Hasan ini bukan sahaja dirasai oleh Ummu Mukminin, Ummu Salamah r.a, malah turut dikongsi bersama sebuah keluarga lain di Madinah.

Keluarga itu adalah keluarga seorang sahabat yang agung, Zaid bin Thabit, seorang penulis wahyu RasuluLLah s.a.w. Sebabnya, Yasar , ayah kepada anak kecil itu adalah hamba Zaid. Bukan itu sahaja, Yasar juga adalah orang yang amat dihormati dan dikasihinya.

Isnin, 7 Julai 2008

Dunia Yang Sepi

Alangkah susah mendapat kawan
Bukan kenalan di zaman ini
Berpunca dari hati yang rosak
Kerana dunia memautnya

Alangkah susah mencari kawan
Kebaikan kita disoroknya
Bahkan didengkinya pula
Kejahatan dicanang merata

Salah yang sikit dibesarkan
Yang besar apatah lagi
Alangkah sepi dunia ini
Walaupun hidup di tengah ramai

Kerana kawan tiada lagi
yang ada hanyalah di jalanan
kerana kawan tiada lagi
yang ada hanyalah di jalanan

Kumpulan Hijjaz
Tajuk : Dunia Yang Sepi

Ahad, 6 Julai 2008

Sahabat, Masih Ingatkah Engkau....

Sahabat, telah lama kita berdiam di medan perjuangan dakwah ini. Kita telah banyak menyaksikan jatuh bangunnya umat Islam. Ada di antara sahabat-sahabat kita yang telah tertewas di dalam perjalanan ini. Ada yang terus bersama-sama berganding tangan walau ketika itu air mata semakin banyak mengalir, cuma kekuatan jiwa dan keyakinan kepada ALlah menggagahkan diri untuk bersama-sama meneruskan perjalanan ini.

Sahabat, mungkinkah kita telah melupakan tujuan asal kita dahulu? Mungkin dunia mula bertapak di hati melebihi keikhlasan dalam mencari redha Illahi.. dan perlahan-lahan telah tumbuh sifat malas dan leka, mudah berpuas hati dan terburu-buru. Sudah ada bibit-bibit perpecahan antara kita..Lalu syaitan membisikkan buruk sangka. Senang benar kita mengiyakannya. Ketika itu, musuh mula berkeroyokan untuk mencari kesempatan yang semakin terbuka luas.

Wahai sahabat, terkadang satu tangan tidak mampu untuk menarik banyak tangan yang ingin minta disambut. Sedang kita pula pertelagah sesama sendiri sehinggakan mereka yang memerlukan merasa tidak diperlukan lalu terus dibaham buas dengan arus dunia. Apalah jawapan kita di hadapan Rabbul Jalil nanti..

Akhirnya kita tidak mampu membezakannya mana teman dan mana lawan. Senyum telah bertukar kepada benci. Dahulu mesra tetapi di dalam hati 'engkaulah musuh yang perlu dihapuskan di mata ini!'.

Sahabat, persaudaraan yang kita bina bukan sehari dua kisahnya... kita pernah berpelukan berkasih sayang kerana ALlah. Adakah ia masih segar seperti dahulu..? Adakah berbaloi jika hanya perselisihan faham yang kecil sehingga menjadi penyebab renggangnya persaudaraan yang terbina ini..

Benarlah.. berat rupanya tanggungan Doa Rabithah yang selalu kita bacakan bersama selama ini..

Ya ALlah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini (orang yang telah dibayangkan tadi) telah berkupul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah-Mu0, bersatu memikul beban dakwah-Mu.

Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah Ya ALlah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalan-Nya (yang sebenar). Penuhkan (piala) hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap.

Lapangkah hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu...

(Jika Engkau mentaqdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada' dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong .

Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini. Restuilah..

Wahai sahabat, adakah engkau sudah terlupa... Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w menuntut kita agar selalu berkasih sayang antara satu dengan yang lain. Tidak sempurna iman sehinggalah menyintai saudaranya sebagaimana ia menyintai dirinya sendiri.

Begitulah jua firman ALLah :


وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ (١٠٣)

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. (103)

ALlahu ALlah..

Apa agaknya yang akan kita jawab di hadapan-Nya nanti kerana ukhuwah yang semakin merenggang dan penyakit hati yang semakin membarah di dalam jiwa..