Rabu, 30 September 2009

Bahaya Memandai-mandai Dalam Urusan Agama

Ada golongan pelajar, profesional atau yang baru berjinak-jinak belajar hadith. Bahkan mengaku dirinya sebagai salafi. Bila berbicara tentang hadith atau hukum biasanya tidak lepas menggunakan kalam Imam Syafie.

Mereka kata :
Imam Syafie sendiri mengatakan ambil hadith sahih. Hadith Sahih itulah mazhabku.
Ungkapan inilah yang selalu digunakan untuk membenarkan tindakan mengeluarkan hukum sendiri. Walaupun dirinya jahil dan tiada disiplin ilmu langsung untuk istinbath hukum.

Bahaya sebenarnya memandai-mandai dalam perkara agama yang melibatkan hukum hakam.

Sebab RasuluLlah sendiri telah bersabda yang bererti :

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :

ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramailah sekarang ini yang berlagak seperti mujtahid. Bila berkata terus keluarkan hadith (itupun belum tentu ia menguasai bahasa Arab untuk tahu tentang hadith). Asal ada isu terus keluarkan hukum dari hadith.

Bolehkah jadi ulamak dengan hafal dan baca 10, 100 hadith sahaja?

Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya orang :
"Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih...? "Tidak...!", jawabnya. "Dua ratus ribu hadith..?" "Tidak..!.. katanya. "Tiga ratus ribu hadith..?" "Tidak..! Jawabnya. "Empat ratus ribu hadith..? "Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.

Banyaknya perlu dihafaz hadith. 500,000 hadith dihafaz baru dikatakan sebagai faqeh. Itupun ulamak amat berhati-hati apabila mengeluarkan hukum walaupun sudah hebat dalam ilmunya. Contohnya :

Imam Malik pernah berkata :

Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)".

Ibn al Qasim berkata :
"Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : "Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti".

Ibn Abi Layla pernah berkata :
"Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul sallaLLahu 'alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.


Prof Dr Yusuf al Qardhawi, Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub, Fatwa & Antara Ketelitian & Kecerobohan, 1996, Thinker's Library, Selangor.


Hebat betul ulamak dan para sahabat zaman dahulu, mereka amat warak (berhati-hati) sebab takut untuk mengeluarkan hukum. Takut berdusta atas ALlah dan RasulNya. Ini halal dan ini haram hak siapa untuk berkata? Sedangkan ALlah sendiri mengingatkan kita dalam firmanNya :

"Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia." (an-Nahl: 116)

Berbalik pada persoalan mengenai kalam Imam Syafie yang selalu digunakan oleh golongan tertentu untuk membenarkan tindakannya. Sebenarnya kalam Imam Syafie ini perlu difahami melalui ulamak yang mengikut mazhab syafie juga. Sebab mereka lebih arif dan mendalami apa pengertian sebenar kalam Imam Syafie yang dimaksudkan.

Imam Syafie ada menyatakan :

Apabila hadith itu sahih maka itulah mazhabku


Penjelasan :

Apa yang telah diucapkan oleh Imam Asy Syafie bahawa bila hadith itu sahih maka itulah mazhabnya. Ini bukan bererti bahawa kalau melihat suatu hadith sahih seseorang itu boleh menyatakan bahawa itu adalah mazhab syafie dan boleh diamalkan menurut zahirnya.

Apa yang tersebut di atas hanya ditujukan bagi orang yang sudah mencapai darjat ijtihad dalam mazhab Syafie sebagaimana telah kami terangkan sifat-sifatnya atau yang mendekati sifat tersebut.

Adapun syaratnya ialah ia harus mempunyai sangkaan yang kuat bahawa Imam Syafie rahimahuLLah belum pernah menemukan hadith tersebut atau tidak mengetahui kalau hadith itu sahih.

Untuk mengetahui hal ini, ia harus menelaah semua kitab Imam Asy Syafie dan kitab-kitab para ulama pengikutnya. Sudah tentu syarat ini sangat sulit dan jarang dapat dipenuhi. Adapun diisyaratkan demikian kerena Imam Syafie RahimahuLLah sendiri sering meninggalkan (tidak mengamalkan) hadith-hadith yang telah dilihat dan diketahuinya dan menurut pendapatnya bahawa hadith tersebut cacat dalam riwayatnya. atau maknanya sudah dinasakh, ditakhsis, ditakwil atau sebab lainnya.


Al Majmu' Syarah Al Muhazzab, Jilid I, hlm 64.

Sekarang sudah jelas bukan? Perkataan Imam Syafie itu ditujukan untuk individu yang mencapai taraf mujtahid. Hendak jadi mujtahid bukan calang-calang orang boleh memiliki taraf ini. Perlu mengikut disiplinnya. Sebagaimana nak jadi seorang doktor bedah, perlu ada mengikuti kursus-kursusnya, kena tahu tentang biologi, atonomi dalam badan, perkara yang berkaitan dengan saraf. Bolehkan siapa sahaja mengklaim dirinya sebagai doktor bedah? Dan kemudian terus melakukan pembedahan ke atas pesakit? Apa akan terjadi pada pesakit tersebut? Contohnya : pesakit A perlu dibedah pada tulang belakang, tetapi 'doktor bedah palsu' ini membedah pesakit dan mengeluarkan jantungnya. Jawabnya - tamatlah riwayat pesakit itu atas kejahilan 'doktor bedah palsu' terbabit. Kerosakan demi kerosakanlah yang dibawanya.

Itu baru contoh doktor bedah. Bagaimana pula perihal hukum hakam agama yang diserahkan kepada bukan ahlinya? Jawapannya sudah ada diberikan di dalam hadith di atas pada permulaan bicara.

Jom Islah!

Selasa, 29 September 2009

Apa Yang Dapat Kita Pelajari Dari Aidilfitri ?

Sudah 9 Syawal berlalu di tahun 1430 Hijrah ini. Rata-ratanya umat Islam di Malaysia yang bekerja sudah pulang semula ke rumah masing-masing untuk mencari rezeki kembali. Pelbagai nostalgia ditinggalkan di kampung halaman masing-masing.

Yang sudah berkahwin, tentunya Aidilfitri tahun ini berdua pula. Yang dikurniakan cahaya mata, lebih meriah dengan kehadiran orang baru dalam hidup. Manakala yang dalam kesukaran, tentu amat terasa dengan sebuah kehilangan, kesempitan, dan ada juga yang tidak merasakan erti kegembiraan di Aidilfitri.

Walaubagaimanapun Aidilfitri adalah hari kegembiraan dan kemenangan untuk semua umatNya yang telah berjaya mengharungi Ramadhan yang telah berlalu dengan JAYANYA.

Aidilfitri ini menghidupkan sunnah RasuluLlah dengan mengeratkan tali silaturrahim keluarga dan sanak saudara yang jauh. Menghidupkan perasaaan kasih sayang dan ukhuwwah yang mungkin selama ini semakin terhakis kerana jiwa yang banyak sifat mazmumah. Dengan ucapan maaf dan terima kasih, mudah-mudahan penyakit hati yang kotor telah dihapuskan dan segar kembali bibit rasa kecintaan sesama saudara. Bukankah persaudaraan itulah yang menguatkan Islam?

Aidilfitri mengajak kita menginsafi diri. Sesambil makan juadah yang sedap dan enak, fikirlah juga tentang sahabat, saudara kita hidup di dalam kesukaran. Mungkin juga yang mengalami malapetaka.

Kita memberi dan menerima

Walaupun Aidilfitri sebenarnya hanya untuk 1 Syawal, berlainan pula di Malaysia ini. Sepanjang Bulan Syawal ia dihidupkan dengan sambutan rumah terbuka. Ramailah mereka yang tidak bernasib baik diraikan agar dapat merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Zaman dahulu ketika masih hijau, anak-anak akan ziarah dari rumah ke rumah tidak kiralah samada jiran tetangga yang dikenali atau tidak untuk beraya. Zaman ini pula, anak-anak kecil diberi angpau atau sampul berisi duit. Amalan memberi sedekah ini amatlah baik disamping menggalakkan mereka untuk menabung untuk kegunaan yang bermanfaat pada masa hadapan.

Cuma perlulah juga diperhatikan agar anak-anak kita diajar adab-adab menerima pemberian orang :

1. Tahu berterima kasih
2. Samada menerima duit sedikit atau banyak, terimalah dengan hati yang ikhlas dan manis muka.
3. Jika tetamu atau tuan rumah tidak memberi duit jangan pula bersungut.
4. Jangan membuka sampul duit raya yang diterima di depan orang yang memberi. Kurang manis dilihat perbuatan sebegini.

Bila bertandang ke rumah sanak saudara, jangan pula 'pilih bulu'. Asal sahaja sanak saudara yang hidupnya berada, mewah dan kaya. Di situlah keluarga diusung, manakala yang tidak bernasib baik hanya pandang sebelah mata. Sedangkan nasib diri pun tidak tahu hujung pangkalnya.

Tentu apabila melihat kesusahan yang dialami saudara mara yang selama ini jarang dilihat, ada terdetik di hati untuk menolong. Maka panjang-panjangkanlah pula langkah untuk memberi bantuan di masa-masa akandatang. Bukankah bersedekah itu akan meluaskan rezeki dan membersihkan hati ?

Di Bulan Syawal yang masih hangat lagi kemeriahan sambutannya, semoga diri tidak lupa untuk menghidupkan sunnah berpuasa enam hari di bulan ini. Semoga diri yang telah berubah menjadi lebih baik akan terus istiqomah dalam kebaikan.

Ya ALlah.. terimalah amalan-amalan kami yang telah berlalu..

Jumaat, 18 September 2009

Salam Aidilfitri, Salam Kemenangan, Salam Kemaafan


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Kepada sahabat-sahabat, teman dan saudaraku seIslam yang lain. Kuingin menyusun sepuluh jari memohon kemaafan. Mungkin ada yang terguris dengan perkataan, gurauan yang memberi sakit di dalam hati, perbuatan yang tercela. Diri ini tetaplah manusia yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan.

Moga kita semua diberi lagi peluang kesempatan menghirup Ramadhan di tahun yang mendatang. Aminn Ya ALlah...


Selasa, 15 September 2009

Renungan Umurmu

Renungkanlah pendeknya umurmu. Andaikata engkau berumur seratus tahun sekalipun, maka umurmu itu pendek jika dibandingkan dengan masa hidupmu kelak di akhirat yang abadi, selama-lamanya.

Cuba renungkan, agar dapat istirehat selama dua puluh tahun, dalam satu bulan atau setahun engkau sanggup menanggung berbagai beban berat dan kehinaan di dalam mencari dunia. Tetapi mengapa engkau tidak sanggup menahan beban ibadah selama beberapa hari demi mengharapkan kebahagiaan abadi di Akhirat nanti?

Jangan panjang angan-angan, engkau nanti akan berat untuk beramal. Yakinilah bahawa tidak lama lagi engkau akan mati. Katakan dalam hatimu :

"Pagi ini aku akan beribadah meskipun berat, siapa tahu nanti malam aku mati. Malam ini aku akan bersabar untuk ebribadah, siapa tahu besok aku mati."


Sebab, kematian tidak datang pada waktu keadaan dan tahun tertentu. Yang jelas ia pasti datang. Oleh kerana itu, mempersiapkan diri menyambut kedatangan maut lebih utama dari mempersiapkan diri menyambut dunia. Bukankah kau menyedari betapa pendek waktu hidupmu di dunia ini? Bukankah boleh jadi ajalmu hanya tersisa satu tarikan dan hembusan nafas atau satu hari?

Setiap hari lakukanlah hal ini dan paksakan dirimu untuk sabar beribadah kepada ALlah. Andaikata engkau ditakdirkan untuk hidup selama lima puluh tahun dan kau biasakan dirimu untuk sabar beribadah, nafsumu tetap akan memberontak. Tetapi ketika maut menjemput kau akan berbahagia selama-lamanya.

Tetapi jika engkau tunda-tunda dirimu untuk beramal, dan kematian datang di waktu yang engkau tidak sangkakan, maka kau akan menyesal dengan penyesalan yang tidak berpenghujung..

Habib AbduLLah bin Alwi al Haddad, An Nasha'ihud Diniyyah Wal Wasoya al Imaniyyah, Beirutm cet 1, 1992, hal 245-246.

Sumber :
Novel bin Muhammad Alaydrus, Orang Bijak Berkata - Kumpulan Nasihat Sepanjang Masa, Cet 5 2008, Penerbit Taman Ilmu, Semanggi-Surakarta.

Selasa, 1 September 2009

Belajar Menyelidik Sebelum Terima Bulat-bulat dan Menghukum

Saya diajar untuk tidak bertaqlid buta dan taksub. Saya diajar untuk membuat penilaian dan menyelidik sesuatu perkara sebelum menghukum.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ (٦)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah al Hujaarat: Ayat 6)

Dr Asri adalah ikon yang terkenal semenjak beliau berhujjah dengan Astora Jabat di Penang. Dan kemudian terkenal dengan gagasan tajdidnya. Malahan mengumpul seberapa ramai peminat beliau. Tambahan pula bahtera perubahan yang dibawanya menarik perhatian ramai. Kelantangan beliau dalam menyentuh beberapa isu politik tanahair amat menarik perhatian mana-mana parti sekalipun.

Namun begitu, saya juga diajar bahawa yang bernama Dr Asri ini juga tidak maksum. Sudah lama sebenarnya ada ilmuwan agama yang ingin membetulkan Dr Asri ini. Kelantangan Dr Asri yang diberi tempat di persada media masa tidak sama dengan ilmuwan agama yang ingin menegur beliau yang tidak diberi tempat di media massa. Beliau diberikan ruang di dalam OASIS ASTRO untuk membawa agenda pemikirannya, bagaimana pula ilmuwan agama lain yang ingin membetuli fikrahnya?

Mengapa manusia perlu ditegur ?

Kerana manusia itu sifatnya lemah, mudah tergesa-gesa dan serba kekurangan. Saya mengimani ayat ALlah yang bererti :

وخلق الإنسان ضعيفا
"Dan manusia dijadikan bersifat lemah"

(Surah an Nisa : ayat 28
)


Dan manusia berdoa untuk kejahatan sebagaimana ia berdoa untuk kebaikan. dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.
(surah al Isra': 11)

Dan ALlah juga menyuruh kita selalu untuk nasihat menasihati :

Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Al-Asr: 1-3)

Ada satu video klip yang menarik perhatian saya fatwa dari Dr Asri yang mempunyai PhD ini iaitu Dr Asri menyebutkan bahawa SELAWAT SYIFA' BERCANGGAH DENGAN AQIDAH ISLAM. Buktinya :



Selawat Syifa' bercanggah dengan Aqidah Islam? Maka sesatlah ulamak dan umat Islam yang mengamalkannya. Kafirlah hukumnya kerana sudah bertentangan dengan AQIDAH ISLAM. Perkara yang disentuh oleh Dr Asri ini bukan lagi menyentuh mengenai perkara furuk (cabang) Tetapi menyentuh AQIDAH.

Tuduhan tanpa hak ini telah dijawab oleh Darussyifa' Online iaitu :

Akhir-akhir ini terdapat golongan tertentu yang mempertikaikan bacaan Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah. Mereka mengatakan bahawa mengamalkan selawat-selawat ini boleh membawa kepada syirik kerana membesarkan nabi Muhammad s.a.w. lebih daripada Allah SWT.

Untuk memperjelaskan tentang kekeliruan ini, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah menerangkan dengan panjang lebar. Anda patut mendengar penjelasan ini dan untuk mendengarnya anda boleh muat turun di bawah ini


Sumber 1 :http://www.darussyifa.org/audio/PenjelasanTentangSelawatSyifa&Tafrijiyah.rm
Sumber 2: http://www.darussyifa.org/audio/PenjelasanTentangSelawatSyifa&Tafrijiyah.zip
Sumber 3:http://www.darussyifa.net/Audio/PenjelasanTentangSelawatSyifa&Tafrijiyah.rm

Sedikit Ulasan:

Dalam buku Doa & Rawatan Penyakit yang di karang bersama oleh Y.Bhg Dato’ Dr. Haron Din & YB. Dr. Amran Kasimin menterjemahkan makna Selawat Syifa’ seperti berikut;


Terjemahan:
“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya”


Dalam terjemahan makna ini ada sedikit timbul kekeliruan kerana menyebut “Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati”. Persoalannya siapa yang memberi kesembuhan. Dalam terjemahan ini jika dibaca secara langsung memang ada sedikit kekeliruan kerana seolah-olah nabi Muhammad yang menyembuhkan hati-hati.

Dalam persoalan Selawat Syifa ini Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menjelaskan seperti berikut;
di dalam kamus Bahasa Arab yang masyhur iaitu Kamus al-Munjid, perkataan “Tib” adalah bermaksud “’ilaj” iaitu di dalam bahasa Melayu bermakna “Ubat” atau “Penawar”. Ia bukan bermaksud “Syafi’ iaitu menyembuhkan.


Dengan itu kalau diterjemahkan ِiaitu
“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi penawar kepada hati-hati”


‘Iktikad kita perlu diperbetulkan supaya tidak syirik kepada Allah SWT. Allah SWT. sahaja yang boleh memberi kesembuhan. Kesembuhan hanya milik Allah SWT.

Semoga Allah SWT. sentiasa menjauhkan kita daripada syirik kepada-Nya.

Wallahhu ‘alam

Sumber : Webmaster Darussyifa’

Jawapan dari Ustaz Azhar Idrus :

Dalam lafaz selawat tersebuti perkataan solat itu berada pada kedudukan maf'ul mutlak (kata kena buat mutlak) yang berfungsi sebagai penguat atau penentu bagi jenis kata kerja salli (selawatkanlah), disamping ia juga berada pada kedudukan mudhaf i (yang disandarkan) kepada perkataan tibb. Berdasarkan kedudukan ini, maka lafaz selawat yang diandaikan itu difahami dengan maksud:

"Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, dengan suatu selawat yang boleh menjadi rawatan bagi hati dan apa yang boleh menjadi ubat baginya (hati)... sehingga akhir."


Berdasarkan maksud ini, maka tidak berlaku lagi apa yang dikatakan sebagai penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat Allah swt, kerana yang dilihat memberi khasiat perubatan bukan lagi zat nabi Muhammad saw, tetapi selawat yang diucapkan itu. Oleh kerana membaca selawat itu adalah sejenis amal soleh, maka ia termasuk dalam jenis tawasul dengan amal salih yang disyariatkan oleh syara' dengan maksud ini. Maka penyamaan sifat yang dipersoalkan itu tidak berlaku kerana memang tidak ada penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat penyembuh.

Dan boleh ditakdirkan juga antara lafaz muhammadin dan lafaz tiib itu dengan dengan sifat yg telah dihazafkan mausufnya..

Fataammal ya akhi.. wink

Rujuk : Forum DigitalMukmin Ustaz Azhar


Siapakah antara ulama dan tok guru yang mengamalkan SELAWAT SYIFA' ini ?

Selain dari sekian ramai guru pondok, ulamak-ulamak nusantara, Tok Guru Nik Abdul Aziz pun mengamalkannya : BUKTI



Lihatlah bagaimana Dr Asri telah membuat fatwanya iaitu menghukum selawat Syifa' ini bercanggah dengan aqidah. Ia sebenarnya telah membuat hukuman sesat dan mungkin juga kafir.

Apa kata hadith mengenai mereka yang menghukum sesat, syirik dan kafir?

Hadith RasuluLLah yang terdapat dalam Sahih Bukhari no 5752 yang bererti :

"Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya dengan Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya "


Begitulah juga sesiapa yang menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik maka orang yang menuduh itu sendiri akan jatuh ke dalam kesyirikan tersebut sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith dari Huzaifah bin Yaman di mana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :


Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh ALlah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi ALlah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan.


(Hadith dikeluarkan oleh Ibnu Hibban pada hadith no 81 dan Ibnu Kathir dalam tafsirnya jilid II/266, dia berkata : Isnad Hadith ini bagus. Begitu juga ditakhrij oleh Al Bazzar dalam Musnadnya dengan pernyataan yang sama, At Thabroni dalam Al Kabir dan As Saghir dengan pernyataan yang sama dan Ibnu Abi Ashim dalam kitab As Sunnah).

Dalam sahih Bukhari pada hadith nombor 2227 disebutkan bahawa Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda yang bererti :

"Barangsiapa yang melaknat seorang Mukmin maka itu seperti membunuhnya dan barangsiapa yang menuduh seorang Mukmin dengan kekafiran maka itu seperti membunuhnya."

Lihatlah betapa besar implikasi orang yang menghukum kafir, musyrik tanpa hak ke atas umat Islam. Kepada mereka yang mengikut Dr Asri dan Dr Asri sendiri marilah kita islah diri. Selidikilah dan kajilah dahulu sebelum membuat apa-apa pernyataan. Kerana titik tolaknya di sini adalah PENGUASAAN BAHASA ARAB di dalam memahami Selawat Syifa' tersebut.

Sumber : http://jom-islah.blogspot.com/