Isnin, 31 Mac 2008

Mereka Semakin Berani Atau Kita Sedang Diuji?

Nampaknya orang yang benci kepada Islam semakin berani menyatakan secara terang-terangan permusuhan mereka. Jika dahulu mengenai karikatur Nabi Muhammad pertama dimulai setelah dua belas Karikatur Nabi Muhammad diterbitkan di surat kabar Jyllands-Posten 30_September 2005 adalah surat kabar terbesar di Denmark.

Kemudian nampaknya timbul pula ahli Parlimen biadab dari Belanda iaitu Geert Wilders yang menyiarkan filem bertajuk Fitna secara online. Filem ini disiarkan pada 27 Mac 2008 kira-kira 15 minit.

Manakala kira-kira jam 8.30 malam pula TV3 menyiarkan berita mengenai pementasan Satanic Versus diadaptasi dari novel karya si murtad Salman Rushdie yang telah mendapat arahan dari negara Iran dengan tawaran berjuta ringgit untuk membunuh musuh Islam ini.

Banyak respon dari umat Islam yang bangkit menentang pencerobohan mereka yang amat memusuhi Islam ini. Ada pendapat dari orang Islam yang menyatakan agar kita bersabar sahaja, tidak perlu memboikot barangan Belanda.

Perkara ini tidak boleh didiamkan begitu sahaja, kita perlu menunjukkan rasa sayang kita kepada agama. Kita sudah terlalu terlalu banyak bersabar dengan Yahudi dan Nasara (yang benci dengan Islam) bahkan dengan mereka yang murtad yang memusuhi agama Islam dengan mendatangkan pelbagai fitnah dan pembohongan.

“Golongan Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya pertunjuk Allah (ugama Islam) itulah pertunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu) pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu" [Al-Baqarah: 120].

Peranan kita, adalah menyatakan protes terhadap musuh-musuh Islam ini samada dengan memboikot barangan mereka , demonstrasi aman atau mengedarkan risalah, membuat filem yang menerangkan tentang Islam yang sebenar, perbincangan antara agama dan sebagainya kepada orang ramai untuk menyuburkan rasa kasih kepada agama sendiri.

Ujian Buat Umat Ini

Sesekali perlu juga kita fikirkan bersama, mengapa banyak sekali ujian datang bertimpa-timpa tanpa kita sedar. Adakah selama ini kita sudah menyumbangkan sesuatu untuk agamaNya? Sudah cukupkah usaha kita untuk menyedarkan remaja, belia, orang yang dewasa Muslim mengenai Islam?

Ada juga orang berkata, tidak perlu gopoh gapah, bertenang sahaja dan jangan marah-marah.

ALlahu..ALlah.. dugaan dan ujian yang ALlah beri agar kita kembali bermuhasabah diri semula.Nanti kita akan dapat lihat siapa sebenarnya diri kita,

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Demi sesungguhnya ! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian) , nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al Ankabut: 2-3)

Samada kita marah kerana ALlah, atau hanya berdiam diri, atau mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah umat ini, (entah berapa ramai pula yang mengambil tahu isu seperti ini).

Sabtu, 29 Mac 2008

Jom Kita Berdakwah!

Pada awal tahun 2001, saya dan teman saya Azmi, kadang-kadang keluar ke ibu negara dengan menaiki LRT. Maklumlah masa belajar penuh dengan tekanan dan tugasan yang memerlukan akal beriadah seketika. Akal juga mempunyai haknya untuk berehat dari bekerja sahaja.

Pada hari itu, kami berdua ingin ke Kampung Baru untuk ke rumah saudara teman sepengajian yang lain. Dan hari minggu jua adalah hari perjumpaan mingguan kepada orang lain yang turut sama menggunakan kemudahan LRT untuk pergi ke pelbagai destinasi.

Ketika berdiri (masa itu orang terlalu ramai), saya menghadap Azmi dan memandang satu sama lain, saya melontarkan luahan kata kepadanya dengan suara yang agak jelas dan boleh didengari oleh orang lain "ramai betul manusia dalam LRT nih, cuba kau bayangkan kat padang mahsyar nanti, macam nih juga ramainya makhluk ALLah dihimpunkan...", Azmi juga menambah mengenai keadaan manusia di padang perhimpunan tersebut.

Hati saya menjadi sayu dan tetap meneruskan pembicaraan bersama Azmi tanpa memperdulikan orang di kanan kiri (walaupun kami sedar orang dengar ape yang dibicarakan).

Keadaan di padang mahsyar amat terik, matahari seolah-olah sejengkal di kepala, manusia di dalam keadaannya mengikut amalan masing-masing. Ada yang berenang di dalam peluhnya yang mercik sehingga banjir - samada di paras kaki, badan, bahkan ada yang tenggelam dengan darah dan nanah.

Semuanya akan ditimbang dan disukat, dipamer pula amal perbuatan kita. Sehingga perkara yang mengaibkan, yang disembunyikan akan diperlihatkan oleh ALlah yang Maha Adil.

Berdakwah Tidak Kira Tempat, dan Masa

Di dalam menyebarkan syiar Islam, benar kita memerlukan strategi dan teknik untuk disampaikan kepada mad'u. Begitu juga di zaman ini kita perlu kreatif di dalam berdakwah. Jika cara lama dengan kuliah, seminar, nasihat berdepanan tidak juga berkesan. Maka kita perlu memikirkan kaedah yang terbaik untuk mengingatkan sesama manusia. Apatah lagi di Malaysia ini yang majoritinya adalah umat Islam.

ALlah telah berfirman :

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ‌ۗ
١١٠

"Ertinya : Adalah kamu sebaik-baik umat, yang dilahirkan untuk manusia, supaya kamu menyuruh mengerjakan kebajikan dan melarang memperbuat kejahatan (Surah Ali Imran : 110)

Dakwah itu adalah menegur, memberi nasihat - bukan menunjukkan benci tetapi kasih sayang. Berdakwahlah dengan berhikmah dan bijaksana. Di zaman ini kita perlu menjadi orang yang peduli kepada sahabat dan orang lain.

Jumaat, 28 Mac 2008

Hutan Batu

Aku menyelusuri hutan berbatu untuk mencari dan mengenal kehebatannya di mata manusia. Di kiri kanannya jalanraya dan menyusur di dadanya berbilang kenderaan tidak putus-putus kehulu hilir. Ahh sakitnya telinga mendengar maki hamun pemandu, bunyi hon kenderaan yang tidak kenal erti sabar dan perasaan orang lain. Kalut dengan keadaan, aku bergegas laju berpindah dari satu kedai ke kedai yang lain. Dari satu pusat membeli belah ke tempat penjualan vcd haram dan software.

Ada corak dan ragam manusia yang berbangga dengan silih penggantian zaman. Bercelaru dengan identiti, adab dan akhlak, mereka mencipta dunia impian sendiri dengan meniru bulat-bulat kemodenan dan kemajuan orang lain.

Sanggup diri ditelanjang, diharubirukan dengan budaya ideologi umat lain dan tetap diri puas menghias dengan subang dan pakaian ketat walaupun melanggar garisan yang ditetapkan Tuhan. Ada corak dan ukiran di sudut-sudut tertentu di bahagian badan menjadi fesyen terkini, melambangkan diri ingin kebebasan dan dimiliki oleh puak-puak tertentu. Masakan tidak ia menjadi trend? , saban waktu di dalam peti televisyen menghidangkan idola dari luar menyanyi dan membuat hiburan. Di lengannya dicacahi dengan gambar perempuan bertelanjang, corak melambangkan ritual, cinta dan nama.

Hebatnya hutan batu ini, menjadi tumpuan setiap mata yang ‘jakun’ dengan jualan murah setiap kali ia berlangsung. Setiap kali ada mata lelaki keranjang menjamu selera melihat tubuh badan anak-anak hawa yang menyerahkan diri sudi untuk mepersembahkan hiburan percuma untuk mereka.

Hebatkah hutan berbatu ini, dengan prasarana dan kemudahan terkini dibangga-bangga sesetengah orang kerana ia menggamit setiap kedatangan pelancong asing ke dalam Negara? Sayangnya bila hujan menghadirkan diri, ada sahaja rungutan kerana air kotor melimpah ruah dari sungai akibat arus kemodenan. Bersepah-sepah melarikan diri berlindung mencari tempat yang kering. Tiba waktu siang menjengahkan wajahnya, ada raut muka merah padam menahan bahang terik mentari, terdengar lagi sungutan bahawa hutan batu ini tidak menjanjikan keredupan dan nyamannya alam.

Aku, tidaklah pelik sambil menggaru kepala yang tidak gatal, , terleka sebentar melihat pohon-pohon yang sedikit dan togel serta rimbunannya diisi dengan burung-burung gagak menjadi penghuni tetap siang dan malam.

Malamnya di sini, ada manusia mundar mandir berpegangan tangan, masih tidak kenal siapa suami dan isterinya, muhrim dan bukan muhrimnya. Bergelak ketawa meneguk air hitam, mat motor menungggang ‘kudanya’ bergelandangan seperti pelesit menunjukkan kehebatan masing-masing di setiap lampu isyarat.

Aku singgah sebentar di kaki jalan melepaskan lelah sambil meneguk air soya yang dikatakan mampu meningkatkan IQ untuk akal berfikir lebih cerdas dan cergas. Terpaku melihat keindahan bangunan dan pokoknya berkelip-kelip bercahaya. Akal masih pantas lagi berfikir apalah nasibnya lorong-lorong gelap yang dihuni manusia yang bertopengkan syaitan dikatanya mencari rezeki halal dan menyalahkan takdir. Ada permintaan dan penawaran bagai pesta lelongan layaknya untuk membeli dan menjual tubuh. Manusia merelakan dirinya menjadi hamba abdi abad ke 21 ?

Mataku lantas tertarik menerpa pada deretan jualan buku-buku di tepi jalan, tercari-cari buku kegemaran ‘HIDAYAH’ keluaran terbaru yang menyajikan serba banyak ilmu pengetahuan tentang realiti kehidupan dan agama. Hampa… ‘balik-balik buku hiburan, komik, muka artis, cerita hantu yang entah dari mana sumbernya tak terkecuali gambar ghairah model tertentu memperagakan tubuh badan dan fesyen terkini dari pereka fesyen tempatan dan luar negara’ getus hatiku sambil berlalu pergi. Rasanya dah semakin kebas setiap sendi kaki tak tertanggung mengukur jalan hari ini. “Bang mahu syokkah ?”ada seorang bapa ayam menyapa sambil tersengih kambing mencuit bahu dan memandang kepadaku. “takpe terima kasih” balasku sinis. “Celaka orang tua nih, tiada perasaan sensitiviti langsung”, hatiku merungut.

Semakin ‘panas’ rasanya otak terbakar memikir untung nasib hutan berbatu ini, semakin hilang kesabaran, geram melihat konco-konco syaitan semakin bertambah bebas bertebaran. “Tak boleh jadi kalau macam nih” kata hatiku, langkah kian pantas mencari perhentian bas berhampiran.

Di dalam bas, hati sayu meinggalkan pergi, kasihan memikirkan penghuni sementara hutan berbatu, siapakah yang sudi menyedarkan diri mereka…

Di pembaringan, sambil mendengar kaset ceramah ustaz shamsuri ahmad, bergenang air mata hingga tak terempang menahannya. Bahawa jalan kematian itu terlalu banyak, tidak dilambat dan dipercepatkan, ia pasti hadir sesuai dengan janjinya… Ya Allah, ampunilah dosa hambaMu ini, dan mereka yang tidak tahu…

Anak_Pejuang

Jumaat

22 rabiulakhir 1425 hijrah

11.39 pagi

Rabu, 26 Mac 2008

Apakah Engkau Sudah Faham Erti Perjuangan?

Ingatan Untuk Sahabat

Pergilah sahabat semua, teruskan perjuangan kita, agar Islam dapat bangun dan bangkit semula. Sahabat , dalam menyusuri jalan perjuangan, jangan lupa memandang di belakang sejarah yang sering mengingatkan kita jerih perit para pejuang terdahulu, untuk kita jadikan pedoman dan pengajaran, bahawa jalan menuju bahagia itu tidak mudah, jalan menuju syurga itu penuh kepahitan yang tidak kita impi-impikan untuk melaluinya.

Jalan perjuangan yang kita akan selusuri itu banyak benar denai duri yang tajamnya tidak terkata, sakitnya menusuk jiwa, air mata akan selalu mengalir, peluh keringat dan pengorbanan akan sentiasa membaluti tubuh. Sebab itu sahabat, sudah aku nyatakan berkali-kali, hidup ini perlukan dorongan seorang teman, teman di jiwa adalah iman, teman sepanjang perjalanan adalah Tuhan, teman suka duka adalah kawan-kawan kita iaitu manusia yang faham apa erti kehidupan. Sahabat, perjuangan yang kau tempuhi sebentar lagi akan menyebabkan engkau rasa putus asa, kecewa, sebak dan sedih yang tidak terkata.

Maka kuatkanlah semangatmu, selalulah panjatkan doa kepadaNya, kita jadikan malam-malam sebagai taman munajat kepada Tuhan. Dia tidak akan melupakan kita, Dia akan selalu mendengar rintihan kita dikala manusia kelu untuk berkata-kata. Dari situ kita suburkan kasih sayang dan cinta kepada Tuhan.

Perjuangan Itu Pengorbanan

Sahabat, perjuangan dalam jalan dakwah menuntut pengorbanan jiwa yang bukan sedikit, ingatlah setiap antara kita sememangnya berkewajipan untuk meneruskan tugas warisan para anbiya’ ini. Kerana cahaya Islam semakin suram di mata hati umat Islam sendiri. Cuba engkau lihat ada negara Islam yang bersekongkol dengan negara kafir untuk menyerang negara Islam sendiri, atas nama tujuan ekonomi. Mereka tidak meletakkan agama sebagai keutamaan. Cuba engkau lihat di negara Afghanistan pula, angkatan tentera yang kononya Islam bertakbir Allahu Akbar apabila berjaya membunuh saudaranya sendiri , umat Islam juga tetapi mereka sendiri dibantu oleh orang kafir. Islam apa ini namanya ?

Cuba pula engkau lihat kebejatan akhlak di negara kita sendiri, tidak mustahil jika suatu hari nanti yang engkau nampak adalah adik, abang dan keluargamu sendiri yang melakukannya. Itukah yang engkau mahu sahabat? Sedangkan kita telah dibekalkan dengan ilmu oleh para guru yang tidak kenal erti penat lelah untuk memastikan para pelajarnya keluar sebagai bukan sahaja orang yang berjaya bahkan juga sebagai da’ie di alam ini. Inginkah engkau lihat saudara-saudara kita terpekik, terlolong di dalam neraka ? sanggupkah engkau lihat ibu ayah kita menangis sepanjang masa di dalam kuburan melihat anak-anaknya tidak menjadi ‘manusia’ yang diinginkan oleh Allah ? dan kemudiannya mereka-mereka itulah akan menarikmu pula ke dalam neraka bersama sebab engkau tidak menjalankan tugasmu sebagai saudara seIslam untuk menegur dan menasihati mereka.

Sebab itu sahabat, sudah aku katakan tadi, cahaya Islam itu semakin suram, api pelitanya yang menerangi alam tidak seperti di zaman-zaman kebesarannya. Para ulama’ dibisukan dengan dunia oleh umara’. Mereka diselubungi oleh ketakutan sepanjang masa untuk menyuarakan yang haq. Agama telah diletakkan di bibir-bibir mereka sahaja.

Warisan Tugas Dakwah

Sahabat, tugas dakwah ini tugas kita, sebab kita telah belajar apa erti kesusahan Rasulullah dalam menyebarkan agama, kita telah merasai kemuliaan para sahabat yang mengalirkan air mata pengorbanan hingga dapat membangunkan Islam di seluruh pelosok dunia. Mereka bangun dengan semangat jihad yang dibentuk oleh al Quran dan sunnah Rasulullah, di hati-hati mereka tiada perasaan gentar atau takut selain dari Allah.

Mereka faham benar apa yang dimaksudkan di dalam ayat “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya” Surah As Saff ayat 2-3. Sebab itu sahabat, dengan nasihat yang lahir dari lubuk hati ini, dengan ikhlas aku menyatakannya kerana aku ingin melihat cahaya Islam itu semakin gemilang, agar Rasulullah mampu tersenyum andainya melihat sinarnya Islam selepasnya tidak kunjung padam. Moga-moga dengan amal ikhlasmu ini akan dipandang oleh Allah dan diredhaiNya di dunia dan di akhirat sana. Insya Allah…


Anak_Pejuang
1 Ramadhan 1422 hijrah
11.26 pagi

Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana selain dari kita, hidup kerana fikrah, sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermulanya daripada bermulanya manusia dan berakhir dengan luputnya manusia di bumi ini. Jika kita merasakan kita yang memulakan perjuangan ini, kita akan merasa sempit dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat). Ingatlah, bukan kita yang memulakannya dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para Nabi hinggalah ke akhir zaman. Kita adalah mata rantai dari suatu perjuangan yang panjang.

(Assyahid Imam Hassan al Banna)

Isnin, 24 Mac 2008

Emak dan Abah.... Terima Kasih Kami Ucapkan.

Terkenang masa dulu, masa belajar di Kolej Islam Johor saya telah menulis tazkirah ini buat peringatan kepada diri..

Aku masih teringat, kami ketika itu masih kecil. Belum kenal dunia besar yang bercorak-corak macam sekarang. Masa tu aku tak tahu apa itu derita, kesusahan, air mata, penat lelah. Hidup ini satu keseronokan. Yang aku tahu, setiap pagi mesti ada jemput-jemput atau sekurang-kurangnya lempeng yang dicicah dengan dengan gula dan terhidang di atas meja. Sedap. Tentunya sedap, tangan emak yang buat. tapi aku tak terfikir dari mana pulak datangnya tepung untuk dibuat jemput-jemput, lempeng yang sentiasa masuk ke dalam perut aku. Tak terlintas di fikiran aku, tentang keperitan, susah payah petani-petani menuai gandum dari pagi ke petang. Sebab masa tu asal perut kenyang sudah. Lepas tuh tidur atau bermain-main dengan kawan-kawan santak ke petang.

Abah aku bekerja sebagai seorang askar, seminggu , kengkadang sebulan baru muncul muka abah di depan pintu rumah. Kerjaya abah sebagai askar itulah yang mengajar kami supaya berdisiplin. Ketegasan abah dalam mendidik kami takkan kami lupa sampai bila-bila. Kalau degil alamat berbiratlah belakang kami dilibas talipinggang atau rotan halus oleh abah. Tentunya tangan emak yang lembut itulah yang mengusap-usap dan mengurut di bahagian yang lebam itu, tapi..emak pasti menangis semasa menyapu di kulit kami. Kasihan agaknya. Mulut kami inilah yang selalu dicili abah kalau berkata yang bukan-bukan. Pijarnya tak terkata. Air mata sahaja yang dapat menunjukkan betapa pedihnya bibir ini apatah lagi hati kami. Wajah abah ? Tentu mirip macam muka aku jugak. Setiap kali abah balik, tentu ada buah tangan, mukanya sentiasa ceria, senyum dibibirnya. Entahlah, abah tak pernah menunjukkan derita di batinnya, sakitnya disulami dengan kegembiraan di wajah bila melihat kami yang ketika itu baru bertiga.

Besar pengorbananmu abah, penat lelahmu di dalam hutan. Tapi besar jiwamu dan semangatmu untuk membesarkan aku dan abang-abang. Kasih sayangmu ibu, takkan kami lupa sampai ke alam sana,. Sebab kami tahu tanganmu yang membesarkan kami, jari jemarimulah yang pertama menyentuh kulit kami bila keluar sahaja kami ke dunia ini. Air mata kegembiraanmulah yang pertama kali menitis di muka kami.

Aku duduk sekeluarga di rumah inilah, yang beratapkan zink, berdindingkan papan. Masa itu tahu apa, berak kencing, bergaduh, bermain, tidur, itu sahaja. Nasi yang kami makan pernah berlaukkan ikan kering, telur masin. Makanan itulah yang membesarkan kami, agar kami mengerti hidup ini susah. Siapa kata air mata aku tak pernah tumpah mengalir? Suatu ketika aku melihat emak mengalirkan air matanya melihatkan kami hanya makan nasi berlaukkan kicap. Emak teresak-esak. Apa yang kami tahu ketika itu? Jadi kami berkongsi air mata dengan emak. Tak salahkan menangis bersama-sama emak kesayangan?

Jajan? Haa..benda ini yang kami selalu rebutkan, merengek-rengek meminta emak supaya belikan atau sekurang-kurangnya airbatu sepuluh sen. Gembira. Cukuplah dengan jajan seperti itu, cukup meriangkan kami. Sampai akhirnya, emak berjual pula air batu sepuluh sen tu. “Untuk anak-anak” katanya.

Sampai masanya kami bersekolah. Abah ketika itu dah pencen, ‘pencen muda’. Duit pencen tu abah gunakan untuk membuka sebuah kedai runcit di rumah inilah. Bila orang tanya : “Wah Lan, berniaga apa engkau sekarang ?”. Abahku dengan senyumannya menjawab “ Alahh…berniaga main-main”. Jarak perjalanan kami dari rumah ke sekolah 17 kilometer jauhnya. Kalau ada trak askar ambil kami maka selesalah sikit. Tapi trak askar tu dah uzur. Selalu sangat ‘mc’ kami tak kisah itu semua. Jadi subuh-subuh lagi kami bersiap-siap membawa bekalan dari rumah. Belanja? 10 sen, kalau nasib baik dapatlah 30 sen. Emak tetap setia menghantar kami hingga ke seberang jalan. Tak lupa juga nasi lemak 50 sen untuk dijual ke sekolah atau 5 hingga 10 bungkus gula tarik untuk dimakan oleh rakan-rakan yang sudi membelinya. Lepas cium tangan mak, kami pun mulakanlah perjalanan. Aku yang ketika itu, baru darjah satu, tentunya mendapat tempat yang ‘special’. Kalau berjalan kaki ke sekolah tentunya naik basikal tua yang abah bonceng. Abang-abangku yang lain berjalan kaki. Biasanya kalau waktu-waktu ‘pagi buta’ beginilah, meremang bulu tengkuk bila lalu di kawasan orang yang dah meninggal. Kalau waktu hujan, alamat waktu maghriblah sampai ke rumah. Emak aku tentunya risau, tak reti nak duduk diam. Bimbang dengan anak-anaknya yang tak nampak batang hidung lagi.

Aku dan abang-abang aku bersekolah agama pada waktu pagi dan petang, bergantung pada sesi persekolahan. Murah masa tu yuran adelah dalam 12 ringgit setahun, buku agama pun ada pinjaman. Kain samping warna hitam semacam satu kewajipan, peraturan sekolah mewajibkan pelajar lelaki memakai kain samping warna hitam. Kain samping yang aku pakai dah macam peta dunia, bercapuk di sana-sini. Muka kena tebalkanlah. Tak mengapalah, kita ke sekolah untuk menuntut ilmu, bukan untuk menunjuk-nunjukkan?

Abang aku yang sulong masa tingkatan 3 dah bekerja sebagai ‘caddy golf’. Duit yang dia dapat adalah dalam 10 ringgit hingga 30 ringgit sehari, itupun kalau nasib baik. Kasihan jugak aku tengok abang aku, mana taknya, bahu dia merah kebiru-biruan, asal balik dari kerja mesti mintak mak urutkan. Aku tahu abang aku nak tolong ringankan beban keluarga. Dia gunakan duit tu untuk beli buku teks, buku rujukan, baju, seluar sekolah.

Hari raya merupakan hari yang ditunggu-tunggu. Sebelum kedatangan syawal, tentunya kami budak-budak yang sibuk nak beli baju, seluar baru. Siapa tak nak, Cemburu kalau lihat rakan-rakan yang lain memakai baju cantik, seluar, kasut baru. Lebih-lebih lagi saudara-saudaraku yang agak berada sedikit, mulalah nak menayang-nayang di hadapan kami. Tapi emak dan abah menyabarkan kami “Alahh…gilir-gilirlah ganti baju raya, yang tahun lepas punya kan ada. Tahun ni abah belikan baju untuk adik dahulu, tahun depan yang tua pulak.” Hmm..terima jerla, kami bukan orang senang seperti mereka yang lain. Mak dan abah pun jarang berganti baju. Balik-balik baju yang sama jugak setiap tahun. Pakaian abah tu dah 5 tahun tak umurnya, masih elok lagi. Emak? Emak pun sama jugak macam abah. Kengkadang ada juga rezeki kami adik-beradik, ada orang sedekah baju untuk kami. Pakaian itulah yang kami pakai.

Abah, ketika kami hantar dia ke stesen keretapi Johor Bahru (sebelum bertolak ke kuala Lumpur dan seterusnya ke Mekah), aku lihat matanya kekuning-kuningan. Baru aku tahu, selama ini abah menanggung sakit kuning. Dah 5 tahun dia menanggung penyakit tu, tapi tak pernah dia beritahu kami. Dia pergi ke Mekah tu pun bukan sekadar mengerjakan haji, tapi juga sebagai tukang masak untuk bakal-bakal haji di sana. Pulang sahaja ke tanah air, abah dibedah, hatinya diambil sedikit kerana bahagian itu sudah rosak. Sedih, siapa tak rasa sedih, masa abah berada di tanah suci, hati kami melonjak-lonjak rindu dengan abah, terkenang ciumannya yang terakhir di dahi kami sebelum bertolak ke sana. Emak…terimakasih kerana masih mengingatkan kami tentang kesusahan menjaga kami ketika kecil. Terima kasih kerana memberi air susumu untuk kami hidup membesar hingga kini.

Aku sudah besar panjang kini, kata orang dah matang, betul ke aku dah matang ? apakah aku sempat membalas jasa-jasa emak dan abah atau sekurang-kurangnya menggembirakan hati mereka dengan kejayaan aku dalam bidang ilmu ini. Aku tak pasti. Atau kesusahan apa lagi yang aku bebankan di bahu-bahu mereka. Aku tak sanggup melihat mereka mengalirkan air mata kerana kejahatan aku. Bukan sebab itu tujuan mereka membesarkan aku, aku tak sanggup!! Apatah lagi adik-adik aku yang kecil masih lagi bersekolah. Namun aku tak lupa berdoa, kepada Allah aku rafa’kan agar kedua orang tuaku itu sentiasa sihat tubuh badannya, ditempatkan di kalangan orang-orang yang terpilih, dimurahkan rezeki, ditenangkan hati. Semoga doa aku diperkenankanNya dan menjadikan aku tabah dalam hidup ini. Aminnn….

Bagaimana Zat ALlah menurut logik Akal?

Seorang sahabat bertanyakan kepada saya pada suatu hari di Internet Relay Chat. Katanya mengapa dilarang bertanyakan perihal keadaan ALlah? Sehinggakan ada rakannya yang rasa ragu-ragu kerana apabila ditanyakan zat ALlah ada ilmuwan yang terus menyatakan haram tanpa menjelaskan huraian dan hikmahnya.

Memang kengkadang apabila kita berbicara dan menjawab soalan perlu juga melihat kepada mad'u bagaimana latar belakang pendidikannya. Ada antara mereka yang tidak tahu langsung, ada yang suka melihat kepada sebab, ada juga yang sengaja menguji dan begitulah banyaknya keragaman yang bernama insan ini.

Maka saya memberitahu kepadanya bahawa - benarlah dilarang kita memikirkan tentang zat ALlah ta'ala. Sambil menyuruh ia berfikir - kita ini mempunyai akal yang amat terbatas, walaupun kita boleh mengatakan bahawa akal kita tiada hadnya.

Saya menambah ia lagi - cuba fikirkan tentang angin yang kita tidak nampak, hebat bukan angin tersebut? Kita hanya dapat merasa. Angin boleh memberikan rasa nyaman, dan dalam diam angin juga boleh memberikan impak yang amat besar kepada alam. Lihat sahaja kepada puting beliung, ribut. Adakah kita nampak zat angin? Sehingga boleh memikirkan bagaimana keadaan angin tersebut bentuknya?

Begitu jugalah perihalnya keadaan kuman, virus. Hebat bukan apa yang dinamakan virus? Kuman? Boleh kita nampak dengan mata? Boleh kita fikirkan zatnya yang berbeza-beza?. Dalam senyap ia membawa samada kebaikan, tetapi biasanya keburukan yang amat banyak kepada manusia. Ia boleh memberikan barah, merosakkan sistem imun dan sebagainya.

Jika makhluk tersebut yang diceritakan itu hebat keadaannya, bagaimana pula dengan yang menjadikan makhluk tersebut? Tentu Maha Hebat keadaanNya! Tentulah ALlah itulah yang Maha Hebat.

ALlah yang Maha Hebat telah berkata yang bererti : ALlah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya. Dan Dialah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al Maidah :120)

Benarlah - jika diselusuri kehebatan ALlah - akal manusia mempunyai sempadan. Lihat bagaimana perbicaraan antara Nabi Musa meminta ALlah menunjukkan zatNya. Diberitakan di dalam al Quran yang bererti :

Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu Yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu (ZatMu Yang Maha Suci) supaya Aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke Gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya Engkau akan dapat melihatKu", setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesarannya) kepada Gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan Gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha suci Engkau (Wahai Tuhanku), Aku bertaubat kepadaMu, dan Akulah orang Yang awal pertama beriman (pada zamanku)- (Surah al A'raf : 143)

AlhamduliLLah, dia dapat menerima jawapan saya dan menenangkan hatinya. ALlah..Dialah yang Maha Hebat. ALlahu Akbar!

Khamis, 20 Mac 2008

Jika Ada yang bermain api...jadilah Airnya..

Setelah membaca lebih kurang 1 juzu' al Quran bersebelahan dengan jenazah Wak Basar. Saya bersantai sebentar dan duduk bersebelahan dengan seorang pakcik yang berbaring di atas tilam nipis. Namanya Wak Ahmad - beliau adalah abang kepada arwah Wak Basar.

"Engkau anak sopo" katanya berbahasa jawa. Saya menjawab "Anaknya Siti". "Oh, aku kenal, adikku itu, dah berbelas tahun tidak berjumpa". Wak Ahmad umurnya sudah menjangkau 96 tahun. Tetapi matanya masih awas dan tiada penyakit yang selalu menimpa orang tua iaitu nyanyuk.

Wak Ahmad menyoal saya mengenai bilangan adik beradik dan saya menjawab seramai 10 orang. "Wah ramai ye anaknya Siti" dan beliau menyambung lagi dengan memberi nasihat "adik beradik yang ramai, jika ada yang bermain api...jadilah airnya.." nasihat ini sungguh memberi kesan di dalam hati.

Benarlah rumah yang bahagia tidak lepas dari perang mulut, ada juga perbuatan yang tidak menyenangkan hati, maka perlu dibetulkan dengan segera. Jangan memanjang-manjangkan cerita. Tidak perlu ada yang menjadi batu api menokok tambah sehingga menimbulkan persengketaan di dalam keluarga.

Siapa sahaja samada abang, adik, kakak, perlu menjadi pendamai yang mengeratkan kembali dan menjernihkan suasana. Apabila ada perkara hendak dibangkitkan sama-samalah duduk berbincang bukan berkata belakang.

Orang memberi ibarat 'air dicincang tidak akan putus'. Sejahat mana mereka, nakal, degil - dia adalah abang, akak dan adik kita. Jika ada yang jauh terpesong jalan, pimpinlah semula ke pangkal jalan. Beri nasihat dan tunjuk ajar. Hidup di dalam satu keluarga tidak boleh ada perkataan Engkau, engkau.. Aku, Aku.. alamat hilanglah keharmonian. Rumah dirasakan seperti neraka.

Mengalah itu kemenangan

Jika kita faham tanggungjawab masing-masing dan memainkan peranan di dalam keluarga, hasilnya akan memberikan keluarga bahagia. Ibu dan ayah tidak pening memikirkan karenah anak-anak. Akhirnya membuahkan hasil yang baik. Melahirkan masyarakat yang berkualiti.

Terima kasih Wak Ahmad.. semoga dilanjutkan usianya..

Selasa, 18 Mac 2008

Dari ALlah dia datang , Kepada ALlah dia kembali..

Inna liLLahi wa inna ilaiHi roji'uunn..

Pakcik saya - Haji Basar bin Basir telah meninggal dunia pada waktu maghrib tadi. Beliau banyak berjasa kepada kami sekeluarga.. Semoga ruhnya dirahmati ALlah, ditempatkan di kalangan orang yang soleh..

Ya ALlah... berilah ketenteraman kepada ruhnya.. Ya ALlah... berikan ketabahan kepada keluarganya.. Ya ALlah.. kerana kebaikannya kepada keluarga kami, maka berilah kelapangan padanya di dalam kubur dan di akhirat sana nanti... Amiinnnn

Al Fatihah.

Isnin, 17 Mac 2008

Bicara RasuluLlah (Beginilah Keadaan Kami Ya RasuluLlah..)


Kita buka lembaran cerita agung yang hampir pasti umatnya hampir melupakan. Kisah 1400 tahun yang lampau yang menjadi suatu sejarah yang kekal hingga hari Qiamat bagi mereka yang selalu mengenangnya. Kisah mengenai diri seorang utusan Allah yang ma’sum dari segala perbuatan dosa, apatah lagi perbuatan yang keji.

Kita selusuri firman Allah yang bererti :

“Sesungguhnya engkau Muhammad mempunyai akhlak yang terpuji” (Surah An Naba' :7). Alangkah indahnya ayat Allah ini, tetapi berapa ramaikah antara kita yang menghayati. Bagi mereka cukuplah dengan menyambut Hari Kelahiran Rasulullah dan mendengar ceramah. Tidak ramai antara kita yang mengambil dan menghayati perjalanan hidup baginda yang lalu dan dibandingkan dengan diri kita sekarang ini. Tentang akhlaknya yang terpuji yang merangkumi semua aspek. Sekiranya dikaji dengan teliti, pasti kita akan berasa kagum kerana segala akhlak, dan cubaan yang pernah dilalui oleh Nabi dan Rasul sebelumnya ada di dalam diri Rasul Ulul Azmi ini.

Apa guna kita bicara tentang Rasulullah sedangkan diri kita seolah-olah penakut kepada kebenaran?. Keberanian baginda yang seringkali diceritakan tidak menempati di dalam sanubari individu Muslim sekarang ini.

Baginda yang kita agung-agungkan itu seringkali menerima cacian dan makian yang tidak putus-putus Secuil sedikitpun tidak pernah baginda berganjak dari perjuangannya. Wahai akan lahir lagikah para mujahid yang berani memperjuangkan Islam hingga luka di bibir, badan, dan pancaindera sepertimana yang diterima baginda di perang Uhud?. Akan lahir lagikah pejuang Islam yang berani ke hadapan di dalam medan perjuangan demi Islam yang tercinta seperti di Badar dan Ahzab?.

Di ketika ini, dunia terlalu mengagungkan keberanian Napoleon Bonaparte, Julius Caesar dan mereka yang lainnya, sedangkan kita sendiri ada mempunyai tokoh yang lebih agung dari mereka iaitulah Nabi Muhammad wa khatamun anbia’. Bagindalah orangnya yang berani berjalan di antara musuh-musuhnya seorang diri bagaikan harimau yang berjalan dari satu padang ke satu padang dan dari rimba ke rimba dengan segala keberanian dan jiwa yang besar. Firman Allah yang bererti :

‘Ketahuilah , bahawa sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak mengenal takut dan duka atas mereka’. (Yunus 62 ).

Sehingga dunia tercengang kagum melihat Islam yang baru setahun jagung sudah dapat menawan dua kuasa besar ketika itu iaitu Kerajaan Rom dan Parsi hasil dari keberanian Rasulullah yang terkesan kepada para sahabat.

Alangkah malunya umat Islam kini, seperti harimau kehilangan taringnya hanya mampu melihat tanpa dapat berbuat apa-apa. Apabila umat Islam di sembelih, Kitabullah dipijak-pijak, kita hanya mampu mencemuh, membantah (hanya pada lisan dan hati). Apalah daya umat Islam sekarang ini bila kita mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Allah. Sedang para pejuang Islam yang sebenarnya diibaratkan sebagai pendeta di malam hari dan singa di waktu siang, kita masih terlena.

Masih adakah lagi orang seperti Rasulullah yang seberani-berani manusia, masih adakah lagi insan yang sanggup maju ke hadapan mengibarkan panji Islam sendirian menyeru umat musyrikin ke jalan Tuhan?. Wahai Rasulullah, umatmu kini bagai buih di lautan, tetapi senang di pukul ombak ke sana dan kemari.Mereka hilang cahaya jihad yang selalu engkau lontarkan kepada para mujahid di zamanmu.

Ali bin Abi Talib pernah berkata : “Apabila kami berada dalam keadaan genting dan perang memuncak panas, maka kami berlindung kepada Rasulullah. Tidak seorang pun di antara kami yang lebih dekat kepada musuh daripada Rasulullah dan beliau memang menempati posisi yang amat berbahaya sekali.”

Seringkali hati kita mendesis “Alangkah sukarnya hidup aku ini, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.Tetapi pernahkah kita mengenang bagaimana sukar hidupnya Rasulullah, Aisyah pernah berkata “ Tidak pernah perut Nabi penuh kekenyangan , dan apabila beliau berada di rumah isterinya beliau tidak pernah meminta makanan kepada mereka, jika mereka menghidangkan makanan itu beliau terima, dan bila mereka memberinya minum maka beliau minumlah”.

Bukankah Rasulullah itu sebagai model, mengapa tidak pernah bersyukur dengan apa yang Allah beri ? Terapkan sifat Qanaah,. Sedang mata kita enak tidur di hamparan katil, cuba-cubalah kenangkan. Rasulullah dahulu tidur di atas tikar kasar. Menangis Umar melihat keadaan Rasulullah jika dibandingkan dengan Kisra di Parsi dan Kaisar di Romawi yang tenggelam dengan segala bentuk kemewahan.

Tetapi kita kadang-kadang mencemuh, “Bukankah Muhammad itu seorang Nabi tentulah dia sanggup menghadapi semua itu”. Wahai, ingatlah yang namanya Nabi Muhammad itu bukankah manusia juga sama seperti kita. Rasulullah tidak pernah meninggalkan ibadat pada siang atau malam harinya.Pernah sahabat bertanya “Wahai Rasulullah, mengapakah engkau bersusah payah begini, bukankah engkau adalah kekasih Allah ?”. Jawab Rasulullah “Tidak bolehkah aku bersyukur dengan apa yang Allah telah kurniakan kepadaku ?”.

Sedang kita bergembira dengan maksiat yang berpanjangan dan syaitan pula turun naik menggoda manusia. Lupa kepada sabdanya : “Sukakan dunia punca kapada segala kesalahan”. Ya Rasulullah seandainya engkau masih ada di zaman ini, tentu engkau akan berasa sedih. Sedih melihatkan keadaan umatmu yang seolah-olah hilang punca. Hilang segala yang menjadi pegangan kita selama ini iaitu Al Quran dan As Sunnah, sedangkan engkau pernah barsabda yang bermaksud “sesiapa yang meninggalkan sunnahku maka dia bukan dari kalangan umatku”.

Berat hati kita untuk menerima lagi teguran kerana banyaknya makan, gelapnya hati dan pandangan dengan keduniaan. Sedangkan kita dan dunia tidak ubahnya seperti musafir lalu, yang singgah melepaskan lelahnya sekejap di bawah sebuah pohon dan kemudian dia pun pergi melanjutkan perjalanannya. Mari kita hayati kembali kisah Rasulullah semasa hampir penghujung nafasnya. Berkata Anas bin Malik r.a ; “Ketika roh Nabi sampai di dadanya beliau waktu itu sempat berkata : “Aku berpesan kepada kamu tentang sembahyang dan tentang hamba sahaya yang berada di bawah tanggungjawab kamu”. Dan pada penghujung nafasnya yang terakhir beliau menggerakkan kedua-dua bibirnya dua kali dan aku pun mendekatkan telingaku baik-baik, maka aku pun masih sempat mendengar beliau berkata dengan perlahan-lahan : “Ummati! Ummati!” (Ummatku!-ummatku!).

Wahai umat Islam masihkah antara kita yang sentiasa mengingatinya walau sekadar selawat sahaja terutama sejak abad-abad yang terakhir ini. Bagaimana pula dengan ajarannya ?, sunnahnya ?.

Ya Allah !Semoga akan lahir kembali mujahid-mujahid dan mujahidah yang masih mengenang dan mengaplikasikan sunnah walau sedikit cuma. Bukannya mereka yang mendendangkan lagu syaitan dan meneguk airnya. Bukannya mereka yang hanya Islam hanya pada nama, yang menjadikan agama seperti mainan dunia dan berharap syurga pada matinya kelak. Amin


Ahad, 16 Mac 2008

Selamat Pengantin Baru

Pada 15hb Mac 2008, dua mempelai telah disatukan. Kepada abang lan (Norazlan Sarmudan) dan isterinya. Saya ingin mengucapkan selamat pengantin baru, semoga pernikahan tuan sentiasa diberkahi ALlah, bahagia di dunia dan di akhirat hendaknya serta mendapat zuriat yang soleh dan solehah.. Aaamiinn.

Tujuan Hidup..

Bila engkau sudah jauh melangkah dan berjalan di bumi Tuhan, tentu sudah engkau faham, kemana sudahnya arah tujuan hidup, kemana pula tempat berhimpun dan berkumpul.

Lahirmu di masa lalu rupanya bukanlah sia-sia seperti yang terfikir dan difikir selalu di ruang fikiran. Dunia ini bukan untuk ditangisi sahaja dan untuk disambut dengan ketawa setiap masa. Ia adalah penggiliran silih berganti yang perlu dihadapi dengan rasa tabah dan sabar.

Setiap takdir dan ketentuan ada hikmah dan pengajaran yang perlu diambil sebagai buku hidup yg perlu dicatit selalu sebagai peringatan di dalam akal dan hati. Setiap usaha dan perancangan rupanya tetap jua satu ketentuan yang telah ditetapkan, Cuma manusia perlu memilih jalan mana yang sesuai untuk diri. Jika merasa diri sesuai diseksa tentu ia gembira merasa terseksa.

Jika diri gembira menerima kebaikan dan rahmat tentu ia merasa gembira dan berusaha mencapai tujuan akhir yang baik, tetapi jalan yang akan dilalui penuh dengan tangisan dan susah payah. Sebab jalan yang mulia, selalunya di harungi dengan kehinaan dan rasa sempit di dada, dan hati serta lisan dan akal bersatu dalam mengingati Allah untuk menggapai redhaNya. Dan jalan menggapai redha dan sukanya Allah, perlu dilalui dengan cacian, makian dan celaan kebanyakan manusia sekeliling yang suka diseksa di hari kemudian.

Bukan senang untuk membuka mata melihat keadaan zaman celaru akibat berubah fikiran dan kehendak, bukan senang membuka lisan yang hak kepada hati orang lain yang tidak ingin melihat kebaikan tertegak.

Di dalam kegelapan zaman, engkau akan berjalan meraba-raba mencari dokongan dan tongkat yang kukuh untuk memandu dan berjalan tegak agar tidak jatuh tersungkur. Sebenarnya di situ masih ada cahaya yang bersinar, tetapi samar dan hampir kelam, tetapi masih ada segelintir manusia yang masih dapat merasainya dan mereka merasa tenang dan senyum mengelilinginya. Itulah cahaya iman…. Itulah cahaya kehidupan.. itulah cahaya jasad lahiriah dan ruhaniyyah…

Dihari yang mendatang, keluarga, adik beradik, sanak saudara menjadi musuh, orang yang dikasihi adalah yang paling dibenci, begitu kisah hidup dan zaman memandang pada yang sementara. Di hari itu jua sukarnya diri mengenal kawan dan lawan.

Tidak sedikit manusia berperang, bergaduh dan bermasam muka bertahun-tahun hanya kerana sehelai daun yang jatuh di halaman. Mereka memutuskan tali persaudaraan dan mengadu domba, berburuk sangka, keji mengeji antara satu sama lain. sedangkan mereka telah diikat kuat dengan darah dan daging.

Persahabatan yang dibina bertahun-tahun, sedari kecil bersusah payah dan gembira bersama-sama kini menjadi racun yang membunuh setiap inci kasih sayang yang tumbuh di hati dahulunya. Persahabatan itu dirobek hanya untuk mendapatkan kemuliaan yang sementara jua. Sebab yang disalahkan kemiskinan dan kekurangan, demi untuk hidup, berbohong itu amat penting, menikam belakang kawan menjadi lumrah, sogokan dan jatuh menjatuhkan adalah adat dan asam garam untuk hidup senang.

Engkau akan melalui di hari di mana halal dan haram tidak lagi diambil kira, dirimu akan tercebur di dalam daerah syubhah. Engkau akan keliru tetapi tanganmu dengan perlahan tetap mengambil sambil hatimu redha tanpa rasa takut dan ragu.

Berhati-hatilah wahai diri, jika engkau tidak dapat jua mengharunginya lalu lemas bersama-sama keinginan dan kehendak, jadilah engkau orang yang merugi di dunia dan akhirat, kermurkaan Allah selalu membayangi hidup, makhluk di kanan kiri tidak redha dengan perbuatanmu, engkau akan dipandang rendah dan hina lalu dibuka segala perbuatan keji dan jahat di hadapan perhimpunan besar.

Di sana, tiada lagi pelindung untuk menutup malumu walaupun mukamu merah padam menahannya. Tiada tabir untuk mencegah ia daripada dipapar dan didedahkan..

Ubat dan penawarnya sudah sedia sedari alam ini ada, sudah diperincikan setiap kebaikan dan keburukan di dalam al Quran dan sabda serta peraturan hidup rasulNYa. Di antara iman dan kufur, dosa dan pahala, syurga dunia tetapi neraka di akhirat, dirimu jualah yang membuat keputusan, untuk dijadikan tujuan dan matlamat hidup, engkau jua yang memilih dan menentukan …

Rabu, 12 Mac 2008

Budaya Rewang Sudah Hampir Pupus

Jiran saya ada membuat majlis perkahwinan untuk anaknya. Jadi tentu tidak sedap hati pula sebagai jiran yang duduk sebelah menyebelah tidak menjongolkan diri menghulurkan tangan apa yang patut.

Menariknya di taman perumahan di kawasan bandar sekarang ini lebih menggunakan khidmat katering dari orang luar. Mudahla agaknya nanti tidak perlukan ramai tenaga kerja mengangkat, mengangkut air, memunggah ais, mengganti lauk pauk. Cumanya ada sedikit kemusykilan, kenapa tidak ramai pula orang menolong.

Pi mai pi mai, orang yang sama juga membuat khemah, si pulan juga yang memasak nasi, si fulanah juga yang memasukkan lauk pauk. Dalam sangkaan saya - masyarakat kini ramai tidak mengerti pentingnya bergotong royong, bermuafakat. Biasanya bila susah barulah wajahnya muncul.

Perkataan rewang berasal dari bahasa jawa. Di kampung saya di Rengit masih ada lagi budaya rewang. Meriahnya bukan main! Biasanya sanak saudara akan berkumpul beramai-ramai seminggu atau paling tidak 2 hari sebelum majlis diadakan. Bermula dari mendirikan khemah, membasuh ayam, memotong daging, mengupas bawang, menguliti kentang sehinggalah nantinya sampai kepada bersilat, membawa bunga manggar, membasuh periuk akan dilakukan dengan sukarela.

Rasa bosan adalah tukang lawaknya, (si pemalas akan duduk berbual sambil hisap rokok tengok orang kiri kanan buat kerja seperti mandur). Tangan yang rasa melengas kerana membasuh pinggan, sudu dan garfu tidak terasa sambil menyanyi-nyanyi kecil.

Perkataan rewang kini dah dikomersilkan sebagai satu bahasa yang negatif, mengapa ya? Dan orang sekarang pula sudah tidak mengambil tahu bagaimana cara mengeratkan tali persaudaraan sesama sendiri.

''Standard'' pemikiran kebanyakan orang sekarang, semuanya ingin mudah, ingin cepat - tapi nilai-nilai baik yang hilang akibat sikap MALAS tersebut tidak pernah diambil kira.

Terbebankah Amanah Yang Ditanggung?

ALlah telah memberikan amanah kepada kita. Walaupun hidup manusia di muka bumi suka menumpahkan darah, mendatangkan kerosakan.

Kisahnya apabila amanah hendak dibebankan kepada pundak gunung, awan - mereka semuanya menolak tetapi manusia sanggup menerima. Kenapa ya? ALlah menyatakan Dia mengetahui apa yang kita tidak tahu..

Amanah itu ujian.. amanah itu berat.. kerana memegang amanah bukan semudah menerima watikah kemudian boleh mendabik dada sambil berjalan sombong dan membibirkan senyuman. Amanah pasti akan ditanya.. pasti!

Seorang pemerintah tidak akan dapat duduk diam di pembaringan bila menerima amanah (sepatutnya). Memikirkan tentang nasib marhaen yang masih tertindas. Seorang pengawas di sekolah, kerjanya bukan sahaja mencatit kesalahan pelajar tetapi dia juga membuat kesalahan yang sama.

Kenapa sanggup menerima amanah ?

1. Kerana kelebihan yang akan didapati.
2. Dapat nama
3. Orang akan hormat kita
4. Untuk menonjolkan diri, maju ke hadapan
5. Suka-suka untuk menerima amanah
6. Kerana tiada orang yang sanggup hendak memikul amanah tersebut.

Apa pun tujuan dan matlamatnya - kena betul dengan caranya yang menunjukkan kita mampu menanggung beban tanggungjawab yang diterima. Jangan takut untuk menyatakan 'TIDAK' jika tidak mampu menanggung beban.

Orang yang sanggup menerima amanah walau payah adalah kerana dirinya sudah mempunyai persediaan. Memang ia mampu untuk memikul tugasan yang berat tersebut.

Sikap unggul orang yang menerima amanah sebagai pemimpin.

Dia boleh menerima teguran dan sanggup belajar memperbaiki kekurangan. Mempunyai disiplin diri. Mempunyai pemikiran yang kritis dan kreatif. Panjang fikirannya ke hadapan. Tidak lupa asal usulnya. Makin meninggi dia akan merendahkan diri.

Tidaklah hilang kewibawaan orang yang mempunyai sifat ini.

Seorang pemimpin boleh mendengar pendapat dari orang bawahannya. Diteliti tiap percakapan, mana yang baik diterima, mana yang memberikan kritikan atas pimpinannya dimuhasabahi diri.
Pada dirinya ditunjukkan contoh yang baik, reti menjaga masa. Bukan dia ditunggu, tetapi ia sendiri menunggu kedatangan ahli pimpinannya.

Khamis, 6 Mac 2008

Mengapa Rasa Rendah Diri?

Kadang-kadang ada orang rasa rendah diri disebabkan fizikal, ado orang rendah diri sebab ilmu, ada juga kerana kemiskinan, banyak caralah ia akan cuba untuk meningkatkan harga diri.

Antaranya merendahkan orang lain pula, atau memajukan diri, ataupun membuat perubahan drastik. Orang yang berfikiran positif - akan merasakan setiap diri manusia itu ada kelebihan. saya teringat - ada orang tiada tangan. Tetapi digunakan kaki untuk melukis. Ada orang tiada tangan dan kaki. Mulutnya digunakan untuk melukis.

Dia akan melakukan apa sahaja untuk meneruskan kehidupannya. Ya - mungkin dengan hanya duduk diam sahaja atau menyesal dengan keadaannya tidak akan merubah apa2.

Tapi benar bukan..

Kita ingin bersangka baik dengan ALlah bukan mudah. Apatah lagi jika dah diberi ujian sejak lahir lagi. Lain lah kalau dah memang tiada akalnya .. tapi sebab ia boleh berfikir - kadang-kadang macam2 juga difikirkan sehingga ada yang membisik2.

Sebenarnya - orang yang mampu mengubah dirinya mempunyai self- trust yang amat hebat. Self- confidence dan self- esteem yang tinggi. Kerana itu jika kita lihat :

Orang-orang yang jadik pemimpin berapa ramai yang hensem?. Orang-orang kaya, orang-orang yang berjaya tidak semestinya fizikalnya menarik. Tetapi sebab mereka berani melangkah keluar dari daerah kekurangan dan memanipulasikan potensi diri.

Saya simpulkan - ALlah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum tersebut mengubah nasib mereka sendiri. Baik dan buruk, kaya miskin, gagal berjaya - kita boleh pilih. Hasil dari kuasa minda yang berjaya serta apa yang ada dalam hati.

Setiap orang ada kelebihan, kekuatan, potensi diri. Carilah di dalam diri. Lakukan eksplorasi. Memang ALlah itu Maha Adil.

Selasa, 4 Mac 2008

Jika Tiada Lagi Pintu Sabar.. Kita Akan Ke Mana?

Jiwa orang Mukmin.. sebarkanlah di dalamnya erti sabar. Fahami dan hayati. Memang ALlah telah menjadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran.

Sabar itulah kekuatan, padanya ada kemuliaan..

Tahanlah hati sebentar, walaupun terkadang ia mendesah-desah seolah-olah ingin pecah. Untuk menggapai kejayaan perlu sabar. Untuk mendapatkan kebahagiaan perlu kepada sabar. Untuk mendapat kesenangan perlu kepada sabar.

Orang beriman yang bertani diambil pengajaran darinya - setiap hari ia menyangkul tanah, digembur, di tanam tanaman, dibajai, disirami dengan air. Selalulah ia berharap kepada ALlah agar tanamannya gemuk. Semoga di hari yang mendatang akan dituai hasilnya buat makan sehari-hari.

Dia tidak lupa mengerjakan kewajipan yang disuruh ALlah, malah ia gemar pula bersedekah pada orang yang susah walaupun dia sendiri sudah sedia sukar hidupnya.

Lalu ALlah ingin menguji kekuatan iman - diberikan hujan dari langit hingga habis rezeki si petani yang selama ini ditanam, dikerah tenaga dan air peluhnya. Keesokan harinya petani yang beriman itu terkejut melihat tanamannya telah habis musnah. Jika tiada imannya pada hari itu, hendak sahaja ia menjerit, memaki hamun takdir ALlah. Mungkin sahaja hilang akalnya kerna memikirkan penah lelahnya selama ini habis percuma begitu sahaja.

Tetapi kerana iman yang masih melekat di hatinya - diturut sahaja perkataan sabar kerana ALlah. Petani yang beriman itu tersenyum - Ya ALlah, harini Engkau berikanku ujian, Aku bersyukur ia hanya mengenai tanamanku, tetapi ia tidak menggugat imanku. Aku pastinya akan lebih berusaha bersungguh-sungguh kerana walaupun tanamanku digenangi air. Tetapi nampaknya banyak ikan yang berenang sebagai rezeki yang tidak diduga telah Engkau berikan..

"Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan ALlah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh ALlah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera. "(Al Insan:12)

Ahad, 2 Mac 2008

Sabarlah Menerima Suratan..

Sudah disebutkan bahawa pemegang urusan hidup dan mati, semuanya adalah di dalam gengaman ALlah, terimalah setiap sesuatu dengan penuh redha.

Manalah tahu apa yang diingini lari dari perancangan dan ukuran. Belajarlah menerima suratan. Hebatnya ALlah, terkadang diberinya dugaan di dalam kita tidak bersedia.

Bukankah kesenangan itu bersilih gantinya dengan kesukaran? Bukankah di dalam kesedihan terkadang datang bersamanya juga kegembiraan.

Jiwa orang yang beriman - perlulah kuat menongkah zaman. Memang kita ini diajar agar selalu tabah, redha dan sabar.

Biarkan ALlah berikan khabar gembira - bahawa orang yang di timpa kesusahan itu apabila ia sabar dan mengembalikan dirinya kepada Penciptanya akan beroleh bahagia dan pelbagai kebaikan.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan mereka berkata : "sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALlah dan kepada ALlah jualah kami kembali. . Mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayahNya."

(surah al Baqarah: 155-157)