Isnin, 25 Mei 2009

Nasihat Abu Darda'

Terdapat seorang pemuda yang datang bertemu Abu Darda'. Pemuda itu berkata :
"Nasihatilah saya wahai sahabat RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam.."


Abu Darda' menasihatinya :

"Wahai anakku! Ingatlah ALlah sewaktu senang, nescaya Dia akan mengingati kamu sewaktu susah.

Wahai anakku! Jadilah seorang yang berilmu atau seorang yang belajar ataupun seorang yang mendengar ilmu. Jangan kamu jadi orang yang keempat (orang yang jahil) kerana kamu akan binasa.


Ketika Abu Darda' sampai ke Damsyiq dan melihat penduduknya yang telah bergelumang dengan kemewahan. Tenggelam dalam kenikmatan. Beliau lantas mengajak orang ramai berkumpul di masjid. Setelah itu beliau bangun berucap :

Wahai penduduk Damsyiq, kamu semua adalah seagama, jiran tetangga dan penolong melawan musuh.

Wahai penduduk Damsyiq, apakah yang menghalang kamu daripada mengasihi dan menerima nasihat saya. Padahal saya tidak menuntut apa-apa daripada kamu. Nasihat saya adalah untuk kamu sedangkan nafkah saya bukan kamu yang tanggung.

Kenapa saya lihat para ulama kamu telah meninggal dunia, namun orang yang jahil masih tidak belajar?

Saya juga lihat kamu bersungguh-sungguh mengejar perkara yang ALlah telah jamin untuk kamu, sebaliknya kamu meninggalkan perkara yang diperintahkan kepada kamu?

Kenapa saya lihat kamu mengumpul harta yang kamu tidak makan?

Kamu membina bangunan yang kamu tidak diami?

Kamu berangan-angan perkara yang kamu tidak boleh sampai kepadanya?

Sesungguhnya umat sebelum kamu telahpun mengumpul harta dan berangan-angan..

Tetapi sekejap sahaja , harta yang mereka kumpulkan itu menjadi hancur dan musnah...

Angan-angan mereka cuma tipu daya semata-mata...

Dan kediaman mereka menjadi kubur..

Wahai penduduk Damsyiq, perhatikan kaum 'Aad. Mereka telah memenuhi bumi ini dengan harta dan anak-pinak...

Tetapi pada hari ini, siapakah yang mahu membeli peninggalan 'Aad daripada saya dengan harga dua dirham?


Abu Darda' mengingatkan mereka dengan penuh perasaan. Orang ramai mula menangis sehingga suara tangisan dapat didengari dari luar masjid.

Sumber : Dr Abdul Rahman Ra'fat al Basha, Surun min hayat as Sohabah, 65 Gambaran, Kehidupan Sahabat, Cetakan Pertama, Terbitan Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Sabtu, 16 Mei 2009

Belajar Erti Kehidupan


Guruku berkata :
Apabila sudah menjawat jawatan yang besar jangan mendabik dada. Semakin besar dan tingginya gelaran, tingginya pangkat yang disandang. Semakin tinggilah juga risiko dan tanggungjawabnya.

Guruku berkata :
Dalam kehidupan ini. Apabila menelusurinya jangan lupa agar selalu membaca balik buku sejarah hidup. Buat panduan agar tahu asal usul diri supaya tidak lupa siapa sebenarnya diri kita.


Guruku berkata :
Graf hidup kita tidak selalunya naik. Di suatu hari nanti akan turun juga. Tetapi sekiranya turun jangan sampai terjelepuk. Dia memberikan contohnya : ada orang yang tidak dapat menanggung bebanan hidup, bebanan tanggungjawab. ALlah berikan ujian kepadanya dalam bentuk dugaan harta. Bekerja sebagai penguatkuasa orang akan selalu memerhati. Ada pula duit yang akan sampai dari bawah.
Akhirnya amanah yang diberi akan dikhianati. Lalu jatuhlah graf hidup itu ke tingkat yang paling bawah. Biarlah kalau jatuh pun ia tidak merugikan diri, masih berfungsi sebagai hamba ALlah yang berbakti di muka bumi.

Wahai guru, terima kasihku ucapkan. Semoga ALlah berkati dan rahmati hidup guru. Aminn Ya Robb

Ahad, 3 Mei 2009

Peringatan Untuk Umat Islam

Kata Sultan Abdul Hamid ke- 2 kepada Theodore Hertzel (Pengasas Pertubuhan Yahudi Antarabangsa) yang memberikan tawaran agar beliau membenarkan penubuhan sebuah Syarikat Yahudi di Palestin yang bertanggungjawab membeli tanah-tanah terbiar sekitar Palestin untuk dijadikan kawasan pertanian dan penempatan penduduk Yahudi :

Palestin bukan milikku, bukan milik bangsa Turki tetapi milik bangsa Arab. Baitul Maqdis pula bukan milik bangsa Arab tetapi milik umat Islam seluruhnya. Aku tidak akan sesekali menyerahkan bumi Palestin walaupun sejengkal setelah bangsaku berjihad bermati-matian mempertahankan dan menyuburkan tanahnya dengan darah-darah mereka. Simpanlah wang kamu yang berjuta ringgit itu kerana sekiranya suatu hari nanti Khilafah Islamiyah ini tumbang, kamu boleh mengambilnya tanpa sebarang wang tukaran. Adapun, sekiranya aku masih hidup, aku lebih rela diriku dicincang daripada melihat bumi Palestin dikeluarkan dari Daulah Islamiyah dan perkara itu selama-lamanya tidak akan berlaku. Adakah kami akan membenarkan diri (wilayah-wilayah takluk Kerajaan Turki Uthmaniyyah) kami ini semua dipisah-pisahkan sedangkan kami masih hidup?!
- Kitab Kaifa Saqatot al Khilafah al Islamiyah, m/s 26

Sumber : Hj Nik Azran Muhamed, Hj Mohd Mahadi Hj Isa, Gerakan Freemasonry Musuh Dalam Menghancurkan Islam, Cet Pertama 2009, Hijjaz Records Publishing, Selangor

Jumaat, 1 Mei 2009

Hakikat Sebuah Kebenaran : Tugas Membela Mufti Yang Difitnah

Sudah lama isu ini berlaku, golongan opportunis (yang suka mengambil peluang) tidak kiralah samada dari mana-mana parti politik. Begitulah juga kepada yang memusuhi intitusi ulama dan mufti di negara Malaysia ini. Pada satu masa mufti dilihat apabila menyebelahi mereka, maka akan disanjung-sanjung, dipandang tinggi. Tetapi apabila menyuarakan perkara yang penting untuk maslahah ummah dan terkena pada golongan yang lain mufti jugalah yang akan dimaki hamun, dikata kesat. Demi sebuah kebenaran, saya perlu mengulas isu ini.

Penghinaan dan fitnah terhadap Mufti

Lebih mengejutkan lagi apabila yang menghina dan memfitnah institusi mufti itu sendiri adalah dari kalangan mufti sendiri seperti yang pernah dilakukan oleh seorang bekas mufti di Perlis iaitu Dr Asri Zainal Abidin. Sila lihat sahaja perkataannya :
Saya berhenti menjadi Mufti, bukan saya serik. Jadi mufti apa nak serik. Boleh duduk diam-diam dan enjoy dengan jawatan. Jangan banyak cakap atau bangkang. Boleh pergi mesyuarat hotel sana, dan hotel sini. Lawatan sana, lawatan sini. Masuk ke tempat mahal-mahal. Ada kereta rasmi, terbang sana, terbang sini dan cukup bulan ambil gaji. Diam dan jangan peduli sangat apa yang sedang berlaku, maka jawatan itu satu nikmat yang 'sukar hendak dilepaskan. - Al Islam April 2009, m/s 28-29. Juga di laman web DrMaza: Klik Di Sini
Lihatlah siapa yang membela mufti :





Maaf cakap, entah berapa ramai di sana yang taksub dan taqlid membuta tuli percakapan dan fatwanya yang menyelidik tentang erti sebuah kebenaran dan akhlak yang datang dari seorang ilmuwan agama? Sudahkah membaca artikel KEMBARA ILMU KE INDIA yang ditulis oleh Dr Asri di laman webnya dan kemudian telah dibuang beberapa hari selepas ditulis? (Artikelnya dipost semula : DI SINI) Dan akhirnya kebenaran tetap ALlah tunjukkan dengan tulisan ini Tanggapan Artikel Kembara Ilmu Ke India - Dr MAZA. Tidak perlulah saya mengkhabarkan tentang sikap beliau yang lain. Ingin juga menjawab sahaja di dalam laman web DrMaza.Com tetapi saya masih tidak terjumpa lagi ruangan komen. Dimana ya?

Saya teringat kata hikmah Ibn Sirin (w. 110H/728) mengungkapkan
"Sesungguhnya ilmu ini agama, dan perhatikan dari siapa yang engkau ambil agama ini".
Alangkah apabila dilihat kalimah ini semakin terlihatlah kebenarannya kini.

Bukan sedikit pula yang mencaci maki ulamak seperti yang terjadi kepada Mufti Perak (lihat isu politik di Perak), dan mufti lain yang dituduh sebagai hanya memanaskan punggung di tempat duduk. Bahkan ada yang mengatakan binatang yang diharamkan lebih mulia dari mufti - silalah rujuk : Babi Lebih Mulia.

Dan begitulah, siapa yang ingin menyelidik akan sebuah kebenaran?

Terkadang saya berfikir - mengapa ya sesama umat Islam bukan main lagi dimusuhi, mudahnya dihukum sesat, mudahnya dihukum musyrik. Tetapi dengan orang kafir yang ada tugasnya sebagai missionari Kristian disambut dan dibela (sila rujuk : Isu kalimah ALlah hendak digunakan oleh Kristian di Malaysia). Apa kita lupa firman ALlah :

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ (١٠)

“(Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat)”
(QS. Al Hujurat : ayat 10 )

Bukankah telah disabdakan oleh RasuluLLah yang bererti : Dari Abi Hamzah bin Malik radiyaLLahu 'anhu, khadam RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam dari Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam sabdanya :
Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita mengatakan telah beriman kepada al Quran dan Sunnah, bahkan ada yang mengaku ingin menjadi pendokong kedua-duanya. Apakah ucapan itu hanya pada jari jemari sahaja tanpa ada penghayatan?

Bila Mufti dihina dan difitnah, siapakah pula yang membela mereka?

Adakah kita sebenarnya tahu siapa mufti di negeri masing-masing? Dan mengambil tahu hal ehwalnya dan dimana mereka turun ke padang mengajar di kelas pengajian, di masjid? Jika di Johor ini, bekas Mufti Johor Dato' Noh Gadot (sekarang ini penasihat Agama Islam Johor) selalu turun padang dalam memberi ceramah dan aktivitinya dapat diikuti dari buletin Agama Kerajaan Negeri Johor, begitulah juga Mufti yang baru iaitu Dato' Haji Tahrir bin Kiyai Haji Shamsudin.

Di Negeri Sembilan, bekas Mufti iaitu Dato' haji Mohd Murtadza selalu mengadakan ceramah dan kuliah hampir setiap hari dalam sebulan di 14 buah mukim. - Temubual Dengan Mufti Negeri Sembilan Demi Tugas, Milenia Muslim, Februari 2009, m/s 14-18) Begitulah... siapa pula yang hadir di setiap kuliahnya dan akhirnya menghamburkan fitnah pula kepada mufti?

Adakah kita tahu siapakah yang mencadangkan kepada Sultan Perak agar Menteri Besar Ir Nizar dilantik selepas PRU yang lalu? Takkan kita tidak mengambil tahu tentang peranannya dalam Majlis Fatwa Kebangsaan sama-sama di dalam majlis syura mengeluarkan hukum dalam banyak perkara berkaitan feqh kontemporari yang kita sendiri pun tidak mampu hendak mengulasnya apatah lagi yang hanya pandai bercakap belakang hanya selepas fatwa diputuskan? Segalanya ada diulas di Milenia Muslim Bulan Mei 2009 muka surat 66-70. Anda akan tahu pendirian Mufti Perak ini berkenaan parti politik. Silalah beli dan baca untuk sebuah kebenaran.

Lalu saya tertanya juga di dalam hati : Adakah kita benar-benar inginkan sebuah kebenaran? Inginkan perpaduan dan bukan perpecahan? Ataupun selepas membaca tentang sebuah kebenaran tetap dipilih kebatilan? Dan tetap memilih dan menyokong mereka yang inginkan kepada perpecahan umat Islam? Siapakah pula yang ingin membela saudara seIslamnya yang dituduh dan difitnah bermacam-macam?

Insya ALlah, nantinya saya akan bongkarkan tentang mereka yang telah menghukum kafir, musyrik dan sesat kepada Ulamak Muktabar, Majoriti Umat Islam dan Jemaah Islam seluruh dunia.