Jumaat, 27 Mac 2009

Isu Kalimah ALlah - Salahkan Kita Berhati-hati?

Semenjak dua menjak ini timbul lagi isu kalimah ALLah, saya pernah mengulas perkara ini dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Dr Asri, dan juga pandangan dari Ketua Ulama Pas Pusat di dalam blog ini dan menyatakan pendirian saya mengenainya.

Kali ini ada membawakan hujjah menyatakan kalimah ALlah sudah lama digunakan oleh orang Kristian, bahkan di Mesir, Asia Barat juga. Sedangkan bahasa Arab itu memang sudah lama digunakan di sana, dan tiada masalah bagi mereka untuk membezakan ALlah pada pandangan Islam dan pada pandangan Kristian.

Masalah yang timbul sekarang ini isunya kalimah ALlah digunakan di Malaysia, iaitu jika dilihat dari media massa sendiri tentang pegangan aqidah remaja, dan umat Islam ada yang tidak kuat dan goyah apatah lagi bila ditanya mengenai ALlah dan mengimaninya dengan yaqin tanpa ada sebarang keraguan dan melaksanakan perintah ALlah dan meninggalkan laranganNya.

Ustaz Farhan Bin AbduLlah iaitu seorang bekas Kristian yang telah dilatih untuk menjadi paderi oleh bapanya sendiri iaitu Ketua Paderi besar menjaga 15 buah gereja di Sabah telah mendedahkan sendiri adakah ada agenda tertentu di sebalik permintaan akhbar Herald The Catholic Weekly untuk meminta kebenaran penggunaan kalimah ALlah di dalam bible.

Yang seharusnya kita fikirkan :

1. Samakah penggunaan kalimah ALlah sebagaimana fahaman kita sebagai orang Islam dengan kalimah yang digunakan oleh Kristian di dalam bible tersebut?

Sebagai umat Islam yang beriman, kita mengimani bahawa ALLah adalah Esa (tunggal), tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak menyamai apapun dengan makhluk-Nya. Ini dijelaskan sendiri di dalam surah al Ikhlas

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدُۢ (٤)


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. (1) Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. (2) Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan (3) Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.(4)(surah al Ikhlas : 1-4)

Bahkan ALlah juga telah berfirman yang bererti :

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al Maidah ayat : 73)


Menurut Ustaz Farhan,(Al Islam, m/s 8-9) Penganut penganut Kristian Ortodoks yang berpegang kepada Injil Perjanjian Lama (The Old Testament), memang menggunakan nama ALLah sebagai Tuhan mereka, tetapi tidak di dalam Injil Perjanjian Baru (The New Testament) yang menjadi pegangan penganut Kristian Katolik, Lutheran, Anglikan dan lain-lain. Samada kita sedar atau tidak golongan Kristian di negara ini yang bukan bermazhab Ortodoks telah pun menggunakan nama ALlah di dalam Bible mereka. Dan sekarang ini ingin menggunakan nama ALlah itu sebagai Tuhan mereka secara rasmi melalui undang-undang negara.

Kita menggunakan kalimah ALlah sebagai Rabbul Jalil, ALlah itu satu dan tiada Tuhan melainkan ALlah.

Berbeza pula dengan Kristian yang menyebut Tuhan tetapi Tuhan Bapa, Tuhan Anak, dan Ruhul Qudus. Di dalam Bible Perjanjian Baru, Matthew 27: 46 (Jesus berteriak dengan suara yang lantang "Eli-eli (tuhan) Sabaktani (mengapa engkau tinggalkan aku?" - Mengapa Jesus (yang dianggap Tuhan Anak) meminta tolong kepada ALlah? Sedangkan di dalam pegangan Kristian Jesus itu adalah ALlah. Cuba lihat lagu dari Agnes Monica sendiri :

ALLAH PEDULI

Banyak perkara yang tak dapat ku mengerti
Mengapakah harus terjadi
Di dalam kehidupan ini
Suatu perkara yang ku simpan dalam hati
Tiada satupun kan terjadi tanpa Allah perduli
Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yg kita hadapi
Tak akan pernah di biarkannya ku bergumul sendiri
Sbab Allah mengerti
Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yang kita hadapi
Tak akan pernah di biarkannya ku bergumul sendiri
Sbab Allah Yesus ku mengerti

Cuba bayangkan sekiranya kalimah ALlah ini digunapakai di dalam bible? Tidakkah ia menimbulkan kekeliruan?

2. Sudahkah kita turun padang untuk sama-sama membetulkan aqidah remaja dan umat Islam yang masih lagi goyah? atau sekadar melepaskan tangan dan menyerahkan bulat-bulat kepada orang lain. Kemudian bila timbul masalah saling tunding menunding, tetapi tidak mahu pula menunding pada diri sendiri.

Sebenarnya apa agenda sebenar Kristian yang bersungguh-sungguh ingin menggunakan kalimah ALlah Yang Maha Suci di dalam Kitab Bible? Ustaz Farhan mengajak kita meneliti apa yang ditulis oleh George W Peters dalam makalahnya, An Overview of Missions To Muslims. Peters mengakui betapa besar pengorbanan dan tugas yang terpaksa mereka lakukan demi mengkristiankan orang-orang Islam dengan ungkapan "...(for those) who labored in blood, tears and sweat, and with prayer and patience in the Muslim world..."

Dalam sebuah buku diterbitkan oleh Universities and Colleges Christian Fellowship di United Kingdom tahun 1981 - Light on Islam : Reaching Out to Muslims Students In Britain - digariskan beberapa kaedah untuk menawam orang-orang Islam agar memeluk agama Kristian antara isinya :
"Terangkan tentang Jesus sebagai kalimah Tuhan, tidak sebagai anak Tuhan, kerana banyak masalah dan kekeliruan yang akan timbul".



Risalah Kristian di bahagian depan kulit risalah tertulis kalimah Basmalah - RAHSIA JALAN YANG LURUS- Al Mustaqim.

Bukan tiada risalah dan komik terbitan missionari Kristian yang disebarkan secara haram. Bagaimana jika ia di'halalkan' pula? Adakah kita dapat menangkis dan menapis dakyah yang ada di dalamnya? Jika kita boleh menapis, bagaimana dengan saudara-saudara seIslam kita yang lain? Jom fikir!

p/s: Semoga kita semua dapat memantapkan aqidah sebagai umat Islam yang bertaqwa kepada ALlah.

Rabu, 25 Mac 2009

Wahai Diri...Apa Khabarnya Engkau dan Kehidupanmu?

Wahai Diri...

Hendaknya janganlah engkau terpedaya dengan usiamu, berapa ramai manusia yang lalai dengan umur yang dianugerahkan ALLah dan menyangka ia masih mempunyai masa yang panjang lagi. Hinggalah walaupun sudah usia melanjut tua tetap tertipu dengan dunia.

Mati itu datang dalam keadaan mengejut. Ia datang secara tiba-tiba tidak mengira tempoh masanya. Seseorang yang sihat bukanlah bermakna pasti akan hidup lama. Seseorang yang cukup zat makanannya bukanlah bererti pasti malaikat maut akan melupakannya. Kerana itu wahai diri, para ulamak selalu mengingatkan diri kita agar berhati-hati dengan kehidupan ini. Maka kerana itu maut itu menjadi rahsia ALlah, Dia tidak mahu kita meyakini bahawa kita akan kekal di alam ini.

Wahai Diri...

Apa yang engkau corakkan dalam segenap kehidupanmu selama ini benar-benar mendapat redhanya ALlah? Atau ia mengundang kemurkaanNya? Berapa kalilah engkau beristighfar tatkala terfikir tentang maksiat? Berapa kalilah engkau meminta ampun pada ALlah apabila membuat dosa. Sekali lagi aku ingatkan wahai diri... dosa kecil itu apabila dihimpunkan ia akan menjadi besar. Dan setiap dosa itu jika tidak diampuni ALlah serta mendapat rahmatNya akan dibasuh dengan bakaran api neraka.

Oleh kerana itu, apabila engkau sedar bahawa hidup ini akan berakhir pada bila-bila masa bersegeralah membuat amal kebaikan.

ALlah telah berfirman yang bererti :

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).
(Surah al-Mulk ayat 2)

Wahai diri... Ingatlah, bahawa dunia ini semakin sampai ke penghujungnya. Dan kita semua pasti akan hancur binasa, berpindah ke alam lain dan dibangkitkan untuk menerima buku amalan masing-masing. Samada di kanan ataupun di kirinya..

Rabu, 18 Mac 2009

Wahai Diri.. Ucaplah Terima Kasih Kepada ALlah..

Terima kasih ALlah, masih sudi memberi peluang kepada diri ini untuk terus menghirup udara di alamMu ini.

Ampuni dosa diri ini ya ALlah, culas kami pada perintahMu, terkadang jarang untuk menyebut namaMu, lupa untuk beristighfar kepadaMu..

Terima Kasih Ya ALlah, masih sudi memberikan kami rakan taulan yang dapat memberi nasihat dan peringatan kepada hati yang kabur ini. AlhamduliLLah, diri ini masih mampu untuk melangkah ke majlis ilmu dan zikir, masih diberi peluang untuk menangisi dosa-dosa yang lalu dan melihat kebenaran kitabMu yang diberikan kepada junjungan besar Nabi Muhammad sallalLhu 'alaihi wasallam.

Wahai diri...


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَٱلشَّمۡسِ وَضُحَٮٰهَا (١) وَٱلۡقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا (٢) وَٱلنَّہَارِ إِذَا جَلَّٮٰهَا (٣) وَٱلَّيۡلِ إِذَا يَغۡشَٮٰهَا (٤) وَٱلسَّمَآءِ وَمَا بَنَٮٰهَا (٥) وَٱلۡأَرۡضِ وَمَا طَحَٮٰهَا (٦) وَنَفۡسٍ۬ وَمَا سَوَّٮٰهَا (٧) فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَٮٰهَا (٨) قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا (٩) وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا (١٠)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; (1) Dan bulan apabila ia mengiringinya; (2) Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; (3) Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), (4) Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaanNya); (5) Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); (6) Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); (7) Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; (8) Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (9) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (10)
(Surah as Syams : 1-10)

Cubalah menjenguk ke luar jendela memerhatikan kebesaran ALlah menjadikan alam ini. Alangkah cantiknya bulan yang ditaburi bebintang menghiasi langit di waktu malam. Di sebalik bintang dan bibir langit masih ada lagi bebintang lain yang tidak diketahui bilangannya melainkan Allah. Di sana ada lagi galaksi dan planet, segala jenis tahi bintang, yang rosak binasa, yang terhasilnya planet baru... Maha Hebat pengetahuanMu Ya ALlah, diri yang kerdil ini tidak mampu untuk memikirkannya.

Indahnya siang, sang matahari yang menebarkan cahayanya dengan izin ALlah untuk makhluk-makhluk yang mendiami bumi ini. Dengan mata yang terbatas ini, ALlah memberikan kenikmatan untuk melihat warna warni dunia ini, dari gelapnya malam, ALlah telah menukar pula kepada siang. Dari gelap kepada terang, dan itu juga perumpamaan kepada mereka yang mendapat hidayah dengan mereka yang lemas di dalam kesesatan dan zalim kepada diri sendiri. Terik sang mentari semakin terasa di ubun kepala, mungkin agaknya sudah hampir kita kepada penantian menunggu matahari di padang mahsyar. ALlahu ALlah.. terima kasih kerana masih sudi memberi peringatan kepada diri ini.

Wahai diri...

Seorang hamba ALlah telah bertanya, apa yang engkau mahu? dan tentunya engkau akan berceloteh panjang memberitahu apa yang diingini:

1. Rumah
2. Kaya
3. Kereta yang besar
4. Jam tangan yang cantik, perhiasan diri yang lengkap, baju yang mahal, berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan, dan lagi... alangkah banyaknya kehendakmu yang tidak terbatas..

lalu soalan itu ditanya berulang kali. Akhirnya lama-kelamaan kita akan terdiam pula kerana ketidak tahuan apa sebenarnya yang kita ingini apabila semuanya sudah dipenuhi. Tentu selepas itu dirimu akan terasa kosong pula. Padahal wahai diri, engkau sebenarnya memerlukan cahaya iman yang selama ini selalu ada pasang dan surutnya.

Dan hamba ALlah itu bertanya lagi.. siapa diri engkau sebenarnya? Wahai diri, engkau hanyalah hamba ALlah yang hina, dan sepatutnya engkau tahu apa yang perlu dibuat oleh hamba yang hina yang menyembah kepada Tuhannya.

Wahai Diri..

Tentu engkau tidak lagi tahu sampai bila waktu akan diberikan kepadamu, masa yang sudah berlalu itulah sebenarnya umurmu, dan masa yang akan datang bukan milikmu dan engkau tidak tahu samada masih diberi waktu untuk menikmatinya. Tidakkah engkau ingin menjadikan hidup ini sesuatu yang bermakna dan memberi manfaat untuk akhiratmu?

Lihatlah tumbuh-tumbuhan, haiwan yang kecil dan besar, mungkin kicauan burung itu sedang bertasbih riang, daun-daun bergeseran memuji ALlah dan setiap satunya makhluk ALlah yang disangkakan bisu rupanya sedang memuji-muji ALlah, tetapi mengapa engkau jarang bertasbih dan memujiNya?..

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ ٱلسَّبۡعُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيہِنَّ‌ۚ وَإِن مِّن شَىۡءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمۡدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفۡقَهُونَ تَسۡبِيحَهُمۡ‌ۗ إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورً۬ا (٤٤)

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Surah al Isra' : ayat 44)

Khamis, 12 Mac 2009

Lama Tidak Menulis..


Assalamu'alaikum warahmatuLlahi wa barokatuh..

Lama saya tidak menulis di dalam blog ini. Cuti Maulid Nabi yang lepas saya ke Kelantan di rumah mertua, al maklumlah memenuhi harapan isteri dan beliau pun teringin sangat nak makan masakan di sana.

Di Johor bolehlah bercakap dalam bahasa Johor, tetapi jika di Kelantan paling kurang kena tahu juga loghat, meladeni adat dan tatacara budaya ore Kelate untuk beramah mesra dengan orang-orang tua dan juga keluarga sebelah isteri.

Begitulah, walaupun sambutan maulid nabi di Kelantan tidak seperti di Johor yang dibuat secara besar-besaran di setiap masjid dan surau pada kebiasaannya. Kami tetap juga menyambutnya dengan bacaan selawat selepas bacaan doa dan tahlil.

Sejak akhir-akhir ini, selalu juga diri ini teringatkan tentang kematian... umur yang sudah berlalu pergi, apa yang diisikan di dalamnya, apa kisahnya tentang amal jariah. Wahai diri.. dunia ini adalah tempat yang persinggahan sementara menunggu alam yang kekal. Apa bekalan untuk singgah di alam kubur sementara menunggu alam akhirat..

Minggu sudah saya menceritakan kepada anak murid tentang hari kiamat yang semakin hampir. Ada yang mengalirkan air mata- mungkin kerana tersentuh dengan penjelasan keadaan manusia di akhirat kelak, timbangan amalan, titian sirat, nikmat syurga dan azab neraka. Syurga hanya untuk mereka yang terpilih iaitu yang beriman kepada ALlah dan mengikut apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarangNya. Mengenai syurga saya tidak memanjangkan sangat penjelasan mengenainya tetapi azab di neraka saya bentangkan supaya timbul rasa insaf pada diri ini dan anak murid. Apa agaknya rasa diri kita apabila disebut tentang kenikmatan di syurga dan pedihnya menghuni neraka...

Saya menyelitkan nasihat kepada mereka tentang pentingnya beriman kepada ALlah - apatah lagi di akhir-akhir perkataan beriman itu sendiri tidak difahami dan dihayati. Bertudung rambut dikata sudah menutup aurat, asal akhlak baik - aurat tidak ditutup pun tidak mengapa dan pelbagai alasan lagi. Saya tidak terkejut apabila ada anak murid yang tidak menutup aurat di luar rumah kerana ada ibu dan ayah mengajar supaya anak-anaknya tidak perlu menutup aurat. Di akhir kehidupan nanti, walaupun tidak mahu menutup aurat, diri kita semua akan ditutup dengan lebih rapi (cumanya bagaimana kita mati, hanya ALlah sahaja yang menentukan) untuk menghadap ALlah yang Maha Esa.

Salam Maulidul Rasul kepada semua umat Islam... Semoga selawat, sirah rasul dapat kita hayati bukan untuk masa tertentu sahaja tetapi dihayati di dalam segenap kehidupan kita.