Sabtu, 29 Ogos 2009

Aktifkan Pengisian Kerohanian di Sekolah

Ada seorang pelajar bertanya saya apakah kegiatan atau program kerohanian di sekolahnya yang boleh ditambah ?. Jadi saya berkongsi jawapan dan cadangan bersama tuan-tuan semua :

Antara kegiatan kerohanian di sekolah cadangan saya :

1. Mengadakan pertandingan seperti menulis cerpen islami, kuiz islami - tanya lah soalan-soalan berkenaan rukun Islam, sirah, ibadah, tokoh-tokoh Islam etc. Tapi pastikan jawapan pada persoalan tersebut diambil dari mazhab Syafie ya. Mungkin boleh dibincangkan dengan guru penasihat :) Begitu juga dengan pertandingan sajak, nasyid, azan.

2. Boleh juga mengadakan Bulan Membaca Sirah. Tiap minggu Hari Isnin contohnya waktu rehat tuh, adakan bacaan sirah sikit yang boleh didengari oleh semua pelajar Islam tentang sirah RasuluLlah, Rasul dan Nabi yang lain serta para sahabat.

3. Tayangan video pun boleh jugakkan? Sambil buat tayangan tu ambil kutipan sikit untuk persatuan tu :)

4. Edarkan phamplet atau risalah-risalah nasihat Islam.

5. Program lawatan sambil belajar - di Muzium Kesenian Islam, lawatan ke masjid-masjid.

6. Program membersihkan kubur, program lawatan ke rumah anak yatim, program lawatan ke rumah orang tua dan program lawatan lain yang dapat memberi nilai tambah kepada amal jariah.

7. Setiap persatuan ada boardnya sendiri. Bolehlah sampaikan informasi mengenai isu semasa umat Islam sedunia. Informasi Sains Islam. Cuba lihat di http://harunyahya.com

8. Buat penanda buku yang ada kata-kata hikmah.

9. Bacaan Yasin mingguan pun boleh juga, atau adakan majlis zikir munajat beramai-ramai dan solat hajat.

Insya ALlah, banyak lagi sebenarnya kegiatan bermanfaat yang dapat dilakukan untuk memeriahkan syiar Islam di sekolah.

Khamis, 27 Ogos 2009

2 Permohonan Maaf

Kepada sahabat saya, manalah tahu umur yang ALlah beri ini tidak panjang ingin memohon maaf. Sekiranya ada janji yang tidak dapat ditepati.

Kepada saudaraku Bro Shahril Talib yang bagi saya adalah ahli dalam perbandingan agama, mohon maaf sekiranya artikel yang tuan inginkan tak dapat lagi saya beri. Sibuk benar diri ini mengemaskinikan blog JomFaham dan berada di Forum lain.

Kepada sahabatku Wan Esye seComradean, saya membaca juga pengurusan menurut Islam dari terbitan YADIM. Amat bagus pengisian buku tersebut. Namun kekangan masa jugalah yang menghambat tangan ini untuk menulis. Saya masih perlukan latihan untuk menulis artikel ilmiyyah yang lebih baik.

Maaf ya sahabat.. maafkan saya..

Khamis, 20 Ogos 2009

Selamat Datang Wahai Bulan Yang Mulia


Cepat benar rasanya masa yang berlalu, pejam celik, sudah berlalu pertukaran siang dan malam. Alangkah bahagianya mereka yang dapat menggunakan masa yang lalu diisikan dengan perkara yang dapat memberi manfaat padanya di akhirat kelak. Entah, berapa ramai mengingati detik waktu apabila hari-hari dilaluinya hanya memberi kerugian dan penyesalan..

Ramadhan datang lagi.. di dalamnya membawa kepada pengampunan ALlah, di dalamnya al Quran diturunkan, di dalamnya ada malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

رمضان إلى رمضان، والجمعة إلى الجمعة، والصلاة إلى الصلاة، مكفرات لما بينهن إذا اجتنبت الكبائر

Ertinya: Bulan Ramadhan satu ke bulan ke bulan Ramadhan berikutnya, Jum’at satu ke Jum’at berikutnya, dan satu shalat ke shalat berikutnya menjadi penebus dosa di antara keduanya, selama dijauhi segala dosa besar
. (Hadits riwayat: Imam Ahmad, Muslim dan al-Baihaqi)

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda mengenai bulan Ramadhan:

هو شهر الصبر، والصبر ثوابه الجنة

Ertinya: Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran, dan balasan kesabaran adalah syurga.
(Hadits riwayat: Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi)

Sabda Baginda صلى الله عليه وآله وسلم lagi:

أوله رحمة، وأوسطه مغفرة، وآخره عتق من النار، وأن الله تعالى ينظر في أول ليلة منه إلى المسلمين، ومن نظر إليه لم يعذبه، ويغفر لهم في آخر ليلة منه

Ertinya: Awalnya (bulan Ramadhan) adalah rahmat, pertengahnya adalah ampunan, dan akhirnya adalah pembebasan. Dan sesungguhnya Allah Ta’ala menilik (dengan pandangan rahmatNya) kaum Muslimin pada malam pertama dari bulan Ramadhan tersebut, dan siapa yang mendapat tilikan Allah Ta’ala nescaya ia tidak akan disiksaNya, selanjutnya Dia mengampuni mereka pada akhir malam dari bulan Ramadhan.
(Hadits riwayat: Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi)

Jibril عليه السلام berkata kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

من أدرك رمضان فلم يغفر له أبعده الله ، قل : آمين ، قال رسول الله عليه وآله وسلم : آمين

Ertinya: Barangsiapa yang menemui bulan Ramadhan sedang ia tidak diampuni Allah Ta’ala nescaya ia akan dijauhkan dari rahmat Allah. Katakanlah Amin!’ Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkata: ‘Amin.
(Hadits riwayat: Ibnu Hibban, ath-Thabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

من صام رمضان وقامه إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Ertinya: Barangsiapa berpuasa Ramadahan dan mendirikan (berjaga) malamnya dengan penuh iman dan ihtisab, nescaya diampuni segala dosanya yang telah lalu.
(Hadits riwayat: al-Bukhari, Muslim dan yang lainnya)


[Petikan dari kitab Mukhtasor an-Nashoih ad-Diniyyah wa al-Washoya al-Imaniyyah – Ringkasan Kitab Wasiat Nasihat Agama dan Wasiat Iman al-Abdullah al-Haddad. Ringkasan oleh Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki]- dirujuk dari Al-Fanshuri

Pastinya hamba-hamba ALlah itu amat mengharapkan agar dapat melalui bulan ini dengan sebaik-baiknya. Tentulah di malam-malamnya diterangi dengan bacaan al Quran, tasbih dan zikir. Alangkah indahnya Ramadhan apabila hamba-hambaNya bersama-sama mengejar dan berlumba-lumba membuat kebajikan. Lidah-lidah dijaga, perbuatan pula diperhati agar tidaklah puasa hanya memberi lapar dan dahaga sahaja. Telinga-telinga dipelihara dari mendengar segala umpat dan maki, dari mendengar perkataan yang sia-sia dan memusnahkan amalan puasa.

Ramadhan datang lagi, menjadi madrasah tarbiyah dalam mendidik hati. Sabar dalam menjinakkan nafsu yang selama ini jarang benar dapat dikekang. Menahan diri dari perkara yang diharamkan.

Selamat datang wahai Ramadhan yang diberkati, selamat datang wahai Bulan Ramadhan yang dimuliakan.. Ya ALlah, jadikan kami, antara hambaMu yang tergolong di dalam kelompok yang mendapar redhaMu di bulan ini. Jadikan kami antara hambaMu yang dapat mengisikan Ramadhan ini dengan cahaya pada hati dan berlanjutan sehingga putus nafas ini... Aminn Ya Robb..

Jumaat, 14 Ogos 2009

Untukmu wahai isteri

Segala pujian bagi ALlah telah memberikan anugerah iaitu seorang isteri. Yang memberikan perasaan tenteram dan nyaman di dalam hati.

Isteri - panggilan ini untuk dirimu wahai isteri. Bermulanya dari ikatan sah yang menghancurlumat keinginan syaitan iblis yang ingin membawa engkau dan dia ke kancah penzinaan yang dimurkai ALlah.

Isteri - dialah yang membantu dalam urusan rumahtangga. Yang mengemas rumah, membasuh pakaian. Bukankah dia tempat engkau meluahkan perasaan apabila runsing. Bila engkau dalam keadaan ammarah - dia mendiamkan diri menelan bulat apa yang ditegur. Dan apabila suasana kembali aman, dia tetap tersenyum dan berkata dengan baik denganmu.

Isteri - dia mengingatkan pabila engkau terlupa. Sesekali engkau bosan mendengar bebelannya, tetapi itu untuk kebaikanmu jua. Sebab tidak semua perkara engkau akan ingat segalanya.

Isteri - dia wasilah yang menyambung zuriatmu. Membawa dalam rahimnya seorang anak dengan penuh sabar dan tabah walaupun payah. Bertarung dengan nyawa untuk melahirkan penyejuk mata, lalu engkau menyambutnya sebagai seorang ayah.

Isteri - dia tetap juga meneruskan tugasnya sebagai seorang isteri setiap hari. Air tangannya yang ikhlas, menjamukan lauk pauk dan duduk bersama-sama untuk si suami.

Isteri - bukankah dia yang selalu risau tentang dirimu? Pasti ditanya khabar di mana engkau berada. Lalu apabila khabarnya dibalas dengan jawapan yang menyenangkan hati. Dia tersenyum lega.

Isteri - sabarlah menerima teman yang menjadi suamimu yang tidak lepas dari kekhilafan. Yang berusaha menjadi suami yang baik untukmu.

Terima kasih wahai yang bernama isteri. Moga syurgalah tempat tinggalmu nanti..

Khamis, 13 Ogos 2009

Al Fatihah Untukmu Ustaz asri

Saya dibesarkan dengan lagu-lagu nasyid seperti album Kehidupan terbitan al Arqam. Di dalamnya mengandungi nasyid berunsurkan keTuhanan, mengenal sifat-sifat ALlah. Oleh kerana di rumah masih tiada radio waktu itu, kami menumpang dengar lagu nasyid di rumah pakcik sambil menopang dagu menghayati bait-bait lirik yang disampaikan oleh kumpulan nasyid tersebut. Sesekali terbit juga air mata apabila mendengar lagu dialog antara abang dan adik mengenai ayah yang berada di medan juang. Sesekali terasa gerun mendengar dialog mengenai sakaratul maut sehingga sukar hendak tidur malam kerana teringat benar tentang kematian.

Setelah lama kumpulan NadaMurni tidak muncul, pada tahun 1996-2000 muncul pula kumpulan nasyid yang baharu dari 'pecahan' kumpulan NadaMurni seperti Hijjaz dan Rabbani. Antara lagu yang menggamit hati seperti Munajat (rakaman semula), Anak Soleh, Pergi Tak Kembali dan sebagainya.

Ketika belajar di Kolej Islam Johor, banyak lagu nasyid lama 'digali' semula. Di bawah kumpulan As Syakirin dan Darul Takzim, kami mendendangkan lagu Nada Murni seperti Keharmonian Aidilfitri, terhimbau pula alunan suara Ustaz Asri yang ketika itu memegang vokal utama kumpulan tersebut membawakan lagu Marilah Berkasih Sayang. Banyaklah pembaharuan yang telah dibawa oleh Ustaz Asri di dalam arena nasyid bertujuan untuk menarik remaja masakini agar mendekati ALlah.

Hari ini, saya dikejutkan berita tentang Ustaz Asri telah meninggal dunia. Inna liLlahi wa inna ilaihi roji'unn..

Ya ALlah, pahala bacaan Surah al Fatihah ini kuberikan kepada Ustaz Asri. Tempatkanlah beliau di kalangan hambaMu yang soleh, yang diberi rahmat dan berbahagia pula di sana. Al Fatihah.

Kami akan menyusul pula nantinya..


Sabtu, 8 Ogos 2009

Mungkin Dia Sebenarnya Temanmu


Kawan, sahabat, rakan, geng, saing, teman, dan bermacam istilah diberikan untuk orang yang boleh berkongsi jiwa dan rasa. Begitu jugalah yang dapat memberikan 'sesuatu' pada diri sendiri. Samada berbentuk input rohani, jasmani, atau juga input buah fikiran.

Kawan amat kuat pengaruhnya pada diri individu. Tambahan pula yang baharu hendak kenal dunia, yang baharu hendak bertatih dalam alam yang selama ini 'asing' bagi dirinya. Dan begitulah siapa sahaja yang berada di sekeliling berpotensi untuk menjadi seorang kawan. Samada beliau boleh diharap atau diri sendiri yang tinggal berharap.

Cuba tanya sendiri - dalam beberapa waktu ini, masih ada atau tidak hubungan hati dengan mereka yang dipanggil kawan, teman, sahabat dan yang sewaktu dengannya itu? Atau sebenarnya perlahan-lahan ingatan terhadap mereka semakin menghilang di telan waktu? Dan jangan terkejut terkadang tiba-tiba menerima sms dari kawan yang dahulu tidak kunjung berita. Cuma kali ini tujuan menyapa adalah untuk membawa 'bisnes punya cerita'. - Sekiranya ini pernah menimpa juga - sabarkanlah dulu jiwa. Semoga ALlah menenangkan hati kita setenang-tenangnya dengan kawan seperti ini.

Untuk mencari kawan memang mudah (ini bagi yang peramah), atau sukar (bagi yang masih 'berat mulut', mungkin juga malu kerana jarang berhubungan dengan manusia) adalah dari diri sendiri juga datangnya. Malahan tentu guru di sekolah pernah berceloteh panjang bercerita tentang bagaimana cara mencari seorang kawan atau teman. Atau ibu dan ayah pernah menasihati 'cari kawan yang macam nih', jangan berkawan dengan orang yang macam itu'. Selagi nasihat dijadikan bekalan insya ALlah selamatlah diri dalam menyelusuri kehidupan. Tetapi jika perkataan yang baik itu hanya lepas di pelipis telinga, takut bahaya sedang menanti di hadapan sana.

RasuluLLah pernah bersabda yang bererti :
"Seseorang itu akan mengikuti agama sahabatnya, oleh kerana itu, setiap orang dari kamu sekalian hendaknya memperhatikan siapa yang ia jadikan sebagai teman
(Hadith riwayat At Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad)

Teman yang berbau wangi atau berbau besi

Telah disebutkan oleh Habib AbduLlah bin Alwi al Haddad :

Sabdaan RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam yang bererti :

"Permisalan teman duduk yang baik adalah seperti penjual haruman misk (wangian yang paling mahal dan harum). Boleh jadi dia memberimu, atau engkau membeli wangiannya atau engkau mencium keharuman wangiannya. Sedangkan misalan teman duduk yang buruk adalah seperti tukang besi. Boleh jadi dia membakar pakaianmu, atau engkau akan mencium aroma busuk darinya "
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dengan matan sedikit berbeza)
Barangsiapa yang ingin mengetahui bagaimana pengaruh pergaulan dengan temannya tersebut apakah ia dapat menguatkan iman, kesedaran beragama dan amalnya, ataupun sebaliknya. Maka hendaklah bandingkan keadaannya setelah bergaul dengan orang itu dengan keadaan sebelum ia bergaul dengannya.

Jika setelah bergaul dengannya ternyata sendi iman, akhlak, niat-niat baik untuk beramal semakin kuat dan kukuh. Sedangkan keburukan dan kejahatannya semakin kecil, maka pergaulan dan persahabatannya itu bermanfaat bagi agama dan hatinya. Jika pergaulan itu diteruskan, maka Insya aLlah ia akan memperolehi manfaat yang sangat besar dan kebaikan yang sangat banyak.

Jika setelah bergaul dengannya ternyata sendi-sendi keagamaannya menjadi semakin lemah dan menurun, sedangkan kejahatan dan keburukannya semakin banyak. Maka pergaulan tersebut telah membahayakan agama dan hatinya secara nyata. Sekiranya pergaulan tersebut dilanjutkan, maka akan membawa keburukan dan bahaya besar baginya. Semoga ALlah melindungi kita darinya.

Timbanglah semua pergaulan dengan apa yang telah kami sebutkan di atas. Dan perlu diketahui, ketentuan di atas berlaku sesuai dengan mana yang lebih kuat.

Ertinya, selama kebaikan lebih kuat, maka diharapkan pergaulan tersebut mampu menarik orang-orang jahat untuk menjadi baik. Dan selama keburukan lebih kuat, maka dikhuatiri orang baik yang bergaul dengan penderhaka tersebut akan mengikutinya dan menjadi buruk.

Permasalahan ini sangat pelik, orang-orang yang memiliki mata hati yang jernih akan memahaminya. Diperlukan waktu yang banyak untuk membahaskannya secara terperinci.
Habib AbduLLah bin Alwi al Haddad, Al Fushulul Ilmiyyah Wal Ushulul Hikamiyyah, Darul Hawi, cet 2, 1998, hal 106.

Tunggulah juga, di waktu dalam kesusahan, di waktu datangnya ujian, di waktu datang kesedihan. Akan dikenal siapa kawan dan siapa lawan. Biarpun mungkin satu hari nanti bila terjadi 'kekecohan' dengan kawan. Berikan sedikit ruang di dalam hati untuk memaafkan. Masa terlalu sempit untuk berlama-lama dalam bermusuhan.