Ahad, 31 Julai 2011

Peniaga 'Ramadhan'


Bila tiba bulan Ramadhan, kita tidak perlu hairan khemah-khemah bakal berceracakan di sana sini. Mereka yang tidak pernah berniaga, sudah lama berniaga, berniaga hanya pada Bulan Ramadhan akan mencuba nasib untuk mencari rezeki.

Dari hujung hingga ke hujung, sebermula menempah tapak jualan ada yang pandai juga bermain politik untuk mendapatkan tempat yang strategik.

Bermulalah 1 Ramadhan hingga Ramadhan terakhir. Sang peniaga akan berteriakan untuk melariskan perniagaannya. Dengan apa jua cara agar dapat untung walau sedikit cuma. Kita harus memuji serta menyokong pada peniaga yang benar-benar jujur dan ikhlas dalam berniaga. Jika darihal menjual makanan biasanya mereka :

1. akan menjual makanan yang benar-benar berkualiti.
2. sanggup mengembalikan wang kepada pembeli sekiranya makanan yang dijualnya itu basi atau masam airnya
3. tidak menipu dalam timbangan sukat atau kuantiti kuih yang dijual
4. mempunyai sifat ehsan, sanggup berlebih kurang dengan pembeli

Manakala peniaga yang tidak jujur :

1. asal boleh dibuat duit semuanya dijual walaupun tidak pernah dibuat makanan tersebut. Katanya baharu sahaja mencuba ?
2. ais lebih banyak dari air.
3. makanan. kuih muih yang dikitar semula untuk santapan umat Islam
4. katanya diskaun sedangkan harganya tetap sama apabila dicampur tolak dengan 'diskaun' yang diberi

Kita juga (mungkin) peniaga 'Ramadhan' ?

Saban tahun kita singgah di madrasah ini adakah masih berkira-kira untuk melakukan amal ibadah ? Adakah kita mengajar diri kita berpuasa semata-mata untuk imbuhan dan bukannya kerana ikhlas dan merebut redhaNya ?

Cuba tanyakan diri... kita gembira menyambut Ramadhan atau gembira kerana akan menyambut Aidilfitri semata-mata ?

Cubalah ajak muhasabah diri (ingatan untuk diri) - pakaianmu yang berganti saban tahun sudah penuh di almari. Tiadakah rasa diri untuk memberi sedekah kepada orang lain ?

Makananmu yang memenuhi perut ketika berbuka - adakah ia sebagai mengalas perut agar memberi tenaga dan dapat beribadah. Ataupun sehingga sulit untuk beribadah kepadaNya ?

Ya Allah.. ampunkanlah dosaku..

Jumaat, 8 Julai 2011

Nikmat Allah Amat Luas Untuk Mengatakan 'Bosan'

Acapkali juga kedengaran keluhan atau perkataaan "bosan", 'boring' dan yang sewaktu dengannya. Biasanya keluhan ini datang apabila diri tidak tahu nak berbuat sesuatu yang bermanfaat, tidak tahu kerja apa yang hendak dibuat, tiada aktiviti yang menarik dan sebagainya.

Yang lebih parah lagi apabila timbul dalam fikiran 'Aku sudah bosan dengan hidup!'

Aktifkan Akal Yang Positif

Allah menganugerahkan akal kepada manusia untuk berfikir dan digunakan dengan cara yang betul dan baik. Kurangnya penggunaan akal yang positif untuk berfikir mempengaruhi tubuh badan untuk bertindak pasif dan negatif.

Seharusnya kekuatan akal yang diberi dapat digunakan untuk mengatur kehidupan dengan lebih sistematik dan terancang. Biasanya mereka yang berfikiran positif mempunyai pelbagai perancangan dan alternatif bagi merancakkan suasana kehidupan agar hilang perkataan bosan dalam fikiran. Dan perkataan bosan biasanya tiada pada individu yang bijak mengatur jadual kehidupannya.

Antara Cadangan Menghilangkan Perasaan Bosan

1. Sedarlah bahawa jangkamasa kita hidup amatlah terhad

- usahakan untuk banyakkan memberi kepada orang lain dengan cara yang baik dan tujuan yang baik.
- cara pemberian itu bergantung kepada kebolehan. Setiap orang pastinya punya kelebihan/kepandaian masing-masing

2. Carilah hobi yang baharu

- Jika kita duduk mendiamkan diri sahaja atau rutin yang sama dilakukan. Apa kata cari hobi yang baharu yang tidak membosankan ? Berkebun, melukis, menulis, melancong melihat peninggalan sejarah para Nabi dan Rasul ?

3. Kita bosan disebabkan persekitaran ?

- Jika ia disebabkan oleh persekitaran. Ubah susun atur di rumah seperti perabot, pinggan mangkuk. Mewarnakan dinding rumah dengan warna yang ceria dan lembut, menggantungkan gambar-gambar pemandangan atau kata-kata motivasi agar kita mata dan minda segar melihatnya.