Isnin, 30 Jun 2008

Mengapa Perlu Berkahwin?

1. Aku tidak mahu berkahwin!, Aku bosan dengan orang lelaki yang berhidung belang! Lelaki sekarang hanya mahu kepuasan nafsu sahaja tapi tidak reti untuk membimbing! Nak jadi imam pun tak tahu.. Solat jauh sekali!!

2. Buat ape aku perlu berkahwin? aku dah ada kerjaya sendiri. Hidup aku lebih aman damai, tak perlu ribut tentang anak-anak. Aku enjoy dengan kehidupan sekarang nih.

3. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia, nanti banyak sangat komitmen..

4. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?.. Berkahwin bukan untuk bercerai..

*****

Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup akibat dari latarbelakang keluarga yang tidak harmoni. Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau memberikan komitmen dalam perkahwinan.

Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang bekerjaya profesional, hidup mewah tidak mahu berkahwin. Terutamanya apabila yang sudah mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki/perempuan..


Mengapa Perlu Berkahwin ?

Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya mereka yang akan berkahwin, 'bercouple', dan juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin samada takut, risau, serta alasan yang lain. (Kecuali mereka yang mempunyai penyakit yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta. Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat, tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri, mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri/suami).

Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh ALlah. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamnya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Dari Abi Samrah r.a menyatakan :

Nabi melarang daripada hidup membujang. (Riwayat at Tirmidzi dalam kitab perkahwinan, bab meninggalkan perkahwinan).

Saad bin Abi Waqqas r.a berkata : "RasuluLLah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un untuk hidup membujang. Kalaulah RasuluLlah membenarkannya nescaya kami akan mengembiri. (Riwayat Muslim dlam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).


Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan yang dimurkai ALLah. Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka tidak dapat membendung keinginan serta menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan wanita. Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir yang tidak elok. Akhirnya ada yang telah menghampiri kepada zina serta menjerumuskan diri di dalamnya. Anak-anak luar nikah dikandungnya, ada yang dibunuh, dibuang, dan juga dibela.

Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela anak angkat. Sayangnya di dalam Islam, anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya. Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.

Perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang soleh dan berkualiti

Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti : "Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dalam sunannya : KItab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)

Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya.

Jiwa tenang dengan jalan pernikahan

Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman ALLah ta'ala yang bererti :

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir". (Ar Rum :21)

Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan fikiran dan hatinya tidak berasa tenang, tiada teman untuk dikongsi masalah? Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki dan wanita melalui jalan perkahwinan? Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran, perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa kepada perasaan malu dan pesimis.

Perkahwinan meluaskan persaudaraaan dan membina prinsip kerjasama.

Sebelum perkahwinan - kita akan fikir untuk hidup buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan kematangan dalam pengurusan hidup. Solat bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga berseorangan.

Sebelum berkahwin - tidak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.

Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.

Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.

Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui". (An Nur : 32)

Isnin, 23 Jun 2008

Selamat Datang Ke Menara Gading



AlhamduliLLah, ramai rakan saya (termasuk adik sendiri) akan melangkah ke menara gading untuk meneruskan pengajian.

Menara gading adalah gedung ilmu yang di dalamnya tempat untuk menimba pengetahuan sebanyak mungkin secara formal ataupun tidak formal. Di sinilah tempat pertemuan mereka yang ingin memajukan diri, mengeluarkan diri dari daerah kejahilan, kemiskinan dan sebagainya. Begitulah, setiap orang yang menghadirinya mempunyai niat dan matlamat masing-masing.

Pesan abang kepada adik :

Carilah ilmu dengan tujuan kerana ALLah. Moga keluarnya engkau di gedung ilmu nanti dapat memberi manfaat pula kepada manusia yang memerlukan. Maklumlah, di sana engkau akan dapat merasai jua apa yang dikatakan ujian dengan sekeliling, kejutan budaya dan pelbagai lagi mehnah dengan pelajaran, kawan, pensyarah dan sebagainya. Kudoakan ilmu menjadikan engkau semakin berakhlaq dan merendah diri serta membentuk dirimu menjadi manusia yang berkualiti.

Carilah kawan yang dapat memberikan manfaat kepadamu, kawan yang baik akan bersama-sama di kala susah dan senang. Kawan yang baik adalah bercakap benar kepadamu, bukan hanya membenarkan apa sahaja yang engkau cakapkan (sekalipun salah). Kawan yang baik, ia berusaha memberikan contoh tauladan, dan petunjuk di sepanjang jalan.

Di pusat ilmu, jangan lupa untuk menyertai persatuan, pertubuhan yang boleh memberikan input kemahiran, cara berkomunikasi, pergaulan yang sihat di antara dirimu dan rakan-rakan yang lain. Ingatlah, hidup ini bukan untuk diri kita sahaja, atau untuk hari ini semata-mata. Fikirkan juga tentang masa hadapan seusai engkau melangkah keluar mendapatkan segulung ijazah dan akhirnya yang membawa kepada lapangan hidup yang lebih luas. Kita semua perlu menanam benih dan dibajai untuk dituai di akhirat sana pula..

Jika engkau teringin membuat perkara yang negatif dan merosakkan dirimu. Ingatlah berkali-kali bahawa kita ini sentiasa diperhatikan ALlah, dicatit segala amalan. Ingat pulalah ibu dan ayah di kampung halaman. Engkau berdiri di gedung ilmu itu kerana penat lelah yang bernama ibu dan ayah, guru-guru serta mereka yang pernah berjasa kepadamu. Janganlah sampai engkau menghampakan harapan mereka kerana perbuatan yang membinasakan dirimu itu.

Di gedung ilmu, berhati-hatilah pula dengan fahaman yang membuat engkau tersasar. Sudah aku sebutkan di sini banyak fahaman yang akan cuba meracuni fikiran. Janganlah hendaknya engkau keluar sahaja nanti menyebabkan dirimu bersikap kasar. Berani membuat hukum itu dan ini tanpa mempunyai kelayakan. Lalu jadilah engkau seorang yang jahil di dalam disiplin ilmu. Mempunyai ilmu tetapi tidak berakhlaq.

Ingatlah wahai adikku, apabila engkau berada di dalam medan ilmu. Jangan lupa pula apa yang berlaku di sekelilingmu. Berada di gedung ilmu, bukan untuk menjadi 'ulat buku' yang jumud dan beku. Ya!, engkau inginkan pencapaian yang hebat dan cemerlang. Tetapi biarlah berpadanan hubunganmu dengan ALlah dan makhlukNya yang lain.

Dan akhirnya.. Tahniah kuucapkan, selamat berjuang di medan ilmu. Semoga ALlah selalu tetapkan iman buatmu dan akhirnya semoga lahir pemuda pemudi yang menggendong ilmu-ilmu Allah untuk menolong agamaNya.. Aminnn

Jumaat, 20 Jun 2008

Budaya Ilmu Kini - Jahil Dalam Disiplin Ilmu

Soalan yang perlu dijawab :

1. Pernahkah anda melihat ada pelajar yang mengatakan tidak perlu ikut mazhab tetapi ambil sahaja al Quran dan Hadith Sahih? (sedangkan yang berkata ini jahil di dalam ilmu hadith yang berkaitan dengan hadith hasan, hadith hasan sahih, hadith dhoief - bahkan menyamakan hadith dhoief dengan hadith maudhuk)

2. Pernahkah melihat hujjah yang mengatakan ulamak pun ada buat silap, bukan maksum (sedangkan dirinya pun lagi banyaknya salah kerana tidak mempunyai ilmu seperti ulamak yang dikatanya silap dan bukan maksum tersebut) ?.

3. Pernahkah melihat di dalam blog tertentu yang ada novel-novel yang diisikan dengan pengisian cerita yang menukilkan tentang kalam ulamak agar jangan bertaqlid, mazhabku adalah hadith sahih (sedangkan kalam ulamak mujtahid ini ada disyarahkan dan ditujukan kepada golongan tertentu iaitu mereka yang bertaraf mujtahid - mereka yang mampu untuk mengistinbath (mengeluarkan) hukum sahaja).

4. Pernahkah anda melihat atau membaca mereka yang kuat mengatakan amalan-amalan tertentu (yang telah dipersetujui ulamak ia adalah khilaf (perselisihan pendapat antara ulamak mujtahid)) sebagai bid'ah sesat?

*************************************************************************************

Ketahuilah bahawa mereka yang terlibat di atas ada antara mereka adalah mereka yang tidak mahu belajar adab di dalam disiplin ilmu. Gelojoh dan terburu-buru untuk menjadi seorang pakar hukum tanpa menyelidik dan mengkaji pendapat dan hujjah ulamak muktabar yang lain.

Saya teringat kisah imam syafi'e (mujtahid mutlaq pengasas mazhab Syafie) bagaimana beliau sedari kecil belajar mengenai al Quran sehingga dapat menghafaznya pada umurnya 9 tahun. Kemudian belajar hadith dengan cara mendengar dan bertemu sendiri dengan guru-guru hadith, dan beliau mencatatnya di atas tulang, tembikar dan kulit binatang. Bahkan beliau juga mempelajari bahasa Arab yang asli dengan Kabilah Hudzail sehinggalah beliau mahir dalam bidang hadith, hafalan al Quran, bahkan dalam kesusasteraan bahasa Arab yang asli.

Menurut Dr Said Ramadhan al Buthi dalam bukunya - Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syarii'ata Al Islamiyyah mengenai pendidikan Imam Syafie

'Tentang ilmu hadith, beliau belajar kepada Imam Sufyan bin Uyainah, seorang alim besar ahli hadith kota Mekah di masa itu. Adapun tentang ilmu al Quran, beliau belajar kepada Imam Ismail bin Qasthanthin, seorang alim besar ahli Quran di Kota Mekah pada masa itu. Selanjutnya, kepada para ulama lain di masjidil Haram. Beliau belajar berbagai ilmu pengetahuan agama. Ketika berumur 15 tahun, beliau telah menduduki kerusi mufti di Kota Mekah.'

Ketika umurnya 10 tahun, beliau sudah memahami kitab al Muwattha' karangan Imam Malik bin Anas (pengasas mazhab Maliki). Bahkan beliau juga mempertahankan mazhab Maliki.

Dan semasa beliau sudah mempunyai ilmu alat (ilmu asas yang menjadi keperluan untuk mengistinbath hukum) barulah beliau mengemukakan pendapatnya sendiri, serta mengomentari pendapat gurunya (imam Maliki) jika ada yang lemah. Tetapi tidak pula imam Syafie mengatakan ia sebagai bid'ah sesat!. Ini kerana akhlaq yang terbina di dalam diri seorang ulamak yang benar-benar takutkan ALlah untuk menjaga lisan, perilaku dari perbuatan yang tiada hak.

Begitulah - sehingga ramai murid imam syafie yang mengikuti terdiri dari ulamak-ulamak besar, bahkan ada di kalanganya adalah muhaddithin (ulamak hadith), mujtahid tarjih (ulamak yang mampu mengetahui dan menilai mana pendapat yang kuat dan lemah), mujtahid mazhab, mujtahid fatwa seperti Imam Bukhari, Imam Abu Bakar al Humaidi, Imam Ahmad bin Hanbal (pengasas mazhab Hanbali), Imam al Buwaithi, Imam Muhammad bin AbduLLah. Dan ramai lagi - anda boleh menyelusuri sendiri dari kitab Tabaqat Syafi'eyyah karangan al Subki.

SubhanaLLah - mereka ini semuanya belajar dengan disiplin ilmu yang ketat. Mempelajari semuanya dari asas bersama-sama dengan adab sebagai pelajar dan sehinggalah menjadi ulamak yang hebat. Barulah ada antara mereka yang mendirikan mazhab sendiri (setelah menjadi mujtahid mutlaq) dan ada yang terus untuk mengikuti mazhab syafie.

Hakikatnya kini, banyak kecelaruan yang timbul dengan adanya pelajar, golongan profesional yang belajar tanpa ada ilmu asas. Gelojoh hendak mempelajari ilmu yang lebih mendalam. Sehinggalah berani mengeluarkan fatwa dan pendapat sendiri berdasarkan kejahilan dan hawa nafsu sendiri kerana tidak belajar mengikut kaedah yang betul dan disiplin ilmu yang benar. Mereka tidak memikirkan kesan buruk yang timbul kepada orang awam (yang tidak mampu untuk menjadi ulamak mujtahid). Hingga timbullah pecah belah antara umat Islam.

ALlah memerintahkan bukan sahaja dalam urusan kepimpinan, bahkan juga dalam urusan agama untuk memberikan amanah kepada yang berhak dan berkelayakan.

Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa'ayat 58 yang berbunyi : Maksudnya Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".

Daripada Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi s.a.w. di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah s.a.w. meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, bagida bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". (Riwayat al Bukhari)

Berhati-hatilah wahai diri, perhatikan dari mana kamu mengambil urusan agama. Semoga dijauhkan dari pendustaan terhadap Allah dan RasulNya serta melakukan kezaliman terhadap ulamak dan umat Islam.


Sumber Rujukan : Dr Said Ramadhan al Buthi, Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syarii'ata Al Islamiyyah, K.H AbduLlah Zakiy Al-Kaaf,Bahaya Bebas Mazhab Dalam Keagungan Syariat Islam.

Selasa, 17 Jun 2008

Diri - Inilah hakikat dirimu II

Diri - semoga engkau tidak lupa akan dosa yang telah dilakukan untuk bermuhasabah diri. Carilah jalan untuk meningkatkan kualiti hidupmu. Bagaimana hubunganmu dengan ALlah, sesama manusia dan makhluk yang lain ?

"Dan sesungguhnya Kami perintahkan kepada Adam dahulu. Maka dia lupa perintah itu, dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat." (Surah Ta Haa)

Kezaliman apa lagi yang akan engkau lakukan wahai diri? Berat sudah amanah yang dipikul di pundakmu diperintahkan untuk menyampaikan kebenaran, untuk menyebarkan perkara kebaikan. Mungkin.. mungkinlah kerana itu makhluk yang lain tidak mahu menerimanya...

"Sesungguhnya Kami mengemukakan amanat yakni tugas dan tanggungjawab keagamaan, kepada langit, bumi dan gunung-ganang. Maka semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat tersebut oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu adalah amat zalim dan amat bodoh"
(Surah al Ahzab ayat 72)

Mengapa engkau sombong dan bongkak berjalan di muka bumi ALlah? Sedangkan engkau tahu, setiap langkahmu itu diperhitungkan nanti di akhirat. Ingatlah wahai diri, engkau sebenarnya tidak mempunyai apa-apa di alam ini. Jika engkau sudah tahu tujuan dijadikan hanya untuk menyembah Dia, sedarlah bahawa dirimu sebenarnya adalah hamba yang hina.

"Dan demi sesungguhnya jika Kami kurniakan kepada manusia kesenangan sesudah kesusahan menimpanya, nescaya dia berkata. 'Telah hilang kesengsaraan itu daripada diriku.' Sesungguhnya dia sangat gembira lagi sombong."
(Surah Hud ayat 10)




Ahad, 15 Jun 2008

Diri - Inilah hakikat dirimu


Terima kasih ALlah kerana telah selalu memberikan nikmat kepada kami walaupun diri selalu tersasar.

Terima kasih ALlah kerana selalu mengingatkan kami dengan ujian.

Terima kasih ALlah kerana masih lagi memberikan rahmat walaupun sudah berulangkali engkar..

Diri - Inilah hakikat dirimu. Engkau sebenarnya lemah, mudah dipengaruhi dengan suasana dan orang lain. Fahamlah wahai diri, engkau hanya boleh berusaha untuk mengubah. Tetapi yang melaksanakannya adalah ALlah.

Firmah ALlah yang bererti :

ALlah meringankan bagimu peraturan agama, dan manusia itu dijadikan bersifat lemah (surah An Nisa':28)

Ya ALlah, jauhilah kami dari sifat sombong dan bongkak..

Diri - bukankah engkau selalu tergesa-gesa dan terburu-buru dalam membuat sesuatu pekerjaan. Kadang-kadang engkau tidak menyelidik tetapi terus menghukum. Engkau terus menerus menjadi pakar hukum seolah-olah hukuman pemutus itu ditanganmu. Alangkah sukarnya untuk menjadi seorang yang penyabar dan berfikir panjang.

"Dan manusia itu suka memohon kejahatan sebagaimana mereka juga suka memohon kebaikan. Dan manusia itu tergesa-gesa sifatnya" (surah an Nisa' ayat 11)

Diri - bukankah engkau selalu rasa gelisah dan tidak tenteram. Takut benar menghadapi masa hadapan. Goyah benar hati apabila diuji ALlah dengan kesusahan. Terkadang baru hilang kotor sedikit pakaianmu, engkau sudah merasa marah dan memaki hamun. Baru diuji sedikit dengan kehilangan harta, amat susah untuk memejamkan mata...

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bersifat keluh kesah. Apabila dia ditimpa keburukan dia berkeluh kesah. (surah al Ma'arij ayat 19-21)

Diri - mengapa engkau selalu melihat kelemahan dirimu sahaja? Kekurangan itulah yang selalu diperbesar-besarkan. Seolah-olah hadirmu di alam ini hanya membawa sial dan celaka serta tiada keberuntungan. Hinggalah engkau merasakan dirimu tiada gunanya, mudah kecewa dan putus asa. Diri belajarlah bersyukur, tahulah untuk memberi makna di dalam hidup.

"Dan sesungguhnya kalau Kami kurniakan kepada manusia nikmat Kami, kemudian Kami tarik kembali daripadanya, sesungguhnya dia menjadi putus asa dan menjadi kufur."
(Surah Hud ayat 9)

Jumaat, 13 Jun 2008

Al Ahnaf Insan Tauladan

Bukan itu sahaja, malah al-ahnaf juga dianggap sebagai orang Arab yang amat beradab dan adab sopannya ini menjadi suri teladan untuk semua.

Adab sopan yang dimilikinya menyebabkan suatu hari ketika Amru bin al-Ahtam mengupah seseorang untuk melemparkan caci maki kepadanya, al-Ahnaf hanya membisu mendiamkan diri. Apabila lelaki ini melihat tiada sebarang tindak balas daripada al-Ahnaf, malah beliau tidak memperdulikan caciannya, lelaki itu mengetap ibu jarinya sambil berkata: "Alangkah malunya. Keenganannya membalas kata-kata kesat saya tadi amat memalukan saya."

***

Suatu hari ketika al-Ahnaf berjalan bersendirian di pinggir Basrah, seorang lelaki menahannya. Orang ini mencerca, mengaibkannya dan mengeluarkan kata-kata yang kasar. Walau bagaimanapun, al-Ahnaf hanya membisu meneruskan jalannya seperti biasa.

Apabila hampir mendekati orang ramai, al-Ahnaf berkata kepada lelaki tadi:"Anakku, jika masih ada lagi yang belum engkau katakan, katakanlah sekarang kerana jika kaum saya mendengar apa yang engkau katakan itu, mereka akan melakukan sesuatu yang tidak baik kepadamu."

***

Apa yang lebih hebat ialah al-Ahnaf juga seorang yang kuat beribadat, berpuasa, solat malam, seorang yang zuhud dan tidak mengharapkan pemberian orang.

Apabila malam menjelma, beliau akan menyalakan lampunya dan diletakkan berdekatan dengannya sambil beliau mendirikan solat di mihrabnya. Beliau akan mengerang seperti orang yang sakit dan akan menangis seperti orang yang kematian anak kerana mengharapkan belas ALlah supaya dijauhkan daripada azab dan kerana takutkan kermurkaan-Nya.

Setiap kali terlintas di fikirannya dosa yang telah dilakukannya atau suatu kesalahan yang pernah dilakukannya, beliau akan mendekatkan jari ke api pelitanya. Beliau akan berkata :"Rasakan wahai Ahnaf, kenapa engkau lakukan perkara itu pada hari itu. Celakalah engkau wahai Ahnaf. Jika engkau tidak mampu menahan api pelita ini dan tidak dapat menahan kepanasannya, bagaimana mungkin engkau akan dapat menahan kepanasan api neraka dan mampu menahan seksaannya?!"

"Ya ALLah, jika Engkau ampuni aku, itu sememangnya hak-Mu dan jika Engkau mengazab aku, aku sememangnya layak menerimanya."

***

Semoga ALlah meredhai al-Ahnaf bin Qais. Tokoh agung dalam sejarah dan contoh unggul buat umat manusia.




Selasa, 10 Jun 2008

ALlah berdiri dengan sendirinya (Qiyamuhu Ta'ala bi nafsihi)


ALlah ta'ala Maha Hebat, Maha Berkuasa. ALlah ta'ala tidak berkehendak (tidak memerlukan) kepada zat yang lain.

ALlah tidak memerlukan kepada apapun. Hanya makhlukNya (yang bersifat baharu) memerlukan kepada ALlah.

Dalil Aqli :

Jika ALlah tidak berdiri dengan sendirinya, tentulah Ia memerlukan zat yang lain. Maka ia adalah mustahil bagi ALlah. Jika ALlah memerlukan kepada yang menjadikanNya, ini membawa erti ALlah adalah baharu. Tentulah ia tidak dapat diterima oleh akal. Maha Suci ALlah daripada perkara tersebut.

Dalil Naqli :

Firman ALlah :

وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِىُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُ

Ertinya : ALlah Maha Kaya (tidak berhajat kepada yang lain) dan kamu faqir. (Surah Muhammad : 38)

dan Firman ALlah lagi :

إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِىٌّ عَنِ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٦)


Ertinya : Sesungguhnya ALlah Maha Kaya (tidak berhajat apa-apa pun) daripada sekalian alam. (Surah al Ankabut: 6)

Ahad, 8 Jun 2008

Penggunaan Kalimah ALlah Bukan Isu Remeh

Sambungan dari link :

http://jarumemas.blogspot.com/2008/05/mereka-hendak-gunakan-nama-allah.html

Bukan logik sahaja yang kita lihat darihal penggunaan kalimah ALlah oleh paderi. Tetapi kesan kepada orang awam. Dr MAZA bercakap seolah-olah kepada orang yang mempunyai ilmu agama yang mendalam. Manakala realitinya yang dilihat di luar sana. Ramai yang tidak kenal pun ilmu Tauhid. Sedangkan usaha untuk mengajar kenal ALlah pun tidak banyak dilakukan. Sehinggakan yang bersolat pun berapa ramai yang culas?

Sepanjang yang saya ikuti program kem motivasi remaja dari Felda, JKR, YBJB, sekolah-sekolah - ramai yang tidak solat, dan saya pernah memberitahu mereka tentang persoalan yang selalu ditanya oleh orang Kristian untuk mengelirukan umat Islam. Dan mereka ternganga terpinga-pinga. Bercakap sahaja dengan teori di atas kertas tidaklah sama dengan orang yang turun ke padang dan melihat keadaan sebenar umat Islam. Turunlah paling kurang berjumpa dengan mereka yang tidak kenal tikar sembahyang, yang berumur 12 tahun sudah menghisap rokok dan ganja, bahkan menonton video lucah. Tanyakan mereka tentang injil dan bible apa bezanya. Berikan soalan pada mereka tentang petikan ini -

Allah berfirman:

"Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk
menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup
lembut untuk memberikan kenyamanan "

"Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu
melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak- anaknya "

"Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar
ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh "

"Aku memberinya kepekaan setiap keadaan, bahkan ketika anaknya
bersikap sangat menyakiti hatinya "

"Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam
kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya "

"Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahwa
seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu"

"Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan
dan ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bilapun ia perlukan."
"Kau tahu;kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian
yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya."

"Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya,
kerana itulah pintu hatinya.. Tempat dimana cinta itu ada."

Kirimkan ini kepada setiap wanita yang anda kenal hari ini
untuk memperingati. .


Adakah petikan di atas dari Al Quran atau dari Bible? Dari ALlah ataupun rekaan dari Kristian yang selalu kita ambil?


Penggunaan kalimah ALlah tidak boleh dilihat sekadar kalimah sahaja. Ingatlah gerakan besar-besaran Kristian sedang berlaku merata-rata dari pedalaman orang Asli yang memeluk Islam sehinggalah ke negara yang teramai umat Islam di dunia iaitu di Indonesia.

Sahabat semua boleh rujuk di laman web perbincangan Indonesia sendiri apa sebenarnya yang berlaku jika benarlah ISU KALIMAH ALLAH ADALAH ISU REMEH. LIHAT DI SINI :
http://forum.swaramuslim.net/forum.php?id=F24_0

*Nasihat saya - baca dahulu keseluruhan di dalam laman Indonesia ini.

Dan ini yang terakhir :

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani “tidak akan pernah” ridha (membiarkan engkau bebas bergerak menjalankan aqidah dan rutinitas agamamu) sampai engkau mengikuti ‘millah’ mereka” [QS. Al-Baqarah [2]: 121]

Pada tahun 1930, seorang missionaris, Samuel Zwemer pada Konferensi Misionaris di Kota Yerussalem menyatakan: “Misi kolonialisme dan misionaris terhadap Islam bukanlah menghancurkan kaum Muslimin. Namun mengeluarkan seorang Muslim dari Islam, agar dia menjadi orang Muslim yang tidak berakhlak. Dengan begitu akan membuka pintu bagi kemenangan imperialis di negeri-negeri Islam.”

sumber :http://forum.swaramuslim.net/threads.php?id=4333_0_24_0_C

Remehkah isu penggunaan Kalimah ALLah?

Sabtu, 7 Jun 2008

Dan Hari-hari Yang Duka Pun Datang..


22 Mei 2008

"Zul, Wak Melah meninggal dunia pagi tadi" Mak saya menelefon sambil suaranya teresak- esak. Ketika itu, saya berada di dalam Pusat Islam Iskandar Johor mendengar taklimat mengenai zakat. Lalu saya bergegas bangun dari tempat duduk dan keluar dengan perlahan-lahan dari dewan tersebut.

Di dalam hati "Inna liLLahi wa inna Ilaihi Roji'uunn. Di luar saya terus menelefon adik untuk mengambil saya terus balik ke rumah.

Wak Melah adalah isteri kepada arwah Wak Basar yang meninggal dunia 2 bulan yang lalu akibat stroke. http://jarumemas.blogspot.com/2008/03/dari-allah-dia-datang-kepada-allah-dia.html. Dan kini, tibalah pula gilirannya dijemput ALLah..

Tengahari itu, saya sempat melihat wajah beliau buat kali yang terakhir, susut benar jasadnya dibandingkan semasa ia sihat dahulu. Kami beramai-ramai menyembahyangkan jenazah dan mengiringinya sehingga dikebumikan.

3 Jun 2008

Pukul 4.45 pagi saya bangun untuk qiyamullail bersama peserta JKR (Jabatan Kerja Raya), dan mengajar mereka cara-cara solat sunat yang amat digalakkan serta menjadi amalan RasuluLLah dan para sahabat. Saya menambah sedikit tentang kelebihan bangun malam iaitu sinaran nur kepada wajah mereka yang rajin solat sunat, mudahnya melintasi titian sirat bagaikan kilat yang memancar. Solat sunat di tengah malam di kala umat manusia sedang enak dibuai mimpi menjadikan jiwa kita sentiasa kuat, terasa benar dekat dengan ALLah...

Selepas itu, menunaikan solat Subuh berjemaah sehinggalah pukul 7 ditamatkan dengan kuliah Subuh. Pulang sahaja ke bilik saya melihat telefon bimbit ada panggilan masuk dari Long. Mesej pendek diberikan kepadanya dan beliau menelefon saya, "Wak Intan telah meninggal dunia," katanya. "Wak Intan yang mana?" saya terpinga-pinga sambil menyoal kembali. "Wak Intan, isteri Wak Min, nanti abang Azam datang ambik kejap lagi". "Inna LiLlahi wa inna ilaiHi roji'uunn..,"

ALlahu..ALlah...

Tahun ini, tiga ruh yang saya sayang, hormati dan banyak jasanya kepada kami diambil kembali setelah lama dipinjamkan oleh ALlah. Bukan... bukan saya menyesal, atau tidak redha atas pemergian mereka. Sekadar ingatan untuk diri sendiri, kematian itu datang tidak diberitahu. ALlah mengambil nyawa tidak meminta izin dari kita..

Al Fatihah..



Khamis, 5 Jun 2008

Minyak Oh Minyak


Jalan menuju ke Pasar Khamis lenggang tidak seperti kebiasaannya yang penuh berderet dengan kereta. Tidak ramai umat manusia yang mengunjungi pasar tersebut untuk membeli kain dan pakaian yang selalunya sesak dan berhimpit-himpit.

Ya, mungkin semalam setelah mendengar berita minyak naik rm2.70, menjadikan rakyat marhaen 'hilang selera' sebentar untuk membeli belah. Kenaikan sebanyak rm0.78 sen amatlah banyak buat kami sebenarnya - samada yang berpendapatan sederhana, apatah lagi yang berpendapatan rendah. Lalu ketika singgah di sebuah khemah yang menjual pakaian aku bertanya dengan seorang peniaga Cina yang meniaga - "Bos, minyak sudah naik, You jual pakaian pun naikkan harga jugakah? ". "Tak bolehlah, harga takkan boleh naik lagi, kalau naikkan rm0.10 pun orang sudah bising, ini mau naik juga susahlah. Kena tunggu 2-3 bulan untuk stabil" Dia menjawab dan aku merasai apa yang ia gusarkan.

Dahulu mereka membandingkan dengan harga-harga negara bukan pengeluar minyak, dan kinipun dengan alasan yang masih sama masih juga membezakan harga dengan negara tersebut!. Peliknya - kenapa dahulu semasa hendak dibuat projek mega tidak pernah hendak memikir tentang masa hadapan yang belum menentu. Bukankah kita perlu ada perancangan yang rapi dan berstrategi supaya rakyat yang menanggung tidak merasa bebanan yang tinggi? .

Dahulu semasa tahun-tahun 2006, 2007 minyak dinaikkan rm0.10 sehingga rm0.30 pun rakyat gelisah. Manakan tidak, barang keperluan perlu dibeli setiap hari, keperluan anak-anak untuk bersekolah, pekerja-pekerja yang berstatus 'makan gaji', 'gaji hari' perlu juga untuk diperhatikan makan pakai sehari-hari.

Minyak naik lagi.. syarikat yang mengeluarkan minyak pula boleh memberi bonus berbulan-bulan kepada pekerjanya. Pakcik makcik yang kerjanya menyapu sampah, menjala ikan di lautan, menjual kerepek, yang baru bertatih menjual burger di tepi jalan tentu terpinga-pinga lagi memikir tentang kos hidup di zaman ini.

Ya... tentu ada yang mengatakan 'duduklah dahulu di kerusi pemerintah sebelum bercakap'. Maka diri ini juga berfikir - jika tidak mampu duduk di kerusi itu, berilah kepada orang Islam beriman lain yang mampu. Cerita tanggungjawab bukan habis sahaja di alam kubur, bahkan berlanjutan sehingga semasa kebaikan dan kejahatan ditimbang dan ditunjukkan.

Jika di akhbar perdana disebut tentang perbandingan minyak dengan negara jiran, cuba lihat pula perbandingan negara kita (pengeluar minyak) dengan negara venezuella dianalisis oleh rakyat marhaen yang sedang terbeban juga -

http://whitenaval.wordpress.com/2008/06/05/senarai-harga-minyak-di-negara-pengeluar-minyak/

Perkara yang selalu berada di dalam fikiran - mengapa perkhidmatan pengangkutan awam tidak diambil alih sahaja oleh pihak pemerintah di seluruh negara agar rakyat yang kurang mampu dapat menggunakan dengan sebaiknya sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Singapura? Begitulah juga dengan projek yang berisiko tinggi perlulah diperhatikan kembali bagi memastikan adakah ia perlu diteruskan atau dimansuhkan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu di kala ini? .

Dalam waktu yang amat menggelisahkan jiwa ini, mungkin juga panas baran yang amat sangat dengan keletah mereka yang 'berakal pendek', semoga iman kita tidak hilang, banyakkan istighfar kepada ALlah ketika datang ammarah. KepadaNya kita berserah dan mengadu segala masalah (setelah tiada lagi daya dan upaya).

Mungkin juga ALlah inginkan kita 'berlapar' keranaNya untuk mengawal keinginan yang melebihi keperluan. Di samping itu, jangan lupa untuk berusaha untuk melakukan perubahan pada cara kita berfikir, cara kita bertindak, mungkin juga tajdid iman kita ke arah yang lebih baik.


Ya Muqollibal qulub, thabbit qolbina 'ala diiniK
"Wahai Yang Membolak balikkan hati, tetapkan hati kami di dalam agamaMu!.. Amiinnn"