Khamis, 13 Ogos 2009

Al Fatihah Untukmu Ustaz asri

Saya dibesarkan dengan lagu-lagu nasyid seperti album Kehidupan terbitan al Arqam. Di dalamnya mengandungi nasyid berunsurkan keTuhanan, mengenal sifat-sifat ALlah. Oleh kerana di rumah masih tiada radio waktu itu, kami menumpang dengar lagu nasyid di rumah pakcik sambil menopang dagu menghayati bait-bait lirik yang disampaikan oleh kumpulan nasyid tersebut. Sesekali terbit juga air mata apabila mendengar lagu dialog antara abang dan adik mengenai ayah yang berada di medan juang. Sesekali terasa gerun mendengar dialog mengenai sakaratul maut sehingga sukar hendak tidur malam kerana teringat benar tentang kematian.

Setelah lama kumpulan NadaMurni tidak muncul, pada tahun 1996-2000 muncul pula kumpulan nasyid yang baharu dari 'pecahan' kumpulan NadaMurni seperti Hijjaz dan Rabbani. Antara lagu yang menggamit hati seperti Munajat (rakaman semula), Anak Soleh, Pergi Tak Kembali dan sebagainya.

Ketika belajar di Kolej Islam Johor, banyak lagu nasyid lama 'digali' semula. Di bawah kumpulan As Syakirin dan Darul Takzim, kami mendendangkan lagu Nada Murni seperti Keharmonian Aidilfitri, terhimbau pula alunan suara Ustaz Asri yang ketika itu memegang vokal utama kumpulan tersebut membawakan lagu Marilah Berkasih Sayang. Banyaklah pembaharuan yang telah dibawa oleh Ustaz Asri di dalam arena nasyid bertujuan untuk menarik remaja masakini agar mendekati ALlah.

Hari ini, saya dikejutkan berita tentang Ustaz Asri telah meninggal dunia. Inna liLlahi wa inna ilaihi roji'unn..

Ya ALlah, pahala bacaan Surah al Fatihah ini kuberikan kepada Ustaz Asri. Tempatkanlah beliau di kalangan hambaMu yang soleh, yang diberi rahmat dan berbahagia pula di sana. Al Fatihah.

Kami akan menyusul pula nantinya..


Tiada ulasan: