Pernah suatu hari kami bergotong royong membersihkan kuburan bersama rakan sejawatan. Tempat yang sunyi pada zahirnya, hakikatnya pelbagai keadaan yang dihadapi oleh para penghuninya.
Sebelum pulang rakan saya bertanya sambil matanya melirik melihat kuburan yang ada " sheikh (hanya panggilan semata-mata) kat mana ya kubur kita nanti...". Kelu lidah saya untuk menjawabnya, siapalah saya untuk menentukan di mana tempat akhir persemadian dan bagaimana pula keadaan ketika berada diperut bumi itu nanti. Cuma diri ini amat berharap, biarlah kesudahan dalam keadaan yang baik, dan perjuangan di alam kebangkitan berjalan dengan baik dan natijah yang terbaik. ALlah jualah yang menentukan.
Jika dia adalah aku...
Dia yang dimandikan dengan air mutlak bercampur kapur barus, dibasuh dengan tangan, disela-sela celahan jari jemari. Rambut digosok perlahan, badan dilumur dengan air sabun. Dibaringkan ke kanan dan kiri. Ditekan-tekan perut lalu dibersihkan dubur dan qubulnya. Sesudah dimandi wajib dan diambilkan air wudhuknya. Lalu dikeringkan air dengan kain batik lepas. Untuk dikafankan.
Dia dibaringkan lalu dikafankan dengan kain putih dan seluruh tubuhnya juga ditutupi dengan kapas. Matanya dicelakkan, Ketika itu terdengar di kiri kanan ahli keluarganya yang menangisi keadaannya. Bukankah dia itu sebelumnya dapat melihat, bergelak ketawa, bergurau senda, makan dan minum bersama-sama. Kini telah matanya rapat, tangannya diqiam terbujur kaku!
Dia diletakkan di hadapan imam. Di bahagian kepalanya imam berdiri tegak, bersama-sama makmum untuk disolatkan. Dan seusai solat, doa pun dipanjatkan :
Ya ALlah! Ampunilah dan rahmatilah dia. Afiatkanlah dia dan ampunkanlah dia. Muliakanlah tempat persinggahannya dan luaskanlah tempat masuknya. Basuhkanlah dia dengan air, salji dan embun. Sucikanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana disucikan pakaian putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya dengan rumah yang lebih baik, ahli keluarganya dengan ahli keluarga yang lebih baik dan pasangannya dengan pasangan yang lebih baik. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka.
Di akhir perjalanan proses perpisahan dari alam dunia menuju ke alam baqa'. Wajahnya dibuka untuk tatapan terakhir. Sebelum dibawa pula ke perut bumi, alam persinggahan sementara menunggu hari pengadilan.. Menitis lagi air mata, dengan teriak tangis kaum keluarga. Sudah berpisah dia dengan hartanya, anak isterinya dan segala kesenangan dunia.
Tubuhnya pun diangkat beramai-ramai, diletakkan di dalam 'kenderaan akhir'. Disambut pula oleh penggali kuburan untuk di'simpan' di kediaman yang baharu. Dengan hati-hati jasadnya diturunkan ke liang lahad lalu diletakkan gumpalan tanah agar badannya mengiring dan wajah menghadap kiblat. Papan demi papan diletak bersusun di atasnya. Berderap bunyi tanah untuk menimbus tubuh yang kaku itu. Hinggalah sampai masanya batu nisan dipacakkan.
Kini dia keseorangan, mungkin di dalam kegelapan atau bersama-sama cahaya. Dia tidur tenang atau diseksa..Sementara menunggu-nunggu hari dihisab pula..
Jika dia adalah aku.... (sedangkan aku tidak tahu dimana tempat dan amalan yang dapat dibawa pergi bersama-sama untuk bersemadi)
Ya ALlah, berikanlah kami didunia ini dengan segala kebaikan, dan di akhirat nanti dengan segala kebaikan, dan jauhkanlah kami dari api neraka.. Aminn Ya ALlah..
2 ulasan:
orang tua bijak pandai lagi hancem-hancem ada berpesan kepada rakan taulan yang mana telinga aku telah mendengar dari kalam si tua yang bernada perlahan katanya:
janganlah di pandang pada amal sedang kan perbaikilah hati mu pada berburuk sangka walau kamu bermaqam abid atau wali jangan sekali terjerumus diri dalam berburuk sangka. beramallah dengan berbaik sangka agar ketika nyawa dihujung kerongkong insyallah pasti allah redho pada mu kerana telah kamu berbaik sangka pada nikmat dan rahmat ujian dari allah...
hmmmm tragis
perkongsian yg menarik,,,
mati itu pasti..
Catat Ulasan