Umat Islam perlu bersatu, dengan kesatuanlah maka kita akan menjadi kuat terutamanya di dalam menghadapi musuh yang tersembunyi dan yang nyata. Melalui perasaan kasih sayang antara satu dengan yang lain, saling teguh meneguhkan, kuat menguatkan dan damai mendamaikan.
Firman ALlah yang bererti :
“Dan bertolong-tolonglah kamu atas tujuan kebaikan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Maidah ayat 2)
Umat Islam perlu ada disiplin, tanpa disiplin seseorang akan menemui kegagalan dan tidak teratur hidupnya. Perancangan pula amatlah penting . Orang yang berjaya tidak akan memikulkan masalahnya kepada orang lain untuk diselesaikan. Manakala perancangannya bukan hanya untuk hari ini tetapi juga ia akan memikirkan 'Apa yang ingin Aku capai pada 4,5 tahun akandatang dan matlamat di akhirat nanti'.
Dalam konteks Umat Islam di Malaysia, perlu juga kita bertanya, mengapa kebanyakan orang tua dahulu tidak belajar tinggi. Tetapi hidup mereka mempunyai matlamat yang jelas. Mampu untuk membesarkan anak-anak hingga menjadi manusia yang berjaya. Dalam sudut agama, walaupun pendidikan agama mereka tidak setinggi mana, tetapi dengan melalui pendidikan agama yang tidak formal. Mereka dapat menghayati kehidupan beragama lebih baik dari apa yang kita fahami hari ini. Rukun dan damai dan mati dalam keadaan tenang.
Orang tua dahulu suka mengamalkan zikir,dekat dengan ALlah, rajin bekerja keras dan begitulah berkat hidup menjadikan mereka kuat,redha dengan takdir (tanpa melupakan usaha). Lihat sahaja di hari tuanya, di kelilingi dengan anak-anak yang membesar dan mempunyai jawatan yang besar, bahagia dan ceria.
Ingat lagi Peristiwa Natrah? Ketika itu orang Islam bersatu untuk menyelamatkan aqidah seorang wanita yang bernama Natrah. Ada yang gugur mati syahid. Manakala ada yang ditangkap dan dipenjarakan. Semak juga sejarah sebelum kemerdekaan Malaysia sendiri. Perjuangan ulamak Islam dahulu dalam menentang penjajah Portugis, British. Seperti Dato' Sagor, Tok Janggut, Haji AbdulRahman Limbong dan ramai lagi. Mengapa berlainan pula dengan keadaan sekarang?
Di zaman ini kita disibukkan untuk berbicara soal furu'iyyah (cabang). Kita telah diwajibkan untuk mengkaji setiap dalil yang bukan menjadi kewajipan kita untuk mengkaji setiap satu perkara, sehingga banyak perkara yang lebih utama diabaikan.
Sedangkan kewajiban untuk mengetahui tentang dalil dan mengistinbath hukum adalah tanggungjawab mereka yang berkelayakan untuk mengkajinya iaitu para Ulamak. Bahkan ada pula suara-suara yang telah menobatkan diri mereka sebagai pengikut al Quran dan Sunnah, menggelarkan diri mereka sebagai pengikut Salaf (hakikatnya akhlaq dan manhaj jauh dari salaf) tetapi dalam masa yang sama menghina dan melekehkan pendapat ulamak muktabar yang tidak sependapat dengan mereka. Bahkan mudah benar pada jari jemari mereka mengatakan orang ini akan masuk neraka, sesat aqidah tanpa hak walaupun telah diberikan hujjah dan dalil dari alQuran dan Hadith melalui para ulamak yang arif mengenainya.
Melalui Sejarah, kita belajar tentang kesatuan, toleransi, kekuatan aqidah dan ukhuwwah. Di zaman ini, banyak pula perpecahan telah berlaku. Dari sudut politik, ekonomi yang selalu berbaur dengan hasad dengki, sistem pendidikan yang dipisahkan dengan agama. Dalam diam, diri kita telah ditanamkan dengan perasaan benci, menyalahkan antara satu dengan yang lain, mengganggap diri dan pendapat kita lebih maksum dan betul. Lalu apa yang terjadi pada generasi yang akandatang?
Ironinya, di zaman ini :
Dalam Bidang Agama
1. Ada golongan yang mengatakan diri mereka peneguh sunnah dalam masa yang sama menghina sunnah dengan menjatuhkan hukuman sesat sesuka hati .
2. Menuduh ulamak yang lain tidak maksum, dalam masa yang sama ulamak yang mereka pergunakan untuk menguatkan dalil-dalil dan hujjah tidak boleh dikritik pendapatnya dan pasti benar.
3. Menuduh orang lain sebagai fanatik mazhab, taksub dengan pendapat mereka sendiri. Tetapi diri mereka tidak mengapa untuk taksub dengan ulamak, fanatik dengan golongan sendiri sehinggalah telah menjamin golongan mereka adalah yang paling layak masuk ke syurga.
4. Menuduh orang lain bertaqlid, tetapi mereka sendiri taqlid dengan ulamak mereka bahkan dengan sekeras-kerasnya mengajak orang agar mengikut dan bertaqlid dengan pendapat yang mereka keluarkan.
5. Melarang orang lain mengikut mazhab, tetapi mereka sendiri telah membuat mazhab sendiri dan fanatik buta terhadapnya.
6. Mengatakan Islam itu mudah, tetapi hakikatnya mereka mempermudah-mudahkan agama.
Dalam Bidang Ekonomi :
1. Kita mengajak agar bangkit di dalam bidang ekonomi, tetapi dalam masa yang sama penyakit hasad dengki, cantas mencantas tetap berlaku. Amalan ilmu hitam tetap dijadikan sandaran untuk melariskan perniagaan dan untung sendiri.
2. Kita ingin melihat adanya keseimbangan dan suburnya peniaga Islam yang berdaya saing. Tetapi dalam masa yang sama, ada di antara mereka yang lebih kaya serta mempunyai lesen yang besar telah memonopoli peruntukan yang diberikan kepada peniaga kecil.
3. Kita ingin memperkasakan perniagaan HALAL, tetapi siapa sebenarnya 'juara' di sebalik logo HALAL?
4. Kita ingin umat Islam kuat dalam ekonomi, tetapi berapa ramai yang mengutamakan barangan buatan orang Islam?
Dalam Bidang Pendidikan :
1. Kita ingin menjadikan pendidikan kita bertaraf dunia, tetapi dalam masa yang sama sanggup mengorbankan identiti sebuah negara bangsa dengan menyadur sistem pendidikan dari negara lain yang korup dan tidak sesuai dengan budaya, cara pemikiran kita sendiri.
2. Setiap individu Islam khususnya telah diterapkan dengan konsep modal insan, 'towering personality'. Dalam masa yang sama, pendidikan Islam tidak diintegrasikan dengan matapelajaran di sekolah-sekolah. Pendidikan melalui hukuman serta disesuaikan dengan kaedah kaunseling tidak diaplikasikan. Malahan hukuman dianggap sebagai satu kaedah kuno yang perlu dibuang. Sedangkan dalam sunnah, RasuluLlah mengajar kita menggunakannya untuk mendidik (dengan cara yang betul).
3. Sekolah Agama, pendidikan Agama amat penting di dalam melentur personaliti, akhlaq, cara berfikir tetapi dalam masa yang sama, ada yang menganggap sekolah agama adalah pendidikan kelas kedua. Akademik lebih dipentingkan dari belajar agama sehinggalah ada istilah 'TIDAK MENGAPA' tidak sekolah atau ponteng sekolah agama asalkan datang sekolah kebangsaan.
Dalam Bidang Sosial
1. Ada kaum yang mengatakan diri mereka tertindas, ada berlakunya ketidakadilan dalam struktur ekonomi, pendidikan. Tetapi dalam masa yang sama, mereka sendiri boleh pula menyebarluaskan jurang tersebut apabila berhadapan dengan kaum lain? Sikap perkauman memang sudah lama berlaku di dalam syarikat, kilang, atau peruncitan dan juga dalam pendidikan. Apabila membabitkan kenaikan gaji, maka kaum merekalah yang lebih diutamakan walaupun baru bekerja sebulan dua, sedangkan ada pekerja yang lebih mahir dan berkelayakan, pengalaman yang lebih luas tidak menerima keistimewaan yang sama.
Dalam Bidang Politik
1. Kita berdegar-degar ingin menyatukan orang Islam di dalam sebuah parti, tetapi sekiranya di dalam parti tersebut ada api dalam sekam, mereka yang suka menghukum orang lain sesat, fahaman syiah radikal, anti hadith. Bagaimana kita akan dapat mencapai objektif sebagaimana yang diinginkan?
2. Kita selalu mengatakan tentang kesatuan dengan motto yang pelbagai. Tetapi hakikatnya di dalam parti itu sendiri pecah belah, jatuh menjatuhkan, rasuah dan sebagainya.
Antara Kita dan Mereka (Bukan Islam)
Mengapa bukan kita yang dapat menunjukkan bahawa umat inilah yang perlu dijadikan contoh tauladan kepada umat lain agar akhirnya mereka juga dalam diIslamkan secara tidak langsung?
Mengapa kita sendiri tidak berbangga dengan jenama Islam yang dibawa ke mana-mana samada dari sudut aqidah, syariat dan akhlaq sehingga menjadikannya sebagai satu cara hidup?
Mengapa bukan kita yang menjuarai dalam merekacipta perkara yang baik seperti dalam bidang pembuatan pakaian, komputer, kenderaan, filem, sistem pendidikan, pemakanan dan sebagainya? (selagi tidak bercanggah dengan al Quran dan Sunnah)
Mengapa bukan kita mengutamakan perkara yang lebih utama untuk diperhatikan dan mencari jalan untuk menyelesaikan? Selain dari menjadi orang yang mengelirukan, memecahbelahkan kesatuan.
Kita telah jauh kebelakang dengan menyibukkan diri perkara yang menghancurkan kesatuan umat Islam. Mereka yang bukan Islam pula telah jauh kehadapan dan sekarang ini ada yang sedang mentertawakan kita yang baru hendak bangun kemudian 'dijatuhkan' semula oleh saudara-saudara kita sendiri.
1 ulasan:
saya suka last part tu, membayangkan kewujudan "aku dan yang lain"
Catat Ulasan