Selasa, 29 September 2009

Apa Yang Dapat Kita Pelajari Dari Aidilfitri ?

Sudah 9 Syawal berlalu di tahun 1430 Hijrah ini. Rata-ratanya umat Islam di Malaysia yang bekerja sudah pulang semula ke rumah masing-masing untuk mencari rezeki kembali. Pelbagai nostalgia ditinggalkan di kampung halaman masing-masing.

Yang sudah berkahwin, tentunya Aidilfitri tahun ini berdua pula. Yang dikurniakan cahaya mata, lebih meriah dengan kehadiran orang baru dalam hidup. Manakala yang dalam kesukaran, tentu amat terasa dengan sebuah kehilangan, kesempitan, dan ada juga yang tidak merasakan erti kegembiraan di Aidilfitri.

Walaubagaimanapun Aidilfitri adalah hari kegembiraan dan kemenangan untuk semua umatNya yang telah berjaya mengharungi Ramadhan yang telah berlalu dengan JAYANYA.

Aidilfitri ini menghidupkan sunnah RasuluLlah dengan mengeratkan tali silaturrahim keluarga dan sanak saudara yang jauh. Menghidupkan perasaaan kasih sayang dan ukhuwwah yang mungkin selama ini semakin terhakis kerana jiwa yang banyak sifat mazmumah. Dengan ucapan maaf dan terima kasih, mudah-mudahan penyakit hati yang kotor telah dihapuskan dan segar kembali bibit rasa kecintaan sesama saudara. Bukankah persaudaraan itulah yang menguatkan Islam?

Aidilfitri mengajak kita menginsafi diri. Sesambil makan juadah yang sedap dan enak, fikirlah juga tentang sahabat, saudara kita hidup di dalam kesukaran. Mungkin juga yang mengalami malapetaka.

Kita memberi dan menerima

Walaupun Aidilfitri sebenarnya hanya untuk 1 Syawal, berlainan pula di Malaysia ini. Sepanjang Bulan Syawal ia dihidupkan dengan sambutan rumah terbuka. Ramailah mereka yang tidak bernasib baik diraikan agar dapat merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Zaman dahulu ketika masih hijau, anak-anak akan ziarah dari rumah ke rumah tidak kiralah samada jiran tetangga yang dikenali atau tidak untuk beraya. Zaman ini pula, anak-anak kecil diberi angpau atau sampul berisi duit. Amalan memberi sedekah ini amatlah baik disamping menggalakkan mereka untuk menabung untuk kegunaan yang bermanfaat pada masa hadapan.

Cuma perlulah juga diperhatikan agar anak-anak kita diajar adab-adab menerima pemberian orang :

1. Tahu berterima kasih
2. Samada menerima duit sedikit atau banyak, terimalah dengan hati yang ikhlas dan manis muka.
3. Jika tetamu atau tuan rumah tidak memberi duit jangan pula bersungut.
4. Jangan membuka sampul duit raya yang diterima di depan orang yang memberi. Kurang manis dilihat perbuatan sebegini.

Bila bertandang ke rumah sanak saudara, jangan pula 'pilih bulu'. Asal sahaja sanak saudara yang hidupnya berada, mewah dan kaya. Di situlah keluarga diusung, manakala yang tidak bernasib baik hanya pandang sebelah mata. Sedangkan nasib diri pun tidak tahu hujung pangkalnya.

Tentu apabila melihat kesusahan yang dialami saudara mara yang selama ini jarang dilihat, ada terdetik di hati untuk menolong. Maka panjang-panjangkanlah pula langkah untuk memberi bantuan di masa-masa akandatang. Bukankah bersedekah itu akan meluaskan rezeki dan membersihkan hati ?

Di Bulan Syawal yang masih hangat lagi kemeriahan sambutannya, semoga diri tidak lupa untuk menghidupkan sunnah berpuasa enam hari di bulan ini. Semoga diri yang telah berubah menjadi lebih baik akan terus istiqomah dalam kebaikan.

Ya ALlah.. terimalah amalan-amalan kami yang telah berlalu..

Tiada ulasan: