Khamis, 26 November 2009

Salam Aidil Adha 1430 Hijrah


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Assalamu'alaikum,

Dengan izin ALlah, kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha 1430 Hijrah buat kesekian kalinya. Di tahun ini, Insya ALlah, umat Islam di Malaysia akan menyambutnya pada Hari Jumaat.

Sahabat yang dirahmati ALlah,

Jauh di Mekah sana, saudara-saudara seIslam sedang mengerjakan ibadah haji yang mengikat hati mereka dengan Makkah al Mukarramah, tempat terbitnya Islam dan daripadanya berpusat sinaran Tauhid ke seluruh alam ini. Di sana berhimpunlah orang-orang Islam dengan kesatuan dan kasih sayang tanpa mengira bangsa, warna kulit, pangkat, harta dan kedudukan.

Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban yang akan disambut nanti mengingatkan kita tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail 'alaihissalam.

Firman ALlah :

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْيَ قَالَ يٰبُنَيَّ إِنِّيۤ أَرَىٰ فِي ٱلْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ قَالَ يٰأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤمَرُ سَتَجِدُنِيۤ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّابِرِينَ

Ertinya: Maka tatkala anak itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya (Nabi Ibrahim), Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah ayah akan mendapati daku termasuk orang-orang yang sabar".
(Surah ash-Shaffat: 102).

Kisah pengorbanan kedua-dua kekasih Allah ini dijadikan tauladan kepada diri kita bahawa perintah ALlah itu perlu diletakkan di tempat yang lebih tinggi yang melampaui batasan kasih sayang bapa dan anak.

Jika Ibrahim itu adalah kita, atau Ismail itu adalah kita. Adakah kita sanggup menerima ujian seberat itu ? Seorang bapa disuruh untuk menyembelih zuriatnya sendiri tanpa perlu banyak bicara. Seorang ibu yang bernama Hajar rela dan menyerahkan semuanya kepada Allah. Manakala anaknya taat dan patuh kerana imannya yang subur dan menyintai ALlah dari segala-galanya telah meletakkan batang lehernya untuk menyahut perintahNya.

Bukankah Dia yang telah memberi perintah untuk diikuti dan dilakukan dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang hamba ?

FirmanNya lagi :

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ * وَنَادَيْنَاهُ أَن يٰإِبْرَاهِيمُ * قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّؤْيَآ إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ * إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلاَءُ ٱلْمُبِينُ * وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ * وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي ٱلآخِرِينَ * سَلاَمٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ * كَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ * إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ *

Ertinya: Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya ketompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu – telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerukannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu [Yang dimaksud dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahwa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan wajib melaksana- kannya.]”. – Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
(Surah ash-Shaffat: 103 – 107)


Begitulah kasih sayang Allah hendak menguji hamba-hambaNya. Tidaklah seseorang itu boleh mengaku dirinya sebagai beriman sehingga diuji oleh Sang Pemilik Jiwa.

Kita dan Pengorbanan

Sahabat yang dirahmati ALlah sekalian, selama ini kita berkorban tenaga, masa, buah fikiran di jalanNya sudahkah perkataan ikhlas itu diletakkan kukuh di dalam hati ?

Firman Allah di dalam surat Al-Hajj, 37:

لن ينال الله لحومها و لا دماءها ولكن يناله التقوى منكم

Ertinya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah ‘amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa kamu
[yakni keredhaan Allah Ta’ala tidak akan dicapai hanya dengan menyembelih korban dan membahagikannya, tetapi dapat dicapai dengan niat amal yang ikhlas semata-mata keranaNya di dalam menta’ati perintahNya dan dengan rasa kecintaan yang mendalam kepadaNya]

Perjalanan berdakwah bukan mengambil masa dan jarak yang sedikit. Kita yang disatukan di bawah persaudaraan Islam tanpa mengira jawatan dan kedudukan perlu bersama mengerah tenaga, wang ringgit, minda dan perasaan untuk menjayakan tujuan yang murni. Bukankah cita-cita yang mulia itu memerlukan pengorbanan yang besar pula ?

Dan pengorbanan yang dicurahkan itu hanya sia-sia tanpa amal yang ikhlas yang berdasarkan kepada ketaqwaan kepadaNya.

Pengorbanan Hanya Untuk ALlah

Teringat dahulu kisah jerih perih semasa berjuang di medan dakwah diceritakan oleh sahabat yang terdahulu. Seorang muslimat yang dalam keadaan keletihan dan sakit tidak dapat berjalan. Lalu sahabat yang lain mulalah mencari jalan bagaimana untuk membantu seorang sahabat yang dalam keadaan tiada upaya.

Kalaulah di situ hanya ada jiwa yang punya kepentingan diri. Tentulah dibiarkan sahaja muslimat itu terlantar, berbaki dengan rungutan kerana terpaksa menanggung beban. Tetapi sahabat-sahabat yang berjiwa besar ini telah membuat satu usungan dari buluh dan kayu. Pengalasnya adalah dari pakaian sendiri, ikatannya adalah tali kasut yang dipakai mereka. Lalu mereka bersama-sama, bergilir-gilir membawa muslimat tersebut sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Biarlah bercucuran air keringat tetapi ukhwwah sesama Islam kerana ALlah itu lebih utama.

SubhanaLLah, bukankah cantik pengorbanan di jalan ALlah ini ? Mungkinlah pada pandangan kita adalah kecil. Tetapi... tentulah pandangan ALlah itu lebih besar.

Wahai diri, selagi engkau bergelar hamba, teruslah berusaha untuk memberi kebaikan dalam hidupmu. Carilah jalan untuk memberi dan menerima kebaikan. Mudah-mudahan kebaikan dalam pengorbanan di jalan ALlah diterima dan diredhaiNya.

2 ulasan:

Abd Razak berkata...

Salam...:)

salam ukhwah...

...sedang berusaha menambah kebaikan dalam diri di samping mengajak yang lain...

Selamat hari raya aidil adha

Admin berkata...

wa'alaikumussalam warahmatuLlah,

Selamat aidil adha juga :) Kullu 'am wa anta bikhoirin. :)