Khamis, 18 Februari 2010

Wahai Sang Daie.. Perbaikilah Dakwahmu

Insya Allah, bulan ini kita bersama-sama mengenang kembali peristiwa kelahiran RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam. Walaupun ada perbezaan pendapat mengenai kebolehan menyambut Maulidul Rasul ini. Namun saya mengambil pendapat yang membolehkan kerana ternyata ia membawa banyak kelebihan disamping menghidupkan kecintaan kepada RasuluLlah dan semoga ia membangkitkan motivasi untuk meneladani kehidupan RasuluLlah sebagai seorang daie yang berjaya dalam menyebarkan Islam dengan cara yang paling berhikmah dan berkesan.

Dakwah di zaman serba pantas dan mencabar ini menuntut pendekatan dakwah yang lebih sistematik, berilmu dan berhikmah dalam mengajak mad'u ke arah jalan yang diredhai ALlah. Dahulu kemungkinan para pendakwah yang berjasa terpaksa melalui perjalanan yang jauh untuk berhubung dan terpaksa mengambil waktu yang lama untuk sampai ke daerah mad'u. Sehinggakan ada pendakwah yang perlu tinggal tetap dan matinya juga di tempat ia berdakwah tersebut.

Pendakwah masa kini pula semakin mudah cara berhubung antaranya menggunakan keyboard dan mouse serta peralatan seperti broadband serta pengetahuan asas dalam IT (teknologi maklumat) untuk bergerak dengan lebih meluas.

Pengetahuan Para Jurudakwah

Wahai para daie yang dimuliakan Allah, tingkatkan ilmu dan kefahaman. Jika dahulu mungkin engkau di dalam tempurung kejahilan. Maka hilangkanlah kejahilan itu dengan cahaya ilmu. Duduk bersama-sama para guru dan ulamak yang ikhlas mengajar. Belajarlah ilmu dengan disiplinnya serta adab-adab dalam belajar. Ketahuilah mad'u yang dihadapi nanti berbeza-beza tahap pengetahuan dan latar belakang hidup serta budaya yang tidak sama dengan apa yang engkau jalani selama ini.

Sekiranya engkau berhijrah di negara orang yang berbeza sosio budayanya. Dan apabila engkau kembali ke negara sendiri jangan pula terbawa-bawa dengan cara hidup di negara lain yang jelas tidak sama dengan kehidupan di tempat kelahiranmu sendiri.

Hikmah Itu Apa ?

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۖ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ (١٢٥)




ertinya :

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.
(Surah an Nahl : ayat 125)

Para Daie yang dimuliakan Allah,

Hikmah itu adalah segala yang benar yang berkaitan dengan i'tikad, kefahaman dalam agama, amalan dan kebijaksanaan. Ia juga bererti akal dan kefahaman. Amat malang sekiranya 'dakwah' seorang dai'e itu hanya menyebabkan mad'unya lari.

Amat merugikan apabila mad'u pula semakin berburuk sangka akibat kesalahan da'ie dalam berdakwah disebabkan kejahilannya yang mengakibatkan Islam itu dipandang negatif.

Contoh Adab Para Dai'e Di Perkampungan Orang Asli :

Sekiranya tuan-tuan yang dimuliakan pernah didedahkan tentang orang asli dan ingin berdakwah di tempat kaum yang istimewa ini. Ada adab yang perlu diikuti :

  • Sebelum berkunjung ke perkampungan orang asli, jangan lupa untuk bertemu dengan 'penghulu' atau Tok Batin terlebih dahulu yang telah dipilih orang mereka. Ini kerana pengaruh Tok Batin amat kuat dan dipatuhi oleh anak buahnya.
  • Jangan menunjukkan rasa jijik dengan kehidupan mereka yang sudah tentu amat berbeza dengan kehidupan kita.
  • Bersabarlah dengan sifat mereka yang pemalu.
  • Dekati anak-anak orang asli, ini akan menyenangkan kita untuk menarik hati ibu ayah mereka.
  • Jika boleh, ketika waktu makan, ajaklah orang kampung untuk bersama-sama makan.
  • Gunakan bahasa yang paling mudah untuk difahami.
  • Jangan menegur sekiranya ternampak ada benda yang pelik digantung di rumah mereka.
  • Sekiranya diajak untuk makan makanan yang dihidang oleh saudara kita ini. Tetapi kita sendiri tidak berselera, maka tolaklah dengan cara baik yang tidak menyebabkan mereka berasa hati.
  • Satu bonus bagi para daie sekiranya dapat berbual dalam bahasa orang asli untuk berkomunikasi.
  • Jangan berjanji sekiranya tuan sendiri tidak yakin dapat menunaikan janji tersebut. Kerana mereka amat menepati janji dan punya jiwa yang sensitif.
  • Jangan banyak meminta tetapi lapangkan tangan untuk memberi.
Sekiranya kita rajin membuka kisah kehidupan RasuluLlah, maka kita akan dipertontonkan dengan kecantikan akhlak RasuluLlah dalam berdakwah. Musuhnya semakin kurang, yang mencintainya semakin ramai. Bahkan Baginda dihormati oleh kawan dan lawan. Lalu jangan lupa untuk melihat pula akhlak para sahabat yang berjaya dididik oleh RasuluLlah.

Tingkatkan Kualiti Dalam Berdakwah

Wahai para daie yang dipilih ALlah di jalan ini.. perbaikilah adabmu dalam mendidik mereka yang memerlukan bantuanmu. Sekiranya dengan mereka yang bukan Islam engkau dapat berlemah lembut dan berkata baik, mengapa dengan sesama saudaramu sendiri engkau berkasar dan menyakiti hatinya ?

Ingatlah wahai para daie, kesalahan yang dilakukan oleh mad'u itu adalah cerminan bagi diri kita sendiri. Usahlah menganggap diri kita ini sudah suci dari dosa sedangkan dakwah yang dilakukan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah di samping menebus kesalahan yang pernah dilakukan selama ini. Mudah-mudahan dengan amal jariah yang kita lakukan, Allah memandangnya sebagai amal kebaikan atau pengampunan dosa samada kecil atau besar yang pernah diperbuat selama ini.

Masa Yang Kita Ada

Sedarkah wahai para daie yang dimuliakan Allah ? Usia yang ada amat singkat dibandingkan dengan amanah yang diserah oleh Allah di bahu kita ini. Masa yang semakin sempit, zaman semakin buas, nafsu ammarah menyelinap di dalam jiwa tidak putus-putus, godaan iblis dan syaitan datang silih berganti untuk membantutkan usaha mengajak ke arah kebaikan dan nasihat yang berhikmah.

Di mana pula tempat kita di akhirat nanti ? Di golongan yang kanan atau golongan yang kiri ?

Rujukan :

1. Ahmad Hasan Mohd Nazam, Wasiat Luqman al Hakim, Cet Pertama 2009, Telaga Biru, Selangor.

2. Dr Muhammad Said Ramadhan Al Buthi, Rahsia Dakwah Yang Berkesan, Cet Pertama 1997, Pustaka Ilmi, Selangor.

Tiada ulasan: