Rabu, 7 Mei 2008

ALLah Tidak Sama Dengan Segala Yang Baharu (Mukhalafatuhu ta'ala lil hawadith)


ALlah tidaklah sama dengan segala makhlukNya bahkan dengan apa yang kita fikirkan samada dari segi sifat, zat dan perbuatan.

ALLah tidak sama dengan makhlukNya dari segi zat :

1. Zat ALlah bukan Jauhar - Benda yang halus yang boleh dibahagi seperti ruh dan angin

2. Zat ALlah bukan Jirim - Benda yang memerlukan ruang seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan

3. Zat ALlah bukanlah Aradh - Iaitu sifat makhluk seperti besar dan kecil

4. Zat ALlah bukan berbentuk Juz'iyyah - Bahagian-bahagian yang membentuk sesuatu benda. Contohnya : Manusia mempunyai anggota badan seperti tangan, kaki, mata, tubuh badan yang membentuk diri mereka.

5. Zat ALlah tidak berjisim - iaitu benda nyata dan berbentuk seperti benda hidup dan benda mati.

6. Zat ALlah tidak berpihak - tidak berarah seperti hadapan, belakang, kiri dan kanan.

7. ALlah tidak bertempat - tidak memerlukan ruang tempat (jirim dan aradh)

8. Zat ALlah tidak bermasa - tidak memerlukan masa (jirim dan aradh)

Akan bersambung ..

Selasa, 6 Mei 2008

Anak Muridku


Murid Lelaki Darjah 6 SAR Johor 2007


Antara murid perempuan Darjah 6 SAR Johor 2007

Bergambar beramai-ramai

Kudoakan agar kamu menjadi pelajar yang soleh dan solehah, mungkin di suatu hari nanti kita akan bertemu dalam keadaan yang berbeza. Manalah tahu ada yang menjadi jurutera, doktor, tentera, peguam syariah.. Dan aku mengharapkan agar terisi di dalam diri masing-masing jati diri Islam yang sejati. Dan kita bersama-sama memartabatkan Islam di persada alam ini. Mudah-mudahan semua ditentukan syurga, bahagia mendapat restu yang Esa.. Amiinnn


Ahad, 4 Mei 2008

Berilmu Tetapi Tidak Berakhlaq?

Kes 1 :

Ada seorang pelajar baru memasuki kuliah ilmu, lalu belajarlah ia dua, tiga hadith dari gurunya. Kemudian dia sudah menghafaz sedikit sebanyak ayat al Quran. Gurunya itulah satu-satunya yang dijadikan sumber rujukan. Segala-galanya yang betul datangnya dari gurunya. Pasti tiada salah. Lalu ia mula bermain dengan persoalan hukum. Sebab dirasanya diri sudah cukup ilmu untuk berfatwa. Mana-mana yang tidak berkenan atau bercanggah dengan pendapatnya dia mengatakan itu adalah sesat barat.

Sehinggakan habis dihukum ulamak yang muktabar, mujtahid adalah tersilap pandangan mereka. Dengan memberi alasan yang dirasanya paling kukuh - ulamak tidak maksum, berhujjah mestilah mengikut dalil yang paling sahih dan terkuat.

Malangnya - yang betul baginya adalah ulamak yang ia ikut, tetapi ulamak yang lain pasti salah. Pasti salah hadithnya, dan berkemungkinan aqidah ulamak itu terkeluar dari ahlu sunnah wal jama'ah. Manakala dalil yang terkuat baginya - juga sebenarnya adalah dari apa yang ia dapat sendiri dari kitab yang ia baca. Tentunya dalil itu juga dari ulamak yang ia taksubkan.

Bermulalah era baru yang dizikirkan di bibirnya adalah - itu haram, ini bid'ah, engkau sesat!

Kes 2 :

Seorang murid, sudah diajar akhlaq oleh gurunya. Tentang adab percakapan, adab menuntut ilmu. Adab berhadapan dengan guru. Entah di mana silapnya, tetap sahaja murid itu lancang mulutnya bila berbual dengan gurunya. Tidak ada perasaan hormat. Bengkeng, bidas, dan sebagainya untuk menunjukkan dirinya yang jahil itu adalah benar.
...........................................................................................................................................................................

Tahu dan Faham

Zaman ini ada golongan pelajar yang bersemangat belajar ilmu hanya untuk tahu. Tetapi ia lupa - pengeTAHUan yang ia ada hanya sedikit. Akhirnya TAHUnya itu menjadikan ia merasa hebat. Menjadikan dirinya terasa betul. Ia tenggelam dalam TAHU tapi JAHIL akhlaq.

TAHU sahaja tidak cukup tanpa kefahaman. Orang yang hanya tahu gula itu manis, tidak sama dengan orang yang sudah merasai kemanisan gula apatah lagi dimana ia perlu digunakan kemanisan gula tersebut.

ALlah dan RasulNya mengajar kita agar mempunyai akhlak yang baik sesama manusia, samada dari segi pertuturan, perbuatan, bahkan dalam hati sendiri. Apatah lagi dengan sesama saudara Islam. Bukankah RasuluLLah diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq, bahkan akhlaq RasuluLLah itu sendiri adalah al Quran?

Kita diajar untuk beradab kepada guru-guru, ustaz-ustazah, alim ulama kerana keutamaan mereka.

قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ‌ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٩)

Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah az Zumar : 9)

Bahkan di dalam urusan solat jemaah sekalipun, diutamakan adalah orang yang lebih yang mahir bacaannya di dalam al Quran.Telah dicontohkan oleh RasuluLLah di dalam peperangan Uhud, sahabat yang lebih banyak mengambil al Quran didahulukan untuk dimasukkan ke dalam liang kubur.

Dari Jabir r.a : Sesungguhnya Nabi SallaLLahu 'alaihi wasallam telah menghimpunkan antara dua orang lelaki dari mereka-mereka yang terbunuh di dalam peperangan Uhud iaitu di kubur, kemudian baginda bersabda :"Yang manakah dari keduanya yang lebih banyak mengambil al Quran?". Apabila ditunjukkan kepada salah seorang dari keduanya, baginda mendahulukan (orang yang tersebut) ke dalam liang lahad. (Riwayat Bukhari)

Hakikat Ilmu Yang Kita Ada

ALLahu..ALlah..

Adab sebagai pelajar, jika ilmu masih sedikit (hakikatnya ilmu manusia tiada yang banyak melainkan ALLah yang Empunya Ilmu), masih bertatih tahulah berakhlaq. Sedangkan para ulamak yang faqih, berkelana di bumi ALLah untuk mencari ribuan guru, bahkan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan hingga kini amat menjaga akhlaq sesama guru dan ulama yang lain. Sehinggakan sifat yang tercerna dari diri mereka menjadi ikutan bagi ulama yang takutkan ALLah.

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (٢٨)

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Surah al Fatir : 28)

Oleh itu wahai pelajar, jika para ulama yang hebat ilmunya itu sendiri amat menjaga tutur katanya, tidak bermudah-mudah berhukum dengan apa yang tidak mereka ketahui. Mengapa kita sendiri yang amat sedikit ilmu tidak belajar untuk merendahkan diri?. Adakah akhlaq itu tidak termasuk di dalam halal dan haram di dalam perhubungan sesama manusia? Sudah bolehkah kita berlaku sombong dengan ilmu yang sedikit sedangkan kita lupa ilmu yang kita ada juga boleh ditarik pada bila-bila masa?.

Ilmu tanpa akhlaq menunjukkan kita sendiri menghina ilmu yang diberi oleh ALlah.

Jumaat, 2 Mei 2008

Khamis, 1 Mei 2008

Berjalan Di dalam Kegelapan

Malam itu mereka berjalan di dalam kegelapan malam. Dengan mata yang terbuka, diberi kata peransang dan nasihat, agar perjalanan menempuh gelap malam itu dijadikan sebagai motivasi diri.

"Awak ingat banyak-banyak kepada ALlah, berzikir dan minta taubat kepadaNya". kata seorang fasilitator. Ada beberapa orang yang mengangkat tangan mengatakan tidak sanggup untuk meneruskan berjalan malam tersebut. Tetapi setelah diberikan kata-kata peneguhan mereka akur.

Maka bermulalah perjalanan pada malam itu, mereka dilepaskan seorang demi seorang. Untuk tahu cekalnya hati, di manakah diletakkan Tuhan ketika di dalam kesusahan.

"SubhanaLlah, walhamduliLLah, wa lailaha illaLLah, ALlahu Akbar! SubhanaLLah, AlhamduliLLah, wa La ilaha ilaLLah, ALlahu Akbar!". Mereka berzikir, bertasbih dan bertahmid memuji-muji ALlah.

Seorang lalu berhampiran, dan ditegur di dalam kegelapan "Awak nombor berapa?". "ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!". Seorang peserta menjerit dan makin laju ia melangkah ketakutan!
..........................................................................................................................................................................

Sesudah habis perjalanan, mereka telah dikumpulkan di satu tempat berdekatan dengan asrama masing-masing. Lalu ditanyakan pengalaman - apa perasaan setelah menempuh perjalanan yang gelap? Masing-masing memberikan pendapat gerun, seram, dan ramai mengatakan ketakutan.

Lahir di dalam kegelapan menuju kepada kegelapan

Semasa berada di kandungan ibu, tiada sedikitpun cahaya yang ada di dalam ruangan yang sempit tersebut. ALlah memberi nikmat pendengaran - apa yang berlaku di luar, kita akan pelajari menerusi pendengaran. Begitulah bila lahir sahaja ke dunia, setelah beberapa lama barulah melihat cahaya. Perjalanan diteruskan di mukabumi sehinggalah nyawa kita diambil lalu dimasukkan ke dalam liang lahad untuk menemui kembali kegelapan.

Di alam dunia - manusia yang bijaksana memikirkan apa yang perlu dibuat, matlamat hidupnya, ke mana ia akan pergi setelah itu. Akal yang bijaksana akan selalu mengambil pengajaran agar nanti di alam barzah harapnya kubur akan diterangi dengan amal soleh. Semoga di situ akan menjadi tempat tidur yang aman sementara menunggu kehancuran alam untuk dihisab oleh Tuhan..

Bilakah Masanya Kita Akan Kembali Mengingati ALlah?


Manusia telah diberi peluang untuk merebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara.

اغتنم خمسا قبل خمس حياتك قبل موتك، وصحتك قبل سقمك، وفراغك قبل شغلك، وشبابك قبل هرمك وغناك قبل فقرك

Rebutlah lima perkara sebelum [datang] lima perkara: Hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum sebelum masa sibukmu, masa mudamu sebelum masa tuamu dan masa kayamu sebelum faqirmu. (Hadis Riwayat Imam Ahmad didalam Musnadnya dari Ibn Abbas)

Semasa hidup adakah kita akan mengambil iktibar sebelum datangnya mati?, apa kisahnya tentang kematian yang selalu datang menjemput tanpa diberitahu?. Malaikat akan hadir merenggut nyawa tanpa meminta izin.

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ (٢

" Dialah yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."(Surah al Mulk : 2 )

Semasa badan sihat, mata segar bugar, anggota badan yang cukup. Terkadang ALlah berikan ujian. Dahulu tangan inilah yang diberikan peluang untuk menulis, melukis. Lalu suatu hari kakinya kesandung dan pergelangan tangan menjadi mangsa. Lukisnya tidak secantik dahulu, terketar-ketar dan hilanglah kecantikan lukisan itu. Semasa sihat, berapa kali mengingati ALlah? Bersyukur dengan nikmatnya?

Bila sudah terlantar sakit, makanan hanya dijamah sedikit, kepala terasa memberat terpaksa dipapah dan perlukan pertolongan orang lain. Samada diri semakin kuat mengingat ALlah, atau terus merungut dan membentak-bentak pada lisan dan benak.

"Aku dulu banyak kesempatan nak buat itu dan ini, banyak masa terluang menghadiri program dan majlis jemputan, tetapi kini aku benar-benar sibuk. Masaku banyak dihabiskan di tempat kerja, terkadang solat pun terpaksa aku uzurkan..."

ALlahu..ALlah... rupanya Dia menguji kita dengan mengambil sedikit keberkatan masa. Banyaklah sudah masa yang tidak ternilai itu terbuang secara percuma. Tetapi tidak kurang manusia yang masih selesa dengan pembaziran masa.

Di majlis Maulid Nabi itu ada ceramah tentang hal ehwal umat Islam. Dipenuhi dengan orang-orang tua, pakcik dan makcik mendengar dengan khusyuk. Ada yang mencoretkan sesuatu di atas kertas setelah mendengar lontaran nasihat dari penceramah. Ke mana hilangnya orang muda?

وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِڪۡرِى فَإِنَّ لَهُ ۥ مَعِيشَةً۬ ضَنكً۬ا وَنَحۡشُرُهُ ۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ أَعۡمَىٰ (١٢٤

" Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta."( Surah Thaaha : 124 )

Kita tidak selamanya berada di atas, mungkin dilain ketika tangan ini pula menadah. Dahulu pakaian kita berjenama Arnold Palmer, dompet Bonia, kasut Crocodile, jam tangan Rolex dan serba serbi nilaiannya beratus ringgit untuk menutup tubuh sahaja. Dan mungkin pada masa akandatang semuanya itu bertukar menjadi 'bundle' dan mengharap dari belas ehsan untuk mendapatkan pakaian terpakai.

Orang Islam yang hebat adalah mereka yang pandai mengambil peluang, mempunyai persediaan dan perancangan. Setiap masa hidupnya dijadikan jalan untuk beribadah kepada ALlah. Setiap waktu ia tidak lupa kepada Tuhan yang mencipta alam. Ia tahu menyumbang untuk dijadikan amal jariahnya sebagai tanaman dan untuk dituai di akhirat sana.


ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ‌ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَـٰتِ‌ۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ ٢٥٧

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. (Surah Al Baqarah : 257)

Kegelapan - sebenarnya berasal dari hati yang tidak mahu tunduk kepada ALlah. Yang menyinarinya adalah iman yang dizahirkan kepada amal perbuatan. Antara cahaya dan kegelapan- kitalah yang perlu memilihnya.

Selasa, 29 April 2008

Rintihan Seorang Abid

“Dan siapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. Ia berkata “Wahai Tuhanku! Mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?” Allah berfirman “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan!” (Surah Taha :124-126)

Rintihan ini, selalulah ia berselirat di dalam hati, ingin sahaja diluah dibalik lisan-lisan yang kunjung malap dek diselubungi kata-kata hina dan alpa,

Akulah musafir itu yang selalu keseorangan di dalam ramai, terasa sunyi sepi dikala orang lain keriuhan, menangisi dosa-dosa hitam dihujung penjuru sedangkan ketika itu mereka tertawa riang..

Akulah wahai Tuhan, hamba yang selalu melawan, membentak takdirMu, selalu memberi Engkau murka,

diberi petunjuk tetapi tidak memanfaatkan, diberi nikmat tetapi merungut, diberi pakaian iman tetapi aku melucutkannya dengan dosa,

Biarlah dikala ini, aku dilupakan orang, asal sahaja Tuhan tidak melupakanku,

Biar aku dihina2 orang asal Tuhan tidak menghina aku,

Biar dibenci orang asal Tuhan tidak membenciku,

Tuhan.. jangan tinggalkan diri ini, setelah mereka menjauhiku,

Biarlah duka itu belalu

Banyak mata yang terjaga, banyak pula yang tertidur lelap, memikirkan persoalan yang sudah atau akan terjadi. Tinggalkanlah rasa duka semampumu kerana memikul beban duka boleh membuatmu gila. Kelmarin, Tuhan telah menolongmu, percayalah, esok pun Dia masih akan tetap menolongmu.

Ahad, 27 April 2008

Inilah Persaudaraan Islam

Seluruh umat Islam itu bersaudara tanpa dibatasi oleh warna kulit, kaum, loghat bahasa, kaya atau miskinnya, cacat atau sempurnanya.

Apakah kita sudah kenal erti persaudaraan sesama Islam?.



Di zaman ini, kita bagaikan manusia yang hanya mengenal orang dengan berdasarkan wangnya, pangkat dan kehormatan serta keturunannya. Hilang sudah rasa persaudaraan apabila terdapat sedikit khilaf, benci dan dendam menumpuk di dalam hati bila tidak senang melihat kesenangan orang lain. Apatah lagi, harta yang banyak telah menenggelamkan mata hati untuk membantu jiran yang susah di kanan kiri.

Persaudaraan sesama teman dan sahabat kian menjurang kerana kita tidak cuba hendak mengenali. Kita tidak ingin merasakan kesukaran yang dihadapi oleh saudara kita, tetapi sambil mengerling (tahu rasa bersalah) terus melangkah kaki pergi dari kesukaran itu. Dan di dalam minda berkata "Mengapa aku perlu bersusah payah memikir kesusahan orang lain dengan diri aku yang sudah sedia susah". ALlahu ALlah.... beginilah keadaan umat Islam.

"Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bersatu teguh bercerai roboh, "Hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama diratah".

Entah, siapa lagi yang ingin memerhatikan ibarat di atas?

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ

"....Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan.."
(Al-Maidah : 2)

Di bawah ini menceritakan bagaimana persaudaraan sesama Islam yang ditunjukkan oleh RasuluLlah dan para sahabatnya. Semoga beroleh pengajaran.

Gambaran kerja kaum Muslimin dalam usaha menggali kubu, telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Al Barra' r.a dengan katanya :
"Di hari pakatan barisan musyrik dalam peperangan Khandaq, aku telah melihat baginda rasuluLLah s.a.w memunggah pasir dari kubu-kubu hingga tertutup kulit perut baginda RasuluLLah s.a.w. Aku lihat perut baginda penuh dengan debu-debu dan diriwayatkan dari Anas r.a bahawa kaum Ansar dan Muhajirin bertaruh dengan masa mereka menggali kubu dengan memikul tanah-tanahnya dengan kata mereka. "Kami dengan Muhammad bersumpah setia kekal dengan Islam sepanjang usia. RasuluLLah s.a.w menjawab pertaruhan mereka dengan katanya :

"Ya ALlah, tidak ada kebaikan melainkan kebaikan akhirat. Oleh itu, berkatilah kaum Ansar dan Muhajirin"


Imam Bukhari telah meriwayatkan dalam hadith sahihnya dari Jabir r.a telah berkata di hari menggali kubu: :

"Kamu telah direntangi oleh seketul batu pejal, sahabat-sahabat bertemu RasuluLLah s.a.w lalu menceritakan: "Ada batu pejal ya RasuluLLah yang merintangi penggali kubu". Jawab RasuluLlah s.a.w : Nanti aku pecahkannya", kemudian baginda terus bangun sedangkan perut baginda diikat dengan batu (untuk menahan lapar). "Tiga hari berturut-turut kami tidak menjamah makanan". RasuluLLah s.a.w mengambil pemecah batu (Al Ma'ul sejenis cangkul) lalu dicangkulnya batu hingga menjadi hancur, Kemudian aku berkata :

"Ya RasuluLLah 'alaihi wasssalam, izinkanlah kepadaku untuk pulang ke rumah, lepas itu aku berkata kepada isteriku: "Aku lihat RasuluLLah S.a.w sudah tidak boleh sabar lagi. Apakah engkau ada sesuatu untuk dimasak? Jawabnya: "Aku ada biji-biji bali dan seekor kambing betina". "Aku pun menyembelih kambing dan mengisar biji-biji bali kemudian aku masakkan kambing di dalam periuk. Setelah itu aku datang menemui RasuluLLah s.a.w sedangkan tepung yang diuli sudah merekah manakala periuk di atas tungku lagi tadi hampir-hampir masak.

Aku berkata kepada RasuluLLah s.a.w : Saya ada sedikit makanan, ayuh RasuluLLah s.a.w dengan seorang dua lagi. Kemudian RasuluLlah s.a.w bertanya: "Banyak mana makanan itu?" Aku pun menceritakan kepada RasuluLLah s.a.w. Kata RasuluLLah s.a.w : Itu banyak, lagi baik. Katakan kepada isterimu jangan angkat turun periuk dan juga roti, biarkan di atas dapur hingga aku tiba.

Kemudian RasuluLlah s.a.w berseru kepada sekalian Muhajirin dan sekalian Ansar: "Ayuh bangun dari tempat kamu". Di tengah jalan pula RasuluLLah melaung: "Wahai penggali-penggali kubu, ini dia Jabir telah menghidang makanan! Ayuh kesemua kamu, Bila Jabir masuk ke dalam rumah lalu berkata : Apa kata kamu, RasuluLlah telah datang bersama-sama Muhajirin dan Ansar dan orang lain." Berkata isterinya :"Adakah RasuluLLah s.a.w telah bertanyakan tentang makanan itu?. Jawab Jabir :"Ya!". Jawab isteri Jabir : "ALlah dan RasulNya lebih mengetahui".

Kemudian datanglah RasuluLLah dan baginda berkata: "Ayuh masuk dan jangan teragak-agak." RasuluLLah s.a.w mematah-matahkan roti dan meletakkan masakan daging di atasnya. Manakala periuk dan dapur memasak roti masih bertambah bila diambil sehingga sekalian yang datang kenyang dan banyak bakinya lagi. RasuluLLah s.a.w berkata kepada isteri Jabir: "Engkau makanlah hidangan yang baki kerana manusia ditimpa kelaparan."

Dalam riwayat yang lain pula kata Jabir : Aku bersumpah demi ALlah, mereka telah memakan masakanku hingga kesemua mereka beredar tetapi periuk kami masih penuh seperti mula lagi dan tepung kami masih boleh dibuat roti lagi."

SubhanaLlah, RasuluLlah tidak tega melihat dirinya sahaja di dalam kekenyangan sedangkan sahabat-sahabatnya yang lain menekan perut di dalam kelaparan. Bahkan RasuluLLah sendiri terlibat dengan penggalian parit. Jika difikirkan tentu sahaja orang yang semulia RasuluLLah tidak perlu membuat kerja, berehat dan memerhatikan sahaja sambil bersenang lenang di pembaringan.

Berbeza sungguh sifat kepimpinan baginda yang sanggup turun membantu orang Islam. Memecah batu, memberi makanan sendiri kepada sahabatnya.

Dan begitulah, sejarah selalu menjadi panduan kepada orang yang ingin mengambil iktibar dan pengajaran agar dapat bermuhasabah diri.

Jika seorang susah, kami turut merasakan kesusahannya

Menurut riwayat lain (diceritakan oleh Dr Yusof al Qardhawy dalam kitabnya Iman dan Kehidupan), pernah terjadi dalam suatu peperangan, antara Muslimin dan musuhnya terbentang sebuah sungai. Mereka diperintahkan oleh panglimanya, supaya menyeberangi sungai. Semua patuh kepada perintah dan terjun ke dalam sungai. Sedang musuh melihat mereka dari jauh dengan penuh kegentaran.

Sampai di pertengahan sungai, melihat mereka semua hilang dalam air, seolah-olah tenggelam dan serentak terapung kembali di permukaan air. Musuh mengetahui apa sebabnya kejadian serupa itu. Diketahuinya bahawa salah seorang di antara mereka (tentera Muslimin) jatuh piringnya ke dalam air, lantas berteriak mengatakan : "piringku...piringku...!" Lalu mereka menyelam semuanya mencari piring yang jatuh itu sampai dapat.

Musuh yang memerhatikan hal itu merasa :"Kalau mereka berbuat serupa ini mengenai satu piring yang jatuh kepunyaan salah seorang di antara mereka, apa gerangannya yang akan mereka perlakukan, kalau kita membunuh salah seorang dari mereka!". Akibatnya musuh menyerah kalah kepada tentera kaum Muslimin.

ALlahu..ALlah.. inilah dia persaudaraan Islam yang telah ditunjukkan oleh umat terdahulu.. Bagaimanakah persaudaraan Islam yang kita tunjukkan sekarang ini? ..

Rabu, 23 April 2008

ALlah itu Baqa' (Kekal)

Kita selalu mengimpikan apa yang ada pada diri, yang kita miliki agar dapat selalu bersama. Jika boleh dapat kekal selama-lamanya. Lalu apabila apa yang ada di dalam genggaman akhirnya hilang, terlepas, hancur binasa - kita sukar hendak menerima kenyataan. Ada yang hilang pedoman. Emosinya terganggu dan fikirannya bercelaru.

Bila kita mengenal ALlah, barulah kita sedar bahawa segala yang ada di hadapan mata kita ini akan fana' (hancur binasa, akan mati).

Baqa' ertinya kekal, sentiasa ada, tiada akhir. ALlah adalah kekal wujudnya tanpa kesudahan. Kekal yang hakiki yang tidak akan fana' buat selama-lamanya. Dan bukan kekal ardhi seperti perkara yang telah ditentukan oleh syarak berdasarkan al Quran dan Hadith.

Seperti :
  1. Nikmat syurga
  2. azab neraka
  3. jasad sekalian nabi
  4. jasad orang yang mati syahid
  5. ruh
  6. arasy
  7. kursi
  8. Luh mahfuz
  9. Qalam
Dalil Aqli (Akal) :

Jika ALlah tidak bersifat baqa' tentulah ALlah akan binasa (fana'). Sedangkan fana' itu sifat baharu.

Akal menerima bahawa ALlah bersifat qidam (sedia). Andainya ALlah tiada bersifat baqa' maka tentulah ALlah juga tidak bersifat qidam. Hakikat ini tidak dapat diterima oleh logik akal.

Dalil Naqli (bukti daripada al Quran dan Sunnah) :

كُلُّ شَىۡءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجۡهَهُ ۥ‌ۚ

Ertinya : Tiap-tiap sesuatu akan binasa kecuali zatNya (zat ALlah) : Surah al Qasas : 88

Selasa, 22 April 2008

Mereka Memilih Islam

Saya telah membaca buku Islam Pilihanku - Pengucapan Syahadah 39 Insan di Malaysia. Susunan : Mazuen Yahaya. Terbitan Karya Bestari Sdn Bhd.

Segala pujian bagi ALlah, seusai membacanya saya mendapati ada beberapa kelebihan yang ada pada saudara kita ini. Antaranya :

1. Mereka ikhlas memeluk agama Islam yang suci ini walaupun mendapat banyak cabaran dan tentangan dari keluarga sendiri. Bahkan juga terkadang cabaran datangnya dari orang Islam yang memberi tanggapan buruk kepada saudara kita ini dengan gelaran mualaf yang kadangkala seperti 'double standard'.

2. Bersungguh-sungguh di dalam mengkaji agama Islam dan amat berbangga dengannya. Ada yang membuat perbandingan dengan agama-agama lain sebelum memeluk Islam. Keinginan mereka untuk belajar dengan ustaz dan kawan-kawan menunjukkan semangat motivasi yang tinggi untuk menjadikan Islam sebagai satu cara hidup.

3.Masih tetap meneruskan hubungan dengan keluarga sendiri (walaupun bukan beragama Islam). Melayan kedua orang tua dengan baik, sehingga dapat menarik hati ahli keluarga yang lain untuk 'revert' (kembali) semula kepada agama fitrah iaitu Islam.

4. Mengamalkan ajaran Islam dengan penuh yakin dan istiqomah. Ada kalanya sebelum memeluk Islam lagi mereka telah belajar berpuasa, solat bersama-sama rakan-rakan Islam yang lain. Ikhlas memang di dalam hati tetapi telah ditunjukkan dengan perbuatan.

5. Menjadikan al Quran sebagai sumber motivasi, ALlah sebagai tempat pergantungan. Solat sebagai tempat untuk mengadu kepada ALlah.

AlhamduliLLah, saya mendoakan agar saudara semua yang memilih Islam sebagai panutan hidup agar terus berada di jalanNya ini. Tahniah diucapkan, tiadalah kemenangan yang terbesar melainkan apabila meletakkan iman kepada ALlah di dalam jiwa yang selama ini kekosongan.

Wahai saudaraku seIslam yang lain, kita semua disatukan dengan kalimah LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH. Berbantu-bantulah ke arah kebaikan dan ketaqwaan. Marilah kita nasihat menasihati ke arah kebaikan dengan cara yang terbaik dan berhikmah.

ALlahu..ALlah.. Semoga hati-hati kita semua disatukan kembali di bawah lembayung rahmat ALlah ini.

Firman ALLah :

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِينً۬ا‌ۚ

Ertinya : ...Pada Hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu kepada kamu. Dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu... (Surah Al Maidah ayat 3)

Ahad, 20 April 2008

Al Ahnaf Berguru Dengan Umar Al Khattab

Al Ahnaf bin Qais telah berkesempatan untuk berguru dengan para sahabat yang ternama terutama sekali Umar al Faruq r.a Al Ahnaf berkesempatan untuk hadir ke majlis Umar dan mendengar nasihatnya selain berpeluang mendengar majlis penghakiman Umar. Malahan al Ahnaf merupakan murid yang paling menyerlah dikeluarkan daripada madarasah Umar. Beliau sangat terpengaruh dengan gurunya yang amat bijaksana.

Al Ahnaf pernah ditanya: "Dari manakah kamu memperolehi sifat mulia dan bijaksana ini?"

Al Ahnaf menjawab dengan merendah diri:"Semuanya daripada kata-kata yang saya dengar daripada Umar al Khattab. Umar pernah berkata:"Orang yang bergurau akan dipandang rendah. Orang yang banyak mengetahui sesuatu akan lebih dikenali. Orang yang banyak bercakap akan banyak melakukan kesalahan. Orang yang banyak kesalahan akan kurang sifat malunya. Orang yang kurang sifat malunya akan kurang sifat waraknya. Orang yang kurang sifat waraknya akan mati hatinya."