Apakah kita sudah kenal erti persaudaraan sesama Islam?.
Di zaman ini, kita bagaikan manusia yang hanya mengenal orang dengan berdasarkan wangnya, pangkat dan kehormatan serta keturunannya. Hilang sudah rasa persaudaraan apabila terdapat sedikit khilaf, benci dan dendam menumpuk di dalam hati bila tidak senang melihat kesenangan orang lain. Apatah lagi, harta yang banyak telah menenggelamkan mata hati untuk membantu jiran yang susah di kanan kiri.
Persaudaraan sesama teman dan sahabat kian menjurang kerana kita tidak cuba hendak mengenali. Kita tidak ingin merasakan kesukaran yang dihadapi oleh saudara kita, tetapi sambil mengerling (tahu rasa bersalah) terus melangkah kaki pergi dari kesukaran itu. Dan di dalam minda berkata "Mengapa aku perlu bersusah payah memikir kesusahan orang lain dengan diri aku yang sudah sedia susah". ALlahu ALlah.... beginilah keadaan umat Islam.
"Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bersatu teguh bercerai roboh, "Hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama diratah".
Entah, siapa lagi yang ingin memerhatikan ibarat di atas?
Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِۚ(Al-Maidah : 2)
"....Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan.."
Di bawah ini menceritakan bagaimana persaudaraan sesama Islam yang ditunjukkan oleh RasuluLlah dan para sahabatnya. Semoga beroleh pengajaran.
Gambaran kerja kaum Muslimin dalam usaha menggali kubu, telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Al Barra' r.a dengan katanya :
"Di hari pakatan barisan musyrik dalam peperangan Khandaq, aku telah melihat baginda rasuluLLah s.a.w memunggah pasir dari kubu-kubu hingga tertutup kulit perut baginda RasuluLLah s.a.w. Aku lihat perut baginda penuh dengan debu-debu dan diriwayatkan dari Anas r.a bahawa kaum Ansar dan Muhajirin bertaruh dengan masa mereka menggali kubu dengan memikul tanah-tanahnya dengan kata mereka. "Kami dengan Muhammad bersumpah setia kekal dengan Islam sepanjang usia. RasuluLLah s.a.w menjawab pertaruhan mereka dengan katanya :
"Ya ALlah, tidak ada kebaikan melainkan kebaikan akhirat. Oleh itu, berkatilah kaum Ansar dan Muhajirin"
Imam Bukhari telah meriwayatkan dalam hadith sahihnya dari Jabir r.a telah berkata di hari menggali kubu: :
"Kamu telah direntangi oleh seketul batu pejal, sahabat-sahabat bertemu RasuluLLah s.a.w lalu menceritakan: "Ada batu pejal ya RasuluLLah yang merintangi penggali kubu". Jawab RasuluLlah s.a.w : Nanti aku pecahkannya", kemudian baginda terus bangun sedangkan perut baginda diikat dengan batu (untuk menahan lapar). "Tiga hari berturut-turut kami tidak menjamah makanan". RasuluLLah s.a.w mengambil pemecah batu (Al Ma'ul sejenis cangkul) lalu dicangkulnya batu hingga menjadi hancur, Kemudian aku berkata :
"Ya RasuluLLah 'alaihi wasssalam, izinkanlah kepadaku untuk pulang ke rumah, lepas itu aku berkata kepada isteriku: "Aku lihat RasuluLLah S.a.w sudah tidak boleh sabar lagi. Apakah engkau ada sesuatu untuk dimasak? Jawabnya: "Aku ada biji-biji bali dan seekor kambing betina". "Aku pun menyembelih kambing dan mengisar biji-biji bali kemudian aku masakkan kambing di dalam periuk. Setelah itu aku datang menemui RasuluLLah s.a.w sedangkan tepung yang diuli sudah merekah manakala periuk di atas tungku lagi tadi hampir-hampir masak.
Aku berkata kepada RasuluLLah s.a.w : Saya ada sedikit makanan, ayuh RasuluLLah s.a.w dengan seorang dua lagi. Kemudian RasuluLlah s.a.w bertanya: "Banyak mana makanan itu?" Aku pun menceritakan kepada RasuluLLah s.a.w. Kata RasuluLLah s.a.w : Itu banyak, lagi baik. Katakan kepada isterimu jangan angkat turun periuk dan juga roti, biarkan di atas dapur hingga aku tiba.
Kemudian RasuluLlah s.a.w berseru kepada sekalian Muhajirin dan sekalian Ansar: "Ayuh bangun dari tempat kamu". Di tengah jalan pula RasuluLLah melaung: "Wahai penggali-penggali kubu, ini dia Jabir telah menghidang makanan! Ayuh kesemua kamu, Bila Jabir masuk ke dalam rumah lalu berkata : Apa kata kamu, RasuluLlah telah datang bersama-sama Muhajirin dan Ansar dan orang lain." Berkata isterinya :"Adakah RasuluLLah s.a.w telah bertanyakan tentang makanan itu?. Jawab Jabir :"Ya!". Jawab isteri Jabir : "ALlah dan RasulNya lebih mengetahui".
Kemudian datanglah RasuluLLah dan baginda berkata: "Ayuh masuk dan jangan teragak-agak." RasuluLLah s.a.w mematah-matahkan roti dan meletakkan masakan daging di atasnya. Manakala periuk dan dapur memasak roti masih bertambah bila diambil sehingga sekalian yang datang kenyang dan banyak bakinya lagi. RasuluLLah s.a.w berkata kepada isteri Jabir: "Engkau makanlah hidangan yang baki kerana manusia ditimpa kelaparan."
Dalam riwayat yang lain pula kata Jabir : Aku bersumpah demi ALlah, mereka telah memakan masakanku hingga kesemua mereka beredar tetapi periuk kami masih penuh seperti mula lagi dan tepung kami masih boleh dibuat roti lagi."
SubhanaLlah, RasuluLlah tidak tega melihat dirinya sahaja di dalam kekenyangan sedangkan sahabat-sahabatnya yang lain menekan perut di dalam kelaparan. Bahkan RasuluLLah sendiri terlibat dengan penggalian parit. Jika difikirkan tentu sahaja orang yang semulia RasuluLLah tidak perlu membuat kerja, berehat dan memerhatikan sahaja sambil bersenang lenang di pembaringan.
Berbeza sungguh sifat kepimpinan baginda yang sanggup turun membantu orang Islam. Memecah batu, memberi makanan sendiri kepada sahabatnya.
Dan begitulah, sejarah selalu menjadi panduan kepada orang yang ingin mengambil iktibar dan pengajaran agar dapat bermuhasabah diri.
Jika seorang susah, kami turut merasakan kesusahannya
Menurut riwayat lain (diceritakan oleh Dr Yusof al Qardhawy dalam kitabnya Iman dan Kehidupan), pernah terjadi dalam suatu peperangan, antara Muslimin dan musuhnya terbentang sebuah sungai. Mereka diperintahkan oleh panglimanya, supaya menyeberangi sungai. Semua patuh kepada perintah dan terjun ke dalam sungai. Sedang musuh melihat mereka dari jauh dengan penuh kegentaran.
Sampai di pertengahan sungai, melihat mereka semua hilang dalam air, seolah-olah tenggelam dan serentak terapung kembali di permukaan air. Musuh mengetahui apa sebabnya kejadian serupa itu. Diketahuinya bahawa salah seorang di antara mereka (tentera Muslimin) jatuh piringnya ke dalam air, lantas berteriak mengatakan : "piringku...piringku...!" Lalu mereka menyelam semuanya mencari piring yang jatuh itu sampai dapat.
Musuh yang memerhatikan hal itu merasa :"Kalau mereka berbuat serupa ini mengenai satu piring yang jatuh kepunyaan salah seorang di antara mereka, apa gerangannya yang akan mereka perlakukan, kalau kita membunuh salah seorang dari mereka!". Akibatnya musuh menyerah kalah kepada tentera kaum Muslimin.
ALlahu..ALlah.. inilah dia persaudaraan Islam yang telah ditunjukkan oleh umat terdahulu.. Bagaimanakah persaudaraan Islam yang kita tunjukkan sekarang ini? ..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan