Cerita di bawah ini saya nukil dari : Buku Detik-detik Terakhir Kehidupan RasuluLLah Dilengkapi dengan Daftar Susunan Seratus Tokoh Yang Berpengaruh Dalam Sejarah Dunia, Karangan K.H Firdaus A.N, Pustaka Ilmu, 1997
Sufyan At Thauri, putera Iraq, seorang ulama yang warak, zuhud dan mempunyai keperibadian dan keberanian untuk menyatakan kebenaran. Kebenaran itu adalah kebenaran dan kebatilan itu adalah kebatilan dan siapa pun dan dari mana pun datangnya.
Ia hidup sezaman dengan Khalifah Harun Ar Rasyid, bahkan Harun adalah sahabat karibnya sebelum memangku jawatan khalifah. Sebagai seorang alim yang sangat zuhud, ia sangat benci kepada Ulama-ulama yang terpengaruh dengan harta benda, Ulama'us Su' menurut Imam al Ghazali.
Sufyan At Thauri berkata : "Alim ulama itu tidak ubahnya seperti doktor yang mengubati orang sakit. Harta benda adalah penyakitnya. Apabila Ulama telah merangkul penyakit kepada dirinya sendiri, bagaimana dia boleh mengubati orang lain?"
Kerana Harun Ar Rasyid setelah dia menjadi khalifah menyuguhkan penyakit-penyakit ulama itu kepada para alim ulama di kala itu, sehingga para Ulama menghadap khalifah untuk menerima harta benda itu di istana, maka beliau tidak ragu-ragu sedikit pun untuk memutuskan hubungannya yang akrab selama ini dengan Harun ar Rasyid.
Demikianlah pada hari perlantikannya Harun ar Rasyid menjadi khalifah, maka sahabat lamanya Sufyan At Thauri pun diundang bersama-sama dengan ulama-ulama yang lain untuk menghadiri upacara perlantikan itu. Tetapi setelah perlantikan akan dimulai, alangkah terkejutnya khalifah, kerana sahabatnya yang paling akrab justeru tidak hadir. Hal itu sungguh menjadi tanda tanya yang tidak sedap dirasakan oleh khalifah. Maka dengan tidak lama antaranya, beliau pun menulis surat kepada sahabat akrabnya itu, Sufyan at Thauri. Dan surat itu berbunyi seperti di bawah ini :
BismiLLahirrahmanirRahim!
Dari hamba ALLah Harun ar Rasyid Amirul Mukminin kepada saudaranya, Sufyan bin Said bin Mundzir. Adapun kemudian daripada itu, wahai Saudaraku! Sebagaimana engkau telah mengetahui bahawa ALLah Tabaroka wa Ta'ala telah mempersaudarakan antara orang-orang beriman, dan ia menjadikan hal yang demikian itu supaya dilakukan pada jalan-Nya dan kerana-Nya belaka. Ketahuilah olehmu bahawa saya telah bersaudara dengan engkau dengan persaudaraan yang erat dan tali persaudaraan itu rasanya tidak akan putus-putusnya.
Dan aku mencintai engkau dengan sepenuh-penuh cinta dan kemahuan yang baik. Kalaulah tidak kerana kalung (jawatan) yang telah dikalungkan oleh ALlah kepadaku, tentulah aku akan datang mengunjungi engkau walaupun aku akan merangkak-rangkak sekalipun, demi cinta yang bersemi dalam kalbuku kepadamu.
Ketahuilah, wahai Abu AbdiLLah bahawa tidak seorang pun di antara kawan-kawanku dan kawan-kawanmu melainkan mereka datang berkunjung kepadaku dan mengucapkan selamat kepadaku dengan jawatan yang telah aku terima itu (khalifah).
Aku telah membukakan bagi mereka beberapa buah Baitul Mal (perbendaharaan Negara) dan aku telah memberikan kepada mereka pemberian-pemberian yang berharga mahal apa yang telah membuat hatiku gembira dan menyejukkan mataku; dan aku menanti-nanti kedatanganmu yang terlambat itu, tetapi sayang engkau tidak juga kunjung datang. Oleh itu aku tulislah surat ini kepadamu kerana sangat rinduku kepadamu, dan engkau tentu telah mengetahui tentang keutamaan orang Mukmin, mengunjunginya dan mengikat tali silaturrahim (hubungan kasih sayang) dengan dia.
Kerana itu, bila kelak suratku ini sampai ke tanganmu, maka bergegaslah, bersegeralah datang!"
Demikian bunyi surat Harun ar Rasyid yang baru sahaja dilantik menjadi ketua negara itu. Dan setelah surat itu dipersiapkan, maka Harun ar Rasyid menoleh kepada orang yang berada di sampingnya, tetapi mereka kenal kepada kekerasan watak Sufyan at Thauri. Kemudian surat itu diserahkannya kepada salah seorang pengawal beliau yang bernama 'Ubbad at Thaliqany sambil berkata : "Wahai Ubbad. ambil suratku ini dan hantarkan dia ke Kufah, maka apabila engkau telah masuk kota itu tanyakanlah kepada Kabilah Bani Thaur. Kemudian bertanyalah di mana Sufyan at Thauri berada. Maka apabila engkau telah melihatnya berikanlah surat ini kepadanya. Perhatikan benar-benar akan hatimu segala apa yang dikatakannya!"
Begitulah pesuruh khalifah menjalankan tugasnya, dan sampainya di Kufah ia bertanya tentang Sufyan at Thauri, dan seorang menunjukkannya di Masjid. 'Ubbad bercerita, bahawa setelah Sufyan at Thauri melihat kedatangannya, ia pun segera berdiri dan mengucapkan: "A'udzubiLLahis Samiil Alim minasy Syaitanir Rajim wa a'udzubiKa ALlahumma min Tariqin atruqu illa bikhoirin."
Ertinya : "Aku berlindung dengan ALLah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang terkutuk, dan aku berlindung kepada Engkau ya ALlah daripada orang yang datang, kecuali yang datang membawa kebajikan."
"Kata-kata itu terhunjam di jantungku," kata Ubbad, dan aku pun keluarlah." Tatkala aku turun di pintu masjid, beliau pun bangkit untuk mengerjakan sembahyang, padahal waktu itu belum ada masuk waktu sembahyang (fardhu, Pen). Maka aku tambatkanlah kudaku di dekat pintu masjid dan aku pun masuklah ke dalam Masjid. Aku melihat para pengikut beliau duduk bersama menundukkan kepada mereka bagaikan pencuri-pencuri yang di hadapkan kepada Sultan (penguasa, hakim Pen) dalam keadaan ketakutan akan siksaan hukumannya.
Aku mengucapkan salam kepada mereka, tetapi tidak seorang pun di antara mereka yang mengangkatkan kepalanya, dan mereka menjawab salamku dengan hujung-hujung jari mereka sahaja. Aku tetap berdiri kerana tidak seorang pun di antara mereka yang mempersilakan aku duduk.
Bersambung..
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ?
-
KETIKA SUJUD KAKI DIRENGGANGKAN ATAU DIRAPATKAN ? Soalan:Ketika sedang
sujud adakah kedua kaki direnggangkan atau dirapatkan. Mana satu cara yang
betul?Ja...
9 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan