Rabu, 8 Oktober 2008

Kenangan Syawal

Syawal kali ini saya sambut di Johor dan Kelantan (rumah isteri). Adalah perbezaannya, selama ini sambut raya sebagai seorang yang bujang. Dan kali ini berdua, kena pandai pula bertoleransi dengan isteri.

Di 1 syawal, terasa kesyahduannya apabila meninggalkan bulan Ramadhan. Malam itu sempat juga bertakbir bersama adik di ruangan tengah rumah.

Pada paginya ke surau untuk bertakbir lagi bersama-sama saudara seIslam yang lain. Sesak juga kerana ramainya jemaah yang bersama-sama ingin menunaikan solat sunat Aidilfitri serta menyantap telinga dengan khutbahnya.


Berhari Raya

Selepas bersalam-salaman sesama ahli keluarga, pergi pula berziarah di rumah makcik dan berkesempatan bersama adik beradik untuk menziarahi kubur sambil membacakan ayat Al Quran dan berdoa agar pahala yang dibaca dapat diberikan kepada arwah ayah, makcik dan untuk ahli kubur di situ umumnya.

Kata makcik "jadi macam mak ngah ni, bercerai mati".

Kemudian setelah menziarahi pakcik dan makcik sebelah arwah ayah, pulang pula ke kampung ibu. Bermalam juga di kampung (rutin yang selalu dibuat setiap tahun). Keesokan harinya meneruskan amalan ziarah menziarahi, bermaaf-maafan dengan sanak saudara.

Dunia Baru

Di Kelantan - suasananya berbeza dengan di Johor. Tidak terlalu meriah sambutan Hari Raya Aidilfitri, tetapi ramai yang mengadakan walimatul urus. Di Johor - Ketupat, kuih muih yang pelbagai, dan biasanya ada pelita yang dipasang di halaman rumah, terdapat konvoi beramai-ramai sehingga sesak perjalanan. Di Kelantan - nasi minyak, tapai pulut, ada juga kuih muih, kurang berkonvoi, jadi tidak nampaklah ketara berjujuk-jujuk kenderaan di kampung-kampung.

Bila menziarahi orang-orang tua banyak perkara yang dapat disimpan dalam jiwa. Bagus pula melihat bagaimana persaudaraan di antara mereka melawat antara satu dengan yang lain. Bertemu dengan bekas guru besar - beliau pula menceritakan tentang keadaan murid dahulu dan sekarang. Perbezaan yang amat besar apabila murid-murid amat menghormati guru yang mengajar. Berjalan tahu menunduk hormat, dimarahi tahu untuk dijadikan pengajaran, dirotan tidak pula mengadu sebab ibu dan ayah dahulu memberi kepercayaan penuh kepada guru untuk mendidik anak-anaknya.

Bertemu dengan warga emas - jasad mereka menceritakan pula tentang kesihatan diri. Sakit lutut dan pinggang, kisah suasana ketika mengerjakan haji dan sebagainya untuk dijadikan iktibar kepada diri yang masih muda belia. Ubat-ubatan zaman sekarang pun jika digunakan selalu ada kesan buruknya. Sayur-sayuran yang segar bugar bagaimana ia tumbuh? Kagum juga melihat mereka masih berusaha untuk menjaga aurat dan selalu senyum.

AlhamduliLLah, berkesempatan juga bertemu dengan sahabat dari Universiti Al Azhar yang sudah banyak kali menyampaikan kuliah agama di kampungnya membahas mengenai tafsir surah yang pendek iaitu ustaz amin daud. Sempat juga berbincang dengannya mengenai isu semasa tanahair dan Kelantan sendiri terutama mengenai aqidah dan hal ehwal agama.

Dalam kegembiraan, bukan tiada saudara kita yang bersedih, dalam kesusahan, meniti usia senja. Setiap diri akan menceritakan tentang kenangan Syawal yang tersendiri.

Di dalam hati, semoga dapat lagi merasai bulan Ramadhan kerana bahangnya masih lagi dirasai sehingga kini. Amiin Ya Robb..

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tahun ni syawal 1 beraya di johor, kendian di klate...

tahun depan?
syawal 1 di klate ker?

Tanpa Nama berkata...

wah.. wit raya ne??? nak wit raya..abg cuki pon bg 5 hengget wit raya kt irah...

Admin berkata...

Assalamu'alaikum wbth,

tengoklah keadaan camane, samada balik kelate atau tetap di Johor pada 1 Syawal tahun hadapan.

Irah.. maghi datang ghumoh den dulu, makan kuih ghayo baghu boleh bagik duit. :)

Tanpa Nama berkata...

saya beraya di Kedah...InsyaAllah tahun depan di kampung saya, Kelantan....
Di Kelantan saya tinggal di pekan...saudara mara pun 'bukan calang-calang' orang. tapi suasana raya tak begitu meriah berbanding kampung mertua di Kedah....tetamu dari kaum kerabat tak putus bertandang....dari pagi sampai malam...lembek lutut saya dibuatnya....tapi saya dapat melihat 'kasih sayang dan persaudaraan' yg ikhlas di hati mereka....kalau ditanya pilihan saya ...saya lebih seronok beraya di Kedah ... meriah biarpun serba sederhana